EDIAMAN Encik Izzuddin sudah dihimpuni
sanak-saudara serta jiran tetangga. Tak menang tangan bergotong-royong
mempersiapkan majlis yang akan berlangsung beberapa jam lagi. Sesibuk mana
mereka, sibuk lagi Encik Izzuddin sekeluarga menguruskan segalanya.
“Okey, done!”
Dalam masa hampir dua jam, Irish selesai didandan oleh jurusolek sepenuhnya.
“Irish boleh tengok cermin. Kalau ada yang tak okey beritahu akak.”
Susuk lampai itu melihat bayangan diri pada cermin panjang di sudut bilik.
Dalam busana pertunangan berwarna ash blue, juga solekan di wajah, dia terkaku.
Seperti bukan melihat dirinya. Sangat lain!
“Irish? Kenapa? Ada yang tak okey ke?” Kak Zira menyentuh bahu gadis
tersebut.
“Eh... okey, Kak Zira. Cuma terkejut. Macam bukan tengok diri sendiri.”
“Orang kalau tak pernah make-up, memang naik serilah bila dah kena touch-up.
Irish memang dah cantik. Pakai apa pun, mestilah lagi nampak cantik!” wanita
itu dekatkan pipinya ke pipi Irish. “Akak beransur dulu, ya. Ada event
lain. Tahniah, for your engagement!”
Sunyi setelah Kak Zira pergi. Di hujung katil, gadis itu merenung barang-barang
hantaran yang tersusun rapi. Macam tak percaya segala yang berlaku hari ini.
‘Ini keputusan yang kau ambil, Irish. Tak mungkin kau dapat patah balik.
Teruskanlah. Demi orang-orang yang kau sayang...’
Terasa air hangat bergenang di hujung tubir. Segera diseka, tak mahu
solekannya rosak gara-gara terlebih emosi.
“Hai, cik adik manis.”
“Ira!”
“Aaaa!!!” deras langkah Athirah menerpa ke susuk di birai katil. Dipeluk tubuh
itu erat-erat. “Rindunya aku kat kau, Irish!”
“Aku rindu kau juga.”
“Betul ke ni kau, Irish?”
“Betullah. Asal?”
“Kau nampak lain. Cantik sangat-sangat. Dengan baju ni... marvellous!
Aku yang perempuan pun cair tengok!”
“Ada ajelah kau, Ira. Bila sampai?”
“Baru tadi. Eh, kau tak cakap awal-awal pun nak bertunang, kan? Dahlah baru
beritahu, call pula tu! Memang tak patut betullah kau, Rish!”
“Maaflah, Ira. Aku tak ada niat pun nak sorokkan hal ni. Aku tahu kau mesti
terkejut.”
“Mahunya tak terkejut? Hari tu kau cakap keluarga Tengku masuk meminang. Minta
tempoh bagi jawapan. Lepas tu tak update apa-apa langsung dengan aku pun,
kan? Tup-tup... hari ni bertunang. Apa kes?”
“Aku bukan tak nak beritahu. Tapi, kau pun tahu kan situasi aku. Semua ni
bukan kehendak aku,” suara Irish mula
bergetar.
“Wei, aku main-main ajelah. Kau tak payahlah nak emosi sangat! Aku okey
aje. Dan, aku faham situasi kau. Dah... tak payah nak sedih-sedih. Habis rosak make-up
tu nanti!”
“Kak Irish.”
“Ya, Irfan. Ada apa?”
“Kawan-kawan akak sampai.”
“Kawan?”
Irfan berkalih tempat. Susuk seorang gadis melangkah masuk dalam senyuman.
“Hai, Cik Irish.”
“Insyirah?”
Seiring... Natasya menyusul dari belakang diikuti Zaryn, Farisya, Elaine
dan akhir sekali Kak Maisarah mendukung anak kecilnya.
Riuh suasana dalam bilik. Hanya beberapa minit bertemu, Athirah sudah mesra
dengan teman-teman sepejabat Irish. Menjalin ikatan persahabatan baru di antara
mereka.
KETIBAAN rombongan Tengku Haiyan disambut meriah.
Segak, cantik, bergaya dalam busana sedondon biru gelap menjadi tema. Dulang
hantaran kedua belah pihak tersusun rapi di hadapan pelamin kecil nan indah.
Bacaan doa membuka tirai majlis. Sesi perbincangan menyusul acara. Keluarga
Irish diwakili abang Encik Izzuddin, sementara keluarga Tengku Harrys diwakili
Tengku Arham. Suasana tenang dan lancar mengiringi sepanjang perbincangan.
“Pssttt! Kau okey ke?”
Hujung mata Irish melirik. “Nampak macam tak okey ke?”
“Muka kau resah semacam dari tadi. Asal?”
“Nervous kut.”
“Kalau iya pun janganlah tunjuk sangat. Cuba senyum sikit. Kasihan kat abang
cameraman tangkap gambar tu. Tak fasal-fasal esok viral cerita seorang
gadis dipaksa bertunang. Kau nak?”
“Jangan buat lawak, Ira. Nanti aku dah ketawa, kau juga yang susah.”
“Okey, okey. Aku diam!”
Hampir satu jam, majlis tiba ke penamat. Kata sepakat sudah dicapai, janji padu
telah termeterai. Upacara menyarung cincin diteruskan, tanda menyimpul ikatan dua
hati dalam sebuah penyatuan.
Penuh tenang Tengku Dafina menyempurnakan sarungan cincin pertunangan. Kerlipan
lensa-lensa kamera memenuhi segenap sudut ruang pelamin. Mengabdikan segala momen
manis yang berlaku ketika ini.
Dengan tersematnya cincin emas putih bertakhtakan batu permata biru di jari
manis Irish, rasmilah gadis itu kini bergelar tunangan kepada Tengku Harrys.
“ALHAMDULILLAH... selamat sudah semuanya,
Izzuddin.”
“Syukur alhamdulillah, Tengku. Majlis
pun berjalan tenang dan lancar. Maaf andai ada yang terkurang dengan majlis
tadi. Itu saja termampu saya sekeluarga lunaskan.”
“Tak ada apa yang kurang, Encik
Izzuddin. Cukup serba-serbi semuanya. Saya nak ucap terima kasih pada Encik
Izzuddin dan Kak Ina sekeluarga dah bersusah-payah untuk majlis siang tadi.”
“Tak ada apa nak diterima kasih,
Fina. Dah jadi tanggungjawab kami. Fina sekeluarga yang banyak sediakan. Kami
hanya jalankan saja. Yang penting... dah selesai niat murni kita.”
“Ya, Kak Ina. Tinggal tunggu majlis besarnya saja!” Tengku Dafina
berseloroh ceria.
Bersimpuh di lantai bersama adik-beradik, ipar-duai serta anak-anak buahnya...
Irish hanya memasang telinga mendengar perbualan berkenaan.
Siang hari berlangsung majlis, malam ini pertemuan dua keluarga berkumpul
secara privasi. Sebagai merai tali pertunangan yang selamat dimeterai, jua ukhuwah
dua buah keluarga yang baru terjalin.
Gadis itu angkat muka. Sesusuk figura dipandang dari kejauhan. Siang tadi
kelibatnya langsung tak kelihatan. Masih berpegang pada adat budaya Melayu, bila
majlis pertunangan diadakan, si lelaki tak dibenarkan hadir sepanjang majlis
dijalankan.
Dalam leka memerhati, tanpa sangka wajah itu menoleh. Pandangan Irish dibalas.
Bertahan sepuluh saat... gadis tersebut tertunduk mengalah. Senyuman kecil tercoret
di hujung bibir merah berkenaan. Bening redupnya turut beralih ke lantai.
Hari-hari semalam dia memandang Irish dengan pandangan yang sangat jauh. Seumpama
tak dapat digapai bintang yang beribu batu jaraknya.
Tapi malam ini, pandangannya terasa sangat dekat. Pandangan terhadap seseorang
yang kini sudah bergelar tunangan. Umpama mimpi.
‘Mungkinkah aku bermimpi? Hati yang
selama ini aku bina tembok untuk menghalang cinta dan perempuan dari menembusi
sudah semakin goyah hari ke hari. Apa maknanya?’
“Maknanya hati kau sudah tewas, Harrys! Tewas pada cintanya!”
Suara-suara halus sanubari menjeritkan jawapan.
“Hello, everyone!”
********** TO BE CONTINUE IN OTHER VERSION **********
** ASSALAMUALAIKUM.....
Selamat petang & Salam Jumaat buat semua pembaca yang dikasihi...
Syukur Alhamdulillah.. It’s been confirmed Bayangan Gurauan akan terbit pada Januari 2017 by Alaf 21 / Karangkraf.. Jadi kiranya ini adalah Teaser terakhir (BAB 39 ~ BAB 42) untuk updated version BG di blog ini.. One thing saya nak maklumkan, versi updated yang telah diupload dari awal hingga ke hari ini mungkin akan sedikit berlainan dengan versi cetak yang keluar nanti selepas proses edit terakhir pihak Editor..
Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama 3 tahun ini.. Bermula awal tahun 2014 ia bertemu pembaca di sini.. Dan sebagai menghargai kesabaran anda, akan saya berikan beberapa ‘Teaser Istimewa’ BG di blog ini, di Facebook, di Ilham Karangkraf, and few more social networks bermula minggu hadapan sehingga ia terbit nanti.. So, NANTIKAN.....
#terimakasihdarilubukhati #sayasayangpembacasemua