Thursday, April 17, 2014

BAB 9 : BAYANGAN GURAUAN





 L
ANGKAHNYA diatur penuh kemas memasuki bangunan besar itu. Ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke Haiyan Holdings. Kali pertama lebih kurang tiga minggu yang lalu sewaktu dia menghadiri temuduga. Namun hari ini kakinya melangkah dengan penuh semangat untuk memulakan satu fasa baru dalam hidupnya dan akan terus melangkah pada hari-hari yang berikutnya demi membina kerjaya serta cita-cita di syarikat itu.

Sama seperti sebelum ini, hatinya tetap berdebar-debar ketika memasuki ruang legar bangunan tersebut. Cuma kali ini debarannya agak berlainan memandangkan hari ini adalah hari pertama dia berkhidmat di sini. ‘Mampukah kau melaksanakan segala tugas yang akan dipertanggungjawabkan pada diri kau, Irish? Bukan calang-calang syarikat tempat kau akan bekerja ini.’ Hatinya berbisik risau. 

“Tak apa, Irish. Belum cuba belum tahu. Insyaallah, kau boleh!” Irish menasihati diri-sendiri. Segera kakinya dihala ke meja penyambut tetamu. Ruang legar ketika itu dipenuhi pekerja-pekerja Haiyan Holdings yang mula memasuki pejabat masing-masing.

“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Irish pada gadis yang berada di meja penyambut tetamu itu dengan lembut.

 “Waalaikumussalam. Selamat pagi. Ya cik, boleh saya bantu?” gadis itu menjawab sopan lalu tersenyum.

“Saya datang untuk lapor diri hari ni.”

            “Oh, cik nak lapor diri? Tunggu sebentar, ya.” Bicara gadis itu sambil tunduk memeriksa fail yang berada di hadapannya. Sesaat kemudian, dia mendongak semula memandang Irish. “Cik Irish Qiara binti Izzuddin?”

            “Ya, saya.”

“Cik Irish boleh ikut saya. Silakan.”

Gadis itu bangun dan meminta Irish mengikutinya sambil di tangan memegang erat sebuah fail. Hanya beberapa langkah mereka berjalan, Irish memanggil gadis tersebut.

            “Err, maaf cik....”

        “Panggil je saya Zaryn, Cik Irish.” Gadis itu memperkenalkan diri. Tampak mesra dengan senyuman di bibir, membuatkan Irish berani untuk memulakan perbualan.

“Zaryn, tak ramai ke yang lapor diri hari ni?”

“Ada tiga orang je yang perlu lapor diri hari ni. Termasuk Cik Irish.”

“Patutlah senang je Zaryn dapat detect saya.”

“Sudah semestinya! Lagipun, Cik Irish sorang je perempuan. Yang lagi dua orang tu lelaki. So bila Cik Irish cakap nak lapor diri tadi, saya cuma check nama je.”

Irish menganggukkan kepalanya. Terasa ada keserasian bila dia bersembang dengan gadis kecil molek ini, walhal ini baru pertama kali mereka berbual. Satu perkara yang amat jarang bagi dirinya apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali. Tempoh hari sewaktu hadir ke temuduga, dia tidak terfikir untuk berbuat demikian dek kerana perasaan takut dan gemuruhnya. Tetapi hari ini, ditambah lagi dengan sikap Zaryn yang peramah dan ceria membuatkan Irish mula berasa senang dengan gadis tersebut.

“Macam mana interview Cik Irish hari tu? Mesti seronok, kan?”

“Biasa je, Zaryn. Okaylah. Alhamdulillah.”

“Mestilah okay, kan? Kalau tak, tak adalah saya dapat jumpa Cik Irish lagi hari ni!”

“Oh ya, lupa! Saya tak sempat nak ucap terima kasih kat awak lepas temuduga hari tu. Abang saya dah tunggu kat luar.”

“Tak apa, Cik Irish. Saya tak kisah pun. Ni dah jumpa, kan? Lepas ni lagi hari-hari Cik Irish jumpa muka saya. Sampai dah tak larat nanti nak tengok agaknya!”

Serentak itu ketawa mereka bergema di dalam lif. Mujur hanya mereka berdua di dalam itu. Dan ketawa mereka terhenti sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat dua belas.

“Silakan, Cik Irish.” Zaryn melangkah keluar diikuti Irish. “Bangunan syarikat ni ada lima belas tingkat semuanya. Satu level mewakili satu department. Pejabat Cik Irish kat tingkat dua belas ni which this level is for finance department. Tapi level ni dia special sikit, tak sama dengan level yang lain. Sebabnya level ni sekali satu level dengan bilik CEO, CFO, COO dan beberapa pegawai atasan Haiyan Holdings yang lain. Kalau Cik Irish perasan, tingkat dua belas ni agak besar sikit berbanding tingkat-tingkat yang lain. Memang bahagian kewangan syarikat ni dipantau rapi oleh Tengku sekeluarga. Jadi senang sikit kalau letak satu level ni. Cuma bilik Chairman je, iaitu bilik Tengku Haiyan kat tingkat atas, tingkat tiga belas. So, Cik Irish ni kira bertuah tau. Dapat kerja satu level dengan our big bosses Haiyan Holdings!” seloroh Zaryn sambil mengangkat sebelah keningnya.

“Bertuah apanya, Zaryn. Kecut perut adalah kena menghadap mereka hari-hari!” Irish berbisik di telinga Zaryn, agak perlahan hingga membuatkan gadis itu tergelak kecil.

Relaxlah, Cik Irish. Big bosses kat sini semuanya baik-baik. Tak pernah beza-bezakan pangkat walaupun mereka bukan berketurunan biasa. Saya dah empat tahun kerja kat sini, dah rasa macam kerja dengan keluarga sendiri. Cik Irish dah lama kat sini nanti tahulah rasanya
macam mana.” Zaryn kembali berbisik pada Irish.

Sampai sahaja di hadapan sebuah bilik, Zaryn menghentikan langkahnya. Kemudian dia berpaling menghadap Irish. “Sampai sini je saya boleh hantarkan Cik Irish. Lepas ni Kak Maisarah, setiausaha Tengku Hafiy pulak yang akan uruskan,” ujar gadis itu sambil memandang ke arah wanita yang dimaksudkan.

“Tadi bukan Zaryn cakap ada dua orang yang lain ke yang kena lapor diri hari ni. Mana diorang, ya?”

“Oh, yang tu! Memanglah ada lagi dua orang. Tapi diorang under department lain. Cik Irish sorang je yang saya kena hantar kat bahagian finance ni. Lepas ni Cik Irish bolehlah masuk.”

“Hmm? Masuk? Masuk mana?”

“Masuk bilik Tengku Hafiy, our CEO. Memang dia dah pesan nak berjumpa dengan semua staff baru on first day mereka mulakan tugas di sini.”

Zaryn lantas menyerahkan fail yang dipegangnya kepada wanita yang dipanggil Kak Maisarah tadi sambil berkata sesuatu.

Okay, Cik Irish. Saya turun dulu. Kalau ada apa-apa, saya ada kat bawah. Tapi kalau macam jauh sangat nak turun, Kak Maisarah yang dekat ni pun ada. Jangan risau. Staff kat sini semuanya sporting-sporting. Tak gitu, Kak Mai?” soal Zaryn pada Kak Maisarah. Wanita itu  hanya mengangkat kedua ibu jarinya sambil tersenyum.

Okay, Cik Irish. Saya gerak dulu. Enjoy your first day!” Zaryn mengenyitkan matanya sambil berlalu meninggalkan Irish.
            
           

IRISH duduk di dalam ruangan pejabat itu sendirian. Baru sebentar tadi Kak Maisarah memaklumkan bahawa Tengku Hafiy menyuruh agar dia masuk ke sini terlebih dahulu kerana lelaki itu ada beberapa hal yang perlu diuruskan. Sementara menunggu tuan empunya bilik tiba, mata Irish melilau memandang setiap sudut ruang pejabat yang tersusun kemas dan rapi itu. Ringkas tetapi menarik. Mungkin sama seperti tuannya yang sederhana, tetapi berkarisma. Itu yang didengar daripada mulut Izzul tentang rakan baik alongnya itu.

Irish memandang jam di tangan. Jarum sudah menunjukkan angka 9.30 pagi. Perasaannya mulai gelisah. ‘Ada ke tak, ya?’ desisnya. Hati Irish mula berbolak-balik. Namun hanya seketika bila tiba-tiba kedengaran pintu bilik pejabat itu terkuak dari luar.

“Assalamualaikum.”

            Suara seorang lelaki di belakang menyapa telinganya. Irish bingkas bangun dari kerusi yang diduduki. “Waalaikumussalam.”

           “Tak apa. It’s okay. Duduk je, Cik Irish. Maaf saya lambat sikit. Ada hal yang kena settled dulu. Maklumlah, hari Isnin.” Tengku Hafiy memberitahu dengan ramah sambil senyuman terukir di bibirnya.

“Tak apa, saya faham.”

            “Dah lama tunggu?”

          “Tak adalah, Tengku.” Tenang Irish menjawab. Namun yang sebenarnya dia cuba menutup rasa gugup dalam diri kerana pertama kali berhadapan dengan majikannya ini.

            Tengku Hafiy memandang Irish sekilas, sebelum matanya dialih pada fail yang diberikan oleh setiausahanya sebelum dia masuk ke sini tadi. Fail tersebut mengandungi semua maklumat dan dokumen berkenaan gadis yang sedang berada di hadapannya ini. Hanya sepintas lalu, dia menutup kembali fail tersebut.

            “Hmm... rasanya tak ada apa yang perlu ditanya lagi. Dengan adanya awak kat sini hari ini maka terjawab sudah yang awak merupakan salah seorang daripada tiga calon yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan Haiyan Holdings. Dan mengikut penilaian kami, awak adalah calon yang layak untuk memegang jawatan sebagai Financial Executive di sini. So Cik Irish, awak dah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kami?”

            “Insyaallah, saya akan berikan yang terbaik dan termampu untuk syarikat.” “Baiklah. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menyertai keluarga Haiyan Holdings. Semoga tujuan kita untuk memajukan lagi syarikat ini akan diberkati dan diredhai olehNya. Insyaallah. Jadi sekarang mari, saya perkenalkan awak pada staff-staff di sini dan apa yang ada kat tingkat ni. Kemudian saya akan tunjukkan bilik awak. Silakan,” ujar Tengku Hafiy seraya bangun dari kerusi sebelum Irish menuruti langkahnya di belakang.

Semua pekerja yang berada di tingkat dua belas diperkenalkan kepada Irish. Bukan itu sahaja, malah Tengku Hafiy juga turut menunjukkan setiap ruangan yang terdapat di tingkat itu bagi memudahkan pekerja barunya untuk memulakan tugas di syarikat berkenaan. Irish yang pada mulanya agak gementar, mula terasa yakin dan seronok sedikit demi sedikit tatkala diperkenalkan kepada semua pekerja di tingkat itu yang pada pengamatannya amat mesra dan peramah. Majoriti mereka adalah Melayu. Hanya beberapa orang sahaja yang berketurunan Cina dan India serta bumiputera Sarawak. Selesai sahaja urusan tersebut, Tengku Hafiy kemudiannya membawa Irish masuk ke sebuah bilik.

            “Alright, Cik Irish. This is your room. How is it? Kalau rasa tak selesa, terlalu kecil ke atau apa saja, let me know.

            “Eh, tak ada Tengku. Ini dah lebih dari selesa. Terima kasih.”

            “Kalau macam tu, tak apa. Tapi kalau ada apa-apa, just inform me. Alright?”

            “Baik, Tengku.”

         “Good. Saya keluar dulu. Sekejap lagi pembantu awak, Insyirah akan datang dan awak bolehlah belajar sikit-sikit dulu dengan dia berkenaan syarikat ni. Apa-apa masalah, awak rujuk dengan dia. This is you first day. So just relax and stay calm. Semuanya akan baik-baik saja.” Tengku Hafiy memberikan kata-kata akhirnya dengan sebuah senyuman. 

        Sebaik Tengku Hafiy keluar dari bilik itu, Irish menarik nafas sedalam-dalamnya. Setiap ruangan bilik itu diperhatikan. Bilik itu tidaklah kecil. Tidak juga terlalu besar seperti bilik Tengku Hafiy. Sederhana sahaja, namun cukup untuk membuat dia berasa sangat selesa. Perabot, hiasan dalaman, lukisan. Semuanya serba ringkas, tetapi menarik dan elegan.

            ‘Hmm... macam mimpi je aku ada kat sini. Inilah rezeki yang umi dan ayah cakapkan. Rezeki yang Allah dah tentukan untuk hambaNya. Lagi banyak kita bersabar, lagi besar rezeki yang Allah akan berikan. Dan sekarang semuanya sudah jelas depan mata. Cuma tinggal usaha sahaja yang perlu ditingkatkan lagi untuk mencapai cita-cita dan impian hidup yang selama ini aku doa dan impikan. Tanpa menoleh ke belakang lagi.’ 

Nafas lega dihela untuk kesekian kalinya.     




Wednesday, April 16, 2014

BAB 8 : BAYANGAN GURAUAN





                
“A
LANG dengan Irish mana, umi?” Izzul bertanyakan uminya yang sedang menuang minuman panas di atas meja sambil dibantu oleh Iman. Malam minggu itu Encik Izzuddin sekeluarga hanya bersantai di rumah sambil menonton televisyen.

“Tak tahulah. Lepas makan malam tadi terus hilang diorang. Ada dalam bilik Irish agaknya,” duga Puan Qarina seraya melabuhkan duduk di sebelah suaminya. Beberapa minit kemudian barulah terpancul wajah Irish dan Irma di ruang tamu tersebut bersama gelak ketawa mereka, sekaligus membuatkan tumpuan yang lain terganggu pada rancangan yang sedang ditayangkan di kaca TV.

            “Happy nampak!” spontan Irhan menyapa.

       “Ya ke? Biasa je. Tapi, kalau semua orang tahu pun mesti happy jugak!”

        “Apa dia? Irfan nak dapat anak buah baru ke, Kak Lang?” Irfan bagaikan teruja ingin mengetahui berita tersebut. Kebetulan dia balik bercuti hujung minggu itu, dapatlah dia berkumpul dengan ahli keluarganya yang lain.

              “Ishh, Irfan ni! Ke situ pulak fikir dia!”

          “Habis dah tengok Kak Lang happy semacam! Kalau bukan tu, apa dia?” tanya Irfan lagi sambil menggosok-gosok lengannya yang sedikit pedih akibat dipukul Kak Langnya.

            “Ada orang tu dah dapat kerja. Lepas ni bolehlah belanja kita semua!” seloroh Irma seraya melirik ke arah Irish dengan senyuman penuh makna.

            Semua mata yang ada di situ tertumpu pada Irma, dan kemudiannya jatuh pada wajah Irish. Pandangan mata menggantikan mulut sebagai isyarat menyoal pada gadis itu. Melihatkan semua ahli keluarganya bagaikan ternanti-nanti, akhirnya Irish menggangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiakan berita yang baru disampaikan oleh Irma itu.

“Wah! Tahniah, tahniah! Alhamdulillah!” Kedengaran suara-suara gembira keluar dari mulut mereka yang berada di ruangan keluarga itu.

            “Senyap-senyap je Irish, kan. Saja nak bagi surprise, ya?”

            “Tak adalah, umi. Saja Irish nak tunggu semua ada macam ni baru bagitahu.”

          “Syukur Alhamdulillah. Akhirnya sampai jugak rezeki Irish. Betul kan ayah cakap? Ada rezeki Irish nanti tak ke mana. Cuma lambat sikit je Dia bagi.”

            “Alhamdulillah. Berkat doa ayah, umi dan semuanya jugak.”

            “Company mana, Rish?” Izzul menyoal tiba-tiba.

            “Haiyan Holdings.”

Serentak itu mata Izzul terarah ke wajah adiknya. “Serius? Company kawan along tu?” tanya Izzul seakan tidak percaya.

          “Iyalah, long. Kenapa?”

          “Tak ada apa. Along ingatkan tak dapat. Yelah, dah lama jugak baru dapat jawapan sejak along hantar interview hari tu.”

         “Hmm, tulah. Irish ingat pun tak dapat. Tapi tengahari semalam baru diorang call bagitahu,” jelas Irish. Memang pada mulanya dia juga menyangka temuduga itu tidak berjaya disebabkan sudah hampir tiga minggu lebih tiada apa-apa jawapan yang diterima

            “So, bila kena lapor diri?” soal Iman.

            “Isnin depan.”

            “Drive sendiri? Ke berulang-alik?”

          “Ya kut, Kak Ngah. Semalam masa call ada jugak diorang bagitahu yang syarikat ada sediakan apartment untuk staff. Tapi, Irish rasa baik Irish berulang jelah. Lebih selesa tinggal kat rumah sendiri. Lagipun, tak boleh nak tinggalkan umi, ayah dengan adik-adik lama. Nanti rindu. Lagi-lagi dengan Irfan ni.”

“Tahu tak apa!” Irfan membalas kembali gurauan kakaknya itu. Belum sempat Irish ingin memukulnya, kali ini Irfan sudah terlebih dahulu menjauhkan diri. Dan seisi ruangan itu dipenuhi dengan deraian tawa mereka yang lain.     


MALAM sudah semakin larut kala Irish melangkah masuk ke dalam biliknya. Ahli keluarganya yang lain turut berbuat demikian setelah puas bersembang panjang tadi. Menjelang malam begini sudah tentulah masing-masing ingin merehatkan diri setelah penat melakukan aktiviti seharian.

            Irish merebahkan badannya di atas katil. Namun matanya tidak mahu pejam. Sudahnya dia hanya berbaring sambil merenung kipas yang sedang berputar di syiling. Sebagaimana kipas itu berputar, begitu jugalah dirasakan putaran hidupnya selama dua puluh empat tahun bernafas di muka bumi ini. Mindanya mula berlegar-legar mengingati sorotan kisah hidupnya dari zaman kecil hinggalah menginjak ke alam remaja. Bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, kemudian melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, dan selepas ini dia akan mula memasuki alam pekerjaan pula. Begitu pantas masa berlalu. Baru dirasakan semalam dia belajar mengeja di sekolah tadika. Tetapi hari ini dia sudah menamatkan pengajiannya di menara gading dengan segulung ijazah. Dan lusa, dia akan memulakan khidmatnya di salah sebuah syarikat yang boleh dikatakan cukup gah di negara ini.

            “Dah ready ke kau nak kerja ni, Irish? Macam tak je tengok. Ishh!”

            Irish meraup wajahnya, cuba mengusir perasaan tersebut jauh dari hati. Dikumpulkan sedikit kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang selepas ini. Usahanya berhasil apabila sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam diri. Lantas mulut kecil itu tersenyum nipis.

            “Boleh. Kau boleh, Irish. Insyaallah pasti boleh. Semangat!”

      Sesudah itu, mindanya kembali berputar mengingati satu persatu peristiwa yang berlaku sepanjang hidupnya. Pelbagai suka dan duka telah ditempuh. Dari kisah-kisah yang menggembirakan hinggalah ke cerita yang menyedihkan itu. Terdetik sesuatu di dalam hati. Andai dirinya tidak kuat, mungkin dia tidak akan berada hinggap ke tahap sekarang ini. Melukakan hati banyak pihak. Dan yang lebih teruk lagi, mehancurkan masa depannya sendiri. Syukur Alhamdulillah, Allah masih sentiasa bersamanya. Dan akan tetap terus bersama seandainya dia sendiri tidak pernah lupa dan leka kepada Penciptanya itu.

            Irish melepaskan keluhan. Diraup wajahnya sekali lagi.

 “Haishh! Kenapa mata ni tak nak pejam-pejam ni?”

Digosok-gosok matanya yang sedikit pedih. Kemudian dia beralih kedudukan dari menelentang hingga mengiring pula kini. Namun matanya masih tetap segar. Jam di sisi katil ditenung. Sudah pukul 2.00 pagi. Lantas dia bangun dari pembaringan.

          “Ishh, tak boleh jadi ni! Daripada dok guling-guling tapi tak mahu pejam jugak, baik aku ambil air sembahyang. Sembahyang sunat lepas tu mengaji. Lagi bagus!”  

          Serentak itu Irish turun dari katilnya perlahan-lahan dan kemudian menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dengan mulut yang tidak henti-henti mengomel.

“Kau ni mata bila suruh pejam, tak nak pejam. Bila time nak buat kerja, masa tulah kau nak tertutup, kan? Saja betul!”



BAB 7 : BAYANGAN GURAUAN





T
ENGKU Hafiy memarkirkan kereta sebaik memasuki perkarangan villa keluarganya. Kelihatan kereta papanya sudah terletak elok di garaj, menandakan lelaki itu sudah pulang ke rumah lebih awal. Sebaik keluar dari kereta, langkahnya terus diatur untuk memasuki villa.

“Hafiy!” kedengaran satu suara memanggil namanya dari taman mini. Apabila dijengah kelihatan mamanya, Tengku Dafina sedang melambai-lambai tangan ke arahnya. “Mari duduk minum dulu. Teman papa dengan mama ni.”

Mendengarkan pelawaan itu, Tengku Hafiy tidak jadi untuk masuk ke dalam. Lantas kakinya dihalakan ke arah taman mini tersebut. Memang papanya itu gemar mengambil angin luar di waktu petang begini sambil minum petang ditemani isterinya.

“Adik belum balik lagi ke, ma?” Tengku Hafiy bertanyakan tentang adik bongsunya, Tengku Hazreen Damya sebaik melabuhkan duduk di kerusi. Briefcase dan blazernya diletakkan di kerusi bersebelahan.

            “Belum lagi. Biasalah nak exam ni sibuk jelah dengan study group dia tu,” balas Tengku Dafina yang ketika itu sedang menuangkan secawan teh panas untuk anak lelakinya. “Lewat kamu balik hari ni?”

            “Sibuk sikit, mama. Pagi tadi ada meeting untuk finalised calon-calon temuduga tempoh hari. Petang pulak ada meeting dengan client dari Sarawak. Tu yang lambat ni.”

            “Macam mana dengan interview hari tu, Fiy? Tak sempat papa nak turun menjenguk.”

           Tengku Haiyan yang sedari tadi menghadap bacaannya, bersuara mencelah. Buku yang berada di tangan ditutup dan diletakkan di atas meja. Kemudian dia mengambil secawan teh panas yang dihidangkan oleh isterinya tadi lalu dihirup perlahan-lahan.

            “Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar. Adalah dua tiga orang calon yang Hafiy rasa layak untuk isi jawatan-jawatan tu. Papa tak payahlah risau. Uncle Mikhail dengan Aunty Zarina pun ada. So, Hafiy rasa calon-calon yang kami pilih adalah yang terbaik dan memang layak.” 

          “Papa tak risau, Fiy. Papa yakin dengan anak papa ni. Dan jugak semua staff papa,” tutur lelaki itu sambil tersenyum. Memang tidak dapat dinafikan kejayaan Haiyan Holdings selama ini adalah hasil usaha dari seluruh pekerjanya juga yang berdedikasi, jujur serta ikhlas dalam mencurahkan bakti demi kemajuan syarikat itu. Dan sepanjang dia mengendalikan syarikat, belum pernah lagi berlaku kejadian buruk yang membabitkan pekerja-pekerjanya. Jadi, tiada sebab untuk dia mencurigai sesiapa di dalam syarikat.

            “Hmm... dah alang-alang ada kat sini ni, mama nak tanyalah. Kamu bila nak lansung?
Dah nak dua tahun kamu bertunang dengan Helena tu. Bukan apa, takut nanti mak bapak Helena tu bising pulak. Yelah, tak elok sangat tunang lama-lama ni. Lagi-lagi anak mereka tu perempuan. Kamu pun bukannya makin muda. Tahun ni dah nak masuk tiga puluh dua dah. Dah patut ada anak pun.”

            Tengku Hafiy yang sedang melihat ikan-ikan di kolam yang terdapat di taman mini tersebut sedikit terkejut mendengarkan pertanyaan itu. Ditenung mamanya seketika sebelum menggaru kepala yang sememangnya tidak terasa gatal. “Err... nantilah mama. Hafiy nak fokus pada syarikat tu dulu. Bila semua dah okay nanti dan life Hafiy pun dah stabil, bolehlah Hafiy fikirkan hal tu. Hafiy dah bincangkan perkara ni dengan Helena dan kedua orang tuanya. Mereka tak kisah. Lagipun Hafiy tunggu adik Hafiy yang sorang tu balik. Tak bestlah kalau Hafiy kahwin, dia tak ada. Kan, pa?” bicara Tengku Hafiy panjang lebar sambil memandang papanya, mengharapkan sokongan dari lelaki itu. Namun Tengku Haiyan sekadar tersenyum padanya.

            “Nak tunggu budak bertuah tu balik? Hmm... berjanggutlah kamu jawabnya, Fiy! Entah sampai bila adik kamu tu nak kerja kat negara orang putih tu agaknya. Macam papanya sendiri tak ada syarikat nak diuruskan kat sini. Tu satu hal. Belum lagi mama sebut pasal hal kahwin kat dia. Kalau dah bertahun-tahun nak tunggu dia balik sini, alamat bertahun-tahun jugaklah agaknya nak tunggu hal kahwin keluar dari mulut dia. Bukan kamu tak kenal adik kamu tu. Nasib baiklah kakak kamu tu dah kahwin. Kalau tak, kempunanlah mama ni nak timang cucu tau!”

            Tengku Hafiy cuba menyembunyikan tawa di balik tangan sambil memandang ke arah papanya bila mendengarkan Tengku Dafina sudah mula membebel tentang adik lelakinya itu. Walaupun nada suaranya kedengaran lembut, namun terselit juga ketegasan di situ. Bukan dia tidak biasa, malah telinganya sudah lali mendengar leteran mamanya setiap kali nama lelaki itu mula disebut. Dia sendiri hairan melihat adiknya itu yang lebih suka mencari rezeki di negara orang semenjak menamatkan ijazah pertamanya di Universiti Cambridge, United Kingdom. Katanya ingin mencari pengalaman terlebih dahulu sebelum berkhidmat di syarikat keluarganya di sini. Itu berkenaan kerja. Belum lagi disentuh hal peribadi. Dari dulu lagi adiknya itu memang susah kalau bercakap mengenai hal perempuan dengannya. Tidak tahu apa sebabnya sedangkan bukan dia tidak tahu ramai gadis yang tergila-gilakan adiknya yang seorang itu.

    “Ada adik kamu tu bagitahu bila dia nak balik terus ke sini?”

            Soalan Tengku Dafina yang secara tiba-tiba itu mengejutkan Tengku Hafiy dari lamunan. “Hmm, ada jugak dia bagitahu masa balik sini hari tu. Insyaallah dalam masa setahun. Lepas dia
habiskan master kat sana.”

            “Dahlah tu, Fina. Tak payahlah awak risau sangat. Dah bosan duduk kat sana nanti, baliklah budak tu. Lagipun bukannya dia bekerja semata-mata. Sambil belajar jugak, kan. Manalah tahu pengalaman yang dia dapat kat tempat orang tu nanti boleh bantu majukan lagi syarikat kita bila dia balik ke mari.” Tengku Haiyan cuba memujuk isterinya.

            “Hmm, yelah. Tulah abang, kan? Suka sangat manjakan anak.”

“Hai! Anak awak jugak, kan? Saya bukan manjakan, tapi cuba memahami anak-anak. Budak-budak sekarang bukan macam zaman kita dulu-dulu. Zaman dah moden, jadi pemikiran mereka pun modenlah. Saya tak kisah berapa lama budak tu nak betapa kat negara orang tu. Asal jangan lupa asal-usul sebagai orang Islam dan Melayu, sudahlah.”

Tengku Dafina terdiam. Dalam hati dia turut mengiakan semua itu. Dia bukan apa. Cuma kalau boleh hendak anak-anak sentiasa berada dekat dengannya, walaupun mereka telah berkahwin dan tinggal berasingan  Hati ibu mana yang tidak risau bila anak-anak jauh dari mata.

Okaylah ma, pa. Hafiy nak naik dulu. Badan pun dah melekit ni. Anyway ma, betul kata papa tu. Mama janganlah risau sangat. Tak adanya adik Hafiy tu nak duduk lama-lama kat sana. Hafiy pun dah pesan kat dia, daripada bekerja dengan orang lebih baik berkhidmat untuk keluarga sendiri. Penat dah papa bina syarikat tu untuk anak cucu dia.” Tengku Hafiy mengenyitkan mata pada papanya. Lantas briefcase dan blazernya dicapai sebelum berlalu meninggalkan kedua orang tuanya di taman mini tersebut. Lebih baik dia angkat kaki dahulu sebelum telinganya menjadi bahan leteran mamanya lagi seperti selalu. Bukan dia tidak suka. Tetapi sebaiknya kata-kata itu diucapkan sendiri pada yang empunya badan. Banyak mana pun wanita itu berleter padanya, keadaan tetap sama juga. Sudahnya, telinga dia sajalah yang sentiasa ditadah untuk mendengar luahan hati Tengku Dafina tentang anak bujangnya yang seorang itu.    

Langkah Tengku Hafiy diatur dengan segera memasuki villa. Agak tergesa-gesa dia berjalan memandangkan solat Asar masih belum disempurnakan lagi.

Buk!

Tengku Hafiy terlanggar sesuatu, menyebabkan dia jatuh terduduk ke atas lantai. Bahunya disentuh, terasa sedikit sengal. Belum hilang sakit di bahunya, Tengku Hafiy mendengar satu suara lain yang turut sama menyeringai kesakitan.

“Aduhhh!”

“Eh, Dewi! Awak tak apa-apa ke?” pantas Tengku Hafiy menerpa ke arah pembantu rumah yang berasal dari Indonesia itu. 

“Enggak apa-apa, mas. Cuma pusing!” balas Dewi sambil menunding jari pada kepalanya
 yang sedikit berpinar akibat dilanggar oleh anak majikannya sebentar tadi. “Mas apaan sih? Sampai saya yang sebesar ini ditabrak! Apa dikejar sama hantu?”

Kata-kata Dewi sekaligus mengundang tawa Tengku Hafiy. Gelihati melihat telatah gadis muda dari Medan itu. Sakit-sakit begini pun masih ada hati mahu berjenaka.

“Tak adalah hantu. Tapi lagi cantik dari tu.”

“Lorrr? Siapa??”

“Sshhh!” spontan Tengku Hafiy meletakkan jari telunjuk di mulutnya, menyuruh Dewi memperlahan sedikit suara yang separuh menjerit itu. “Pelan sikit! Dengar Mak Engku nanti!”

 “Ya. Iya! Iya! Dewi perlahan dikit ni. Mas lari dari siapa?” soal Dewi berbisik kali ini.

“Dari Mak Engkulah. Siapa lagi. Sebab adik saya, ni... telinga ni yang asyik kena tadah je dengar Mak Engku mengomel. Sebelum kena lagi teruk, baik saya cabut dulu!”

Dewi mengangguk-angguk tanda faham.

“Eh, dahlah. Saya nak naik dulu. Belum solat Asar lagi.” Tengku Hafiy mengambil semula briefcase dan blazer yang terlepas dari tangannya sewaktu berlanggar tadi. “Betul awak tak apa-apa ni?”

“Iya! Betul! Enggak apa-apa, mas. Swear!”

Good! Tapi kalau ada apa-apa bagitahu saya, okay?” pesan Tengku Hafiy lagi sebelum bangun dan berlalu dari situ.

“Iya, mas!”

Dewi hanya tersenyum sambil memandang Tengku Hafiy mendaki anak tangga ke tingkat atas. Sebaik sahaja kelibat lelaki itu menghilang, senyumannya mati serta-merta. Spontan kepala yang masih terasa sakit dipegang semula.

“Masih sakit dibilangin enggak sakit. Ya, tanggung sendiri kamu Dewi!” ngomel gadis itu seorang diri lalu bangun melangkah ke ruang dapur villa.  

“Kau dah kenapa membebel sorang-sorang ni, Dewi?”

Mak Ros, seorang lagi pembantu rumah Tengku Haiyan yang berusia dalam lingkungan enam puluhan menyapa Dewi yang dilihatnya bercakap sendirian memasuki dapur. Ketika itu dia sedang menemani suaminya, Pak Man, yang juga merupakan pemandu kepada Tengku Haiyan minum petang di meja dapur. Berbanding Dewi yang baru sahaja bekerja, Mak Ros adalah merupakan pembantu senior yang telah berkhidmat lebih dari tiga puluh tahun di villa tersebut. Memang di villa inilah tempat dia menumpang teduh bersama suaminya. Oleh kerana tidak dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin, jadi pada anak-anak majikan tempat mereka mencurahkan sedikit kasih sayang sebagai ibu bapa. Dan kini mereka juga mempunyai Dewi yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Ha’ah, Dewi. Kenapa kau ni bercakap sorang-sorang?” tegur Pak Man pula.

“Enggak apa-apa, sih. Cuma ditabrak sama hantu.”

“Hantu??!” serentak suami isteri tua itu membalas. Kopi yang dihirup oleh Pak Man juga tersembur dek terkejut dengan jawapan yang diberikan gadis itu.

“Eh bukan, bukan! Bukan hantu! Apa ya? Alaa... Itu! Dewi ditabrakin samanya Mas Hafiy. Aduh!” spontan Dewi memegang kepalanya yang masih terasa berdenyut. Serasa selepas berlanggar tadi kepalanya juga sudah tidak boleh berfikir dengan betul ketika ini.

“Ishh, kau ni! Buat orang terkejutlah. Dah tu, okay tak ni? Tu kepala tu, kenapa pulak?!”

“Dewi baik-baik aja, mak. Cuma kepala lagi pusing ini!”

 “Hmm. Dewi, Dewi. Macam-macam kau nilah! Dah mari duduk minum. Sejuk air ni nanti,” arah Mak Ros sambil menuangkan minuman untuk Dewi. Walaupun adakalanya mulut gadis itu tidak henti-henti bercakap setiap masa, namun itulah kelebihan yang ada pada Dewi yang membuatkan hari-harinya di dapur sentiasa riuh dan ceria dengan jenaka gadis seberang itu.


“DAH siap gembur tanah tu, Rish?” Puan Qarina muncul semula dari belakang rumah bersama dengan beberapa anak pokok bunga yang baru sahaja dibelinya semalam.

“Sikit lagi, umi.”

Irish menyudahkan kerja-kerjanya menggembur tanah. Petang itu dia menolong uminya membersihkan pasu-pasu bunga yang tersusun rapi di halaman rumah mereka. Memang itulah hobi Puan Qarina semenjak dia menjadi suri rumah sepenuh masa kini. Menghias halaman rumahnya dengan pokok-pokok bunga yang terdiri dari pelbagai jenis. Nampak ceria sedikit laman rumah itu. Dahulu, Puan Qarina pernah berkhidmat di sektor kerajaan. Namun apabila kesemua anaknya telah besar dan ada yang telah berkeluarga, dia memutuskan untuk berhenti dan menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.

“Kalau dah, bawa mari sini. Umi nak pindahkan anak-anak pokok ni dalam pasu tu.”

Irish hanya menurut lantas membawa pasu-pasu tersebut kepada uminya. Memang dia
gemar melihat wanita itu menanam pokok bunga bila ada kesempatan. Sambil membantu, dapat juga dia belajar cara-cara menanam dengan betul.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Serentak mereka menjawab salam itu sebelum berpaling ke arah suara tersebut.

“Eh! Dah balik, bang? Bila masa abang sampai? Tak dengar bunyi kereta pun?”

“Hmm, baru je. Awak dengan Irish tu yang leka sangat dengan bunga-bunga tu, sampai kereta abang masuk pun tak sedar.”

Encik Izzuddin sudah menarik sebuah kerusi yang memang tersedia ada di laman rumah itu. Duduknya kemudian dilabuhkan untuk melepaskan penat sambil memerhati kedua beranak tersebut membuat kerja-kerja mereka.

“Ya ke? Maaflah, bang. Memang tak dengar lansung. Dah ini je aktiviti yang saya ada waktu sekarang. Kebetulan hari ni anak dara abang yang sorang ni pun lapang sedikit masanya. Tu yang dia temankan saya sambil tolong-tolong ni. Kalau tak, sibuk memanjanglah dia dengan interviewnya sana sini. Awal abang balik hari ni?” soal Puan Qarina pada suaminya. Biasanya, suaminya itu hanya pulang awal jika tiada urusan penting. Tugasnya sebagai pegawai di salah sebuah syarikat swasta di Shah Alam adakalanya terpaksa berurusan dengan pelanggan biarpun di luar waktu kerja.

“Tak ada appointment dengan client hari ni, Ina. Dapatlah balik awal sikit. Lagipun, malam ni ada tahlil kat rumah Haji Azam tu. Ha, Sebut pasal interview. Macam mana, Irish? Ada yang dah dapat panggilan?”

Irish yang sedang leka mengangkat pasu bunga yang telah siap ditanam segera menoleh. “Belum lagi, ayah. Belum sampai rezeki kut.”

“Hmm, tak apalah. Pelan-pelan je, Rish. Insyaallah ada rezeki tu nanti. Ayah masa mula-mula cari kerja dulu pun macam tu jugak. Yang penting kita dah usaha,” pesan Encik Izzuddin cuba memujuk Irish agar tidak terlalu memikirkan hal tersebut.

         “Betul cakap ayah tu. Banyaklah bersabar. Yang penting Irish dah berusaha. Rezeki kita masing-masing Allah dah tentukan seadilnya. Cuma cepat atau lambat je. Lagi banyak kita sabar, lagi besar rezeki yang Allah akan beri nanti. Insyaallah.”

            Irish mengukir senyum sambil mengangguk-anggukkan kepala pada kedua orang tuanya. Namun di dalam hatinya terselit juga sedikit kerisauan. Sudah hampir tiga minggu dia menghadiri pelbagai temuduga. Namun hingga ke hari ini masih tiada sebarang panggilan kerja dari mana-mana syarikat berkenaan. Sama ada dia tidak layak ataupun rezekinya masih belum sampai lagi, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Apa yang dia mampu lakukan pada masa ini hanya terus bersabar dan berdoa pada Yang Maha Esa moga rezekinya akan dipermurah dan dipermudahkan kelak.