Wednesday, August 17, 2016

BAB 18 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







“M

ACAM mana perkara ni boleh berlaku? Setahu saya, pembinaan fasa pertama dan kedua semuanya berjalan lancar mengikut jadual. Jadi, kenapa fasa ketiga ni boleh timbul masalah?” Encik Saiful bertanyakan pada pegawai dan staf yang telah ditugaskan untuk menyelia dan memantau perjalanan projek pembinaan hotel bertaraf lima bintang itu.

Selesai melawat tapak projek pagi tadi, Tengku Harrys arahkan semua pekerja atasan berkumpul di bilik mesyuarat Haiyan Corporation, iaitu anak syarikat Haiyan Holdings yang beroperasi di Johor Bahru.

“Memang pembinaan untuk fasa sebelum ini berjalan lancar, Encik Saiful. Masuk fasa ketiga ni kami tak sangka material yang kita gunakan tak berkualiti sampai bangunan di bahagian belakang yang dah dua puluh lima peratus siap tu mengalami keretakan dan sebahagiannya telah runtuh,” terang Encik Khalis selaku Pengarah Urusan Haiyan Corporation.

“Bukan ke syarikat yang bekalkan semua material adalah pembekal yang sama dengan fasa sebelum ni? Dalam kontrak dah tertera segala bentuk material yang digunakan untuk projek ni dari awal hingga ia siap perlu mengikut piawai yang telah kita tetapkan, tanpa ada sebarang perubahan selagi kita sendiri tak arahkan.” Encik Hazman pula bersuara.

“Betul, Encik Hazman. Pihak kita memang tak buat sebarang perubahan. Segalanya kekal ikut dalam kontrak. Tapi, pihak pembekal dakwa pegawai kita yang ubah semua pesanan tu dan minta mereka hantar bahan-bahan yang harganya lebih murah.

Bila kami check semula data-data dalam rekod pembelian, tak ada apa yang berubah pun. Sama macam yang asal. Itu yang timbul sikit kemusykilan. Jadi kita semua sedia maklum bila material yang dihantar lebih murah, dah tentu kualitinya pun rendah berbanding sebelum ini. Sebab tu daya ketahanannya pun kita boleh lihat sendiri macam mana.” Perjelas Encik Shamrin pula, salah seorang arkitek syarikat yang bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan projek hotel tersebut.

Untuk seketika, suasana hening. Masing-masing menunggu giliran Tengku Harrys untuk bersuara. Sejak masuk ke dalam bilik ini, lelaki itu hanya mendiam sahaja.

“Macam mana dengan pegawai kewangan tu sekarang?”

Akhirnya... lelaki itu buka mulut berbicara.

“Pihak polis masih menjejaki Mr. Raymond, Tengku.” Encik Khalis menjawab.

“Memang tak dapat langsung cari dia?”

“Itulah masalahnya, Tengku. Lepas kejadian bangunan runtuh berlaku semalam, Mr. Raymond terus menghilang. Kami dah cuba hubungi banyak kali tapi tak dapat. Rumah dia pun dah kosong!” terang Zila, pembantu Mr. Raymond. Satu-satunya orang yang bertanggungjawab untuk semua permasalahan yang timbul.

So... sekarang macam mana, Tengku?” Henry tagih kata putus.

“Tentang Mr. Raymond, serahkan pada polis. Biar polis buat kerja mereka. Kita buat kerja kita. For now on, bahagian projek yang runtuh tu ke dibina semula. Selesaikan masalah dengan syarikat pembekal secepatnya. Kita dah tak ada banyak masa. Setiap fasa binaan projek perlu siap mengikut schedule yang dah ditetapkan.

Encik Shamrin... lepas ni awak bawa Encik Saiful pergi jumpa syarikat pembekal dan bincang semula dengan mereka. Beritahu yang kita tak pernah arahkan untuk terima sebarang pesanan selain dari apa yang kita dah tetapkan dari awal dalam kontrak.

Sepatutnya masa mereka terima arahan tu, they should ask and discuss with us first. Bukan bulat-bulat terima arahan tersebut. Kecuali mereka juga bersekongkol dengan Mr. Raymond. Dan, tengok? Apa dah jadi dengan bangunan tu sekarang bila mereka hantar material yang tak berkualiti macam tu?”

Suara yang perlahan mula berima tegas. Dari hanya duduk tenang, kini figura tinggi itu sudah berdiri menghadap semua pekerjanya.

“Jadi, sekarang... kita nak mereka hantar segala bentuk bahan mengikut standard seperti dalam kontrak perjanjian dulu. Kekalkan sehingga projek ini siap tanpa ada sebarang perubahan selagi tiada apa-apa arahan dikeluarkan. Kalau ada yang berubah, kita akan maklumkan. Dan, akan dibuat melalui perjanjian.

