Wednesday, August 17, 2016

BAB 20 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)








D
ERAP langkahnya diharung ke kafe hotel di tingkat bawah. Sebaik menjejak lantai, mata langsung tercari-cari kelibat itu.

‘Mana dia, ya? Ke dah habis sarapan? Aku kena tinggal?’

Baru berkira-kira ingin pergi, korneanya menangkap sesusuk tubuh di satu sudut yang agak tersorok.

Irish ketap gigi. Terasa berat kaki untuk melangkah ke meja tersebut. Mengenangkan apa yang berlaku malam tadi, terasa malu untuk berdepan dengan lelaki itu.

Sangkanya usikan Tengku Harrys sudah berakhir usai mereka berpisah ke kamar masing-masing. Rupa-rupanya edisi bersambung sehingga dia ingin masuk tidur bila lelaki itu tiba-tiba muncul di depan pintu biliknya.

Tuk! Tuk! Tuk!

Irish kaget. Siapa yang datang lewat malam begini? Rasanya dia tak ada hubungi pekerja hotel memesan apa-apa.

Semerta dirinya diselubungi risau. Niat di hati ingin biarkan sahaja. Namun, ketukan itu tetap berterusan.

Menerusi lubang kecil di pintu, dia mengintai. Nampak saja wajah itu, kelam-kabut dia berlari ke bilik mencapai selendang.

It’s everything okay?” Soalan pertama Tengku Harrys sebaik pintu dibuka.

“Ya.”

“Kenapa lambat buka pintu?”

“Err... saya ingatkan siapa tadi. Jadi, saya biarkan.”

“Biarkan?” Kening lelaki itu sedikit terangkat. “Dah nak tidur ke?”

“Hmm.”

“Betul ni berani tidur seorang?”

“Kalau tak berani pun tak ada siapa boleh teman.”

“Ada.”

“Siapa?”

“Siapa yang paling dekatlah.”

Irish memandang raut di depan. Meneka maksud di sebalik kata-kata berkenaan. Sedetik... bibir Tengku Harrys tersungging dengan senyuman.

‘Dia ni ada lagi ke yang tak puas hati? Tadi cakap dah maafkan aku bagai.’

“Saya cuma nak beritahu, esok pagi turun kafe bawah pukul 8.30. Kita breakfast dulu sebelum bergerak ke site.”

Irish beri anggukkan. ‘Datang bilik semata-mata nak cakap tu aje ke? Mesej pun boleh.’

“Lepas ni jangan biarkan saya ketuk pintu lama-lama. I’ll come here anytime to inform you everything since I don’t have your phone number,” ujar lelaki itu sambil menunjuk telefonnya dan beredar.

Terkedu gadis itu. Kan dah kena!

“Nak berdiri aje ke kat sini?”

Irish berpaling. Entah bila Tengku Harrys sudah terpacak di belakangnya. Ditoleh kembali ke meja tadi. Memang sudah kosong!

“Tengok apa? Pelik tiba-tiba saya ada kat sini?”

Irish memandang lelaki itu semula.

Tengku Harrys tergelak kecil. Sejak Irish melangkah masuk, dia sudah perasan. Cuma sengaja dibiarkan.

“Jangan banyak mengelamun. Nanti tak ada orang masuk meminang. Come.”

Tengku Harrys kembali ke meja yang didudukinya tadi.

“Saya dah ambilkan untuk awak.” Sepinggan mi goreng bersama secawan teh ‘o’ panas disuakan.

“Terima kasih. Tengku belum makan lagi?” 

“Belum. Tunggu awak.”

Irish hanya memerhati lelaki di depan mengimamkan doa makan.

Sungguh, dia benar-benar tak faham dengan kelakuan Tengku Harrys sejak semalam. Sangat berbeza dari apa yang dia bayangkan sebelum berangkat ke sini tempoh hari.

Hanya disebabkan mereka berdua di sinikah?

Atau sikap lelaki ini sememangnya begini tanpa pengetahuannya?



 

HOW’s the progress here?”

Everything was okay, Tengku. Alhamdulillah, semuanya berjalan mengikut apa yang dirancang,” terang Encik Shamrin selaku arkitek projek.

            “Semua material yang dihantar betul-betul ikut standard asal?”

“Sudah, Tengku. Kami dah check dengan pembekal setiap kali mereka hantar barang ke sini. Setakat ni tak ada apa-apa masalah.” tutur Encik Yusry, jurutera di situ.

Great. Harap tak ada masalah lagi akan timbul lepas ni. Pastikan semuanya berjalan lancar mengikut jadual hingga projek ni selesai. Time is running out.”

Tengku Harrys kemudian dibawa meninjau kawasan projek tersebut. Setiap sudut binaan fasa ketiga itu dilawati di samping penerangan dari Encik Shamrin dan Encik Yusry. Lelaki itu tekun mendengar. Hanya mencelah jika ada perkara yang tidak memuaskan hati.

Irish mula terasa bosan. Nak masuk campur, bukan bidang dia. Sedikit demi sedikit kakinya mula membawa haluan sendiri melihat-lihat sekitar kawasan. Memerhati para pekerja melakukan kerja-kerja pembinaan yang entah berapa meter tingginya.

Seketika, mata leka memandang kren yang sedang mengangkat batu-bata untuk diserahkan pada pekerja yang sedang membina dinding bangunan di bahagian paling atas.  Dalam ralit memerhati...

“Bos! Ke tepi, bos!!!”

Seisi tapak projek panik. Tak tahu arahan itu ditujukan pada siapa.

“Ke tepiiiii”

Sayang... dah terlambat.

Pap! Pap! Pap!!!

Sekelompok batu-bata lebih dulu jatuh ke bawah, berhampiran tempat pegawai-pegawai sedang berbincang. Lebih malang... sebahagian ia telah menghempap ke tubuh Tengku Harrys tanpa sempat lelaki itu mengelak.

Irish tergamam. Semua yang ada terkaku.

“Tengkuuu!”

Menjerit Encik Shamrin dan Encik Yusry mendapatkan figura yang sudah rebah ke tanah. Tangan kanannya memegang lengan kiri yang terkena rempuhan.

Dahinya berkerut. Wajah merah padam. Rahang kejap dilagakan.

Jelas lelaki itu sedang menahan kesakitan.

Suasana di tapak pembinaan tegang seketika. Hanya beberapa minit, Tengku Harrys telah dikerumuni sebahagian pekerja.

Encik Shamrin menyingsing lengan kemeja Tengku Harrys yang terkoyak. Darah sudah mengalir keluar dari luka-luka itu. “Teruk ni, Tengku. Saya hantar pergi hospital!”

No... tak apa.”

“Eh, mana boleh Tengku! Kena pergi check ni. Takut patah ke apa!” celah Encik Yusry.

“Tak apa. Luka aje.”

Tengku Harrys cuba bangun dengan bantuan Encik Shamrin seorang pekerja lain. Tubuhnya dipapah masuk ke dalam mini pejabat dalam berdengkot kaki berjalan.

“Betul Tengku tak nak pergi hospital ni?” Sekali lagi Encik Shamrin bertanya setelah meletak Tengku Harrys di sebuah sofa.

“Tak apa. Sikit aje.”

“Okey. Tapi kalau Tengku rasa makin teruk, please inform me. Kejap lagi saya panggilkan pembantu saya untuk cuci luka Teng...,”

“Panggilkan Cik Irish. She will do it.”

Encik Shamrin akur. Segera lelaki itu keluar dari pejabat. Suasana di luar masih tegang dan terkesan. Dalam keadaan kucar-kacir itu, mata Encik Shamrin meliar mencari seseorang. Pandangan terpasung pada susuk termenung di suatu sudut.

“Cik Irish!”

Gadis itu mendongak.

“Tengku panggil masuk.”

“Hmm? Saya?”

“Ya.”

“Kenapa?”

“Tengku nak awak bersihkan luka dia.”

 “Huh? Sa... saya mana reti, Encik Sham.”

“Alah... awak buat aje macam awak tahu. Bersihkan darah, bubuh ubat, lepas tu balut.”

“Isk! Kalau salah, macam mana? Kenapa tak hantar ke hospital aje?”

“Tengku tak nak. Dia cakap sikit aje.”

“Pula? Kalau macam tu, Encik Sham mintalah siapa-siapa yang tahu buat.”

“Sudah. Tapi Tengku nak awak yang buat. Special request!”

Encik Shamrin mempamer senyum. Tempoh seminggu bekerja bersama buat dia selesa dengan gadis itu. Lagi-lagi dengan sikap tak banyak cakap, lagilah gemar dia mengusik.

“Pergilah. Tengku dah tunggu tu. Ini first aid kit. Semuanya ada kat dalam. Gunalah mana yang patut. Good luck!” ucap Encik Shamrin dengan senyuman kian melebar.

 

SAAT kaki menjejak ke dalam mini pejabat, bola matanya menangkap sekujur tubuh yang duduk menyandar di dasar sofa. Bening terpejam rapat. Kepala mendongak ke atas.

‘Tidur ke dia?’

 Irish berjalan menghampiri.  Kerusi bertentangan diduduki. Kit pertolongan cemas diletak atas meja.

Raut separa pucat Tengku Harrys direnung sedetik. Terdengar alur nafasnya yang halus. Menahan sakit barangkali hingga tertidur.

Pandangan beralih pada lengan kiri lelaki itu yang sudah membengkak. Agak banyak calar-balar. Juga beberapa kesan luka dan lebam akibat hempasan batu tadi. Darah masih mengalir tak henti. Kemeja yang berwarna putih sudah bertukar merah sana sini.

Wajah di depan ditatap kembali. Rasa kasihan terbit menjalar ke relung sanubari.

‘Nak kejut ke tak? Kalau tak kejut, macam mana pula nak bersihkan luka-luka tu?’

Dengan berbelah bahagi...

“Tengku.”

Pelupuk mata Tengku Harrys beransur-ansur dicelikkan. 

“Saya nak bersihkan luka Tengku.”

Tengku Harrys perbetulkan posisi. Tubuh dianjak sedikit memberi ruang pada Irish untuk duduk di sisi. Tangannya dihulur pada si gadis.

“Bismillah...”

Lengan kemeja Tengku Harrys disingsing hingga ke paras atas. Seperti jangkaan, bahagian atas lengan lelaki itu juga turut luka dan calar.

Kit pertolongan cemas segera dibuka. Ah, sudah!

Mata Irish membuntang. Melihat pelbagai jenis alatan dan ubatan di dalam, kecut perut dia rasakan bak ditikam-tikam.

‘Yang mana nak kena guna ni?’

Satu demi satu ubat diperhati. Tak pasti mana yang perlu diambil. Dulu masa sekolah adalah juga belajar cara-cara bersihkan luka. Tapi, semua dah lupa!

‘Hermm... belasahlah.’

Sarung tangan getah dikenakan. Sehelai tisu dicapai. Penuh hati-hati dia menyentuh lengan Tengku Harrys, mula mengelap darah yang mengalir. Selesai, tisu lain dibasahkan untuk mencuci saki-baki darah serta kotoran yang masih ada.

Habis mencuci, kapas serta botol yang tertulis ‘antiseptik’ pula diambil. Cecair itu dititiskan pada kapas lalu ditekap perlahan pada luka Tengku Harrys.

“Arrghhh...” erangan kecil lelaki itu terlahir di bibir.

“Sakit?”

“Hmm.”

“Nak berhenti atau teruskan?”

Lama baru figura di sebelah membalas. “Teruskan.”

“Tahan, ya? Pedih sikit.”

Irish sambung semula tugasnya. Krim antibiotik kali ini disapu pula. Seluruh luka pada lengan dirawat sebaiknya. Penuh lembut dan teliti. Hingga tak sedar, segala tingkah lakunya tiada satu pun yang terlepas dari pandangan redup Tengku Harrys.

“Dah biasa buat ke?”

Kornea Irish mengerling sekilas. “Tak. Saya redah aje.”

Hujung bibir Tengku Harrys tersungging nipis. Betul atau tak jawapan tersebut, dia tak pasti. Apa yang pasti... sentuhan Irish yang lembut dan cermat sepanjang bersihkan luka-lukanya, merenggut tangkai hati.

“Ada kat mana tadi?”

“Bila?”

“Masa batu tu hempap saya.”

Irish ketap gigi. Soalan yang ingin dielak, terlontar jua kini. “Saya jalan-jalan tengok site sekejap.”

Without my permission?”

Tangan Irish terhenti. Terasa palpitasinya berubah dimensi.

“Maaf, Tengku. Saya rasa bosan, jadi jalan sendiri.” Segera wajah dilarikan.

Krim antibiotik diletak semula ke tempat asal. Kapas dibubuh pada setiap luka. Hanya tinggal perlu membalut lengan Tengku Harrys dan selepas itu dia boleh beredar.

“Dah siap. Ubat ni... makanlah. Mungkin boleh redakan rasa sakit Tengku.”

Sebiji kapsul pain killer dihulurkan. Nampak tadi ada sekali dalam first aid kid, jadi dia berikan sekalilah. Kebetulan air mineral pun ada dalam mini fridge di sudut hujung pejabat.

Tengku Harrys hanya menurut tanpa banyak cakap.

“Baringlah. Berehat.”

Gadis itu bangkit membantu ketuanya berbaring di sofa. Segala barang-barang yang telah digunakan tadi turut dimasukkan kembali ke dalam kit pertolongan cemas.

Melihat mata Tengku Harrys sudah terkatup rapat... yakin lelaki itu telah lena... susuk lampai tersebut mula bergerak untuk keluar.

“Nak ke mana?”

Langkah Irish terkaku. Tubuh kembali dipusingkan. Bening redup itu masih terpejam. “Keluar.”

Don’t go anywhere.”

“Err...,”

Just stay here.”  

“Tapi...,”

Please. Just stay here... with me.” Pinta Tengku Harrys lagi, lemah saja kedengaran.

Setengah minit berbolak-balik membuat keputusan...

Akhirnya, Irish berpatah semula. Duduk mendarat lagi di sofa. Menongkat kepala merenung lelaki di depan terus beradu dalam lenanya yang entahkan sampai bila akan belayar.  

            Dan dirinya... harus kekal di sini menanti sehingga ‘sang putera’ itu celikkan mata. 



No comments: