Friday, November 4, 2016

BAB 35 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







K
 AK Ros, ada nampak Harrys?” 

Terhenti kerja dua pembantu yang sedang berkemas di ruang tamu.

“Tak ada pula, Tengku.”

            “Dewi, kamu ada nampak?”

            “Kayaknya lagi berjogging, Ibu Tengku. Habis sarapan tadi dia langsung keluar.”

            “Hurmm... tak apalah. Nanti kalau dia balik beritahu saya cari, ya.”

            “Mama cari Harrys?”


            “Loh! Ini dia, Ibu Tengku. Barusan dibilangin, terus muncul!”

            “Hermm... panjang umur. Baru balik?”

            Tengku Harrys mengangguk. Dalam persalinan baju sukan, dia melandai tubuh di sofa.  TV dihidupkan. “Dari luar tadi dengar sebut-sebut nama Harrys. Kenapa?”

Tengku Dafina mengambil tempat di sebelah anak bujangnya. “Harrys ada keluar ke mana-mana hari ni?”

“Tak ada kut.”

            “Jom, teman mama.”

            “Ke mana?” 

“Pergi cari barang tunanglah. Tinggal sebulan aje lagi majlis, kan?”

“Mama beli ajelah. Harrys ikut aje.”

            “Eh, macam tu pula? Kamu tu muda, mama ni dah tua. Taste tak sama. Nanti mama pilih ikut cita rasa mama, kamu tak suka.”

            “Harrys tak kisah. Lagipun, Harrys ada kerja ofis nak siapkan hari ni.”

            “Betul ni kamu tak nak ikut? Tak menyesal?”

            Lelaki itu mengangguk lagi.

“Hurmm... yalah. Nanti mama suruh Irish aje pilihkan barang-barang kamu.” Tengku Dafina bangkit dari sofa. Zap! Cepat-cepat tangannya disambar. “Isk! Kamu ni kenapa, Rys?”

“Irish?”

“Ha, iyalah! Sekejap lagi mama nak keluar dengan Irish dan maknya. Nak beli barang-barang majlis tunang kamu berdua nanti.”

            Skrin TV dimatikan. Figura tinggi itu bangkit menuju ke tangga.

            “Hah! Nak ke mana tu?”

        “Naik ataslah. Bersiap. Tadi kata nak Harrys temankan.” Anak tangga didaki pantas.

Terpinga-pinga Tengku Dafina. Dua pembantunya silih berganti dipandang.

“Tadi bukan main liat lagi budak tu, kan? Sebut nama Irish aje, terus bangun!”

            “Petanda baiklah tu, Tengku. Hati yang keras dah mula cair nampaknya!” Mak Ros bermadah sambil tersenyum-senyum.

            “Yaa... sepertinya cinta udah mula berputik, Ibu Tengku. Dewi juga bisa bau-bauan dari sini, dong!” Dewi menyambut jenaka mak angkatnya.

          “Ada-ada ajelah kamu ni, Dewi! Mak Engku naik dululah bersiap.” Tengku Dafina bingkas dari duduknya. “Tapi kalau betul Dewi, alhamdulillah. Harap masin mulut kamu!”

“Ya, pastilah! Mulut Dewi kalau bilangin sesuatu, pasti benaran menjadi!”

 

“IRISH dah fikir apa nak dibeli untuk hantaran nanti?”

“Tak tahu, umi.”

“Tak tahu?” Terjegil mata Puan Qarina. “Kita dah ada kat sini ni, Rish. Boleh pula cakap tak tahu?”

“Umi ajelah pilihkan.”

“Kalau macam tu, baik umi aje yang bertunang!”

 Di hujung sudut sebuah galeri pakaian lelaki, tawa dua figura itu terjurai kecil. Duduk di sofa menanti Tengku Harrys membeli barang-barangnya bersama Tengku Dafina.

            “Irish.”

            Gadis itu menoleh.

            “Harrys panggil.”

            “Panggil Irish? Kenapa, Mak Engku?”

        “Adalah tu yang dimahukan. Pergilah... bagi Mak Engku berbual dengan umi pula.”

            Langkah disusun meninggalkan dua wanita itu, menghala pada insan sedang ralit memilih kemeja pada sebuah rak.

            “Tengku panggil saya?”

            “Hmm. Boleh tolong pilihkan baju?”

            “Saya? Pilihkan?”

            Lelaki itu mengangguk.

            “Tengku suka warna apa?” Irish mula membelek setiap helaian kemeja.

“Warna apa yang awak suka?”

            Pink.”

            “So... choose that one.

            Tepat bola mata Irish pandang raut di sebelah. Dia yang ingin menyakat, dia pula sekarang rasa bersalah. Sehelai kemeja biru gelap akhirnya dicapai.

            “Yang ini.”

            “Kata pink tadi?”

            “Ini lebih sesuai untuk Tengku.

Tengku Harrys sambut huluran itu. Senyuman kecil tercorak di hujung bibir saat gadis tersebut berlalu. Bukan dia tak tahu dirinya ingin diduga.

‘Hatimu sukar ditebak. Tapi apa yang kau rasa, pasti sama seperti apa aku rasakan.’

 

“HA, Rish... pilihlah mana yang berkenan. Nanti Mak Engku bayar.”

“Fina, tak apalah. Biar kami yang bayar. Tak sedap pula macam tu.”

“Saya memang dah niat, Kak Ina. Lagipun, Irish ni dah macam anak saya. Irish pergilah pilih, ya? Mak Engku nak bawa umi cuci mata dalam butik ni. Harrys... temankan Irish.”

Tak pasti arah mana harus dituju dulu, susuk lampai itu berjalan ke bahagian tudung. Pelbagai rekaan, berbagai warna... buat matanya jadi rambang.

Sehinggalah satu tangan menghulur...

It will look perfectly beauty on you,” bicara suara itu lembut dan berlalu.

Irish buka lipatan kain satin dalam pegangan. Sehelai selendang yang menarik rekaan serta gabungan warnanya ditatap penuh minat. Jujur, dia terpesona.

Bening melirik Tengku Harrys yang sudah duduk di sofa berhampiran. Tanpa sedar, senyumnya terlakar dalam keharuan.


“Apa lagi yang belum?”

Sekeliling ruang butik menggamit pandangan. Sudut menempatkan kasut yang agak tersorok menggamit langkahnya ke arah berkenaan.

Beberapa pasang kasut diambil. Sandle, wedges, heels. Duduk berlabuh di sebuah kerusi sebelum kasut-kasut tersebut dicuba.

“Seronok shopping.”

Gerak laku Irish termati. Kepalanya didongak. Berubah air muka kala bening menangkap seraut wajah yang sudah lama hilang dari radar penglihatan. “Reza.”

Lelaki itu tersenyum. Kaca mata hitam ditanggalkan. Duduk berlabuh selamba. “Luckily you still remember me.”

Tak berkedip pandangan Irish pada lelaki di sebelah. Hampir tiga tahun tak bertemu sejak pertemuan terakhir dulu, hari ini muncul semula tiba-tiba.

“Kenapa? Terkejut? Tak sangka jumpa aku kat sini?”

Sinis bicara Reza. Dengan berbahasa ‘aku’ pula. Irish palingkan muka. Rasa benci yang bercambah kembali mengetuk tangkai hatinya.

“Nak apa muncul lagi?” soal Irish keras. Kasut yang dicuba, dibuka kembali. Hilang sudah mood dek kedatangan lelaki ini.

“Tak ada apa. Saja nak tengok cik adik manis kita ni shopping untuk majlis tunang dia.”

Sekali lagi riak Irish berganti. Bagaimana lelaki ini boleh tahu? Seingatnya, hanya keluarga serta saudara-mara terapat saja yang maklum akan majlis itu.

“Tak sangka, kan? Akhirnya dapat juga kau cari pengganti aku. Lebih cepat dari yang aku sangka. Dan... jauh lebih hebat dan kaya dari aku. Well done, Irish!” Reza bertepuk tangan seiring tawa sinis yang tertebar.

Irish kekal mendiam, walau kata-kata Reza makin panas menerajang. Pelupuk mata dipejam, rahang ditekan, jemari digenggam, mulut beristighfar... pujuk diri terus bersabar.

Melihat insan di sebelah masih tenang, Reza sedikit tercabar. Tak terasakah dengan kata-katanya? Satu hal tak dapat disangkal, bekas kekasihnya ini memang tabah. Malah... lebih kental dari yang dia pernah kenal.

“Kalau tak ada apa nak cakap lagi, awak boleh pergi.”

“Okey. Aku pergi. Anyways... have a nice enggagement day, Irish. Send my regards to that lucky guy. And...” Reza merapatkan dirinya. “.... aku nak tengok sejauh mana senyuman di bibir kau akan bertahan bila rahsia sudah tak menjadi rahsia lagi.”

Reza kenakan kembali kaca matanya. Tubuh dibangkit bersama sisa tawa.

Good luck, sayang!”

Lelaki itu beredar. Hatinya puas! Puas dapat melepaskan sakit di hati sejak khabar pertunangan tersebut sampai ke pengetahuannya.

“Itu tak sepenuhnya, Irish. Kita tunggu dan lihat apa akan terjadi nanti.”    

Renungan tajam Irish menghantar kelibat Reza melangkah pergi. Linangan mutiara jernih gugur jua tanpa mampu ditahan lagi.

“Irish.”

Gadis itu berpaling. Namun wajahnya dilarikan semula saat bening diterpa kelibat yang tersandar berpeluk tubuh di tepi dinding. Pipi yang basah cepat-cepat diseka.

Are you good?”

“Ya.”

Our moms are waiting for you.”

            Irish bangkit. Dua pasang kasut yang dicuba tadi diletak ke rak kembali.

            “Kenapa letak balik?”

            Langkah gadis itu terhenti.

            “Dah lama duduk kat sini, takkan satu kasut pun tak ada yang berkenan?” 

            Hendak tak hendak, sepasang kasut diambil Irish semula. Laju dia berlalu melewati Tengku Harrys.

            “Dah pilih semuanya, Irish?”

“Dah, Mak Engku.”

“Tunggu sini sekejap. Mak Engku pergi bayar.”

Belum sampai seminit, wanita itu kembali semula.

             “Dah sudah ke, Fina?”

            “Tak sempat pun, Kak Ina. Itu... dok berebut bayar dengan anak bujang seorang tu. Memang saya kalahlah. Katanya itu barang-barang bakal isterinya. Jadi, biar dia yang bayar. Dengan kita-kita punya sekali dibayarnya!”

            Sepasang kornea Irish jatuh tepat pada figura yang masih berurusan di kaunter. Melihat lelaki itu, entah kenapa sebaknya kembali bergayut bersama rasa hiba yang kian menjerut.

           

BUTIK Pengantin D’Sara di tengah Bandaraya Petaling Jaya menjadi destinasi terakhir. Pilihan Tengku Dafina sendiri melantik butik itu menjadi perancang majlis pertunangan yang bakal berlangsung tak lama lagi.

“Sampai pun, Tengku. Ingatkan tak jadi datang.”

“Eh, apa pula tak jadi. Jadi! Cuma lambat sikit. Maaflah buat Sara tertunggu-tunggu.”

            “Tak ada masalah pun. Janji Tengku sampai. Nak mula bincang sekarang, atau Tengku dengan yang lain nak rehat-rehat dulu?”

            “Terus bincanglah, Sara. Cepat bincang, cepat selesai.”

“Kalau macam tu, silakan... kita bincang dalam pejabat saya.”

            “Mama.”

            “Ya, Harrys. Kenapa?”

            “Mama pergi dulu dengan Mak Cik Ina. Harrys nak cakap dengan Irish sekejap.”

“Hurmm... yalah. Jangan lama-lama. Banyak benda nak dibincang ni.”

Tengku Dafina dan Puan Qarina langsung menuruti Sara masuk ke dalam pejabatnya.

What’s wrong with you?”

Soalan pertama Tengku Harrys sebaik menyandar di hujung meja. Kedua tangan menyilang ke dada. Irish di belakang hanya dikerling melalui ekor mata.

            “Kenapa dengan saya?”

            “I am asking... what is wrong with you?” suara Tengku Harrys sedikit ditekan.

Sejak di butik membeli-belah tadi, dia sudah perasan kelakuan Irish mula berubah. Selepas dia biarkan gadis itu memilih kasut sendirian.

Waktu singgah makan di restoran tadi juga gadis itu banyak termenung dan diam. Tak pasti apa puncanya. Yang pasti, dia nampak gadis itu menyeka air mata saat dia memanggil.

Tengku Harrys bangun bila soalannya terus dibiarkan sepi. Langkah dibawa mendekati Irish. “Irish...”

            “Saya okey, Tengku.” Suara halus itu mula bergetar.

            “Irish Qiara...”

            “Saya tak ada apa-apa. Saya masuk dalam dulu.”

Zap!

Lengan kiri Irish lebih dulu disambar. Berpaling kembali tubuhnya ke belakang.

“Saya tahu awak tak okey, Irish!”

            Irish terpempan. Kejap pegangan Tengku Harrys buatnya kaku pergerakan. Kulit yang cerah sudah bertukar kemerahan. Jelas sedang menahan marah.

“Lepaskan saya, Tengku.”

            “No! Until you tell me!” tegas Tengku Harrys, meski dirinya terpukul melihat tubir berkaca insan di depan.

“Harrys! Irish!”

            Keduanya serentak menoleh.

            “Mari masuk bincang!”

Pegangan Tengku Harrys masih kejap. Tiada tanda-tanda lelaki itu akan melerai. Irish semakin bimbang. Bimbang kiranya Tengku Dafina datang dalam keadaan mereka sekarang.

“Tengku...”

Irish tatap bening di depan dalam-dalam. Meminta simpati agar dilepaskan.

Please...” setitis mutiara jernih gugur lagi di pipi.    

Perlahan-lahan Tengku Harrys longgarkan genggaman. 

“Saya minta maaf...”

Tengku Harrys masih tak berganjak dari tempatnya. Hanya pandangan menghantar Irish pergi, walaupun hatinya enggan membenar.

Bukan kerana dia takut akan kehadiran mamanya.

Tetapi jiwa lelakinya tewas dengan air mata gadis itu! 


 


No comments: