T
|
ENGKU Harrys
keluar dari bilik pejabatnya. Dia memerlukankan beberapa fail dan laporan
syarikat untuk diteliti. Sudah beberapa hari dia bekerja. Dan beberapa hari itu
jugalah dia perlu meneliti dan memahami semua yang berkaitan dengan syarikat
untuk memudahkan tugasnya membantu mengendalikan Haiyan Holdings.
“Tasya, dengan siapa saya boleh dapatkan laporan-laporan
kewangan syarikat yang terkini dan sebelum-sebelum ni?” Tengku Harrys
bertanyakan pada setiausahanya itu.
“Oh, biasanya ada pada finance
officers. Tapi sekarang ni Encik Naufal dan Puan Faridah ada mesyuarat kat luar. Saya rasa Tengku boleh
dapatkannya dari Cik Irish. Kalau Tengku perlukan sekarang, saya boleh minta
dari dia,” beritahu Natasya yang sudah pun bangun dari tempat duduknya.
“Tak apa. Saya pergi minta sendiri. Thanks.”
Tengku Harrys lansung menuju ke bilik Irish yang agak
berdekatan dengan biliknya. Sampai di hadapan bilik gadis itu, dia mengetuk
daun pintu terlebih dahulu.
“Masuk.”
Kedengaran satu suara halus dari dalam membenarkannya masuk.
Segera tombol pintu dipulas. Dilihatnya gadis itu sedang tertunduk sambil
menulis sesuatu pada kertas di atas meja.
“Ya Insyirah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Irish
terus sahaja bertanya tanpa melihat siapa gerangan yang masuk ke biliknya
ketika ini.
Senyap. Tiada jawapan. Melihatkan tiada reaksi yang diberikan, pantas
Irish mendongakkan kepala. Berderau darah tatkala melihat Tengku Harrys yang
sedang berdiri di hadapan memerhatikannya sambil kedua tangan bersahaja
menyeluk saku seluar.
“Teng... Tengku!” spontan Irish bangkit dari kerusinya.
“Maaf. Saya tak perasan Tengku yang masuk.”
Melihatkan keadaan Irish yang sedikit kalut, Tengku
Harrys terasa ingin tergelak. Namun sedaya upaya ditahannya agar tidak
terhambur di situ.
“Tak apa. Sibuk ke?” soal Tengku Harrys.
“Tak.”
“Saya menganggu?” soal lelaki itu lagi.
“Tak.
“Ada yang boleh saya tolong?”
“Tak.
‘Hmm.... Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab.’ bicara
Tengku Harrys dalam hati. “Tak apalah. Saya cuma nak tanya tentang
laporan-laporan kewangan syarikat yang terkini dan sebelum-sebelum ni. Ada awak
simpan?”
“Ada. Sebentar.”
Irish pantas melangkah ke rak di sudut kiri biliknya
untuk mendapatkan fail-fail yang diminta. Setelah itu dia menghampiri Tengku
Harrys lalu diberikan fail laporan-laporan tersebut tanpa memandang lelaki itu.
Tengku Harrys menyambut sambil matanya sempat menatap wajah gadis yang kini
berada hampir dengannya.
“Awak memang tak suka pandang orang, ya?” tanya Tengku
Harrys tiba-tiba, menbuatkan Irish tersentak.
“Hmm?”
“Tak ada apa-apa. Thanks!”
ucap lelaki itu dan terus berlalu keluar dari bilik, meninggalkan Irish yang
masih dalam terpinga-pinga.
**********
DILANDAIKAN tubuhnya di atas kerusi rehat di tepi kolam renang villa
sambil merenung bintang di langit. Selepas makan malam bersama keluarganya
tadi, dia terus berlalu ke sini untuk bersantai sambil menikmati angin malam.
Gitar akustik Taylor 714ce-N di tangan dimainkan dengan alunan lagu-lagu
kegemarannya. Inilah peneman setia yang sering menghiburkannya sepanjang
menetap di tempat orang. Bukan seperti sesetengah anak muda yang lebih gemar
mencari hiburan di luar atau di kelab-kelab malam. Itu bukan jiwanya.
‘Cantik bintang di langit tu. Tak terjangkau dek tangan
untuk dicapai. Sama macam apa yang aku rasakan saat ini.’ Tengku Harrys
berbicara dalam hati. Melayani perasannya sendirian.
“Hoi! Termenung apa?”
Tiba-tiba satu suara menyergahnya dari belakang.
“Abang ni bagilah salam ke apa.”
Tengku Hafiy hanya tergelak mendengarkan kata-kata
adiknya itu.
“Alaa... kalau abang bagi salam pun belum tentu kau
dengar! Kalau dah dok termenung macam ni. Kau okay ke?”
Tengku Hafiy memulakan perbualan malam itu sebaik duduk di kerusi rehat
bersebelahan adiknya.
“Okay.”
“Sure? Macam tak je!”
“Betul. I’m
okay.”
“So far kerja
kat ofis macam mana? Ada apa-apa masalah?” Tengku Hafiy menukar topik perbualan
mereka.
“Okay, Alhamdulillah. Abang jangan risaulah.
Kalau ada apa-apa masalah, abang orang pertama Harrys cari.”
Tengku Hafiy tergangguk-angguk mendengarkan jawapan
tersebut. Kemudian dia turut berbaring di atas kerusi rehat di situ merenung ke
langit malam sambil halwanya dihiburkan dengan petikan gitar dari Tengku
Harrys. Masih tidak berenggang lelaki itu dengan gitarnya sejak dari bangku
sekolah lagi. Tidak seperti kebanyakan anak-anak muda di kalangan kerabat dan
juga golongan atasan yang gemarkan aktiviti-aktiviti yang lebih formal. Tengku
Harrys dilihat lebih selesa dengan hobinya bermain alat muzik, lebih-lebih lagi
gitar kesayangannya itu. Itupun banyak dipengaruhi oleh Fezrul, satu-satunya
rakan baik lelaki itu di sini.
“Abang bila nak kahwin?”
Tengku Hafiy menoleh adiknya di sebelah. “Asal tiba-tiba
tanya?”
“Saja. Abang cakap nak tunggu sampai Harrys balik. Ni
Harrys dah ada kat sini. Lagipun dah lama abang bertunang dengan Helena tu.
Kesian dia tunggu lama.”
“Dalam perancangan. Insya-ALLAH, dalam tahun ni. Kau bila
lagi?” soalnya kembali.
Seperti selalu, soalan itu hanya dibiarkan Tengku Harrys sepi
tanpa jawapan. Memang sejak dulu apabila soalan sebegitu diajukan padanya, dia
tiada hati untuk menjawab.
Tengku Hafiy mengeluh perlahan. ‘Hai! Sampai bilalah
agaknya hati kau tu nak terbuka untuk perempuan, Harrys?’ Namun soalan itu
hanya terlahir di dalam hati. Pandangannya dihalakan semula ke arah langit
malam. Untuk seketika, dua beradik itu menyepikan diri. Masing-masing melayani
perasaan sendiri.
“Irish memang macam tu ke, bang?” tiba-tiba sahaja soalan
itu terpancul dari bibir Tengku Harrys. Namun tangannya masih tetap memetik
gitar sambil merenung ke arah langit.
“Macam mana apa?”
“Pendiam. Tak banyak cakap.”
“Hmm. That’s her. Susah sikit
nak bercakap atau berbual dengan orang yang dia tak biasa. Lagi-lagi yang baru
kenal.”
‘Patutlah sepatah aku tanya, sepatah dia jawab.’ Desis
hati kecil Tengku Harrys. “So, dengan
abang dia dah biasalah?”
“Bolehlah. Sekarang ni dah okay sikit. Kalau dulu, nak tengok dia buka
mulut pun susah. Kena pandai tacklelah.
Rajin ajak berbual. Tapi tengok orang jugak. Dengan abang pun mungkin sebab abang ni kawan Izzul kut. Dan selalu Izzul bawa dia
datang ke sini. Kira bernasib baiklah. Kalau tak, tak adalah.”
“Selalu datang sini?” Tengku Harrys seakan tidak percaya.
Kali ini baru matanya dialihkan ke arah Tengku Hafiy. Jarinya yang sedari tadi
memetik gitar juga turut terhenti.
“Ha, yelah. Kan memang dulu pun Izzul kerap datang sini,
kan. Mama tulah yang selalu suruh Izzul datang bawa family dengan adik dia. Yelah, mama kan rapat
dengan anak-anak Izzul. Dah macam cucu dia sendiri. Dengan Izzul memang dari
dululah. Tapi dengan si Irish ni lain macam berkenan je abang tengok mama tu.
Sejak pertama kali Irish
datang sini lagi.”
“Berkenan?”
“Yup!”
“Berkenan kenapa?”
“Berkenan untuk dibuat menantu. Eh, abang nak masuk
dululah. Dah malam ni. Kau tu jangan tidur lewat sangat. Sini Malaysia, bukan
UK!” Tengku Hafiy sempat menepuk bahu adiknya sebelum berlalu masuk ke dalam
villa.
“Menantu?” bicara Tengku Harrys sendirian. “Untuk siapa?”
Dan persoalan itu hanya berlalu bersama kepekatan malam.
No comments:
Post a Comment