Friday, September 23, 2016

BAB 26 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







B
ANGUNAN tinggi gah tersergam direnung dari jauh. Entah mengapa, kaki terasa berat untuk menjejak ke dalam. Mengenang insiden malam kelmarin, juga pertemuan dengan Tengku Harrys semalam... hati berbelah bahagi untuk masuk ke pejabat.

Puas dia memikir apa salahnya sehingga lelaki itu tiba-tiba bersikap dingin. Hal kerja? Atau hal lain? Atau lelaki itu masih berdendam dengan insiden langgar dulu?

Lama bermenung dalam kereta... 

Tap.

Pintu dibuka akhirnya. Apa yang berlaku pun, nak hindar macam mana pun, dia akan tetap berdepan dengan lelaki itu. Sepanjang aturan kaki diayun ke dalam Haiyan, hati tak putus berdoa moga tiada perkara tak diingini berlaku.

“Cik Irish...”

            Baru tubuh dijatuhkan atas kerusi, suara Natasya berkumandang di interkom.

“Ya, Tasya?”

            “Tengku Harrys panggil Cik Irish masuk pejabat dia.”

            Irish telan liur. “Bos awak dah sampai?”

            “Dah. Pukul 8.30 tadi dah sampai. Tak tahu mimpi apa dia datang awal hari ni.”

            “Tak apa, Tasya. Sekejap lagi saya datang.”

            Kadar palpitasi semerta berubah halaju. Ini yang nak dielak, ini juga yang datang menyerang dulu. Hmmhh...

Tuk tuk tuk!

Suara arahan kedengaran dari dalam. Saat melangkah masuk, lelaki itu sedang bercakap di talian. Irish berdiri menanti hingga habis perbualan.

“Hari ini awak sibuk?” sekilas raut di depan dilirik Tengku Harrys, tumpuannya kembali pada skrin komputer.



“Tak, Tengku.”

“Saya nak awak ikut Encik Naufal hadiri mesyuarat di Putrajaya. Saya tak dapat pergi. Ada hal lain.”

“Baik, Tengku.”

Jeda. Tiada tanda-tanda perbualan akan dilanjutkan. Bening redup itu juga tak merenung gadis di depan seperti selalu.

“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.”

Irish segera menapak, ingin cepat-cepat beredar.

“Tolong siapkan final draft laporan projek di Johor Bharu. As quickly as possible. Then, submit to me.” Mata lelaki itu masih tegar menatap komputer.

“Baik. Ada apa-apa lagi, Tengku?”

“Tak ada.”

Segera ayunan kaki diatur keluar. Tak betah untuk terus ada bersama ketuanya.

Lain benar tingkah Tengku Harrys akhir-akhir ini. Tak banyak cakap, tak merenung, tak mengusik seperti selalu. Yang ketara hanyalah sikap dingin dan beku.

Apa kena dengan lelaki itu?

Tempoh hari lain, semalam lain, hari ini terlebih lain...

Irish menggosok-gosok dahi. Pelik dengan sikap insan bernama Tengku Harrys yang tak pernah terjangka mood serta emosi.

Effect duduk oversea lama sangat kut.” Serkap gadis itu dengan andaian sendiri.

 

“ZUL.”

Yes?”

            “Aku ada benda nak tanya ni.” Tengku Hafiy bermukadimah. Tenang pemanduannya  ke tapak projek usaha sama Haiyan dan Titan Globe Engineer Berhad, syarikat Izzul bekerja.

            “Tanya apa?”

            “Tentang hajat mama aku tu.”

            “Hajat?”

“Hajat nak pinang Irish. Takkan kau dah lupa?”

Izzul hela nafas. Jantungnya mula berdebar. Satu-satunya perkara yang cuba dielak daripada dibincangkan. “Tak. Tak lupa pun.”

            “So, macam mana?”

            “Macam mana apa?”

            “Yalah... dah beritahu pada keluarga kau ke yang keluarga aku nak datang merisik? Mama aku tu hari-hari tanya aku fasal hal ni, tahu?”

            Lambat-lambat Izzul menjawab. “Belum lagi.”

            “Laa... ingatkan kau dah beritahu!”

            “Bila keluarga kau nak datang?”

            “Insya-ALLAH, lepas majlis aku nanti.”

Jeda. Sepi mencengkam seketika.

“Boleh aku tanya sikit?”

            “Ai... kau pun ada soalan juga? Hah, apa dia?”

           “Masa dinner Haiyan malam tu... aku tengok Harrys mesra betul dengan sepupu perempuan kau tu. Aku agak dia orang ada apa-apa. Tapi... kenapa Mak Engku masih nak teruskan hajat pinang adik aku, ya?”

            “Maksud kau Harrys dengan Melissa? Ada affair?”

            “Ikut mata aku yang tak silap pandanglah.”

            Tawa Tengku Hafiy serentak pecah.

            “Yang kau ketawa, kenapa? Salah ke apa aku cakap?”

            “Memang salah pun! Harrys dengan Melissa? Hermm... alamat meletuplah gunung berapi kat rumah aku tu jawabnya, Zul!”

            “Gunung berapi?”

            “Mama akulah. Siapa lagi? Dah sah-sah kena reject awal-awal kalau si Melissa tu pilihan adik aku.”

            “Kenapa? Sepupu kau tu cantik apa?”

            “Takat cantik tak cukup, Zul. Sosial, kaki clubbing, seksi macam tu. Tak ada ciri-ciri ketimuran langsung. Manalah mama aku berkenan. Tak sesuai nak dibuat bini katanya.”

“Semua tu boleh diubah dan dibimbing.”

“Perempuan lain, mungkin. Kalau Lissa... aku tak yakin. Nilai kebaratan dah terlalu menebal dalam diri dia. Dengan sikap degilnya. Isk... payah nak ubah! Mati beragan adik aku nanti. Aku dah kenal sangat perangai sepupu-sepupu aku tu, Zul!”

Izzul bungkam. Alasan mana lagi yang boleh dia corner?

So, macam mana? Boleh ke keluarga aku datang jumpa keluarga kau ni? Aku ni kena bawa balik jawapan, Zul. Kalau tak, huh... masak aku kena dengan mama aku nanti!” 

“Macam nilah, Fiy. Kau bawa ajelah keluarga kau datang rumah orang tua aku. Pandailah nanti aku beritahu dia orang macam mana.” Akhirnya Izzul memutuskan.

Alright. Thanks, bro!”

Tengku Hafiy tersenyum lega. Selesai satu tanggungjawab diamanahkan mamanya.

Sebaliknya Izzul.

Saat dia menyatakan keputusan tadi, umpama satu batu besar telah tergalas di bahu sehinggalah tiba hari yang dimaksudkan rakannya itu nanti. 



No comments: