S
|
UASANA di kediaman Encik
Izzuddin kedengaran riuh rendah. Mana tidaknya, seluruh ahli keluarganya
berkumpul pagi Ahad itu. Izzul serta Iman sekeluarga yang turut pulang
menambahkan lagi keriuhan di dalam rumah tersebut. Ditambah dengan suara riang
cucu-cucunya bermain. Puan Qarina adalah orang yang paling sibuk di dapur
menyediakan juadah sarapan sambil dibantu anak-anak dan menantu perempuannya.
Manakala Encik Izzuddin pula sedang duduk berbual-bual bersama ketiga-tiga anak
lelakinya di ruang makan yang turut disertai menantu-menantunya sementara
menunggu hidangan sarapan pagi tersedia.
Hanya kelibat Irish yang tidak kelihatan bersama-sama
mereka. Sebentar lagi dia akan ke universiti memandangkan hari ini adalah hari
pertama dia menghadapi peperiksaan akhir semester. Jarak rumah dari UiTM Shah
Alam tidaklah jauh mana. Hanya memakan masa sekitar beberapa minit sahaja
bergantung kepada keadaan jalanraya.
“Angah, dah jenguk Irish dalam bilik tu? Dah siap ke
belum? Kang lambat pulak sampai ke U
nanti.” Puan Qarina bertanya kepada Iman. Tangannya laju mengacau sambal sotong
di dalam kuali untuk disediakan bersama dengan nasi lemak yang dimasaknya pagi
ini. Agak banyak juadah yang disediakan. Maklumlah, bukan selalu keluarganya
dapat berkumpul ramai-ramai begini. Mujurlah ada ‘pembantu-pembantu’ di dapur yang
membantunya.
“Dah, umi. Tengah bersiap tu. Kejap lagi keluarlah dia,”
balas Iman yang sedang menyediakan minuman panas bersama kakak iparnya, Safiya.
“Hmm, minta-minta eloklah dia ambil exam nanti. Pulaknya majlis budak tu dibuat hari ni. Betul-betul
Allah nak uji kita. Nasib baiklah Irish tak tahu pasal hal ni!”
“Memang Irish dah tahu pun, umi!”
Serta-merta semua mata tertumpu pada Irma. Tajam renungan
mereka, seolah-olah meminta penjelasan daripadanya. Dia yang sedang mengelap
pinggan ketika itu, terus terhenti tugasnya. Menyedari diri sudah terlajak
kata.
“Semalam. Dia terdengar umi borak-borak dengan ayah pasal
hal tu masa dia nak ke dapur. Irish yang beritahu kat alang malam tadi.”
Puan
Qarina terdiam. Itulah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Nak buat macam mana. Terlajak perahu bolehlah diundur juga. Kalau sudah
terlajak kata, badan sendirilah yang tanggung.
“Habis
Irish macam mana, lang?” baru kini Safiya bersuara.
“Dia okay. Elok tenang je alang tengok. Siap
boleh gelak-gelak masa alang tanya. Alang pulak yang terlebih
risaukan dia. Tapi tulah. Luaran je nampak okay.
Dalam hati dia kita tak tahu. Yang alang boleh cakap, dia dah lupakan semuanya
dan boleh terima kenyataan.”
Puan
Qarina mengeluh perlahan. Rasa bersalah mula menjalar dalam diri. Iman yang
perasan akan kegelisahan uminya, datang menghampiri. Bahu Puan Qarina dipaut
lembut.
“Umi,
sudahlah tu. Angah tahu Irish tu kuat semangat. Kita sendiri tengok macam mana
dia berusaha lawan semua tu untuk bangkit macam sekarang. Apa yang boleh kita
buat cuma terus berdoa dan bagi semangat supaya dia tak down lagi, ya.”
“Ina!
Dah siap semua sarapannya? Anak cucu dah lapar dah ni. Abang jangan cakaplah,
dah berkeroncong perut ni!” laung Encik Izzuddin tiba-tiba dari ruang makan.
Suaranya yang sedikit kuat itu menyentakkan mereka yang berada di dapur.
Apalagi, kelam-kabut jadinya masing-masing menyudahkan tugas yang tergendala
sebentar tadi.
“Si Irish mana? Tak nampak-nampak dari tadi,” soal Encik
Izzuddin sebaik semua ahli keluarganya sudah berada di meja makan usai semua
juadah siap terhidang.
“Ada ni.”
Sahut satu suara. Dan ketika itu kelibat Irish muncul
dari arah bilik menuju ke ruang makan. Nampaknya dia sudah bersiap-siap untuk
ke universiti. Nasiblah. Dapat jadual periksa yang jatuh pada hari Ahad. Hari
pertama pula. Orang lain duduk bersantai di rumah, dia pula terpaksa memerah
otak di hujung minggu begitu.
“Duduk sarapan dulu, Irish.”
“Irish
dah lambat ni, umi. Nanti terlewat sampai pulak.”
“Duduk
dulu, Irish. Jamah sikit sarapan ni. Awak tu nak ambil exam. Kang tak berjalan pulak otak dengan perut kosong tu.” Izzul
sudah pun menarik kerusi di sebelahnya untuk Irish. Dalam pada itu matanya
sempat menangkap susuk tubuh adiknya yang kelihatan agak susut semenjak
akhir-akhir ini.
Kali ini Irish menurut kata alongnya. Dijamah sedikit
kuih-muih yang terhidang di atas meja bersama secawan teh o’ panas sebagai
mengalas perut.
“Okay, Irish
pergi dulu!” pamit gadis itu setelah menjamah sarapan. Dia kemudian menyalami
setiap ahli keluarganya di situ sebelum berangkat pergi. Sampai pada giliran
uminya, terus saja Puan Qarina memeluk anak perempuannya itu.
“Maafkan umi ya sebab rahsiakan hal tu. Umi cuma tak mahu
Irish terganggu. Jangan difikirkan sangat apa yang berlaku hari ni. Exam Irish lebih penting.”
“Tak ada apalah, umi. InshaaAllah, Irish okay. Janganlah risau.” Irish meleraikan
pelukan. Sekuntum senyum dihadiahkan pada uminya lalu kedua belah pipi wanita
itu dicium lembut. “Okay, semua!
Irish pergi dulu. Doakan, ya!”
Irish melambaikan tangannya sebelum berlalu pergi. Sebaik
kereta Satria Neo yang dipandu gadis itu hilang dari pandangan, terus sahaja
Encik Izzuddin menghampiri isterinya sebelum berkata sesuatu. “Irish dah tahu
ke?”
Semua mata kini tertumpu pada Puan Qarina, menantikan
jawapan. Lama wanita itu membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan, akhirnya
dia mengangguk lemah. Serentak itu terdengar beberapa keluhan terbit dari
mereka yang lain.
Puan Qarina mengesat air mata yang sudah mula jatuh ke
pipi. Pilu hatinya mengenangkan nasib Irish. Bagaimana agaknya anak itu dapat
menghadapi kemelut hidup dalam usia muda sebegini? Masih kuat lagikah Irish
untuk menghadapi pelbagai dugaan yang bakal mendatang dalam hidupnya di
kemudian hari?
Dan keluhan turut lahir dari celahan bibir wanita itu.
**********
GADIS tinggi lampai itu bersandar di sisi kereta sambil
memeluk buku-bukunya. Masih terngiang-ngiang riak muka setiap ahli keluarganya
sewaktu dia meninggalkan rumah tadi. Masing-masing kelihatan risau. Mungkin
risau dengan dirinya yang akan mengambil peperiksaan dalam keadaan dia telah
mengetahui khabar tentang perkahwinan Reza hari ini. Bohonglah kalau dia tidak
terkesan dengan berita tersebut. Tetapi fokusnya pada peperiksaan yang akan
berlangsung sebentar lagi melebihi dari fikirannya tentang lelaki yang tidak
punya pendirian itu.
‘Biarlah.
Kalau itu yang kau nak. Cuma aku harap kau takkan menyesal dengan jalan hidup
yang telah kau pilih ni, Reza.’
Satu
keluhan dilepaskan Irish. Cuba mengusir jauh segala gangguan yang
berlegar-legar di ruang fikirannya saat ini. Dia harus kembali tenang sebelum
peperiksaan bermula.
“Ha!” sergah seseorang dari belakang. “Termenung!”
“Astaghfirullahalazim! Kau, kalau tak kejutkan aku macam
tu, tak boleh ya?” soal Irish sedikit geram. Buku-buku yang dipegangnya habis
terlepas ke bawah. Perlahan dia menunduk lalu mengambil semula buku-buku itu.
“Boleh! Tapi sebab kau tengah termenung, kan. Syok sikit
kalau aku sergah. Kan ke aku suka tengok muka kau yang kalut macam tu!”
“Kan? Suka?” tingkah Irish pada Athirah yang sudah
tersengih-sengih.
Athirah, sahabat baik Irish sepanjang menuntut di UiTM.
Memang itulah satu-satunya rakan yang selalu bersamanya semasa di universiti
baik di dalam dalam kelas, dewan kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan,
mengulangkaji pelajaran mahupun aktiviti-aktiviti yang lain. Pendek kata, di
mana ada Irish di situlah ada Athirah. Sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi
kedua-dua sahabat itu.
“Sukalah! Sebab comel muka kau kalau kalut macam tu!”
semakin galak Athirah menyakat rakannya yang sudah pun menarik muka.
“Hmm, dahlah. Malas nak layan.”
Irish sudah mahu
melangkah meninggalkan Athirah. Kalau dilayan gadis itu memang sengaja cari
nahaslah dia. Kakinya mula dihayun menuju ke dewan peperiksaan yang terletak
tidak jauh di hadapan.
“Eh, cepatnya jalan! Marah ke?” soal Athirah yang sudah
menyaingi rakannya itu.
“Tak.”
“Jawapan macam tak ikhlas je!”
“Ikhlas sangat.”
“Lain macam je ni. Kau termenungkan apa, Rish? Ada
masalah? Nak share dengan aku?”
“Tak ada apalah,” jawab Irish acuh tak acuh.
“Alaa... sorrylah,
Irish! Marah pasal tadi ke? Aku gurau jelah. Nak bergurau manja pun tak boleh
ke?” spontan Athirah memeluk tubuh Irish, cuba memujuk. Dan perbuatannya itu
serta-merta membuatkan langkah mereka terhenti.
“Eh, lepaslah Ira! Tak nampak ke ramai orang ni? Tak malu
orang semua tengok? Kang lain yang diorang ingat, macam mana?”
“Biarlah. Macam diorang tak tahu aku kawan baik kau!”
“Tu orang yang tahu. Kalau yang tak tahu? Ingat kau ni famous sangat sampai semua orang kat
sini kenal kau? Monyet kat hutan pun belum tentu kenal kau, tahu tak? Jangan
nak perasan!” tingkah Irish sambil menampar lembut pipi gadis di sebelah.
Kemudian dia menyambung semula langkahnya menuju ke dewan peperiksaan.
“Amboi, sedap bahasa nampak! Monyet kat hutan kau cakap?
Hishh, dia ni memanglah! Tak bagi chance
aku nak merasa famous sikit!” Athirah
mula mengomel sambil mengejar Irish yang sudah jauh meninggalkannya di hadapan.
“Oi minah, tunggulah!”
No comments:
Post a Comment