“A
|
PA??!” Irish benar-benar terkejut dengan apa yang baru didengarnya
sebentar tadi. Reza pula hanya berdiri berpeluk tubuh sambil merenung ke arah
tasik yang terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata dengan gadis di
sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa pada pertemuan kali ini.
“Awak jangan nak berguraulah, Reza. Ini
bukan benda main-main. Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?”
“Saya tak bergurau, Irish. Ini bukan
masanya untuk bergurau.” Reza membalas tenang. Matanya masih lagi terarah ke
hadapan, melarikan wajahnya dari pandangan gadis itu. Sungguh, dia benci untuk
berhadapan dengan situasi sebegini. Namun dia tidak punya pilihan.
“Tapi kenapa? Berbulan-bulan lamanya
awak menghilangkan diri. Tak ada khabar berita. Saya dah macam separuh gila
cari awak. Tiba-tiba sekarang muncul awak cakap yang awak nak break-off? Hmm? Apa benda semua ni?” Irish sedaya upaya cuba memperlahankan
nada suaranya agar tidak didengari oleh orang sekeliling yang turut berada di
situ. Airmata yang sudah berada di hujung tubir cuba ditahan agar tidak
merembes keluar. Mujurlah mereka berada di tempat awam, membuatkan dia masih
lagi dapat mengawal tingkah laku dan rasa amarahnya.
“Sorry,
Irish. Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya dah tak boleh nak buat
apa-apa lagi. Keluarga saya tak restui hubungan ni,” ucap Reza perlahan. Baru
kini dia berani menentang mata Irish.
“Kenapa? Sebab kita tak setaraf? Sebab
saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Jadi saya tak layak untuk
awak? Dan sebab tu, keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?”
“No,
Irish. It’s not like that.”
“Then
what?”
Pertanyaan Irish membuatkan Reza
terdiam. Tidak tahu bagaimana harus dia menjawab. Dari riak muka Irish, dia
tahu gadis itu sedang menahan marah.
“Cakaplah. Kenapa diam? Atau dah lupa
macam mana cara nak bercakap? Saya dah muak dengar alasan-alasan klise tu, Reza. Baru sekarang awak nak
sebut tentang semua tu? Kenapa tak sebut dari dulu lagi? Waktu mula-mula awak
nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak waktu tu tapi awak berkeras
cakap takkan ada apa-apa masalah akan timbul sebab awak yakin yang keluarga
awak sangat sporting and open minded
untuk terima semua ni.
Awak janji perkara ini takkan berlaku. Jadi
mana janji-janji awak dulu tu?!” tingkah Irish geram.
“Manusia boleh berubah bila-bila masa
je.”
Spontan Irish menoleh, merenung tajam ke
arah Reza di sebelah. Tidak menyangka jawapan tersebut yang akan keluar dari
mulut lelaki itu.
‘Tidak berperasaan lagikah lelaki ini?
Apa yang sudah merasuk fikiran dia sampai jadi begini? Astaghfirullahalazim!’
beristighfar Irish di dalam hati. Kepalanya didongakkan sekilas ke langit,
membuang jauh prasangka yang menjalar dalam diri. Nafas ditarik sedalam
mungkin, mencari sedikit ketenangan.
“Mudahnya awak bercakap. Setelah saya
dapat yakinkan keluarga saya untuk terima awak, dan sekarang awak pulak yang
nak mengalah? Atau mungkin awak sebenarnya yang dah tak sayangkan hubungan ni
lagi. Cinta awak yang dah mati!” suara Irish sudah mula kendur, cuba menahan
sebak yang semakin menghimpit dada.
“Irish, tolonglah faham keadaan
saya...,”
“Habis, siapa pulak yang nak faham
keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan hubungan ni.
Saya turutkan segala kemahuan awak. Kemahuan awak untuk rahsiakan hal ini dari
keluarga awak, dari semua orang. Dan selama tu jugaklah saya bersusah payah
pujuk keluarga saya untuk restui hubungan ni. Sekarang, senang-senang awak nak
suruh saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!”
Kemarahan Irish sudah tidak terbendung
lagi. Sabarnya juga kian menipis. Lebih-lebih lagi melihatkan tingkah Reza yang
bagaikan orang tidak bersalah apa-apa walaupun setiap kata-katanya bak pisau
tajam yang menghiris hati. Kalaulah hanya mereka berdua sahaja berada di sini,
mahu saja tangannya singgah di pipi lelaki itu.
“Terpulanglah apa awak nak cakap, Irish.
Saya tetap dengan keputusan saya. Hati keluarga saya lebih utama dan perlu saya
jaga sekarang ni. Anggap saja kita tak ada jodoh. Dan apa yang telah kita lalui
selama ini, jadikan sebagai pengalaman hidup. Lagipun, keluarga saya dah
aturkan kehidupan yang lebih baik untuk saya.” Reza mula berkeyakinan untuk
bersuara. Dia tidak mahu berlengah lagi untuk menyampaikan hasrat dan tujuan
sebenar yang membawa dia kepada pertemuan yang mungkin terakhir kali bersama
Irish ini.
“Apa maksud awak?” Irish merenung tepat
ke wajah Reza. Menanti butir-butir ayat seterusnya dari mulut lelaki itu dengan
perasaan berdebar-debar.
“Keluarga saya dah carikan seorang gadis yang
lebih sesuai sebagai calon isteri. Tapi maaf... bukan awak.“
Bagai direntap jantung Irish saat ini.
Tubuhnya menggigil. Jemarinya digenggam erat. Empangan airmata yang ditahan
sedari tadi nampaknya sudah tidak kuat. ‘Keluarlah kau airmata. Keluar saja.
Tiada sebab untuk kau bertahan lagi!’ desis hatinya. Sungguh dia tidak
menyangka ini balasan Reza setelah apa yang dia lakukan untuk lelaki itu selama
ini.
“Lepas ni tak usah kita berhubung lagi,
Irish. Anggap saja kita pernah kenal sebagai kawan. Bukan kekasih,” ucap Reza
sambil mengenakan kacamata hitamnya dan kemudian berlalu melewati Irish.
“Reza...,”
Lemah sahaja suara itu memanggil, membuatkan
langkah Reza terhenti. Lelaki itu menghadap Irish kembali dengan pandangan
bersahaja.
“Awak mungkir janji-janji awak. Dan,
awak lupa beban yang awak tinggalkan pada saya...,” hanya itu yang terluah di
bibir Irish sambil merenung sayu ke wajah lelaki itu.
Reza terpanar. Kata-kata itu mengundang
satu debaran di dadanya. Renungan sayu Irish ditatap. Renungan yang sarat
dengan seribu satu pengertian buatnya. Untuk seketika, hatinya sedikit terusik.
Namun ego yang tinggi mengatasi segala-gala. Tidak mahu kalah dengan perasaan
itu, Reza berpaling semula dan meneruskan langkahnya meninggalkan Irish bersama
semua kenangan-kenangan cinta mereka.
IRISH tersedar dari menungannya. Tidak tahu entah berapa lama dia
termenung melayani perasaan mengingati peristiwa itu. Sudah lebih setengah
tahun ia berlalu. Bermakna selama itu jugalah dia berusaha untuk melupakan
segala kisah pahit yang telah berlaku.
Berat mata memandang, berat lagi bahunya
yang memikul. Disebabkan peristiwa itulah dia mengalami trauma yang agak teruk.
Semangatnya hilang entah ke mana. Kalaulah imannya tidak kuat, mungkin hari ini
dia tidak berada di sini lagi. Mujur dia masih punya keluarga yang amat
menyayangi dirinya, yang banyak membantu memulihkan semangatnya dan tidak
pernah jemu memberi sokongan untuk dia bangkit semula dari mimpi-mimpi semalam.
“Allah masih sayangkan Irish. Sebab tu
Allah pendekkan jodoh Irish dengan dia. Dia bukan yang terbaik untuk Irish.
Mungkin Allah dah sediakan lelaki yang lebih baik buat Irish nanti. Insyaallah,
jodoh pertemuan hidup mati ni kan Allat swt dah aturkan yang terbaik untuk
kita. Jadi banyakkanlah bersabar dan sentiasa ingat pada-Nya. Sentiasa solat
dan mengaji kerana itu senjata sebenar kekuatan kita sebagai umat Islam. Allah
tidak akan uji hamba-Nya lebih dari kemampuan sebenar kita. Umi percaya ada
hikmah yang Allah nak tunjukkan disebalik semua kejadian ini. Dan
umi tahu anak umi ni seorang yang tabah dan kuat. Jangan sedih-sedih lagi, ya. Tak guna kita bazirkan airmata untuk
lelaki yang tak tahu nak menghargai wanita ciptaan Tuhan seperti kita.”
Masih terngiang-ngiang lagi pesanan Puan
Qarina ditelinganya saat dia kehilangan arah dulu. Uminya itulah yang banyak
membantu menyalurkan semangat serta kekuatan dalam dirinya. Segala nasihat dan
kata-kata peransang tidak putus-putus keluar dari mulut wanita itu.
Bukan itu sahaja, bahkan Irish juga amat
bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga yang amat mengambil berat akan
keadaannya sepanjang dia mengalami trauma sehinggalah dia pulih dan menjalani
kehidupan seperti sediakala sekarang. Tidak tergambar bagaimanalah agaknya
keadaan dia sekiranya keluarga tiada di sisi menemani selama dia bangkit semula
dari kelukaan itu. Tentu dia masih lagi terperuk di bawah selimut di atas katil
sambil menangisi segala yang telah terjadi. Atau mungkin jika diikutkan kata
hati, tidak mustahil dia akan melakukan sesuatu tindakan yang di luar kewarasan
akal fikiran. Bunuh diri!
‘Astaghfirullahalazim! Selisih empat
puluh empat malaikat! Irish, apa yang kau melalut ni!’ gerutunya di dalam hati.
Dahinya ditepuk beberapa kali seakan memarahi diri sendiri.
“Uiittt! Apasal kau ni, Rish?
Tepuk-tepuk dahi sendiri bagai. Okay
ke tak ni?” Irma, kakak Irish, tiba-tiba menegurnya dari belakang. Tidak sedar
entah bila kakaknya itu masuk ke biliknya.
“Ishh, Kak Lang ni! Masuk tu bagi salam
dulu boleh tak? Ni main redah je!”
“Kau tu yang termenung tak habis-habis.
Kak Lang dah bagi salam dah, siap ketuk pintu lagi. Kau yang tak dengar. So, Kak Lang masuk jelah. Kau okay tak ni?” tanya Irma sekali lagi.
Sedikit risau dengan keadaan adiknya itu.
“Okay
je. Orang okaylah! Bila Kak Lang
sampai? Abang Afzal dengan budak-budak mana?” Irish bertanyakan tentang abang
ipar serta anak-anak buahnya, Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.
“Ada tu hah kat luar tengah tengok TV.
Dah habis study belum? Esok start final exam, kan?” tanya Irma
prihatin. Sudah menjadi kebiasaan bila minggu peperiksaan bermula, adiknya itu
akan berkurung di dalam bilik untuk mentelaah pelajaran sebagai persediaan
terakhir. Cuma kali ini dia sedikit risau dengan keadaan Irish semenjak
kejadian dulu itu. Pilu hati bila mengenangkan. Ibarat cubit peha kiri, peha
kanan turut terasa. Itulah yaang berlaku. Sungguh dia tidak menyangka Reza yang
selama ini nampak baik di matanya, sanggup memperlakukan Irish sebegitu.
Kalaulah dia punya kekuatan, mahu saja dia mengajar lelaki tak guna itu.
“Ada lagi sikit yang nak kena cover. Kak Lang masuk bilik Irish ni
kenapa? Ada apa-apa nak cakap ke?”
“Err...,”
“Apa dia, Kak Lang? Sejak bila Kak Lang
jadi penakut nak tanya ni. Selalunya berdesup soalan keluar dari mulut dia.”
“Ishh, sabarlah! Kak Lang nak tanyalah
ni. Ermm... Irish tahu tak pasal tu?” soal Irma berhati-hati. Takut akan
menyinggung perasaan Irish. Lebih-lebih lagi esok adiknya itu akan menduduki
peperiksaan.
“Tahu pasal apa?”
“Pa... pa... pasal majlis pernikahan
Re... Reza esok,” tersekat-sekat suara Irma memberitahu tentang perkhabaran
itu.
“Oh, pasal tu. Tahu dah.”
“Hah??! Irish dah tahu? Bila? Tahu dari
mana? Siapa yang beritahu? So, Irish okay tak ni?!” bertalu-talu soalan yang
keluar dari mulut Irma. Duduknya juga sudah beralih dari atas kerusi terus
bersila di lantai menghadap Irish. Seakan tidak percaya adiknya sudah tahu akan
hal tersebut. Setahu dia, tidak ramai yang tahu tetang majlis pernikahan Reza
esok kerana ia diadakan secara tertutup atas permintaan Reza sendiri. Yang tahu
hanyalah saudara-mara serta kenalan rapat keluarga itu. Dan yang lebih menghairankan
Irma, adiknya itu cuma bersikap tenang.
“Yang Kak Lang menggelabah semacam ni
kenapa? Dah tu, bertalu-talu pulak soalan yang ditanya. Mana satu yang Irish
nak jawab ni?” balas Irish sambil tergelak melihat gelagat kakaknya.
“Eh, dia ni! Orang risaukan dia, dia
boleh gelak-gelak pulak! Cakaplah. Macam mana Irish boleh tahu ni?”
“Siang tadi. Irish terdengar umi
borak-borak dengan ayah masa nak ke dapur ambil air. Tapi terdengar tau. Bukan
curi dengar. Jangan risau. Irish okay je.
Tak ada apa-apalah. Irish dah lupa semua tu.”
“Betul ni?” tanya Irma lagi inginkan
kepastian.
“Ya.
Betul. Dahlah, Kak Lang! Baik Kak Lang pegi tengok Adelin dengan Amsyar kat
luar tu. Entah apa yang diorang tengah buat. Ni mesti Kak Lang dah warning budak-budak tu jangan masuk
bilik kacau Irish, kan.”
“Menghalau nampak! Yelah, yelah.
Baguslah kalau macam tu. Tak payah difikir sangat pasal jantan tu. Buat sakit hati je! Tutup
buku lama, buka buku baru. Orang yang menganiaya ni tak selamanya akan aman. Kak Lang keluar
dulu. Dah sambung study tu. Jangan
asyik nak termenung je!” pesan Irma sebelum berlalu keluar.
“Yes,
maam!”
Irish menghantar kepergian Irma dengan
sebuah pandangan. Terhibur sedikit hatinya selepas berbual dengan kakaknya itu.
Irma Qatrina merupakan anak ketiga dalam
keluarga. Memang kakaknya itu kerap pulang ke rumah memandangkan dia tinggal
berhampiran sini. Sementara abang sulungnya, Izzul Qalief dan Kak Ngahnya, Iman
Qistina yang tinggal agak berjauhan hanya sesekali pulang. Abang serta
kedua-dua kakak Irish masing-masing telah berkahwin dan mempunyai keluarga
sendiri manakala dia dan dua lagi adik lelakinya yang masih bujang, Irhan
Qawiem dan Irfan Qayyum masih menetap bersama kedua orang tua mereka.
Irish kembali menyambung ulangkaji yang
tergendala sebentar tadi. Entah mengapa berita yang disampaikan oleh kakaknya
tidak terkesan langsung di hati. Malah sebulan yang lalu ketika berita
pertunangan Reza sampai ke telinganya melalui seorang rakan, dia juga hanya
tenang mendengar. Tidak tahu mengapa. Hendak menangis tidak, hendak ketawa jauh
sekali. Dia lebih senang berdiam diri. Walaupun pada mulanya dia yang begitu
berat untuk melepaskan Reza pergi.
Benar, kisah silam itu meninggalkan
kesan yang amat mendalam pada dirinya hingga membuatkan hatinya menjadi tawar
untuk mana-mana insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta semula.
Baginya biarlah keadaan begini. Dia tidak mahu terluka lagi. Hingga tiba suatu
saat nanti jika Allah bukakan pintu hatinya kembali untuk menerima lelaki, dia
redha. Bila? Biarlah masa yang menentukan.
‘Masih adakah sinar bahagia untuk kau
kecapi bersama insan lain, Irish?’ Entahlah. Dia sendiri tidak pasti!
No comments:
Post a Comment