Friday, November 4, 2016

BAB 36 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






D


ERUMAN enjin Nissan Fairlady hitam menggegar halaman banglo Tengku Arham. Susuk seorang gadis tergesa-gesa keluar dari perut kereta. Niat hati mahu terus naik ke bilik, tapi...

“Hah, baru balik? Ke mana dari malam tadi?” tegur Tengku Kamelia yang sedang menuang kopi panas untuk suaminya.

            “Jumpa kawan.” 

“Sampai rumah pun tak ingat nak balik?”

            Tengku Melissa yang baru sahaja duduk, terus tersentap.

            “Mummy, Lissa ni kan masih muda. Orang muda biasalah. Malam minggu jumpa kawan. Lepak-lepak, borak-borak. Tak sedar dah pukul berapa, tidurlah rumah dia orang.”

“Itu mummy tahu. Tapi sekurang-kurangnya, telefonlah. Mummy risau! Dahlah telefon pun tidak. Bila mummy telefon, langsung tak jawab. Dah tak ingat ada rumah agaknya!”

            “Alah, mummy. Abang tu lagi langsung tak balik berapa hari. Mummy tak kisah pun?”

“Abang tu lelaki, awak perempuan. Sedarlah sikit!”



Mummy jangan nak membebel boleh tak? Peninglah Lissa macam ni!”

“Hah, itulah dia! Tegur sikit, melenting. Tak tahulah apa nak jadi dengan kamu ni!”

“Sudah, Lia. Kita depan rezeki ni. Tak baik bergaduh. Sarapan dulu. Lepas tu awak nak bergaduh ke, bertumbuk ke, buat apa ke... hah, buatlah. Tak ada siapa nak halang.” 

“Isk, abang ni! Ke situ perginya!”

Tiga beranak itu mula menikmati sarapan nasi lemak kukus yang disediakan pembantu rumah. Agak berselera Tengku Arham dan isterinya menjamah. Tengku Melissa? Hanya menguis-nguis makanan dalam pinggannya.  

Seminit... tiga puluh saat... lima saat...

 Pap!

Satu tepukan kuat bergema tak semena. Habis tersembur segala isi dalam mulut. Habis beranjak kesemua yang ada atas meja makan tersebut. Kelam-kabut Tengku Arham membetulkan kembali segala yang bertempiaran.

“Arghhh... sakitnya hati aku!” jerit suara itu sekuat hati, melepas marah terbuku.

“Astaghfirullahalazim! Dah kenapa kamu ni, Lissa?!” Tengku Kamelia urut dada.

Gadis itu hanya merenung ke luar menerusi kaca pintu. Bahunya turun naik laju. Rahangnya diketap ampuh.

“Isk!!!” meja ditepuk lagi. Tubuhnya bangkit berdiri, berjalan mundar-mandir di ruang makan, menyeka rambut berulang kali.

“Kamu kenapa, Lissa? Tiba-tiba nak mengamuk ni!”

“Ya, Lissa. Kenapa ni? Cuba bawa bertenang.”

“Nak bertenang macam mana, daddy! Sakit hati Lissa ni, tau!”

“Yalah. Kalau sakit hati sekalipun tak payahlah sampai nak mengamuk macam ni. Kan depan rezeki ni. Tak baik.”

“Dengar cakap daddy tu? Balik rumah nak marah-marah tak tentu fasal. Kenapa?”

“Si Harrys tulah, mummy!”

“Kenapa dengan Harrys?”

“Kenapa dia buat Lissa macam ni?!”

“Apa yang Harrys dah buat pada kamu?”

He’s going to be engaged!”

Tengku Kamelia pandang suaminya. Serentak, ketawa mereka bertebaran di udara.

Mummy, daddy... apahal ketawa ni? Lissa tengah bengang, tahu tak?!” figura itu bercekak pinggang. Rasa sakit hati di kelab malam tadi kembali menyerang.

Hatinya sakit. Sakit mendengar teman-temannya bercerita tentang majlis pertunangan Tengku Harrys yang dikhabarkan akan berlangsung awal bulan depan.

Siapa gadis bertuah yang berjaya merebut hati jejaka kacak itu? Itu jadi topik utama perbualan. Mereka sangka dialah orangnya, rupa-rupanya bukan.

Tak tahu hendak sorok ke mana segala malunya.

“Ini yang buat Lissa marah sangat rupanya? Hermm... patutlah sampai ketuk-ketuk meja bagai. Nasib baik tak diterbalikkan meja ni, bang!”

“Kenapa Harrys buat macam ni? Kenapa dia pilih orang lain? Kenapa bukan Lissa?”

Daddy memang suka kalau Lissa kahwin dengan Harrys. Tapi, ini semua jodoh. Mungkin jodoh Lissa bukan dengan dia.”

“Betul cakap daddy tu. Lagipun, dari kecil Harrys dah anggap kamu macam adik sendiri. Nak tak nak kena terima semua tu. Mungkin perempuan pilihan keluarga pak lang tu jodoh yang baik untuk dia.”

Berdesing telinga Tengku Melissa mendengar. Berangnya naik mencanak bila perkataan ‘perempuan pilihan’ disebut Tengku Kamelia.

Mummy dengan daddy tahu siapa perempuan pilihan keluarga pak lang tu?”

“Entah. Kami pun tak tahu siapa.”

“Takkanlah mummy tak tahu kut!”

“Buat apa mummy nak bohong. Tak ada pula alang beritahu ya, bang?”

“Kalau dah calon pilihan orang tua, mestilah perempuan tu ada istimewanya. Sampai Harrys sendiri pun tak menolak.”

“Orang cakap pilihan orang tua ni selalunya lebih afdal. Teringat zaman kita muda-muda dulu ya, bang? Tak ada peluang nak bercinta langsung. Habis belajar tup-tup mak bapak dah jodohkan. Tapi, alhamdulillah... bahagia sampai sekarang.”

“Huh! Dah mula cerita fasal zaman muda pula dah!”

“Apa dia, Lissa?”

“Tak ada apa-apalah, mummy. Lissa naik dulu!”

“Eh, ni makan tak habis lagi ni?”

“Tak apalah, mummy. Lissa dah kenyang!” Beg tangannya dicapai. Daripada di sini hati makin sakit, lebih baik dia naik atas. Tidur. Hilang sikit segala serabut dalam otak.

“Hermm... budak bertuah ni! Itu baru dia. Belum lagi yang bujang seorang tu!”

“Nasib kitalah, Lia.”

“Kalau tahu kecik-kecik dulu saya hantar budak-budak ni ke sekolah pondok, bang. Sejuk sikit perut saya ni. Sekarang dah jadi macam ni...”

“Nak buat apa lagi? Doakan ajelah. Moga ALLAH jentik hati mereka untuk berubah. Dahlah... saya nak keluar jumpa Dato’ Bazli, main golf. Lambat pula nanti. Tak cukup awak berleter kat sini, kat sana pula saya kena ceramah nanti!”

 

MUZIK rancak kuat dimainkan. Mengasyikkan himpunan manusia berdansa mengikut rentak. Putaran spotlight warna-warni menambah lagi suasana hangat.

Gelap, bingit, sesak.

Namun, bagi anak-anak muda... seumpama syurga dunia!

Susuk itu duduk sendirian. Rakan-rakannya sudah lama menghilang ke lantai tarian. Dia tak kisah. Yang dikisah hanyalah minuman khayal di depannya sekarang. Cukup untuk melupakan segala masalah yang terbeban.

            “Hey,girl! Takkan nak duduk sini aje? Jomlah menari!”

“Ha’ah, Lissa. Takkan you datang sini nak duduk aje kut. Tak havoclah!”  

            Suara teman-temannya, Nina dan Jeslina menerjah halwa tatkala fikiran jauh menerawang entah ke mana. “You all pergilah. I tak ada mood.”   

            “Pula? Tadi dia yang beria mengajak!” selar Nina.

            Tengku Melissa hanya diam. Memang tadi dia yang mengajak. Nak hiburkan hati yang rawan. Boleh jadi gila kalau terus terperuk di rumah dengan dilema sedang melanda.

            “Jomlah menari, Lissa! Lagu tengah best ni!” Nina memujuk lagi.

Tengku Melissa menggeleng. Tangan kanannya diangkat.

“Hermm, okey! Lissa tak nak menari tak apa, Jes. Biar kita berdua aje pergi dengan yang lain-lain,” gadis itu bangkit. “Hey, girls! Jom, sambung menari!” 

Telatah gila-gila temannya kembali ke lantai tarian hanya disaksikan dalam pandangan kosong. Kotak rokok kembali dicapai, disua sebatang ke bibir sebelum dinyalakan. Sebelah tangan turut mencapai gelas minuman penenangnya.

“Tak cukup-cukup lagi ke?”

Dalam samar cahaya, kornea Tengku Melissa menangkap seraut wajah itu. Dengusan geram semerta terhambur. “You buat apa kat sini?”

“Patutnya I yang tanya... you buat apa kat sini? It’s already 3.00 a.m.”

“Tak payahlah nak nasihatkan I, Zafran. You pun sama aje! At least, I balik juga nanti. But, you? Dah berapa hari tak nampak batang hidung kat rumah!”

Tengku Zafran tertawa. Ruang di sisi adiknya didudukkan. Deretan gelas bersusun atas meja menangkap perhatian.

What’s up? Sampai bergelas-gelas you layan hari ni. Anything wrong?”

Mind your own business!” bentak gadis itu. Gelas wine di tangan abangnya dirampas kembali, diteguk hingga habis. Tengku Zafran menyengih sinis.


I know I’m not a good brother. Tapi I pun tak suka tengok you macam ni. Tell me, what’s going on?”

It’s all because of him!”

“Siapa?”

“Harrys!”

“Apa yang Harrys buat sampai you jadi macam ni?”

He’s going to be engaged, with another girl!”

“Siapa perempuan tu?”

“I tak tahu!”

Seminit jeda, gelak Tengku Zafran berderai semula.

Why are you laughing, Zaf? This is not funny, okay!”

“I dah tahu sebenarnya.”

Membulat mata Tengku Melissa. “What?! Sejak bila?”

And I knew whose that girl.”

Sekali lagi gadis itu terpempan. “Macam mana you boleh tahu? Sedangkan mummy dengan daddy sendiri pun tak tahu!”

“Macam mana I tahu tak penting, Lissa.”

Tell me, siapa perempuan tu?!”

Tengku Zafran tersenyum lagi. Bayangan gadis manis itu hadir di birai bening. “Irish.”

“Irish?”

Yes. Irish Qiara.”

That was the girl...

“I rasa you masih ingat masa pak lang kenalkan pada kita waktu makan malam Haiyan. She came with her brother. Dan... dia kerja kat Haiyan.”

Tengku Melissa bungkam. Benak cuba memutar ingatan, mengingat kembali setiap pertemuan dengan gadis yang dimaksudkan. Kali terakhir dia bertemu gadis bernama Irish itu waktu mengamuk di pejabat Tengku Harrys tempoh hari.

Rambut perangnya dielus kasar. “Oh my God! Kenapalah I boleh terlepas pandang selama ni!”

“You bukan terlepas pandang. Tapi, you yakin sangat selama ni semua lelaki akan tunduk pada you... termasuk Harrys. Mesti you tak sangka gadis macam tu yang jadi pilihan family pak lang, kan?”

Of course! Perempuan macam tu nak masuk dalam keluarga kita? Jadi wife Harrys pula tu? Oh, please!!!”

“Bukan sebarang perempuan, Lissa. Kalau Harrys yang alergi perempuan sejak dulu pun boleh cair tengok Irish, apatah lagi abang you ni.”

Mencerun pandangan gadis itu pada abangnya. “Don’t tell me that you like her, Zaf!”

Mengangguk tidak, menggeleng jauh sekali. Hanya bahasa tubuh Tengku Zafran seolah-olah mengiakan kata-kata figura di sisi.

Oh, no! Are you insane? She’s not your type, Zaf! Aren’t you aware of this?”

But she’s different. Belum ada lagi perempuan yang berani tolak I. But, she did!”

Jeda lagi. Hanya kerancakan muzik memenuhi segenap ruang kelab malam tanpa henti.

“I dapat idea.”

Tengku Melissa melirik abangnya. “What?”

We make a deal. I tolong you dapatkan Harrys, then that girl is mine.”

“Boleh yakin ke?”


“Hei... ini Zafranlah! Belum pernah lagi kecundang, Lissa. Don’t call me ‘abang’ if I can’t help my own sister. Keep my promise!”



No comments: