Tuesday, July 26, 2016

BAB 7 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






G

ENAP seminggu khidmatnya di Haiyan. Pelbagai perkara telah dipelajari dan ditemukan. Hal-hal syarikat, selok-belok bangunan, pekerja-pekerja dari pegawai atasan sehinggalah pekerja bawahan... tiada sekelumit pun aura negatif yang disogokkan.

            Indah dan positif belaka segalanya...

            Tuk! Tuk! Tuk!

Ketukan di muka pintu mengejutkan Irish. Terhenti fokusnya pada skrin komputer.

“Masuk.”

“Cik Irish!” Insyirah berjalan masuk dengan beberapa fail di tangan. “Ini dia annual report syarikat untuk lima tahun yang Cik Irish minta tadi.”

            “Oh... terima kasih, Insyirah. Maaflah dah susahkan awak.”

“Eh, tak adalah. Dah memang tugas saya bantu Cik Irish! Nama pun pembantu, kan?”

”Nampak gayanya saya kena hadap jugalah semua annual report ni untuk fahamkan yang lain-lain.” Irish menunjuk timbunan fail di mejanya. Semua perlu diteliti. Minggu-minggu terawal begini memang inilah yang harus ditelaah.

“Tebal-tebal annual report ni, Cik Irish. Larat ke? Kalau sayalah, mahu pengsan macam ni!” gerun Insyirah melihat fail-fail laporan tahunan setebal hampir lima inci setiap satunya.

“Dah biasa, In. Masa belajar dulu ini juga yang saya hadap setiap hari. Analisis macam-macam rupa bentuk annual report syarikat. Nak tahu financial health dia macam mana.” 

“Hermm... sebab itulah saya setakat jadi pembantu aje. Otak saya tak cukup bijak macam Cik Irish nak buat kerja-kerja analisis ni!” seloroh gadis itu. “Eh! Lunch nanti Cik Irish turun makan dengan kita orang macam biasa ke?”

“Oh! Saya lupa nak beritahu. Abang saya call tadi ajak temankan dia lunch hari ni. Tapi hari ni aje. Esok kita keluar macam biasa. Tak apa, kan?”

“Tak ada hal, Cik Irish. Kita orang okey aje. Saya keluar dulu, ya.”

“Sampaikan pada yang lain saya minta maaf sebab tak dapat join hari ni.”

Insyirah menunjukkan isyarat ibu jari di muka pintu. “Enjoy your lunch!”

Sejak hari pertama bekerja, dia sudah dipelawa Insyirah makan tengah hari bersama rakan-rakan pejabat yang lain. Insyirah, Zaryn, Kak Maisarah, Elaine, Farisya.  

Inilah geng barunya di dalam Haiyan sekarang...

 

**********

SUSUK pemuda itu menapak keluar sebaik pintu lif terbuka. Niat di hati ingin pulang ke vila untuk makan tengah hari. Petang ini pun tak ada mesyuarat atau temu janji dengan klien.

Dah lama juga dia tak dapat kesempatan begini. Jadual kerja sangat-sangat padat. Hari ini dapat peluang... mestilah tak nak lepas!

Tapi...

Langkah lelaki itu terhenti. Kelibat seseorang di sofa ruang legar menggamit perhatian.  

‘Dia tunggu siapa kat situ? Atau ada masalah?’ 

Tengku Hafiy mengubah arah haluannya. Kaki diayun menghampiri figura itu.

“Assalamualaikum, Cik Irish.”

“Waalaikumussalam.” Kaget gadis itu. Cepat-cepat dia bangkit dari sofa. “Tengku!”

            “Cik Irish buat apa kat sini? Tak pergi lunch? Atau tunggu seseorang?”

            “Ha, ya. Saya tengah tunggu orang.”

            “Siapa?”

            “A...”

“Irish!”

Serentak dua insan itu berpaling.

“Izzul!”

“Eh, Fiy!”

“Hei, Zul! Kau buat apa kat sini? Meeting ke?”

            “Eh, tak adalah. Aku nak jemput Irish. Nak pergi lunch.” 

            “What? Kau dengan Irish? Lunch? Eh, kau biar betul Zul! Jangan nak buat hal. Tahu dek Fiya, nahas kau!”

Izzul tergelak besar. Hingga berair matanya dek penangan kata-kata sahabat baiknya. Dia yakin lelaki itu masih tidak tahu-menahu tentang perkara yang sebenar.

