Tuesday, October 28, 2014

BAB 25 : BAYANGAN GURAUAN





L
ANGKAH kakinya dihayun menuju ke kafe hotel yang terletak di tingkat bawah. Masuk sahaja ke dalam kafe tersebut, Irish mula mencari-cari kelibat seseorang. Namun apa yang dicarinya tidak ditemui. ‘Hmm, mana dia ni?’ detik hatinya. Baru dia berkira-kira ingin melangkah pergi, matanya tertancap pada sesusuk tubuh di satu sudut yang agak tersorok di dalam kafe itu. Irish terkaku. Entah mengapa kakinya terasa berat untuk melangkah ke meja tersebut. Mengingatkan apa yang berlaku malam tadi membuatkan dirinya terasa malu untuk berdepan dengan lelaki itu. Sangkanya usikan Tengku Harrys habis setakat mereka pulang dari makan malam. Rupa-rupanya ia berlarutan sehingga dia ingin masuk tidur apabila lelaki itu tiba-tiba mengetuk pintu bilik hotelnya.

Tuk! Tuk! Tuk!

Irish sedikit kaget mendengar ketukan di muka pintu lewat malam begini. Seingatnya dia tidak ada menghubungi pekerja hotel untuk memesan apa-apa. Serta-merta dirinya diselubungi kerisauan. Niat hati ingin membiarkan sahaja. Namun ketukan itu tetap berterusan untuk beberapa ketika. Perlahan Irish menghampiri pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Sebaik terpandangkan wajah itu, pantas dia berlari ke bilik dan mencapai sehelai tudung yang terletak di birai katil sebelum disarungkan ke kepalanya. Irish menghampiri pintu semula. Sebaik membukanya kelihatan Tengku Harrys sudah bersandar sambil berpeluk tubuh di dinding luar.

Is everything okay?” soalan pertama yang keluar dari mulut lelaki itu.

“Ya.”

“Kenapa lambat buka pintu?”

“Err... Saya ingatkan siapa tadi. Jadi saya biarkan.”

“Biarkan?” Tengku Harrys mengulangi ayat itu dengan kening yang sedikit terangkat. Seketika dia merenung Irish dengan satu pandangan. “Dah nak tidur ke?”

“Hmm.”

“Betul ni berani tidur sorang-sorang?”

“Kalau tak berani pun tak ada siapa yang boleh teman,” balas Irish sambil tertunduk.

“Ada.”

Spontan Irish mendongak. “Siapa?”

“Siapa yang paling dekatlah.”

Irish terus-terusan memandang Tengku Harrys. Mencari makna di sebalik kata-kata lelaki itu. Lama dia berfikir hinggalah dia terlihat senyuman di hujung bibir Tengku Harrys.

‘Dia ni ada lagi ke yang tak puas hati dengan aku? Tadi cakap dah maafkan aku semua. Hmmh!’ gumam gadis itu dalam hati.

“Saya cuma nak bagitahu esok pagi turun ke cafe bawah pukul 8.30. Kita breakfast dulu sebelum pergi office.”

Irish membalasnya dengan sebuah anggukkan. ‘Datang ke bilik semata-mata nak cakap tu je ke? Mesej pun boleh kut.’

“Lepas ni jangan biarkan saya ketuk pintu lama-lama. I’ll come here anytime to inform you everything since I don’t have your phone number,” ujar lelaki itu sambil menunjukkan telefonnya di hadapan Irish dan kemudian terus berlalu ke bilik sebelah.

Irish terkedu. Membulat matanya dengan kata-kata Tengku Harrys. Seolah-olah lelaki itu dapat mendengar apa yang dibicarakannya di dalam hati.

‘Betul jugak. Macam mana nak mesej kalau nombor telefon aku pun dia tak ada. Kan dah kena kau, Irish!’

“Nak berdiri je ke kat sini?”

“Hmm?”

Irish sedikit kalut dengan teguran itu. Seraya dia berpaling. Entah bila Tengku Harrys sudah berdiri terpacak di belakangnya. Seingat dia tadi lelaki ini berada di mejanya sedang minum. Bagaimana pula dia boleh berada di sini? Irish tidak berpuas hati. Ditoleh kembali meja yang didukuki Tengku Harrys. Ternyata tempat itu memang sudah kosong!

“Tengok apa?” 

Irish memandang lelaki itu kembali. “Err... tak ada apa-apa.”

“Pelik tiba-tiba saya ada kat sini?” Tengku Harrys tergelak kecil. Sejak Irish melangkah masuk ke sini tadi dia sudah perasan. Namun bila melihat gadis ini hanya berdiri tercegat memandangnya, membuatkan dia menapak ke sini. Apa yang dimenungkan pun dia tidak tahu hingga kehadirannya di sini tidak disedari.

“Jangan banyak mengelamun. Nanti tak ada orang pinang. Jom!” bisik Tengku Harrys dan terus berjalan meninggalkan Irish untuk kembali ke meja yang didudukinya tadi.
Irish mengerut dahi. ‘Ada ke pepatah cakap macam tu? Kalau duduk kat depan pintu tu, yelah.’ Irish menyoal sendiri dalam hati. Namun persoalan itu hanya dibiarkan bermain di fikiran. Dia menuruti langkah Tengku Harrys di depan. Kelihatan sudah tersedia beberapa juadah sarapan di atas meja. Irish mengambil tempat berhadapan lelaki itu.

“Saya dah ambilkan untuk awak,” ujar Tengku Harrys sambil menyuakan sepinggan mee goreng pada Irish bersama secawan teh ‘o’ panas.

“Terima kasih,” ucapnya. Melihatkan makanan di pinggan lelaki itu masih belum terusik, Irish memberanikan diri bertanya. “Tengku belum makan lagi?” 

“Belum. Tunggu awak,” balas lelaki itu bersahaja lantas menadah tangannya mengimamkan doa makan bersama Irish.

Irish memerhati tingkah lelaki di hadapannya. Dia sendiri tidak faham dengan kelakuan Tengku Harrys sejak semalam. Sangat berbeza dari apa yang dia bayangkan sebelum berangkat ke sini tempoh hari. Hanya disebabkan mereka berdua di sinikah? Atau sikap lelaki ini yang sememangnya begini tanpa pengetahuannya?

“Lepas ni kita turun site sekejap before heading to office. Are you okay with that?” 

Irish sekadar mengangguk. Mereka berdua mula menjamu sarapan pagi lantaran banyak tugas yang sedang menanti dan perlu diselesaikan dengan kadar yang segera.


KERETA yang dipandu Tengku Harrys membelok masuk ke tapak projek. Sesudah meletakkan kereta, mereka berdua bergerak memasuki kawasan binaan bangunan fasa ketiga itu dan menemui arkitek serta jurutera yang terlibat mengedalikan projek tersebut.

              “How the progress here?”

          “Everything’s okay. Alhamdulillah, Tengku. Semuanya berjalan mengikut seperti apa yang dirancangkan,” terang Encik Shamrin selaku arkitek projek.

            “Dah pastikan semua materials yang dihantar betul-betul ikut standard asal?” tanya Tengku Harrys lagi.

            “Sudah, Tengku. Kami dah check dengan pembekal setiap kali diorang hantar barang ke sini. Setakat ni tak ada apa-apa masalah,” kali ini Encik Yusry, jurutera di situ pula bersuara.

          Tengku Harrys mengangguk-anggukkan kepalanya, seakan berpuas hati dengan penjelasan dari mereka. “Good. Saya harap tak ada masalah yang akan timbul lagi lepas ni. And you all please make sure semuanya berjalan lancar mengikut jadual sehingga projek ni selesai. Time is running out.”

            “Baik, Tengku!” jawab kedua-duanya serentak.

          Irish yang berada di belakang Tengku Harrys hanya memasang telinga mendengar perbualan ketiga-ketiga mereka. Hampir dua puluh minit berlalu, barulah perbincangan tersebut selesai. Tengku Harrys kemudian meminta untuk meninjau sebentar kawasan binaan tersebut. Mereka yang lain hanya menuruti tanpa sebarang bantahan. Sebelum bergerak, Encik Shamrin sempat memberikan topi keselematan pada Tengku Harrys dan Irish.

           Setiap sudut binaan fasa ketiga itu dilawati oleh mereka sambil diberi penerangan oleh Encik Shamrin dan Encik Yusry. Tengku Harrys hanya mendengar dan sesekali dia mencelah jika ada sesuatu perkara yang tidak memuaskan hati. Irish mula terasa sedikit bosan. Hendak masuk campur pun itu bukan dalam bidang tugasnya. Sudahnya dia beredar dari situ dan melihat-lihat sekitar kawasan tersebut, memerhati para pekerja melakukan kerja-kerja pembinaan yang entah berapa meter tingginya itu. Seketika matanya leka memandang kren yang sedang mengangkat batu-bata untuk diserahkan pada pekerja-pekerja yang sedang membina dinding bangunan di bahagian paling atas. Sedang dia asyik memerhati, seseorang berteriak dari atas.

             “Boss! Ke tepi, boss. Ke tepi!!”

             Semua yang berada di situ panik. Tidak tahu arahan itu diberikan pada siapa. Namun keadaan sudah terlambat apabila batu-bata tersebut lebih dahulu jatuh ke bawah berhampiran tempat Tengku Harrys, Encik Shamrin dan Encik Yusry berbincang. Lebih malang lagi apabila beberapa ketul batu-bata itu mengenai tubuh Tengku Harrys tanpa sempat lelaki itu mengelak. Irish tergamam. Semua yang berada di situ juga turut terkedu.

          “Tengku!!!” jerit Encik Shamrin. Dia dan Encik Yusry pantas mendapatkan Tengku Harrys yang sudah rebah di atas tanah. Tangan kirinya memegang lengan kanan yang terkena rempuhan batu tadi. Dahinya berkerut. Wajahnya juga sudah berubah. Jelas dia sedang menahan kesakitan. Suasana tegang seketika. Hanya beberapa minit, kawasan itu sudah dikerumuni dengan sebahagian pekerja di situ.

        Encik Shamrin menyinsing lengan kemeja Tengku Harrys yang sudah koyak di beberapa bahagian. Darah sudah mengalir keluar dari luka-luka di tangannya. “Teruk ni, Tengku. Saya hantar pergi hospital!” ujar Encik Shamrin yang sudah ingin bangun.

             “No! Tak apa.”

        “Eh, mana boleh Tengku! Kena pergi check ni. Takut patah ke apa!” Encik Yusry pula mencelah.

              “Tak apa. I think luka je.”

           Tengku Harrys cuba untuk bangun sambil dibantu oleh Encik Shamrin dan seorang pekerja lain yang berada di situ sebelum mereka memapahnya masuk ke dalam mini pejabat yang disediakan di tapak projek tersebut. Sedikit berdengkut kakinya berjalan. Mungkin terseliuh semasa dia terjatuh tadi. Sebaik masuk ke dalam pejabat, mereka meletakkan Tengku Harrys di atas sebuah sofa.

            “Betul Tengku tak nak pergi hospital ni?” sekali lagi Encik Shamrin bertanya setelah  pekerja yang seorang tadi beredar.

            Tengku Harrys mengangguk. “It’s okay. Sikit je.”

         “Okay. Tapi kalau Tengku rasa makin teruk, please inform me!” ujar Encik Shamrin sedikit cemas. Risau melihat keadaan bossnya yang cedera. Sudahlah ini kali pertama Tengku Harrys turun ke tapak projek ini. “Nanti saya panggilkan my asisstant untuk cuci luka Tengku.”

          “Tak apa. Tolong panggilkan Cik Irish ke sini. She will do it,” pinta Tengku Harrys. Kepalanya sudah disandarkan pada belakang sofa.

            “Baiklah, Tengku.”

        Encik Shamrin segera beredar keluar dari pejabat dan mencari pembantunya sambil berkata sesuatu. Kelihatan pembantunya itu terangguk-angguk. Suasana di luar masih sedikit tegang. Masing-masing masih sibuk membicarakan mengenai insiden yang berlaku sebentar tadi. Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu, Encik Shamrin tercari-cari kelibat Irish. Dilihatnya gadis itu sedang duduk termenung di suatu sudut.

            “Cik Irish.”

            Pantas Irish mendongak. “Ya?”

            “Tengku panggil masuk.”

            “Saya?”

            “Yes!”

       “Kenapa, Encik Sham?” soal Irish yang sudah terbiasa memanggil lelaki tersebut dengan panggilan itu. Sememangnya Encik Shamrin cukup dikenali dengan nama itu oleh semua pekerja di sini.

         Encik Shamrin tersenyum dengan pertanyaan itu. “Tengku nak awak tolong bersihkan luka dia.”

           “Hmm? Saya mana reti, Encik Sham!” tingkah Irish yang jelas terkejut dengan permintaan itu. Mana mungkin dia melakukannya. Dia bukanlah seorang jururawat, apatah lagi doktor. 

           “Alaa.... awak buat je macam awak tahu. Bersihkan darah tu, bubuh ubat then balut. Siap dah.”

           “Ishh! Kalau salah macam mana? Kenapa tak hantar hospital je?”

           “Tengku tak nak. Dia cakap sikit je.”

           “Pulak? Kalau macam tu, Encik Sham mintalah siapa-siapa yang tahu buat.”

          “Sudah. Tapi Tengku nak awak yang buat,” terang Encik Shamrin bersama senyuman di bibir. Senyuman yang mengandungi sedikit usikan. Walaupun ini kali pertama dia berjumpa dengan Irish, namun tempoh selama seminggu bekerja bersama di sini membuatkan dia selesa dengan gadis ini. Tambahan dengan sikap Irish yang pendiam membuatkan dia gemar untuk mengusiknya. “Pergilah. Tengku dah tunggu tu.”

          Irish hanya mengangguk. Kakinya melangkah longlai menuju ke ruang pejabat.  

          “Cik Irish, sekejap!” laung Encik Shamrin sambil berlari-lari anak mendapatkan Irish. “Ini first aid kit. Semuanya ada dalam ni. Gunalah mana yang patut. Good Luck!”

       Irish hanya tersenyum kelat dengan kata-kata lelaki itu. Jelas hatinya berdebar-debar untuk berhadapan dengan Tengku Harrys. Seperti dia pula yang menyebabkan lelaki itu ditimpa kemalangan tadi. “Tapi bukan salah aku. Aku tak tahu pun batu tu nak hempap dia. Tahu-tahu abang tu jerit, batu tu dah jatuh. Kan?” ngomel Irish sendiri sepanjang dia menuju ke pejabat.

        Melangkah sahaja ke dalam mini pejabat itu, Irish melihat sekujur tubuh sedang duduk bersandar di sofa dengan mata terpejam. ‘Tidur ke dia?’ Perlahan Irish menghampiri Tengku Harrys sebelum melabuhkan duduknya di sisi lelaki itu. Kit pertolongan cemas di tangannya diletakkan di atas meja di hadapan.

          Irish merenung wajah Tengku Harrys. Terdengar helaan nafasnya yang halus. Mungkin lelaki ini menahan sakit hingga tertidur. Matanya kemudian beralih pada lengan Tengku Harrys yang sudah sedikit membengkak. Agak banyak calar-balar. Juga terdapat beberapa luka akibat hempakan batu tadi. Darah masih mengalir melalui luka-luka tersebut. Terbit rasa kasihan pada lelaki di hadapannya ini tiba-tiba. Irish memandang semula wajah Tengku Harrys. Berkira-kira sama ada ingin mengejutkannya ataupun tidak.

         ‘Tapi kalau tak kejutkan, macam mana aku nak bersihkan luka-luka dia ni?’ hatinya berbicara sendiri. Hendak atau tidak, dia tidak punya pilihan.

           “Tengku.”

           Irish memanggil nama lelaki itu. Sesaat, Tengku Harrys membuka matanya perlahan-lahan. 

           “Hmm.”

         “Saya nak bersihkan luka Tengku ni,” ujar Irish sambil matanya diajukkan pada lengan lelaki tersebut.

        Mendengarkan itu, Tengku Harrys cuba membetulkan duduknya kepada posisi yang lebih selesa. Kemudian dia menghulurkan lengannya pada Irish. Telan air liur Irish seketika. Ini kali pertama dia berhadapan dengan situasi begini. Nafas ditarik dalam-dalam. Dengan lafaz Bismillah, dia memulakan kerjanya dengan berhati-hati. Lengan baju Tengku Harrys disinsing lagi sehingga ke paras atas. Seperti jangkaannya, bahagian atas lengan lelaki itu juga turut calar-balar dan luka. Kit pertolongan cemas di atas meja dicapai. Sebaik membukanya, mata Irish menjadi rambang bila melihat pelbagai jenis ubat-ubatan di dalam kotak tersebut.

           ‘Mana satu, ya?’ desis hatinya. Satu persatu ubat diperhati. Tidak pasti mana satu yang perlu digunakan. Dulu semasa di bangku sekolah adalah juga dia belajar cara-cara untuk membersihkan luka. Tetapi dia tidak begitu mengingatinya. ‘Hmm. Belasah jelah!’

          Sarung tangan getah di dalam kotak itu dicapai lalu disarungkan di kedua-dua belah tangannya. Kemudian dia mengambil tisu. Dengan perlahan dia menyentuh tangan Tengku Harrys dan mula mengelap darah yang mengalir. Habis yang itu, dia mengambil tisu yang lain pula dan kali ini dia membasahkan tisu tersebut dengan air untuk membersihkan saki baki darah serta kotoran yang masih ada. Setelah itu Irish mencapai kapas serta botol yang tertulis perkataan ‘antiseptik’ pada label di luar. Terdengar suara lelaki itu mengaduh saat kapas yang dibubuh cecair antiseptik itu menyentuh lukanya.

           “Tahan, ya. Pedih sikit,” beritahu Irish sambil mengerling sekilas pada lelaki itu. Kemudian dia menyambung semula tugasnya membersihkan seluruh luka di lengan Tengku Harrys sebelum menyapunya dengan sejenis krim antibiotik. Penuh lembut dan teliti dia melakukan kerja hingga tidak menyedari setiap tingkah lakunya itu tiada satu pun terlepas dari pandangan lelaki tersebut.

            “Dah biasa ke buat ni?” tiba-tiba soalan itu terpancul dari mulut Tengku Harrys, membuatkan Irish mengerling lelaki itu sekali lagi.

            “Tak. Saya redah je.”

           Jawapan itu mengundang senyum di hujung bibir Tengku Harrys. Betul atau tidak jawapan itu, dia tidak pasti. Apa yang pasti, dia dapat merasakan kelembutan sentuhan Irish sepanjang gadis ini membersihkan luka-lukanya.

           “Awak kat mana tadi?” Tengku Harrys bertanya lagi.

           “Masa bila?”

           “Masa batu tu hempap saya.”

         Irish terkedu. Tidak menyangka soalan itu akan keluar juga dari mulut lelaki ini. Dengan lambat dia menjawab. “Saya jalan-jalan tengok site sekejap.

           “Without my permission?”

         Tangan Irish terhenti. Terasa jantungnya berdegup laju. Pasti lelaki ini marah padanya. “Saya minta maaf,” ucap Irish seraya melarikan wajahnya dari Tengku Harrys. Krim antibiotik tadi diletakkan semula ke tempat asal. Tinggal lagi dia hanya perlu membalut lengan Tengku Harrys dan selepas itu dia ingin cepat-cepat beredar dari sini. Lantas Irish mengambil kapas dan meletakkannya di setiap luka yang ada di lengan Tengku Harrys sebelum membalut lengan lelaki itu dengan kain pembalut lalu dipinkannya dengan kemas. Sesudah itu dia bangun dan mengemas kembali semua barang-barang yang telah digunakannya.

      “Tengku baringlah. Rehat dulu,” ujar Irish sambil tangannya masih lagi mengemas kit pertolongan cemas tersebut.

            Tengku Harrys akur dengan kata-kata itu. Sememangnya dia sendiri masih terasa lemah untuk bergerak. Direbahkan badannya di atas sofa itu untuk merehatkan diri sebelum mereka bergerak ke pejabat Haiyan Corporation yang terletak kira-kira dua kilometer dari tapak projek ini. 

           Irish memandang Tengku Harrys. Mata lelaki itu sudah terkatup rapat. First aid kit di atas meja dicapai lalu dia mula bergerak keluar dari pejabat tersebut.

            “Nak ke mana?”

            Teguran itu mematikan langkah Irish serta-merta. Tubuhnya dipusingkan kembali menghadap Tengku Harrys. Dilihatnya mata lelaki itu masih lagi terpejam. “Keluar.”

            “Don’t go anywhere.”

            “Err....,” Irish cuba bersuara.

            “Just stay here.”  

            “Tapi....,”

          “Please. Just stay here with me,” pinta Tengku Harrys lagi. Lemah kedengaran suaranya.

            Mendengarkan itu, Irish jadi tidak sampai hati. Dia berpatah semula dan melabuhkan duduk di sofa berdekatan Tengku Harrys. Lelaki itu terus dengan lenanya. Mungkin dengan cara ini sahaja dapat melupakan sekejap kesakitan yang sedang ditanggung.

            ’Beria-ia suruh aku tunggu. Dah kenapa? Tapi sekarang dia yang tidur.’

        Irish melepaskan keluhan. Kepalanya ditongkat dengan tangan sambil memandang Tengku Harrys. Tidak dinafikan lelaki itu memang mempunyai seraut wajah yang kacak. Dengan kulit yang cerah serta ketinggian yang ada padanya sudah mampu mencairkan hati mana-mana gadis. Walaupun dalam keadaan tidur begini, lelaki itu masih mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk memandangnya. Cuma satu yang dia hairan. Mengapa sekacak-kacak begini tidak ada satu pun gadis yang mendampinginya? Adakah benar seperti apa yang diperkatakan bahawa jejaka ini memang tidak pernah membenarkan hatinya dimiliki dan didekati perempuan? Agak sukar untuk dia percaya. Namun jika ia benar, mungkin Tengku Harrys mempunyai alasan tersendiri. 

           Irish terus membiarkan matanya merenung lelaki tersebut. Kesempatan ini sahaja yang dia ada untuk berbuat demikian. Kalau lelaki itu sudah sedar, jangan haraplah dia dapat buat begini. Memang dia tidak akan menang kala mata lelaki itu sudah melekat di wajahnya. Kadangkala dia bingung dengan sikap Tengku Harrys. Kalau sudah serius jangankan ketawa, bayang senyum pun belum tentu boleh nampak. Tetapi bila sikapnya sudah berputar tiga ratus enam puluh darjah, memang takkan senang hati dibuatnya. Seperti yang berlaku sekarang ini. Sangat berbeza dari Tengku Harrys yang dia kenal sepanjang bekerja di Haiyan Holdings. Namun dia tidak pasti memang begitukah sikap lelaki ini terhadap semua orang, atau dengan dirinya sahaja demi untuk membalas kembali insiden perlanggaran yang berlaku antara mereka dulu.

           ‘Hmm.... nasib kaulah, Irish. Nak tak nak, terima jelah.’ Bisik hati kecilnya.  

     

Thursday, October 16, 2014

BAB 24 : BAYANGAN GURAUAN




G
               
ENAP seminggu sudah mereka berada di negeri yang berjiran dengan Kota Singa itu. Seperti tidak percaya rasanya. Semuanya gara-gara masalah yang timbul semasa proses pembinaan hotel bertaraf lima bintang tersebut. Setelah seminggu berkampung di situ, hampir kesemua masalah di tapak projek berkenaan dapat diselesaikan. Dari masalah berkaitan syarikat pembekal, kualiti bahan-bahan yang digunakan hinggalah ke proses pembinaan semula fasa ketiga projek itu. Dan hari ini pegawai-pegawai dari construction department akan pulang setelah kerja-kerja mereka selesai. Yang selebihnya masih perlu berada terus di situ untuk menyiapkan tugas yang masih lagi berbaki.

         “Dah siap berkemas semua?” Tengku Harrys memulakan perbualan antara mereka yang ketika itu sedang menikmati makan tengahari di kafe hotel. Dia awal-awal sudah berpesan ingin makan bersama sebelum pekerja-pekerjanya itu bertolak pulang. Tujuh hari bersama membuatkan hubungan mereka menjadi agak rapat.

            “Sudah, Tengku.” Encik Saiful, Encik Hazman dan Henry menjawab serentak.

          Tengku Harrys mengangguk. Satu perkara yang dia kurang senang sejak dari awal menjejakkan kaki ke Haiyan Holdings. Kurang senang apabila dipanggil ‘Tengku’. Seperti ada jarak memisahkan antara mereka. Dulu semasa di tempat orang tiada sesiapa yang memanggilnya begitu memandangkan bangsa asing tidak mengetahui makna di sebaliknya. Jadi tidaklah dia berasa ‘jauh’ apabila bergaul. Namun kini, nama itu disebut-sebut semula.

            “Tengku dan yang lain lama lagi ke kat sini?” Encik Saiful yang duduk di hadapan Tengku Harrys bertanya, sekaligus mematikan lamunan lelaki itu.

         “Ermm, mungkin dalam dua tiga hari lagi. Tengok keadaan macam mana. Kalau dah siap semua kerja-kerja kat sini, masalah semua dah selesai, keadaan pun dah betul-betul okay untuk saya tinggalkan, barulah saya bawa Kak Faridah dan Irish balik.”

            “Bunyi macam tak nak bagi kitorang lepas je ni, Tengku!” sampuk Kak Faridah.

          “Eh, mestilah! Kalau tak, siapa yang nak tolong Tengku kira balik kos projek ni, maa? And report lagi. Ingat senang ke you all!”

             “Eh, apek! Akak cakap jelah. Tahulah dah nak balik!”

“Alaa... Kak Faridah. I pun cakap saja, maa. Janganlah marah, ya!” Henry membalas semula sambil menyengih pada wanita itu, membuatkan ketawa mereka kedengaran.

Sedang rancak mereka bersembang, tiba-tiba terdengar nada dering telefon bimbit berbunyi. Serta-merta perbualan mereka terhenti.

“Siapa punya?” Henry bersuara di antara mereka.

“Akak punya,” sahut Kak Faridah. Seraya itu dia mengambil telefon dari beg tangannya. Senyuman melebar di bibir tatkala melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon. “Sekejap, ya.”

Wanita itu terus bangun untuk menjawab panggilan tersebut. Sementara yang lain menyambung kembali perbualan yang terhenti. Selang beberepa minit kemudian, Kak Faridah kembali semula ke tempatnya dengan wajah sedikit mendung.

“Kak... kenapa?” tanya Irish perlahan sambil menyentuh tangan wanita itu. Namun suaranya yang disangka perlahan itu rupanya didengari oleh yang lain, membuatkan semua mata tertumpu pada mereka.

Are you okay, Kak Faridah?” soal Tengku Harrys pula apabila melihat wanita itu tidak menjawab pertanyaan Irish.

Husband akak call. Dia bagitahu anak lelaki akak yang bongsu tu demam panas. Tengahari tadi bawa pergi hospital terus kena tahan,” beritahu Kak Faridah. Suaranya hampir tidak kedengaran. Mereka yang mendengar terus terdiam. Agak lama mereka berkeadaan begitu hinggalah Tengku Harrys bersuara semula.

“Tak apalah. Akak pergi bilik kemas barang-barang. Then akak ikut mereka balik.”

“Betul ke ni, Tengku??” Kak Faridah seakan tidak percaya. Melihatkan ketuanya itu mengangguk perlahan, sedikit kelegaan terpancar di wajahnya. Namun hanya seketika apabila dia teringatkan sesuatu. “Tapi... Irish macam mana?” soalnya sambil melirik pada Irish tanpa mengetahui soalan yang sama juga sedang berlegar di dalam kepala gadis itu.

“Macam mana apanya, kak. Nampak gayanya terpaksalah si Irish ni stay kat sini. Kalau tak, siapa yang nak tolong Tengku siapkan report projek.” Encik Hazman terlebih dahulu menjawab pertanyaan itu. Jawapan yang membuatkan pandangan Tengku Harrys terus dihalakan pada Irish.

“Tak apa ke, Irish?”

“Tak apa. Anak akak lagi perlukan akak kat sana,” balasnya. Namun kata-kata yang dizahirkan itu tidak sama dengan apa yang tersirat di hatinya. Mana mungkin dia boleh bekerja berdua sahaja dengan Tengku Harrys di sini. Sedangkan waktu semua ada bersama pun, hatinya sentiasa dipagut resah.

“Kalau macam tu akak naik bilik kemas dulu, ya.”

“Kak... Irish tolong.” Pinta gadis itu. Tidak betah rasanya untuk dia terus duduk di situ
 melihatkan hanya dia seorang sahaja perempuan. Lantas dia menuruti Kak Faridah untuk naik ke bilik meninggalkan keempat-empat lelaki tersebut yang masih setia di meja makan.



“AKAK minta maaf sangat, Rish. Terpaksa tinggalkan Irish sorang-sorang kat sini. Tak sangka pulak nak jadi macam ni!” luah Kak Faridah sambil menggenggam tangan Irish. Sebentar lagi dia akan bertolak pulang bersama Encik Saiful, Encik Hazman dan Henry yang ketika ini sedang berbincang sesuatu dengan Tengku Harrys tidak jauh dari mereka.

        “Tak apalah, kak. Benda dah nak jadi. Bukan kita minta pun. Agaknya anak akak tu rindu dengan mama dia ni kut. Lama sangat kena tinggal.”

        “Tak tahulah, Irish. Selalunya tak ada pulak sampai demam macam ni. Itulah orang cakap. Benda yang kita nak elak tulah yang kadang-kadang akan jadi tanpa kita duga.”

Irish tersenyum. ‘Ya, kak. Samalah macam yang berlaku sekarang ni. Tak sangka Irish pulak yang kena tinggal last-last kat sini. Nak menghadap Tengku yang sorang tu lagilah satu hal.’ Namun semua itu hanya terluah di dalam hati. Risau dia memikirkan bagaimana untuk berhadapan dengan lelaki itu sekarang ini.

           “Dah boleh gerak, Kak Faridah?” tanya Encik Hazman yang berjalan ke arah keretanya diikuti yang lain.

            “Sudah. Okay, Irish. Akak balik dulu. Jaga diri baik-baik, ya.”

            “Insyaallah. Apa-apa nanti akak bagitahulah.” Irish bersalam dengan wanita itu lalu mencium tangannya. Sudah menjadi kebiasaan pada dirinya kerana telah diajar sebegitu oleh Puan Qarina untuk menghormati orang yang lebih tua.

        Kak Faridah menarik Irish ke dalam pelukan. Berat rasa hatinya ingin meninggalkan Irish seorang di sini, walaupun dia tahu Tengku Harrys ada bersama. Sejak dari mula Irish diletakkan di bawah seliaannya, dia begitu senang dengan gadis ini. Tidak banyak bercakap, tapi prestasi kerjanya amat baik sekali.

            “Saya balik dulu, Tengku. Terima kasih benarkan saya balik.”

            Tengku Harrys membalasnya dengan senyuman. “Take a good care of your son.”

          Kereta Honda CRV milik Encik Hazman mula bergerak meninggalkan Tengku Harrys dan Irish di perkarangan hotel penginapan mereka. Lama mereka berdiri di situ hinggalah bayang kereta Encik Hazman sudah tidak kelihatan lagi.

            “Saya rasa awak patut pindah bilik.” 

            “Hmm?” spontan Irish menoleh ke sebelahnya.

          “Bilik awak jauh dari bilik saya. Jadi saya suggest awak pindah blok yang sama dengan blok bilik saya. In case kalau jadi apa-apa, senang nanti.”

        Irish hanya mendengar kata-kata lelaki itu tanpa sebarang reaksi. Mungkin masih terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba itu. Kepalanya tunduk seperti memikirkan sesuatu.

“Ke nak saya pindah bilik awak? Twin rooms, kan? So lagi senang saya tinggal masuk je bilik yang satu lagi tu.”

            Sekali lagi Irish menoleh ke sebelah, memandang Tengku Harrys yang masih lagi melihat ke arah jalanraya di hadapan. Bersahaja lelaki itu menuturkan kata-katanya.

            Menyedari renungan gadis itu yang kelihatan agak terkejut, lantas Tengku Harrys berpaling ke belakang dan mula mengatur langkahnya.

            “Go up and pack your things. Saya akan uruskan bilik untuk awak pindah.”

            Dan Tengku Harrys berlalu meninggalkan Irish yang masih terpinga-pinga di situ dengan satu senyuman yang disembunyikannya sejak dari tadi.   



“DAH siap?” satu suara menegurnya dari belakang ketika Irish baru selesai mengunci pintu bilik hotel. Hampir terlepas kad yang berada dipegangan. Pantas dia berpaling. ‘Dia ni memang suka terkejutkan orang agaknya!’ tingkah gadis itu dalam hati.

“Sudah.”

Setelah itu Irish berpaling semula untuk memastikan pintu bilik itu benar-benar sudah dikunci. Tengku Harrys menghampiri Irish dan mengambil lagguage serta beg kepunyaan gadis itu. Tanpa berkata apa-apa, dia terus beredar dan mula melangkah ke blok di seberang sana. Irish hanya memandang tingkah-laku lelaki itu dengan satu perasaan.

‘Baik pulak dia hari ni nak tolong bawakan beg-beg tu.’

Gadis itu kemudian menuruti langkah Tengku Harrys yang sudah menapak ke blok bertentangan. Beberapa minit berjalan, akhirnya Tengku Harrys berhenti di hadapan pintu sebuah bilik. Beg-beg Irish diletakkan di situ. Dia kemudian mengeluarkan sesuatu dari poket kemejanya lalu dihulurkan pada Irish.

         “Ini kunci bilik. Dah duduk satu blok ni senang sikit nak panggil kalau ada apa-apa. Even taklah dekat sangat bilik kita. So masuklah, berehat.”

          Lelaki itu kemudiannya berlalu dan berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik sebelah. Serta-merta kening Irish berkerut.

            “Err... bilik Tengku kat mana?”

       Tengku Harrys yang sedang menyeluk saku seluarnya ketika itu, mengerling Irish sekilas. Kemudian dia tersenyum. Kelihatan satu kad sudah berada di tangannya dan terus sahaja dimasukkan kad itu pada pintu. “Sebelah je.”

        Dan lelaki itu terus masuk ke dalam bilik meninggalkan Irish sekali lagi dalam keadaan terpinga-pinga.

               “Sebelah?” bicara Irish sendiri. Termangu seketika gadis itu di tempatnya.

         “One more thing. Malam ni jangan lupa turun pukul 8.00. Saya tunggu kat lobi bawah. Thanks!” Tengku Harrys masuk semula ke dalam tanpa menunggu sebarang jawapan dari Irish.

            Sekali lagi lelaki itu membuat Irish kehilangan kata-kata. Agak lama dia tercegat di situ sambil memandang pintu bilik Tengku Harrys yang sudah tertutup rapat.

            ‘Belum sampai setengah hari ada dengan dia dah jadi macam ni. Esok, lusa, dan berapa hari lagi agaknya kena layan fiil dia ni, tak tahulah aku macam mana.’

            “Ya Allah Ya Tuhanku!”

Irish meraup wajahnya beberapa kali. Tidak sanggup untuk melalui saat-saat begini untuk beberapa hari lagi. Segera ditarik luggage dan begnya masuk ke dalam bilik, ingin meredakan sedikit hatinya yang sudah melayang jauh entah ke mana dek kerana lelaki itu!
                        


TEPAT jam 8.00 malam Irish turun dari biliknya. Dia tidak pasti sama ada Tengku Harrys sudah turun atau belum. Sewaktu keluar dari bilik tadi tidak pula dia terserempak dengan lelaki itu. Kakinya terus dihala menuju ke lobi hotel. Dari jauh sudah kelihatan susuk tubuh yang dikenali sedang duduk di sofa sambil leka menatap skrin i-phone miliknya.

“Hmm... awal pulak dia turun kali ni. Selalunya lambat,” bisik Irish. Jam tangannya dikerling. “Tapi memang aku turun sharp pukul 8.00 ni. Dia kut yang turun awal!”  Irish menyedapkan hati sendiri. Bibirnya diketap menahan risau. Risau sekiranya terlambat. Segera dia menghampiri Tengku Harrys yang sedang membelakanginya ketika ini.

“Assalamualaikum.”

Serentak itu Tengku Harrys berpaling. Dilihatnya Irish sudah tegak berdiri di belakang. Terlalu leka membelek telefonnya hingga tidak sedar bila gadis itu muncul di situ. Lantas dia bangun dari sofa yang didudukinya.

“Waalaikumussalam. Dah lama ke kat sini?” 

“Baru je,” balas Irish seraya tertunduk apabila Tengku Harrys datang mendekatinya. 

Shall we?”

            Irish menjawabnya dengan satu anggukkan. Mereka beriringan keluar dari bangunan hotel itu menuju ke kereta Tengku Harrys. Sebaik menghampiri keretanya, lelaki itu mendahului Irish masuk ke dalam. Lain pula dengan Irish. Dia masih lagi tercegat di luar. Entah kenapa dia rasa gementar tiba-tiba. Badannya pula terasa seram sejuk. Sudah lama dia tidak keluar dengan lelaki, apatah lagi menaiki kereta berdua begini. Dengan Tengku Harrys pula. ‘Hai, parah ni Irish. Parah!’

“Irish?”

Panggilan Tengku Harrys melalui tingkap kereta mematikan terus lamunan Irish.

            “Ya!”

            “Are you okay?”

            “Ya, okay.”

            Pantas Irish memasuki kereta sebelum dirinya ditebak dengan lebih banyak soalan. Dia tidak mahu lelaki itu dapat mengesan riak mukanya yang serba tidak kena waktu ini.

            “Sure?” sekali lagi Tengku Harrys bertanya sebaik Irish sudah berada di dalam kereta.

            “Hmm.”

Sepanjang perjalanan, Irish hanya membisu di sebelah Tengku Harrys. Malah masing-masing tidak lansung bersuara walau sepatah kata. Yang seorang leka memandu, yang seorang lagi asyik melihat pemandangan luar. Hanya alunan muzik di radio sahaja yang berkumandang menemani mereka berdua.

            “Teringin nak makan kat mana-mana?”

         Pertanyaan Tengku Harrys membuatkan Irish menoleh sekilas lelaki di sebelahnya. Dengan lambat dia menjawab. “Tak ada.”

          “So, kita nak pergi makan kat mana ni?” Tengku Harrys bertanya lagi, cuba untuk mewujudkan perbualan antara dia dan Irish.

           “Tak kisah. Saya ikut je.” Kali ini Irish tidak menoleh ke arah Tengku Harrys. Perkataan ‘kita’ yang disebut lelaki itu sebentar tadi membuatkannya semakin resah.

            Tengku Harrys meneruskan pemanduan. Beberapa minit keretanya menderu di atas jalanraya, BMW 6 Coupe miliknya kini berhenti di hadapan bangunan Danga Bay International Restaurant. Malam ini dia terasa ingin makan di restoran agak ekslusif itu. 

Sesudah memarkirkan kereta, Tengku Harrys menapak keluar diikuti Irish. Kaki dihalakan ke arah restoran tersebut. Melihat panorama malam di situ memang mengasyikkan. Dengan reka bentuk bangunannya yang menyerupai sebuah kapal, dihiasi dengan lampu-lampu neon yang indah, dibina pula di atas air di tebing Teluk Danga sememangnya amat mengujakan pengunjung-pengunjung di situ. Termasuk mereka berdua.

Sebaik memasuki ruang restoran itu, Tengku Harrys memilih tempat di bahagian tepi yang menghadap ke perairan Teluk Danga. Malam ini dirasakan tidak seperti malam-malam sebelumnya. Selalunya riuh dengan suara dan gelak tawa dari Encik Saiful, Encik Hazman, Henry serta Kak Faridah setiap kali menikmati makan malam. Tetapi malam ini hanya tinggal dirinya berdua bersama Irish. Tiada komunikasi yang berlaku antara mereka. Masing-masing hanya menyepi. Perasaan janggal yang timbul apabila berduaan begitu menyebabkan masing-masing kelu lidah untuk berbicara. Hanya mata Tengku Harrys sahaja sesekali merenung Irish bila dia mendapat peluang untuk berbuat demikian.

Selesai menikmati makan malam, mereka melangkah keluar dari restoran tersebut. Irish mendahului Tengku Harrys menuju ke kereta lelaki itu. Kalau boleh dia ingin segera pulang ke hotel. Tidak betah rasanya berlama-lama dengan Tengku Harrys begini.

“Boleh kita jalan-jalan dulu?”

          Suara itu membuatkan langkah Irish terhenti. Lambat-lambat dia berpaling menghadap Tengku Harrys. “Hmm?”

            “Temankan saya ambil angin sekejap.”

          Irish masih memandang Tengku Harrys. Lelaki itu kelihatan tenang sahaja. Tetapi kata-katanya itu bagaikan satu arahan yang tidak boleh untuk dia berkata ‘tidak’.

            ‘Alamak! Macam mana ni?’ gumam Irish.

            “Boleh?” sekali lagi Tengku Harrys bertanya.

Tanpa ada pilihan, terpaksa juga Irish menuruti permintaan itu. Kalau ditolak mahunya dia akan ditinggalkan di sini. Bagaimana pula dia hendak balik ke hotel nanti? Akhirnya Irish menggangguk. Dengan berat hati dia melangkah mengikuti Tengku Harrys menuju ke tebing laut yang berpagar itu. Agak ramai pengunjung yang bersantai di situ mengambil angin malam.

Tengku Harrys berdiri di hadapan pagar besi tersebut sambil memandang ke arah laut yang terbentang luas. Irish yang berada tidak jauh hanya memerhati tingkah-lakunya. Dan akhirnya dia juga turut melakukan hal yang sama. Memandang air laut yang gelap dek ditelan kepekatan malam. 

            “Tengok apa?”

            “Hmm?”

Irish sedikit tersentak. Gelagatnya yang sedikit kalut itu mengundang senyuman di bibir
 Tengku Harrys. Satu tindakan refleks apabila disapa secara tiba-tiba. Sesuatu yang dia sedari tentang gadis itu.

            “Ada apa-apa yang menarik kat laut tu?” Tengku Harrys bertanya lagi. Pandangannya turut sama dihalakan pada laut di hadapan.

        “Tak adalah.” Hanya itu jawapan yang diberikan Irish. Dia sendiri tidak tahu apa yang dipandangnya pada air laut itu. Sudahlah gelap, satu apa pun dia tidak nampak. Yang dia tahu, dia hanya mengikut kelakuan Tengku Harrys.

            “Daripada tenung laut tu, lebih baik tengok saya.”

          Sekali lagi Irish menoleh. Kali ini dia dapat melihat dengan jelas senyuman yang terukir di bibir Tengku Harrys. ‘Okay ke tak dia ni? Dah kenapa?’ Irish menghalakan semula pandangannya ke hadapan. Terasa lain dengan sikap Tengku Harrys malam ini.

“Selalu outstation ke sini?”

Site lain kerap jugak. Tapi kat sini, first time.”

Tengku Harrys menganggukkan kepalanya. “Saya tanya something boleh?”

            Irish mengerling lelaki itu sekilas. “Boleh.”

            “Awak takut dengan saya ke?” 

            Tersirap darah Irish mendengar pertanyaan Tengku Harrys itu. Terasa kakinya tidak menjejak bumi saat ini. Nafasnya juga terasa pendek. Kaku dia seketika. Tidak tahu apa yang harus dijawab pada soalan yang tidak lansung terjangka olehnya.

“Irish?”

“Hmm?”

“Awak okay?” Dalam samar-samar, Tengku Harrys dapat melihat riak wajah Irish yang sedikit berubah. Soalannya hanya dibiarkan sepi. Dia tahu gadis itu agak terganggu dengan pertanyaannya sebentar tadi. “It’s okay. Just forget it. Jom, balik.

Seraya itu Tengku Harrys berpaling untuk berlalu.

            “Saya minta maaf.”

            Irish mula bersuara, menyebabkan Tengku Harrys berpaling semula padanya.

            “What?”

            “Saya minta maaf,” ulang Irish.

            “Untuk apa?”

            “Pasal insiden langgar tu.”
           
Jawapan Irish itu mengundang senyuman Tengku Harrys. Namun sedaya upaya cuba disembunyikan agar tidak terlihat walaupun gadis di hadapannya sedang tertunduk.

            “Saya tahu salah saya. Saya langgar Tengku tiga kali. Tiga kali saya minta maaf tapi lansung tak pandang muka Tengku. Saya kejar masa time tu.” Irish mencuri nafas seketika sebelum menyambung kembali kata-katanya. “Dan saya tak sangka Tengku orang yang saya langgar tiga-tiga kali tu. Sampailah Tengku berterus-terang tempoh hari. Saya memang betul-betul tak sengaja!”

         
 Irish masih lagi tunduk. Menantikan reaksi dari Tengku Harrys. Namun tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut lelaki itu. Lantas dia mengangkat wajah. Serta-merta satu renungan tajam diberikan oleh Tengku Harrys untuknya.

            “Sebab tu ke awak takut dengan saya?”

Irish membisu. Membiarkan soalan Tengku Harrys pergi bersama angin lalu.

           Melihatkan pertanyaannya tidak dijawab, Tengku Harrys menghampiri gadis tinggi lampai itu. “Cakaplah. Kenapa diam?”

         Irish kembali tunduk. Perasaannya semakin tidak keruan. Kalaulah dia ada pilihan, mahu sahaja dia pilih untuk pergi dari sini. Soalan itu benar-benar menyeksa jiwanya.
          “Irish....”

        “Okay. Saya tahu saya salah. Saya minta maaf. Benda tu dah berlaku dan saya tak boleh nak buat apa-apa dah. Kalau Tengku nak hukum saya sekalipun, hukumlah. Saya terima.” Irish memejamkan matanya, cuba menahan air hangat itu daripada mengalir.

            “Kalau saya ada niat nak balas dendam, dah lama saya buat. Tapi saya tak seteruk tu.”
          
Irish membuka kembali kelopak matanya. Jawapan Tengku Harrys bena-benar diluar jangkaan. Kepalanya didongak, mencari anak mata lelaki itu.

            “Saya maafkan awak. Tapi kalau berlaku lagi, saya tak jamin saya akan duduk diam.” Tengku Harrys seakan-akan memberi amaran. “So... boleh kita balik sekarang? Dah malam.”

         Irish mengangguk. Memang itu yang dia mahukan. Ingin segera kembali ke bilik hotel sekarang. Kakinya mula mengatur langkah beriringan dengan Tengku Harrys menuju ke tempat letak kereta.

“Tapi saya nak ucap terima kasih jugak sebab dah langgar saya,” ucap Tengku Harrys selamba, membuatkan Irish berhenti melangkah. Dan lelaki itu terus berjalan meninggalkan Irish dengan senyuman yang tidak henti-henti melekat di bibir. 
             


IRISH mencari-cari kunci bilik di dalam beg tangan sewaktu menyusuri koridor hotel yang menghala ke biliknya. Tengku Harrys di belakang lansung tidak dihiraukan.

            ‘Mana pulak kunci bilik ni. Masa ni jugaklah dia nak menyorok,’ rungutnya di dalam hati. Setelah beberapa saat mencari, akhirnya kunci itu ditemui. Terus sahaja kakinya meluru ke arah pintu. Serasa tidak sabar dia ingin meloloskan diri ke dalam bilik.

            “Tak apa tinggal sorang-sorang malam ni?” Tengku Harrys menegurnya dari belakang.

            “Tak apa. Saya dah biasa,” jawab Irish tanpa menoleh. Tidak sanggup lagi untuk memandang lelaki itu. Betapa malunya dia saat ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalaupun esok dia harus berhadapan dengan lelaki itu lagi, itu cerita esok. Tapi untuk malam ini, dia sudah tidak sanggup lagi.

Tengku Harrys turut berlalu ke biliknya. Sebelum masuk ke dalam, sempat dia menjengah Irish di sebelah.

“Kalau takut tinggal sorang-sorang, ketuk jelah bilik ni. Saya tak kisah kalau nak temankan,” ujar lelaki itu dengan selamba sambil menghadiahkan sebuah senyuman pada Irish sebelum menghilang ke dalam biliknya.

Membulat mata Irish melihat tingkah Tengku Harrys malam ini. Tak pernah-pernah bossnya itu berperangai sebegini. Selalunya lelaki itu agak serius. Jangankan ketawa, senyum pun susah hendak nampak di wajahnya.  

“Ya Allah. Dah kenapa dengan dia ni? Takkan kena angin Danga Bay terus jadi macam tu kut!” ngomelnya sedikit geram. “Astaghfirullahalazim! Sabar, Irish. Sabar! Sabar! Nasib dia boss. Kalau tak...,” gumam Irish lagi. Ayatnya terhenti di situ. Malas mahu melayani perasaan, pantas dia membuka pintu dan terus masuk ke bilik, meninggalkan segala perasaan yang sudah bercampur baur di dalam hati.  

Tengku Harrys menghempaskan badannya di atas katil dengan ketawa yang masih bersisa. Pasti gadis itu berasa hairan dengan kelakuannya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu berani mengusik Irish malam ini. Melihatkan telatah gadis itu apabila diusik membuatkan hatinya terhibur.

“Irish Qiara....”

Nama gadis itu meniti di bibirnya sekali lagi. Lama dia merenung syiling bilik di atas. Hingga akhirnya satu keluhan dilepaskan. 

“Bayangmu umpama satu gurauan,” bisiknya perlahan.