“P
|
Tengku Dafina hulur
minuman panas pada suaminya. Hanya mereka berdua dan Helena di meja makan
menikmati sarapan ketika ini. Yang lain masih belum turun.
“Dah beritahu
anak-anak semua?”
“Sudah,
bang. Leen sekeluarga aje tak ada. Ikut suaminya balik kampung.”
“Harrys?”
“Dah.
Awal-awal saya dah beritahu dia.”
“Okey ke budak tu? Apa katanya?”
“Nak
kata setuju, tak. Nak kata membantah pun, tak. Insya-ALLAH... dia okeylah tu.”
Terbit keluhan Tengku
Haiyan, memikir penerimaan Tengku Harrys tentang hasrat mereka. Sebolehnya dia
tak mahu memaksa anak-anak dalam memilih teman hidup. Biarlah tuan badan sendiri
tentukan.
Zaman sekarang bukan macam
dulu. Calon pasangan boleh ditentukan orang tua.
“Morning...
mama, papa!”
“Hermm...
turun dah? Mari sarapan. Sejuk nanti tak sedap. Abang kamu mana, Reen?”
“Abang? Ini
kan abang kat belakang Reen. Mama tak nampak?” Tengku Hazreen melayangkan
tangan depan mamanya.
“Isk,
dia ni! Maksud mama... Abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun sekali ke?”
“Ooo...
Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap aje.”
“Fina...
pergilah naik jenguk Harrys,” pinta Tengku Haiyan.
“I’m here.”
Semua di meja makan
menoleh. Entah bila lelaki itu turun. Yang pasti, bukan untuk bersarapan. Dengan
jeans dan jaket kulit yang tersarung di badan, topi keledar serta gloves
dalam pegangan... mana lagi?
“Nak ke mana,
Harrys?” soal Tengku Haiyan saat anaknya menyalam seorang demi seorang ahli
keluarga.
“Keluar.”
“Keluar? Pukul berapa
pula nak balik? Harrys tak ingat hari ni kita nak pergi mana?” bertubi-tubi pertanyaan
Tengku Dafina pula.
“Papa dengan mama
buatlah apa yang baik. Harrys terima saja. Assalamualaikum.”
Susuk itu terus berlalu
meninggalkan keluarganya termangu.
![]() |
“Apa
yang tak kena dengan anak bujang awak tu, Fina?”
“Entahlah,
bang. Saya pun tengah fikir juga ni apa yang tak kena.”
“Abang Rys
kalau dah bawa superbike dia, jiwa kacaulah tu!” tebak Tengku Hazreen.
“Jiwa
kacau? Kenapa pula?”
“Adalah
yang dia marahkan tu, ma.”
“Iyalah... marah
kenapa? Kalau tak cakap, mana nak tahu apa yang dia marahkan tu?”
Tawa Tengku Hafiy memecah
suasana tak semena.
“Dah...
yang kamu ni tiba-tiba ketawa kenapa, Hafiy? Orang tengah susah hati fikir fasal
Harrys, dia boleh senang hati ketawa pula!”
“Ma...
Harrys tu jiwa kacau fasal mama carikan calon isteri untuk dialah tu. Macamlah
mama tak tahu anak bujang mama tu kan allergic perempuan!”
“Tapi
mama bukannya carikan calon yang bukan-bukan untuk dia pun.”
“Ha!
Yang itu satu lagi... awak dah beritahu Harrys ke belum?”
“Beritahu apa, bang?”
“Siapa calon pilihan
awak tu. Harrys dah tahu ke belum siapa kita nak pergi pinang ni?”
Terdiam Tengku Dafina
semerta. Lambat-lambat dia jawab. “Belum. Saya ingat nak beritahu
nanti-nantilah.”
Sekali lagi ketawa Tengku
Hafiy meledak. Kali ini lebih galak. Hingga Helena menepuk lengannya.
“Patutlah pun dia
marah sangat. Mama tak beritahu lagi rupanya siapa calon menantu pilihan mama
tu! Hai.... Harrys, Harrys!” Tengku Hafiy sambung ketawa. Dia yakin kalau
mamanya berterus terang, keadaan mungkin akan jadi sebaliknya.
‘Kau ingat abang tak tahu apa yang ada dalam hati kau, Rys? Ini abanglah!’
KEDATANGAN Tengku Haiyan dan keluarga mesra disambut. Seawal
kehadiran, hingga ke meja hidangan, kini kembali duduk di ruang tamu... layanan
diterima dari Encik Izzuddin sekeluarga penuh ramah dan santun.
Bagai sudah lama kenal,
waima ini pertemuan kedua selepas majlis perkahwinan Tengku Hafiy kira-kira
sebulan yang lalu.
“Dah lama bersembang
baru perasan. Tengku tak usahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Izzuddin
aje.”
“Yalah, Izzuddin. Tujuan kami ke sini pun
untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga kita. Izzul tu dah macam
anak kami sendiri. Tapi, saya dengan isteri ni tak pernah lagi bersua dengan orang
tuanya.
Alhamdulillah...
orang kata rezeki kitalah hari ni dapat kenal dengan lebih rapat begini. Terima
kasih sebab Izzuddin dan keluarga sudi terima kedatangan kami.”
“Tak ada apalah,
Tengku. Sepatutnya kami yang ucap terima kasih sebab Tengku sekeluarga sudi
datang ke teratak buruk kami ni. Sudi terima layanan kami sekeluarga. Kalau ada
yang terkurang... maaflah ya, Tengku. Maaf juga pada yang lain-lain.”
“Tak ada
apa yang kurang pun, Izzuddin. Semuanya cukup.”
Encik
Izzuddin tarik nafas lega. Bimbang andai layanan diberi tidak memuaskan hati
tetamu yang bukan sebarangan pula.
“Err, Izzuddin...
memang tujuan kami datang hari ini untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan
keluarga kita. Tapi, ada hajat lain yang kami bawa sama untuk dibincangkan
sebenarnya.”
“Hajat
apa tu, Tengku?”
“Begini,
Izzuddin. Saya dan pihak keluarga berhajat untuk merisik dan menyunting bunga
yang sedang mekar dalam rumah Izzuddin ni.”
Berderau
darah Encik Izzuddin seluruh badan. “Betul ke apa Tengku cakapkan ni? Atau
mungkin... saya yang salah dengar.”
“Tak,
Izzuddin. Apa yang saya cakap tadi memang benar.”
“Tengku...
bunga yang ada dalam rumah saya ni cuma tinggal sekuntum saja yang belum
berpunya. Dan, bunga itu ialah... Irish.”
“Iya.
Memang Irishlah bunga yang kami maksudkan, Encik Izzuddin.” Laju mulut Tengku
Dafina mengiakan
“Kalau
tak keberatan, boleh saya tahu? Untuk siapa risikan ini, Tengku?”
“Untuk
anak lelaki kami... Tengku Harrys.”
Sekali
lagi darah Encik Izzuddin menderau. Kelu terkaku lidah dari sebarang pengucapan.
Ingatan terus melayang pada anak gadisnya yang entah di mana tika ini.
Suasana di ruang tamu
berubah hening. Baik keluarga Tengku Haiyan, apatah lagi keluarga Encik
Izzuddin... Masing-masing mengambil sikap berdiam diri.
“Macam mana,
Izzuddin? Dapat terima hajat kami?” Tengku Haiyan bersuara kembali.
“Irish tahu ke
tentang hal ni?”
“Tak,
Encik Izzuddin. Irish tak tahu. Yang tahu cuma Izzul seorang saja. Tapi jangan
salahkan dia. Saya yang minta Izzul rahsiakan perkara ini dulu,” jelas Tengku
Dafina.
Encik Izzuddin menghembus
nafas berat. Entah jawapan apa harus dibalaskan. Nak diikutkan, tak layak pun sebenarnya
untuk dia bergaul dengan keluarga berdarah kerabat dan berstatus tinggi seperti
Tengku Haiyan. Inikan pula berbesan.
Tapi, sekarang... insan-insan
ini yang bersungguh mengharapkan hajat mereka dapat diteruskan. Dalam keadaan
begini, dia hanya teringatkan nasib Irish.
“Macam inilah,
Tengku. Saya pun tak berani beri apa-apa keputusan. Saya mohon budi bicara
Tengku sekeluarga untuk beri kami sedikit masa berbincang dan buat keputusan. Paling
penting, tuan empunya badan sendiri yang kami perlu tanyakan.”
Tengku Haiyan menyimpul
senyuman, mengerti maksud kata-kata berkenaan. Pandangan berkalih seketika ke
sebelah. Dia tahu isterinya sedikit kecewa. Jemari wanita itu seraya digenggam,
memujuk.
“Berbalik pada
perbincangan tadi... kalau Izzuddin sekeluarga perlukan masa untuk berbincang, baiklah.
Ambillah selama mana masa yang diperlukan. Kami akan menanti dengan sabar.
Iyalah, nak mendirikan masjid ni bukan satu perkara yang mudah. Tambah-tambah pula
bukan pilihan sendiri.” Tengku Haiyan menyambung bicara penuh tenang.
“Kak Ina...” Tengku
Dafina mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. “...ini sebagai tanda hajat
kami. Tak kisahlah berapa lama masa yang Kak Ina dan keluarga perlukan untuk berbincang
dan buat keputusan.
Tapi saya harap Kak
Ina terima dan simpan cincin ni dulu. Bila dah ada keputusannya, beritahulah.
Kalau hajat kami diterima... alhamdulillah. Tapi kalau nanti jadi sebaliknya,
saya minta Kak Ina simpanlah terus cincin ni sebagai hadiah dan tanda kenangan.”
Puan Qarina mengambil
kotak baldu kecil merah di atas meja. Sebentuk cincin belah rotan terletak rapi
di dalamnya. Sedetik, kotak itu ditutup dan disua semula.
“Terima kasih,
Tengku. Tapi akak rasa belum masanya untuk kami terima cincin ini. Lebih-lebih
lagi, kami belum beri apa-apa kata putus. Macam yang suami akak beritahu...
kami kena tanya pada tuan punya badan dulu.”
“Tak apa, Kak Ina.
Saya memang nak akak simpan cincin ni. Bila dah ada kata putus dari Irish nanti
akak beritahulah kami, ya.”
“Kata putus dari Irish?
Kata putus apa?”
Seisi penghuni ruang
tamu serentak berkalih pandang ke muka pintu. Raut mulus yang baru pulang itu
nyata terpinga dengan apa yang sedang berlaku.





