Sunday, May 18, 2014

BAB 12 : BAYANGAN GURAUAN





“H
AFIY, papa kamu mana?” Tengku Dafina yang muncul dari dapur bertanyakan tentang keberadaan suami pada anak sulungnya. Mereka sekeluarga baru sahaja selesai makan malam. Selepas itu dia ke dapur untuk membancuh minuman panas bersama anak gadisnya manakala Tengku Haiyan dan Tengku Hafiy berlalu ke ruang istirehat.         

“Ada kat luar tu, ma. Pak Ngah telefon tadi,” balas Tengku Hafiy sambil menoleh sekilas pada Tengku Dafina yang sudah melabuhkan duduk di sebelah. Tumpuannya kemudian diarahkan semula pada perlawanan bola sepak pasukan kegemarannya, Manchester United bertemu dengan pasukan Chealsea yang diikuti sejak tadi.

Tengku Dafina memanjangkan leher melihat ke arah luar, mencari-cari kelibat suaminya. Dari kejauhan dia nampak lelaki itu sedang bercakap di telefon dengan seseorang. Beberapa minit berlalu, Tengku Haiyan masuk semula ke dalam. Langkahnya diatur menuju ke ruangan istirehat menyertai anak dan isterinya di situ.

“Pak Ngah kirim salam semua,” beritahu Tengku Haiyan. Salam daripada abangnya, Tengku Arham selamat disampaikan. Ketika itu juga Tengku Hazreen muncul dari dapur sambil menatang dulang berisi minuman panas bersama sedikit buah-buahan.

“Ada apa Abang Ngah telefon, bang?” Tengku Dafina menyoal suaminya.

“Tak ada apa. Saja tanya khabar. Dia minta maaf sebab tak dapat datang majlis kita minggu lepas. Dia dengan Kak Ngah ada urusan kat Amerika. Sambil tu pergi jenguk sekali anak mereka kat New York tu.”

Tengku Dafina mengangguk perlahan. Tengku Hafiy dan Tengku Hazreen pula hanya mendiamkan diri sambil mata tidak lepas dari perlawanan yang sedang berlansung di layar televisyen LED bersaiz enam puluh inci itu. Suasana menjadi sepi seketika.

“Err... Hafiy. Boleh mama tanya sikit?” Tengku Dafina kembali bersuara.

“Tanya apa, mama?”

“Pasal Irish.”

Serentak itu Tengku Hafiy menoleh. “Irish? Kenapa dengan Irish?”

“Hafiy selalu ke jumpa Irish kat pejabat?”

Soalan itu membuatkan Tengku Hafiy mengarahkan semula tumpuan pada perlawanan di hadapan. “Kalau dah pejabat satu level memang hari-harilah jumpa, ma”

“Sepanjang dia bekerja kat syarikat, Hafiy tengok Irish tu macam mana?”

            “She’s okay. Cuma agak pendiam sikit. Susah nak bercakap atau berbual dengan orang
 yang dia tak biasa ataupun baru kenal. Bercakap bila dia rasa perlu je.”      

            “Hmm. Kerja dia kat syarikat macam mana?” Tengku Haiyan mencelah.

        “Kerja dia okay. Papa tak payahlah risau. Walaupun mulut tak banyak cakap tapi kerja dia memuaskan. Cepat catch up, rajin belajar, rajin bertanya. Baguslah macam tu. Kurangkan bercakap, lebihkan kerja.”
          Tengku Haiyan menganggukkan kepala tanda berpuas hati dengan jawapan yang didengarinya. Sebagai pengerusi syarikat, serba sedikit kenalah juga dia mengambil tahu tentang pekerja-perkerjanya. Terutama yang masih baru seperti Irish.

          “Habis selalu bersendirilah Irish kat pejabat tu, ya? Kurang bergaul dengan yang lain-lain?” duga Tengku Dafina. 

           “Ishh, tak adalah mama! Dengan certain orang je dia kurang bercakap. Tapi dengan orang yang dah biasa, naklah dia bergaul. Hafiy tengok budak-budak kat office tu pun semua sukakan dia. Termasuklah makcik-makcik cleaner tu. Siapa yang pandai pancing, dapatlah berbual dengan dia.”

            “Dengan kamu, nak dia bercakap?”

         “Dengan Hafiy memang taklah! Segan kut dengan kawan abangnya ni. Eh! Yang mama ni asyik tanya pasal Irish ni, kenapa? Dah berkenan ke? Untuk siapa? Untuk Hafiy?”

            “Ishh, budak ni! Ke situ pulak! Tak ada apa-apalah. Saja je tanya. Tak sangka pulak selama ni Izzul ada adik perempuan macam tu. Baik nampaknya. Lemah lembut, sopan santun, hormat orang. Orangnya pun cantik. Sejuk mata mama tengok dia. Pandai Izzul sorok adik dia selama ni, ya.”

Seraya itu kedengaran suara Tengku Hazreen berdehem.

“Ha! Yang kamu ni dah kenapa, Reen? Sakit tekak ke?” tingkah Tengku Dafina seraya menghadiahkan satu jelingan pada anak bongsunya itu, membuatkan ketawa yang cuba ditahan oleh Tengku Hazreen sedari tadi terburai juga akhirnya.

            “Alaa... mama. Kalau mama dah berkenan sangat, apa tunggu lagi. Mama kan ada sorang lagi anak bujang. Tak payah risau-risaulah!”

            “Siapa? Abang kamu lagi sorang tu?”

       “Yelah, ma. Siapa lagi? Nak bagi kat yang ni, dah berpunya dah. Sorrylah ya, Mr. Hafiy. Melepas peluang!”

            Spontan tangan Tengku Hafiy mencapai sebiji bantal di sebelahnya lalu dilemparkan
 pada Tengku Hazreen yang berbaring di sofa. Namun adiknya itu lebih pantas menangkap. Sudahnya, dia hanya ditertawakan oleh gadis itu.

            “Kuat menyakat betul! Tak padan dengan kecik!”

“Ikut perangai siapa? Perangai abang dia jugak, kan? Tapi betullah. Reen pun suka jugak dengan Kak Irish tu. Tak banyak cakap. Masa mula-mula jumpa dia malam tu, dah rasa something special dengan akak ni. Kak Leen pun cakap benda yang sama.”

“Kenapa pulak?” tanya Tengku Hafiy hairan.

“Yelah. Kita yang banyak bercakap ni, kalau berjumpa dengan orang tak banyak cakap, kan rasa tercabar. Rasa macam... nak jugak cakap dengan dia, nak jugak borak dengan dia. Macam-macam cara nak grab attention dia. Sampailah dia dah buka mulut, nak bercakap, nak berbual dengan kita. Ha... masa tulah rasa puas!”

Dalam hati Tengku Hafiy mengiakan kata-kata adiknya. Terkadang dia ingin juga berbual-bual dan lebih mengenali Irish. Namun gadis itu terlalu pendiam. Hanya bersuara bila disoal. Itupun boleh dibilang dengan jari. Bak kata Izzul, sepuluh patah ditanya, setengah patah sahaja yang dijawab. Memang satu cabaran juga baginya.

          “Irish tinggal dengan Izzul ke, Fiy?”

          “Tak adalah, ma. Izzul cakap Irish tinggal dengan parents diorang. Kalau balik kerja lewat atau ada hal penting je Irish stay rumah Izzul.”

            “Hmm. Ada masa nanti Hafiy ajaklah Izzul dengan adiknya ke sini lagi. Bolehlah kita borak-borak panjang. Izzul pun lama dah tak bermalam kat sini, kan.”

            “Insyaallah, mama. Nanti-nanti Hafiy sampaikan pada Izzul.”

        Jawapan dari anak lelakinya itu membuatkan Tengku Dafina tersenyum lega. Memang dia teringin sekali mengenali adik Izzul itu dengan lebih dekat. Sejak pertama kali dia terpandangkan Irish pada malam majlis ulangtahun perkahwinannya minggu lalu, hatinya sudah jatuh sayang. Harapannya, moga akan ada pertemuan-pertemuan yang seterusnya selepas ini bersama gadis manis itu.      
         

No comments: