Monday, March 10, 2014

BAB 6 : BAYANGAN GURAUAN






B
AYANGAN diri pada cermin panjang di hadapan ditatapnya penuh teliti. Sesekali dia membetulkan baju kurung moden yang tersarung di badan serta selendang di kepala agar kelihatan lebih kemas. Dirasakan semuanya sudah elok, cuma kurang sempurna.

‘Ermm, apa ya?’ soalnya dalam hati. Dia merenung kembali cermin di hadapan. Dari hujung kaki hingga ke atas diperhatikannya untuk mencari kekurangan itu.

            “Okay! Dapat!” jarinya dipetik lantas dicapai kotak yang berisi alat-alat soleknya. “Patutlah tak berseri. Sekejap ya, aku bagi naik seri tu!”

            Irish mengambil eyeliner, blusher, dan lipstick dari dalam kotak tersebut lalu dicalit sedikit eyeliner di mata, sedikit blusher di pipi serta sedikit lipstick di bibirnya.

            “Hmm... baru berseri sikit. Ingat pengantin je nak ada seri!” pujinya sendiri. Dikemaskan kembali alat soleknya sebelum disimpan ke tempat asal. Terakhir sekali, dia mencapai blazer dan disarungkan ke badan.

Perfect!” Irish berpuas hati dengan penampilannya di hadapan cermin kini.

“Irish! Dah siap ke belum? Along dah sampai tu!” laung Puan Qarina dari luar bilik.

“Dah, umi!” sahut gadis itu. Segera dia mencapai handbag serta failnya lalu keluar dari bilik. Sampai di dapur, dilihatnya Izzul sudah setia menanti. Ayah dan adiknya, Irhan seawal pagi lagi sudah pergi kerja.

“Minum dulu, Rish.” Puan Qarina memberikan arahan. Segera Irish memandang alongnya, bimbang sekiranya mereka sudah kelewatan.

“Duduklah minum dulu. Awal lagi ni. Interview pukul 9.00 pagi. Sekarang baru pukul 7.30,” jawab Izzul sambil mengerling jam di tangan. Hari ini lelaki itu serba ringkas berpakaian. Hanya mengenakan t-shirt dan jeans memandangkan dia mengambil cuti semata-mata untuk menghantar Irish menghadiri temuduga. Sesudah menjamah sarapan, dia dan Irish meminta diri untuk beredar sambil menyalami Puan Qarina.

“Umi doakan Irish, ya.”

“Insyaallah. Umi sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak umi. Jangan lupa banyakkan berselawat,” balas wanita itu lantas mencium kedua pipi serta dahi Irish sebagai tanda restu seorang ibu untuk anaknya.

 “Pergi dulu, umi. Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam. Hati-hati bawa kereta, long!” pesan wanita itu sambil melambai
tangan sebelum kereta Izzul berlalu pergi meninggalkan halaman.

Kereta Hyundai Sonata yang dipandu Izzul menyusur di atas jalanraya bersama kenderaan yang lain. Pagi-pagi begini sememangnya jalan akan dipenuhi dengan kenderaan yang bersusun menuju ke destinasi masing-masing. Lebih-lebih lagi hari Isnin begini.

“Irish dah ready nak interview hari ni?” Izzul memulakan bicara setelah mereka diam membisu sejak berada di dalam keretanya.

“Dah. Insyaallah,” balas Irish ringkas. Sedari tadi dia hanya  bersandar sambil merenung ke luar tingkap. Entah kenapa hatinya semakin berdebar-debar memikirkan temuduga yang bakal dilalui sebentar nanti.

Izzul mengerling sekilas Irish di sebelah. Melihatkan keadaan adiknya itu, dia  tersenyum. “Rilexlah, Rish. Tak payah nak fikirkan sangat. Cuma interview je. Masuk bilik, duduk, and then jawab apa yang diorang tanya. Lepas tu keluar. Ada rezeki, adalah. Kalau kawan along tu yang jadi interviewer, memang Alhamdulillah jawabnya!”

Sepantas kilat Irish menoleh pada Izzul. “Kenapa?”

“Sebab dia tu memang sporting. And simple. Dari time study dulu. Tak ada nak buli-buli ke apa. Walaupun dia selalu jadi leader. Kalau dia rasa orang tu okay dan layak, dia takkan cakap banyak punya. Sebab tu semua orang suka cara dia. Cuma satu je yang dia pantang.”

“Apa dia?”

“Dia tak suka orang yang berlagak dan cakap besar. Itu paling pantang. Bukan takat dia je, semua keluarga dia macam tu. Walaupun keturunan diorang tu bukan calang-calang,” jelas Izzul. Sekadar memberi peringatan kepada Irish, walaupun dia tahu adiknya bukanlah seperti itu.

“Along memang rapat dengan dia ke? Maksud Irish kawan along tu. Siapa namanya?”

“Tengku Hafiy Daiem. Tapi kawan-kawan biasa panggil Hafiy je. Dia tak suka sangat orang panggil gelaran Tengku tu. Kecuali kat pejabat memang terpaksalah. Sebab tu along boleh ngam dengan dia. Perangai pun lebih kurang sama. Dengan family dia pun along dah kenal. Selalulah jugak lepak rumah dia. Tapi time belajar dulu-dulu. Dah kahwin ni, jarang. Jumpa macam tu je. Atau pasal kerja. Dia pun dah bertunang. So, masa tu agak terhadlah nak jumpa.”

“Tapi kenapa dia belajar kat UPM, ya? Sedangkan kawan along tu boleh pilih tempat yang lebih setaraf dengan kedudukan dia?”

That’s a good question. Bukan takat Irish je. Tapi ramai yang tanya soalan tu. Jawapan Hafiy senang. Dia nak merasa life macam orang biasa. Belajar kat IPTA. Bergaul tanpa mengira kawan. Tapi bila further his master, terpaksalah ikut kata parents dia sambung kat oversea.”

Irish tergangguk-angguk mendengar cerita Izzul mengenai rakan baiknya itu, yang juga
 merupakan anak kepada pemilik syarikat yang akan dia hadiri temuduga pagi ini. Kereta yang dipandu Izzul kini sudah memasuki Lebuhraya Persekutuan. Keadaan lebuhraya yang agak sesak ketika ini menyebabkan semua kereta bergerak sedikit perlahan. Dikerling jam di dashboard, kemudian jam di tangannya.

“Along rasa sempat ke sampai sana on time? Sekarang dah pukul 8.15. Dengan jammed macam ni,” soal Irish meminta kepastian. Bimbang dia sekiranya lewat sampai ke tempat temuduga seperti yang dijadualkan. Sudahlah baru hendak mencari kerja. Kalau sampai pun lambat, alamatnya masuk angin keluar asap sajalah.

“Sempat-sempat. Jangan risaulah. Duduk je diam-diam kat sebelah tu. Tahulah along macam mana.” Izzul cuba menenangkan adiknya yang kelihatan resah. Sememangnya dia sudah biasa dengan keadaan sesak di lebuhraya itu. Dulu sebelum berkahwin dengan Safiya, jalan inilah yang selalu digunakan untuk berulang-alik dari rumahnya ke tempat kerja yang terletak di Petaling Jaya. Hanya selepas dia berkahwin dan berpindah ke kawasan berhampiran tempat kerjanya, tidak perlu lagi untuk dia menempuh keadaan sesak seperti ini setiap hari.

Tiga puluh lima minit berlalu, akhirnya kereta Izzul sudah berada di hadapan bangunan syarikat milik keluarga rakannya itu. Dilihatnya Irish di sebelah sudah tergesa-gesa untuk keluar.
“Along, Irish pergi dulu. Doakan, ya.”

Irish menghulurkan tangan untuk bersalaman sebelum keluar dari kereta. Seperti biasa Izzul menyambutnya lalu menyentuh kepala adiknya itu lalu dikucup perlahan. Memang itulah yang lazim dilakukan pada kesemua adik-adiknya sejak kecil dahulu.

Goodluck! Dah selesai nanti call along.” Pesan Izzul sebelum Irish menutup pintu. Baru beberapa langkah Irish beredar pergi, dia memanggil semula adiknya.

“Irish!”

Langkah gadis itu terhenti, lalu dia berpaling semula.

“Jangan lupa pesan umi. Selawat!”

Irish mengangkat tangannya lantas tersenyum. “Yes, sir!”

Gadis itu meneruskan langkah semula menuju ke arah bangunan di hadapan. Jam di tangan kirinya dikerling lagi. ‘Ishh! Dah lambat ni!’ rungutnya dalam hati. Langkahnya dipercepatkan. Kepalanya tunduk memerhati tiap gerakan kaki yang diatur.

“Aduh!” Irish terjerit kecil apabila bahunya berlanggar dengan seseorang. Fail di tangan juga lansung terlepas jatuh ke bawah. Bahu yang terasa sengal dipegang.

‘Asal aku nak cepat je mesti time nilah nak berlanggar dengan orang, kan!’ ngomel gadis itu sendiri. Failnya yang terjatuh tadi diambil semula sebelum dia menghadap orang yang dilanggarnya.

“Maaf.”

Irish tertunduk mengucapkan kata maaf itu sambil meneruskan langkah tanpa memandang wajah tersebut. Dirinya benar-benar hendak cepat. Dan lelaki tadi pula hanya merenung Irish yang terus berlalu tanpa melihat ke arahnya.

‘Tak cukup handsome agaknya aku ni sampai dia tak nak pandang!’ detik hatinya.

        Lelaki itu kemudian berpaling dan mengorak langkah kembali. Kacamata ‘Ray Ban’ hitam dikenakan semula sambil kuntum-kuntum senyum mula menghiasi wajahnya.     


SEBAIK melangkah ke dalam bangunan itu, terpampang nama Haiyan Holdings Sdn Bhd di hadapan mata. Dapat dirasakan nama yang cukup gah itu segah bangunan tempat dia berpijak sekarang. Kemodenan dan kecantikan bangunan tersebut membuatkan dirinya terpegun seketika melihat.

“Assalamualaikum, cik. Boleh saya bantu?”

“Hmm?”

Sapaan gadis yang berada di ruang penyambut tetamu itu sedikit mengejutkan Irish. Tidak sedar entah bila dia sudah berada di hadapan kaunter tersebut.

“Boleh saya bantu cik?” soal gadis itu lagi sambil tersenyum.

“Err... ya, ya. Saya datang untuk temuduga hari ini.”

“Cik ada bawa surat?”

“Oh, ada. Sekejap ya,” Irish membuka begnya mencari surat tawaran temuduga yang diberikan oleh Izzul tempoh hari. “Ini dia.”

Gadis penyambut tetamu itu menyambut huluran surat tersebut lalu membukanya. Setelah selesai membaca, dia melipat kembali dan menyerahkan kepada Irish.

“Sila ikut saya, cik.”

Irish mengangguk dan mengikuti sahaja langkah gadis itu sehingga ke lif. Sesaat dua, pintu lif terbuka dan gadis itu melangkah masuk diikuti Irish. Kesempatan yang ada tidak dilepaskan  Irish untuk terus menghayati setiap inci keindahan serta kecantikan binaan bangunan tempat dia berpijak sekarang ini. 

Ting! Pintu lif terbuka setiba di tingkat tujuh.

“Silakan, cik.” Gadis itu mempersilakan Irish keluar. Dari jauh jelas kelihatan tulisan ‘Human Resource Department’ menandakan tingkat tersebut adalah khas untuk Jabatan Sumber Manusia. Di sinilah mungkin dirinya akan ditemuduga. “Cik boleh duduk di sini dahulu. Sebentar lagi ada staff yang akan datang uruskan temuduga untuk hari ini.”

“Terima kasih,” ucap Irish sebelum gadis itu meminta diri dan berlalu pergi.

Irish duduk di sofa yang disediakan di ruangan itu. Kelihatan ada beberapa lagi calon yang turut berada bersama untuk temuduga tersebut. Melihatkan keadaan di sekeliling pejabat itu membuatkan Irish menarik nafas sedalam-dalamnya. Matanya turut dipejamkan. Teringat malam tadi dia sempat mencari laman web syarikat ini untuk mengkaji serba sedikit tetang profilnya. Apa yang diketahui, Syarikat Haiyan Holdings Sdn Bhd merupakan milik bumiputera sepenuhnya di mana ia merupakan syarikat pembinaan kelas A, menerima projek membina bangunan tinggi dan projek yang bernilai lebih RM10 juta. Ia telah diasaskan oleh Tengku Haiyan sendiri, iaitu pemilik syarikat ini. Selain itu Haiyan Holdings juga mempunyai beberapa buah anak syarikat dibawahnya yang menguruskan projek-projek berkelas sederhana yang nilainya tidak mencecah hingga puluhan juta ringgit.

Irish mengeluh. Serasa seperti dia tidak layak untuk berkhidmat di syarikat besar seperti ini. Dapat dirasakan jantungnya sudah bertukar rentak. ‘Betul ke apa yang kau buat ni, Irish?’ Bicaranya sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Assalamualaikum, semua. Dan selamat pagi.”

Suara lelaki yang muncul secara tiba-tiba itu mengejutkan Irish dari lamunan. Seraya itu matanya dibuka dan mencari arah datangnya suara tersebut.

“Selamat datang ke syarikat Haiyan Holdings Sdn Bhd. Sebentar lagi anda semua akan ditemuduga. Jadi saya harap anda telah bersedia. Tapi sebelum itu staff saya akan berikan borang maklumat diri untuk anda isi. After filled up, make sure you submit back to her. So guys, saya ucapkan selamat berjaya. Jumpa anda semua di dalam nanti.”

Lelaki itu menyudahkan kata-katanya dengan menghadiahkan sebuah senyuman manis. Lembut dan tenang saja suaranya. Sut hitam yang dipakainya menambahkan lagi karismanya sebagai salah seorang pegawai di situ, mungkin. Kemudian dia beredar masuk ke salah sebuah bilik yang terdapat di situ.

Okay. Saya akan edarkan borang ni dan anda semua boleh terus isi, ya!” ujar wanita
 bertudung yang mungkin merupakan pekerja di bahagian sumber manusia ini sambil tersenyum.

‘Memang orang kat sini semua suka senyum agaknya. Hmmh... tak apalah. Sekurang-
kurangnya turun sikit rasa gemuruh aku ni.’ Irish cuba menyedapkan hati sendiri.

Setelah memastikan kesemua borang calon-calon diserahkan semula, sesi temuduga itu pun bermula tepat pukul 9.15 pagi. Seorang demi seorang calon dipanggil masuk ke dalam bilik, membuatkan Irish semakin gelisah. Cuba ditenangkan hatinya dengan berselawat seperti mana yang dipesan oleh umi serta alongnya tadi. Selang beberapa minit kemudian, nama Irish dipanggil. Lantas dia bangun dan berjalan menuju ke bilik temuduga. Sampai di hadapan pintu dia berhenti seketika. Menitipkan sedikit doa diikuti lafaz Bismillah. Perlahan tombol pintu dipulas dan kaki kanannya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

“Assalamualaikum.” Irish memberi salam melihatkan ketiga-tiga penemuduga di bilik itu berbangsa Melayu kesemuanya. Salamnya berjawab dan sebuah senyuman telahir di bibir tatkala ketiga-tiga mereka mendongak memandang ke arahnya. Dua daripada mereka lelaki dan seorang lagi adalah wanita.

“Silakan duduk.”

Setelah diberi arahan, barulah Irish mengambil tempat duduk berhadapan dengan mereka bertiga. Salah seorang lelaki di hadapannya itu adalah lelaki yang memberikan taklimat pada calon-calon di luar sebentar tadi. Irish melihat tanda nama yang tertera dihadapan lelaki itu. Tengku Hafiy Daiem Tengku Haiyan.

‘Ini ke Hafiy yang along cerita tu?’ soalnya di dalam hati. Kemudian perhatiannya beralih pula pada wanita yang duduk di tengah-tengah. Tanda nama di depan tertulis Puan Zarina Azman. Nampak agak serius. Berbanding Encik Mikhail Firdaus, lelaki yang seorang lagi di sebelahnya. Raut wajahnya kelihatan agak tenang dan lembut.

“Cik Irish Qiara binti Izzudin.”

Lelaki yang bernama Tengku Hafiy itu menyebut nama penuhnya.      

“Ya saya.”

“Awak lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kewangan dari UiTM Shah Alam?” soal lelaki itu lagi.

“Ya, betul.” Mata Irish tepat memandang ke arah lelaki itu semasa menjawab, walau di
 hati hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gementarnya dia.

Fresh graduated?” tiba-tiba Puan Zarina mencelah dengan suara agak serius, sekaligus melemahkan semangat Irish. Sudah sedia maklum kebanyakan syarikat kurang berkeyakinan untuk mengambil graduan lepasan Ijazah sepertinya. Tiada pengalama kata mereka.

“Err... betul. Saya baru graduated Disember tahun lepas. Baru ingin mencari pengalaman
 jika diberi peluang,” teragak-agak Irish menjawab pertanyaan tersebut sambil menunduk.

“Awak takut ke, Cik Irish?”

“Hmm?” pertanyaan itu membuatkan Irish sedikit kalut. Serta-merta dia memandang ke arah Puan Zarina.

Melihatkan wajah gadis di hadapannya itu sedikit pucat, barulah kali ini Puan Zarina mempamerkan senyuman. “Janganlah takut. Tenang je. Saya tak makan orang. Muka saya memang macam ni. Nampak garang, Tapi dalam hati, ada baik!” ujarnya sedikit bergurau.

“Jangan risau, Cik Irish. Puan Zarina ni saja je nak gertak awak.” Baru kini kedengaran suara Encik Mikhail, membuatkan mereka di dalam bilik itu tertawa.

“Oh, tak mengapa.”

Irish menarik lafaz lega melihatkan keadaan kembali tenang dan terkawal. Sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam dirinya.

Okay. Tengok awak pun dah tenang sikit. So, bolehlah kita mulakan sekarang. Baik, Cik Irish. First of all please introduce yourself to us,” pinta Tengku Hafiy memulakan sesi temuduga bersama Irish. Baru beberapa minit dia bersemuka dengan gadis di hadapannya ini, dia merasakan hatinya mula tertarik dengan personaliti serta perwatakan Irish. Sikapnya yang kelihatan merendah diri juga tingkah laku gadis itu yang tampak lembut dan sopan membuatkan dia selesa dan senang. Seperti ada satu tarikan pada Irish yang membuatkan dia teringat pada seseorang. Memasang harapan agar pertemuan ini bukanlah yang terakhir, dia ingin memberi peluang sekaligus membimbing gadis itu untuk berkhidmat di syarikat ini. Tetapi dia sedar keputusan bukan terletak di tangannya seorang.

Sesi temuduga Irish berjalan lancar hingga ke akhirnya. Dia yang pada awalnya agak tidak yakin dengan kebolehan diri-sendiri, mengubah persepsi itu setelah temuduga tersebut berakhir seperti yang diharapkan. Tidak terjangka olehnya yang dia boleh melakukan semua itu dengan baik sekali. Dan sepanjang kakinya melangkah keluar dari bangunan tersebut, kuntuman senyum tidak putus-putus lahir di wajahnya. Dengan lafaz syukur dan hati yang lapang, dia berharap moga usahanya ini akan membuahkan hasil.

         

BAB 5 : BAYANGAN GURAUAN





I
RHAN mengetuk pintu bilik Irish setelah disuruh oleh Izzul untuk memanggil kakaknya itu. Dalam hati tertanya-tanya mengapa alongnya ke sini pagi-pagi Sabtu begini. Biasanya Sabtu petang atau malam baru lelaki itu pulang bersama keluarganya. Itu pun jika ada kelapangan.

“Ya Irhan, ada apa?” 

            “Along panggil akak.”

         “Hmm? Along? Eh! Kenapa pulak along datang pagi-pagi ni?” Irish sedikit terkejut. Jam di dinding dikerling sekilas. Waktu baru menjangkau pukul 8.00 pagi ketika ini.

            “Tak tahulah. Adalah tu hal penting dia datang nak jumpa akak.”

            Irish termenung seketika memikirkan hal apa yang begitu penting hingga membuatkan Izzul datang ke mari dalam waktu sebegini.

         “Hey! Termenung pulak dia. Cepatlah! Along dah tunggu tu!” Irhan menepuk kedua belah tangannya di hadapan muka Irish bila melihatkan tiada reaksi dari kakaknya itu.

            “Yelah, yelah. Kalau ya pun janganlah terkejutkan orang macam tu.”

            “Habis, dok termenung kat situ buat apa? Orang dah tunggu dia dari tadi.”

            Irish mengikuti langkah Irhan menuju ke daput. Kelihatan Izzul sedang bersembang dengan kedua orang tua mereka sambil menjamah sarapan pagi. Adik bongsunya, Irfan yang menuntut di UiTM Melaka tiada di rumah ketika ini disebabkan semester baru telah bermula.  

        “Along, dari mana? Dah lama sampai?” tanya Irish sambil menyalami lelaki itu lalu melabuhkan duduk di kerusi antara Izzul dan Irhan.

            “Baru je tadi. Dari rumah terus ke sini.”

            “Oh! Irhan kata along datang nak jumpa Irish. Ada apa, ya?”

            “Kata dah start cari kerja. Dah ada yang bagi jawapan?”

            “Adalah jugak. Tapi kebanyakan offer bahagian sales and marketing. Tak berminatlah.”

       “Hmm.... kesianlah company-company tu long kalau Kak Irish yang jadi marketing officer diorang! Bukan tak tahu kakak ni macam mana. Nak buka mulut dengan orang yang baru dia kenal pun susah, ni nak promote kat orang yang dia tak kenal? Memang tak jalanlah jawabnya!” tingkah Irhan membuatkan ketawa yang lain berderaian.

            “Tak apalah. Mungkin belum rezeki Irish.” Encik Izzuddin bersuara memujuk anaknya.

            “Yang tu bukan rezeki Irish. Tapi yang ini Insyaallah rezeki Irish mungkin,” ujar Izzul sambil menghulur sampul surat berwarna putih kepada Irish.

            “Surat apa ni, long?”

          “Kan along ada cakap nak tolong surveykan kerja untuk Irish. Lepas Irish bagi resume kat along hari tu teruslah along tanyakan kat kawan-kawan dengan client-client kalau ada vacancies kat company diorang. Lupalah tu!”

            Seraya dia menoleh pada Izzul sambil tersenyum. “Sorry! Lupa langsung!”

         “Memang pun!” Izzul menumbuk lembut pipi Irish. “Ni syarikat terawal yang bagi jawapan. Yang terawal jugak bagi surat suruh datang interview. Hari ni dengan esok along tak ada. Nak balik JB sebab sepupu Kak Long kahwin. Next week pulak along kena outstation empat hari, Khamis sampai Ahad. Ni yang along datang pagi-pagi nak bagi surat ni sebab interview ni hari Isnin minggu depannya. Takut tak sempat pulak nanti.”

            “Syarikat mana ni, long?” tanya Irish yang masih meneliti surat tersebut.

        “Syarikat keluarga kawan along masa kat U dulu. Kebetulan memang company along client tetap dia. So, sambil menyelam minum airlah!”

            “Kat mana tu, long? Jauh ke?”

            “Kat PJ jugak, umi. Umi tak payah risaulah. Along ada dekat-dekat situ je.”

            “Habis Irish nak pergi interview tu dengan siapa? Tahu ke tempatnya?”

            “Tak apa. Nanti hari Isnin tu along minta cuti, umi. Bolehlah along tolong hantarkan.” Izzul terlebih dahulu menjawab bagi pihak Irish. “Okaylah, along gerak dulu. Takut lambat nanti sampai kampung Fiya. Ha Rish, jangan lupa prepare mana yang patut sebelum interview nanti. Ni je yang along dapat tolong. Selebihnya kenalah usaha sendiri. Buatlah solat hajat sekali,” nasihat Izzul pada Irish sambil menyalami semua ahli keluarganya sebelum bergerak pulang.

           “Insyaallah. Terima kasih, long.”

          “Tak ada apalah. Bukan untuk orang lain pun. Untuk adik along jugak.” Izzul mengusap kepala Irish sebelum memeluk bahu gadis itu. Tidak tahu mengapa sejak kejadian dulu, rasa sayang dan tanggungjawab pada Irish serasa bertambah baginya. Bukan pada adiknya yang lain dia tidak ambil berat. Iman dan Irma sudah pun berkahwin dan bersuami manakala dua adik lelakinya sudah semakin dewasa. Mungkin kerana Irish perempuan dan tiada tempat mengadu selain ahli keluarga. Lebih-lebih lagi adiknya itu seorang yang pendiam.

      “Along minta diri dulu. Assalamualaikum!” laung Izzul dari dalam keretanya sambil melambaikan tangan dan terus bergerak keluar dari halaman rumah kedua orang tuanya itu.


JAM di pergelangan tangan ditatap sekali lagi. Hampir ke pukul 2.30 petang. Sudah setengah jam dia duduk menunggu di bangku tepi tasik ini. Namun bayang Athirah masih tidak kelihatan. Malam tadi gadis itu menelefon mengajaknya keluar petang ini memandangkan sudah lama tidak berjumpa. Kali terakhir adalah sewaktu mereka keluar selepas tamat peperiksaan tempoh hari.


“Hai, Ira ni. Janji pukul 2.00. Ni dah 2.30 batang hidung pun tak nampak lagi. Takkan tertinggal kad matrik lagi kut!” Irish mengomel sendirian.

“Irish!”

Gadis itu menoleh bila seseorang menepuk bahunya dari belakang. “Ira! Kau kalau tak kejutkan aku dari belakang, tak boleh ke? Dahlah lambat!”

Sorry, sorry! Aku terlewat bangun tadi. Sorry!”

            “Hmm. Ingatkan terlupa ada date hari ni.”

         “Ishh, mana boleh lupa! Aku tidur lambat malam tadi. Eh, bukan malam! Lepas solat Subuh baru aku tidur. Tu yang terlewat sedar. Bangun-bangun dah pukul 1.30 petang. Apalagi! Macam lipas kudunglah jawapnya!”

            “Kau buat apa sampai lepas Subuh baru tidur? Ingatkan time belajar dulu je stay up.”
           “Aku buat surat dengan resumelah. Cari kerja. Kan aku baru balik dari kampung Jumaat lepas. Sambil-sambil tu chattinglah. Manalah tahu kut tersangkut sorang dua...,”

“.... yang boleh buat calon. Kan?” belum sempat Athirah menghabiskan ayatnya, Irish sudah terlebih dulu menyambung. Athirah hanya tersengih di hadapan rakannya itu. 

So dah dapat belum?” soal Irish.

“Dapat? Dapat apa?”

“Calon suamilah.”

“Adalah dalam dua tiga orang.”

“Hmm? Biar betul! Takkan sampai dua tiga orang kut?!”

“Tak apalah. Kalau yang sorang dah jadi steady boyfriend, yang lain boleh buat spare part. Kalau tak okay, tukar yang lain. Kan senang!” seloroh Athirah.

            “Kan? Lepas tu, kalau diorang dapat tau, then kejar kau, macam mana?”

            “Apa lagi? Main kejar-kejarlah!”

        Serentak itu ketawa Athirah pecah. Seronok benar nampaknya gadis itu dengan jenakanya. Namun tidak sedikit pun mencuit hati Irish.

            “Alaa... relaxlah, Rish. Nanti ada lebih, bolehlah aku past kat kau.”

            “Hmm... tak payahlah. Simpan jelah buat spare part kau.”   

            “Apa salahnya? Kau pun bukannya ada boyfriend dari dulu. Kan?”

Irish hanya terdiam. Perlu ke dia menjawab? Hatinya bagaikan meronta-ronta ingin membalas kata-kata itu. Namun akal warasnya menghalang dari berbuat demikian. Dia tidak menyalahkan Athirah walaupun hakikatnya dia agak sedikit terasa. Sepanjang belajar, memang dia tidak pernah bercerita kisah peribadi pada kawan-kawan. Baginya bila berada di  universiti, hal yang berkaitan adalah tentang pelajaran sahaja. Hal peribadi tiada kaitan lansung.

            “Dahlah. Tak nak cerita pasal tu. So, kau dah dapat panggilan interview belum?”

            Athirah mengeluh perlahan. Faham benar dia yang Irish pasti akan menukar topik jika hal berkaitan lelaki diutarakan. “Belum lagi.”

            “Tak apalah. Mungkin belum ada rezeki kau.”

            “Kau?” soal Athirah.

            “Dah.”

            “Serius?? Bila?”

            “Lagi seminggu.”

“Ya ke? Kat mana? Company apa?” bertalu-talu soalan Athirah pada Irish. Begitu teruja dia bila mengetahui rakannya itu sudah mendapat panggilan temuduga. Sedangkan dia baru sahaja ingin mencari.

        “Kat PJ. Ni pun along aku yang tolong recommendkan. Company keluarga kawannya. Kira client dia jugaklah.”

            “Wah! Bolehlah kau ngorat kawan abang kau tu!”

            “Tak ada maknanya. Entah-entah dah kahwin.”

            “Alaa... kalau abang dah kawin, adik mesti ada!”

            “Dah! Tak payah! Ingat aku macam kau, dua puluh empat jam asyik fikir pasal lelaki je.”

            “Jangan. Masin mulut aku ni nanti, baru kau tahu!” Athirah masih tidak mahu mengalah.

          “Tak payah nak beranganlah, Cik Athirah. Daripada melayan kau, lebih baik aku jalan-jalan kat tepi tasik tu. Cari makanan ke. Lagi bagus. Dahlah datang lambat. Dia yang ajak dating, dia yang lambat!” Irish sudah bangun dari bangku duduknya.

“Yelah, yelah. Aku yang salah! Okay, aku diam!”

Athirah turut bangun dan terus memaut bahu Irish sambil menunjukkan isyarat mengunci mulut, membuatkan ketawa Irish terburai jua akhirnya. Memang begitulah gelagat mereka apabila berjumpa. Ada sahaja yang dibahaskan. Selalunya Athirahlah yang kuat menyakat Irish. Dan apabila Irish mula marah atau merajuk, pasti gadis itu akan memujuk dengan lawak jenakanya.