SELENDANG yang melitupi kepala disemat rapi. Habis itu
tangan langsung mencapai alat-alat solek. Dicalit sedikit eyeshadow di mata, sedikit blusher di pipi, sedikit lipstik di bibir. Hanya
sedikit. Namun sudah cukup serlahkan keayuan semula jadi.
Bayangan diri pada cermin hadapan terus dipandang. Kurung
moden tersarung di badan turut dibetulkan. Semua nampak dah elok. Sempurna
untuk melangkah ke pejabat selepas cuti panjang.
Jantung Irish tiba-tiba berdebar. Macam nak pergi interview
pula rasa. Kecut perut. Seram sejuk. Takut nak hadap penghuni Haiyan Holdings.
Lagi-lagi teman rapatnya.
‘Siap-siaplah, Irish. Dan tentu-tentu soalan yang
menunggu sepanjang skrol istana.’
Senyuman kecil spontan mengulir di bibir merah wanita
itu.
Barang-barang make-up dikemas semula. Sekilas mata
mengerling pintu bilik air. Masih tertutup. Belum siap lagi nampaknya.
Tangan kembali melakukan tugas di depan. Sementara tunggu
gerangan yang dinantikan.
“Irish.”
Panjang umur. Baru disebut-sebut, muncul terus. Segera
wanita itu menoleh. Sosok Tengku Harrys sudah tercegat di belakang. Pantas
langkah menghala ke bilik woredrobe. Pakaian pejabat yang telah siap
bergosok diambil lalu diserahkan.
“Terima kasih.”
“My duty,” balas Irish lalu bergerak ke katil.
Mengemas tempat beradu, rutin setiap pagi.
Entah kenapa sejak keluar bilik air, mata Tengku Harrys
tak lepas-lepas dari merenungnya. Dan sekarang pun lelaki itu masih pandang
dia. Sambil kenakan pakaian, sambil mata melihat pantulan figuranya di cermin.
“Cantik hari ni.”
“Hmm?”
“You look beautiful today.”
“Taklah. Memang selalu pergi kerja macam ni, kan.”
“Itu yang buat Harrys terpikat.” Antara dengar tak dengar
ayat itu diucapkan.
“Harrys cakap apa?”
“Nothing.” Tengku Harrys terus perkemas butang
kemejanya. “Dah ready nak masuk ofis?”
“Insya-ALLAH.”
“Nervous?”
“Sikit.”
“I can see it. Muka tu tak pandai menipu.”
Irish melirik suaminya. Tali leher yang diletak ke kolar
kini jadi tumpuan empunya badan di sana. Perlahan-lahan wanita itu dekati
lelaki tersebut.
“Boleh Irish tolong?”
“Hmm?”
“Ikat tali leher tu.”
Tengku Harrys terkaku. Baik mulut, baik tingkah-laku.
Wajah di depan dipandang dalam termangu.
Sedar dia takkan dapat jawapan, sudahnya Irish take
the action. Dicapai tali leher Tengku Harrys. Tapi bukan terus
disempurnakan. Sebaliknya simpulan kembali dileraikan.
“Kenapa?”
Irish senyap. Tali leher terus ditanggalkan. Selesai, dia
letakkan semula ke tempat asal. Kaki terus berjalan ke meja rias. Laci kedua
dibuka, capai sesuatu, dan kemudian kembali menghadap Tengku Harrys.
“Irish.”
“Saya.”
“What are you trying to do?”
“Tak ada apa. Nak pakaikan Harrys tie.”
Seutas necktie hitam lantas disangkut ke leher
lelaki berkenaan. Simpulan langsung dimulakan.
Sekali lagi Tengku Harrys tergamam. Sekejap dia pandang
tali leher. Kemudian wajah wanita di depan.
“Ini...,”
“Harrys punya, kan.”
Tengku Harrys cuba mengingat.
“Irish langgar Harrys kat pantri. Air tumpah.”
Perisitiwa beberapa tahun lalu selayang menjelma di
ingatan lelaki berkenaan. Insiden Irish tumpahkan air ke bajunya di pejabat.
Saat dia pulang dari Brunei dalam kekecewaan. Gara-gara Irish nak putuskan
pertunangan.
Tapi rasa kecewa itu akhirnya bertukar menjadi suatu
memoir yang memaniskan. Dan kerana insiden air tumpah tersebut, tali leher
hitam ini jadi pengikat dalam dia tak perasan.
“You still keep it?”
“Itu yang Harrys pesan. Simpan necktie ni
baik-baik. Dan pakaikan semula bila Irish dah jadi isteri Harrys. I just did
as what you have ordered.”
Tengku Harrys terus terdiam. Wajah mulus Irish direnung
tajam dalam berbagai-bagai perasaan.
** Let's
re-cap macam mana necktie hitam Tengku Harrys boleh berada dalam simpanan
Irish. Yang dah baca Novel BAYANGAN GURAUAN masih ingat lagi scene ni?
^_^
TENGKU HARRYS melangkah masuk ke Haiyan Holdings dengan perasaan yang
sukar untuk diungkapkan. Sejurus penerbangannya tiba pukul 12.00 tengah hari
tadi, dia terus sahaja mengambil teksi dan bergegas ke sini. Kerana itu dia
lewat masuk ke pejabat. Hari ini merupakan hari yang cukup berat baginya.
Adakah dia akan dapat menatap wajah itu lagi? Atau sekadar bayangan gadis itu
sahaja yang akan menemani hari-harinya selepas ini?
Semenjak pertengkaran yang berlaku antara mereka minggu
lepas, itulah kali terakhir dia bertemu Irish. Selepas itu dia terus bergegas
terbang ke Brunei untuk menghadiri mesyuarat bersama sebuah syarikat pembinaan
terkemuka di sana bagi membincangkan projek terbaharu Haiyan Holdings. Apa yang
berlaku sepanjang ketiadaannya di sini tidak diketahui. Keluarganya di rumah
juga langsung tidak dihubungi. Alasannya mudah sahaja, dia tidak mahu mendengar
sebarang berita yang akan membuatkan hatinya terluka.
Suasana sepi menyambut kehadiran Tengku Harrys saat dia
melintasi ruangan pejabat di tingkat 12 itu. Semua pekerja tiada di meja
masing-masing. Meja setiausahanya juga turut kosong. Ke mana semua orang pergi?
Tengku Harrys pantas masuk ke dalam bilik. Briefcase
serta blazer miliknya diletakkan di atas meja sebelum dia melangkah
keluar semula dari bilik. Hati kecilnya begitu meronta-ronta untuk segera
mencari jawapan bagi teka-teki yang ditinggalkannya sejak seminggu lalu.
Kaki pantas diayun menuju ke bilik Irish. Dengan debaran
di dada, Tengku Harrys membuka daun pintu. Perlahan dia menjengah ke dalam
bilik itu. Namun hatinya bagai dihambat pilu bila melihatkan bilik tersebut
kosong tiada penghuni.
‘Jadi benarlah dia nekad jumpa mama dan papa?’ detik
hatinya bersama satu keluhan.
Tengku Harrys menutup kembali pintu bilik Irish. Dengan
langkah longlai dia menapak ke pantri.
Ingin membasahkan tekak dengan minuman sejuk agar dapat mendinginkan sedikit
perasaannya ketika ini. Masuk sahaja ke dalam pantri, tanpa sengaja dia terlanggar seseorang,
menyebabkan minuman orang itu tertumpah ke atas bajunya.
“Oh! Maaf, maaf! Saya tak sengaja!” Penuh cemas suara itu
mengucapkan maaf sambil tangannya kalut mengelap kemeja Tengku Harrys yang
sudah basah.
Tengku Harrys tersentak. Jantungnya berdegup laju. Terasa
kini darahnya menyerbu naik hingga ke muka. Bukan kerana dia marah kemejanya
sudah basah dek air yang tertumpah, tetapi suara itu membuatkan nafasnya terasa
sesak. Perlahan dia mendongak.
“Irish.”
Tangan Irish terhenti sebaik mendengarkan suara itu.
Walaupun dalam nada berbisik, namun tetap jelas di pendengarannya. Sebaik dia
mengangkat wajah, matanya lebih dulu menyapa renungan lelaki di hadapan. Pantas
dia berpaling dan bergerak ke singki untuk membasuh gelas kotor di tangan,
sekali gus cuba menutup rasa gugup dalam debaran jantungnya.
Tengku Harrys terus kaku di tempatnya berdiri.
Pandangannya juga masih tidak lepas dari melihat susuk tubuh tinggi lampai di
hadapan. Adakah dia bermimpi? Ataupun benar apa yang sedang dilihatnya sekarang
ini? Dengan perlahan dia menghampiri Irish sebelum berhenti betul-betul di
belakang gadis itu. “Awak buat apa kat sini?”
“Kerjalah. Takkan makan angin.”
Jawapan itu membuatkan senyuman halus Tengku Harrys
terbit di bibirnya. Hilang segala rasa marah yang terbuku di hati sejak kali
terakhir bertemu dengan gadis ini. Lantas dia tunduk memandang lantai sambil
kedua-dua tangan menyeluk saku seluar.
“So... this is your decision?”
Irish tidak menjawab, hanya tangannya bergerak melakukan
kerja. Gelas yang sudah dibasuh diletakkan semula ke tempat asal. Beria-ia dia
membuat minuman. Belum pun sempat masuk mulut, air itu lebih dulu menjamah
kemeja Tengku Harrys. Mata Irish membulat.
‘Alamak! Macam mana aku boleh terlupa?’ Mengingatkan itu,
pantas dia berpaling menghadap Tengku Harrys semula.
“Baju Tengku. Saya mintak maaf,” ujarnya sambil memandang
kemeja putih Tengku Harrys yang sudah bertukar warna di bahagian hadapan akibat
air milo yang tertumpah tadi.
“Tak apa. Dah tumpah pun.”
“Saya tolong bersihkan.”
Kening Tengku Harrys sedikit berkerut. “How?”
‘Ya tak iya jugak. Macam mana pulak nak bersihkan?
Mustahillah nak suruh dia buka baju tu. Hmm!’ gumam Irish. Matanya melilau-lilau
memerhati sekeliling.
Seketika kemudian pandangannya terhenti pada salah sebuah
kabinet di ruangan pantri itu.
Seingatnya ada tuala bersih yang tersimpan di situ. Pantas dia membuka kabinet
tersebut dan mencapai dua helai tuala. Kemudian dia berlalu ke singki untuk
menadah sebekas air sebelum menghampiri Tengku Harrys semula. “Boleh ikut
saya?”
“Ke mana?” tanya Tengku Harrys yang sedari tadi hanya
memerhati sahaja tingkah laku Irish. Namun hanya senyuman gadis itu diterima
sebagai ganti jawapan pada soalannya.
Irish mula melangkah meninggalkan pantri bersama dua helai tuala di tangan. Kaki kemudian diatur
perlahan menuju ke biliknya. Berbanding di pantri, di sini rasanya lebih selesa dan selamat untuk dia
membersihkan baju Tengku Harrys. Setelah masuk, pintu bilik dibiarkan separuh
terbuka.
“So...” Tengku Harrys melabuhkan duduk di hujung
meja Irish. “...how are you going to clean up this mess?”
Irish membisu. Entah mengapa tubuhnya terasa kaku. Walhal
dia sendiri yang menawarkan untuk membersihkan baju lelaki itu tadi. ‘Tulah. Siapa
suruh ringan mulut tadi. Kan, sekarang? Hmm... macam mana aku nak bersihkan
baju dia, ya?’ Hatinya berbicara sendiri sambil otak ligat memikirkan sesuatu.
‘Ah, belasah ajelah!’
Irish melangkah menghampiri Tengku Harrys yang masih
tegar memandangnya. Tuala serta bekas berisi air di tangan sejak tadi
diletakkan di atas mejanya.
“Boleh buka necktie tu sekejap?” pinta Irish.
Spontan Tengku Harrys tunduk memandang tali lehernya sebelum mendongak semula.
“Awak bukalah sendiri.”
“Hmm?” Terliur Irish dengan kata-kata bersahaja lelaki
itu.
“Yes.”
‘Biar betul dia ni? Takkan aku yang nak kena buka kut!’
Melihatkan Tengku Harrys masih diam tidak berganjak,
Irish mula kalut. ‘Betul-betul nampaknya dia ni. Aduh! Kalau tak buka necktie
tu susah pulak nak bersihkan baju dia.’
“Kenapa? Ke awak nak saya buka terus kemeja ni? Lagi
senang nak bersihkan.”
“Eh, tak payah!” Laju saja mulut kecil itu menjawab.
Dengan tangan separuh menggigil, Irish menyentuh kolar
baju Tengku Harrys dan mula membuka ikatan tali lehernya. Setelah itu dia
mengambil sehelai tuala lalu dibasahkan. “May I?”
Hanya sebuah anggukan yang diterima. Perlahan Irish
meletakkan tuala basah tadi di dada Tengku Harrys. Sejak mereka masuk ke sini
tadi sehinggalah saat ini, mata lelaki itu tidak lepas dari memandangnya. Namun
tidak diendahkan. Tangannya sahaja laju bergerak melakukan kerja. Lagi cepat
dia buat, lagi cepatlah dia boleh melepaskan diri dari situasi ini.
“Awak tak jawab lagi soalan saya, Irish.”
Irish menjeling sekilas wajah di hadapannya. “Soalan
apa?”
“Ini keputusan awak?”
Pergerakan Irish terhenti. Dia ingatkan soalan itu sudah
berlalu pergi sewaktu di pantri
tadi. Rupanya kini ia dibangkitkan lagi.
“Hmm...” balas Irish ringkas lalu menyambung semula kerjanya.
“Kenapa ubah fikiran?”
“Demi semua orang.”
“Bukan sebab terpaksa?”
“Bukan.”
“Jadi, awak ikhlas terima saya?”
Irish terdiam lagi. Soalan itu bagaikan memerangkap
dirinya. ‘Adakah aku ikhlas terima dia? Atau mungkin sebab terpaksa demi
menjaga hati insan-insan yang aku hormati dan sayang?’
Dia tidak tahu kenapa dirinya berubah fikiran. Memikirkan
kata-kata Irma malam itu, gerak hatinya juga seakan melarang untuk meneruskan
niat tersebut, dia pasrah. Sepertimana dia membuat keputusan sewaktu menerima
lamaran keluarga Tengku Harrys dulu.
“Irish?”
Irish memandang Tengku Harrys. Ternyata lelaki itu masih
menunggu jawapannya.
“Insya-ALLAH. Kalau ini dah memang suratan takdir untuk
saya, Tengku tak perlu risau apa-apa.”
Serentak itu Irish menggantikan tuala basah tadi dengan
sehelai tuala yang masih kering sebelum ditekapkan semula pada baju Tengku
Harrys untuk mengeringkan sedikit kemeja yang sudah agak basah.
Tengku Harrys menghela nafas. Walaupun jawapan itu bukan
seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya dia tahu ALLAH telah mendengar
doanya agar Irish menarik balik keputusan yang telah dibuat tempoh hari.
Mungkin ini sebagai permulaan agar dia dapat meyakinkan kembali gadis ini untuk
menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.
“Dah siap. Cuma taklah betul-betul bersih. Dan... basah
lagi. Tapi nanti keringlah.”
“Hmm...”
“Boleh
ke buat kerja dengan baju basah ni?”
“Kenapa
tak boleh? Buat kerja pun dengan tangan. Shouldn’t be a problem.” Tengku
Harrys menjawab
selamba sambil melipat lengan kemejanya hingga ke paras siku. Agak santai dari
kebiasaan, namun masih kelihatan segak. “Kenapa saya tak nampak staf lain kat
luar?”
“Sekarang waktu lunch. Jadi semua orang keluar
makan.”
“What?”
Kali ini kening Tengku Harrys pula berkerut. Spontan dia melihat jam di tangan.
Sudah pukul 1.45 petang. Patutlah lengang sahaja keadaan pejabat semasa dia
masuk tadi. Macam mana dia boleh tidak sedar?
‘Macam
mana kau nak sedar, Harrys? Kalau dalam kepala kau cuma ingin mencari Irish aje
sejak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pagi tadi!’ Jerit satu suara dari dalam
hatinya. Serta-merta bibirnya mengukir senyuman.
“Kenapa
Tengku senyum?”
“Hmm...
saya senyum ke?”
“Saya
salah pandang kut,” jawab Irish pendek lantas beralih dari menghadap lelaki itu
untuk mengemas tuala-tuala serta bekas berisi air yang digunakannya tadi.
“Irish.”
Irish menoleh kembali saat namanya dipanggil. Dilihat
Tengku Harrys bangun dari meja dan mula melangkah merapatinya.
“Thanks, for what you have done just now. And thanks
again...” ayat Tengku Harrys terhenti di situ. Dia mendekatkan dirinya
lebih rapat lagi pada Irish. “...cause you won’t hurt our families’ feeling
with your decision. My heart as well.”
Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Harrys mengatur
langkah untuk beredar dari bilik tersebut. Irish pula hanya menghantar lelaki
itu dengan renungan sehinggalah matanya terpandangkan tali leher hitam yang
masih terletak elok di atas mejanya.
“Tengku...” Irish memanggil semula lelaki itu sambil
tangannya mencapai tali leher milik Tengku Harrys untuk diserahkan kembali.
“Tak perlu bagi balik.”
“Hmm...”
“Awak simpan aje.”
“Tapi...”
“Pakaikan balik necktie tu bila dah jadi isteri
saya nanti.”
Serentak itu Tengku Harrys berlalu keluar, meninggalkan Irish dengan mulut yang sedikit ternganga.
No comments:
Post a Comment