“ P
|
UKUL berapa awak cakap
dengan Izzul nak datang ke rumah orang tuanya nanti?” Tengku Haiyan menyoal
isterinya yang sedang menuang minuman panas ketika mereka sedang menikmati
sarapan pagi. Hanya mereka berdua dan Helena di meja makan ketika ini.
Anak-anaknya yang lain masih belum turun dari bilik masing-masing.
“Saya bagitahu Izzul petang. Lepas solat Zohor kita
geraklah, bang.”
“Dah
bagitahu anak-anak semua?”
“Sudah,”
balas Tengku Dafina. Memang dia sudah memaklumkan perkara itu pada kesemua
anak-anaknya. Hanya Tengku Hazleen sekeluarga yang tidak dapat turut serta
kerana mengikut suaminya pulang ke kampung.
“Harrys?”
soal Tengku Haiyan lagi.
“Dah,
bang. Awal-awal saya dah bagitahu dia.”
“Okay ke budak tu? Apa kata dia?”
“Nak
kata setuju, tidak. Nak kata membantah pun tidak. Insya-ALLAH, dia okaylah tu.”
Jawapan Tengku Dafina membuatkan satu keluhan terbit dari
mulut lelaki separuh umur itu. Berfikir sejenak tentang penerimaan anak
lelakinya berkenaan hasrat mereka ini. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa
anak-anaknya dalam soal memilih teman hidup. Biarlah mereka sendiri yang
tentukan pilihan masing-masing. Zaman sekarang bukan seperti dulu yang mana
calon pasangan ditentukan oleh orang tua.
“Morning, ma, pa!” sapa Tengku Hazreen
tiba-tiba dengan nada penuh ceria. Dia baru sahaja turun dari biliknya diikuti
Tengku Hafiy di belakang.
“Hmm,
turun dah? Mari sarapan sini. Sejuk nanti tak sedap pulak,” arah Tengku Dafina
pada anak-anak dan menantunya. “Abang kamu mana, Reen?”
“Abang?
Ni kan abang, ma. Mama tak nampak?” Tengku Hazreen menjawab sambil
melayang-layangkan tangan di hadapan mamanya. Spontan bahunya ditepuk.
“Ishh,
dia ni! Mama nampaklah. Maksud mama abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun
sekali ke?”
“Ooo...
Abang Harrys. Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap je,” terang gadis itu
seraya menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.
“Fina.
Awak pergilah jenguk Harrys kat bilik tu,” pinta Tengku Haiyan.
“Tak
apa. I’m here.”
Suara itu membuatkan semuanya menoleh. Entah sejak bila
Tengku Harrys sudah berada di ruangan makan
itu. Kelihatan dia begitu santai dengan jeans
dan t-shirt berserta jaket kulit yang
sudah tersarung kemas di badan. Di tangannya pula sudah siap memegang topi keledar
beserta sepasang glove. Lelaki itu
menghampiri meja makan. Disalami satu-persatu ahli keluarganya sebelum berlalu
dari situ.
“Nak ke mana, Harrys?” tanya Tengku Haiyan, membuatkan
langkah lelaki itu terhenti.
“Keluar.”
“Keluar? Pukul berapa nak balik? Harrys tak ingat hari ni
kita nak pergi mana?” sedikit terkejut Tengku Dafina dengan jawapan anak
bujangnya.
Lama Tengku Harrys terdiam, membuatkan suasana menjadi
sedikit sepi. Masing-masing bagaikan menunggu jawapan darinya. “Papa dengan
mama buatlah apa yang baik untuk Harrys. Harrys terima. I’ve got to go. Assalamualaikum.”
Sebaik
menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys terus berlalu meninggalkan mereka di meja
makan. Semua yang ada di situ kelihatan terpinga-pinga. Sudah lama Tengku
Harrys tidak menunggang motosikalnya. Mereka sudah sedia maklum yang lelaki itu
lebih gemar memandu kereta untuk ke mana-mana, termasuklah ke pejabat.
Motosikal itu hanya akan dinaiki jika dia berada dalam keadaan emosi yang tidak
baik. Dari riak lelaki itu tadi, memang agak tegang kelihatan wajahnya.
“Apa
yang tak kena dengan anak bujang awak tu, Fina?” lembut sahaja suara Tengku
Haiyan bertanyakan isterinya.
“Entahlah,
bang. Saya pun tengah fikir jugak ni apa yang tak kena.”
“Ma...
Abang Harrys kalau dah bawa sports bike
dia, means jiwa kacaulah tu!” Tengku
Hazreen mencelah tiba-tiba.
“Jiwa
kacau? Kenapa pulak?”
“Dia
tengah marahlah tu,” jelas Tengku Hazreen lagi.
“Iyalah.
Marah kenapa? Kalau tak cakap, mana nak tahu apa yang dia marahkan tu.”
Kata-kata
Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Hafiy pecah tiba-tiba. Spontan semua
mata tertumpu ke arahnya.
“Yang
kamu ni tiba-tiba ketawa kenapa, Hafiy? Orang tengah susah hati fikir pasal
adik dia yang sorang tu, dia boleh senang hati ketawa pulak!” tingkah Tengku
Dafina sedikit geram.
“Harrys
tu jiwa kacau pasal mama carikan calon isteri untuk dialah tu. Macamlah mama
tak tahu anak bujang mama tu kan allergic
perempuan!”
“Tapi
mama bukannya cari calon yang bukan-bukan untuk dia pun!”
“Ha!
Yang tu satu lagi. Awak dah bagitahu Harrys ke belum?”
“Bagitahu apa, bang?”
“Siapa calon pilihan awak tu. Harrys dah tahu belum siapa
kita nak pergi pinang nanti?”
Terdiam Tengku Dafina seketika, seperti baru teringatkan
sesuatu. Lambat-lambat dia menjawab. “Belum. Saya ingat nak bagitahu
nanti-nantilah.”
Sekali lagi Tengku
Hafiy tergelak. Kali ini lebih galak dari tadi hingga membuatkan Helena di
sebelah menepuk lengannya agar dia memperlahankan tawa.
“Patutlah pun dia marah sangat. Mama tak bagitahu lagi
rupanya siapa calon menantu pilihan mama tu. Hai! Harrys, Harrys!” Tengku Hafiy
menyambung kembali sisa-sisa tawanya itu. Sedikit tercuit dengan apa yang
sedang berlaku. Dia yakin kalau mamanya berterus terang tentang siapa calon
pilihannya, keadaan mungkin akan menjadi sebaliknya.
‘Kau ingat abang tak tahu apa yang ada dalam hati kau,
Rys. Ini abang kaulah!’ senyuman Tengku Hafiy semakin melebar.
***********
Semua yang ada di situ kelihatan
rancak berbual, kecuali Tengku Dafina yang sedikit gelisah. Kepalanya asyik
memikirkan tentang hajat yang membawa dia sekeluarga datang ke mari hari ini.
Dilihat anak menantunya rancak berborak dengan Puan Qarina bersama anak menantu
wanita itu. Manakala Tengku Hafiy, Izzul, dua adik lelakinya serta ipar-iparnya
masing-masing tidak berenggang sedari tadi. Apa sahajalah yang dibualkan oleh
anak-anak muda tersebut. Irish pula tiada di sini. Menghadiri majlis
perkahwinan kawan sekolah katanya. Itu satu hal. Yang suaminya ini pula pun
asyik benar bersembang dengan ayah Izzul. Terlupakah suaminya itu niat utama
mereka datang ke sini?
Dalam kerancakan mereka bersembang, telefon bimbit Encik
Izzuddin tiba-tiba berbunyi. Lelaki itu meminta diri untuk menjawab panggilan
sebentar. Dan kesempatan ini tidak dilepaskan oleh Tengku Dafina untuk bercakap
dengan suaminya.
“Amboi! Seronok betul abang berbual, ya.”
“Kenapa, yang? Salah ke? Lagipun memang abang seronok
bersembang dengan ayah si Izzul tu. Banyak cerita dia.”
“Memanglah tak salah, bang. Tapi abang lupa ya tujuan
sebenar kita datang ke mari untuk apa? Bersembang tu lepas-lepas ni pun boleh,”
bisik Tengku Dafina seraya menjeling suaminya di sebelah.
“Hai, nak jeling-jeling manja pulak isteri abang ni kat
sini. Abang tak lupalah, Fina. Cuma tengah cari waktu yang sesuai. Tak bolehlah
nak terus terkam. Kita kan nak menyunting anak dara orang ni. Kenalah sabar.”
Sebentar kemudian kelihatan Encik Izzuddin kembali ke
ruang tamu dan duduk semula di tempatnya. “Maaf ya, Tengku. Klien call tadi.”
“Tak mengapa, Encik Izzuddin. Biasalah kerja ni kadang
tak kira waktunya bila.”
“Ha, lupa pulak. Dah lama bersembang ni baru perasan.
Tengku tak usahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Izzuddin je dah cukup.”
Tengku Haiyan tertawa kecil. “Yelah, Izzuddin. Tujuan
kami ke sini pun untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga kita. Izzul
tu dah macam anak kami sendiri sejak dia berkawan dengan Hafiy. Tapi saya
dengan isteri ni tak pernah lagi jumpa orang tua dia. Alhamdulillah, orang kata
rezeki kamilah hari ni dapat kenal dengan lebih rapat macam ni. Terima kasihlah
sebab Izzuddin dan keluarga sudi terima kedatangan kami.”
“Eh! Tak
ada apalah, Tengku. Sepatutnya kami yang ucap terima kasih sebab Tengku
sekeluarga sudi datang ke teratak kami ni. Sudi terima layanan kami sekeluarga.
Kalau ada yang terkurang tu, maaflahlah ya. Maaf jugak pada yang lain-lain.”
“Tak ada
apa yang kurang pun, Izzuddin. Semuanya cukup.”
“Alhamdulillah.”
Encik Izzuddin menarik lafaz lega kala mendengar jawapan Tengku Haiyan. Risau
juga sekiranya layanan yang diberikan tidak dapat memuaskan hati tetamu mereka
yang bukan sebarangan orang itu.
“Izzuddin...,”
kata-kata Tengku Haiyan terhenti di situ. Mulutnya terasa berat tiba-tiba untuk
meneruskan ayat. Dia mencuri nafas seketika sebelum menyambung bicara. “Memang
tujuan kami datang ni untuk berkenal-kenal dan mengeratkan lagi hubungan
keluarga kita. Tapi ada satu lagi hajat lain yang kami bawa bersama untuk
dibincangkan.”
“Hajat
apa tu, Tengku?” soal Encik Izzuddin sedikit hairan.
“Begini,
Izzuddin. Saya bagi pihak keluarga datang ke mari membawa hajat sebenarnya.
Hajat untuk merisik dan menyunting bunga yang sedang mekar dalam rumah Izzuddin
ni.”
Berderau
darah Encik Izzuddin tatkala mendengar kata-kata dari mulut Tengku Haiyan itu. Adakah lelaki
itu tersalah cakap? Atau telinga dia yang tersilap dengar? Menyunting bunga di
dalam rumahnya beerti ingin menyunting anak gadisnya.
“Betul
ke apa Tengku cakapkan ni? Atau mungkin saya yang salah dengar.”
“Tak,
Izzuddin. Memang betul apa yang saya cakapkan ni. Dan tak mungkin Izzuddin dan
yang lain-lain salah dengar.”
Sekelip
mata wajah Encik Izzuddin berubah. Dahinya juga berkerut memikirkan sesuatu.
“Tengku... bunga yang ada dalam rumah saya ni cuma tinggal sekuntum je. Dan
bunga tu cuma tinggal Irish seorang.”
“Iya.
Memang Irishlah yang kami maksudkan, Encik Izzuddin.” Laju sahaja Tengku Dafina
mengiyakan kata-kata itu. Berharap benar agar hajatnya itu diterima.
“Kalau
tak keberatan boleh saya tahu. Untuk siapa risikan ni, Tengku?”
“Untuk
anak lelaki kami. Tengku Harrys.”
Berderau
sekali lagi darah Encik Izzuddin saat mendengar penjelasan Tengku Dafina. Tidak
tahu apa yang harus diperkatakan. Sekilas ingatannya melayang pada anak
gadisnya yang entah berada di mana ketika ini.
Suasana
di ruang tamu itu berubah menjadi hening. Masing-masing tidak bersuara. Baik
keluarga Tengku Haiyan apatah lagi keluarga Encik Izzuddin. Puan Qarina juga
hanya mengambil sikap berdiam diri apabila perkara ini disuarakan secara
tiba-tiba. Dia dapat melihat ketegangan di wajah suaminya. Bagaimana berat
perasaannya saat ini, dia yakin suaminya itu juga sedang merasakan hal yang
sama.
“Macam
mana, Izzuddin? Dapat terima hajat kami ni?” Tengku Haiyan memberanikan diri
bersuara setelah melihat lelaki itu hanya terdiam sedari tadi.
“Irish
tahu ke tentang hal ni?”
“Tak,
Encik Izzuddin. Irish tak tahu. Cuma Izzul je yang tahu tentang perkara ni.”
Serentak
itu pandangan mata Encik Izzuddin menyorot ke arah anak sulungnya. Izzul pula
cuma mampu membalas pandangan itu dengan perasaan bersalah. Pada keluarganya
sekadar diberitahu tentang kedatangan keluarga Tengku Haiyan hari ini hanya
untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi tanpa memberitahu hal yang satu itu.
“Err...
Encik Izzuddin jangan marah Izzul, ya. Memang saya yang pesan pada Izzul supaya
rahsiakan perkara ini dulu. Biar kami yang sampaikan hajat kami ni sendiri,”
beritahu Tengku Dafina lagi.
Encik Izzuddin menundukkan wajah. Satu keluhan berat
dilepaskan. Tidak tahu jawapan apa yang harus
diberikan kepada keluarga itu. Memang kalau diikutkan, dia tidak layak lansung
untuk bergaul dengan keluarga Tengku Haiyan. Inikan pula berbesan. Tetapi dari
pengamatannya, jelas yang mereka benar-benar megharapkan hajat ini dapat
diteruskan. Dalam keadaan kusut begini, dia hanya teringatkan nasib Irish.
“Macam
nilah, Tengku. Saya nak bagi apa-apa keputusan pun tak berani. Sebab bukan saya
yang dirisik. Apa-apa sekalipun, kami sekeluarga kena berbincang dan bertanya
pada tuan empunya badan sendiri sama ada dia setuju ataupun tidak. Faham jelah
kan budak-budak zaman sekarang ni. Semuanya nak ikut kehendak sendiri. Yang
saya boleh cakap sekarang, saya mohon budi bicara Tengku dan keluarga untuk
beri kami sedikit masa berbincang dan buat keputusan.”
Penjelasan
Encik Izzuddin itu membuatkan Tengku Haiyan tersenyum. Mengerti dengan maksud
kata-kata lelaki di hadapannya ini. Kemudian dia menoleh Tengku Dafina di
sebelah. Dia tahu isterinya itu sedikit kecewa dengan jawapan Encik Izzuddin.
Pantas jemari wanita itu digenggam, memujuknya agar bersabar.
“Assalamualaikum.”
Kedengaran
satu suara lembut memberi salam, sekaligus mengalihkan perhatian mereka semua
yang berada di situ.
“Baru
balik, Irish.” Puan Qarina menyapa Irish yang sedang menuju ke arah mereka.
“Iya,
umi.”
Irish sedikit terkejut saat melihat ruang tamu rumah
dipenuhi dengan tetamu-tetamu yang sama sekali di luar jangkaannya. Dalam
termangu kakinya tetap juga melangkah untuk bersalaman dengan mereka. Sebelum
keluar tadi memang dia telah dimaklumkan bahawa ada tetamu yang akan datang ke
rumah hari ini. Namun tidak sangka pula tetamu yang dimaksudkan itu adalah
keluarga Tengku Haiyan.
“Dah lama sampai, Mak Engku?” tanya Irish
sewaktu bersalaman dengan wanita itu.
“Dah lama jugak, Irish. Dah siap makan pun kami semua.”
Irish
tersenyum mendengarkan jawapan tersebut sebelum dia berlalu ke arah Puan Qarina
dan duduk di sebelah uminya itu.
“Berbalik pada perbincangan kita tadi, kalau Izzuddin
sekeluarga perlukan masa untuk berbincang dan buat keputusan, tak mengapa. Kami
faham. Yelah. Nak mendirikan masjid ni bukan satu perkara yang mudah, kan.
Tambah-tambah lagi kalau bukan dengan pilihan sendiri.” Tengku Haiyan
menyambung bicaranya. Kemudian dia menoleh pada Tengku Dafina.
Bagaikan mengerti maksud pandangan tersebut, lantas
wanita itu membuka beg tangannya untuk mengambil sesuatu. Setelah itu dia
meletakkannya di atas meja. “Kak Ina, ini sebagai tanda hajat kami. Tak
kisahlah berapa lama masa yang Kak Ina dan keluarga perlukan untuk berbincang
dan buat keputusan. Tapi saya harap Kak Ina dapat terima dan simpan cincin ni
dulu. Bila dah ada keputusannya nanti, bagitahulah kami. Kalau hajat kami ni
diterima, Alhamdulillah. Tapi kalau jawapannya nanti sebaliknya, saya tak kisah
kalau akak nak pulangkan semula. Kalau tidak pun, tak apa. Anggap saja ini
sebagai hadiah dari kami.”
Puan Qarina mengambil barang yang berupa sebuah kotak
baldu kecil berwarna merah itu lalu dibukanya. Sebentuk cincin belah rotan yang
ringkas tetapi menarik reka bentuknya terletak rapi di dalam kotak tersebut.
Memang cantik. Dan yang pasti harga cincin itu juga bukan setakat ratusan
ringgit. Puan Qarina memandang Irish di sisi. Begitu juga dengan Irish. Dia
tahu anaknya itu pasti tertanya-tanya keadaan yang sedang berlaku ketika ini.
Kotak yang berada di tangan itu ditutup semula sebelum diletakkan kembali di
atas meja.
“Terima kasih, Tengku. Tapi akak rasa belum masanya untuk
kami terima cincin ini. Lebih-lebih lagi, kami belum beri apa-apa kata putus.”
“Tak apa, Kak Ina. Macam yang saya cakapkan tadi. Saya
memang nak akak simpan cincin tu dulu. Bila dah ada kata putus nanti akak
bagitahulah kami, ya.”
Irish yang sedari tadi menjadi pemerhati, semakin bingung
mendengarkan perbualan yang sememangnya tidak diketahui hujung pangkalnya itu.
Tiba-tiba dia teringatkan Izzul. Mungkin alongnya tahu tujuan kedatangan Tengku
Haiyan sekeluarga ke rumah mereka hari ini. Pantas matanya mencari wajah lelaki
itu menagih jawapan. Namun cepat-cepat Izzul melarikan pandangan darinya.
Begitu juga dengan adik-beradiknya yang lain.
‘Kenapa dengan semua orang ni. Buat tak tahu je aku
pandang. Cincin? Bincang? Kata putus? Hmm... dengan siapa aku nak tanya ni,
ya.’
Minda Irish terus ligat memikirkan tentang isi perbualan
antara keluarganya dengan keluarga Tengku Haiyan itu. Hinggalah ke petang
selepas tetamu sudah berangkat pulang, masih tiada seorang pun yang berani
membuka mulut untuk menerangkan tentang keadaan sebenar yang telah berlaku
sepanjang hari itu.
**********
“DUDUK, Irish.” Encik Izzuddin mengarahkan anak gadisnya itu duduk setelah meminta Irma memanggilnya di bilik untuk berkumpul di ruang tamu. Ada perkara yang mereka sekeluarga perlu bincangkan malam ini. Suasana ruang tamu di kala itu sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas syiling yang sedang berputar melakukan tugasnya. Mulut masing-masing bagaikan terkunci. Hanya menunggu Encik Izzuddin membuka mulut memulakan bicaranya.
“Irish
nampak siang tadi siapa yang datang, kan?”
Pertanyaan
Encik Izzuddin itu hanya dibalas anggukkan oleh Irish.
“Tahu
kenapa mereka datang ke sini?”
“Tak,
ayah.” Ringkas jawapan yang Irish berikan. Kepalanya masih tertunduk memandang
lantai. Tidak berani menentang wajah ayahnya yang kelihatan serius ketika
ini.
“Sebelum
tu ayah nak tanya dulu. Irish ada berkawan dengan sesiapa sekarang ni?”
Spontan
Irish mendongak. Dahinya berkerut. “Maksud ayah?”
“Irish
ada berkawan dengan mana-mana lelaki ke sekarang?”
“Tak ada.”
Encik Izzuddin menghela nafasnya seketika
sebelum berpaling pada isterinya di sebelah. “Awak ceritalah, Ina.”
Permintaan
suaminya itu membuatkan Puan Qarina bangkit dari sofa dan berjalan mendekati
Irish lalu duduk bersebelahan dengan gadis itu. Kemudian dia mencapai tangan
Irish dan menyerahkan sesuatu dari genggamannya.
“Apa ni, umi?” Irish agak kaget melihat kotak kecil yang
berada di telapak tangannya. Kotak baldu kecil berwarna merah yang sama
dilihatnya siang tadi sewaktu Tengku Dafina menyerahkan ia kepada uminya.
“Irish...
sebenarnya Tengku Haiyan sekeluarga datang ke rumah hari ni bawa hajat.”
“Hajat?
Apa maksud umi?”
Irish dapat merasakan jantungnya berdebar tiba-tiba.
Berdebar menanti ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut Puan Qarina.
“Mereka
berhajat untuk melamar Irish.”
“Hah??!”
membulat mata Irish tatkala mendengar ayat itu. Kotak baldu yang dipegangnya
juga hampir terlepas. “Lamar Irish? Buat apa?”
“Kalau dah melamar namanya, untuk dibuat calon
isterilah dik oi! Boleh tanya buat apa pulak!” Iman mencelah tiba-tiba. Geli hati
mendengar soalan itu.
“Tapi
untuk siapa?” soal Irish lagi. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan.
Masing-masing tidak berani untuk memberitahu untuk siapa lamaran itu dihantar.
“Kenapa
semua diam? Ke lamaran ni tak bertuan?”
“Lamaran
tu untuk adik Hafiy, Rish.”
“Hah??!” sekali lagi Irish terkejut dengan jawapan itu.
Kali ini pandangannya tepat dihalakan ke arah Izzul. “Tengku Harrys?”
Izzul
mengangguk perlahan. Dia tahu Irish pasti terkejut dengan berita ini. Sama
seperti dirinya sewaktu mula-mula Tengku Dafina meluahkan hasratnya tempoh
hari.
“Along
jangan main-mainlah. Jangan bergurau dengan hal macam ni!”
“Tak ada
siapa yang berani bergurau dalam keadaan macam ni, Irish. Tengok muka semua
orang sekarang ni ada macam bergurau ke?” celah Rafie pula, sekaligus
membuatkan Irish terdiam.
“Irish, apa yang along bagitahu tu betul. Memang Tengku
Haiyan sekeluarga datang ke sini siang tadi nak merisik dan melamar Irish untuk
Tengku Harrys. Tapi Irish dengar sendiri kan yang kami belum beri apa-apa kata
putus lagi. Sebab kami nak bincang dan tanya pada Irish sama ada setuju atau
tidak. Ini berkaitan dengan hidup Irish, masa depan Irish. Jadi umi dengan ayah
nak Irish tentukan sendiri. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan.”
Penjelasan Puan Qarina itu membuatkan Irish semakin
tunduk membisu. Masih tidak percaya dengan khabar yang baru di dengarnya ini.
Sungguh, dia bingung memikirkan apa sebenarnya yang sedang berlaku.
‘Kenapa tiba-tiba ni? Ya Allah! Dugaan apa pula kali
ini?’ keluhnya dalam hati.
“Ayah bagi tempoh seminggu untuk Irish fikirkan tentang
hal ni. Lepas tu buat keputusan. Sama ada terima atau tak, itu hak Irish. Tapi
ingat, jangan sampai bergaduh disebabkan perkara ni. Irish cari rezeki dengan
mereka. Dan ayah tak nak Irish terima kerana termakan budi atau status yang
mereka pegang,” tegas sahaja kata-kata Encik Izzuddin kedengaran. Lalu dia
bangun dari sofa yang didudukinya. “Terima atau tak, bagi ayah jawapannya
minggu depan. Jangan sampai buat orang tertunggu-tunggu dengan keputusan kita.”
Dan lelaki itu terus berlalu dari situ meninggalkan ahli
keluarganya. Dia tidak tahu kenapa emosinya begitu terganggu sejak keluarga
Tengku Haiyan pulang dengan meninggalkan sesuatu yang sukar untuk diterimanya.
Kalau dia punya kuasa untuk menolak, sudah ditolak hajat itu awal-awal sewaktu
mereka meluahkan hasrat siang tadi. Tetapi demi menjaga air muka tetamu serta
maruahnya sekeluarga, ditahan saja emosinya ketika itu. Lagi pula, semua
keputusan di tangan Irish. Biarlah anaknya sendiri yang menentukan masa
depannya.
Di ruang tamu pula semuanya mendiam seribu bahasa.
Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Bagai mengerti dengan kata-kata
‘amaran’ yang diucapkan oleh ayah mereka sebentar tadi.
**********
SEISI keluarga itu sedang leka menonton televisyen kala bunyi
deruman enjin Ducati 1098S berwarna merah memasuki perkarangan villa. Waktu
ketika itu sudah menjangkau ke pukul 11.30 malam. Beberapa minit kemudian,
kelibat Tengku Harrys kelihatan muncul di balik daun pintu utama. Riak wajahnya
masih sama sepertimana dia meninggalkan rumah seawal pagi tadi.
“Harrys
ke mana dari pagi keluar baru balik?” sapa Tengku Dafina apabila melihat
anaknya hanya berlalu melewati mereka di ruangan itu. Tengku Harrys yang baru
sahaja ingin melangkah menaiki anak tangga, tidak jadi untuk meneruskan.
Terkaku sebentar dirinya di situ sambil tertunduk memandang lantai.
“Harrys?”
panggil Tengku Dafina sekali lagi.
“Keluar
ambil angin.”
“Harrys
dah makan belum? Kalau belum mama minta Mak Ros ke Dewi sediakan.”
“Tak
apa. Harrys dah makan. Kalau tak ada apa-apa Harrys naik dulu.”
Tanpa
menunggu lagi Tengku Harrys terus mendaki anak tangga menuju ke biliknya. Dia
hanya mahu merehatkan badan serta fikiran ketika ini. Dan perlakuannya itu
menimbulkan rasa tidak puas hati pada Tengku Dafina. Lantas wanita itu bangkit
dari sofa dengan harapan ingin berbual sebentar dengan anak bujangnya itu.
“Nak ke mana awak, Fina?”
“Nak
naik atas jenguk Harrys sekejap, bang.”
“Tak
usahlah. Budak tu baru je balik. Biarlah dia berehat dulu.”
“Tak
adalah, bang. Saya ni bukan apa. Risau menengok budak si Harrys tu.”
“Mama,
tak apa.” Tengku Hafiy bangun lalu memaut bahu mamanya agar wanita itu kembali
duduk. “Mama duduk je kat sini. Biar Hafiy yang pergi tengok Harrys. Okay?”
“Tapi...,”
“Mama, listen to me. He’s not in a good mood right
now. So let me see him. Hafiy tahulah nak handle adik Hafiy tu macam mana. Mama duduk je tengok TV tu, okay?”
“Hmhh...
yelah, yelah!” akhirnya wanita itu mengalah.
Tengku
Hafiy tertawa kecil bila melihatkan mamanya sudah menarik muka. Terbit rasa
kasihan di hati. Tetapi dia tidak mahu ada pertengkaran yang akan berlaku
sekiranya Tengku Dafina berjumpa Tengku Harrys dalam keadaan emosi adiknya itu
tidak stabil. Dia tahu fikiran Tengku Harrys sedang berserabut ketika ini.
“Hafiy
naik tengok Harrys dulu.”
Tengku Hafiy berlalu dari situ dan
terus menaiki tangga menuju ke bilik Tengku Harrys. Firasatnya kuat mengatakan
ada sebab mengapa adiknya berkelakuan sebegitu hari ini. Jarang dia melihat
Tengku Harrys dalam keadaan marah-marah. Dan sebagai anak lelaki sulung, satu
tanggungjawab untuk dia memperbetulkan keadaan dan salah faham yang timbul
sekarang ini. Sampai sahaja di hadapan bilik lelaki itu, dia mengetuk pintu.
Namun tiada jawapan. Tengku Hafiy membuka pintu bilik tersebut. Dalam samar
cahaya, dia dapat melihat satu susuk tubuh sedang berbaring di atas sofa dalam
bilik itu. Perlahan dia menghampiri. Dilihat mata adiknya sudah terpejam sambil
tangan kanannya diletakkan ke atas dahi. Tidak pasti sama ada Tengku Harrys
sudah terlena ataupun sekadar baring melepaskan penat.
“Harrys.
Tidur ke?”
Teguran itu membuatkan Tengku Harrys sedikit terkejut.
Tidak sedar entah bila abangnya itu masuk ke dalam biliknya. Tahu-tahu sahaja
lelaki itu sudah melabuhkan duduk di sofa sambil menghadapnya.
“Bila abang masuk?”
“Abang ketuk pintu tadi senyap. Redah jelah. So, what’s up bro? Kau okay ke?”
“Tak ada apa-apa. I’m
okay,” balas Tengku Harrys lalu bangkit dari baringnya dan duduk bersandar.
“Okay kau
cakap? Tak payah nak berlakonlah, Harrys. Dari pagi tadi kau keluar dengan muka
macam tu, okay kau cakap?” Tengku
Hafiy tergelak mendengarkan jawapan adiknya. “Kau ke mana satu hari ni, ha?
Tahu kan keluarga pergi merisik untuk kau?”
“Tahu.”
“Then, mana kau
menghilang? Patut orang tua pergi merisik, happy,
excited! Ini tak. Muka dah macam ayam kena berak kapur je abang tengok!”
Serentak itu Tengku Harrys mencapai sebiji bantal kecil
di sebelah lalu dibalingkan ke arah Tengku Hafiy. Tetapi tangan abangnya lebih
pantas menangkap. Apalagi, makin galaklah ketawa lelaki itu.
Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan
abangnya lagi dia bingkas berdiri sambil menanggalkan jaket yang masih
tersarung di badan sebelum berlalu ke almari untuk mengambil tuala dan
pakaiannya. Seharian dia menunggang motosikal hari ini tanpa hala tuju.
Semata-mata ingin lari dari masalah yang sedang membelenggu diri. Setelah itu
dia merehatkan diri di kondo miliknya dan Fezrul. Menghabiskan masa bersama
rakan baiknya itu sedikit sebanyak dapat meringankan sedikit beban di fikiran.
Namun untuk bercerita pada Fezrul tentang masalah
yang sedang dihadapi, belum waktunya lagi.
Dia tidak tahu apa yang telah berlaku siang tadi dan apa
yang terjadi dengan risikan itu. Dan sememangnya dia tidak mahu mengambil tahu
lansung mengenainya. Dia pasrah seandainya ini adalah takdir yang sudah
tertulis buat dirinya. Sejak mengetahui tentang perkara tersebut dari mamanya
tempoh hari, dia hanya mengambil sikap berdiam diri. Lansung tidak bertanya
siapa calon pilihan mamanya itu, walaupun dia dapat mengagak siapakah orangnya.
Malah sejak itu hatinya menjadi tidak tenteram. Emosinya juga sering terganggu.
Hingga kadangkala dia melepaskan kemarahannya pada orang lain. Dan yang menjadi
mangsa selalunya adalah Irish.
‘Irish.’
Hmmh! Menyebut nama itu sahaja membuatkan dirinya dilanda
rasa bersalah.
“Kau tak nak tahu ke apa jadi dengan majlis merisik siang
tadi, Rys?”
Pertanyaan itu mematikan lamunan Tengku Harrys. Dia
menoleh pada abangnya yang masih duduk di sofa. Tiada sebarang jawapan. Hanya
satu renungan tajam diberikan pada lelaki itu sebelum berpaling semula
menghadap almari mencari sesuatu.
“Eh, budak ni. Senyap pulak dia! Rys, dengar tak apa
abang tanya ni?”
“Dengar.”
“Dengar tapi buat tak tahu pulak!” tingkah Tengku Hafiy
geram.
“Perlu ke?”
“Hai, of courselah!
Takkanlah kau tak nak tahu siapa bakal isteri kau tu. Dan apa jawapan yang we all bawa balik hasil perbincangan
siang tadi.”
Masih lagi senyap. Tiada tanda-tanda yang Tengku Harrys
akan membuka mulut.
“Harrys!”
Sebaik namanya disebut sekali lagi, terus sahaja Tengku
Harrys menghempas pintu almari dan meluru ke arah abangnya. Kolar baju Tengku Hafiy direntap lantas dia menarik lelaki itu
untuk bangun menentang matanya. Jelas
kemarahannya tidak dapat dibendung ketika ini.
“Nak ambil tahu pasal apalagi?! Who’s my future wife?? The answer is Tengku Melissa, right?! And of
course family Pak Ngah dah terima risikan tu! Now I want to ask you one question. When is the date of our engagement?
Next month? Next year? Or probably next
week, my dear brother?!” bentak Tengku Harrys geram. Mukanya sudah merah
padam menahan marah. Namun marahnya
itu hanya percuma sahaja bila ketawa Tengku Hafiy berderai sekali lagi hingga memenuhi
segenap ruang bilik tersebut.
“Hey, Rys! Kau ni dah kenapa??! Astaghfirullahalazim! Cuba
bawa mengucap sikit!” jerkah Tengku Hafiy lalu melepaskan genggaman Tengku
Harrys di kolar bajunya. Terkedu juga dia diperlakukan sebegitu. Sungguh,
seumur hidupnya inilah pertama kali Tengku Harrys berkelakuan seperti ini.
Namun sedikit pun dia tidak ambil kisah atau berasa hati. Dia tahu adiknya
benar-benar tertekan saat ini. “Itulah. Lain kali orang offer nak bagitahu, jangan jual mahal sangat. Kan dah jadi macam
ni!” tingkah lelaki itu lagi bersama tawa yang masih bersisa.
“What?! Salah
ke apa yang Rys cakap?”
“Memang tak betul pun! Kau ingat mama nak ke buat
perempuan macam Lissa tu jadi menantu dia? Mati hidup balik pun mama takkan
buatlah!”
Serta-merta wajah Tengku Harrys berubah mendengarkan
kata-kata abangnya. “Bukan Lissa? Then,
who?!”
“Macam nilah, Rys. We
all balik tadi dengan tangan kosong sebab keluarga pihak perempuan belum
beri apa-apa keputusan lagi. Mereka minta tempoh untuk berbincang dan beri kata
putus yang abang sendiri pun tak tahu sampai bila. So...,” Tengku Hafiy merapati adiknya lantas memaut bahu lelaki itu
sambil membisikkan sesuatu. “... kau bincanglah dengan Irish baik-baik pasal
hal ni. Mana tahu dapat lembutkan hati dia untuk terima kau!” ujarnya seraya
menepuk bahu Tengku Harrys sebelum beredar untuk keluar dari situ.
“Abang, wait!”
pantas Tengku Harrys menarik bahu abangnya, menghalang lelaki itu dari terus
melangkah. “Apa maksud abang bincang dengan Irish baik-baik?”
“For your
information, calon pilihan mama yang selalu disebut-sebut tu, she was Irish.”
“What?!”
“Yes! Sebab tu
abang suruh kau bincang baik-baik dengan dia. Doa-doalah keluarga dia akan beri
jawapan yang mengembirakan. Sebab mama memang betul-betul berhajat nak
bermenantukan Irish untuk kau.”
Tengku Hafiy terus
berpaling dan menyambung langkahnya. Sebelum merapatkan pintu, sekali lagi dia
berpesan. “Bincang baik-baik dengan Irish. Ingat pesan abang ni. Good night!”
Daun pintu
ditutup. Namun mata Tengku Harrys masih tertumpu di situ dengan pandangan yang
tidak berkelip.
“Irish?” ucapnya seakan tidak percaya.
No comments:
Post a Comment