Sunday, May 18, 2014

BAB 15 : BAYANGAN GURAUAN





P
ERKARANGAN Villa Haiyan sudah dipenuhi dengan para tetamu sewaktu mereka tiba di kediaman milik Tengku Haiyan itu. Izzul yang sedang mendukung anak perempuannya, Qisrina masuk mendahului Safiya yang juga sedang menggendong anak kecilnya, Alief Qhuarizmie yang berusia sepuluh bulan itu. Irish pula mengekori di belakang sambil memimpin tangan Qusyairi manakala sebelah lagi tangannya membawa sebuah beg kertas berisi dua buah hadiah. Satu daripadanya dan satu lagi daripada Izzul untuk diberikan kepada anak Tengku Hazleen yang turut menyambut hari ulangtahun kelahirannya di majlis malam ini.

            Dari kejauhan sudah terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang berbual mesra dengan seorang gadis. Lansung dia tidak menyedari kehadiran Izzul sekeluarga serta Irish kerana berdiri membelakangi mereka. Sebaik Izzul datang menghampiri, ditepuk bahu rakannya itu. Tengku Hafiy pantas menoleh.

            “Hey, Zul! Bila kau sampai? Tak perasan pun aku!”

       “Mana nak perasan. Dok sibuk bersembang dengan tunang dia sampai aku datang pun tak sedar!” Izzul menumbuk lembut dada Tengku Hafiy, menyebabkan lelaki itu tergelak besar.

         “Sorry, sorry! Betul aku tak perasan. Dah lama sampai ke?” soal Tengku Hafiy lalu berjabat tangan dengan Izzul.

           “Taklah. Baru je.”

           Izzul mengangkat tangannya pada Helena yang setia di sisi Tengku Hafiy. Gadis itu tersenyum sebelum dia bergerak menghampiri Safiya untuk bersalaman.

            “Hai, Fiya. Sihat?”

            “Sihat El, Alhamdulillah.”

         Dan kemudian pandangan Helena tertumpu pada gadis di sebelah Safiya. Rasanya dia tidak pernah bertemu dengan gadis itu. Lantas dia menoleh pada Tengku Hafiy.

            “Oh, lupa! Kenalkan ini Irish, adik Izzul. Irish, ni tunang Abang Fiy, Helena.”

            “Hai, Irish. Helena.”

           Helena meperkenalkan dirinya pada Irish. Tangannya disuakan untuk bersalaman dengan gadis manis di hadapannya itu. Senyuman yang mekar di bibir Irish membuatkan Helena berasa selesa walaupun ini baru kali pertama mereka bertemu. Tengku Hafiy kemudiannya mengajak mereka mengambil tempat duduk di salah satu meja yang terletak di bahagian tepi, tetapi di barisan hadapan sekali berhampiran dengan pentas kecil yang disediakan khas untuk majlis malam ini. Hadirin yang lain juga sudah mula duduk di meja masing-masing memandangkan majlis akan bermula sebentar lagi. Kelihatan Tengku Haiyan dan isterinya serta ahli keluarga yang lain turut mengambil tempat di meja utama betul-betul menghadap pentas, juga berhampiran dengan meja yang diduduki oleh mereka.

            Majlis pada malam itu diacarakan oleh seorang pemuda yang segak berbaju batik. Mungkin kenalan keluarga Tengku Haiyan barangkali, atau mungkin juga dari kalangan saudara mereka. Tirai majlis dibuka dengan bacaan doa oleh seorang ustaz. Sesudah itu, pengacara majlis menjemput Tengku Haiyan untuk naik ke atas pentas memberikan sedikit ucapan. Seluruh tetamu kelihatan begitu khusyuk mendengar ucapan beliau, termasuk Irish. Gadis itu memberikan sepenuh tumpuannya pada pentas di hadapan hingga tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya dari meja lain.

            Bagaikan menyedari dirinya sedang diperhatikan, perlahan Irish menoleh. Berderau darahnya apabila sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya. ‘Siapa dia ni? Rasanya tak pernah nampak sebelum ni. Tapi kenapa pandang aku sampai macam tu sekali?’ bisik Irish. Puas dia memikirkan siapakah gerangan lelaki tersebut. Manalah tahu mungkin dia pernah mengenalinya. Namun mindanya tidak berjaya untuk mengingati.

‘Hmm, biarlah.’ Akhirnya gadis itu hanya membiarkan sahaja.

        Selesai Tengku Haiyan berucap, semua hadirin bangun dan memberikan tepukan padanya. Majlis kemudian dilanjuti dengan acara memotong kek sempena ulangtahun kelahiran cucu bongsu Tengku Haiyan yang berusia dua tahun. Walaupun majlis disambut dalam keadaan yang sederhana, namun kemeriahannya tetap terasa.

            Sementelah di dapur, kedua-dua pembantu rumah Tengku Haiyan juga tidak menang tangan untuk menyediakan segala keperluan bagi membolehkan majlis tuan rumah berjalan lancar. Walaupun hidangan pada malam ini kebanyakannya disediakan oleh pihak katering, namun ada juga hidangan yang dimasak oleh mereka atas permintaan Tengku Dafina sendiri memandangkan tidak semua hidangan katering itu memenuhi selera orang ramai.

            “Dewi, tolong mak ambilkan pinggan besar kat almari sebelah meja makan tengah tu,” pinta Mak Ros pada Dewi. Sesaat dua, tiada sebarang reaksi. Mak Ros berpaling ke belakang. Namun tiada sesiapa di situ. “Ai! Hilang dah? Mana pergi budak bertuah ni? Bukan tadi dia duduk kat sini buat kerja ke?”

            Mak Ros melangkah keluar dari dapur untuk mencari Dewi. Sangkanya mungkin gadis itu pergi ke tandas sebentar. Lantas dia melangkah ke arah tandas di bahagian dapur. Namun apabila dia sampai, pintu kelihatan terbuka menandakan tiada sesiapa di dalamnya.

            “Mana pulak budak ni? Takkan tidur kat bilik kut? Sakit kepala?” duga Mak Ros. Walaupun mindanya tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan namun kakinya tetap juga dihayun ke bilik gadis itu. Keluar sahaja dari ruangan dapur, langkah Mak Ros tiba-tiba terhenti. Bibirnya diketap. Dengan perlahan dia melangkah menghampiri pintu di ruangan tengah villa.

            “Oi, Dewi!”

           Sergahan Mak Ros secara mengejut itu membuatkan Dewi benar-benar terkejut. Habis periuk dan sudip di tangan tercampak. Berdentang-dentung bunyinya sebaik ia jatuh ke lantai.

           “Mak! Ngapain shockkan Dewi sampai begini sekali? Aduh, lemah dong jantung Dewi! Bisa kena heart attack Dewi kaya gini!” tingkah gadis itu. Dadanya diusap-usap kerana masih terkejut dek sergahan Mak Ros sebentar tadi.

          “Heart attack, ya? Yang kau dok terintai-intai kat sini tu kenapa? Penat mak terpanggil-panggil kau kat dapur dari tadi. Rupanya kau dah kat sini, kan!”

            “Sshhh!” Dewi meletakkan jari telunjuknya di bibir.

            “Apa sshhh, sshhh?”

“Aduh, mak! Perlahan dikit suaranya. Nanti didengarin sama semua orang.”

           “Tau pun kau takut, kan? Kerja bukan main melambak kat dapur, kau pulak dok terintai-intai kat sini. Dah kenapa? Curi tulang, ya?”

           “Enggaklah, mak. Masakan Dewi dibilangin begitu. Ini... Dewi cuma suka lihat semua orang di luar itu. Cantik-cantik, ya. Cowoknya juga ganteng-ganteng. Aduh! Suka banget Dewi lihat sama mereka!”
            “Amboi! Seronoknya dia cuci mata, kan. Suka?”

           “Iya sukalah, mak! Kan bagus kalau Dewi juga bisa pakai begitu. Pasti lagi grand, kan!” ujar Dewi begitu teruja. Tersenyum-senyum dia melayani angan-angan sendiri.

         “Dah, jangan nak berangan!” serentak itu Mak Ros mencubit pipi gebu Dewi, membuatkan gadis itu mengaduh kesakitan. “Kau kalau dah berangan sampai esok pun tak ada sudahnya. Dah, jom masuk dapur! Kerja kau dah memanggil-manggil tu!”

            Pantas Mak Ros menarik tangan Dewi untuk ke dapur. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila ditahan oleh Dewi.

            “Bentar, mak. Sebentar!”

            “Laaa... apa lagi? Kang tak siap kerja tu, bising pulak Tengku nanti. Isshh! Cari pasal betullah budak bertuah ni! Hah, kenapa pulak kali ni?”

            “Sabar, mak. Jangan marah-marah dong!” Dewi cuba menenangkan Mak Ros yang sudah
 mula panas. Kemudian dia menjengah semula ke luar villa sambil memerhatikan sesuatu. “Tu...,”

            “Apa dia?” Mak Ros turut menyoroti arah yang ditunjukkan oleh Dewi. “Tak nampak apa-apa pun!”

            “Ishh! Mak ini! Manusia yang segede-gede itu pun enggak bisa dilihatin. Tu... itu....”

            “Mana?!”

            “Laaa... ya itulah! Anaknya Ibu Tengku yang baru pulang dari oversea itu!” ujar Dewi sambil jari telunjuknya diarahkan pada seorang lelaki yang sedang berbual bersama tetamu-tetamu di luar. Ditarik sedikit badan Mak Ros merapatinya agar dapat melihat gerangan yang dimaksudkan.

          “Yelah, yelah! Mak nampak ni. Ha, kenapa pulak dengan anak Tengku tu?” tanya Mak Ros. Dia tahu semenjak Dewi bekerja sebagai pembantu di villa ini, baru pertama kali gadis ini berjumpa dengan anak lelaki bongsu majikannya lantaran gadis itu bekerja di sini belum sampai setahun. Sedangkan lelaki itu sudah setahun tidak pernah pulang ke Malaysia.

“Anak Ibu Tengku itu ganteng banget ya, mak! Handsome! Grand! Man...,”

         “Oi! Tak habis-habis lagi? Dah, kau pergi buat kerja sekarang! Sebelum mak report kat Tengku baik kau pergi buat kerja sekarang!” Mak Ros sudah kembali membebel.

         “Ya, iya! Dewi pergi sekarang. Baru bilang sedikit udah mau marah.”

          Dengan muka yang sedikit mendung, Dewi kembali ke dapur untuk meyambung kerja-kerjanya semula. Namun rajuknya bukanlah seteruk mana. Hanya merajuk seorang anak pada ibunya sahaja. Sebentar lagi baiklah dia. Dia tahu walaupun Mak Ros kuat berleter, namun hati wanita itu sangat baik. Masakan tidak. Sepanjang dia bekerja di sini orang tua itulah tempat dia bermanja dan menumpang kasih sebagai ganti tempat ibunya yang berada jauh di seberang laut sana.

           “Dah, siapkan kerja cepat. Lepas tu kita boleh makan. Dah lapar, kan?” tanya Mak Ros setelah kedua mereka sudah kembali ke dapur.

“Iya, Pmak. Dewi siapin sekarang!”


MANA adik kau, Fiy?” Izzul bertanya pada rakannya. Sudah lama dia berada di sini namun batang hidung orang yang diraikan masih belum kelihatan.

        Spontan Tengku Hafiy menoleh ke arah meja utama yang berselang satu meja dari tempat mereka duduk. “Tadi ada dia duduk kat situ dengan family aku. Mana entah hilang.”

            “Adalah tu dia jumpa sesiapa kut,” duga Izzul.

         “Acik Irish... jom kita pergi tengok ikan kat kolam sana tu nak?” tiba-tiba Qusyairi bersuara mengajak Irish sambil jarinya ditunding ke arah kolam ikan yang terletak di taman mini. Memang itulah ‘destinasi’ wajib yang akan dia lawati setiap kali bertandang ke sini.

            “Boleh. Tapi kena tanya papa dulu.”

            “Boleh tak papa?” pinta Qusyairi pada Izzul. Serentak semua mata tertumpu padanya.

            “Hmm. Tapi hati-hati. Jangan terjun dalam kolam tu pulak, ya!”      

            “Yes, sir!” jerit Qusyairi sambil mengangkat tangannya. Sepantas kilat dia turun dari kerusi lalu menarik tangan Irish untuk turut bangun.

            “Acik Iyish... Qis nak ikut jugak!”

        Qisrina yang masih pelat sebutannya itu sudah mendepakan tangan minta dibawa bersama. Dalam tersenyum, Irish menuruti saja kemahuan si cilik itu. Didukungnya Qisrina manakala tangan kanannya memimpin Qusyairi lalu dibawanya menuju ke kolam ikan yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari tempat duduk mereka.

         “Hai! Nasib baik yang sorang ni kecik lagi. Kalau tak, dengan dia-dia sekali Irish kena angkut!” ngomel Izzul. Kepala anaknya yang tidur dipangkuan Safiya diusapinya.

         “Itu baru kau, Zul. Esok-esok kalau aku dah ada anak, tak tahulah macam mana gayanya!”

         “Ikut perangai kaulah! Nak ikut siapa lagi. Betul tak, El? Ceh! Dah terfikir pasal anak nampak!” Izzul mengusik rakannya itu hingga menyebabkan wajah Helena merona merah. Tersipu malu gadis itu dibuatnya.

         Perbualan mereka semakin rancak. Apa yang berlaku di sekeliling juga tidak begitu diambil pusing. Dalam pada mereka berborak-borak, tiba-tiba muncul Tengku Dafina bersama anak-anaknya yang lain. Kesempatan ini diambil oleh mereka untuk bersalaman sambil bertanya khabar masing-masing.

            “Mama.”

     Baru sahaja Tengku Dafina ingin melabuhkan duduk di kerusi, kedengaran satu suara memanggilnya. Segera wanita itu berpaling.

            “Mama panggil Harrys?”

            “Ha, Harrys. Mari! Jumpa dengan anak angkat mama, Izzul. Ingat lagi tak kawan abang kamu yang selalu datang sini dulu?” soal Tengku Dafina pada anak lelakinya, Tengku Harrys yang baru kembali itu.

          “Of course. The only one his best friend.” Tengku Harrys terus mengatur langkah menghampiri Izzul. Dijabat tangan rakan abangnya itu sebelum mereka berpelukan setelah lama tidak bertemu.

         “Ingat lagi kau, ya?” Tengku Hafiy turut bangun seraya menumbuk lembut dada Tengku Harrys, membuatkan lelaki itu tersenyum kecil.

            “Sihat, bro?” Tengku Harrys bertanya khabar pada Izzul. Dia masih ingat lagi dulu sewaktu abangnya masih menuntut di UPM, Izzul inilah yang selalu dibawanya ke villa. Dan adakalanya bermalam di sini. Hinggalah Tengku Hafiy melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak lama selepas itu dia pula turut sama menyertai jejak langkah abangnya. Sejak itu, mereka tidak pernah bertemu lagi.

            “Sihat, Alhamdulillah. How about you?” soal Izzul kembali. Sedikit janggal dia untuk berbual dengan Tengku Harrys. Dilihat adik rakannya itu masih seperti dahulu. Cuma penampilannya sahaja agak berbeza. Lebih kacak dan segak walaupun hanya dengan berseluar slack serta kemeja hitam yang dilipat lengannya hingga ke paras siku.

            “Macam nilah. Sama macam dulu.”

            Tengku Dafina hanya tersenyum melihat gelagat anak-anak muda itu. Namun dalam sibuk dia memerhatikan mereka, baru dia merasakan ada satu kekurangan yang tidak disedarinya semenjak tadi.

           “Err... mana anak kamu yang berdua tu, Izzul? Tak nampak dari tadi. Irish pun Mak Engku tak nampak. Mana dia? Tak datang ke?” Tengku Dafina bertanyakan pada Izzul, dan dalam masa yang sama turut menyedarkan yang lain. Belum pun sempat Izzul ingin membuka mulut, terdengar suara kanak-kanak memanggil Tengku Dafina dari kejauhan.

              “Nek Engku!!!”

         Kelihatan Qusyairi sudah berlari-lari dari arah kolam meluru untuk mendapatkan Tengku Dafina sebelum memeluk wanita itu. Kelakuan yang sama turut diulang oleh Qisrina, membuatkan kedua kanak-kanak itu berada dalam pelukan Tengku Dafina serentak.

            “Cucu Nek Engku berdua ni ke mana je?”

            “Pergi tengok ikan kat kolam tu dengan Acik Irish.” Qusyairi menjawab pertanyaan itu sambil muncungnya disuakan ke arah Irish di belakang. Irish yang masih lagi tercegat di tempatnya sekadar menguntum senyuman. Dapat dirasakan seluruh mata tertumpu padanya kini. Dengan perlahan, kakinya diatur mendapatkan Tengku Dafina.

            “Mak Engku.”

         Irish menyalami tangan wanita itu lalu dikucupnya lembut. Dan serentak itu Tengku Dafina meraih tubuhnya ke dalam pelukan sebelum dahinya dicium wanita itu seperti selalu.

“Mak Engku ingat Irish tak datang tadi.”

            “Ada. Irish ada.”

          “Hmm... mama ni risau benar Kak Irish tak datang, kan!” Tengku Hazreen yang muncul dari belakang turut menyalami Irish bersama-sama kakaknya, Tengku Hazleen.

          “Ha! Irish belum pernah jumpa dengan Harrys lagi, kan? Tu... kenalkan adik akak yang baru balik tu. Tengku Harrys.”

Tengku Hazleen mengarahkan telunjuknya ke arah lelaki yang dimaksudkan. Irish menoleh. Seketika, dua pasang mata mereka bertemu. Berderau sekali lagi darah Irish tatkala anak mata lelaki itu merenung tepat ke arahnya. ‘Bukan lelaki ni ke yang tenung aku tadi?’ desisnya. Dan sekarang ini pun lelaki itu masih tetap merenungnya tanpa berkalih walau seinci. Tidak tahan dengan panahan mata itu, Irish hanya menghadiahkan senyuman sekilas sebelum dialihkan pandangannya ke tempat lain.

“Eh, jomlah duduk! Boleh borak-borak panjang. Dah lama tak berkumpul ramai-ramai macam ni!” Tengku Dafina bersuara memecah kesunyian. Lalu semua mereka yang berada di situ duduk mengelilingi meja berkenaan, kecuali Tengku Haiyan yang sibuk melayan tetamu yang kebanyakannya terdiri daripada kenalannya. Bermacam-macam cerita yang mereka bual dan kongsikan. Sesekali gelak tawa mengiringi perbualan, membuatkan suasana semakin riuh.

Hanya Tengku Harrys yang lansung tidak terusik dengan apa yang disembangkan di dalam kelompok itu. Matanya asyik memerhatikan Irish yang sedang memangku seorang anak perempuan kecil dalam lingkungan usia empat tahun yang sudah terlena dalam pegangan. Menurut mamanya tadi, itu adalah anak Izzul. Sesekali kelihatan gadis itu menepuk lembut kanak-kanak tersebut apabila lenanya terganggu. 

“Hoi! Kau okay tak?” tegur Tengku Hafiy dengan perlahan seraya menyiku adiknya yang berada di sebelah. Bukan dia tidak perasan. Sedari tadi dilihat mata Tengku Harrys tidak lepas-lepas dari memandang Irish.

Sedikit tersentak dengan sergahan itu, cepat-cepat Tengku Harrys melarikan pandangannya dari terus menatap gadis yang duduk tidak jauh di hadapan.

Okay.”

Selamba sahaja suara lelaki itu menjawab, meninggalkan satu rasa yang sudah lama terbuku di hati. 


BAB 14 : BAYANGAN GURAUAN




               
“Z
UL! Dah lama ke sampai?” Tengku Hafiy menepuk lembut bahu rakannya yang sedang duduk menunggu. Petang itu dia mengajak Izzul berjumpa di sebuah restoran western kegemaran mereka. Dulu sewaktu belajar dan sebelum Izzul berkahwin, tempat inilah yang kerap dikunjungi mereka kerana begitu menyukai menu-menu yang disajikan.

         “Adalah dalam sepuluh minit macam tu,” jawab Izzul sambil melihat jam di tangan. Pada Safiya sudah dimaklumkan tentang kelewatan mereka pulang ke rumah orang tuanya hari ini.

        “Oh, ya ke? Sorrylah lambat. Jalan jammed. Biasalah, malam ni malam minggu. Dah order belum?” soal Tengku Hafiy sambil menanggalkan kacamata hitamnya.

            “Dah. Kau punya pun aku dah orderkan sekali. Our favourite foods here!”

Yeah! That’s why you were my best friend, bro!” Tengku Hafiy menyuakan buku limanya sebelum ia bertemu dengan buku lima Izzul.

            “Apahal kau nak jumpa aku ni, bro? Tiba-tiba je.” Izzul memulakan bicara mereka.

          “Saja. Lagipun dah lama kita tak lepak-lepak minum macam ni. Yelah, orang tu dah kahwin kan. Anak dah tiga pun!”

         “Ha, tulah! Aku suruh kahwin cepat-cepat, tak nak. Nak ke mana-mana ada teman. Hujung minggu pun ada orang nak dipandang, dilayan. Tak adalah sunyi macam ni. Tengok... aku jugak yang kena layan sunyi kau tu, kan!”

            “Bukan tak nak, bro. Cuma masa belum sampai lagi. Tapi since kau dah cakap macam ni, aku rasa dah sampai masanya kut.”

            “Hah! Bila?”

            “Tengoklah. Kalau tak ada aral melintang dalam tahun ni kut. Insyaallah.”

         “Serius?? Alhamdulillah. Cepat dari sangkaan aku!” ucap Izzul yang begitu gembira mendengar perkhabaran dari Tengku Hafiy itu. Maklumlah, siapa yang tidak gembira bila rakan baik akan berkahwin dan mempunyai teman hidup untuk menjaganya sehingga ke hari tua nanti. Waktu dia menyampaikan hasrat ini dulu, Tengku Hafiylah orang yang paling gembira sebaik mengetahui. Tapi sayang, rakannya itu tiada di sini sewaktu dia melangsungkan hari bahagianya lantaran peperiksaan tahun akhir yang sedang dihadapi di England ketika itu. “Baguslah kalau kau dah terfikir ke arah tu. Kau pun dah lama ikat si Helena tu. By the way, aku nak tahu jugak. Apa yang buat kau tiba-tiba terbuka hati fikir pasal kahwin ni? Selalunya bila aku tanya ada je
 alasan kau bagi, kan.”

              “Dah sampai seru kut! Lagipun, adik aku yang sorang tu dah balik.”

          “Adik kau dah balik? Bila dia balik sini?” soal Izzul. Namun tidak sempat dijawab oleh Tengku Hafiy dek kedatangan pelayan restoran yang membawa hidangan mereka. Selepas pelayan itu beredar pergi, barulah Tengku Hafiy berpeluang untuk menjawab.

            “Hmm, dia dah balik. Balik terus. Dah seminggu dia kat sini. Cuma dia minta nak rest dulu sebelum masuk kerja. Nak biasakan diri dengan keadaan kat sini katanya. Dua minggu lagi mungkin masuklah office tu. So, since dia dah ada kat sini legalah sikit  aku bila dah ada orang nak tolong uruskan syarikat tu. Tak adalah beban terpikul kat bahu aku sorang. Dan, fokus aku pun dah boleh lari sikit dari syarikat. Tapi yang sebetulnya memang niat aku nak tunggu adik aku tu balik pun. Then baru aku nak fikir pasal kahwin ni.”

Izzul tergangguk-angguk mendengarkan cerita Tengku Hafiy. Dalam pada itu, hidangan fish and chip serta orange juice di depan mata turut dijamah oleh mereka.

            “Eh! Sebelum lupa. Aku nak jumpa kau ni pun sebab nak sampaikan pesan mama aku.”

            “Pesan apa?”

          “Hujung minggu depan parents aku buat makan-makan sikit. Nak sambut adik aku yang dah balik tu. Tak adalah besar-besaran. Untuk saudara-mara dan kenalan terdekat je. Sambil tu, sambut sekali hari jadi anak buah aku yang kecik tu,” jelas Tengku Hafiy merujuk pada anak kakaknya, Tengku Hazleen.

            “Insyaallah. Kalau tak ada apa-apa sampailah aku nanti.”

            “Ha, lagi satu. Yang ni pun mama aku asyik pesan. Jangan lupa bawa Irish sekali. Takut betul dia kalau aku lupa sampaikan!”

            Izzul mengangguk-anggukkan kepalanya sekali lagi. “Insyaallah.”

            “Jangan cakap je, Zul. Make sure kau datang. Kalau tak, mati aku nanti!” 

            Izzul sudah tergelak kecil. “Ya. Aku datang!”

            Mereka kembali menikmati makanan tanpa bicara. Namun hanya seketika bila Tengku Hafiy kembali bersuara.

             “Zul, boleh aku tanya sikit?”

            “Tanya jelah. Sejak bila pulak kau pandai minta permission nak tanya aku ni?”

            “Sebab benda yang aku nak tanya ni tentang adik kau.”

            Serentak itu Izzul memandang tepat ke wajah rakannya. “Kenapa dengan Irish? Dia buat hal kat office ke?”

            “Eh, tak adalah! Bukan macam tu.”

            “Habis tu, kenapa?”

         Tengku Hafiy menarik nafas sebelum memulakan ayat. “Irish tu tak ada teman ke? Err... maksud aku teman lelaki. Sepanjang kerja kat situ aku tak pernah nampak lansung dia keluar dengan mana-mana lelaki. Selalunya dia cuma keluar dengan budak-budak office perempuan. Itu yang aku perhatikanlah. Yelah, adik kau tu kan cantik. Mustahillah tak ada lelaki yang berkenan. Aku bukan apa. Kan kau suruh aku tengok-tengokkan Irish. So, aku nak jugaklah tahu serba sedikit tentang diri dia. Manalah tahu kalau-kalau ada certain orang yang tak boleh dekat dengan dia ke. Kalau apa-apa jadi, senanglah sikit aku nak get ready.”

Penuh berhati-hati tutur kata yang diucapkan Tengku Hafiy. Izzul yang mendengar hanya terdiam, memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan. Untuk menceritakan keadaan sebenar, mustahil dia akan berbuat demikian. Inilah perkara yang paling tidak suka untuk dijawab. Kalaulah diberi pilihan, dia lebih memilih untuk berdiam daripada menjawab soalan berkenaan adik perempuannya itu. Entah mengapa setiap kali hal berkaitan Irish disebut atau dibangkitkan, hatinya pasti akan terusik.

Melihat Izzul hanya membisu, Tengku Hafiy dipagut rasa bersalah. “Hey Zul! Kau okay ke? Atau aku salah cakap? Kalau kau tak nak jawab tak apa. Aku tak paksa pun.”

“Tak adalah. Irish tu memang macam tu dari dulu. Susah sikit dengan lelaki. Dengan kau pun dia berani sebab kau kawan baik aku. Tapi tentang teman lelaki tu, aku tak pasti. Kalau ada pun memang dia takkan bagitahu. Nak cakap adik aku tu ada certain orang yang tak boleh dekat dengan dia, tak adalah jugak. Cuma kalau kau nampak dia dengan sesiapa yang mencurigakan, kau get readylah awal-awal. Aku pun bukan ada dengan dia setiap masa. Jadi aku bagi sepenuh kepercayaan pada kau untuk jaga dia bila aku tak ada. Boleh kau janji?” pinta Izzul. Buku limanya diangkat lalu disuakan pada Tengku Hafiy. Lelaki itu tersenyum lalu menyambutnya. 

As you wish. Kau jangan risaulah pasal tu, Zul. Tahulah aku nak jaga Irish nanti.”  



“IRISH buat apa sorang-sorang kat luar?” Izzul menegur adiknya yang kelihatan duduk termenung di atas buaian di sudut halaman rumah seorang diri. Semua ahli keluarga mereka sedang asyik melayan rancangan TV di dalam rumah. Hanya kelibat Irish seorang yang tidak
 kelihatan. Rupa-rupanya di sini adiknya itu membawa diri.

         “Eh, along. Tak ada apalah. Saja ambil angin kat luar,” sapaan Izzul mengejutkan Irish dari lamunan. Sengaja dia ingin mengambil angin di luar malam ini sambil menenangkan fikiran.

            “Boleh along join?” Izzul meminta izin.

            “Duduk jelah, long.”

            Irish menepuk-nepuk ruang di sebelah, sebagai isyarat menyuruh alongnya duduk di situ.

           “Mak Engku jemput kita datang rumah Sabtu depan,” beritahu Izzul sebaik melabuhkan duduk di atas buaian.

           “Ada apa?”

           “Anak lelakinya yang duduk luar negara tu dah balik. Jadi dia buat jamuan sikit. Sekali sambut hari jadi cucunya.”

           “Insyaallah. Kalau along nak bawa, Irish ikut je.”

         Izzul menganggukkan kepalanya. Setelah itu, keadaan menjadi senyap seketika. Masing-masing mencari idea untuk menyambung perbualan.

            “Irish fikir apa? Dari tadi along tengok termenung panjang.”

         “Eh, mana ada termenung. Along ni pandai jelah. Saja duduk sini tenang-tenangkan fikiran. Seminggu kepala dok asyik fikir pasal kerja je.”

            “Kerja kat pejabat okay?”

         “Okay. Semuanya okay. Alhamdulillah,” balas gadis itu. Sejenak dia teringatkan kerjanya di pejabat. Masuk setahun bekerja di Haiyan Holdings, dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di situ. Memang agak sibuk. Lebih-lebih lagi menjelang pertengahan dan akhir tahun kerana dia perlu membantu pegawai-pegawainya untuk menyiapkan laporan kewangan yang akan dihantar dan disemak oleh orang atasan sebelum diserahkan kepada ahli lembaga pengarah syarikat.

            “Along nak tanya sikit, boleh?” pinta Izzul.

“Boleh. Tanyalah. Apa dia?”

            “Irish... Irish...,”

       Irish menoleh ke sisi, hairan melihat alongnya seperti teragak-agak ingin membuka mulut. “Kenapa ni, long? Tanya jelah apa along nak tanya.”

Izzul menghela nafasnya, cuba menyusun ayat dengan penuh berhati-hati. Bimbang jika tersilap kata akan membuatkan adiknya terasa. “Irish tak terbuka hati nak bercinta lagi?”

            Sekali lagi Irish mengerling sekilas ke sisinya. Kemudian dia menguntum senyum.

            “Tak.”

       Hanya itu jawapan yang keluar dari mulut Irish, membuatkan Izzul serta-merta menoleh memandang adiknya. Bagai tidak percaya gadis itu hanya boleh tersenyum mendengarkan soalan tersebut. Jangkanya, Irish akan memarahinya. Paling tidak pun, adiknya itu akan angkat kaki meninggalkannya seorang diri di sini. Namun apa yang berlaku sekarang jelas sebaliknya.

            “Irish tak marah ke along tanya macam ni?”

“Tak. Nak marah buat apa. Along bukan buat salah apa pun.”

            “Betul, Irish tak teringin nak bercinta lagi?”

            “Tak. Irish lebih suka macam ni.”

            “Tak terfikir untuk cuba buka hati tu pada lelaki lain?”

            Pantas Irish menggeleng kepalanya yang hanya ditundukkan sedari tadi. “Tak.”

            “Sampai bila?”

            “Entah.”

            “Tak salah kalau mencuba. Beri peluang pada diri Irish, pada lelaki lain.”

            “Irish tak layak untuk bercinta lagi, long.” Rintih Irish. Suaranya sudah tersekat-sekat.  
    
“Jangan menghukum diri sendiri. Kita manusia tak layak untuk menghukum. Yang layak menghukum hanya Allah seorang saja. Setiap orang berhak untuk bahagia. Termasuk adik along ni,” bicara Izzul lembut, lalu tangan kirinya memaut mesra bahu adiknya itu.

            “Dengan siapa?”

            “Dengan lelaki yang lebih baik, yang boleh menerima Irish seadanya.”

            “Wujud lagi ke lelaki macam tu kat dunia ni?”

“Ada. Pasti ada!” bicara Izzul, seakan memujuk.

            Irish menghela nafas yang memberat dada. “Entahlah, long. Irish takut nak fikirkan tentang tu lagi. Biarlah masa yang tentukan. Kalau pun suatu hari nanti pintu hati ni terbuka balik untuk terima lelaki, biarlah semua tu dengan izin Dia. Irish redha,” ucap Irish perlahan. Air mata yang sudah berada di tubir sedaya upaya ditahan agar tidak keluar. Dia tidak ingin menangis lagi.

           Mendengarkan rintihan hati adiknya itu, Izzul mengeratkan lagi pelukan. Kepala Irish dikucup, bagai menenangkan jiwa yang sedang kesedihan itu. Matanya juga dipejam, cuba menahan sebak di dada. Dia pasti Irish juga berperasaan berat sama sepertinya saat ini.

            “Ingat. Walau apapun yang terjadi, walau beribu orang pun yang datang dan pergi tinggalkan Irish, along tak akan pernah sesekali tinggalkan adik along ni. Itu janji along!”

            Dan air mata yang sedari tadi ditahan, merembes juga akhirnya ke bumi. Angin malam yang bertiup lembut dan nyaman, bulan bintang yang indah bersinar di awanan, pungguk yang terbang hinggap di dahanan, turut menyaksikan dua beradik itu berdakapan melayani emosi yang hanya mereka berdua sahaja yang mengerti.