“Along, dah-dahlah ketawa tu!” Irish menyenggol lengan Izzul. Tak sampai hati melihat majikannya terpinga-pinga ditertawakan terus.

“Hah? Along??!”

Sekali lagi Tengku Hafiy terkejut. Silih berganti pandangannya bertamu di wajah Irish dan Izzul.

“Hurmm, betullah tu. Along.”

Means, kau dengan Irish...”

“Irish ni adik akulah. Kan aku ada cakap nak tolong carikan kerja untuk dia hari tu. Kau suruh serah resume kat secretary kau, kan? Adik aku yang inilah!”

“Ya ALLAH!” Tengku Hafiy tepuk dahi. “Baru aku teringat! Aku tercari-cari jugalah yang mana satu adik kau. Tak sangka pula Irish ni rupanya! Serius... aku tak tahu, Zul!”

“Ha, itulah! Lain kali serkap jarang lagi. Nasib baik kau kawan aku. Kalau tak...”

Leher Tengku Hafiy dipaut Izzul. Buku limanya disua. Tawa kedua-duanya serentak bergema di ruang legar berkenaan.

            “Sorrylah, bro! Mana aku nak tahu. Patutlah masa interview Irish hari tu aku asyik teringatkan kau aje. Rupanya memang ada kena-mengena!”

            “That’s what we called siblings’ connection!”

So, kau nak bawa adik kau pergi lunchlah ni?”

“Yup! Saja ajak dia teman hari ni. Alang-alang dah jumpa kau ni... jomlah sekali!”

“Eh, tak apa ke? Takut menganggu privacy kau dengan Irish pula.”

“Alah... jom ajelah! Lagipun dah lama kita tak lepak sama!” Izzul terus menarik bahu rakannya beredar keluar.

 

**********

SEBUAH restoran masakan Itali menjadi pilihan mereka untuk makan tengah hari. Sambil menikmati makanan, sambil mereka berbual. Bercerita dan berkongsi perkembangan terkini diri masing-masing.

Suara Tengku Hafiy dan Izzul yang lebih banyak kedengaran berbanding Irish. Gadis itu hanya sesekali berbicara kala diaju pertanyaan. Bila dia kebosanan, mata meliar melihat sekeliling restoran yang sudah dipenuhi pelanggan.

            “Irish.” Izzul menyiku adiknya.

“Hmm?”

            “Dengar tak Hafiy tanya tu?”

“Tanya apa, ya?”

“Macam mana kerja? Okey ke?”

            “Setakat ni, okey. Alhamdulillah.”

            “Itu aje?”

“Hmm.”

Izzul menghela nafas. “Macam nilah adik aku, Fiy. Susah betul nak buka mulut bercakap. Lagi-lagi orang yang dia baru kenal. Sepuluh patah ditanya, setengah patah aje dijawab. Kadang-kadang tak jawab langsung.

So, kau faham-fahamlah kalau kat ofis dia memang tak banyak cakap. Tapi kau pastikan dia buat kerja. Kalau tak, report aje kat aku!”

            “Along...” Irish memukul lembut lengan Izzul.

            “Tak betul ke apa along cakap? Betul, kan?”

            “Dahlah, Zul. Kasihan adik kau tu. Merah dah muka dia. Kau dari masa belajar sampai sekarang tak berubah, kan? Suka menyakat. Dulu si Fiya, sampai menangis kau kerjakan!”

Tersungging bibir Izzul mendengar nama isterinya disebut-sebut. Sememangnya Tengku Hafiy mengenali Safiya ketika mereka belajar di Universiti Putra Malaysia dulu. Cuma kursus yang diambil mereka berbeza. Safiya dalam jurusan perakaunan sementara mereka di bidang kejuruteraan.

Selepas tamatkan Ijazah Sarjana Muda di UPM, dia dan Safiya mengambil keputusan untuk bekerja. Sementara Tengku Hafiy menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Oxford, England.

“Kau bila nak kahwin dengan Helena ni, Fiy? Hmm? Dah nak setahun kan kau orang bertunang?” Tiba-tiba soalan itu dibangkitkan Izzul.

“Belum lagi kut buat masa sekarang. Aku nak fokus pada syarikat dulu. Bila semua dah okey, bolehlah langsung. Lagipun, aku tunggu adik aku yang seorang tu balik sini dulu.”

“Adik kau yang kat London tu?”

“Yup.”

“Hurmm... lama juga dia merantau kat UK tu, kan. Selama itu jugalah aku dah tak pernah jumpa dia. Amacam dia sekarang? Makin handsome macam kau?”

            “Handsome macam aku tu, tak adalah. Sebab dia memang lebih handsome dari aku sejak dulu. Sampai perempuan beratur nakkan dia! Dia aje yang tak nak. Pelik aku!” tutur Tengku Hafiy dengan gaya tangannya.

“Eleh! Kau pun dulu sampai macam ni hah perempuan beratur nak, kan? Kau tu aje yang jual mahal!” Izzul membidas kembali kata-kata Tengku Hafiy dengan gaya tangan serupa.

“Aku lain!”

            “Lain apanya, bro? See... tak nak kalah juga kau, kan?” 

            Tawa kedua-duanya berderai. Tercuit dengan tingkah masing-masing. Tak ubah seperti waktu belajar dulu. Sering bergurau dan bertelingkah.

“Hai! Kalau kat rumah kau ni Fiy, gerenti Mak Engku dah bising tengok aku dengan kau dah start gaduh. Lama dah aku tak ke sana. Apa khabar orang tua kau?”

“Sihat, alhamdulillah. Ha... sebut fasal rumah aku, Sabtu depan lepas isyak datanglah bawa Fiya dengan anak-anak kau sekali. Orang tua aku ada buat majlis kesyukuran sempena anniversary mereka. Mama aku dah pesan suruh jemput kau. Dah lama sangat tak jumpa katanya. Rindulah tu dengan anak dan cucu-cucu angkat dia!”

            “Insya-ALLAH, kalau tak ada apa-apa nanti aku datang.”

“Bawalah Irish ni sekali. Kut mama aku berkenan nak jadikan dia anak angkat macam abang dia juga. Irish nanti jemput datang sekali, ya?” pinta Tengku Hafiy. Gelaran ‘Cik’ sudah tidak kedengaran lagi setelah mengetahui status gadis itu dengan Izzul.

“Insya-ALLAH.”

            “Dah nak pukul 2.00. Jomlah gerak.” Izzul memanggil pelayan restoran.

“Tak apa, Zul. Aku bayar.”

“Eh! Janganlah macam tu, Fiy. Aku yang ajak kau tadi.”

            “Tak apa. Aku belanja kau dengan Irish.”

“Tak sedaplah macam ni, bro...,”

“Anggap aje sempena meraikan adik kau masuk Haiyan!”

Izzul terus mati gerak dan kata bila rakannya lebih dulu menghulur kad kredit pada pelayan restoran.


********** 


“BALIK nanti kirim salam pada ayah dan umi.” Izzul berpesan pada Irish saat menghantar adik serta rakannya pulang semula ke pejabat.

“Along...”

Izzul kembali berpaling. “Kenapa?”

Tanpa menjawab soalan itu, Irish menghulur tangan.

Sorry, along lupa!”

Lantas huluran itu disambut. Tubuh gadis itu didakap seketika bersama kucupan di kepala seperti selalu. Entah mengapa setiap kali berbuat demikian hatinya pasti menjadi sayu. Dihantar langkah adiknya masuk ke dalam bangunan Haiyan bersama sebuah renungan.

“Manja Irish dengan kau.” Ucap Tengku Hafiy yang memerhati sejak tadi.

“Biasalah. Adik perempuan bongsu.”

“Tak tahu pula kau ada adik cun macam tu. Kalaulah aku belum bertunang... silap hari bulan boleh jadi adik ipar kau kut!” Selamba Tengku Hafiy berkata dalam berpeluk tubuh dan bersandar pada kereta Izzul.

“Mulalah tu!”

Tengku Hafiy sudah tergelak-gelak. “Aku gurau ajelah, bro!”

“Tahu. Sorrylah kalau adik aku tu menyusahkan kau bila dia kerja kat sini.”

“Eh, tak adalah! Dia tak pernah susahkan sesiapa pun. Biasalah budak baru kerja, banyak benda kena belajar. Macam kita juga dulu. Lama-lama nanti, pandailah. Jangan risaulah, Zul. Adik kau tu pandai bawa diri. Sejak temuduga hari tu aku dah suka dengan cara dia. Budak-budak ofis pun semua senang dengan dia.”

Izzul melepas nafasnya. “Kau tolonglah tengok-tengokkan adik aku tu, Fiy.”

“Insya-ALLAH, aku akan tengok-tengokkan dia. Kau jangan risau, okey!”

Bahu Izzul digamit Tengku Hafiy. Seakan memateri janji buat sahabat kesayangannya. 



No comments: