Saturday, February 15, 2014

BAB 3 : BAYANGAN GURAUAN





D
EWAN peperiksaan sedikit hingar. Semua pelajar berpusu-pusu keluar meninggalkan tempat itu dengan hati yang lapang bersama senyuman kelegaan terukir di wajah masing-masing. Sebulan telah berlalu, bermakna tamat sudah peperiksaan tahun akhir mereka. Sekaligus menandakan berakhirnya sesi pembelajaran selama lima tahun semenjak dari diploma hinggalah ke peringkat ijazah. Mungkin selepas ini masih ada di antara mereka yang mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dan sebahagiannya pula lebih memilih untuk berehat dan bekerja dahulu.

Irish kelihatan turut berjalan keluar dari Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam tersebut. Langkahnya kemudian diatur menuju ke tempat letak kereta. Langsung tidak dihiraukan keadaan pelajar lain yang seronok bersembang dengan rakan-rakan mereka di situ. Biasalah, peperiksaan sudah habis. Tentu ada saja agenda yang ingin diaturkan bersama selepas ini. Sambil itu mata Irish sempat melilau mencari-cari kelibat seseorang.

‘Mana pergi budak sorang ni, ya? Dari tadi tak nampak-nampak batang hidung dia.’

       Niat di hati memang dia ingin menemui rakan baiknya itu memandangkan hari ini adalah merupakan hari terakhir mereka di sini. Selepas ini tidak tahu bila lagi mereka akan berjumpa. Lebih-lebih lagi bila masing-masing sudah membawa haluan sendiri untuk membina kerjaya dan masa depan.

        ‘Agaknya dia dah balik dengan orang lain kut. Mungkin!’ duga Irish sambil kakinya terus dihayun meninggalkan kawasan dewan tersebut. Dalam melangkah, Irish membuka begnya untuk mengambil kunci kereta. Sedang dia mencari tiba-tiba terasa bahunya ditepuk seseorang dari belakang. Pantas dia berpaling.

            “Ira! Kau pergi mana, hah? Aku cari kau dari tadi lagi sebelum masuk dewan. Tunggu kau tak muncul-muncul, tu yang aku masuk dulu.”

           “Sorry!” balas Athirah sambil tersengih. “Aku dah gerak awal tadi. Tiba-tiba teringat yang aku terlupa bawa kad matrik. Tu yang aku patah balik tu!” cerita Athirah sambil mereka menuju ke tempat letak kereta.

      “Hmm... patulah! Asyik lupa je. Esok-esok ada boyfriend, boyfriend pun asyik kena lupa agaknya.”

           “Ishh! Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend lari, susah!” seloroh gadis itu disambut gelak ketawa Irish. Ada sahaja ideanya untuk membuat membuat orang ketawa.

            “Kau datang naik apa tadi?” Irish bertanya sebaik mereka menghampiri keretanya.

            “Aku tumpang housemate aku. Tapi dia ambil exam kat venue lain.”

            “So, balik ni?”

            “Naik dengan kaulah! Macam tak faham-faham pulak!”

       “Aku saja je. Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan housemate kau ke lepas exam ni.”

         “Amboi-amboi! Sedapnya mulut dia berkata!” tingkah Athirah sambil bercekak pinggang. “Tapi kan...,” dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. “.... kalau kau nak bawa aku jalan-jalan keluar, aku okay je. Manalah tahu kut terjumpa sorang dua mamat yang boleh buat calon,” bisik Athirah sambil mengenyitkan matanya. Membulat mata Irish mendengarkan jawapan itu.

 “Kan? Aku dah tahu dah kau ni memang pantang kalau aku sebut sikit. Dan-dan tu kau terus ajak, kan?”

“Hai, nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!” selamba Athirah menjawab sambil berlalu menuju ke pintu kereta di sebelah pemandu. Namun pergerakannya terhenti bila melihatkan Irish masih lagi tercegat memandangnya tanpa berkelip.

“Yang kau tu tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?”

“Yelah, yelah!”

Irish terus menekan alarm kunci sebelum kedua-dua sahabat itu masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan Proton Satria Neo milik Irish bergerak meninggalkan perkarangan universiti tersebut.



SO, amacam paper FSA tadi? Senang tak?” Athirah memulakan perbualan sebaik kereta yang dipandu Irish bergerak di atas jalanraya.

“Boleh tahan jugaklah. Agak susah, tapi masih boleh dijawab. Yang penting dah cuba yang terbaik,” terang Irish mengenai kertas soalan Financial Statement Analysis yang mereka hadapi sebentar tadi. “Kau macam mana?”

“Huh! Nak terkeluar jugak otak ni menjawab tadi. Patutlah ramai student takut nak ambil finance course ni!” akui Athirah mengenai sesetengah tanggapan pelajar yang mengatakan kursus kewangan yang diambil oleh mereka itu sebagai ‘killer course’. Irish sekadar tersenyum mendengar celoteh rakannya itu.

Dari jauh sudah kelihatan bangunan pusat membeli-belah SACC yang terletak di Bandaraya Shah Alam. Irish membelok keretanya memasuki kawasan shopping mall itu. Tempat letak kereta yang agak penuh menyebabkan mereka sukar untuk mencari memandangkan hari itu adalah hari Sabtu. Hanya beberapa minit kemudian, barulah mereka menemui satu petak yang masih kosong. Selesai memarkir kereta, mereka berdua terus memasuki ruang legar pusat membeli-belah tersebut. Hanya sekadar bersiar-siar sambil mencuci mata melihat barangan yang dijual di situ. Kebetulan ketika itu sedang diadakan promosi diskaun harga sempena jualan mega, menjadikan pusat membeli-belah itu dipenuhi dengan ramai pengunjung.

“Geram pulak aku tengok barang-barang kat sini, Rish. Murah-murah! Kalaulah beg ni penuh dengan duit, gerenti aku dah shopping sakan dah!”

“Hmm, yelah. Lepas tu nanti aku yang jadi mangsa kena tolong bawa barang-barang kau, kan? Macam aku tak kenal kau, Ira. Bila dah shopping, tak ingat dunia.”

Spontan Athirah tergelak. Pernah suatu hari dia mengajak gadis itu menemaninya untuk ke sebuah pusat membeli-belah. Mulanya dia ingat hanya sekadar ingin membeli beberapa senarai barangannya. Tetapi bila sudah kelabu mata, semua barang-barang yang dia berkenan habis dibeli. Irishlah yang menjadi mangsa menolong membawakan barang-barang tersebut. Sudahnya, rakannya itu keletihan hingga tertidur di dalam kereta manakala dia yang mengambil-alih tugas memandu kereta Irish sewaktu pulang. Nasiblah dia punya lesen memandu.

“Irish, jomlah kita pergi makan. Penat pulak berjalan kalau tak shopping apa-apa ni.”

“Penat? Tahu pun penat. Tapi bila shopping, hyper active pulak. Makan pun lansung tak ingat!” sengaja Irish memerli rakannya. Namun, hanya sengihan yang dipamerkan oleh gadis itu.

Mereka memilih untuk makan di salah sebuah restoran yang terdapat di dalam pusat membeli-belah tersebut. Sementara menanti makanan yang dipesan tiba, mereka hanya bersembang kosong sambil melihat gelagat orang ramai yang lalu lalang di situ.

So, apa plan kau lepas ni?” Athirah bertanya kepada Irish.

“Hmm, aku ingat nak kerja dulu. Bila dah okay nanti dan ada rezeki, Insyaallah aku sambung master. Kau?”

“Samalah. Aku ingat pun macam tu. Kerja dulu. Tapi sebelum kerja ingat nak balik kampung sekejap jenguk family aku. Sebulan lebih dah aku tak balik sebab exam ni. Rindu dah kat diorang tau!” luah Athirah sambil tersenyum. Fikirannya sudah terbayangkan keluarganya yang berada di Melaka.

“Baguslah. Apa-apa pun, utamakan family dulu. Keluargalah orang yang paling penting sebab diorang yang selalu ada dengan kita waktu susah senang. Takkan pernah tinggalkan kita walau apapun terjadi.”

Athirah hanya terangguk-angguk mengiakan butir bicara rakannya itu. Sebentar kemudian, seorang pelayan lelaki datang ke meja mereka menghantar hidangan yang dipesan. Aroma makanan yang menusuk ke hidung membuatkan perut mereka semakin berbunyi minta diisi. Sambil berbual, mereka terus menikmati hidangan yang agak menyelerakan itu walaupun ini kali pertama mengunjungi Restoran Noodle Station tersebut.


“NAMPAK gayanya macam tak ada rezekilah nak jumpa calon suami kat sini hari ni!” bicara Athirah tiba-tiba sewaktu mereka beriringan menuju ke tempat letak kereta untuk pulang.  

            “Hai! Ada hati jugak nak cari? Ingat lupa dah.”

            “Mestilah! Mana tahu antara lelaki-lelaki  kat shopping mall ni, diorang tu jodoh kita!”

“Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan.” Irish menggeleng-geleng kepala melihatkan gelagat rakannya itu yang tidak sudah-sudah dengan hajatnya sedari tadi. “Eh Ira, aku nak pegi toiletlah. Tunggu sekejap boleh?”

Athirah mengangguk sambil menyambut handbag yang dihulurkan Irish. Setelah itu dia duduk di kerusi berhampiran yang sedia ada di situ sementara menunggu rakannya kembali.

Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke tandas berhampiran. Tidak mahu dia membiarkan Athirah berlama-lama menunggu. Kepalanya hanya tertunduk memandang lantai tanpa menoleh sesiapa di situ.

“Ouchh!”

Irish mengaduh sambil memegang bahunya. Tanpa sedar, dia telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas berisi barang yang dibawa lelaki itu juga sudah jatuh terlepas ke lantai. Tanpa berlengah, Irish mengambil beg-beg tersebut lalu diberikan semula kepada lelaki itu tanpa melihatnya. Punyalah kalut dia sehinggakan tidak berani memandang wajah lelaki tersebut. Dia tahu salahnya tidak memandang depan semasa berjalan tadi.

“Maaf!” Irish menunduk seraya memohon maaf dan kemudian terus berlalu meninggalkan tempat itu.

Lelaki tadi masih terus memandang Irish hinggalah kelibat gadis tersebut menghilang di sebalik dinding. Termangu seketika dia dibuatnya. Namun hatinya sedikit tercuit melihatkan gelagat gadis itu.

‘Tak sempat aku nak jawab dah lari. Takut benar!’

Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sebelum mengatur semula langkahnya.  


BAB 2 : BAYANGAN GURAUAN





   S
UASANA di kediaman Encik Izzuddin kedengaran riuh rendah. Mana tidaknya, seluruh ahli keluarganya berkumpul pada hari itu. Izzul serta Iman sekeluarga juga turut pulang, menambahkan lagi kemeriahan di situ. Ditambah dengan suara riang cucu-cucunya bermain. Puan Qarina adalah orang yang paling sibuk di dapur menyediakan juadah sarapan sambil dibantu anak-anak dan menantu perempuannya. Manakala Encik Izzuddin pula sedang duduk berbual-bual bersama ketiga-tiga anak lelakinya di ruang makan yang turut disertai menantu-menantunya. Banyak perkara disembangkan oleh anak-beranak itu sementara menunggu hidangan sarapan pagi tersedia.

Hanya Irish yang tidak turut bersama-sama mereka. Sebentar lagi dia akan ke universiti memandangkan hari ini adalah hari pertama dia menghadapi peperiksaan akhir semester. Jarak rumah dari UiTM Shah Alam tidaklah jauh mana. Hanya memakan masa sekitar beberapa minit sahaja bergantung kepada keadaan jalanraya.

“Angah, dah jenguk Irish dalam bilik tu? Dah siap ke belum? Kang lambat pulak sampai ke U nanti.” Puan Qarina bertanya kepada Iman. Tangannya laju mengacau sambal sotong di dalam kuali untuk disediakan bersama dengan nasi lemak yang dimasaknya pagi ini. Agak banyak juadah yang disediakan termasuklah mihun goreng, maggie goreng, dan beberapa jenis kuih-muih. Maklumlah, bukan selalu keluarganya dapat berkumpul ramai-ramai begini. Mujurlah ada ‘pembantu-pembantu’ di dapur membantu menyediakan semua makanan tersebut.

“Dah, umi. Tengah bersiap tu. Kejap lagi keluarlah dia,” balas Iman yang sedang menyediakan minuman panas bersama kakak iparnya, Safiya.

“Hmm, minta-minta eloklah dia ambil exam nanti. Pulaknya majlis budak tu dibuat hari ni. Betul-betul Allah nak uji kita. Nasib baiklah Irish tak tahu pasal hal ni!”

“Memang Irish dah tahu pun, umi!”

Serta-merta semua mata tertumpu pada Irma. Tajam renungan mereka, seolah-olah meminta penjelasan daripadanya. Dia yang sedang mengelap pinggan ketika itu, terus terhenti tugasnya. Menyedari diri sudah terlajak kata.

 “Semalam dia terdengar umi borak-borak dengan ayah pasal hal tu masa dia nak ke dapur. Irish yang beritahu kat alang malam tadi.”

Puan Qarina terdiam. Itulah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Nak buat macam mana. Terlajak perahu bolehlah diundur juga. Kalau sudah terlajak kata, badan sendirilah yang tanggung.

“Habis Irish macam mana, lang?” baru kini Safiya bersuara.

“Dia okay. Elok tenang je alang tengok. Siap boleh gelak-gelak masa alang tanya. Alang pulak yang risaukan dia. Tapi tulah. Luaran je nampak okay. Dalam hati dia kita tak tahu. Yang alang boleh cakap, dia dah lupakan semuanya dan boleh terima kenyataan.”

Puan Qarina mengeluh perlahan. Rasa bersalah mula menjalar dalam diri. Iman yang perasan akan kegelisahan uminya, datang menghampiri. Bahu Puan Qarina dipaut lembut.

“Umi, sudahlah tu. Angah tahu Irish tu kuat semangat. Kita sendiri tengok macam mana dia berusaha lawan semua tu sampai jadi macam sekarang. Apa yang boleh kita buat cuma terus berdoa dan bagi semangat supaya dia tak down lagi, ya.” Iman cuba mententeramkan perasaan wanita itu.

“Ina! Dah siap semua sarapannya? Anak cucu dah lapar dah ni. Abang jangan cakaplah, dah berkeroncong perut ni!” laung Encik Izzuddin dari ruang makan. Suaranya yang sedikit kuat itu menyentakkan mereka yang berada di dapur. Apalagi, kelam-kabut jadinya masing-masing menyudahkan tugas yang tergendala sebentar tadi.

“Si Irish mana? Tak nampak-nampak dari tadi.” Encik Izzuddin menyoal sebaik semua ahli keluarganya sudah berada di meja makan usai semua juadah siap terhidang.

“Ada ni.”

Satu suara mencelah tiba-tiba. Kelibat Irish kelihatan muncul dari arah bilik menuju ke ruang makan. Nampaknya dia sudah bersiap-siap untuk ke universiti bagi menghadiri peperiksaan. Nasiblah. Dapat jadual periksa yang jatuh pada hari Ahad. Hari pertama pula. Orang lain duduk bersantai di rumah, dia pula terpaksa memerah otak di hujung minggu begitu.

“Duduk sarapan dulu, Irish.”

“Irish dah lambat ni, umi. Nanti terlewat sampai pulak.”

“Duduk dulu, Irish. Jamah sikit sarapan ni. Awak tu nak ambil exam. Kang tak berjalan pulak otak dengan perut kosong tu.” Izzul sudah pun menarik kerusi di sebelahnya untuk Irish. Dalam pada itu matanya sempat menangkap susuk tubuh adiknya yang kelihatan agak susut semenjak akhir-akhir ini.

Kali ini Irish menurut kata alongnya. Dijamah sedikit kuih-muih yang terhidang di atas meja bersama secawan teh o’ panas sebagai mengalas perut.

Okay, Irish pergi dulu!” pamit gadis itu setelah menjamah sarapan. Dia kemudian menyalami setiap ahli keluarganya di situ sebelum berangkat pergi. Sampai pada giliran uminya, terus saja Puan Qarina memeluk anak perempuannya itu.

“Maafkan umi ya sebab rahsiakan hal tu. Umi cuma tak mahu Irish terganggu. Jangan difikirkan sangat apa yang berlaku hari ni. Exam Irish lebih penting.” 

“Tak ada apalah, umi. Irish okay. Janganlah risau.” Irish meleraikan pelukan. Sekuntum senyuman dihadiahkan pada uminya lalu kedua belah pipi wanita itu dicium lembut. “Okay, semua! Irish pergi dulu. Doakan, ya!”

Irish melambaikan tangannya sebelum berlalu pergi. Sebaik kereta Satria Neo yang dipandu gadis itu hilang dari pandangan, terus sahaja Encik Izzuddin menghampiri isterinya sebelum berkata sesuatu. “Irish dah tahu ke?”

Semua mata kini tertumpu pada Puan Qarina, menantikan jawapan. Lama wanita itu membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan, akhirnya dia mengangguk lemah. Serentak itu terdengar beberapa keluhan terbit dari mereka yang lain.

Puan Qarina mengesat air mata yang sudah mula jatuh ke pipi. Pilu hatinya mengenangkan nasib Irish. Bagaimana agaknya anak itu dapat menghadapi kemelut hidup dalam usia muda sebegini? Masih kuat lagikah Irish untuk menghadapi pelbagai dugaan yang bakal mendatang dalam hidupnya di kemudian hari?

Dan keluhan turut lahir dari celahan bibir wanita itu.    



GADIS tinggi lampai itu bersandar di sisi kereta sambil memeluk buku-bukunya. Masih terngiang-ngiang riak muka setiap ahli keluarganya sewaktu dia meninggalkan rumah tadi. Masing-masing kelihatan risau. Mungkin risau dengan dirinya yang akan mengambil peperiksaan dalam keadaan dia telah mengetahui khabar tentang perkahwinan Reza hari ini. Bohonglah kalau dia tidak terkesan dengan berita tersebut. Tetapi fokusnya pada peperiksaan yang akan berlangsung sebentar lagi melebihi dari fikirannya tentang lelaki yang tidak punya pendirian itu.

            ‘Biarlah. Kalau itu yang kau nak. Cuma aku harap kau takkan menyesal dengan jalan hidup yang telah kau pilih ni, Reza.’

            Satu keluhan dilepaskan Irish. Cuba mengusir jauh segala gangguan yang berlegar-legar di ruang fikirannya saat ini. Dia harus kembali tenang sebelum peperiksaan bermula. 

            “Hey!” sergah seseorang dari belakang. “Termenung!”

“Astaghfirullahalazim! Kau, kalau tak kejutkan aku macam tu, tak boleh ya?” soal Irish sedikit geram. Buku-buku yang dipegangnya habis terlepas ke bawah. Perlahan dia menunduk lalu mengambil semula buku-buku itu.

“Boleh! Tapi sebab kau tengah termenung, kan. Syok sikit kalau aku sergah. Kan ke aku suka tengok muka kau yang kalut macam tu!”

“Kan? Suka?” tingkah Irish pada Athirah yang sudah tersengih-sengih.

Athirah, sahabat baik Irish sepanjang menuntut di UiTM. Memang itulah satu-satunya rakan yang selalu bersamanya semasa di universiti baik di dalam dalam kelas, dewan kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan, mengulangkaji pelajaran mahupun aktiviti-aktiviti yang lain. Pendek kata, di mana ada Irish di situlah ada Athirah. Sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi kedua-dua sahabat itu.

“Sukalah! Sebab comel muka kau kalau kalut macam tu!” semakin galak Athirah menyakat rakannya yang sudah pun menarik muka.

“Hmm, dahlah. Malas nak layan.”

 Irish sudah mahu melangkah meninggalkan Athirah. Kalau dilayan gadis itu memang sengaja cari nahaslah dia. Kakinya mula dihayun menuju ke dewan peperiksaan yang terletak tidak jauh di hadapan.

“Eh, cepatnya jalan! Marah ke?” soal Athirah yang sudah menyaingi rakannya itu.

“Tak.”

“Jawapan macam tak ikhlas je!”

“Ikhlas sangat.”

“Lain macam je ni. Kau termenungkan apa, Rish? Ada masalah? Nak share dengan aku?”

“Tak ada apalah,” jawab Irish acuh tak acuh.

“Alaa... sorrylah Irish! Marah pasal tadi ke? Aku gurau jelah. Nak bergurau manja pun tak boleh ke?” spontan Athirah memeluk tubuh Irish, cuba memujuk. Dan perbuatannya itu serta-merta membuatkan langkah mereka terhenti.

“Eh, lepaslah Ira! Tak nampak ke ramai orang ni? Tak malu orang semua tengok? Kang lain yang diorang ingat, macam mana?”

“Biarlah. Macam diorang tak tahu aku kawan baik kau!”

“Tu orang yang tahu. Kalau yang tak tahu? Ingat kau ni famous sangat sampai semua orang kat sini kenal kau? Monyet kat hutan pun belum tentu kenal kau, tahu tak? Jangan nak perasan!” tingkah Irish sambil menampar lembut pipi gadis di sebelah. Kemudian dia menyambung semula langkahnya menuju ke dewan peperiksaan.

“Amboi, sedap bahasa nampak! Monyet kat hutan kau cakap? Hishh, dia ni memanglah! Tak bagi chance aku nak merasa famous sikit!” Athirah mula mengomel sambil mengejar Irish
 yang sudah jauh meninggalkannya di hadapan. “Oi minah, tunggulah!”

Irish menoleh sekilas ke belakang. Dilihat rakannya itu sudah berlari-lari anak cuba mengejar langkahnya.

“Kau marah aku, kan?” Athirah bertanya.

“Tak.”

“Kalau tak marah tak adalah kau menonong je jalan tinggalkan aku kat belakang.”

“Pengawas dah panggil masuk tu. Nanti lambat masuk tak sempat pulak jawab exam sampai habis. Ke kau teringin nak repeat paper Real Estate ni?” ujar Irish selamba.

“Ishh, kau ni Rish! Janganlah disebut-sebut. Buatnya betul kang. Tak nak aku repeat-repeat paper ni!”

“Kalau tak nak, diam. Jalan je cepat.”

“Hmm. Yelah-yelah! Kau ni, Rish. Tak sportinglah hari ni. Lagipun diorang baru panggil masuk dewan je, kan. Belum start jawab exam lagi.”

Dalam menurut sempat lagi Athirah mengomel. Irish di sebelah hanya menggeleng dan tersenyum melihat kerenah rakannya. Kedua-dua mereka terus melangkah memasuki dewan bersama pelajar-pelajar yang lain untuk memulakan peperiksaan bagi sesi pagi itu.


BAB 1 : BAYANGAN GURAUAN





“A 
PA??!” Irish benar-benar terkejut dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi. Reza pula hanya berdiri berpeluk tubuh sambil merenung ke arah tasik yang terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata dengan gadis di sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa pada pertemuan kali ini.

“Awak jangan nak berguraulah, Reza. Ini bukan benda main-main. Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?”

“Saya tak bergurau, Irish. Ini bukan masanya untuk bergurau.” Reza membalas tenang. Matanya masih lagi terarah ke hadapan, melarikan wajahnya dari pandangan gadis itu. Sungguh, dia benci untuk berhadapan dengan situasi sebegini. Namun dia tidak punya pilihan.

“Tapi kenapa? Berbulan-bulan lamanya awak menghilangkan diri. Tak ada khabar berita. Saya dah macam separuh gila cari awak. Tiba-tiba sekarang muncul awak cakap yang awak nak break-off? Hmm? Apa benda semua ni?” Irish sedaya upaya cuba memperlahankan nada suaranya agar tidak didengari oleh orang sekeliling yang turut berada di situ. Airmata yang sudah berada di hujung tubir cuba ditahan agar tidak merembes keluar. Mujurlah mereka berada di tempat awam, membuatkan dia masih lagi dapat mengawal tingkah laku dan rasa amarahnya.

Sorry, Irish. Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya dah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Keluarga saya tak restui hubungan ni,” ucap Reza perlahan. Baru kini dia berani menentang mata Irish.

“Kenapa? Sebab kita tak setaraf? Sebab saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Jadi saya tak layak untuk awak? Dan sebab tu, keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?”

No, Irish. It’s not like that.”

Then what?”

Pertanyaan Irish membuatkan Reza terdiam. Tidak tahu bagaimana harus dia menjawab. Dari riak muka Irish, dia tahu gadis itu sedang menahan marah.

“Cakaplah. Kenapa diam? Atau dah lupa macam mana cara nak bercakap? Saya dah muak dengar alasan-alasan klise tu, Reza. Baru sekarang awak nak sebut tentang semua tu? Kenapa tak sebut dari dulu lagi? Waktu mula-mula awak nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak waktu tu tapi awak berkeras cakap takkan ada apa-apa masalah akan timbul sebab awak yakin yang keluarga awak sangat sporting and open minded untuk terima semua ni.

 Awak janji perkara ini takkan berlaku. Jadi mana janji-janji awak dulu tu?!” tingkah Irish geram.

“Manusia boleh berubah bila-bila masa je.”

Spontan Irish menoleh, merenung tajam ke arah Reza di sebelah. Tidak menyangka jawapan tersebut yang akan keluar dari mulut lelaki itu.

‘Tidak berperasaan lagikah lelaki ini? Apa yang sudah merasuk fikiran dia sampai jadi begini? Astaghfirullahalazim!’ beristighfar Irish di dalam hati. Kepalanya didongakkan sekilas ke langit, membuang jauh prasangka yang menjalar dalam diri. Nafas ditarik sedalam mungkin, mencari sedikit ketenangan. 

“Mudahnya awak bercakap. Setelah saya dapat yakinkan keluarga saya untuk terima awak, dan sekarang awak pulak yang nak mengalah? Atau mungkin awak sebenarnya yang dah tak sayangkan hubungan ni lagi. Cinta awak yang dah mati!” suara Irish sudah mula kendur, cuba menahan sebak yang semakin menghimpit dada.

“Irish, tolonglah faham keadaan saya...,”

“Habis, siapa pulak yang nak faham keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan hubungan ni. Saya turutkan segala kemahuan awak. Kemahuan awak untuk rahsiakan hal ini dari keluarga awak, dari semua orang. Dan selama tu jugaklah saya bersusah payah pujuk keluarga saya untuk restui hubungan ni. Sekarang, senang-senang awak nak suruh saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!”

Kemarahan Irish sudah tidak terbendung lagi. Sabarnya juga kian menipis. Lebih-lebih lagi melihatkan tingkah Reza yang bagaikan orang tidak bersalah apa-apa walaupun setiap kata-katanya bak pisau tajam yang menghiris hati. Kalaulah hanya mereka berdua sahaja berada di sini, mahu saja tangannya singgah di pipi lelaki itu. 

“Terpulanglah apa awak nak cakap, Irish. Saya tetap dengan keputusan saya. Hati keluarga saya lebih utama dan perlu saya jaga sekarang ni. Anggap saja kita tak ada jodoh. Dan apa yang telah kita lalui selama ini, jadikan sebagai pengalaman hidup. Lagipun, keluarga saya dah aturkan kehidupan yang lebih baik untuk saya.” Reza mula berkeyakinan untuk bersuara. Dia tidak mahu berlengah lagi untuk menyampaikan hasrat dan tujuan sebenar yang membawa dia kepada pertemuan yang mungkin terakhir kali bersama Irish ini.

“Apa maksud awak?” Irish merenung tepat ke wajah Reza. Menanti butir-butir ayat seterusnya dari mulut lelaki itu dengan perasaan berdebar-debar.

 “Keluarga saya dah carikan seorang gadis yang lebih sesuai sebagai calon isteri. Tapi maaf... bukan awak.“

 Bagai direntap jantung Irish saat ini. Tubuhnya menggigil. Jemarinya digenggam erat. Empangan airmata yang ditahan sedari tadi nampaknya sudah tidak kuat. ‘Keluarlah kau airmata. Keluar saja. Tiada sebab untuk kau bertahan lagi!’ desis hatinya. Sungguh dia tidak menyangka ini balasan Reza setelah apa yang dia lakukan untuk lelaki itu selama ini.

“Lepas ni tak usah kita berhubung lagi, Irish. Anggap saja kita pernah kenal sebagai kawan. Bukan kekasih,” ucap Reza sambil mengenakan kacamata hitamnya dan kemudian berlalu melewati Irish.

“Reza...,”

Lemah sahaja suara itu memanggil, membuatkan langkah Reza terhenti. Lelaki itu menghadap Irish kembali dengan pandangan bersahaja.

“Awak mungkir janji-janji awak. Dan, awak lupa beban yang awak tinggalkan pada saya...,” hanya itu yang terluah di bibir Irish sambil merenung sayu ke wajah lelaki itu.

Reza terpanar. Kata-kata itu mengundang satu debaran di dadanya. Renungan sayu Irish ditatap. Renungan yang sarat dengan seribu satu pengertian buatnya. Untuk seketika, hatinya sedikit terusik. Namun ego yang tinggi mengatasi segala-gala. Tidak mahu kalah dengan perasaan itu, Reza berpaling semula dan meneruskan langkahnya meninggalkan Irish bersama semua kenangan-kenangan cinta mereka.


IRISH tersedar dari menungannya. Tidak tahu entah berapa lama dia termenung melayani perasaan mengingati peristiwa itu. Sudah lebih setengah tahun ia berlalu. Bermakna selama itu jugalah dia berusaha untuk melupakan segala kisah pahit yang telah berlaku.

Berat mata memandang, berat lagi bahunya yang memikul. Disebabkan peristiwa itulah dia mengalami trauma yang agak teruk. Semangatnya hilang entah ke mana. Kalaulah imannya tidak kuat, mungkin hari ini dia tidak berada di sini lagi. Mujur dia masih punya keluarga yang amat menyayangi dirinya, yang banyak membantu memulihkan semangatnya dan tidak pernah jemu memberi sokongan untuk dia bangkit semula dari mimpi-mimpi semalam.

“Allah masih sayangkan Irish. Sebab tu Allah pendekkan jodoh Irish dengan dia. Dia bukan yang terbaik untuk Irish. Mungkin Allah dah sediakan lelaki yang lebih baik buat Irish nanti. Insyaallah, jodoh pertemuan hidup mati ni kan Allat swt dah aturkan yang terbaik untuk kita. Jadi banyakkanlah bersabar dan sentiasa ingat pada-Nya. Sentiasa solat dan mengaji kerana itu senjata sebenar kekuatan kita sebagai umat Islam. Allah tidak akan uji hamba-Nya lebih dari kemampuan sebenar kita. Umi percaya ada hikmah yang Allah nak tunjukkan disebalik semua kejadian ini. Dan umi tahu anak umi ni seorang yang tabah dan kuat. Jangan sedih-sedih lagi, ya. Tak guna kita bazirkan airmata untuk lelaki yang tak tahu nak menghargai wanita ciptaan Tuhan seperti kita.”

Masih terngiang-ngiang lagi pesanan Puan Qarina ditelinganya saat dia kehilangan arah dulu. Uminya itulah yang banyak membantu menyalurkan semangat serta kekuatan dalam dirinya. Segala nasihat dan kata-kata peransang tidak putus-putus keluar dari mulut wanita itu.

Bukan itu sahaja, bahkan Irish juga amat bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga yang amat mengambil berat akan keadaannya sepanjang dia mengalami trauma sehinggalah dia pulih dan menjalani kehidupan seperti sediakala sekarang. Tidak tergambar bagaimanalah agaknya keadaan dia sekiranya keluarga tiada di sisi menemani selama dia bangkit semula dari kelukaan itu. Tentu dia masih lagi terperuk di bawah selimut di atas katil sambil menangisi segala yang telah terjadi. Atau mungkin jika diikutkan kata hati, tidak mustahil dia akan melakukan sesuatu tindakan yang di luar kewarasan akal fikiran. Bunuh diri!

‘Astaghfirullahalazim! Selisih empat puluh empat malaikat! Irish, apa yang kau melalut ni!’ gerutunya di dalam hati. Dahinya ditepuk beberapa kali seakan memarahi diri sendiri.

“Uiittt! Apasal kau ni, Rish? Tepuk-tepuk dahi sendiri bagai. Okay ke tak ni?” Irma, kakak Irish, tiba-tiba menegurnya dari belakang. Tidak sedar entah bila kakaknya itu masuk ke biliknya.

“Ishh, Kak Lang ni! Masuk tu bagi salam dulu boleh tak? Ni main redah je!”

“Kau tu yang termenung tak habis-habis. Kak Lang dah bagi salam dah, siap ketuk pintu lagi. Kau yang tak dengar. So, Kak Lang masuk jelah. Kau okay tak ni?” tanya Irma sekali lagi. Sedikit risau dengan keadaan adiknya itu.

Okay je. Orang okaylah! Bila Kak Lang sampai? Abang Afzal dengan budak-budak mana?” Irish bertanyakan tentang abang ipar serta anak-anak buahnya, Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.

“Ada tu hah kat luar tengah tengok TV. Dah habis study belum? Esok start final exam, kan?” tanya Irma prihatin. Sudah menjadi kebiasaan bila minggu peperiksaan bermula, adiknya itu akan berkurung di dalam bilik untuk mentelaah pelajaran sebagai persediaan terakhir. Cuma kali ini dia sedikit risau dengan keadaan Irish semenjak kejadian dulu itu. Pilu hati bila mengenangkan. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan turut terasa. Itulah yaang berlaku. Sungguh dia tidak menyangka Reza yang selama ini nampak baik di matanya, sanggup memperlakukan Irish sebegitu. Kalaulah dia punya kekuatan, mahu saja dia mengajar lelaki tak guna itu.

“Ada lagi sikit yang nak kena cover. Kak Lang masuk bilik Irish ni kenapa? Ada apa-apa nak cakap ke?”

“Err...,”

“Apa dia, Kak Lang? Sejak bila Kak Lang jadi penakut nak tanya ni. Selalunya berdesup soalan keluar dari mulut dia.”

“Ishh, sabarlah! Kak Lang nak tanyalah ni. Ermm... Irish tahu tak pasal tu?” soal Irma berhati-hati. Takut akan menyinggung perasaan Irish. Lebih-lebih lagi esok adiknya itu akan menduduki peperiksaan.

“Tahu pasal apa?”

“Pa... pa... pasal majlis pernikahan Re... Reza esok,” tersekat-sekat suara Irma memberitahu tentang perkhabaran itu.

“Oh, pasal tu. Tahu dah.”

“Hah??! Irish dah tahu? Bila? Tahu dari mana? Siapa yang beritahu? So, Irish okay tak ni?!” bertalu-talu soalan yang keluar dari mulut Irma. Duduknya juga sudah beralih dari atas kerusi terus bersila di lantai menghadap Irish. Seakan tidak percaya adiknya sudah tahu akan hal tersebut. Setahu dia, tidak ramai yang tahu tetang majlis pernikahan Reza esok kerana ia diadakan secara tertutup atas permintaan Reza sendiri. Yang tahu hanyalah saudara-mara serta kenalan rapat keluarga itu. Dan yang lebih menghairankan Irma, adiknya itu cuma bersikap tenang.

“Yang Kak Lang menggelabah semacam ni kenapa? Dah tu, bertalu-talu pulak soalan yang ditanya. Mana satu yang Irish nak jawab ni?” balas Irish sambil tergelak melihat gelagat kakaknya.

“Eh, dia ni! Orang risaukan dia, dia boleh gelak-gelak pulak! Cakaplah. Macam mana Irish boleh tahu ni?”

“Siang tadi. Irish terdengar umi borak-borak dengan ayah masa nak ke dapur ambil air. Tapi terdengar tau. Bukan curi dengar. Jangan risau. Irish okay je. Tak ada apa-apalah. Irish dah lupa semua tu.” 

“Betul ni?” tanya Irma lagi inginkan kepastian.

“Ya. Betul. Dahlah, Kak Lang! Baik Kak Lang pegi tengok Adelin dengan Amsyar kat luar tu. Entah apa yang diorang tengah buat. Ni mesti Kak Lang dah warning budak-budak tu jangan masuk bilik kacau Irish, kan.”
“Menghalau nampak! Yelah, yelah. Baguslah kalau macam tu. Tak payah difikir sangat pasal jantan tu. Buat sakit hati je! Tutup buku lama, buka buku baru. Orang yang menganiaya ni tak selamanya akan aman. Kak Lang keluar dulu. Dah sambung study tu. Jangan asyik nak termenung je!” pesan Irma sebelum berlalu keluar.

Yes, maam!”

Irish menghantar kepergian Irma dengan sebuah pandangan. Terhibur sedikit hatinya selepas berbual dengan kakaknya itu.

Irma Qatrina merupakan anak ketiga dalam keluarga. Memang kakaknya itu kerap pulang ke rumah memandangkan dia tinggal berhampiran sini. Sementara abang sulungnya, Izzul Qalief dan Kak Ngahnya, Iman Qistina yang tinggal agak berjauhan hanya sesekali pulang. Abang serta kedua-dua kakak Irish masing-masing telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri manakala dia dan dua lagi adik lelakinya yang masih bujang, Irhan Qawiem dan Irfan Qayyum masih menetap bersama kedua orang tua mereka.

Irish kembali menyambung ulangkaji yang tergendala sebentar tadi. Entah mengapa berita yang disampaikan oleh kakaknya tidak terkesan langsung di hati. Malah sebulan yang lalu ketika berita pertunangan Reza sampai ke telinganya melalui seorang rakan, dia juga hanya tenang mendengar. Tidak tahu mengapa. Hendak menangis tidak, hendak ketawa jauh sekali. Dia lebih senang berdiam diri. Walaupun pada mulanya dia yang begitu berat untuk melepaskan Reza pergi.

Benar, kisah silam itu meninggalkan kesan yang amat mendalam pada dirinya hingga membuatkan hatinya menjadi tawar untuk mana-mana insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta semula. Baginya biarlah keadaan begini. Dia tidak mahu terluka lagi. Hingga tiba suatu saat nanti jika Allah bukakan pintu hatinya kembali untuk menerima lelaki, dia redha. Bila? Biarlah masa yang menentukan.

‘Masih adakah sinar bahagia untuk kau kecapi bersama insan lain, Irish?’ Entahlah. Dia sendiri tidak pasti!