Friday, September 23, 2016

BAB 27 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







B
AGAI pinang dibelah dua...

Itu perumpamaan tepat buat pasangan mempelai tatkala dipersandingkan atas pelaminan. Segak, anggun, menawan dalam busana pengantin songket putih mutiara.

Berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra... majlis resepsi Tengku Hafiy dan Helena berjalan penuh meriah. Kehadiran ramai jemputan yang mengujakan. Diserikan atur cara ‘sempurna’ susunan wedding planner.

Izzul tak ketinggalan merai hari bahagia sahabat baiknya. Hadir bersama keluarga, kedua orang tuanya turut dibawa. Atas permintaan Tengku Haiyan dan Tengku Dafina.

Walau awalnya Encik Izzuddin serta Puan Qarina enggan turut serta. Tak layak berada majlis yang bukan taraf mereka. Namun, kini... mereka tampak mesra bersembang semeja bersama Tengku Haiyan sekeluarga. 

“Along. Along tak bawa ya hadiah untuk Abang Hafiy?”

Izzul tepuk dahi. “Astaghfirullah! Along terlupalah, Rish. Ada kat bonet kereta. Lupa langsung nak ambil sekali tadi. Tak apalah... along pergi ambil sekejap.”

“Tak apa...,” lengan lelaki itu ditarik. Kasihan pula Qisrina sudah terlena di pangkuan. “Biar Irish pergi ambil. Along duduk aje. Kunci?”

            “Betul ke Irish nak ambil ni? Sorang-sorang?”

            “Iya. Along tak payahlah risau. Sekejap aje Irish pergi. Lagipun orang ramai, kan?”

Kunci kereta bertukar tangan, langkah figura lampai itu disusun menghala ke kereta  Izzul. Bungkusan hadiah dalam bonet belakang diambil. Hadiah yang dibelinya bersama Izzul semalam buat Tengku Hafiy sempena perkahwinannya.

“Laju jalan.”

            Gerak Irish terhenti saat ingin masuk ke dewan kembali.

            “Tak nak tengok I dulu?”

Derapan tapak kasut melangkah buat Irish berpaling. Susuk seorang lelaki segak dalam suit hitam berjalan menghampiri.



Still can’t remember me, Miss Irish?”

“Maaf. Kita pernah berjumpa ke?”

            “Of course. Haiyan Holdings’s annual dinner. We met that night,” bicara lelaki itu bersama renungan dalam.

Lipatan memori Irish temui jawapan. Renungan yang langsung tak diendahkan angkara insiden ‘ngeri’ dia dan Tengku Harrys.

            “Dah ingat sekarang? Tengku Zafran... anak Pak Ngah Arham.”

            “Maaf. Saya betul-betul tak ingat.”

            “It’s okay. Gadis secantik you mana sudi nak ingat I.” Tengku Zafran menapak lebih dekat. Huluran salam disua pada gadis di depan. “Nice to meet you, Miss beautiful Irish.”

            Irish pandang wajah berkenaan. Mana mungkin dia menyambut hulurannya. Tapi lelaki di depan bagai tak peka. “Err...”

            Ehem!

            Bunyi suara deheman bergema tiba-tiba.

Irish tarik nafas. Lega terselamat. Tapi, leganya hanya sementara. Saat berpaling...

            ‘Oh, belum cukup selamat! Lagi parah ni...’

Cepat-cepat dia jarakkan diri dari Tengku Zafran.

            “Hey, bro!”

            “Your mom cari kat dalam.” Dingin ketara suara itu. Tiada tersua sekelumit senyum.

            “Really? Hurmm... okey. I masuk dulu. Bye, gorgeous! Seronok dapat kenal dengan you. I hope we get to meet again! Tengku Zafran mengenyit mata dan berlalu. 

             Irish terkedu. Tingkah tak terduga itu buat dia semakin resah dengan renungan Tengku Harrys. Dipegunkan pandangan ke lantai kala susuk tersebut datang menghampiri.

Bersiap sedia menghadapi ‘tsunami’ yang entah apa pula kali ini.

            “Lain kali jangan berani sangat jalan sendiri.” Figura tinggi itu melangkah pergi.


Irish terkelu lagi. Tadi Tengku Zafran buat jantungnya separuh mati. Sekarang, yang seorang ini.

“Ya ALLAH! Apa kena dengan lelaki-lelaki ni...”

Hadiah di tangan langsung ditepuk ke dahi.

           

MATA yang semakin layu terus merenung anak-anak Izzul sudah terlena. Izmie berada di pangkuan Safiya. Qisrina masih dalam pegangan Izzul. Qusyairi sudah terlentok di ribaannya.

Irish mengelus lembut rambut anak kecil yang nyenyak itu sementara menanti ayah dan uminya selesai bersembang. Setengah jam menanti, baru kelibat orang tuanya datang menghampiri bersama Tengku Haiyan dan yang lain.

            “Hermm... dah tidur dah semua cucu Nek Engku ni?”

            “Penatlah tu agaknya. Dari siang tadi tak tidur. Sibuk nak jumpa Tok Engku dengan Nek Engku katanya!” akui Puan Qarina.

“Laa... iya ke? Kasihannya. Tak sempat dia orang nak main dengan Nek Engku, ya!”

“Tak apalah, Fina. Nanti-nanti Izzul boleh bawa budak-budak ni datang ke vila.” Tengku Haiyan membalas kata-kata isterinya.

“Tengku... malam pun dah lewat. Kami minta diri dululah, ya.”

Seisi dua keluarga itu bersalam-salaman. Hanya Irish tak turut serta, terkunci di kerusinya dengan Qusyairi tidur di pangkuan. Tak terlarat dia nak angkat anak buahnya itu.

“Eh, Rish... astaghfirullahalazim! Along terlupa langsung Airi!” Izzul baru tersedar. Laju dia melangkah ke arah adiknya.

“Along nak angkat Airi macam mana? Dengan Qis lagi.”

“Err...”

“Tak apa, saya tolong angkat.”

Susuk berbaju Melayu putih itu melangkah ke arah Irish. Penuh berhati-hati dia mengangkat Qusyairi dari pangkuan si gadis.

Irish hanya mampu memandang tanpa kata. Dia pasti mukanya sudah berubah warna. Bertambah merah bila semua mata terpaku ke arah mereka berdua.

 Dan... momen itu berlarutan sehingga Tengku Harrys membaringkan Qusyairi di atas ribaan semula setelah dia masuk ke dalam kereta.

“Terima kasih...”

Hanya anggukkan yang diterima tanpa secebis pandangan mahupun bicara.

Sepanjang perjalanan pulang, Irish terus mendiam kala seisi kereta tak henti bersembang tentang kebaikan dan keramahan Tengku Haiyan sekeluarga. Selaut fikirannya melayang jauh memikirkan kelakuan Tengku Harrys malam ini.

Entah kenapa, sikap lelaki itu semakin meresahkan. Dinginnya bagai belum bernoktah.

Namun dalam dingin yang mencengkam , nalurinya tersentuh dengan kejadian sebentar tadi.  Malah sewaktu kereta mula bergerak, matanya sempat melirik.

Ternyata, Tengku Harrys juga berbuat serupa. Cuma pandangannya sudah bertukar cara. Tampak lembut, sedikit redup. Tak segarang tika dia berada bersama Tengku Zafran.

Entahlah. Susah nak faham. Sikapnya benar-benar membingungkan. Semalam lain, hari ini lain, esok lusa... dah tentu lagi lain.

Nasib baik Tengku Melissa tak ada tadi. Kalau tak, tak tahu drama pula yang jadi.

‘Kenapa gadis itu tak ada, ya?’

Irish berteka-teki sendiri. Ralat dengan ketiadaan Tengku Melissa meskipun abangnya hadirkan diri.

Ah! Sebut tentang lelaki itu buat jiwa kembali bergulir. Jujur... dia tak selesa setiap kali mereka berdepan. Seperti ada yang tak sebati.

Asyik melayan menungan, gadis itu terlena jua sebelum tiba ke destinasi.



No comments: