Thursday, January 22, 2015

BAB 37 : BAYANGAN GURAUAN





F
AIL yang terbentang di hadapan direnung kosong. Entah mengapa dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja yang dilakukan. Fikirannya menerawang jauh terkenangkan peristiwa semalam. Itu satu hal. Bertambah lagi satu masalah bila mengingatkan pesanan Tengku Harrys ketika dia bertembung dengan lelaki itu semasa di lif awal pagi tadi.

Hari ini Irish tiba di pejabat agak lewat. Semalaman dia tidak dapat lelap. Hanya selepas solat Subuh baru dia dapat lena walaupun sekejap. Akibatnya, hari ini dia datang ke pejabat dengan kepala yang berdenyut-denyut bagaikan ingin pecah bila-bila masa sahaja. Sebaik masuk ke dalam lif, Irish terus menekan punat untuk naik ke tingkat pejabatnya. Baru sahaja pintu lif ingin tertutup, tiba-tiba ada satu tangan yang menghalang, membuatkan pintu itu kembali terbuka. Dan apabila dia mendongak, wajah Tengku Harrys terpancul di hadapan sambil merenung ke arahnya. Beberapa ketika berdiri barulah lelaki itu melangkah masuk, menjadikan hanya mereka berdua yang berada di dalam lif kini. Sedaya upaya Irish cuba mengelak dari memandang lelaki tersebut. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan hal semalam.

            ‘Dia tahu ke tidak pasal hal semalan, ya? Kalau tak tahu, baguslah. Tapi kalau tahu, masaklah nak menghadap dia macam ni. Yang lif ni pun satu. Kenapa lambat sangat. Gerak ke tak gerak ni?’

            “Are you busy today?”

            “Hmm?” pantas Irish menoleh, sedikit terkejut dengan sapaan itu.

            “Ikut saya tengahari ni. Pukul 1.00 tunggu kat bawah. We need to discuss.”

            Serentak itu pintu lif terbuka dan lelaki itu terus melangkah keluar tanpa menunggu apa-apa jawapan dari Irish. Dan Irish hanya mampu memandang sahaja hingga batang tubuh lelaki itu menghilang.

“Dia dah tahu ke? Alamak, macam mana ni?!” Irish kalut. Matanya dipejamkan untuk sesaat dengan harapan dia sedang bermimpi sekarang ini. Namun apabila matanya dibuka semula, pintu lif di hadapan sudah hampir tertutup.

“Eh, eh! Nantilah. Bagi aku keluar dulu kalau ya pun!”

Gadis itu mengomel sendiri sambil kaki pantas dihayun ke biliknya. Ikutkan hati mahu saja dia cabut pulang ke rumah sekarang. Itu lebih baik daripada terpaksa menghadap unpredictable person yang seorang itu.


DARI kejauhan dapat dilihat kereta BMW Tanzanite Blue itu sudah berada di hadapan pintu
 utama bangunan Haiyan Holdings. Langkahnya terhenti. Tiba-tiba terasa kecut pula dia untuk menghadap Tengku Harrys kali ini. Berkira-kira apa yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu. Berkenaan kerjakah? Atau hal semalam?  

            “Kenapa tak masuk kereta lagi?”

            Spontan Irish berpusing ke belakang dek terkejut dengan teguran itu. Malang sekali nasibnya apabila dia terlanggar tubuh Tengku Harrys yang ketika itu berada betul-betul di belakang, menyebabkannya gagal untuk mengimbangi badan. Mujur tangan lelaki itu lebih dulu menangkap kedua lengannya sebelum sempat dia jatuh menyembam lantai. Irish terkaku. Kejap pegangan Tengku Harrys hanya dia dapat rasakan sehinggakan dirinya tidak dapat bergerak lansung. Seketika matanya mencari anak mata lelaki itu sebelum pandangan mereka bertemu. Dan serta-merta perasaan itu kembali hadir ke ruang hatinya.

Minit berlalu, Irish tersedar. Cepat-cepat dia menarik lengannya semula. Lansung gadis itu mengatur langkah menghampiri BMW milik Tengku Harrys dan menunggu di sisi kereta itu. Serasa dadanya ingin meletup juga saat ini. Malunya dia hanya Tuhan sahaja yang tahu. Entah berapa pasang mata yang menyaksikan insiden sebentar tadi, dia juga tidak pasti. Apa yang pasti mukanya sudah tentu merah padam sekarang ini. Akhirnya gadis itu hanya mampu mengetap bibir sambil tertunduk menahan perasaan yang sudah bercampur-baur.

            “Tak nak masuk ke?”

            “Hmm?”

          “Come. Get in,” arah Tengku Harrys dengan suara yang tiba-tiba sahaja lembut di pendengaran Irish. Gadis itu hanya menurut tanpa banyak soal. Tidak berani bersuara lebih-lebih lagi terkenangkan insiden yang baru berlaku sebentar tadi.

Kereta meluncur laju membelah jalanraya yang masih terkawal. Tidak pasti ke mana arah tuju mereka tika ini, Irish hanya membuang pandang ke luar tingkap sambil melayani lagu-lagu di radio. Itu lebih baik daripada berbual dengan lelaki di sebelahnya ini.

Perjalanan yang dirasakan agak lama itu akhirnya tiba ke destinasi yang dituju. Tengku Harrys memberhentikan keretanya di hadapan sebuah tasik yang agak lengang ketika ini. Memang sengaja dia mencari tempat yang tidak ramai orang agar mudah untuk mereka berbincang. Keluar sahaja dari kereta, lelaki itu bergerak ke bahagian hadapan dan bersandar di situ sambil berpeluk tubuh. Dari ekor matanya dia dapat melihat Irish ikut sama turun dan kemudian berdiri tegak tidak jauh darinya.

I’m sure you know what was happened yesterday.”

           Serentak itu jantung Irish berdegup laju. Mulutnya tidak bersuara membalas kata-kata tersebut. Hanya pandangan dihalakan ke arah Tengku Harrys.

          “Dan apa yang saya diberitahu, keluarga awak minta tempoh untuk berbincang sebelum beri kata putus. Betul?” sambung lelaki itu lagi lalu menoleh pada Irish.

“Err...,”

Is it true, Irish?”

“Be... betul!” balas Irish. Wajahnya hanya ditundukkan. Tidak berani menentang pandangan Tengku Harrys walaupun ketika ini lelaki itu berkacamata hitam.

“Sampai bila?”

“Mungkin seminggu.”

Tengku Harrys mengeluh perlahan. Pandangan diarahkan ke hadapan semula. Ikutkan hati, sebolehnya sekarang ini juga dia inginkan jawapan dari Irish. Perlahan kacamata hitamnya ditanggalkan lalu dia merenung ke dasar tasik yang terbentang luas.

Is it hard for you to make a decision?”

“Keputusan apa?”

“Terima atau tolak lamaran tu.”

         “I don’t know. Benda ni terlalu mengejut. Saya sendiri masih tak percaya dengan apa yang berlaku semalam.”

            “Awak nak cakap yang awak akan tolak lamaran tu?”

            Irish terdiam. Kepalanya ligat memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan. “Saya belum buat apa-apa keputusan lagi. Ini soal masa depan. Masa depan saya dan juga masa depan Tengku. Jadi saya kena fikir baik-baik. Saya rasa Tengku pun mungkin tak setuju dengan risikan tu. Jadi kalau kami tolak, mungkin takkan ada masalah.”  

            “Then, kenapa tak tolak je lamaran keluarga saya tu dari semalam? Kan senang. Tak payah susah-susah nak minta tempoh untuk bagi kata putus lagi.”

            Irish mengangkat wajah. Muka Tengku Harrys ditenung dari pandangan sisi. Agak dingin kedengaran kata-kata lelaki itu di telinganya, walaupun nadanya perlahan. Lelaki itu terus direnung. Namun Tengku Harrys tetap tegar memandang ke arah tasik di hadapan.

            “Jadi, Tengku nak saya tolak lamaran tu? Kalau macam tu, sekarang pun saya boleh buat keputusan.”

         Tengku Harrys semakin tidak tenteram. Dia tidak tahu bagaimana untuk dihuraikan perasaannya ketika ini. Marah? Gembira? Sedih? Atau kosong tanpa apa-apa rasa. Semalam sewaktu dia keluar meninggalkan rumah, perasaan marah menyelubungi diri. Sangkanya risikan itu dihantar untuk Tengku Melissa. Disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk pergi membawa diri. Namun perasaan marah itu kemudiannya bertukar menjadi sesuatu yang menggembirakan tatkala abangnya membawa perkhabaran bahawa risikan itu sebenarnya adalah untuk Irish. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaannya. Dan hari ini dia tidak tahu perasaan apakah yang sepatutnya dia perlu ada. Sukar untuk digambarkan walaupun ketika ini dia bersama gadis yang selama ini menjadi bayangan dalam hidupnya.

            “Awak dah ada pilihan sendiri?” spontan soalan itu terkeluar dari Tengku Harrys..

            “Tak.”

            “So, kenapa tak terima lamaran tu?”

           Sekali lagi Irish terkejut. ‘Dia ni okay ke tidak ni? Tadi suruh aku tolak. Sekarang suruh terima pulak.’

            “Are you listening what I’m saying, Irish Qiara?”

            “Hmm? Ya, ya. Saya dengar.” 

            “Then, why are you staring at me like that?

Serta-merta Irish melarikan matanya ke arah lain. Merah padam sekali lagi mukanya ditegur sebegitu. ‘Ishh! Nampak pulak dia!’

            “I’m still waiting for your answer, Irish.”

          Irish menarik nafas dalam-dalam. Cuba menyusun ayat sebaiknya agar tiada hati yang akan terguris. “Saya rasa Tengku dah tahu jawapannya. Lagipun kita tak pernah bercinta. Apatah lagi untuk bincang hal ni. Dan Tengku pun mungkin dah ada pilihan hati sendiri. Jadi tak perlulah kita teruskan hajat keluarga Tengku tu. Demi kebaikan bersama.” 

      Sekali lagi Tengku Harrys menoleh. Satu renungan tajam dihadiahkan buat Irish. Tidak menyangka kata-kata tersebut yang akan keluar dari mulut kecil itu. Giginya diketap. Nafasnya juga seakan tersekat. Entah berapa lama dirinya dapat menahan kemarahan ini, dia sendiri tidak tahu. Seketika, wajahnya dipalingkan ke tempat lain. Memaksa diri untuk terus bertahan sebelum mulutnya kembali bersuara.

“Sama ada awak nak terima lamaran tu atau tidak, terpulang. Kalau jawapannya ya, awak boleh bagitahu saya sekarang. Tapi kalau jawapannya tidak, you have to explain it directly to my family. Saya tak nak ambil tahu. But one thing, kalau sampai keputusan awak tu akan bagi bad effect pada family saya, awak adalah orang yang bertanggungjawab untuk semua tu.” Tengku Harrys mengenakan kembali kacamatanya lalu bangun dan melangkah ke pintu kereta tanpa menoleh sedikit pun pada Irish. “Let’s go back.”

           Irish terkaku di tempatnya. Tidak pasti sama ada mahu ikut masuk ataupun tidak. Sebelah kakinya ingin melangkah. Namun sebelah lagi bagaikan terpaku di situ. Hanya selepas Tengku Harrys menghidupkan enjin kereta, barulah dia tersedar. Pantas kakinya dihanyun memasuki kereta tersebut. 

           Sekali lagi keadaan sepi menemani perjalanan mereka sewaktu pulang. Sekali sekala, Irish sempat mencuri pandang ke arah Tengku Harrys di sebelah. Wajah lelaki itu kelihatan merah. Mungkim sedang menahan marah. ‘Marah kenapa? Bukan patutnya dia suka ke kalau aku tolak lamaran tu? Sekurang-kurangnya tak adalah aku jadi penghalang hubungan dia dengan Tengku Melissa. Tapi sekarang ni tengok macam orang tengah frust je!’ Irish berbicara sendiri. Sejenak, dia teringatkan kata-kata Tengku Harrys. Mungkin ini bukan pilihan dia. Namun kerana ianya hajat keluarga, lelaki itu sanggup mengenepikan perasaan sendiri semata-mata untuk memenuhi permintaan tersebut. Sekali lagi Irish menoleh ke sisi. Tengku Harrys masih tidak menghiraukannya. Jangankan bercakap, melihat wajahnya pun tidak betah lelaki itu barangkali. Sudahnya, dia hanya membuang pandang terus ke luar tingkap.

Tengku Harrys menoleh Irish sekilas. Bukan dia tidak perasan gadis di sebelah asyik memandangnya sejak mereka masuk ke dalam kereta tadi. Cuma hatinya masih terasa sakit. Lain yang diharapkan, lain pula yang jadi. Perbincangan yang disangka akan berakhir dengan sesuatu yang mengembirakan rupanya hanya angan semata-mata. Hati yang mula terasa tenang dengan perkhabaran Tengku Hafiy malam tadi juga kini sudah kembali resah. Semuanya gara-gara gadis di sebelahnya ini.

Tengku Harrys melepaskan keluhan, membuang sedikit rasa gelisah yang bertandang. Punat radio kemudian ditekan, membiarkan halwa telinganya menikmati alunan lagu bagi meredakan sedikit hati yang keresahan. Sebaik radio kereta itu terpasang, telinganya terus menangkap intro lagu yang sentiasa bermain di tabir mindanya selama ini.


Tak pernah ku alami
Tak mungkin ku hindari
Di himpit perasaan bayangan gurauan...


Tengku Harrys menoleh ke sisi. Irish masih setia memandang ke luar. ‘Salah engkau yang tidak memahami, atau salah aku yang tidak mahu berterus terang?’ luah hati kecilnya. Kereta dipecut dengan lebih laju. Dia ingin segera pulang ke pejabat. Tidak kuat lagi untuk terus-terusan bersama dengan gadis ini.



PINTU kondo tersebut dibuka menggunakan kunci pendua yang dimiliki. Masuk sahaja ke dalam, tubuhnya dihempaskan ke atas sofa ruang tamu. Kepala yang terasa berat disentuh perlahan. Matanya juga sudah semakin layu.

“Eh, Rys. Kau rupanya! Aku ingatkan siapa tadi.”

        Suara yang tiba-tiba muncul itu mengejutkan Tengku Harrys yang baru saja ingin terlena. Matanya dicelikkan kembali untuk melihat empunya suara tersebut walaupun dia sudah tahu siapa pemiliknya. Sekilas dia memandang sekujur tubuh yang sedang berjalan ke arahnya sebelum mata kembali dipejamkan. “Kau tak kerja ke, Rul?”

         “Tak. Aku on leave hari ni,” jawab Fezrul. Memang hari ini dia tidak bekerja kerana ingin menghabiskan cuti tahunan yang masih berbaki. “Yang kau ni kenapa kat sini time-time macam ni? Tak kerja ke hari ni?”

            “Kau nampak aku pakai baju kerja ni, dah sah-sahlah kerja. ”

         “Dah tu, kenapa baring kat sini kalau kerja? Setahu aku kau mana reti nak ponteng-ponteng kerja ni!” tukas Fezrul lalu duduk berhampiran Tengku Harrys. Cawan yang berisi minuman diletakkan di meja sisi. Tangannya kemudian mencapai gitar yang tersandar di sofa sebelum tali dipetik memainkan sebuah lagu.

            Tengku Harrys membuka mata semula. Serentak itu, satu keluhan terbit dari bibirnya. Dan perbuatannya itu sekaligus mencuri tumpuan Fezrul.

            “Hey, bro! What’s wrong?”

            “Nothing.”

            Fezrul tertawa mendengar jawapan itu. Gitar di tangan disandarkan ke sofa semula. “Harrys, tell me berapa lama dah aku kenal kau? Bukan baru setahun dua tahu tak? Semalam kau datang sini dengan muka serabut macam ni, kau cakap tak ada apa-apa. And today, again? Come onlah, Rys!” 
  
       Tengku Harrys mengeluh sekali lagi. Kemudian dia bangun dari pembaringan lalu duduk menghadap Fezrul. Seakan dia sudah tidak dapat berselindung. Semenjak dulu rakannya ini bagaikan dapat membaca isi hatinya setiap kali dia berdepan dengan masalah. Hanya melalui perubahan sikap dan air mukanya sahaja Fezrul sudah dapat meneka.

            “Now tell me, why are you being like this? What’s the problem?”

            Tengku Harrys terus-terusan diam. Mulutnya bagaikan terkunci untuk memulakan kata-kata. Lukisan yang tergantung pada dinding di hadapannya ditenung. Entah apa yang ditenungnya dia sendiri tidak tahu.

            “Woi! Nak termenung, termenunglah jugak. Habis aku yang kat sini ni, nak tunggu je sampai kau habis termenung?” tingkah Fezrul geram, membuatkan Tengku Harrys terus memandangnya. Dari riak wajah, dia yakin rakannya sedang berdepan dengan masalah. Dan dia cukup tidak suka melihat keadaan ini.

So, what’s wrong?” soal Fezrul sekali lagi. Minumannya diambil lalu dihirup perlahan.

           “Mama aku dah carikan calon untuk aku.”

           Tersedak Fezrul mendengar jawapan itu. Habis tersembur air diminumnya. “What??!

           “Yes.”

“Eh, kau biar betul Rys!”

            “Muka aku ada nampak macam main-main ke?”

            Serta-merta ketawa Fezrul terhambur. Cawan dalam pegangan diletakkan semula. Melihatkan muka Tengku Harrys tidak berkelip memandangnya, membuatkan ketawa Fezrul semakin galak. Dan ketawanya itu berpanjangan hingga ke beberapa minit.

            “Ketawalah puas-puas, Rul!” bentak Tengku Harrys dengan nada sedikit geram.

            “I just can’t believe it! Harrys yang selama ni anti-perempuan, mengelak sana mengelak sini, at the end mama dia carikan calon isteri untuk dia?? Hai! Harrys, Harrys!” Fezrul menyambung kembali tawanya. Memang berat masalah yang ditanggung rakannya ini. Kalau dia berada di tempat Tengku Harrys, mungkin reaksinya pun sama juga. “Sabarlah, Rys. Kalau aku jadi orang tua kau pun dah tentu-tentu aku risau tengok kau. Orang tua mana yang nak tengok anak diorang membujang sampai ke tua. Just relaxlah! Mama kau baru je cari. Belum hantar rombongan apa-apa pun, kan?” 

            “Dah hantar pun.”

            Fezrul memandang Tengku Harrys. Duduknya yang bersandar tadi tegak semula. “Bila?”

            “Semalam.”

            Membulat mata Fezrul kali ini.“Sebab tulah semalam kau lari ke sini? Bawa diri?”

            Harrys hanya mengangguk.

            “Hmm… ni kes tak setujulah ni? Patutlah dua hari datang rumah aku dengan muka macam ni. Hai! Apa susah, Rys? Kalau kau tak suka dengan pilihan mama kau tu, tolak jelah. Tak payah nak serabut-serabut kepala macam ni!”

            “I can’t. That’s her.”

            Jawapan Tengku Harrys itu membuatkan mata Fezrul semakin tajam merenungnya.

            “Harrys, don’t tell me that you…,”

            “Yes! That was her!”

            “Siapa?!”

        Untuk kesekian kalinya Tengku Harrys melepaskan keluhan. Nampaknya dia sudah tidak mampu menanggungnya seorang diri lagi. Dia perlukan teman untuk berkongsi rahsia yang sedang memberat di jiwanya sekarang. Dan satu-satunya orang yang dirasakan sesuai untuk berada di tempat itu adalah Fezrul. Dia tidak tahu mengapa dirinya begitu lemah bila melibatkan hal sebegini. Walhal dia dikenali sebagai seorang yang begitu pandai menyelesaikan masalah walau seberat mana ia sekalipun. Tapi sekarang, dia merasakan seolah-olah dirinya sudah bertukar menjadi orang lain. Menjadi seorang yang sangat lemah dan tidak mampu berfikir apa-apa. Semuanya hanya kerana gara-gara seorang gadis.

             “I’m still waiting, Rys.”

         Suara Fezrul menyentakkan lamunan Tengku Harrys. Lelaki itu masih lagi merenung ke arahnya menagih penjelasan. Tengku Harrys membetulkan duduk. Wajahnya diraup perlahan. Dengan tenang satu-persatu rahsia hatinya dirungkaikan pada Fezrul. Dari pertemuan awal bersama Irish sehinggalah kepada perbincangannya dengan gadis itu lewat tengahari tadi. Semuanya dijelaskan kepada Fezrul agar rakannya itu memahami masalah yang sedang bergelut dengan dirinya ketika ini.

Fezrul pula begitu tenang mendengar. Sesekali dia tersenyum. Adakalanya terangguk-angguk. Dan ada ketika mukanya kelihatan serius. Bukan dia tidak biasa mendengar dan berkongsi masalah begini dengan Tengku Harrys. Tetapi hari ini keadaan sedikit berbeza. Buat pertama kali lelaki di hadapannya meluahkan rahsia hati yang selama ini dipendam sendiri. Walapupun mereka berkawan rapat sejak sekolah dulu, namun untuk menebak soal hati dan perasaan rakannya yang satu ini memang payah. Kadang-kadang dia sendiri tidak faham mengapa hati Tengku Harrys begitu beku terhadap perempuan.

So… kau dah dengar semua cerita aku, kan?”

            Tiada jawapan yang keluar dari mulut Fezrul. Hanya sebuah senyuman terukir di bibir tatkala Tengku Harrys menyudahkan ceritanya.

            “Aku suruh kau dengar cerita aku, then bagi nasihat. Bukan suruh tersengih-sengih macam tu.”

        “Hey, sabarlah bro! Aku tengah menghayati story kau ni. Tapi tak sangka aku, ya. Rupa-rupanya kawan aku ni ada jugak hati dan perasaan kat perempuan. Ingat beku dah!”

            Spontan penumbuk Tengku Harrys singgah di lengan Fezrul, membuatkan ketawa lelaki itu berderai. “Kau kalau takat nak ketawakan aku, baik aku tak payah cerita tadi!” Tengku Harrys mendengus marah.

            “Okay, okay! Aku stop!” Fezrul memperlahankan tawanya sebelum kembali fokus dengan perbualan mereka. “Aku ni tak adalah expert sangat dalam bab-bab nak nasihatkan kau. Cuma yang aku boleh cakap, sabar. Kita tunggu keputusan pihak perempuan nanti macam mana. Harap-harap positiflah. Tak boleh nak terlalu paksa diorang sebab benda ni mengejut dan kau pun tak pernah bercinta dengan that girl. Tiba-tiba je family kau hantar rombongan merisik, kan. Of courselah diorang ambil masa untuk buat keputusan.”

            “Okay. You’re right.” Tengku Harrys beralah akhirnya. Sedikit sebanyak betul juga apa yang dikatakan Fezrul. Dia dan Irish tidak pernah bercinta, walaupun mereka satu pejabat dan hampir setiap hari bertemu. Malah dia sedikit pun tidak menduga bahawa calon pilihan mamanya itu adalah Irish. Memang benarlah kata mamanya tempoh hari sama ada dia sanggup menolak calon pilihan wanita itu ataupun tidak. Dan ternyata kata-kata mamanya itu benar-benar memakan dirinya kini.
            Tengku Harrys tersedar dari menungannya. Pantas dia melihat jam di tangan. Sudah menghampiri jam 6.00 petang. Menyedari hal itu, segera dia bangkit dari duduknya. Namun pergerakannya mati bila Fezrul tiba-tiba menahannya bersama satu senyuman nakal.

“Yang kau pandang-pandang aku macam tu kenapa?” 

            “Saja. Tak sangka aku jiwang jugak kau ni rupanya. Dulu bukan main sombong dengan perempuan. Nak sangat aku tengok that girl yang dah berjaya buat kawan aku yang selalu nampak cool, tapi sekarang, dah jadi serabut macam ni!”

            Sekali lagi Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan rakannya, dia kembali bangun dari sofa.

              “Hey! Nak nak ke mana tu? Laju jalan!” Fezrul masih lagi ingin mengusik rakannya. 

         “Solat. Duduk melayan kau tak pasal-pasal terlepas Asar aku nanti,” balas Tengku Harrys seraya memasuki salah satu bilik di dalam kondo tersebut. Dari dalam bilik, dia masih dapat
 mendengar suara Fezrul yang semakin galak ketawa.


           ‘Jiwang? Aku sendiri tak tahu apa kena dah dengan aku, Rul. Semuanya sebab Irish. Yes! Irish Qiara yang dah berjaya buat aku jadi serabut macam ni!’ jeritnya di dalam hati.

           

Friday, January 9, 2015

BAB 36 : BAYANGAN GURAUAN




D
UDUK, Irish.” Encik Izzuddin mengarahkan anak gadisnya itu duduk setelah meminta Irma memanggilnya di bilik untuk berkumpul di ruang tamu. Ada perkara yang mereka sekeluarga perlu bincangkan malam ini. Suasana ruang tamu di kala itu sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas syiling yang sedang berputar melakukan tugasnya. Mulut masing-masing bagaikan terkunci. Hanya menunggu Encik Izzuddin membuka mulut memulakan bicaranya.

            “Irish nampak siang tadi siapa yang datang, kan?”

            Pertanyaan Encik Izzuddin itu hanya dibalas anggukkan oleh Irish.

            “Tahu kenapa mereka datang ke sini?”

        “Tak, ayah.” Ringkas jawapan yang Irish berikan. Kepalanya masih tertunduk memandang lantai. Tidak berani menentang wajah ayahnya yang kelihatan serius ketika ini.  

            “Sebelum tu ayah nak tanya dulu. Irish ada berkawan dengan sesiapa sekarang ni?”

            Spontan Irish mendongak. Dahinya berkerut. “Maksud ayah?”

            “Irish ada berkawan dengan mana-mana lelaki ke sekarang?”

             “Tak ada.”

         Encik Izzuddin menghela nafasnya seketika sebelum berpaling pada isterinya di sebelah. “Awak ceritalah, Ina.”

            Permintaan suaminya itu membuatkan Puan Qarina bangkit dari sofa dan berjalan mendekati Irish lalu duduk bersebelahan dengan gadis itu. Kemudian dia mencapai tangan Irish dan menyerahkan sesuatu dari genggamannya.

“Apa ni, umi?” Irish sedikit kaget melihat kotak kecil yang berada di telapak tangannya. Kotak baldu kecil berwarna merah yang sama dilihatnya siang tadi sewaktu Tengku Dafina menyerahkan ia kepada uminya.

            “Irish... sebenarnya Tengku Haiyan sekeluarga datang ke rumah hari ni bawa hajat.”

            “Hajat? Apa maksud umi?”

Irish dapat merasakan jantungnya berdebar tiba-tiba. Berdebar menanti ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut Puan Qarina.

            “Mereka berhajat untuk melamar Irish.”

          “Hah??!” membulat mata Irish tatkala mendengar ayat itu. Kotak baldu yang dipegangnya juga hampir terlepas. “Lamar Irish? Buat apa?”

         “Kalau dah melamar namanya, untuk dibuat calon isterilah dik oi! Boleh tanya buat apa pulak!” Iman mencelah tiba-tiba. Gelihati mendengar soalan itu.

            “Tapi untuk siapa?” soal Irish lagi. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan. Masing-masing tidak berani untuk memberitahu untuk siapa lamaran itu dihantar.

            “Kenapa semua diam? Ke lamaran ni tak bertuan?”

            “That’s for Hafiy’s brother, Irish.”

“Hah??!” sekali lagi Irish terkejut dengan jawapan itu. Kali ini pandangannya tepat dihalakan ke arah Izzul. “Tengku Harrys?”

          Izzul mengangguk perlahan. Dia tahu Irish pasti terkejut dengan berita ini. Sama seperti dirinya sewaktu mula-mula Tengku Dafina meluahkan hasratnya tempoh hari.

         “Along jangan main-mainlah. Jangan bergurau dengan hal macam ni!”

        “Tak ada siapa yang berani bergurau dalam keadaan macam ni, Irish. Tengok muka semua orang sekarang ni ada macam bergurau ke?” celah Rafie pula, sekaligus membuatkan Irish terdiam.

“Irish, apa yang along bagitahu tu betul. Memang Tengku Haiyan sekeluarga datang ke sini siang tadi nak merisik dan melamar Irish untuk Tengku Harrys. Tapi Irish dengar sendiri kan yang kami belum beri apa-apa kata putus lagi. Sebab kami nak bincang dan tanya sama ada Irish setuju atau tidak. Ini berkaitan dengan hidup Irish, masa depan Irish. Jadi umi dengan ayah nak Irish tentukan sendiri. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan.”

Penjelasan Puan Qarina itu membuatkan Irish semakin tunduk membisu. Masih tidak percaya dengan khabar yang baru di dengarnya ini. Sungguh, dia bingung memikirkan apa sebenarnya yang sedang berlaku.

‘Kenapa tiba-tiba ni? Ya Allah! Dugaan apa pula kali ini?’ keluhnya dalam hati.

“Ayah bagi tempoh seminggu untuk Irish fikirkan tentang hal ni. Lepas tu buat keputusan. Sama ada terima atau tak, itu hak Irish. Tapi ingat, jangan sampai bergaduh disebabkan perkara ni. Irish cari rezeki dengan mereka. Dan ayah tak nak Irish terima kerana termakan budi atau status yang mereka pegang,” tegas sahaja kata-kata Encik Izzuddin kedengaran. Lalu dia bangun dari sofa yang didudukinya. “Terima atau tak, bagi ayah jawapannya minggu depan. Jangan sampai buat orang tertunggu-tunggu dengan keputusan kita.”

Dan lelaki itu terus berlalu dari situ meninggalkan ahli keluarganya. Dia tidak tahu kenapa emosinya begitu terganggu sejak keluarga Tengku Haiyan pulang dengan meninggalkan sesuatu yang sukar untuk diterimanya. Kalau dia punya kuasa untuk menolak, sudah ditolak hajat itu awal-awal sewaktu mereka meluahkan hasrat siang tadi. Tetapi demi menjaga air muka tetamu serta maruahnya sekeluarga, ditahan saja emosinya ketika itu. Lagi pula, semua keputusan di tangan Irish. Biarlah anaknya sendiri yang menentukan masa depannya.

Di ruang tamu pula semuanya mendiam seribu bahasa. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Bagai mengerti dengan kata-kata ‘amaran’ yang diucapkan oleh ayah mereka sebentar tadi.  

       
SEISI keluarga itu sedang leka menonton televisyen kala bunyi deruman enjin Ducati 1098S berwarna merah memasuki perkarangan villa. Waktu ketika itu sudah menjangkau ke pukul 11.30 malam. Beberapa minit berlalu, kelibat Tengku Harrys kelihatan muncul di balik daun pintu utama. Riak wajahnya masih sama sepertimana dia meninggalkan rumah seawal pagi tadi.

            “Harrys ke mana dari pagi keluar baru balik?” sapa Tengku Dafina apabila melihat anaknya hanya berlalu melewati mereka di ruangan itu. Tengku Harrys yang baru sahaja ingin melangkah menaiki anak tangga, tidak jadi untuk meneruskan. Terkaku sebentar dirinya di situ sambil tertunduk memandang lantai.

            “Harrys?” panggil Tengku Dafina sekali lagi.

            “Keluar ambil angin.”

            “Harrys dah makan belum? Kalau belum mama minta Mak Ros ke Dewi sediakan.”

            “Tak apa. Harrys dah makan. Kalau tak ada apa-apa Harrys naik dulu.”

         Tanpa menunggu lagi Tengku Harrys terus mendaki anak tangga menuju ke biliknya. Dia hanya mahu merehatkan badan serta fikiran ketika ini. Dan perlakuannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati pada Tengku Dafina. Lantas wanita itu bangkit dari sofa dengan harapan ingin berbual sebentar dengan anak bujangnya itu.

“Nak ke mana awak, Fina?”

            “Nak naik atas jenguk Harrys sekejap, bang.”

            “Tak usahlah. Budak tu baru je balik. Biarlah dia berehat dulu.”

            “Tak adalah, bang. Saya ni bukan apa. Risau menengok budak si Harrys tu.”

            “Mama, tak apa.” Tengku Hafiy bangun lalu memaut bahu mamanya agar wanita itu kembali duduk. “Mama duduk je kat sini. Biar Hafiy yang pergi tengok Harrys. Okay?”

            “Tapi...,”

            “Mama, listen to me. He’s not in a good mood right now. So let me see him. Hafiy tahulah nak handle adik Hafiy tu macam mana. Mama duduk je tengok TV tu, okay?”

            “Hmhh... yelah, yelah!” akhirnya wanita itu mengalah.

          Tengku Hafiy tertawa kecil bila melihatkan mamanya sudah menarik muka. Terbit rasa kasihan di hati. Tetapi dia tidak mahu ada pertengkaran yang akan berlaku sekiranya Tengku Dafina berjumpa Tengku Harrys dalam keadaan emosi adiknya itu tidak stabil. Dia tahu fikiran Tengku Harrys sedang berserabut ketika ini.

            “Hafiy naik tengok Harrys dulu.”

       Tengku Hafiy berlalu dari situ dan terus menaiki tangga menuju ke bilik Tengku Harrys. Firasatnya kuat mengatakan ada sebab mengapa adiknya berkelakuan sebegitu hari ini. Jarang dia melihat Tengku Harrys dalam keadaan marah-marah. Dan sebagai anak lelaki sulung, satu tanggungjawab untuk dia memperbetulkan keadaan dan salah faham yang timbul sekarang ini. Sampai sahaja di hadapan bilik lelaki itu, dia mengetuk pintu. Namun tiada jawapan. Tengku Hafiy membuka pintu bilik tersebut. Dalam samar cahaya, dia dapat melihat satu susuk tubuh sedang berbaring di atas sofa dalam bilik itu. Perlahan dia menghampiri. Dilihat mata adiknya sudah terpejam sambil tangan kanannya diletakkan ke atas dahi. Tidak pasti sama ada Tengku Harrys sudah terlena ataupun sekadar baring melepaskan penat.

            “Harrys. Tidur ke?”

Teguran itu membuatkan Tengku Harrys sedikit terkejut. Tidak sedar entah bila abangnya itu masuk ke dalam biliknya. Tahu-tahu sahaja lelaki itu sudah melabuhkan duduk di sofa sambil menghadapnya.

“Bila abang masuk?”

“Abang ketuk pintu tadi senyap. Redah jelah. So, what’s up bro? Kau okay ke?”

“Tak ada apa-apa. I’m okay,” balas Tengku Harrys lalu bangkit dari baringnya dan duduk bersandar.

Okay kau cakap? Tak payah nak berlakonlah, Harrys. Dari pagi tadi kau keluar dengan muka macam tu, okay kau cakap?” Tengku Hafiy tergelak mendengarkan jawapan adiknya. “Kau ke mana satu hari ni, ha? Tahu kan family pergi merisik untuk kau?”

“Tahu.”

Then, mana kau menghilang? Patut orang tua pergi merisik, happy, excited! Ini tak. Muka dah macam ayam kena berak kapur je abang tengok!”

Serentak itu Tengku Harrys mencapai sebiji bantal kecil di sebelah lalu dibalingkan ke arah Tengku Hafiy. Tetapi tangan abangnya lebih pantas menangkap. Apalagi, makin galaklah ketawa lelaki itu.

Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan abangnya lagi dia bingkas berdiri sambil menanggalkan jaket yang masih tersarung di badan sebelum berlalu ke almari untuk mengambil tuala dan pakaiannya. Sehari suntuk dia menunggang motosikal hari ini tanpa hala tuju. Semata-mata ingin lari dari masalah yang sedang membelenggu diri. Setelah itu dia merehatkan diri di kondo miliknya dan Fezrul. Menghabiskan masa bersama rakan baiknya itu sedikit sebanyak dapat meringankan sedikit beban di fikiran. Namun untuk bercerita dengan Fezrul tentang masalah yang sedang dihadapi, belum waktunya lagi.

Dia tidak tahu apa yang telah berlaku siang tadi dan apa yang terjadi dengan risikan itu. Dan sememangnya dia tidak mahu mengambil tahu lansung mengenainya. Dia pasrah seandainya ini adalah takdir yang sudah tertulis buat dirinya. Sejak mengetahui tentang perkara tersebut dari mamanya tempoh hari, dia hanya mengambil sikap berdiam diri. Lansung tidak bertanya siapa calon pilihan mamanya itu, walaupun dia dapat mengagak siapakah orangnya. Malah sejak itu hatinya menjadi tidak tenteram. Emosinya juga sering terganggu. Hingga kadangkala dia melepaskan kemarahannya pada orang lain. Dan yang menjadi mangsa selalunya adalah Irish.

‘Irish.’

Hmhh! Menyebut nama itu sahaja membuatkan dirinya dilanda rasa bersalah.

“Kau tak nak tahu ke apa jadi dengan majlis merisik siang tadi, Rys?”

Pertanyaan itu mematikan lamunan Tengku Harrys. Dia menoleh pada abangnya yang masih duduk di sofa. Tiada sebarang jawapan. Hanya satu renungan tajam diberikan pada lelaki itu sebelum berpaling semula menghadap almari mencari sesuatu.

“Eh, budak ni. Senyap pulak dia! Rys, dengar tak apa abang tanya ni?” 

“Dengar.”

“Dengar tapi buat tak tahu pulak!” tingkah Tengku Hafiy geram.

“Perlu ke?”

“Hai, of courselah! Takkanlah kau tak nak tahu siapa bakal isteri kau tu. Dan apa jawapan yang we all bawa balik hasil perbincangan siang tadi.”

Masih lagi senyap. Tiada tanda-tanda yang Tengku Harrys akan membuka mulut.

“Harrys!”

Sebaik namanya disebut sekali lagi, terus sahaja Tengku Harrys menghempas pintu almari dan meluru ke arah abangnya. Kolar baju Tengku Hafiy direntap lantas dia menarik lelaki itu untuk bangun menentang matanya. Jelas sekali kemarahannya tidak dapat dibendung ketika ini. “Nak ambil tahu pasal apalagi?! Who’s my future wife?? The answer is Tengku Melissa, right?! And of course family Pak Ngah dah terima risikan tu! Now I want to ask you one question. When is the date of our engagement? Next month? Next year? Or probably next week, my dear brother?!” bentak Tengku Harrys geram. Mukanya sudah merah padam menahan marah. Namun marahnya itu hanya percuma sahaja apabila ketawa Tengku Hafiy berderai sekali lagi hingga memenuhi segenap ruang bilik itu.

“Wei, Rys! Kau ni dah kenapa??! Astaghfirullahalazim! Cuba bawa mengucap sikit!” jerkah Tengku Hafiy lalu melepaskan genggaman Tengku Harrys di kolar bajunya. Terkedu juga dia diperlakukan sebegitu. Sungguh, seumur hidupnya inilah pertama kali Tengku Harrys berkelakuan seperti ini. Namun sedikit pun dia tidak ambil kisah atau berasa hati. Dia tahu adiknya benar-benar tertekan saat ini. “Itulah. Lain kali orang offer nak bagitahu, jangan jual mahal sangat. Kan dah jadi macam ni!” tingkah lelaki itu lagi bersama tawa yang masih bersisa.

What?! Apa yang salah Rys cakap? Is it untrue what I’m saying just now?!”

“Memang tak betul pun! Kau ingat mama nak ke buat perempuan macam Lissa tu jadi menantu dia? Mati hidup balik pun mama takkan buatlah!”

Serta-merta wajah Tengku Harrys berubah mendengarkan kata-kata abangnya. “Bukan Lissa? Then, who?!”   

“Macam nilah, Rys. We all balik tadi dengan tangan kosong sebab keluarga pihak perempuan belum beri apa-apa keputusan lagi. Mereka minta tempoh untuk berbincang dan beri kata putus yang abang sendiri pun tak tahu sampai bila. So...,” Tengku Hafiy merapati adiknya lantas memaut bahu lelaki itu sambil membisikkan sesuatu. “... kau bincanglah dengan Irish baik-baik pasal hal ni. Mana tahu dapat lembutkan hati dia untuk terima kau!” ujarnya seraya menepuk bahu Tengku Harrys sebelum beredar untuk keluar dari situ.

“Abang, wait!” pantas Tengku Harrys menarik bahu abangnya, menghalang lelaki itu dari terus melangkah. “Apa maksud abang bincang dengan Irish baik-baik?”

For your information, calon pilihan mama yang selalu disebut-sebut tu, she was Irish.”

What?!”

Yes! Sebab tu abang suruh kau bincang baik-baik dengan dia. Doa-doalah keluarga dia akan beri jawapan yang mengembirakan. Sebab mama memang betul-betul berhajat nak bermenantukan Irish untuk kau.”

 Tengku Hafiy terus berpaling dan menyambung langkahnya. Sebelum merapatkan pintu, sekali lagi dia berpesan. “Bincang baik-baik dengan Irish. Ingat pesan abang ni. Good night!”

 Daun pintu ditutup. Namun mata Tengku Harrys masih tertumpu di situ dengan pandangan yang tidak berkelip.

             “Irish?” ucapnya seakan tidak percaya.