MAK
MINAH ambil mangkuk di meja bar mini. Ini yang terkahir. Sejak tadi dia dah
berulang-alik berapa kali hidang sarapan. Dari dapur ke ruang makan. Hari ini
Aryan tak ada. Dapatlah buat kerja dengan santai.
“Eh, Sefhia.
Bangun dah?” sapa wanita itu. Keluar saja dari dapur, kelibat Sefhia tercegat
menunggu.
Sefhia angguk.
“Marilah sini,
duduk.” Mak Minah pelawa. Mangkuk berisi mee goreng tadi turut diletak atas
meja.
Sefhia bergerak
perlahan. Dua tongkat sebelum ini kembali di tangan. Gara-gara malam tadi punya
penangan. Sebuah kerusi ditarik. Dengan hati-hati duduknya dilabuhkan.
“Eh! Sekejap!”
Mak Minah dekati Sefhia. Wajah gadis itu dipegang. “Apa kena muka Sefhia
lebam-lebam ni? Rasa Mak Minah lebam hari tu semua dah baik. Dah hilang. Macam
mana boleh ada balik?”
Sefhia telan
liur. Apa patut dia jawab? Malam tadi baru lepas bertempur?
“Sefhia? Mak
Minah tanya ni?”
“Hmm? Err...,”
Sefhia buka mulut, cuba nak jawab. Tapi hujung bibirnya rasa nyilu. Cepat-cepat
tangannya pegang.
“Hmm... kan.
Sakit sangatlah tu! Sampai nak cakap pun tak dan!” Mak Minag geleng kepala.
“Habis ni boleh makan ke tak? Bukak mulut sikit pun macam dah seksa sangat!”
Gadis itu angguk
sahaja.
“Dah, tak apa.
Kejap lagi lepas makan kang sapu ubat. Kita tunggu Pak Majid kejap, ya. Sarapan
sama-sama,” ujar Mak Minah lagi lalu tuang teh panas untuk Sefhia.
“Nungguin Pak Majidnya aja? Aryan?”
Satu suara
tiba-tiba menerpa. Habis tersasar air yang dituang Mak Minah.
“Aryan?!” ucap
Mak Minah sebaik berpaling. “Astaghfirullahalazim! Macam mana kamu boleh ada
kat sini?”
“Ini rumah
Aryan, dong. Kalau nggak di sini, mau di mana lagi?”
“Iya! Mak Minah
tahu! Tapi kamu kata nak ke Abu Dhabi petang semalam? Macam mana pagi ni boleh
timbul tiba-tiba kat sini ni?!”
“Ya itu namanya
magiklah, Mak Minah.”
“Tak payah nak
magik-magik sangatlah, Ryan! Kalau iya betul pun magik, takkan boleh sampai
dari sana ke sini sekelip mata! Mak Minah kalau pergi pasar pun tak sempat nak beli apa-apa!”
Aryan tertawa.
Langkah lansung diatur ke arah meja. “Aryan bercanda doang aja sih, Mak Minah.
Usah serius banget.”
“Mahu tak serius.
Boleh mati terkejut Mak Minah macam ni, tahu!”
“Mak Minah lagi
marah sama Aryan?”
“Tak adalah
marah. Tapi terkejut, tahu! Terkejut! Ni... muka ni kenapa muka ni? Lebam sana
sini. Sama macam Sefhia. Hah, Aryan?”
“Nggak ada
apa-apa kok, Mak Minah.”
“Mustahil tak
ada apa! Semalam muka dua-dua elok aje. Hari ni masing-masing macam dah tak ada
rupa. Apasal? Kamu berdua bertumbuk, ya?”
“Isk, nggaklah!”
“Habis? Sampai lebam-lebam,
luka-luka ni?”
“Err...,”
Aryan mati kata. Tak tahu alasan apa patut dibagi pada
pembantunya. Pandang Sefhia minta jawapan, hmm... lansung tak angkat muka!
“Takkan berlanggar lagi kut?”
“Hah! Iya, iya!
Tadi malam kita berdua lagi ketabrakan nggak sengaja, Mak Minah.”
“Masa bila?”
“Waktu Aryan
pulang. Mau ke dapur, minum. Sefhia juga kebetulan haus sama. Lagi gelap nggak
perasan lansung... bum!”
“Sampai teruk
macam ni? Macam tak logik aje!”
“Ya kalau udah
mau jadi, apapun pasti bisa Mak Minah!” dalih Aryan elakkan diri. Kerusi
bertentangan Sefhia cepat-cepat diduduki.
“Cuba cakap kat
Mak Minah betul-betul. Aryan sebenarnya pergi ke tak semalam?”
“Ya seharusnya
begitu, deh. Tapi flightya saat-saat
akhir dibatalin. Kerna ada kejadian ribut pasir di
sana. Makanya, Aryan balikin kembali.”
“Oh, itu yang
tiba-tiba tercegat kat sini ni? Ingatkan hantu raya kamu yang balik tadi!”
“Ya nggaklah.
Masakan begitu, sih. Selisih!”
“Habis tu, tak jadi pergi outstationlah
ni?”
“Pergi ya tetap pergi. Cuman
ditangguh ke pagi hari ini.”
“Hmm… syukurlah kamu belum
pergi. Buatnya kamu dalam perjalanan ke sana ribut pasir tu tiba-tiba jadi, hah,
tak ke niaya?”
“Emangnya bersyukur banget Mak Minah nggak jadi pergi. Kalau nggak,
pasti sesuatu bakal terjadi tanpa kita sadari.”
Serentak, Aryan kerling gadis di depan. Bening biru itu turut
melempar satu renungan.
“Kalau macam tu,
tak apalah. Tiap yang berlaku tu mesti ada sebab kenapa ia nak jadi.
Wallahualam. Dah, Aryan. Sarapanlah.”
“Siap.”
“Eh! Makan pun
belum, dah siap apanya?”
“Minum aja.”
“Tak nak makan
ke? Mee goreng ada. Roti ada. Telur setengah masak pun ada, ha.”
“Nggak apa-apa.
Udah telat. Nanti lagi ketinggalan sama flightnya.”
Mak Minah tak
kata apa. Hanya mampu lihat Aryan habiskan saki-baki minuman yang ada sebelum
bangun dari kerusinya.
“Aryan pamitan
dulu ya, Mak Minah. Jagain rumah. Jangan lupa dikunci semua pintu sama tingkapnya.
Takut ada yang kabur lagi.”
“Hah? Kabur? Siapa
yang kabur?”
“Itu... si Leo itu cuba kabur dari rumah tadi malem.”
“Eh, biar betul Aryan ni! Mak Minah sendiri yang
masukkan Leo dalam sangkar dia lepas makan malam tadi. Siap kunci ketat-ketat
lagi. Mustahil Leo boleh terlepas lari!” tingkah Mak Minah. Memang dia yang
bertanggungjawab uruskan kucing parsi belaan Pak Aryawan dan Ibu Dian itu.
“Ya mungkin
kuncinya dibukain lagi, dong. Siapa tau? Mau kabur ini bisa punya idea yang macem-macem.
Mujur Aryan pulang. Kalau nggak, pasti udah lolos. Kerna itu Aryan harus pesan
sama Mak Minah supaya diperiksa kesemuanya sebelum masuk ke kamar. Takut....,”
ayat Aryan tergendala. Mata tenung tepat ke wajah Sefhia yang dah berubah rupa.
“... orang di dalam rumah ini pula yang coba-coba kabur.”
“Siapa pulak
yang nak kabur ni, Aryan? Isk! Aryan ni buat Mak Minah makin takutlah!”
“Siapa-siapapun
bisa, Mak Minah. Baik yang sihat, apalagi yang sedang sakit.”
Mata Aryan kian
cerun pandang Sefhia. Kalau gadis itu rasa pandangan ini satu amaran, baguslah!
“Aryan permisi dulu, Mak Minah. Ingat pesannya.
Assalamualaikum.”
Sejurus itu Aryan berlalu dari ruang makan. Mak Minah
semakin kebingungan. Dan Sefhia, nyata terpukul dengan sindiran yang diberikan.
**********
BUNYI
sudip dan kuali berlaga jelas kedengaran. Itu tandanya Mak Minah tengah
berperang dengan masakan. Penghuni banglo pun dah maklum. Pagi, tengah hari,
petang, malam. Itu rutin Mak Minah setiap hari di dapur. Luar dari itu, Mak
Minah akan sibuk dengan tugas lain ikut jadul yang Ibu Dian dah atur.
Untuk tengah hari ini, tak banyak yang dimasak. Hanya
dirinya, Pak Majid dan Sefhia di rumah. Jadi apa saja menu ringkas yang
terlintas, itu yang akan mereka jamah. Sefhia pun nampaknya macam jenis tak
kisah.
Sebut nama Sefhia, serta-merta Mak Minah teringat gadis
itu. Lepas sarapan tadi masuk bilik, sampai sekarang tak muncul-muncul.
Kadang-kadang dia hairan juga. Tak bosankah gadis itu
berkurung dalam bilik saja?
“Dari terperap
duduk dalam bilik tu, baik duduk sini temankan aku. Boleh jugak borak-borak.
Tak pun duduk kat taman luar sana, hah. Hirup udara segar. Mana tahu cepat
sembuh sakit tu. Hai… Sefhia, Sefhia.” Mak Minah ngomel sendiri.
Sambil masak,
Sefhia terus difikir. Ada baiknya dia pergi jenguk. Kut jadi sesuatu yang
buruk, dia juga nanti yang kena bebel teruk.
Cepat-cepat Mak
Minah sudahkan kerja. Gorengan ayam dalam kuali disenduk ke pinggan. Selesai
itu, dia pasang langkah untuk ke bilik gadis berkenaan.
“Allahuakhbar!
Kus semangat!”
Mak Minah urut
dada. Terkejut lihat sosok Sefhia dah tercegat berdiri di belakangnya.
“Sefhia! Bila
masa pulak kamu ada kat sini ni? Aduh… terkejut Mak Minah!”
Sefhia tak
jawab. Sekadar pandang wajah Mak minah yang berubah pucat.
“Kamu dengan
Aryan sama aje, tau! Suka terkejutkan Mak Minah macam ni. Memang nak bagi Mak
Minah mati kejung kena sakit jantung agaknya!”
Kali ini Sefhia
tak dapat tahan. Ayat Mak Minah sedikit melucukan. Hingga bibirnya terselit
secebis senyuman. Mak Minah yang tengah panas, terus bertukar mood.
“Ha… kan cantik
senyum macam tu. Manis aje. Tak adalah muka tu asyik serius manjang. Mak Minah
yang perempuan ni tengok pun terus sejuk, tau!”
Dan-dan itu Sefhia
tunduk. Malu.
Dia sendiri pun dah lupa perkataan senyum itu. Apalagi
nak berbuat begitu. Tadi itu pun secara spontan berlaku.
“Apa yang
hangat, apa yang sejuk ni? Dari luaq lagi dah hingaq.”
Sosok Pak Majid
tiba-tiba muncul dari pintu dapur. Lelaki itu menapak masuk sebelum melabuh
duduk tak jauh dari mereka.
“Tak ada apa,
Bang Majid. Ni hah…baru hari ni nampak si Sefhia ni senyum. Lawa! Selama ni dok
pandang muka serius dia tu aje. Saya yang perempuan ni tengok pun cair. Tu baru
senyum. Belum ketawa.”
“Orang kalau
memang dah cantik senyum sikit pun dah nampak cantik, Cik Minah oi! Lagu Cik Minah
jugaklah. Tapi satu ja masalahnya.”
“Apa yang
masalah?”
“Cengey! Lagi-lagi
dengan kami. Sesekali senyum lagu Sefhia tu kat kami, kan baguih!”
“Isk! Jangan nak
mengada-ngadalah!” tingkah Mak Minah. Wajahnya turut bertukar merah. “Err… Sefhia
dah lapar ke? Mak Minah belum siap masak lagi ni.”
“Tak apa. Belum
lapar.”
“Kalau macam tu,
Sefhia pergilah rehat dulu. Tak pun duduk kat taman depan tu ke. Ambil angin
luar sikit. Asyik terperap dalam bilik pun tak elok juga.”
“Betui kata Mak Minah
hang tu, Sefhia. Sesekali hang kena ambik angin kat luaq sat. Lagi-lagi yang
sakit macam hang ni. Baru sakit tu cepat sembuh!” tokok Pak Majid.
“Pergilah, nak.
Tak payah nak takut. Kat rumah ni pun bukannya ada siapa-siapa. Kita bertiga aje.
Dah siap masak nanti Mak Minah panggil, ya.”
Mak Minah terus
sambung kerjanya. Sedar dia dah kesuntukan masa. Selalu waktu macam ini dah
siap semua. Tapi hari ini dia terleka. Mentang-mentang majikannya tak ada.
Sefhia masih tak
berganjak. Mata pandang Pak Majid yang sedang teguk air melepas penat. Kemudian
beralih ke Mak Minah yang dah sambung masak.
Perlahan dia hampiri wanita itu.
“Boleh tolong?”
“Laa… kamu dok
tercegat kat sini lagi ke? Mak Minah ingat dah pergi. Eh, tak payah. Mak Minah
boleh buat seorang. Kang kalau tahu dek Aryan, masak Mak Minah kena syarahan!
Sefhia pergi aje rehat sana. Kaki pun belum baik betul tu.”
“Tak apa. Dia
tak ada.”
Sefhia capai
pisau. Kaki terus diatur ke meja bar mini. Bahan-bahan masak yang masih belum
berusik, dikerjakan.
Mak Minah
tercengang. Pandang Pak Majid, riak lelaki itu juga turut sama hairan. Namun
Sefhia... gadis itu hanya bersikap tenang.
Tiba-tiba saja ni. Apa yang tak kena?
Sudahnya, Mak Minah hanya mampu pandang. Dah ditegah,
tapi empunya badan sendiri yang relakan.
Hmm… biarlah. Asalkan gadis itu bahagia.
Sekurang-kurangnya ada juga dia teman buat kerja. Wanita itu sambung tugas
semula. Tanpa sedar, senyum gembira terlahir di sudut bibirnya.
No comments:
Post a Comment