A
|
Reza terus kaku berpeluk
tubuh merenung ke tasik terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata
dengan gadis di sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa petang itu.
“Jangan nak berguraulah, Reza. Awak
sedar tak apa yang awak cakapkan ni?”
“Saya tak bergurau,
Irish. Ini bukan masanya untuk bergurau.”
“Tapi kenapa?
Berbulan lamanya awak hilang tanpa khabar berita. Saya macam dah separuh gila mencari.
Tiba-tiba sekarang muncul, minta putus? Hmm? Apa benda semua ni?!” sedayanya
gadis itu minimumkan suaranya dari pengunjung sekeliling.
“Maafkan saya, Irish.
Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya tak boleh nak buat apa-apa lagi.
Keluarga saya tak restui hubungan ni.”
“Kenapa? Sebab kita
tak setaraf? Sebab saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Sebab tu
keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?”
“No, Irish.
Bukan macam tu.”
“Habis tu, apa?!”
Reza bungkam. Tidak
tahu apa harus dijawab. Perlahan tubuhnya beralih menghadap Irish. Mata gadis
itu ditentang. Dari raut rupa, dia tahu gadis itu sedang menahan amarah.
“Cakaplah. Kenapa
diam? Kenapa baru sekarang nak sebut tentang semua ni? Kenapa tak dari dulu
lagi? Waktu mula-mula awak nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak
waktu tu, tapi awak berkeras cakap takkan ada masalah timbul. Sebab yakin
keluarga awak sangat sporting, open minded untuk terima semua ni.
Awak janji perkara ni takkan berlaku. Jadi... mana janji-janji tu!?”
“Manusia boleh
berubah bila-bila masa.”
Kornea Irish memasung
tajam ke wajah Reza.
‘Tidak berperasaan
lagikah lelaki ini? Apa yang sudah merasuk fikirannya?’
“Mudahnya awak bercakap.
Setelah saya dapat yakinkan keluarga untuk terima, kali ni... awak pula yang
mengalah? Atau... awak sebenarnya dah tak sayangkan hubungan ni lagi. Cinta
awak yang dah mati...”
“No! Irish...
tolonglah faham keadaan saya.”
“Habis, siapa pula
yang nak faham keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan
hubungan ni. Saya turutkan segala kemahuan awak untuk rahsiakan hal ni dari
keluarga awak, dari semua orang. Selama tu juga saya bersusah payah pujuk
keluarga saya untuk restui hubungan kita. Sekarang, senang-senang awak suruh
saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!”
Kemarahan Irish kian
tak terbendung. Sabarnya kian menipis. Lagi-lagi melihat Reza bagaikan tiada rasa
bersalah apa-apa Kalaulah hanya mereka berdua saja di sini, mahu tangannya
melayang singgah di pipi lelaki itu.
“Terpulanglah apa
awak nak cakap, Irish. Saya tetap dengan keputusan saya. Hati keluarga saya
lebih utama dan perlu dijaga saat ni. Anggap saja kita tak ada jodoh. Apa yang
telah kita lalui selama ni, jadikan sebagai pengalaman hidup. Lagipun...
keluarga saya dah aturkan kehidupan yang lebih baik untuk saya.”
“Apa maksud awak?”
“Mereka dah temukan seorang gadis yang lebih
sesuai sebagai calon isteri saya. Tapi maaf… bukan awak.”
Zap!
Jantung Irish umpama
direntap. Tubuhnya menggigil. Jemarinya digenggam erat. Empangan air mata sudah
tidak kuat.
‘Keluarlah kau air
mata. Keluar saja. Tiada sebab untuk kau bertahan lagi!’
“Lepas ni tak usah
kita berhubung lagi. Anggap saja kita pernah
kenal sebagai kawan. Bukan kekasih,” ucap Reza mengenakan kaca mata
hitamnya dan berlalu melewati Irish.
“Reza...”
Langkah Reza terhenti,
menghadap figura itu kembali.
“Awak mungkir
janji-janji awak. Dan, awak lupa beban yang awak tinggalkan untuk saya.” Hanya
itu yang terluah di bibir Irish seiring renungan sayu ke raut lelaki itu.
Reza terpanar.
Kata-kata itu mengundang debaran serentak. Renungan sayu Irish ditatap.
Renungan yang sarat dengan seribu pengertian buatnya. Sesaat, jiwanya terusik.
Namun ego yang tinggi mengatasi segala-gala.
Tidak mahu kalah
dengan perasaan itu, dia berpaling semula. Ayunan langkah kembali direntak meninggalkan kekasih hati yang telah
berubah ‘takhta’nya.
Setitis air mata berguguran
lagi di pipi Irish...
Sudah lebih setengah
tahun ia berlalu. Selama itu jugalah dia berusaha melupakan segala kisah pahit
yang telah berlaku.
Berat mata memandang,
berat lagi bahu memikul. Kerana peristiwa itu, dia mengalami trauma yang teruk.
Diri tak terurus. Semangat hilang. Otak bercelaru. Andai iman tak kuat, mungkin
dia tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini.
“ALLAH masih
sayangkan Irish. Sebab itu ALLAH pendekkan jodoh Irish dengan Reza. Dia bukan
yang terbaik untuk Irish. Mungkin ALLAH dah sediakan lelaki yang lebih baik
buat Irish nanti. Insya-ALLAH... jodoh, pertemuan, hidup dan mati ni ALLAH SWT
dah aturkan yang terbaik untuk kita. Banyakkanlah bersabar dan sentiasa ingat
pada-NYA. Sentiasa solat dan mengaji kerana itu senjata sebenar kekuatan kita
sebagai umat Islam.
ALLAH tidak akan
menguji hamba-NYA lebih dari kemampuan sebenar kita. Umi percaya ada hikmah sebalik
semua kejadian ini. Dan, umi tahu anak umi seorang yang tabah dan kuat. Jangan
sedih-sedih lagi, ya? Tak ada guna bazirkan air mata untuk lelaki yang tak tahu
nak menghargai wanita ciptaan Yang Esa seperti kita.”
Masih segar pesanan
Puan Qarina saat dia kehilangan arah dulu. Umilah yang banyak menyalurkan
semangat dan kekuatan buatnya. Segala nasihat tak putus-putus keluar dari bibir.
Bahkan... dia
bersyukur dikurnia ahli keluarga yang sangat menyayangi dan mengambil berat. Bantu
pulihkan diri dan semangat. Tak jemu beri sokongan untuk dia bangun dari
mimpi-mimpi semalam dan bangkit dari kelukaan itu.
Jika tidak, dia tentu
masih terperuk di bawah selimut menangisi segala yang terjadi.
Atau mungkin melakukan
sesuatu yang di luar kewarasan akal fikiran. Bunuh diri!
‘Astarghfirullahalazim!
Selisih empat puluh empat malaikat!’ Dahi ditepuk beberapa kali memarahi diri
sendiri.
“Uittt! Apahal kau
ni, Rish? Tepuk-tepuk dahi sendiri bagai. Okey ke tak ni?”
“Isk, kak lang! Masuk
bagi salam dulu, tak boleh? Terkejut orang.”
“Dah bagi salam tadi.
Siap ketuk pintu lagi. Kau yang tak dengar!”
“Bila kak lang
sampai? Abang Afzal dengan budak-budak mana?” Irish bertanyakan abang ipar
serta anak-anak buahnya, Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.
“Ada tu kat luar dengan
yang lain. Dah habis study belum? Esok mula final exam, kan?”
Menjadi rutin bila
minggu peperiksaan bermula, Irish akan berkurung dalam bilik menelaah
pelajaran. Cuma kali ini... Irma sedikit risau dengan keadaan adiknya.
Ibarat cubit paha
kiri, paha kanan turut terasa.
Sungguh tak menyangka
Reza yang selama ini nampak baik di mata, sanggup memperlakukan Irish sebegini
sekali. Kalaulah dia punya kekuatan, mahu saja dia mengajar lelaki tak guna itu
sepuas hati!
“Ada lagi sikit nak
kena cover. Kak lang masuk bilik Irish ni kenapa?”
“Erm... err...”
“Sejak bila kak lang
jadi gagap nak bercakap ni? Selalu berdesup aje ayat keluar.”
“Hisy, sabarlah! Kak
lang nak cakaplah ni. Err... Irish tahu tak fasal tu?”
“Fasal apa?”
“Ma... ma... majlis
pernikahan Re... Reza esok.”
“Oh... itu. Tahu dah.”
“Hah? Irish dah tahu?
Bila? Tahu dari mana? Siapa yang beritahu?” Bertalu soalan keluar dari mulut
Irma. Duduk juga beralih dari atas kerusi terus bersila di lantai depan adiknya.
“Yang kak lang
menggelabah semacam ni kenapa? Dah tu, berderet soalan ditanya. Mana satu yang
Irish nak jawab ni?”
“Eh, dia ni! Orang
risaukan dia, dia boleh gelak-gelak pula! Cakaplah. Macam mana Irish boleh tahu
ni?” Irma penasaran. Rasanya tak ramai tahu tentang majlis pernikahan Reza esok
lantaran diadakan secara tertutup. Cuma saudara-mara serta kenalan rapat
keluarga saja.
“Siang tadi. Irish
terdengar umi bersembang dengan ayah masa nak ke dapur ambil air. Terdengar tau.
Bukan curi dengar.”
“Habis...Irish okey
tak ni?”
“Alhamdulillah, okey.
Kak lang jangan risaulah. Irish dah lupa semua tu.”
“Betul ni?” tanya
Irma lagi bila figura di depan cuma bersikap tenang.
“Ya. Betul.
Dahlah, kak lang! Lagi baik kak lang pergi tengok Adelin dengan Amsyar kat luar
tu. Entah apa dia orang tengah buat agaknya.”
“Halau nampak? Yalah,
yalah! Baguslah kalau macam tu. Tak payah difikir sangat fasal jantan seorang tu.
Buat sakit hati aje! Tutup buku lama, buka buku baru. Orang yang menganiaya ni
tak selamanya akan aman. Dah sambung study tu. Jangan nak termenung
aje!”
Irma Qatrina, anak
ketiga dalam keluarga. Memang kakaknya itu sering pulang menjenguk keluarga
memandangkan dia tinggal berhampiran. Sementara abang sulungnya, Izzul Qalief
dan kak ngahnya, Iman Qistina yang tinggal agak berjauhan hanya sesekali
pulang.
Masing-masing telah
berkahwin dan berkeluarga. Tinggal dia serta dua adik lelakinya, Irhan Qawiem
dan Irfan Qayyum masih di rumah ini menemani kedua orang tua mereka.
Irish kembali
menyambung ulang kaji yang tergendala. Entah kenapa berita yang disampaikan Irma
tidak terkesan langsung di hatinya. Malah sebulan yang lalu ketika berita
pertunangan Reza sampai ke telinga melalui seorang rakan, dia hanya tenang
mendengar.
Hendak menangis
tidak, ketawa jauh sekali. Dia lebih senang berdiam diri walaupun pada mulanya
dia yang begitu berat untuk melepas Reza pergi.
Ironinya... mimpi
ngeri itu sangat meninggalkan kesan pada dirinya. Hingga hati menjadi tawar
untuk mana-mana insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta semula.
Biarlah. Biarkan
keadaan kekal begini. Dia tidak mahu terluka lagi. Andai suatu saat nanti ALLAH
bukakan pintu hatinya kembali untuk menerima cinta dan lelaki, dia redha.
Bila? Biar masa yang
menentukan...
‘Masih adakah sinar
bahagia untuk kau kecapi bersama insan lain, Irish?’

No comments:
Post a Comment