Thursday, December 11, 2014

BAB 32 : BAYANGAN GURAUAN





   S
EAWAL jam 10.00 pagi Irish sudah memandu keretanya keluar dari halaman rumah. Hari ini dia mempunyai temujanji bersama Athirah. Beria-ia gadis itu ingin berjumpanya. Ada berita gembira yang ingin disampaikan katanya. Dari nada ceria gadis itu melalui perbualan mereka di telefon, ternyata rakannya itu benar-benar tidak sabar untuk memberitahunya tentang perkhabaran tersebut.


Destinasi pemanduan Irish dihalakan ke Empire Shopping Gallery yang terletak di Subang Jaya. Setibanya di sana, Irish memaklumkan pada Athirah bahawa dia menunggu di Restoran Vivo yang terdapat di dalam bangunan pusat membeli-belah itu. Setelah membeli makanan di kaunter, Irish lansung mencari tempat duduk yang agak tersorok agar lebih privacy apabila berbual bersama Athirah nanti. Bukan dia tidak tahu gadis itu bila bercerita tidak sah kalau orang berhampirannya tidak mendengar sekali. Mengingatkan itu, spontan Irish tertawa kecil sambil mengesat matanya. “Ira, Ira. Lawak betullah kau ni.”

“Ha! Apa yang lawak betul tu?!”

Secara tiba-tiba Irish dikejutkan dengan sergahan itu. Bagai ingin lurut jantungnya menahan rasa terkejut di dada.

“Ira! Kau ni, kan. Tak sudah-sudahlah dari dulu!”

Mengekek ketawa Athirah melihat reaksi rakannya. Dia kemudian mengambil tempat di hadapan Irish dan terus sahaja menyedut minuman di atas meja. “Sorry, Rish. Dah lama aku tak menyakat kau macam ni. Seronok pulak!”

“Kan? Kau memang. Jumpa kalau tak menyakat aku, tak sah kan?” tingkah Irish geram. “Awal kau datang hari ni? Baru pukul 10.50 dah sampai. Azam baru ke?”

“Kau perli aku, ya? Tahulah selalu aku yang lambat. Tapi tu dulu, ya. Sekarang, no more!” balas Athirah sambil menggerakkan jari telunjuknya di hadapan Irish.

“Tu aku tanya. Azam baru ke? Ke sebab lain? First time ni kau sampai on time.”    

“Ha! Sebab tulah aku ajak kau jumpa hari ni. Pasal berita gembira yang aku nak bagitahu kau tu!”

“Oh! Yang kau cakap surprise tu? Hmm, apa dia? Cakaplah.”

“Irish, sebenarnya kan aku… aku...,” tersipu-sipu Athirah ingin memulakan ayatnya.
“Dah, tergagap-gagap pulak dia. Cakap jelah!”

“Aku nak bertunang, Irish!”

“Hmm?? Biar betul? Bila? Dengan siapa?” riak Irish jelas terkejut sebaik mendengarkan
 perkhabaran tersebut. Selama ini rakannya itu tidak pernah bercerita dengan siapa dia serius berkawan, walaupun dia tahu gadis itu memang ramai kawan lelaki. Dia ingat Athirah berkawan dengan mereka hanya sekadar suka-suka.

“Amboi! Banyak benor soalannya!”

“Dah kau tiba-tiba je. Langsung tak bagitahu kut!”

 “Okay, okay! Sorry sebab tak pernah cerita kat kau. Bukan tak nak cerita, tapi kau tu yang busy dua puluh empat jam. Manalah ada masa untuk aku ni.”

Okay, my mistake. I’m sorry, Ira.” Irish menggenggam tangan Athirah.

“Hey! Aku main-main jelah. Kau ni, sensitif sangat! Aku faham kau sibuk. So tak naklah kacau. Ni yang aku beria-ia nak jumpa kau hari ini. Bolehlah aku cerita panjang.”

So, ceritalah. Aku nak dengar ni. Siapa lelaki yang bertuah tu?” Irish menongkat dagu memandang Athirah.

“Sebenarnya dia client aku. Mula-mula client. Bila dah selalu jumpa, kau faham-faham jelah sendiri. Client bertukar jadi boyfriend! Then lapan bulan berkawan, dia proposed aku jadi isteri dia.”

“Serius?”

Athirah hanya terangguk-angguk menjawab pertanyaan gadis di hadapannya.

So, bila majlis tu?”

Next month. Kau kena datang tau. Wajib!”

“Insyaallah. Siapa nama dia?”

“Zamir. Dia tua dua tahun dari kita. Ada masa nanti aku kenalkan kau dengan dia.”

Irish tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu. Jelas Athirah sangat gembira menanti hari pertunangannya. Dan dia senang melihat kegembiraan itu.

“Kau bila, Rish?”

“Hmm?” Irish yang sedang meneguk minumannya, terhenti. “Apa yang bila?”

“Yelah. Kau bila lagi? Dah jumpa?”

“Belum. Nantilah.” Lambat sahaja Irish menjawab, membuatkan Athirah mengeluh.

“Itu je jawapan kau, kan. Sama je dari dulu. Sampai bila, Rish?”

“Sampai aku jumpa pemilik tulang rusuk kiri nilah.”

Kali ini lengan Irish dipukul Athirah. “Kau ni, kan! Aku serius, kau main-main pulak!”

“Main-main apanya. Betullah apa aku cakap, kan.”

“Yelah, Irish. Nanti dah tua tak laku, baru tahu!” tingkah Athirah seraya mengambil sepotong pizza lalu menjamahnya. “Tapi kalau kau nak cari calon, aku ada. Kau nak? ”

Irish menjuihkan bibirnya. Pantas dia menggeleng. “Tak nak.”

“Ishh, kau ni! Dari dulu susah betullah! Bukannya tak ada yang nak. Ramai. Tapi kau tu yang jual mahal sangat! Ataupun...,” Athirah mendekatkan dirinya pada Irish, seakan ingin berbisik sesuatu. “Kau dah sangkut dengan boss kau tu?”

Membulat mata Irish mendengar. “Siapa?”

“Alaa... boss kau tulah. Siapa nama dia? Tengku... Tengku Harrys? Ha, yes! Mamat yang kau langgar sampai tiga kali tu!”

“Tak ada maknanya, Ira. Minta dijauhkan!”

“Kenapa? Apa salahnya kalau kau sangkut dengan dia pun. Aku rasa kau ada jodoh dengan dialah, Rish. Tiga kali berlanggar, then kerja bawah satu bumbung, satu department pulak tu. Hmm... Aku rasa kalau hari ni kau terjumpa atau terlanggar dia kat sini, memang confirm dia jadi laki kau!” bicara Athirah dengan selamba.

“Eh, kau makan! Baik kau makan. Sebelum aku sumbat mulut kau dengan pizza aku ni pulak!” ugut Irish apabila rakannya itu tidak henti-henti bercakap dan mengusiknya. Namun yang sebenarnya dia berasa sedikit gelisah apabila nama lelaki itu disebut-sebut semula. Hanya mengingatkannya kembali tentang insiden yang berlaku malam tadi.

“Uiittt! Garangnya kau hari ni, Irish! First time aku tengok kau macam ni!”

“Ha’ah! Dengan kau je aku garang. Suka kan dapat usik aku? Dah, cepat habiskan makan. Lepas ni temankan aku cari barang.”

Yes, maam! Arahan diterima!” balas Athirah sambil terus menghabiskan makanannya dengan tawa yang masih bersisa. Seronok sekali sekala dapat melihat Irish marah begini. Namun dia tahu gadis itu bukanlah bena-benar marah. Sepanjang mengenali Irish, dia tidak pernah melihat rakannya itu marah-marah tidak tentu pasal. Kecuali jika ada yang telah mengguris hatinya, dan kesabarannya sengaja dicabar. Jadi jangan terkejut bila Irish akan bertukar perwatakan dalam sekelip mata. Bak kata orang, orang yang nampak lembut ini kalau sekali marah dia sudah datang, dunia pun boleh terbalik jadinya. 



KEDUA sahabat itu menghabiskan masa bersiar-siar di sekitar pusat membelah berkenaan. Sekadar ingin mencuci mata. Bila ada yang berkenan, barulah mereka membelinya.

“Ira, aku nak pergi kedai buku sekejaplah.”

Okay. Jom!” Terus sahaja Athirah menggamit lengan Irish masuk ke dalam sebuah kedai buku. “Alright! We are here. Kau nak cari buku apa, Rish?”

“Buku finance.”

“Hai! Ingatkan dah kerja tak payah beli buku-buku finance ni. Rupanya sama jugak!”

Spontan Athirah tergelak. Namun Irish hanya membiarkan. Dia mula mencari buku-buku berkaitan kewangan. Satu-persatu buku di situ dibeleknya. Habis itu, dia bergerak untuk mencari buku yang lain pula. Athirah dibiarkan sendirian mencari buku-bukunya.

“Aduh!”

Irish terjerit kecil. Tangan kirinya memegang bahu kanan yang kesakitan. Buku-buku yang dipegangnya lansung jatuh ke atas lantai. Mata-mata di sekeliling juga sudah memandang ke arahnya. Tidak mahu terus menjadi perhatian, Irish duduk lalu mengambil buku-bukunya semula. Namun pergerakannya terhenti bila tiba-tiba kepalanya menangkap insiden yang pernah berlaku suatu ketika dulu.

‘Dia lagi ke? Ya Allah, janganlah!’ detiknya.

Pantas Irish mendongak. Namun apa yang diharapkan sebaliknya. Wajah lelaki itu juga sekali lagi yang muncul di hadapannya. Irish mengetap bibir. Jantungnya seakan berhenti berdegup. Tubuhnya dirasakan lemah. Lututnya juga menggeletar tiba-tiba. Serasa bila-bila masa sahaja dia boleh rebah di sini.

“Irish!” terkocoh-kocoh Athirah mendapatkan Irish sebaik mendegar jeritan gadis itu. “Kenapa ni? Kau okay ke?” Athirah memegang muka Irish yang sudah pucat. Kalau ditoreh mahu tiada darah yang keluar. 

“Irish, kau okay tak?!” Sekali lagi Athirah bertanya sambil mengongcang bahu Irish. Namun gadis itu masih tetap membatu. Hanya matanya sahaja memandang ke arah seseorang di hadapan. Athirah menyoroti pandangan mata Irish. Dilihatnya seorang lelaki sedang tegak berdiri sambil membalas pandangan rakannya itu.

Melihat Irish hanya terkaku, Tengku Harrys turut sama duduk untuk membantu mengambil buku-buku yang terjatuh di atas lantai sebelum dia berdiri semula. Matanya tidak lepas dari merenung wajah pucat di hadapan. Mungkin gadis itu masih terkejut. Walhal dia sendiri tidak menyangka akan bertemu dengan Irish di sini. Niat di hati ingin mencari beberapa buku serta majalah kegemarannya. Namun tidak sangka dia akan dikejutkan dengan kejadian sebegini. Untuk sekali lagi.   

“Siapa?” Athirah berbisik perlahan sambil menyenggol bahu Irish. Hairan melihat lelaki itu juga tidak lepas-lepas dari merenung Irish sedari tadi.

“Harrys... dah dapat buku yang you cari?”

Kelibat Tengku Melissa yang muncul entah dari mana, datang menerpa ke arah Tengku Harrys tiba-tiba. Dengan hanya mengenakan baju sleeveless serta mini skirt separas peha, dia memaut lengan lelaki itu tanpa rasa segan.

“Hey, sayang! Kenapa ni?” soal Tengku Melissa sekali lagi apabila lelaki itu hanya diam membisu sambil matanya masih terpaku pada gadis di hadapan.

Melihatkan itu, Irish segera bangkit dan terus mengambil buku-bukunya dari pegangan Tengku Harrys. “Err... thanks!”

Seraya Irish menarik tangan Athirah untuk beredar dari situ. Athirah yang tidak mengerti apa-apa, hanya akur dengan perlakuan Irish. Sedikit hairan dia dengan keadaan yang sedang berlaku. Dan yang lebih menghairankan lagi adalah kehadiran lelaki serta wanita tadi yang menyebabkan Irish tergesa-gesa menariknya keluar dari kedai buku tersebut.


SO, itulah boss kau? Tengku Harrys? Yang kau cakap tu?” Athirah bertanya sewaktu mereka dalam perjalanan menuju ke tempat letak kereta. Keluar sahaja dari kedai buku tadi, Irish terus mengajaknya pulang. Hinggakan novel dan majalah yang sudah dipilihnya tadi, terpaksa diletakkan semula. Begitu juga dengan buku-buku Irish.

             “Iya.”

            “Serius?!”

            “Ya, Ira.” Lemah sahaja Irish menjawab.

            “Hmm... boleh tahan. Handsome, putih, tinggi. Kalau aku jadi kau, tak lepas dah!”

            Serta-merta langkah Irish terhenti. “Apa yang tak lepas?”

            “Tak lepaskan dia kat orang lainlah! Bertuah kalau kau dapat dia, Rish!”

       Jawapan Athirah itu membuatkan Irish merenung tajam gadis tersebut. Tidak menyangka rakannya akan berfikir hingga ke tahap itu. Lantas dia menyambung kembali langkahnya sebelum Athirah mengikuti di belakang.

        “Jangan nak beranganlah, Ira. Fikir sikit dia tu siapa, keturunan apa. Tu tadi tak nampak, perempuan kat sebelah dia tu.”

            “Ha! Lupa aku nak tanya pasal perempuan tu. Siapa dia? Bukan main manja lagi dengan boss kau. Daring betul! Dengan baju yang tak cukup kain tu. Menyampah pulak aku tengok! Siapa tu, Rish?”

“Sepupu dia. Baru balik dari US.”

            “Hmm... sepupu je. Bukan girlfriend dia pun!”

            Sekali lagi langkah Irish terhenti. “Kenapa kalau bukan girlfriend dia? Kau nak try?”

            “Eh! Apa pulak aku? Zamir aku nak campak mana?”

            “Tahu pun. Dah tu, yang kau sibuk sangat pasal boss aku tu kenapa?”

           “Bukan aku. Kaulah! Tak salah kalau kau cuba, kan? Aku tengok tadi bukan main lagi Tengku tu tenung kau. Tak toleh kiri kanan pun. Aku rasa kan, dia syok kat kaulah!”

            Pantas Irish mengangkat tangannya sebagai isyarat agar Athirah berhenti dari berbicara. Dan serentak itu satu getaran halus menjalar di tangkai hatinya. “Kau sebut lagi pasal tu lepas ni, kau balik sendiri!”

 Terus Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke kereta yang hanya beberapa meter sahaja di hadapan. Malas dia mahu melayan Athirah lagi.

         Athirah semakin terpinga-pinga dengan tingkah rakannya. “Yang dia nak sentap sangat ni kenapa? Aku saja je main-main. Kalau betul pun, apa salahnya?” mengomel dia sendirian di situ tanpa menyedari Irish sudah jauh berjalan meninggalkannya di hadapan. Pantas dia mengejar langkah gadis itu.  

            “Eh, Irish! Tunggu! Okay, okay, aku tak sebut lagi dah!”


Thursday, December 4, 2014

BAB 31 : BAYANGAN GURAUAN





T
ENANG sahaja pemanduan Izzul menyusuri jalanraya malam ini, walaupun sebenarnya dia sudah lewat untuk sampai ke tempat yang dituju. Sebentar tadi dia terpaksa membawa isteri dan anak-anaknya ke klinik dahulu disebabkan kesihatan anak bongsunya terganggu semenjak kelmarin. Selepas menghantar mereka ke rumah kedua orang tuanya, barulah dia bergegas ke Hotel Grand Hyatt yang terletak di Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis makan malam tahunan Haiyan Holdings Berhad. Kebiasaannya sebelum-sebelum ini dia ditemani oleh Safiya serta anak-anaknya menghadiri acara tahunan tersebut. Tapi nampaknya malam ini tiada rezeki buat mereka.


Sesekali Izzul menjeling Irish di sisi. Adiknya itu hanya mengunci mulut sejak mereka bertolak dari rumah tadi. Sekejap gadis itu memandang hadapan. Sekejap lagi tertunduk bermain dengan jari-jemarinya. Bila sudah bosan, dia membuang pandang semula ke luar tingkap. Adakalanya sukar untuk mentafsirkan apa yang bermain di fikiran Irish. Adiknya itu lebih suka memendam sendiri.

Lamunan Izzul terhenti apabila dikejutkan dengan nada dering dari telefon bimbitnya. Nombor si pemanggil jelas tertera di skrin. Pantas dia menjawab panggilan tersebut melalui handsfreenya. Irish di sebelah hanya mendengar sahaja perbualan itu.

“Hafiy call. Tanya kenapa kita tak sampai-sampai lagi,” jelas Izzul pada Irish. Sejurus itu dia melihat jam di tangan. “Pukul berapa majlis tu mula?” 

“Pukul 9.00 malam.”

“Hmm… sekarang dah 9.15. Mungkin dalam 9.30 baru kita sampai sana. Memang lambatlah kita sampai ni, Rish. Sorrylah. Along tak expect pulak nak jadi macam ni.”

“Tak apalah, long. Izmie tak sihat. Janji boleh sampai sana, cukuplah.”

Izzul mengerling Irish. Sebuah senyuman manis dihadiahkan oleh adiknya. Laju sahaja tangannya mengusap kepala gadis itu. Sudah agak jarang dia dapat melihat senyuman itu. Sejak lebih dua tahun yang lalu. Senyuman itu bagaikan telah mati. Mati bersama kisah duka yang dilalui oleh gadis tersebut. Beberapa minit berselang, kereta Hyundai Sonata putih itu memasuki perkarangan Hotel Grand Hyatt. Izzul meminta Irish turun dahulu dan menunggunya di lobi hotel sementara dia meletakkan kereta. Irish hanya menurut dan terus melangkah ke pintu masuk. Sampai sahaja di ruang lobi, dia melabuhkan duduknya sebentar di sofa yang tersedia di situ.

“Irish!”

Pantas Irish menoleh ke belakang. Berdiri semula dia sebaik terpandangkan lelaki itu.

“Abang Hafiy. Maaf, Irish terlambat.”

“Tak apa, Irish. Asalkan sampai. Izzul mana? Irish datang dengan dia, kan?”

“Ada. Along pergi parking kereta sekejap.”

Lelaki itu tengangguk-angguk lalu melihat jam di tangan. Sebentar kemudian barulah wajah Izzul terpancul di ruang lobi hotel itu.

“Fiy.”

“Hah, Zul. Sampai pun kau!” balas Tengku Hafiy lantas bersalaman dan berpelukan dengan rakannya itu.

Sorry, bro! Aku terlewat sikit. Bukan sikit. Banyak aku rasa!”

“Ah, tak ada hallah! Awal-awal pun bukan ada apa. How’s your son?”

“Doktor cakap Izmie okay. Cuma demam tinggi sikit. Esok kena pergi klinik lagi.”

“Tak apa. Insyaallah nanti baiklah tu. Biasalah budak baru nak membesar,” pujuk Tengku Hafiy sambil menepuk-nepuk bahu Izzul. “Dah, jomlah masuk! Mari, Irish!”

Mereka bertiga menapak ke dalam dewan di mana berlansungnya majlis makan malam tersebut. Melangkah masuk sahaja sudah terasa bahang kemeriahan acara gilang-gemilang itu. Tengku Hafiy lantas membawa kedua beradik itu duduk di sebuah meja yang tidak jauh dari kedudukan pentas. Irish mengambil tempat di sisi Izzul, manakala Izzul duduk bersebelahan Tengku Hafiy. Mujurlah Insyirah, Natasya serta Kak Maisarah turut berada di meja yang sama. Tidaklah dia merasa bosan sepanjang majlis itu berlansung.

“Kenapa lambat, Cik Irish?” Insyirah berbisik pada Irish yang baru melabuhkan duduk di sebelahnya.

“Ada hal sikit. Anak abang sakit. So, hantar dia pergi klinik dulu.” 

“Oh, patutlah.”

“Yang lagi bertiga tu mana?” Irish bertanyakan tentang keberadaan Zaryn, Farisya dan Elaine. Serentak itu Insyirah menunjuk arah ke meja yang terletak selang dua meja dari tempat mereka duduk. Laju sahaja tangan ketiga-tiga gadis itu melambai-lambai ke arahnya. Irish turut membalas lambaian tersebut bersama satu senyuman.

Dalam kesamaran cahaya dewan itu, sempat mata Irish melihat ribuan tetamu yang hadir. Dapat dilihat Tengku Haiyan dan isterinya duduk di meja paling hadapan bersama beberapa tetamu VIP dan VVIP. Bersebelahan meja itu pula dipenuhi oleh kesemua adik beradik Tengku Hafiy serta beberapa tetamu yang tidak dikenali. Dan kini matanya terhenti pada lelaki yang segak memakai tuxedo hitam. Agak khusyuk lelaki itu menyaksikan persembahan di atas pentas. Di sebelahnya pula kelihatan seorang gadis yang berpakaian agak seksi sedang bersandar mesra pada bahunya. Irish mengamati wajah gadis itu. Seakan dia pernah melihat sebelum ini.

Dalam Irish cuba mengingati, tanpa diduga lelaki tadi menoleh ke arahnya. Mata mereka bertemu, membuatkan kedua-duanya seakan terpaku. Lama mereka berkeadaan begitu sehinggalah Irish melarikan pandangannya ke tempat lain. Entah mengapa dia merasakan ada sedikit debaran di dada. Dan tiba-tiba satu perasaan halus seakan hadir menyelinap masuk ke dalam ruang hatinya saat ini. ‘Ya Allah. Kenapa dengan aku ni?’

“Irish.”

Terasa bahunya disentuh. Irish menoleh. “Hmm?”

“Irish okay ke ni?” tanya Izzul.

“Eh, okay! Irish okay je,” ujarnya cuba berlagak selamba sambil mempamerkan senyuman bagi menutup kegelisahannya.

“Kalau okay kenapa along panggil selamba je?”

“Hmm? Ya ke? Muzik kuat sangat kut. Irish tak dengar.”

“Hmm... dah makan ni.” Izzul menyendukkan sedikit nasi beriani untuk Irish, walaupun jawapan gadis tidak meyakinkannya. Ingin bertanya lebih, mereka kini berada di tempat orang ramai. Sudahnya, dipendamkan sahaja keinginan itu.

Makan malam itu berlansung dengan suasana yang agak tenang. Sambil menikmati hidangan, para tetamu dihiburkan dengan persembahan dari artis-artis jemputan serta para pekerja Haiyan Holdings sendiri. Celoteh dan jenaka dari pengacara majlis juga membuatkan hadirin-hadirin semua tak kering gusi. Nyata masing-masing kelihatan gembira dan teruja.

“Along. Irish nak pergi toilet sekejap.”

Okay. Baik-baik.”

Irish melangkah keluar dari dewan itu lantas mencari tandas yang berhampiran. Niat hati ingin membasahkan sedikit muka agar hilang rasa mengantuknya sejak di dalam dewan tadi. Maklumlah, perut sudah penuh terisi. Mata pun semakin layu. Ditambah dengan keadaan dingin di dalam dewan tersebut. Beberapa minit mencari, akhirnya dia terjumpa satu signboard yang memaparkan gambar lelaki serta wanita. Terus sahaja kakinya mengatur langkah ke tempat itu.

“Lambat sampai?”

Serta-merta langkah Irish terhenti. Bagai ingin luruh jantungnya mendengarkan suara itu. Perlahan dia berpaling. Dilihatnya Tengku Harrys sedang elok bersandar di suatu sudut sambil berpeluk tubuh.

‘Bila masa pulak dia bersandar kat situ? Bukan tadi dia kat dalam ke?’

Melihat Irish hanya berdiri kaku di tempatnya, Tengku Harrys melangkah mendekati gadis itu. Matanya juga tidak lepas dari memandang seraut wajah mulus di hadapan yang kelihatan agak berbeza malam ini.

“Kenapa lambat?”

“Hmm? Err... A... ada hal sikit tadi.”

Irish tertunduk. Tidak berani menentang mata lelaki itu. Teringat renungannya sewaktu dia mula-mula sampai tadi. Bukan dia tidak biasa ditenung sebegitu. Tetapi malam ini dirasakan pandangan Tengku Harrys amat berlainan sekali.

“Kenapa tak bagitahu saya?”

Berkerut dahi Irish. Lantas dia memandang semulaTengku Harrys. “Perlu ke?”

Of course. Awak bekerja bawah saya. Dan event ni ada kena mengena dengan syarikat. Jadi apa-apa berkaitan dengan awak, saya perlu ambil tahu. In case something hapenned to you, it would be my responsibility.” Tengku Harrys mengetap gigi. Sama ada betul atau tidak jawapan yang diberikan pada Irish sebentar tadi, dia tidak pasti. Dan dia sendiri tidak tahu apa kena dengan dirinya malam ini.

“Tapi, saya datang dengan abang saya.”

At least, let me know.”

“Err... saya tak ada nombor Tengku. Sebab tu saya tak boleh nak bagitahu,” betah Irish lagi. Sekurang-kurangya dia punya alasan agar tidak terus dipersalahkan. Dan seperti jangkaannya, mata lelaki itu semakin tajam merenung padanya.

I can’t accept that reason. Sa...,”

“Harrys!”

Panggilan itu sekaligus mematikan kata-kata Tengku Harrys, membuatkan kedua-duanya menoleh. Tengku Melissa kelihatan sudah tercegat berdiri sambil memandang ke arah mereka. Dan kesempatan itu tidak dilepaskan oleh Irish untuk menjauhkan dirinya dari Tengku Harrys.

“Harrys... where are you going? Puas I cari you. Kat sini you rupanya!” Tengku Melissa bergerak menghampiri sepupunya sebelum lengan lelaki itu dipaut mesra. Namun sesaat, Tengku Harrys menarik lengannya kembali. Rimas dengan perlakuan tersebut.  

What?!” bentaknya geram. Berang dia lantaran perbualan bersama Irish sebentar tadi diganggu oleh gadis itu.

I tanya you pergi mana? Kenapa tinggalkan I sorang-sorang kat dalam?”

“Tinggalkan you sorang-sorang kat dalam? You tak nampak ke berapa ramai orang kat dalam tu?!”

“Harrys, you ni kenapa? Tiba-tiba nak marah. Boleh tak jangan layan I macam ni!” rengek Tengku Melissa seperti anak kecil.

Whatever!”

Wajah Tengku Harrys sudah bertukar kemerahan. Rasa marahnya yang tersimpan sejak tadi lansung dilepaskan pada Tengku Melissa yang seakan mencabar kesabarannya pula. Irish yang melihat, sudah tidak senang untuk berada di situ. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, lebih baik dia beredar. Terus sahaja langkahnya diatur untuk masuk ke dewan semula. Niatnya untuk ke tandas pada mulanya tadi juga terpaksa dilupakan. Hilang sudah rasa mengantuknya dek kejutan yang diberikan oleh kedua manusia itu.



 “LAMANYA pergi?” Izzul bertanya sejurus Irish kembali ke tempat duduknya.

“Pusing-pusing cari toilet tadi tak jumpa. Tanya orang baru jumpa.” Irish cuba berselindung, tidak mahu alongnya tahu apa yang telah berlaku. Berpuas hati dengan jawapan Irish, Izzul kembali berbual dengan Tengku Hafiy serta beberapa rakan mereka yang lain.

Irish menarik nafas lega. Tidak perlu dia bersoal jawab panjang dengan alongnya. Namun jantungnya masih berdegup laju. Insiden sebentar tadi masih terbayang-bayang di benaknya. Ini kali kedua dia melihat Tengku Harrys dalam keadaan marah seperti itu. Tetapi marah lelaki itu kali ini adalah disebabkan olehnya. Dan yang lebih menghairankan lagi, lelaki itu begitu marah apabila dia tidak memaklumkan tentang kelewatannya hadir ke majlis ini. Bukankah lelaki itu sudah sedia maklum yang dia datang ke sini bersama Izzul? Jadi mengapa perlu risau? Tidak habis marah lelaki itu dilepaskan padanya, dilempiaskan pula selebihnya pada Tengku Melissa yang tiba-tiba muncul di situ. Dan dia tidak tahu apa yang terjadi selepas dia mengangkat kaki meninggalkan kedua-dua mereka di luar.

Irish tergerak hati untuk melihat ke arah meja yang diduduki Tengku Harrys. Sekali lagi darahnya berderau apabila lelaki itu sudah berada di tempatnya. Mataya masih tetap seperti tadi, merenung ke arahnya. Malah dirasakan renungan lelaki itu semakin tajam hingga dia tidak berani untuk menentang lagi. Sungguh, dia benar-benar tidak faham dengan sikap lelaki itu malam ini.

‘Kenapa dengan dia ni? Marah betul nampaknya. Apa salah aku dah buat?’ Irish menyoal dirinya, cuba mencari jawapan. ‘Takkan pasal kes langgar dulu tu lagi? Isshh! Takkanlah!’

Okay, para hadirin sekalian. Macam mana dengan hidangan malam ini? Menyelerakan?”

 suara pengacara majlis wanita bergema di dalam dewan tersebut. Semua tetamu bersorak mengiyakan.

“Kalau berselera, habiskan semua. Jangan risau, makanan tu semua memang khas untuk anda malam ni. Baiklah. Sebagai penutup persembahan majlis pada malam ini, kita akan dihiburkan dengan satu lagi persembahan dari artis jemputan. Bukan seorang tapi bersama bandnya yang akan mengiringi persembahan beliau pada malam ini,” ucap pengacara majlis yang seorang lagi.

“Siapa artis jemputan kita tu, Haikal?”

“Agak-agak siapa, Hanis?”

Well... they’re one of our legend group artist!”

Exactly! Rasanya semua orang cukup kenal dengan kumpulan ni. Jadi tanpa membuang masa lagi kita persilakan ke pentas artis terakhir pada malam ini. Terimalah... Kumpulan Mega!”

Serentak itu, sebuah lagu berkumandang mengiringi kemunculan penyanyi tersebut dari belakang pentas. Sebaik melihat kehadirannya, semua hadirin bersorak dan bertepuk tangan.

“Assalamualaikum dan selamat malam semua. Saya tahu anda semua familiar dengan lagu ni. So, saya nak anda menyanyi bersama-sama dengan saya. Okay!” ujar penyanyi itu dan permintaannya dibalas dengan sorakan yang lebih kuat dari para hadirin.


Tak pernah ku alami
Tak mungkin ku hindari
Di himpit perasaan bayangan gurauan

Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri
Melambai dan terus menyepi

Jangan biarkan ku ternanti-nanti
Usah benarkan masa berlalu pergi
Cintamu oh gadis misteri
Adakah kekal dan abadi

Andai diberikan emas permata
Ku pilih senyumanmu
Andai ku punyai mahligai indah
Ku hadiahkan untukmu
Dalam berjuta bintang berkerlipan
Kau bagaikan kejora
Antara ribuan mata menikam
Takkan ku biarkan kau tenggelam

Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri
Adakah dapat ku kenali

Andai diberikan emas permata
Ku pilih senyumanmu
Andai ku punyai mahligai indah
Ku hadiahkan untukmu
Dalam berjuta bintang berkelipan
Kau bagaikan kejora
Antara ribuan mata menikam
Takkan ku biarkan kau tenggelam

Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri
Belum puas ku temui.....


Selesai mendendangkan lagu tersebut, semua hadirin berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada persembahan penyanyi itu. Untuk beberapa ketika, dewan itu sedikit hingar dengan sorakan mereka. Hanya selepas beberapa minit barulah keadaan kembali reda dan penyanyi tersebut meneruskan persembahan dengan beberapa buah lagu hitsnya yang lain.

Hanya Tengku Harrys seorang sahaja yang tidak berganjak dari kerusinya ketika yang lain bangun berdiri sebentar tadi. Jasadnya di situ, tetapi fikirannya melayang entah ke mana. Lagu dendangan penyanyi tadi benar-benar mengusik jiwanya. Lagu yang selalu meniti di bibirnya, yang sering memenuhi halwa telinganya, dan sentiasa menemani hari-harinya semenjak insiden pelanggarannya dengan Irish dulu. Pantas Tengku Harrys menoleh. Gadis itu masih setia di situ, leka menyaksikan persembahan di atas pentas. 

‘Bayangmu umpama satu gurauan, Irish. Dan aku tak pasti ia akan menjadi satu kenyataan, atau akan terus menjadi gurauanmu!’ bisik hati kecilnya.           

          
MAJLIS makan malam tahunan Haiyan Holdings selesai berlansung tepat jam 12.00 tengah malam. Semua tetamu beransur pulang dengan senyuman puas kelihatan di wajah masing-masing. Melihat dewan itu semakin lengang, Izzul dan Irish turut meminta diri untuk pulang memandangkan malam sudah semakin lewat.

   “Aku minta diri dululah, Fiy.”

 “Alright! Tapi, jom jumpa parents aku dulu. Diorang dah pesan jangan bagi kau balik sebelum jumpa.”

   Izzul tertawa kecil. Tanpa banyak soal dia mengikuti sahaja langkah Tengku Hafiy bersama Irish.

“Papa, mama. Ni Izzul dengan Irish nak balik dah.”

“Eh! Nak balik dah ke, Zul?” Tengku Haiyan bangun lalu bersalaman dengan Izzul dan Irish, disusuli oleh isterinya.

“Kamu berdua je dengan Irish, Zul? Anak isteri kamu mana?”

“Kat rumah, Mak Engku. Izmie tak sihat. Tu yang lambat tadi. Hantar dia pergi klinik dulu. Tapi dah inform kat Hafiy awal-awal.”

Jawapan Izzul itu sekaligus membuatkan jantung Tengku Harrys tersentap. Serta-merta matanya laju mencari wajah Irish. Namun gadis itu lansung tidak memandangnya. Dia pasti Irish berkecil hati.  

“Tak apalah, Zul. Kesihatan anak tu lagi penting. Bila-bila masa je nanti boleh bawa cucu-cucu Pak Engku tu datang ke rumah. Ni... Pak Engku nak kenalkan sekejap dengan abang Pak Engku, Tengku Arham. Yang sebelah ni isterinya, Tengku Kamelia. Selama jadi anak angkat kami belum pernah kamu berdua jumpa mereka, kan. Jadi alang-alang dah ada malam ni, Pak Engku kenalkanlah. Maklumlah, abang Pak Engku ni selalu sibuk ke oversea. Jadi nak ada kat sini selalu tu memang payah. Raya pun belum tentu ada!” seloroh Tengku Haiyan disambut dengan ketawa yang lain. Kedua-dua beradik itu menyambut baik salam perkenalan tersebut lalu bersalaman dengan pasangan suami isteri yang dimaksudkan oleh Tengku Haiyan itu.

“Panggil Pak Ngah dengan Mak Ngah je cukup. Kalau dah kamu berdua anak angkat Haiyan, maknanya anak kita jugaklah kan, Lia?” sapa Tengku Arham dengan ramah sambil dibalas anggukkan oleh isterinya di sebelah.

“Nasib baiklah Mak Engku ni anak tunggal. Kalau tak, lagi ramailah ibu bapa tambahan kamu berdua. Ya tak?” Kata-kata Tengku Dafina itu membuatkan ketawa mereka di situ berderaian lagi.

“Ha, yang berdua ni anak mereka. Sebelah Mak Ngah tu yang sulung, Tengku Amni Zafran. Dan yang perempuan tu adiknya, Tengku Auni Melissa. Diorang berdua ni baru balik dari US. Baru habis study,” terang Tengku Haiyan lagi sambil menunjuk pada dua beradik itu. “Sorang lagi anak Pak Ngah, Tengku Amni Zafrie ada di Ireland sekarang. Tengah study medic kat sana. Kak Long Pak Engku pulak tinggal di London satu keluarga. Insyaallah ada rezeki lain masa dapatlah jumpa.” 

Izzul bersalaman dengan Tengku Zafran yang ketika itu duduk bersebelahan Tengku Kamelia dan juga Tengku Melissa yang masih setia di sisi Tengku Harrys sambil memeluk erat lengan lelaki itu. Cuma Irish sahaja yang bersalaman dengan Tengku Melissa, walaupun gadis itu separuh hati menyambut huluran salamnya. Dengan Tengku Zafran, dia sekadar menundukkan wajah. Sama ada betul atau matanya yang salah pandang, dia perasan sepasang mata lelaki itu sedari tadi asyik merenung tajam padanya. Barangkali lelaki itu marah atau terasa dengan sikapnya. Atau mungkin lelaki itu tidak suka dengannya.

‘Ah, biarkanlah!’ getus hati Irish. Sudah malas mahu memikirkan semua itu. Hal yang berlaku tadi sudah cukup memeningkan kepalanya. Ditambah pula dengan yang ini. Cukuplah. Malam ini otaknya sudah penat untuk berfikir. Yang terlintas di kepalanya saat ini hanyalah mahu segera pulang dan merehatkan dirinya yang sudah cukup letih.           

“Along, boleh kita balik sekarang?” bisik Irish perlahan.

Izzul menoleh ke sebelah. Jelas Irish sudah keletihan. Lantas dia meminta diri untuk pulang memandangkan malam juga sudah merangkak ke pagi.


“Irish okay ke ni?” Izzul memaut bahu adiknya yang tampak sudah layu sewaktu mereka melangkah pergi. Hanya sebuah anggukkan dibalas gadis itu sebagai jawapan. Lantas kaki terus diatur keluar meninggalkan dewan tanpa menoleh ke belakang lagi.