Friday, November 4, 2016

BAB 38 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







O
  
  OKEY, kau orang! Makanan dah sampai!” Zaryn muncul membawa dulang bersama Natasya dan Elaine. Set hidangan McDonald’s diagih-agihkan mengikut pesanan masing-masing.

“Kalau lunch makan burger okey juga, kan? Boleh diet sikit. Tak adalah hari-hari makan nasi.”

            “Habis kau ingat makan burger ni tak gemuklah, Zaryn?” sanggah Natasya.

       “Entah . Kalau dah selalu makan macam ni, makin dipam-pamlah badan gamaknya!” Kak Maisarah mencelah.

            “Tak apa! Nanti I bagi you all minum produk ginseng I. Confirm tak gemuk!”

“Isk... kau ni, amoi! Tak habis-habis dengan ginseng kaulah!”

           “Eh... mestilah, Isya. Makan, makan juga. Kesihatan kena jaga juga, maa!”           

Masing-masing berselera menjamah makanan. Cuma Irish tak sedemikian. Rakan-rakannya bersembang ceria dan bergelak sakan, dia hanya menyepi tanpa sepatah perkataan.

            “Cik Irish. Cik Irish okey ke? Dari tadi diam, kenapa?” soal Insyirah.

            “Ha’ah, Cik Irish. Senyap aje tak keluar suara? Cik Irish ada masalah ke? Kalau sudi, ceritalah dengan kita orang. Mana tahu kita orang boleh tolong.” Natasya bertanya sama.

            Irish telan liur. Tiap pasang mata terpasung tepat kini padanya. Hati semakin direnggut rasa bersalah. “Err... macam mana saya nak cakap, ya?”

            “Kenapa, Cik Irish? Cakap ajelah. Kita orang dengar ni,” pinta Kak Maisarah.

            “Sebenarnya... ada benda saya nak beritahu. Fasal majlis tunang Tengku Harrys.”

            “Oh... kalau fasal tu kita orang memang dah tahu, Cik Irish!” akui Zaryn.

            “Betul. Tengku sendiri beritahu saya. Kai Mai pun Tengku Hafiy ada sampaikan.” Natasya menambah. Masakan dia tak tahu bosnya bakal melangsungkan pertunangan.

            “Tapi... bukan itu yang saya nak beritahu.”

            “Kalau bukan fasal tu, fasal apa Cik Irish? Cik Irish buat kita orang suspenslah!” tingkah Farisya.

“Yang saya nak beritahu ni... dengan siapa Tengku Harrys akan bertunang.”

            “Kenapa? Cik Irish tahu ke siapa bakal tunang Tengku tu?!” laju mulut Zaryn menyoal.    “Ya, mey! You tahu ke siapa gadis bertuah tu, Cik Irish?” Elaine ikut mencelah.

            “Se... sebenarnya... sebenarnya... err...,” suara Irish tersekat-sekat. Terasa payah mulut mahu merungkai rahsia yang selama ini tersimpan selamat.


“Cik Irish?” Insyirah menyentuh bahu ketuanya.

            “Sebenarnya... bakal tunang Tengku Harrys tu..., sa... saya.”

            “Hah??!”

Seisi meja melopong tercengang. Mata membuntang. Terkejut, tak sangka, tergamam.

            “Biar betul ni, Cik Irish?!” Kak Maisarah ingin kepastian.

            “Saya minta maaf sebab rahsiakan hal ni dari semua. Bukan saya tak nak berterus-terang. Tapi... banyak sebab yang buat saya terpaksa simpan.”

            “Ha!” Zaryn tepuk meja. “Kan betul aku cakap! Cik Irish dengan Tengku Harrys memang ada apa-apa, kan? Pandai Cik Irish simpan. Sampai kita orang boleh tak tahu!”

            “Itulah. Terkejut betul akak. Tak sangka gadis yang kita dok sibuk-sibuk cakap selama ni ada aje depan mata. Nasib baik tak gugur jantung ni dibuatnya!”

“Ya ALLAH! Malunya aku!” Zaryn menekup muka.

            “Yang kau ni dah kenapa, Ryn?” 

            “Yalah, Isya! Selama ni aku punyalah tangkap syok kat Tengku Harrys tu. Rupanya aku dok syok kat boyfriend Cik Irish. Aduh! Malu, malu!”

            “Samalah! Tapi I tak kisah pun. I rela lepaskan Tengku Harrys kat you, Cik Irish!”

            “Awak semua tak marah saya?”

            “Eh, buat apa nak marah? Cik Irish buat macam tu bersebab, kan? Kalau saya pun mesti akan buat yang sama. Kalau tak, hermm... alamat histerialah satu Haiyan!” gurauan Natasya mengundang tawa mereka. “Tapi saya salutelah. Saya secretary Tengku Harrys pun tak dapat nak hidu!”

“Maaf semua. Saya betul-betul tak ada niat nak sembunyikan hal ni.”

            “Tak ada hal pun, Cik Irish! Kita orang okey aje. Err... Cik Irish tak nak jemput kita orang ke majlis tu nanti ke?” tanya Insyirah.

            “Sebab tu saya nak berterus-terang hari ni. Jemputlah semua ke rumah saya Sabtu ni. Cuma buat majlis biasa aje.”

“Biasa-biasa pun I confirm majlis Cik Irish akan meletup nanti, mey!”

“Tak kisahlah macam mana pun majlis tunang Cik Irish dengan bos saya nanti. Yang penting... saya nak peluk Cik Irish. Sebab saya dah cakap kalau jumpa gadis bertuah tu, saya nak peluk dia kuat-kuat dan ucap tahniah sebab dah kalahkan minah saleh celup tu! Dan... tahniah menjadi satu-satunya gadis yang berjaya cairkan hati bos saya yang beku tu!”

Natasya bangkit meluru ke arah Irish. Tubuh itu dipeluk erat dari belakang. Seiringan, yang lain menyusul tanpa pedulikan mata-mata keliling yang menyaksi ‘drama percuma’ ketujuh-tujuh sahabat tersebut.



PENUH teliti tangan itu mengemaskini gubahan hantaran di ruang utama vila. Baru petang tadi diambil di butik pengantin D’Sara bersama anak bongsunya. Belah Irish pula akan dihantar pada hari pelamin pertunangan dipasang di rumah gadis berkenaan.

            Krekkk.

            Pintu utama terkuak. Sesusuk kelibat muncul di balik daun pintu.

“Baru balik, Rys?”

“Hmm.” Lelaki itu melabuh duduk atas hamparan permaidani baldu... menghadap mama, adik serta kakak iparnya. “Papa dengan abang belum balik?”

“Belum lagi. Biasalah kalau dah event makan malam, memang lambatlah baliknya. Kamu pun lewat balik hari ni? Banyak kerja ke?”

            “Harrys baru balik dari Melaka.”

            “Melaka? Buat apa ke sana?”

            “Papa minta Harrys jenguk site kat sana.”

“Pergi seorang?”

            “Tak adalah. Berdua.”

            “Dengan siapa?”

            Tengku Harrys mendiam. Tak tahu bagaimana reaksi wanita di depan bila tahu dengan siapa dia pergi. Bening redupnya terus leka menatap kaca TV.

            “Eh, senyap pula dia! Dengan siapa Harrys pergi?”

            Tengku Harrys melirik mamanya sekilas. “Irish.”

            Gerak laku Tengku Dafina terhenti. Bukan dia saja, perhatian Tengku Hazreen dan Helena turut teralih.

            “Amboi! Dating berdua nampak!” Tengku Hazreen mula menyakat.

            “Abang pergi sebab kerjalah.”

            “Sambil menyelam minum airlah tu. Kan, Kak El?”

            Tengku Harrys capai bantal kecil atas sofa. Dibaling tanpa sempat adiknya mengelak.

            “Aduh! Sakitlah, bang!”

“Lain kali buat lagi.”


Tengku Hazreen ketap bibir. Biasa dia dapat mengelak bila Tengku Hazleen atau Tengku Hafiy bergurau begitu. Tapi malam ini nasibnya tak baik dengan Tengku Harrys.

            “Sudahlah tu! Kamu ni, Reen... tak ada Abang Hafiy, dengan Abang Harrys pula kamu nak menyakat.”

            “Abang Rys nilah, ma. Tiba-tiba nak sentap!”

            “Buat kerja tu. Baik buat kerja tu sekarang,”

Hazreen hanya menurut sebelum bantal lain pula bakal melayang ke mukanya.

            “Harrys dengan Irish macam mana sekarang?”

            “Macam mana apa maksud mama?”

            “Yalah... hubungan Harrys dengan dia?”

            “Alhamdulillah. Baik.”

            “Betul cakap mama dulu, kan? Sanggup ke tak Harrys tolak calon pilihan mama tu.”

            Tengku Harrys tatap raut wanitaseparu humur itu. ‘Kalau Irish bukan calon pilihan mama atau tak bekerja kat Haiyan sekalipun... Harrys tetap akan cari dia. Biarpun hanya bayangnya yang terpaksa Harrys kejar.’

“Jaga Irish baik-baik, Rys. Jangan sesekali lukakan hatinya.”

Ayat itu meluncur keluar dari mulut Tengku Dafina tanpa terduga. Tangan anak bujangnya diraih dan digenggam erat.

            “Insya-ALLAH. Kalau tak ada apa-apa, Rys naik dulu. Badan dah melekit. Nak mandi.”

            Tengku Dafina menghantar anaknya hingga ke atas dengan sebuah pandangan.

            “Ha! Mama tenung apa?” sergah Tengku Hazreen.

            “Isk, budak ni! Tak ada apa-apalah!”

            “Mama tak perasan ke yang Abang Harrys dah berubah sekarang?”

            “Berubah? Apa yang berubah?”

            “Dulu nak tengok dia senyum punyalah susah. Tapi sekarang boleh aje nampak senyuman kat bibir dia tu. Tu satu... ada lagi satu.”

            “Apa yang lagi satu?”

            “Sekarang Abang Harrys dah pandai bergurau nampak!” Tengku Hazreen menayang bantal yang dilempar abangnya tadi.

Tengku Dafina merenung anak gadisnya. Ya... dia juga perasan sama. Adakah perubahan itu disebabkan Irish?

Perasaan wanita itu terasa berbunga-bunga. Bahkan sejak Tengku Harrys maklumkan kepergian ke Melaka hari ini bersama gadis tersebut, hatinya melonjak gembira tak terkata!

 

DIREBAHKAN badannya ke tilam empuk. Menghilang penat setelah memandu jauh. Mujur perjalanan pulang tadi dia dan Irish sempat singgah di masjid, tunai solat maghrib dan isyak.

Irish.

Menyebut nama itu buat nalurinya berkocak. Tak tahu bagaimana cara untuk menyelami hati insan berkenaan. Setiap kali dia ingin mendekati, bagai ada tembok penghalang. Terlalu sukar.

“Ada benda menarik ke kat luar tu?”

Irish menoleh. Gerangan di sebelah masih tenang dengan pemanduannya.

“Apa yang ada kat luar?” sekali lagi Tengku Harrys bertanya. Dari bertolak pergi siang tadi hingga ke waktu pulang saat ini, hanya pandangan luar menjadi tumpuan.

            “Tak ada apa-apa.”

            “Dah tu, dari siang tadi asyik pandang ke sana?”

            Irish tundukkan wajah.

            “Saya tak cukup handsome lagi ke untuk awak pandang?”

            Sekali lagi gadis itu menoleh ke sebelah. Kaget.

            “Jangan tenung lama-lama. Nanti jatuh cinta pula.”

            Arh! Lekas-lekas pandangan dilarikan semula.

Hujung bibir Tengku Harrys tersungging. Volume radio diperlahankan, cuba mencari ruang untuk berbual. Berharap dapat mengenali lebih dekat insan yang sudah boleh digelar sebagai bakal tunangnya.

            “Fikir apa? Dari siang tadi asyik termenung.”

        Lembut suara itu menusuk halwa Irish. Entahlah. Terlalu banyak bermain di fikiran. Lagi-lagi tentang majlis pertunangan. Semakin dekat harinya, semakin berdebar dirasakan.

Yang pasti... dia rasa bimbang. Seakan ada badai bakal mendatang.

            “Fikir fasal majlis?” Tengku Harrys masih tak putus asa untuk berbual.

            “Sikit.”

            “Takut?”

            “Mungkin.”

            “Apa yang awak takutkan?”

        ‘Aku sendiri tak tahu apa yang aku takutkan. Macam mana aku nak beritahu orang?’

“Susah sangat ke awak nak buka mulut untuk saya, Irish? Ini baru nak bertunang. Kalau kahwin nanti, macam mana?” luah lelaki itu akhirnya. 


         Irish kian dipagut resah. Perkataan ‘kahwin’ yang disebut terasa menyesakkan dada. Tersandar dia sudahnya. Dirapatkan pelupuk mata. Buang jauh segala prasangka.

Seminit, beningnya kembali dibuka. “Tengku tak menyesal ke?”

            “Menyesal? Sebab apa?”

            “Keluarga Tengku pilih saya.”

For what reason do I have to feel it so?”

“Banyak.”

So... tell me all those reasons.”

Irish ketap gigi. Kalau dijelaskan, adakah lelaki di sebelah akan mengerti? Adakah penerimaannya akan kekal seperti sekarang ini?

“Atau awak sebenarnya yang menyesal? Menyesal kena bertunang dengan saya?”

“Tengku belum kenal saya.”

“Awak yang tak pernah bagi ruang tu.”

“Kita pun tak pernah bercinta.”

“Itu semua belum cukup untuk dijadikan alasan. Seumur hidup, saya tak pernah bercinta. Tapi saya cuba bagi peluang pada diri untuk terima semua ni. Terima awak.”

“Dan... sampai sekarang masih belum berhasil, kan?”

Irish pandang Tengku Harrys. Lelaki itu terdiam. Tepat seperti jangkaan. Kali ini bibirnya pula menguntum senyuman. Pandangan dihalakan kembali ke luar.

Tengku Harrys lagakan rahang. Bergerak-gerak tulang pipinya menahan geram. Terpukul dengan kata-kata yang dilemparkan.

“Yakin ke awak takkan jatuh cinta dengan saya?”

“Saya takut Tengku yang takkan boleh jatuh cinta dengan saya.”

Tengku Harrys tergelak sinis. “Alright. We’ll see!”

Ding!

Lamunan lelaki itu terhenti. Telefon di sisi katil dicapai. Satu pesanan mesej terlihat di kaca skrin.

Assalamualaikum. Saya minta maaf fasal tadi.       

 

Melihat saja nama pengirimnya, bibir Tengku Harrys tersenyum kecil. Pantas jemarinya membalas.

Waalaikumussalam. There is nothing to forgive. Good night. Sleep tight.

 

Tengku Harrys letak telefon kembali. Dia tak marah gadis itu. Cuma sikapnya kadangkala menguji. Dia yakin ada sesuatu yang menghalang dari benarkan dirinya didekati.

“Aku tahu kau bukan macam tu. Tapi kau paksa diri untuk keraskan hati. Tak apa... kita tengok sejauh mana kerasnya hati kau, Irish.”

Gitar kesayangan pada stand meraih perhatian. Diambil lalu dimainkan. Melodi lagu yang sering menjadi siulan di bibir mula mengisi suasana malam.


‘Kalau kau tahu bayangan siapa yang datang mengganggu hari-hari aku selama ini, kau juga pasti akan terdiam.’





No comments: