F
|
Hari ini Irish tiba di pejabat agak
lewat. Semalaman dia tidak dapat lelap. Hanya selepas solat Subuh baru dia
dapat lena walaupun sekejap. Akibatnya, hari ini dia datang ke pejabat dengan
kepala yang berdenyut-denyut bagaikan ingin pecah bila-bila masa sahaja. Sebaik
masuk ke dalam lif, Irish terus menekan punat untuk naik ke tingkat pejabatnya.
Baru sahaja pintu lif ingin tertutup, tiba-tiba ada satu tangan yang
menghalang, membuatkan pintu itu kembali terbuka. Dan apabila dia mendongak,
wajah Tengku Harrys terpancul di hadapan sambil merenung ke arahnya. Beberapa
ketika berdiri barulah lelaki itu melangkah masuk, menjadikan hanya mereka
berdua yang berada di dalam lif kini. Sedaya upaya Irish cuba mengelak dari
memandang lelaki tersebut. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan hal semalam.
‘Dia
tahu ke tidak pasal hal semalan, ya? Kalau tak tahu, baguslah. Tapi kalau tahu,
masaklah nak menghadap dia macam ni. Yang lif ni pun satu. Kenapa lambat
sangat. Gerak ke tak gerak ni?’
“Are you busy today?”
“Hmm?”
pantas Irish menoleh, sedikit terkejut dengan sapaan itu.
“Ikut
saya tengahari ni. Pukul 1.00 tunggu kat bawah. We need to discuss.”
Serentak itu pintu lif terbuka dan
lelaki itu terus melangkah keluar tanpa menunggu apa-apa jawapan dari Irish.
Dan Irish hanya mampu memandang sahaja hingga batang tubuh lelaki itu
menghilang.
“Dia dah tahu ke? Alamak, macam mana
ni?!” Irish kalut. Matanya dipejamkan untuk sesaat dengan harapan dia sedang
bermimpi sekarang ini. Namun apabila matanya dibuka semula, pintu lif di
hadapan sudah hampir tertutup.
“Eh, eh! Nantilah. Bagi aku keluar dulu
kalau ya pun!”
Gadis itu mengomel sendiri sambil kaki
pantas dihayun ke biliknya. Ikutkan hati mahu saja dia cabut pulang ke rumah
sekarang. Itu lebih baik daripada terpaksa menghadap unpredictable person yang seorang itu.
DARI kejauhan dapat dilihat kereta BMW Tanzanite Blue itu sudah berada di hadapan pintu
utama bangunan Haiyan Holdings. Langkahnya
terhenti. Tiba-tiba terasa kecut pula dia untuk menghadap Tengku Harrys kali
ini. Berkira-kira apa yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu. Berkenaan
kerjakah? Atau hal semalam?
“Kenapa
tak masuk kereta lagi?”
Spontan
Irish berpusing ke belakang dek terkejut dengan teguran itu. Malang sekali
nasibnya apabila dia terlanggar tubuh Tengku Harrys yang ketika itu berada betul-betul
di belakang, menyebabkannya gagal untuk mengimbangi badan. Mujur tangan lelaki
itu lebih dulu menangkap kedua lengannya sebelum sempat dia jatuh menyembam
lantai. Irish terkaku. Kejap pegangan Tengku Harrys hanya dia dapat rasakan
sehinggakan dirinya tidak dapat bergerak lansung. Seketika matanya mencari anak
mata lelaki itu sebelum pandangan mereka bertemu. Dan serta-merta perasaan itu
kembali hadir ke ruang hatinya.
Minit berlalu, Irish tersedar.
Cepat-cepat dia menarik lengannya semula. Lansung gadis itu mengatur langkah
menghampiri BMW milik Tengku Harrys dan menunggu di sisi kereta itu. Serasa
dadanya ingin meletup juga saat ini. Malunya dia hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Entah berapa pasang mata yang menyaksikan insiden sebentar tadi, dia juga tidak
pasti. Apa yang pasti mukanya sudah tentu merah padam sekarang ini. Akhirnya
gadis itu hanya mampu mengetap bibir sambil tertunduk menahan perasaan yang
sudah bercampur-baur.
“Tak
nak masuk ke?”
“Hmm?”
“Come. Get in,” arah Tengku Harrys dengan
suara yang tiba-tiba sahaja lembut di pendengaran Irish. Gadis itu hanya
menurut tanpa banyak soal. Tidak berani bersuara lebih-lebih lagi terkenangkan
insiden yang baru berlaku sebentar tadi.
Kereta meluncur laju membelah jalanraya
yang masih terkawal. Tidak pasti ke mana arah tuju mereka tika ini, Irish hanya
membuang pandang ke luar tingkap sambil melayani lagu-lagu di radio. Itu lebih
baik daripada berbual dengan lelaki di sebelahnya ini.
Perjalanan yang dirasakan agak lama itu
akhirnya tiba ke destinasi yang dituju. Tengku Harrys memberhentikan keretanya
di hadapan sebuah tasik yang agak lengang ketika ini. Memang sengaja dia
mencari tempat yang tidak ramai orang agar mudah untuk mereka berbincang.
Keluar sahaja dari kereta, lelaki itu bergerak ke bahagian hadapan dan
bersandar di situ sambil berpeluk tubuh. Dari ekor matanya dia dapat melihat
Irish ikut sama turun dan kemudian berdiri tegak tidak jauh darinya.
“I’m
sure you know what was happened yesterday.”
Serentak itu jantung Irish berdegup laju.
Mulutnya tidak bersuara membalas kata-kata tersebut. Hanya pandangan dihalakan
ke arah Tengku Harrys.
“Dan
apa yang saya diberitahu, keluarga awak minta tempoh untuk berbincang sebelum
beri kata putus. Betul?” sambung lelaki itu lagi lalu menoleh pada Irish.
“Err...,”
“Is
it true, Irish?”
“Be... betul!” balas Irish. Wajahnya
hanya ditundukkan. Tidak berani menentang pandangan Tengku Harrys walaupun
ketika ini lelaki itu berkacamata hitam.
“Sampai bila?”
“Mungkin seminggu.”
Tengku Harrys mengeluh perlahan.
Pandangan diarahkan ke hadapan semula. Ikutkan hati, sebolehnya sekarang ini
juga dia inginkan jawapan dari Irish. Perlahan kacamata hitamnya ditanggalkan
lalu dia merenung ke dasar tasik yang terbentang luas.
“Is
it hard for you to make a decision?”
“Keputusan apa?”
“Terima atau tolak lamaran tu.”
“I don’t know. Benda ni terlalu mengejut.
Saya sendiri masih tak percaya dengan apa yang berlaku semalam.”
“Awak
nak cakap yang awak akan tolak lamaran tu?”
Irish
terdiam. Kepalanya ligat memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan. “Saya
belum buat apa-apa keputusan lagi. Ini soal masa depan. Masa depan saya dan
juga masa depan Tengku. Jadi saya kena fikir baik-baik. Saya rasa Tengku pun
mungkin tak setuju dengan risikan tu. Jadi kalau kami tolak, mungkin takkan ada
masalah.”
“Then, kenapa tak tolak je lamaran
keluarga saya tu dari semalam? Kan senang. Tak payah susah-susah nak minta
tempoh untuk bagi kata putus lagi.”
Irish
mengangkat wajah. Muka Tengku Harrys ditenung dari pandangan sisi. Agak dingin
kedengaran kata-kata lelaki itu di telinganya, walaupun nadanya perlahan.
Lelaki itu terus direnung. Namun Tengku Harrys tetap tegar memandang ke arah
tasik di hadapan.
“Jadi,
Tengku nak saya tolak lamaran tu? Kalau macam tu, sekarang pun saya boleh buat
keputusan.”
Tengku
Harrys semakin tidak tenteram. Dia tidak tahu bagaimana untuk dihuraikan
perasaannya ketika ini. Marah? Gembira? Sedih? Atau kosong tanpa apa-apa rasa.
Semalam sewaktu dia keluar meninggalkan rumah, perasaan marah menyelubungi diri.
Sangkanya risikan itu dihantar untuk Tengku Melissa. Disebabkan itu dia
mengambil keputusan untuk pergi membawa diri. Namun perasaan marah itu
kemudiannya bertukar menjadi sesuatu yang menggembirakan tatkala abangnya
membawa perkhabaran bahawa risikan itu sebenarnya adalah untuk Irish. Tuhan
sahaja yang tahu bagaimana perasaannya. Dan hari ini dia tidak tahu perasaan
apakah yang sepatutnya dia perlu ada. Sukar untuk digambarkan walaupun ketika
ini dia bersama gadis yang selama ini menjadi bayangan dalam hidupnya.
“Awak
dah ada pilihan sendiri?” spontan soalan itu terkeluar dari Tengku Harrys..
“Tak.”
“So, kenapa tak terima lamaran tu?”
Sekali
lagi Irish terkejut. ‘Dia ni okay ke
tidak ni? Tadi suruh aku tolak. Sekarang suruh terima pulak.’
“Are you listening what I’m saying, Irish
Qiara?”
“Hmm?
Ya, ya. Saya dengar.”
“Then, why are you staring at me like that?”
Serta-merta Irish melarikan matanya ke
arah lain. Merah padam sekali lagi mukanya ditegur sebegitu. ‘Ishh! Nampak
pulak dia!’
“I’m
still waiting for your answer, Irish.”
Irish
menarik nafas dalam-dalam. Cuba menyusun ayat sebaiknya agar tiada hati yang
akan terguris. “Saya rasa Tengku dah tahu jawapannya. Lagipun kita tak pernah
bercinta. Apatah lagi untuk bincang hal ni. Dan Tengku pun mungkin dah ada
pilihan hati sendiri. Jadi tak perlulah kita teruskan hajat keluarga Tengku tu.
Demi kebaikan bersama.”
Sekali lagi Tengku Harrys menoleh.
Satu renungan tajam dihadiahkan buat Irish. Tidak menyangka kata-kata tersebut
yang akan keluar dari mulut kecil itu. Giginya diketap. Nafasnya juga seakan
tersekat. Entah berapa lama dirinya dapat menahan kemarahan ini, dia sendiri
tidak tahu. Seketika, wajahnya dipalingkan ke tempat lain. Memaksa diri untuk
terus bertahan sebelum mulutnya kembali bersuara.
“Sama ada awak nak terima lamaran tu
atau tidak, terpulang. Kalau jawapannya ya, awak boleh bagitahu saya sekarang.
Tapi kalau jawapannya tidak, you have to
explain it directly to my family. Saya tak nak ambil tahu. But one thing, kalau sampai keputusan
awak tu akan bagi bad effect pada family saya, awak adalah orang yang
bertanggungjawab untuk semua tu.” Tengku Harrys mengenakan kembali kacamatanya
lalu bangun dan melangkah ke pintu kereta tanpa menoleh sedikit pun pada Irish. “Let’s go back.”
Irish
terkaku di tempatnya. Tidak pasti sama ada mahu ikut masuk ataupun tidak.
Sebelah kakinya ingin melangkah. Namun sebelah lagi bagaikan terpaku di situ.
Hanya selepas Tengku Harrys menghidupkan enjin kereta, barulah dia tersedar.
Pantas kakinya dihanyun memasuki kereta tersebut.
Sekali
lagi keadaan sepi menemani perjalanan mereka sewaktu pulang. Sekali sekala,
Irish sempat mencuri pandang ke arah Tengku Harrys di sebelah. Wajah lelaki itu
kelihatan merah. Mungkim sedang menahan marah. ‘Marah kenapa? Bukan patutnya
dia suka ke kalau aku tolak lamaran tu? Sekurang-kurangnya tak adalah aku jadi
penghalang hubungan dia dengan Tengku Melissa. Tapi sekarang ni tengok macam
orang tengah frust je!’ Irish
berbicara sendiri. Sejenak, dia teringatkan kata-kata Tengku Harrys. Mungkin
ini bukan pilihan dia. Namun kerana ianya hajat keluarga, lelaki itu sanggup
mengenepikan perasaan sendiri semata-mata untuk memenuhi permintaan tersebut.
Sekali lagi Irish menoleh ke sisi. Tengku Harrys masih tidak menghiraukannya.
Jangankan bercakap, melihat wajahnya pun tidak betah lelaki itu barangkali.
Sudahnya, dia hanya membuang pandang terus ke luar tingkap.
Tengku Harrys menoleh Irish sekilas.
Bukan dia tidak perasan gadis di sebelah asyik memandangnya sejak mereka masuk
ke dalam kereta tadi. Cuma hatinya masih terasa sakit. Lain yang diharapkan,
lain pula yang jadi. Perbincangan yang disangka akan berakhir dengan sesuatu
yang mengembirakan rupanya hanya angan semata-mata. Hati yang mula terasa
tenang dengan perkhabaran Tengku Hafiy malam tadi juga kini sudah kembali
resah. Semuanya gara-gara gadis di sebelahnya ini.
Tengku Harrys melepaskan keluhan,
membuang sedikit rasa gelisah yang bertandang. Punat radio kemudian ditekan,
membiarkan halwa telinganya menikmati alunan lagu bagi meredakan sedikit hati
yang keresahan. Sebaik radio kereta itu terpasang, telinganya terus menangkap
intro lagu yang sentiasa bermain di tabir mindanya selama ini.
Tak pernah ku alami
Tak mungkin ku hindari
Di himpit perasaan bayangan gurauan...
Tengku Harrys menoleh ke sisi. Irish
masih setia memandang ke luar. ‘Salah engkau yang tidak memahami, atau salah
aku yang tidak mahu berterus terang?’ luah hati kecilnya. Kereta dipecut dengan
lebih laju. Dia ingin segera pulang ke pejabat. Tidak kuat lagi untuk
terus-terusan bersama dengan gadis ini.
PINTU kondo tersebut dibuka menggunakan kunci pendua yang
dimiliki. Masuk sahaja ke dalam, tubuhnya dihempaskan ke atas sofa ruang tamu.
Kepala yang terasa berat disentuh perlahan. Matanya juga sudah semakin layu.
“Eh, Rys. Kau rupanya! Aku ingatkan
siapa tadi.”
Suara
yang tiba-tiba muncul itu mengejutkan Tengku Harrys yang baru saja ingin
terlena. Matanya dicelikkan kembali untuk melihat empunya suara tersebut
walaupun dia sudah tahu siapa pemiliknya. Sekilas dia memandang sekujur tubuh
yang sedang berjalan ke arahnya sebelum mata kembali dipejamkan. “Kau tak kerja
ke, Rul?”
“Tak.
Aku on leave hari ni,” jawab Fezrul.
Memang hari ini dia tidak bekerja kerana ingin menghabiskan cuti tahunan yang
masih berbaki. “Yang kau ni kenapa kat sini time-time
macam ni? Tak kerja ke hari ni?”
“Kau
nampak aku pakai baju kerja ni, dah sah-sahlah kerja. ”
“Dah
tu, kenapa baring kat sini kalau kerja? Setahu aku kau mana reti nak
ponteng-ponteng kerja ni!” tukas Fezrul lalu duduk berhampiran Tengku Harrys.
Cawan yang berisi minuman diletakkan di meja sisi. Tangannya kemudian mencapai
gitar yang tersandar di sofa sebelum tali dipetik memainkan sebuah lagu.
Tengku Harrys membuka mata
semula. Serentak itu, satu keluhan terbit dari bibirnya. Dan perbuatannya itu
sekaligus mencuri tumpuan Fezrul.
“Hey,
bro! What’s wrong?”
“Nothing.”
Fezrul
tertawa mendengar jawapan itu. Gitar di tangan disandarkan ke sofa semula.
“Harrys, tell me berapa lama dah aku
kenal kau? Bukan baru setahun dua tahu tak? Semalam kau datang sini dengan muka
serabut macam ni, kau cakap tak ada apa-apa. And today, again? Come onlah, Rys!”
Tengku
Harrys mengeluh sekali lagi. Kemudian dia bangun dari pembaringan lalu duduk
menghadap Fezrul. Seakan dia sudah tidak dapat berselindung. Semenjak dulu
rakannya ini bagaikan dapat membaca isi hatinya setiap kali dia berdepan dengan
masalah. Hanya melalui perubahan sikap dan air mukanya sahaja Fezrul sudah
dapat meneka.
“Now tell
me, why are you being like this? What’s
the problem?”
Tengku Harrys terus-terusan diam.
Mulutnya bagaikan terkunci untuk memulakan kata-kata. Lukisan yang tergantung
pada dinding di hadapannya ditenung. Entah apa yang ditenungnya dia sendiri
tidak tahu.
“Woi!
Nak termenung, termenunglah jugak. Habis aku yang kat sini ni, nak tunggu je
sampai kau habis termenung?” tingkah Fezrul geram, membuatkan Tengku Harrys
terus memandangnya. Dari riak wajah, dia yakin rakannya sedang berdepan dengan
masalah. Dan dia cukup tidak suka melihat keadaan ini.
“So,
what’s wrong?” soal Fezrul sekali lagi. Minumannya diambil lalu dihirup
perlahan.
“Mama
aku dah carikan calon untuk aku.”
Tersedak
Fezrul mendengar jawapan itu. Habis tersembur air diminumnya. “What??!”
“Yes.”
“Eh, kau biar betul Rys!”
“Muka aku ada nampak macam main-main
ke?”
Serta-merta
ketawa Fezrul terhambur. Cawan dalam pegangan diletakkan semula. Melihatkan
muka Tengku Harrys tidak berkelip memandangnya, membuatkan ketawa Fezrul
semakin galak. Dan ketawanya itu berpanjangan hingga ke beberapa minit.
“Ketawalah
puas-puas, Rul!” bentak Tengku Harrys dengan nada sedikit geram.
“I just can’t believe it! Harrys yang
selama ni anti-perempuan, mengelak sana mengelak sini, at the end mama dia carikan calon isteri untuk dia?? Hai! Harrys,
Harrys!” Fezrul menyambung kembali tawanya. Memang berat masalah yang
ditanggung rakannya ini. Kalau dia berada di tempat Tengku Harrys, mungkin
reaksinya pun sama juga. “Sabarlah, Rys. Kalau aku jadi orang tua kau pun dah
tentu-tentu aku risau tengok kau. Orang tua mana yang nak tengok anak diorang
membujang sampai ke tua. Just relaxlah!
Mama kau baru je cari. Belum hantar rombongan apa-apa pun, kan?”
“Dah
hantar pun.”
Fezrul
memandang Tengku Harrys. Duduknya yang bersandar tadi tegak semula. “Bila?”
“Semalam.”
Membulat
mata Fezrul kali ini.“Sebab tulah semalam kau lari ke sini? Bawa diri?”
Harrys
hanya mengangguk.
“Hmm… ni kes tak setujulah ni?
Patutlah dua hari datang rumah aku dengan muka macam ni. Hai! Apa susah, Rys?
Kalau kau tak suka dengan pilihan mama kau tu, tolak jelah. Tak payah nak serabut-serabut kepala macam
ni!”
“I can’t. That’s her.”
Jawapan Tengku Harrys itu membuatkan
mata Fezrul semakin tajam merenungnya.
“Harrys,
don’t tell me that you…,”
“Yes! That
was her!”
“Siapa?!”
Untuk
kesekian kalinya Tengku Harrys melepaskan keluhan. Nampaknya dia sudah tidak
mampu menanggungnya seorang diri lagi. Dia perlukan teman untuk berkongsi
rahsia yang sedang memberat di jiwanya sekarang. Dan satu-satunya orang yang
dirasakan sesuai untuk berada di tempat itu adalah Fezrul. Dia tidak tahu
mengapa dirinya begitu lemah bila melibatkan hal sebegini. Walhal dia dikenali
sebagai seorang yang begitu pandai menyelesaikan masalah walau seberat mana ia
sekalipun. Tapi sekarang, dia merasakan seolah-olah dirinya sudah bertukar
menjadi orang lain. Menjadi seorang yang sangat lemah dan tidak mampu berfikir
apa-apa. Semuanya hanya kerana gara-gara seorang gadis.
“I’m
still waiting, Rys.”
Suara
Fezrul menyentakkan lamunan Tengku Harrys. Lelaki itu masih lagi merenung ke
arahnya menagih penjelasan. Tengku Harrys membetulkan duduk. Wajahnya diraup
perlahan. Dengan tenang satu-persatu rahsia hatinya dirungkaikan pada Fezrul.
Dari pertemuan awal bersama Irish sehinggalah kepada perbincangannya dengan gadis
itu lewat tengahari tadi. Semuanya dijelaskan kepada Fezrul agar rakannya itu
memahami masalah yang sedang bergelut dengan dirinya ketika ini.
Fezrul pula begitu tenang mendengar.
Sesekali dia tersenyum. Adakalanya terangguk-angguk. Dan ada ketika mukanya
kelihatan serius. Bukan dia tidak biasa mendengar dan berkongsi masalah begini
dengan Tengku Harrys. Tetapi hari ini keadaan sedikit berbeza. Buat pertama
kali lelaki di hadapannya meluahkan rahsia hati yang selama ini dipendam
sendiri. Walapupun mereka berkawan rapat sejak sekolah dulu, namun untuk
menebak soal hati dan perasaan rakannya yang satu ini memang payah.
Kadang-kadang dia sendiri tidak faham mengapa hati Tengku Harrys begitu beku
terhadap perempuan.
“So…
kau dah dengar semua cerita aku, kan?”
Tiada
jawapan yang keluar dari mulut Fezrul. Hanya sebuah senyuman terukir di bibir
tatkala Tengku Harrys menyudahkan ceritanya.
“Aku
suruh kau dengar cerita aku, then
bagi nasihat. Bukan suruh tersengih-sengih macam tu.”
“Hey,
sabarlah bro! Aku tengah menghayati story kau ni. Tapi tak sangka aku, ya.
Rupa-rupanya kawan aku ni ada jugak hati dan perasaan kat perempuan. Ingat beku
dah!”
Spontan
penumbuk Tengku Harrys singgah di lengan Fezrul, membuatkan ketawa lelaki itu
berderai. “Kau kalau takat nak ketawakan aku, baik aku tak payah cerita tadi!”
Tengku Harrys mendengus marah.
“Okay, okay! Aku stop!” Fezrul memperlahankan tawanya sebelum kembali fokus dengan
perbualan mereka. “Aku ni tak adalah expert
sangat dalam bab-bab nak nasihatkan kau. Cuma yang aku boleh cakap, sabar. Kita
tunggu keputusan pihak perempuan nanti macam mana. Harap-harap positiflah. Tak
boleh nak terlalu paksa diorang sebab benda ni mengejut dan kau pun tak pernah
bercinta dengan that girl. Tiba-tiba
je family kau hantar rombongan
merisik, kan. Of courselah diorang
ambil masa untuk buat keputusan.”
“Okay. You’re right.” Tengku Harrys beralah akhirnya. Sedikit
sebanyak betul juga apa yang dikatakan Fezrul. Dia dan Irish tidak pernah
bercinta, walaupun mereka satu pejabat dan hampir setiap hari bertemu. Malah
dia sedikit pun tidak menduga bahawa calon pilihan mamanya itu adalah Irish.
Memang benarlah kata mamanya tempoh hari sama ada dia sanggup menolak calon
pilihan wanita itu ataupun tidak. Dan ternyata kata-kata mamanya itu benar-benar
memakan dirinya kini.
Tengku
Harrys tersedar dari menungannya. Pantas dia melihat jam di tangan. Sudah
menghampiri jam 6.00 petang. Menyedari hal itu, segera dia bangkit dari
duduknya. Namun pergerakannya mati bila Fezrul tiba-tiba menahannya bersama
satu senyuman nakal.
“Yang kau pandang-pandang aku macam tu
kenapa?”
“Saja.
Tak sangka aku jiwang jugak kau ni rupanya. Dulu bukan main sombong dengan
perempuan. Nak sangat aku tengok that
girl yang dah berjaya buat kawan aku yang selalu nampak cool, tapi sekarang, dah jadi serabut
macam ni!”
Sekali
lagi Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan rakannya, dia kembali
bangun dari sofa.
“Hey!
Nak nak ke mana tu? Laju jalan!” Fezrul masih lagi ingin mengusik
rakannya.
“Solat.
Duduk melayan kau tak pasal-pasal terlepas Asar aku nanti,” balas Tengku Harrys
seraya memasuki salah satu bilik di dalam kondo tersebut. Dari dalam bilik, dia
masih dapat
mendengar suara Fezrul yang semakin galak
ketawa.
‘Jiwang?
Aku sendiri tak tahu apa kena dah dengan aku, Rul. Semuanya sebab Irish. Yes! Irish Qiara yang dah berjaya buat
aku jadi serabut macam ni!’ jeritnya di dalam hati.
No comments:
Post a Comment