I
|
Ikutkan hati memang
dia keberatan untuk pergi. Mengenangkan alongnya beria-ia mengajak, Tengku
Hafiy pula sudah berkali-kali mengingatkan... rasa bersalah pula jika tidak
diturutkan permintaan dua insan itu.
Irish keluar dari
kereta. Barang-barangnya di bahagian belakang, diambil. Seusai salam diberikan,
terjengul kelibat seseorang di muka pintu.
“Yeay! Acik Irish dah
sampai!” jerit kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meluru keluar memeluk Irish.
“Hmm... rindunya Acik
Irish kat Airi ni. Lama tak jumpa. Adik Qis mana?”
“Adik ada kat dalam
tengah mandi. Jomlah masuk, Acik Irish. Meh... Airi tolong bawakan beg!” tutur
Alief Qusyairi, anak sulung Izzul.
Diambilnya satu beg
bersaiz kecil lalu digamit tangan ibu saudaranya masuk ke dalam rumah. Irish
langsung ditarik ke sofa untuk duduk di sebelahnya.
“Papa! Mama! Acik
Irish dah sampai!” laungnya.
Kala itu,
kelibat Izzul dan Safiya muncul dari tingkat atas bersama anak kedua mereka,
Aliefa Qisrina. Irish bangun bersalaman lalu mengambil Qisrina dari dukungan
Izzul. sebelum
“Pukul
berapa Irish gerak tadi?”
Izzul melabuh duduk di
depan Irish. Safiya terus e dapur meninggalkan suami, adik ipar serta
anak-anaknya di ruang tamu.
“Lepas
asar tadi terus gerak. Umi, ayah dengan Irhan kirim salam.”
“Waalaikumussalam.
Esok Irish balik along ingat nak ikut sekali. Kasihan kat budak-budak ni asyik
tanya bila nak balik rumah atuk dengan nenek.”
“Eloklah, long. Umi
dengan ayah pun dah rindu dengan cucu-cucu dia ni. Pukul berapa along nak pergi
rumah Tengku nanti?”
“Lepas
isyak dalam pukul 8.45 macam tu.”
“Ada
parti ke?”
“Isk,
tak adalah. Keluarga Tengku bukan jenis macam tu. Cuma buat majlis tahlil dan doa
selamat. Lepas tu adalah jamuan sikit.”
Irish
terangguk-angguk. Kepala Qisrina yang terlentok di bahunya dicium.
“Jemput
minum, Irish. Kak Long tak ada buat apa. Ni pun along yang beli kat kafe depan
sana tadi.” Safiya muncul dari dapur menatang dulang berisi air dan sedikit
kuih-muih.
“Tak
apa, kak long. Ini pun dah cukup.”
“Dah
minum nanti Irish pergilah naik atas, berehat. Lepas isyak kita gerak. Along
nak keluar pergi cuci kereta kejap.” Izzul bangkit dari sofa. “Airi nak ikut
papa?”
“Nak!”
Cepat sahaja Qusyairi ikut bangun menuruti langkah papanya.
“Nasiblah
adiknya dah tertidur. Kalau tak, dengan budak-budak ni sekali nak ikut.
Bukannya boleh tinggal dia orang berdua ni!”
Irish tertawa dengan
bebelan kakak iparnya. Qisrina yang sudah lena di pangkuan, ditepuk lembut agar
tidak terjaga dengan suara-suara mereka.
PERJALANAN yang memakan masa lebih kurang tiga puluh
minit dari rumah Izzul berakhir di sebuah kawasan kediaman elit mewah. Banglo-banglo
pelbagai reka bentuk dapat disaksikan di kiri dan kanan jalan menuju ke rumah
keluarga Tengku Hafiy.
‘Berapa jutalah
agaknya dia orang buat rumah besar-besar macam ni?’ Irish menyoal dalam hati.
Ralit dia memerhati dalam rasa kekaguman tak terperi.
Minit berselang, kereta Izzul berhenti di
hadapan sebuah banglo besar yang terbina di atas sebuah bukit. Kawasannya
kelihatan lebih luas berbanding banglo-banglo yang lain.
‘Vila Haiyan’
Terpampang nama itu pada
sebuah papan tanda di hadapan pintu pagar.
“Okey, kita dah
sampai. Jom!”
Izzul mendahului yang
lain keluar dari kereta. Tangan isterinya digamit masuk ke pekarangan vila
sambil mendukung Qisrina. Irish di belakang memimpin kemas tangan Qusyairi di
samping tetamu lain yang hadir ke teratak milik Tengku Haiyan. Masing-masing
mengenakan baju Melayu serta baju kurung.
Melangkah masuk ke
dalam vila, Izzul mengambil tempat bersebelahan Tengku Hafiy dan Tengku Haiyan
bersama Qusyairi, menyertai jemputan lelaki yang berada di ruang tamu. Safiya
membawa Qisrina dan Irish duduk dalam kelompok jemaah perempuan di ruangan
tengah, di sisi kakak Tengku Hafiy, iaitu Tengku Hazleen Damyra yang sudah
dikenalinya.
Tepat jam 9.30 malam,
majlis dimulakan dengan tahlil arwah dan bacaan Yaasin diikuti doa selamat
sempena meraikan ulang tahun perkahwinan Tengku Haiyan dan Tengku Dafina yang
ke-35. Rutin biasa yang dilakukan hampir setiap tahun.
Biarpun sederhana
sambutannya, namun lebih afdal. Lebih utama, mendapat keberkatan dan keredaan
ALLAH SWT. Selesai majlis, Tengku Haiyan memberi sedikit ucapan sebelum tetamu
dipersilakan menikmati jamuan di perkarangan vila.
“Helena tak datang
ke, Fiy?”
“Tak. Dia balik
kampung satu keluarga. Last minute. Emergency.”
“Mak
Engku dengan adik perempuan kau mana? Dari tadi tak nampak.”
“Aku pun tak pasti, Zul.
Adalah tu kat sini-sini. Memang sibuk dia orang berdua tu dari siang tadi.”
“Yalah...
tengok tetamu pun ramai malam ni. Silap hari bulan, tak dapatlah aku jumpa Mak
Engku dengan family kau yang lain.”
“Eh! Apa
pula tak jumpanya? Jumpa nanti. Mama aku tengah sibuk melayan tetamu tu. Kau
pun janganlah balik awal sangat. Dah lama tak datang sini, kan. Staylah
lama sikit. Rumah kau pun bukannya jauh sangat.”
“Aku
okey aje. Nak berjaga dua, tiga pagi pun tak ada hal. Takut budak-budak nilah
yang mengantuk.”
“Apa
susah? Tidur sini ajelah. Habis cerita!” selamba Tengku Hafiy menuturkan.
“IZZUL.”
Perbualan rancak Izzul
dan Tengku Hafiy terjeda. Saat menoleh ke belakang, sebuah senyuman terukir
kala melihat susuk itu datang kepadanya.
“Mak Engku. Apa
khabar?”
“Sihat,
alhamdulillah. Izzul sihat? Lama dah kamu tak datang. Rindu betul Mak Engku!”
ucap Tengku Dafina penuh teruja.
Hubungannya dengan
Izzul memang akrab sejak Tengku Hafiy sering membawa lelaki itu bermalam di
vila sewaktu menuntut bersama dulu. Hingga lama-kelamaan dia mengambil Izzul
menjadi anak angkatnya. Gelaran Mak Engku yang dibahasakan Izzul juga atas
saranannya. Nampak lebih mesra dan sedap didengar.
“Zul sihat, Mak
Engku. Maaflah sibuk sikit, itu yang dah jarang ke sini. Lagi-lagi Fiya tengah
berbadan dua. Tak boleh nak tinggalkan sendirian.”
Kornea Tengku Dafina serentak
terarah pada Safiya yang sedang memangku Qisrina.
“Laa... kasihannya
cucu Nek Engku. Dah tertidur dia. Fiya sihat, nak? Baby dalam perut ni sihat?
Bila due?”
“Sihat, Mak
Engku. Baby pun sihat. Insya-ALLAH due
lagi dua bulan macam tu.”
“Iya?
Alhamdulillah. Yang heronya ni mana? Tak nampak pun.”
“Ada kat sana
tu, dengan aunty dia. Sibuk nak tengok ikan dalam kolam katanya.” Izzul menunjuk
ke arah kolam ikan di taman mini tak jauh dari mereka. “Airi! Mari sini salam
dengan Nek Engku!”
Lekas-lekas Qusyairi
mendapatkan Tengku Dafina.
“Cucu Nek Engku ni
belum tidur lagi? Tak mengantuk ke Airi?”
“Belum, Nek Engku.
Seronok tengok banyak ikan dalam kolam tu. Kan, Acik Irish?” celoteh Qusyairi
lalu mendongak memandang Irish di belakangnya.
Tengku Dafina
menyoroti mata kanak-kanak itu. Seraut wajah mulus menyapa pandangannya.
“Mak Engku, kenalkan
ini adik perempuan Izzul. Irish.”
“Assalamualaikum,
Tengku. Apa khabar?”
Irish menghulur
tangan bersalaman. Tangan Tengku Dafina dikucup penuh hormat. Saat menarik kembali
tangan dari genggaman, entah kenapa wanita itu bagai enggan melepaskan. Matanya
juga langsung tak berkalih dari terus memberi renungan.
Seminit... figura
lampai Irish tiba-tiba didakap erat sebelum dahi gadis itu dikucup hangat.
Beberapa saat, barulah genggaman tangannya dilepaskan perlahan-lahan.
Dalam tergamam, Irish
kembali semula ke tempat duduknya bersebelahan Izzul. Kadar palpitasinya terasa
turun naik tak menentu.
“Mak Engku dah
takutkan Irish, ya. Maaflah. Di luar sedar Mak Engku.” Tengku Dafina seakan
baru menyedari keterlanjuran.
Dia sendiri tak tahu
bagaimana semua itu berlaku. Saat melihat Irish tadi, beningnya seakan ingin
terus menatap wajah gadis tersebut. Persis ada sesuatu menarik minatnya untuk
terus menikmati wajah mulus itu.
“Tak apa, Tengku.
Saya minta maaf juga.”
“Isk! Tak payahlah ber‘Tengku-tengku’.
Panggil Mak Engku aje, cukup. Sama macam abang kamu. Ini adik kamu yang dah
kahwin tu ke, Izzul?”
“Eh, bukanlah Mak
Engku. Ini adik perempuan Izzul yang bongsu. Belum kahwin lagi. Yang dah kahwin
baru dua orang.”
“Oh, iya ke? Masih
belajar?”
“Ma, nilah adik Izzul yang baru kerja kat syarikat
papa tu.” Tengku Hafiy mencelah perbualan tersebut.
“Sebut-sebut nama
papa ni, ada apa-apa yang papa boleh join ke? Hmm?”
Susuk Tengku Haiyan seiring
muncul bersama kedua-dua anak perempuan serta suami Tengku Hazleen.
Memandangkan semua tetamu telah pulang, mereka tidak ingin melepaskan peluang
menyertai kelompok yang masih tegar berada di situ walaupun malam semakin
larut.
“Tak ada
apalah, pa. Hafiy tengah kenalkan staf baru syarikat papa pada mama ni.”
“Staf
baru?”
“Iya.
Salah seorang staf baru yang Hafiy cerita tempoh hari. Perkenalkan, Irish Qiara
Izzuddin... our Junior Financial Executive. Merangkap adik kepada kawan
baik Hafiy, Izzul Qalief Izzuddin!”
“Laa...
iya ke? Kecik betul dunia ni, ya! Pusing sana, pusing sini... bertembung juga
akhirnya. Subhanallah!”
“Itulah.
Masa finalised calon-calon hari tu, Hafiy tak tahu pun Irish ni adik
Zul. Dah seminggu lebih dia kerja, baru dapat tahu. Itu pun kebetulan
bertembung dengan si Zul dengan Irish masa tu. Kalau tak, sampai sekarang pun
Hafiy tak tahu kut.”
“Pak
Engku minta maaflah ya Irish belum sempat jumpa dan kenal dengan staf baru. Tak
sempat langsung. Ha... ni dah jumpa malam ni, dapatlah juga kenal-kenal.
Nak-nak pula adiknya si Izzul ni, ya!”
“Ada
jodohlah tu!”
“Siapa yang ada
jodoh, Reen?” Tengku Dafina berkalih pada anak bongsunya di sisi.
“Jodoh Kak Irishlah,
ma!”
“Jodoh
dengan siapa pula?”
“Siapa
lagi? Dengan anak mamalah!”
“Siapa?
Dengan abang awak ni? Tak payah! Yang dah diikat tu pun belum menjadi, ada hati
nak cari lain!” bidas Tengku Hazleen selamba, buatkan seisi mereka memandang
Tengku Hafiy dan tertawa.
“Eh! Hafiy tak ada
cakap apa-apa pun, ya. Adik tu yang memandai!”
“Isk, bukan dengan
abanglah! Jangan nak perasan! Tengoklah dengan siapa-siapa nanti. Yang pasti,
masih single and available!” seloroh Tengku Hazreen lagi dengan lirikan
senyuman penuh makna.
Perbualan mereka
berlanjutan hingga ke topik-topik seterusnya. Adakala mereka ketawa, ada masa
tergelak besar bila ada cerita lucu yang terkeluar. Ibarat seperti sebuah
keluarga besar yang sedang berkumpul.
Hinggalah jam menginjak ke angka 2.00 pagi, barulah Izzul sekeluarga
meminta diri untuk pulang.

No comments:
Post a Comment