Tuesday, July 26, 2016

BAB 10 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






M

ASA begitu pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik... tak sedar sudah setahun Irish menabur bakti bersama Haiyan. Telah banyak jua keringat yang dicurahkannya kepada syarikat.

Namun, hanya satu yang masih tidak dapat merubahnya. Sikap pendiam dan tidak banyak bercakap dengan insan yang tidak begitu dikenali kekal tegar tertanam dalam diri sehingga ke hari ini.

            “Irish!”

Terpasung gerak langkah susuk lampai itu. Segera dia berpaling. “Ya, Tengku.”

            “Petang nanti saya ada mesyuarat belanjawan untuk projek usaha sama dengan kerajaan di Putrajaya tu. Since our Finance Manager, Encik Naufal bercuti hari ni dan Puan Faridah pun ada tugas lain di luar, jadi saya nak awak ikut ke mesyuarat tu. Are you okay with that?”

“Boleh.” 

Senyuman Tengku Hafiy terukir. ‘Hai, Izzul! Masih tak berubah adik kau ni. Walau dua puluh patah pun yang aku cakap, sepatah juga yang keluar dari mulut dia.’ 

            “Okay. I’ll see you around 2.00 p.m. Saya tunggu awak kat bawah nanti,” ujar lelaki itu lalu beredar ke biliknya. 

Irish menyambung langkah. Kebetulan memang dia tak begitu sibuk hari ini. Sambil meneman Tengku Hafiy, dapatlah dia belajar ilmu yang baru sepanjang mesyuarat itu berlangsung nanti.


**********

           

ENAM bersahabat itu berjalan beriringan menuju ke sebuah kedai makan. Port kebiasaan mereka kala makan tengah hari. Masakannya menepati cita rasa, harganya berpatutan. Hanya bila tekak teringin makan menu yang berbeza, barulah akan bertukar angin ke tempat lain.

            “Mak Ani, nasi separuh macam biasa untuk kita orang berenam ya!” pinta Zaryn pada tuan pemilik kedai makan itu, Hajah Nuraini. 

“Okey! Air dah order belum?”

“Belum. Nanti kita orang order dengan abang Khairi!”

Setelah memesan air dari Abang Khairi, anak Hajah Nuraini dan mengambil juadah masing-masing, mereka memilih  meja di bahagian luar kedai tersebut.

“Fuh! Cuaca hari ni manyak panas lor!” keluh Elaine usai melabuh duduk.

            “Nasib kau tak pakai tudung, amoi. Merasa juga natural aircond luar ni, hah!”

            “Ala, Farisya. I cakap saja, maa! Janganlah marah.” Elaine menyengih pada rakannya.

Dia dan Farisya merupakan kerani di jabatan kewangan. Oleh kerana tidak ramai kaum Cina di jabatan mereka, jadi dia lebih selesa berkawan dengan rakan-rakan Melayu. 

Hidangan makan tengah hari penuh berselera dinikmati. Dari pagi penat bekerja menyiapkan tugas, dah tentu perut masing-masing berkeroncong lapar minta diisi.

            “Eh, kau orang ada dengar cerita tak?” Kak Maisarah berbicara tiba-tiba. Ton suaranya diperlahankan.

            “Ha, cerita apa Kak Mai? Gosip ke?” cepat-cepat Zaryn rapatkan dirinya.

            “Hisy! Kau ni kan, Ryn. Tak habis-habis dengan gosip!”

            “Laa... bukan ke? Tapi cara Kak Mai cakap ni macam nak bergosip aje!”

“Ingat muka akak ni muka gosip ke, dik oi!”

            “Habis, apa? Kalau dah akak cakap berbisik-bisik, rapat-rapat macam ni... mestilah nak kongsi cerita panas. Kan?”

            “Hisy! Bukanlah, Ryn. Ni... kau orang ada dengar-dengar tak anak lelaki bos yang duduk kat oversea tu dah balik sini?”

            “Yang mana, Kak Mai? Yang handsome sikit tu ke?”

            “Eh! Bukan handsome sikit tau, Isya. Handsome banyak kut! Betul ke, Kak Mai? Mana akak dengar ni?” Zaryn tampak teruja dengan khabar yang baru disampaikan.

            “Kebetulan semalam akak ada kat bilik Tengku Hafiy waktu Tengku Haiyan minta jemput adiknya tu kat airport malam tadi. Dengarnya dia dah balik sini. Tapi kali ni balik terus dan akan kerja kat Haiyan. Dah bertahun asyik tolong syarikat orang aje, kan. Dah sampai masanya bantu uruskan syarikat keluarga pula.”

            “OMG! Prince charming is coming back!” Zaryn berteriak gembira sebaik mendengar cerita Kak Maisarah. Tidak keruan jadinya gadis itu.

            “Hei! Tak payah nak prince charming sangatlah, Ryn! Tak habis-habis nak berangan!”

            “Isk... kau ni, In. Kacaulah! Bagilah aku chance sikit kalau iya pun! Kan, Cik Irish?” tutur Zaryn menyenggol bahu Irish di sebelah kirinya.

Irish yang tidak mengerti tentang apa dan siapa yang sedang dibualkan itu, hanya mengangguk tersenyum.

            “Yes! That guy anak bos tu... dia pernah datang masa annual dinner syarikat dua tahun lepas, kan? Kalau yang itu memang he’s so good looking! I tengok pun boleh cair, maa!”

            “Kau pun nak juga, Elaine? Hai, boleh tahan juga taste amoi ni!”

            “Hei, Isya. I cakap saja, maa! Tapi kalau dapat pun, apa salahnya? He’s got Chinese look on his face. Manyak handsome! Haiya... rugi kalau I tolak tau!” seloroh Elaine. Gelak yang lain terhambur tak semena-mena.

            “Hermm... tak kisahlah kau orang nak dia ke, apa ke. Tapi setahu akaklah... anak bos yang seorang tu susah sikit kalau bab-bab perempuan ni. Dari dulu lagi.”

“Eh! kenapa pula macam tu, Kak Mai?” Zaryn semakin berminat untuk mendengar.

Baru pertama kali cerita begini singgah di telinganya sejak bekerja di Haiyan. Semua pekerja syarikat sedia tahu Tengku Haiyan mempunyai seorang lagi anak lelaki yang tidak dapat dinafikan rupa parasnya. Tapi tak pernah pula dia tahu-menahu hal yang satu ini.

“Yalah... akak kan secretary abang dia. Kadang adalah juga Tengku Hafiy luahkan pada akak. Termasuklah fasal adik lelaki dia yang alergi perempuan tu. Bukan tak ada yang nak. Berderet! Tapi adiknya aje yang tak layan! Walau dah bertahun duduk kat UK tu.”

            “Tak apa, tak apa! Manalah tahu balik kali ni dia dah berubah. Kat Haiyan tu ramai aje staf perempuan. Termasuklah kita-kita ni. Kut ada salah seorang yang berjaya buka mata dan hati adik Tengku Hafiy tu, ha... tahulah dia nanti!” ucap Zaryn, yakin.

            “Eh! Kau orang aje, ya. Akak tak! Prince charming akak dah ada kat rumah tu!”

            “Laa... Kak Mai ni. Maksud Zaryn, staf perempuan yang masih singlelah! Yang dah kahwin, dah terkeluar dari list!”  

            “Amboi! Sedapnya mulut bercakap! Tahulah orang dah kahwin ni dah tak glamor, saham dah turun! Tapi, kan... kalau adik Tengku Hafiy tu nak pandang kita-kita ni pun... akak rasa Cik Irishlah yang paling up sikit dalam list!”

Pap!

Tersedak Irish yang sedang menyedut minuman kala bahunya ditepuk Kak Maisarah. “Err... saya?”

            “Iyalah. Kita orang staf biasa aje. Lainlah Cik Irish ni... salah seorang  yang berjawatan kat syarikat.” Insyirah mencelah.

            “Betul, betul, betul! Aku setuju seratus-peratus!” sokong Zaryn.

“Tak adalah. Cinta tu kan buta. Kalau dah suka dan ikhlas, benda-benda tu semua tak jadi masalah. Yang penting... hati. Jadi, semua orang tak perlu risau.”

“Oh, Cik Irish! Kalau itu anak bos akan suka you, tapi you tak mahu... kasi tolak sama I saja, mey! Confirm sebulan I belanja makan you all!” ucap Elaine tanpa segan silu.

Dan, tawa mereka sekali lagi bertebaran dengan gelagat selamba gadis Tionghua itu.    

 

**********

           

TERGESA-GESA gadis itu keluar dari lif. Hampir dia terlupa mesyuarat belanjawan di Putrajaya itu, walhal tadi dimaklumkan baru pagi. Nasib baik Tengku Hafiy telefon sebentar tadi mengingatkan.

Ayunan langkah deras diatur keluar dari bangunan Haiyan. Dia kesuntukan masa. Tengku Hafiy sudah menunggu di keretanya.

            “Opsss!”

Langkah figura itu terhenti. Bening dipejam. Rahang diketap perih.

‘Aduhhh! Sekali lagi ke?’

Irish kalut. Berkira-kira untuk menemui insan yang dilanggar terlebih dahulu, atau terus sahaja melangkah. Memikirkan Tengku Hafiy yang sudah lama menanti...

Ah...

Akhirnya kaki diayunkan kembali. Namun beberapa tapak, dia berhenti semula dan berpaling. 

“Err... maaf, ya!”

            Tanpa memandang gerangan di depan, langkahnya disambung tanpa menoleh ke belakang lagi. Walau di hati terasa bersalah, dalam kepalanya ketika itu hanya memikirkan Tengku Hafiy.

‘Sekurang-kurangnya aku sempat minta maaf. Harap-harap dia tak kisah.’

Irish cuba sedapkan hati sendiri. Tanpa sedar kelibat dirinya terpasak utuh dalam renungan tajam sepasang bening.

‘Memang dia tak sudi pandang aku agaknya...’

Dari balik kaca mata hitam, susuk lampai yang semakin menjauh terus direnung. Nafas ditarik sedalamnya. Sesaat, ia kembali dihembus. Sekuntum senyuman perlahan-lahan memekar di bibir merah itu.

It’s okay, girl. We’ll see then!” 

 

  

BAB 9 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






“ P

APA mana, Hafiy?” Tengku Dafina bertanyakan keberadaan suaminya. Selesai makan malam tadi dia dan Tengku Hazreen ke dapur membancuh minuman panas.      

            “Ada kat luar tu, ma. Pak ngah telefon tadi.”

Tengku Dafina melabuh duduk di sebelah anak lelakinya. Tengku Hazreen sudah melandai tubuh di sofa, menyertai abangnya menonton perlawanan bola sepak pasukan kegemaran mereka, Manchester United menentang pasukan Chelsea.

Lima minit....

“Pak ngah kirim salam semua.” Tengku Haiyan masuk semula ke dalam. Salam daripada abangnya, Tengku Arham selamat disampaikan.

“Ada apa abang ngah telefon, bang?”

“Tak ada apa. Saja tanya khabar. Dia minta maaf sebab tak dapat datang majlis kita minggu lepas. Dia dengan kak ngah ada urusan kat Amerika. Sambil tu jenguk sekali anak-anak mereka kat New York tu.”

Jeda.

Tumpuan masing-masing melekat pada perlawanan sedang berlangsung di layar televisyen LED 60 inci depan mata.

“Err... Hafiy. Boleh mama tanya sikit?”

“Tanya apa, mama?”

“Fasal Irish.”

“Irish? Kenapa dengan Irish?”

“Hafiy selalu ke jumpa Irish kat pejabat?”

“Kalau dah pejabat satu level memang hari-harilah jumpa, ma.”

“Sepanjang dia bekerja kat syarikat, Hafiy tengok Irish tu macam mana?”

            “She’s okay. Cuma pendiam sikit. Susah nak bercakap atau berbual dengan orang yang dia tak biasa atau baru kenal. Bercakap bila dia rasa perlu aje.”    

            “Hmm... kerja dia kat syarikat macam mana?” Tengku Haiyan mencelah.

            “Kerja dia okey. Papa tak payah risaulah. Mulut aje tak banyak cakap, tapi kerja dia memuaskan. Cepat catch up, rajin belajar, rajin bertanya. Baguslah macam tu, kan? Kurangkan bercakap, lebihkan kerja.”

            Tengku Haiyan mengangguk berpuas hati dengan jawapan diberi. Sebagai pengerusi syarikat, dia perlu ambil tahu tentang kakitangannya. Terutama yang masih baru seperti Irish.

            “Habis... Irish selalu bersendirilah kat pejabat tu? Tak bergaul dengan yang lain-lain?”

“Eh! Tak adalah, ma. Dengan orang tertentu aje dia kurang bercakap. Tapi dah kenal, naklah dia bergaul. Hafiy tengok budak-budak kat ofis tu pun semua sukakan dia. Termasuklah mak cik-mak cik cleaner. Siapa yang pandai pancing perhatian, dapatlah berbual dengan dia.”

            “Dengan kamu, nak dia bercakap?”

            “Dengan Hafiy memang taklah! Segan kut dengan kawan abangnya ni. Eh! Yang mama ni asyik tanya fasal Irish ni, kenapa? Dah berkenan ke? Untuk siapa? Untuk Hafiy?”

            “Isk, budak ni... ke situ pula dia! Tak ada apalah. Saja tanya. Tak sangka pula selama ni Izzul ada adik perempuan lagi. Baik nampaknya. Lemah lembut, sopan, hormat orang. Orangnya pun cantik. Sejuk mata mama tengok dia. Pandai Izzul sorok adik dia selama ni, ya?”

“Ehem, ehem!”

“Ha! Yang kamu ni dah kenapa, Reen? Sakit tekak ke?”

Tawa yang cuba ditahan Tengku Hazreen sedari tadi terburai jua akhirnya. “Alah, mama. Kalau mama dah berkenan sangat, apa tunggu lagi? Mama kan ada seorang lagi anak bujang. Tak payah risau-risaulah!”

“Siapa? Abang kamu yang seorang tu?”

            “Yalah. Siapa lagi? Nak bagi kat yang ni, dah berpunya. Sorrylah ya, Mr. Hafiy. Melepas sudah!”

            Deras Tengku Hafiy mencapai bantal kecil di sebelah lalu dilempar pada adiknya. Namun, gadis itu lebih pantas menangkap. Makin galak dia ditertawakan.

            “Kuat menyakat betul! Tak padan dengan kecik!”

“Ikut perangai siapa? Perangai abang dia juga, kan? Tapi, betullah. Reen pun suka dengan Kak Irish tu.  Pertama kali jumpa malam tu, dah rasa something special dengan dia. Kak Leen pun cakap benda yang sama.”

“Kenapa pula?” tanya Tengku Hafiy hairan.

“Yalah. Kita yang banyak bercakap ni, kalau berjumpa dengan orang tak banyak cakap, kan rasa tercabar. Rasa macam... nak juga cakap dengan dia, nak juga borak dengan dia. Macam-macamlah cara nak tarik perhatian dia. Sampailah dia dah buka mulut, nak bercakap, nak berbual dengan kita. Ha... masa itulah rasa puas!”

Dalam diam Tengku Hafiy mengiakan. Terkadang dia ingin juga berbual dan lebih mengenali Irish. Tapi nak dengar suara gadis itu, masya-ALLAH... payah betul!

Bak kata Izzul... sepuluh patah ditanya, setengah patah saja yang dijawab. Kadang-kadang tak jawab langsung. Memang satu cabaran baginya.

            “Irish tinggal dengan Izzul ke, Fiy?”

         “Tak adalah, ma. Masih tinggal dengan orang tuanya. Kalau balik kerja lewat atau ada hal penting aje Irish stay rumah Izzul.”

            “Hurmm... ada masa nanti Hafiy ajaklah Izzul dengan adiknya ke sini lagi. Bolehlah kita borak-borak panjang. Izzul pun lama dah tak bermalam kat sini, kan.”

            “Insya-ALLAH, ma. Nanti Hafiy sampaikan pada Izzul.”

Jawapan dari anak lelaki sulungnya buat Tengku Dafina tersenyum lega. Memang dia teringin sekali mengenali adik Izzul itu dengan lebih dekat.

Sejak pandang pertama melihat Irish pada malam majlis ulang tahun perkahwinannya minggu lalu, hati sudah jatuh sayang. Harapannya moga akan ada pertemuan-pertemuan seterusnya selepas ini bersama gadis manis itu.

 

BAB 8 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






               
I
RISH membelok keretanya memasuki pekarangan sebuah rumah Semi-D. Kelihatan kereta Izzul serta isterinya terparkir elok di dalam garaj. Malam ini dia akan bermalam di sini atas permintaan alongnya yang bersungguh mahu dia turut serta ke majlis ulang tahun perkahwinan ibu bapa Tengku Hafiy.

Ikutkan hati memang dia keberatan untuk pergi. Mengenangkan alongnya beria-ia mengajak, Tengku Hafiy pula sudah berkali-kali mengingatkan... rasa bersalah pula jika tidak diturutkan permintaan dua insan itu.

Irish keluar dari kereta. Barang-barangnya di bahagian belakang, diambil. Seusai salam diberikan, terjengul kelibat seseorang di muka pintu.

“Yeay! Acik Irish dah sampai!” jerit kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meluru keluar memeluk Irish.

“Hmm... rindunya Acik Irish kat Airi ni. Lama tak jumpa. Adik Qis mana?”

“Adik ada kat dalam tengah mandi. Jomlah masuk, Acik Irish. Meh... Airi tolong bawakan beg!” tutur Alief Qusyairi, anak sulung Izzul.

Diambilnya satu beg bersaiz kecil lalu digamit tangan ibu saudaranya masuk ke dalam rumah. Irish langsung ditarik ke sofa untuk duduk di sebelahnya.

“Papa! Mama! Acik Irish dah sampai!” laungnya.

Kala itu, kelibat Izzul dan Safiya muncul dari tingkat atas bersama anak kedua mereka, Aliefa Qisrina. Irish bangun bersalaman lalu mengambil Qisrina dari dukungan Izzul. sebelum

            “Pukul berapa Irish gerak tadi?”

Izzul melabuh duduk di depan Irish. Safiya terus e dapur meninggalkan suami, adik ipar serta anak-anaknya di ruang tamu.

            “Lepas asar tadi terus gerak. Umi, ayah dengan Irhan kirim salam.”

            “Waalaikumussalam. Esok Irish balik along ingat nak ikut sekali. Kasihan kat budak-budak ni asyik tanya bila nak balik rumah atuk dengan nenek.”

“Eloklah, long. Umi dengan ayah pun dah rindu dengan cucu-cucu dia ni. Pukul berapa along nak pergi rumah Tengku nanti?”

            “Lepas isyak dalam pukul 8.45 macam tu.”

            “Ada parti ke?”

            “Isk, tak adalah. Keluarga Tengku bukan jenis macam tu. Cuma buat majlis tahlil dan doa selamat. Lepas tu adalah jamuan sikit.”

            Irish terangguk-angguk. Kepala Qisrina yang terlentok di bahunya dicium.

            “Jemput minum, Irish. Kak Long tak ada buat apa. Ni pun along yang beli kat kafe depan sana tadi.” Safiya muncul dari dapur menatang dulang berisi air dan sedikit kuih-muih.

            “Tak apa, kak long. Ini pun dah cukup.”

            “Dah minum nanti Irish pergilah naik atas, berehat. Lepas isyak kita gerak. Along nak keluar pergi cuci kereta kejap.” Izzul bangkit dari sofa. “Airi nak ikut papa?”

            “Nak!” Cepat sahaja Qusyairi ikut bangun menuruti langkah papanya.

            “Nasiblah adiknya dah tertidur. Kalau tak, dengan budak-budak ni sekali nak ikut. Bukannya boleh tinggal dia orang berdua ni!”

Irish tertawa dengan bebelan kakak iparnya. Qisrina yang sudah lena di pangkuan, ditepuk lembut agar tidak terjaga dengan suara-suara mereka.

           

PERJALANAN yang memakan masa lebih kurang tiga puluh minit dari rumah Izzul berakhir di sebuah kawasan kediaman elit mewah. Banglo-banglo pelbagai reka bentuk dapat disaksikan di kiri dan kanan jalan menuju ke rumah keluarga Tengku Hafiy.

‘Berapa jutalah agaknya dia orang buat rumah besar-besar macam ni?’ Irish menyoal dalam hati. Ralit dia memerhati dalam rasa kekaguman tak terperi.

 Minit berselang, kereta Izzul berhenti di hadapan sebuah banglo besar yang terbina di atas sebuah bukit. Kawasannya kelihatan lebih luas berbanding banglo-banglo yang lain.

 

‘Vila Haiyan’

 

Terpampang nama itu pada sebuah papan tanda di hadapan pintu pagar.  

“Okey, kita dah sampai. Jom!”

Izzul mendahului yang lain keluar dari kereta. Tangan isterinya digamit masuk ke pekarangan vila sambil mendukung Qisrina. Irish di belakang memimpin kemas tangan Qusyairi di samping tetamu lain yang hadir ke teratak milik Tengku Haiyan. Masing-masing mengenakan baju Melayu serta baju kurung.

Melangkah masuk ke dalam vila, Izzul mengambil tempat bersebelahan Tengku Hafiy dan Tengku Haiyan bersama Qusyairi, menyertai jemputan lelaki yang berada di ruang tamu. Safiya membawa Qisrina dan Irish duduk dalam kelompok jemaah perempuan di ruangan tengah, di sisi kakak Tengku Hafiy, iaitu Tengku Hazleen Damyra yang sudah dikenalinya.

Tepat jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan tahlil arwah dan bacaan Yaasin diikuti doa selamat sempena meraikan ulang tahun perkahwinan Tengku Haiyan dan Tengku Dafina yang ke-35. Rutin biasa yang dilakukan hampir setiap tahun.

Biarpun sederhana sambutannya, namun lebih afdal. Lebih utama, mendapat keberkatan dan keredaan ALLAH SWT. Selesai majlis, Tengku Haiyan memberi sedikit ucapan sebelum tetamu dipersilakan menikmati jamuan di perkarangan vila.

“Helena tak datang ke, Fiy?”

“Tak. Dia balik kampung satu keluarga. Last minute. Emergency.”

            “Mak Engku dengan adik perempuan kau mana? Dari tadi tak nampak.”

“Aku pun tak pasti, Zul. Adalah tu kat sini-sini. Memang sibuk dia orang berdua tu dari siang tadi.”

            “Yalah... tengok tetamu pun ramai malam ni. Silap hari bulan, tak dapatlah aku jumpa Mak Engku dengan family kau yang lain.”

            “Eh! Apa pula tak jumpanya? Jumpa nanti. Mama aku tengah sibuk melayan tetamu tu. Kau pun janganlah balik awal sangat. Dah lama tak datang sini, kan. Staylah lama sikit. Rumah kau pun bukannya jauh sangat.”

            “Aku okey aje. Nak berjaga dua, tiga pagi pun tak ada hal. Takut budak-budak nilah yang mengantuk.”

            “Apa susah? Tidur sini ajelah. Habis cerita!” selamba Tengku Hafiy menuturkan.

           

“IZZUL.”

Perbualan rancak Izzul dan Tengku Hafiy terjeda. Saat menoleh ke belakang, sebuah senyuman terukir kala melihat susuk itu datang kepadanya.

“Mak Engku. Apa khabar?”

“Sihat, alhamdulillah. Izzul sihat? Lama dah kamu tak datang. Rindu betul Mak Engku!” ucap Tengku Dafina penuh teruja.

Hubungannya dengan Izzul memang akrab sejak Tengku Hafiy sering membawa lelaki itu bermalam di vila sewaktu menuntut bersama dulu. Hingga lama-kelamaan dia mengambil Izzul menjadi anak angkatnya. Gelaran Mak Engku yang dibahasakan Izzul juga atas saranannya. Nampak lebih mesra dan sedap didengar.

“Zul sihat, Mak Engku. Maaflah sibuk sikit, itu yang dah jarang ke sini. Lagi-lagi Fiya tengah berbadan dua. Tak boleh nak tinggalkan sendirian.”

Kornea Tengku Dafina serentak terarah pada Safiya yang sedang memangku Qisrina.

“Laa... kasihannya cucu Nek Engku. Dah tertidur dia. Fiya sihat, nak? Baby dalam perut ni sihat? Bila due?”

“Sihat, Mak Engku. Baby pun sihat. Insya-ALLAH due lagi dua bulan macam tu.”

“Iya? Alhamdulillah. Yang heronya ni mana? Tak nampak pun.”

“Ada kat sana tu, dengan aunty dia. Sibuk nak tengok ikan dalam kolam katanya.” Izzul menunjuk ke arah kolam ikan di taman mini tak jauh dari mereka. “Airi! Mari sini salam dengan Nek Engku!”

Lekas-lekas Qusyairi mendapatkan Tengku Dafina.

“Cucu Nek Engku ni belum tidur lagi? Tak mengantuk ke Airi?”

“Belum, Nek Engku. Seronok tengok banyak ikan dalam kolam tu. Kan, Acik Irish?” celoteh Qusyairi lalu mendongak memandang Irish di belakangnya.

Tengku Dafina menyoroti mata kanak-kanak itu. Seraut wajah mulus menyapa pandangannya.

“Mak Engku, kenalkan ini adik perempuan Izzul. Irish.”

“Assalamualaikum, Tengku. Apa khabar?”

Irish menghulur tangan bersalaman. Tangan Tengku Dafina dikucup penuh hormat. Saat menarik kembali tangan dari genggaman, entah kenapa wanita itu bagai enggan melepaskan. Matanya juga langsung tak berkalih dari terus memberi renungan.

Seminit... figura lampai Irish tiba-tiba didakap erat sebelum dahi gadis itu dikucup hangat. Beberapa saat, barulah genggaman tangannya dilepaskan perlahan-lahan.

Dalam tergamam, Irish kembali semula ke tempat duduknya bersebelahan Izzul. Kadar palpitasinya terasa turun naik tak menentu.

“Mak Engku dah takutkan Irish, ya. Maaflah. Di luar sedar Mak Engku.” Tengku Dafina seakan baru menyedari keterlanjuran.

Dia sendiri tak tahu bagaimana semua itu berlaku. Saat melihat Irish tadi, beningnya seakan ingin terus menatap wajah gadis tersebut. Persis ada sesuatu menarik minatnya untuk terus menikmati wajah mulus itu.

“Tak apa, Tengku. Saya  minta maaf  juga.”

“Isk! Tak payahlah ber‘Tengku-tengku’. Panggil Mak Engku aje, cukup. Sama macam abang kamu. Ini adik kamu yang dah kahwin tu ke, Izzul?”

“Eh, bukanlah Mak Engku. Ini adik perempuan Izzul yang bongsu. Belum kahwin lagi. Yang dah kahwin baru dua orang.”

“Oh, iya ke? Masih belajar?”

 “Ma, nilah adik Izzul yang baru kerja kat syarikat papa tu.” Tengku Hafiy mencelah perbualan tersebut. 

“Sebut-sebut nama papa ni, ada apa-apa yang papa boleh join ke? Hmm?”

Susuk Tengku Haiyan seiring muncul bersama kedua-dua anak perempuan serta suami Tengku Hazleen. Memandangkan semua tetamu telah pulang, mereka tidak ingin melepaskan peluang menyertai kelompok yang masih tegar berada di situ walaupun malam semakin larut.

            “Tak ada apalah, pa. Hafiy tengah kenalkan staf baru syarikat papa pada mama ni.”

            “Staf baru?”

            “Iya. Salah seorang staf baru yang Hafiy cerita tempoh hari. Perkenalkan, Irish Qiara Izzuddin... our Junior Financial Executive. Merangkap adik kepada kawan baik Hafiy, Izzul Qalief Izzuddin!”

            “Laa... iya ke? Kecik betul dunia ni, ya! Pusing sana, pusing sini... bertembung juga akhirnya. Subhanallah!”

            “Itulah. Masa finalised calon-calon hari tu, Hafiy tak tahu pun Irish ni adik Zul. Dah seminggu lebih dia kerja, baru dapat tahu. Itu pun kebetulan bertembung dengan si Zul dengan Irish masa tu. Kalau tak, sampai sekarang pun Hafiy tak tahu kut.”

            “Pak Engku minta maaflah ya Irish belum sempat jumpa dan kenal dengan staf baru. Tak sempat langsung. Ha... ni dah jumpa malam ni, dapatlah juga kenal-kenal. Nak-nak pula adiknya si Izzul ni, ya!”

            “Ada jodohlah tu!”

“Siapa yang ada jodoh, Reen?” Tengku Dafina berkalih pada anak bongsunya di sisi.

“Jodoh Kak Irishlah, ma!”

            “Jodoh dengan siapa pula?”

            “Siapa lagi? Dengan anak mamalah!”

           “Siapa? Dengan abang awak ni? Tak payah! Yang dah diikat tu pun belum menjadi, ada hati nak cari lain!” bidas Tengku Hazleen selamba, buatkan seisi mereka memandang Tengku Hafiy dan tertawa.       

“Eh! Hafiy tak ada cakap apa-apa pun, ya. Adik tu yang memandai!”

“Isk, bukan dengan abanglah! Jangan nak perasan! Tengoklah dengan siapa-siapa nanti. Yang pasti, masih single and available!” seloroh Tengku Hazreen lagi dengan lirikan senyuman penuh makna.

Perbualan mereka berlanjutan hingga ke topik-topik seterusnya. Adakala mereka ketawa, ada masa tergelak besar bila ada cerita lucu yang terkeluar. Ibarat seperti sebuah keluarga besar yang sedang berkumpul.  Hinggalah jam menginjak ke angka 2.00 pagi, barulah Izzul sekeluarga meminta diri untuk pulang.