Material tak berkualiti yang dah mereka bekalkan untuk fasa ketiga ni... kita akan bayar sebanyak lima puluh peratus sahaja. Kalau mereka tak nak, kita beri kata dua. Sama ada nak terus bekerjasama, atau berhenti berurusan dan tukar pembekal lain tanpa bayar satu sen pun.

Mereka nak cakap fasal rugi, syarikat kita lagi banyak rugi dengan bangunan yang runtuh macam tu. Nak kena dirikan semula. Bukan sesuatu benda yang mudah dan murah. Belum dikira penat lelah dan masa yang terbuang. Am I right?”

Pertanyaan Tengku Harrys itu dibalas dengan anggukkan yang lain.

 “Ada apa-apa lagi soalan?”

Gelengan kali ini diberikan.

“Kalau tak ada apa-apa, kita tangguhkan mesyuarat. Apa-apa perkembangan, kita akan bincangkan dalam mesyuarat seterusnya. Semua boleh sambung kerja masing-masing. Tugas kita akan jadi lebih tough lepas ni untuk pastikan semua masalah diselesaikan dengan segera.”

Para kakitangan mula bersurai dan bergerak keluar untuk menyambung tugas dengan kadar yang pantas. Sepantas arahan yang diberikan Tengku Harrys.

 

HENING sepi suasana di dalam bilik berkenaan. Ketiga-tiga penghuninya begitu khusyuk meneliti fail-fail yang bersusun di atas meja panjang. Sejak masuk ke dalam bilik yang disediakan khas untuk mereka, tiada seorang pun yang bercakap atau bersuara. Kecuali ada sesuatu perkara yang perlu dibincangkan.

            “Tengku, akak nak keluar jumpa Zila sekejap. Ada beberapa benda nak tanya pada dia,” beritahu Kak Faridah.

            Tengku Harrys mengangguk. Hujung mata menyoroti langkah wanita tersebut hingga ke muka pintu.  

Tinggal dua susuk insan dalam bilik itu kini. Seorang nun di hadapan sana, seorang lagi nun di hujung sebelah sini.

Irish terus tekun meneliti fail-fail di hadapannya.nTengku Harrys langsung tidak dipandang. Hatinya masih kecut melihat keseriusan dan ketegasan lelaki berkenaan semasa di bilik mesyuarat tadi.

Hanya sesekali dia mendongak untuk mereda lenguh di leher. Hampir dua jam kepala ditunduk meneliti laporan kewangan projek. Diurut perlahan tengkuknya agar selesa kembali.

“Penat?”

Irish berkalih ke arah suara itu. Bening redup Tengku Harrys lebih dulu menyapanya.

“Sikit.”

“Kalau penat rehatlah dulu.”

“Tak apa.”

Tugas masing-masing bersambung kembali. Suasana kembali sepi. Seminit...

“Boleh buatkan air untuk saya?”

Sekali lagi Irish menoleh. Kaget dengan permintaan itu.

“Boleh?” pinta Tengku Harrys sekali lagi. Pandangan kekal tegar menatap skrin komputer riba di atas meja dengan raut serius.  

Irish bangun dari kerusi. Kaki diayun menghampiri lelaki tersebut. “Tengku nak air panas atau sejuk?”

“Sejuk.”

Irish menapak keluar. Saat itu, Tengku Harrys mengangkat wajah. Jelas senyuman kecil terukir di sudut bibirnya.

 

LINCAH tangannya membancuh minuman. Nak buat milo ‘o’ sejuk, bahan tak ada. Nampak pati oren atas rak pantri, itulah yang dicapai.

“Tadi tanya penat ke tak. Nampak macam kasihan dan simpati. Tapi sekarang... minta suruh buat air pula.”

Siap air dibancuh, beberapa ketul kiub ais dimasukkan. Piring kecil diambil sebagai alas. Langkah Irish dibawa menghala ke bilik kembali.

“Air, Tengku.”

“Oh, thanks. Tak buat awak punya sekali?”

“Tak apa. Saya tak haus.”

Tengku Harrys meneguk gelas berisi air oren sejuk itu.

“Sedap.”

Gelas diletakkan semula. Raut yang berdiri di sebelah dipandang seketika sebelum kembali menatap komputer riba.  

Irish turut pulang ke tempatnya.

‘Semacam aje puji. Macam nak suruh buat air untuk dia tiap-tiap hari ni...’

Kerja yang tertangguh tadi disambung kembali dalam gundah gulana yang tak bertepi.




No comments: