Tuesday, July 26, 2016

BAB 6 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)





                               
L

ANGKAHNYA diatur kemas memasuki bangunan megah itu kali yang kedua. Kali pertama lebih kurang tiga minggu lalu sewaktu menghadiri temuduga. Hari ini kakinya melangkah dengan penuh semangat demi memulakan satu fasa baru dalam hidup.

Membina kerjaya serta cita-cita yang didamba...

‘Mampukah kau melaksana segala tugas yang akan dipertanggungjawabkan, Irish? Bukan calang-calang syarikat tempat kau akan berkhidmat ini.’

“Belum cuba belum tahu. Insya-ALLAH... boleh”

Haluan dihala ke meja penyambut tetamu dalam ruang legar yang mula dihujani kehadiran warga Haiyan.

“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Irish pada gadis penyambut tetamu itu, lembut. Masih gadis sama yang menyambutnya tempoh hari.

“Waalaikumussalam. Selamat pagi. Ya cik, boleh saya bantu?”

“Saya datang untuk lapor diri hari ni.”

“Oh, ya! Tunggu sebentar,” gadis itu memeriksa sesuatu dalam komputernya. “Cik Irish Qiara binti Izzuddin?”

“Ya, saya.”

“Cik Irish boleh ikut saya. Silakan.”

“Err, maaf cik...”

“Panggil aje saya Zaryn, Cik Irish,” tutur gadis itu memperkenalkan diri. Tampak mesra dengan senyuman di bibir, buat Irish sedikit selesa memula perbualan.

“Err, Zaryn... tak ramai ke yang lapor diri hari ni?”

“Ada tiga orang aje yang lapor diri hari ni. Termasuk Cik Irish.”

Irish mengangguk. Terasa ada keserasian dirinya dengan gadis kecil molek ini, walhal pertama kali berbual. Satu perkara yang amat jarang baginya bila bertemu dengan seseorang yang baru dikenali. Ditambah dengan sikap Zaryn yang peramah.

“Macam mana interview Cik Irish hari tu? Mesti seronok, kan?”

“Okey aje, Zaryn. Alhamdulillah.”

“Mestilah okey. Kalau tak, tak adalah saya dapat jumpa Cik Irish lagi hari ni!”

“Oh ya, lupa. Saya tak sempat nak ucap terima kasih kat awak lepas temuduga hari tu. Abang saya dah tunggu kat luar.”

“Tak apa, Cik Irish. Saya tak kisah pun. Ni dah jumpa balik, kan? Lepas ni lagi hari-hari Cik Irish akan jumpa muka saya. Sampai dah tak larat nanti nak tengok agaknya!”

Serentak ketawa mereka bergema dalam lif. Hingga pintu lif terbuka di tingkat 12...

“Silakan, Cik Irish. Bangunan syarikat ni ada lima belas tingkat semuanya. Satu tingkat mewakili satu department. Pejabat Cik Irish kat tingkat dua belas ni. Tingkat ni adalah untuk department kewangan dan istimewa sikit. Sebab di sini terletak sekali bilik CEO, CFO, COO dan beberapa pegawai atasan Haiyan yang lain.

Kalau Cik Irish perasan, tingkat dua belas ni agak besar berbanding tingkat-tingkat yang lain. Memang bahagian kewangan syarikat ni dipantau rapi oleh Tengku sekeluarga. Jadi senang sikit kalau letak satu tempat. Cuma bilik Chairman aje... iaitu bilik Tengku Haiyan berada di tingkat atas, tingkat tiga belas.

So, Cik Irish kira bertuah tau. Dapat kerja satu tingkat dengan our big bosses!” seloroh Zaryn sambil mengangkat sebelah keningnya.

“Bertuah apanya, Zaryn? Kecut perut adalah kena menghadap mereka hari-hari.”

“Rilekslah, Cik Irish. Bos kat sini semuanya baik-baik. Tak pernah bezakan pangkat walau mereka bukan berketurunan biasa. Saya dah empat tahun kerja kat sini, dah rasa macam kerja dengan keluarga sendiri. Cik Irish dah lama kat sini nanti tahulah macam mana.”

Sampai di hadapan sebuah bilik, Zaryn hentikan langkah. “Sampai sini aje saya hantarkan Cik Irish. Lepas ni Kak Maisarah, setiausaha Tengku Hafiy pula yang akan uruskan,” ujar gadis itu sambil memandang ke arah wanita yang dimaksudkan.

“Tadi Zaryn cakap ada dua orang lagi yang kena lapor diri hari ni. Mana dia orang, ya?”

“Oh, yang tu. Dia orang department lain. Cik Irish sorang aje yang saya kena hantar ke bahagian kewangan ni. Lepas ni Cik Irish bolehlah masuk.”

“Hmm... masuk? Masuk mana?”

“Masuk bilik Tengku Hafiy, our CEO. Rutin dia berjumpa dengan semua staf baru sebelum mereka mulakan tugas di sini.”

“Zaryn menyerahkan sebuah fail kepada wanita yang dipanggil Kak Maisarah tadi sambil berkata sesuatu.

Saya turun dulu, Cik Irish. Kalau ada apa-apa, saya ada kat bawah. Tapi kalau macam jauh sangat nak turun, Kak Maisarah yang dekat ni pun ada. Jangan risau, staf kat sini semuanya sporting dan mesra belaka. Tak gitu, Kak Mai?”

Kak Maisarah mengangkat kedua ibu jarinya. “Betul sangat!”

“Okey, Cik Irish. Enjoy your first day!” Zaryn mengenyitkan matanya dan berlalu.


**********


BAK patung cendana figura itu dalam ruangan pejabat tersebut sendirian. Sebentar tadi Kak Maisarah maklumkan yang Tengku Hafiy masuk sedikit lewat kerana ada hal perlu diuruskan.

Mata Irish melilau memandang setiap sudut ruang pejabat berkenaan. Tersusun rapi dan kemas. Ringkas tetapi menarik. Mungkin sama seperti tuannya yang sederhana, namun berkarisma. Itu yang didengar daripada mulut Izzul tentang rakan baiknya.

Jam tangan ditatap sekilas. Sudah melewati angka 9.30 pagi.

‘Ada ke tak, ya?’ Hati Irish mula berbolak-balik.

Krekkk.

“Assalamualaikum.”

Suara garau di belakang menyapa telinga seiring kuakkan daun pintu. Irish bingkas bangun. “Waalaikumussalam.”

It’s okay. Duduk aje. Maaf saya lambat. Ada hal kena selesaikan dulu. Maklumlah, hari Isnin...” bicara Tengku Hafiy ramah dalam tersenyum. “Dah lama tunggu?”

“Tak adalah, Tengku.”

Tengku Hafiy menatap raut di depan sejenak.  Sedetik, korneanya beralih pada fail yang diberikan setiausahanya sebelum masuk tadi. Fail yang mengandungi semua maklumat dan dokumen gadis di hadapannya. Hanya sepintas lalu, dia menutup fail itu kembali.

“Hurmm... rasanya tak ada apa yang perlu ditanya lagi. Dengan adanya awak kat sini maka terjawab sudah awak adalah salah seorang calon yang terpilih untuk berkhidmat bersama Haiyan. Dari penilaian kami, awak yang paling layak mengisi jawatan sebagai Junior Eksekutif Kewangan di sini. So, Cik Irish... dah bersedia menjadi sebahagian daripada kami?”

“Insya-ALLAH, saya akan berikan yang terbaik dan termampu untuk syarikat.”

Good. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menyertai keluarga Haiyan Holdings. Semoga tujuan kita untuk memajukan lagi syarikat ini akan diberkati dan diredai oleh-NYA, insya-ALLAH. Jadi sekarang, mari saya perkenalkan awak pada semua staf di sini.”

Seluruh pekerja yang berada di tingkat dua belas diperkenalkan kepada Irish. Tengku Hafiy turut menunjukkan setiap ruangan yang terdapat di tingkat itu bagi memudahkan pekerja baru memulakan tugas di syarikat berkenaan.

Alright, Miss Irish. This is your room. Kalau rasa tak selesa, terlalu kecil ke atau apa saja, boleh beritahu saya.

 “Ini dah lebih dari selesa, Tengku. Terima kasih.”

“Kalau macam tu, tak apa. Tapi kalau ada, just inform me. Sekejap lagi pembantu awak, Insyirah akan datang. Awak boleh belajar dan tanya apa saja berkenaan syarikat pada dia. This is you first day. So, just relax. Semuanya akan baik-baik saja. Saya keluar dulu.”

 Bersama senyuman manis, Tengku Hafiy meminta diri meninggalkan gadis yang mula mencuri perhatiannya.



No comments: