Thursday, August 4, 2016

BAB 14 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






T

ENGKU Harrys keluar dari bilik pejabatnya. Dia perlukan beberapa buah fail dan laporan syarikat. Sudah berapa hari mulakan tugas, selama itu juga dia perlu meneliti dan memahami semua perkara berkaitan syarikat.

“Tasya, dengan siapa saya boleh dapatkan laporan kewangan syarikat yang terkini dan sebelum-sebelum ni?” tanya Tengku Harrys pada setiausahanya.

“Oh, ada pada finance officers. Tapi sekarang Encik Naufal dan Puan Faridah ada mesyuarat kat luar. Rasanya boleh dapatkan dari Cik Irish. Saya pergi minta sekarang, ya.”

“Tak apa. Saya pergi minta sendiri. Thanks.”

Tengku Harrys mengayun langkah menuju ke bilik gadis itu.

Tuk tuk tuk!

“Masuk.”

Kedengaran suara halus memberi arahan dari dalam. Segera tombol pintu dipulas. Dilihatnya gadis itu sedang

“Ya, Insyirah. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Irish masih tertunduk menulis.

Senyap. Tiada jawapan. Pantas gadis itu mendongak. Gulp!

Menderau darah melihat susuk yang tak tersangka sedang berdiri di depan. Redup pandangan memerhatikannya, sambil dua tangan menyeluk saku seluar.

“Teng... Tengku!” kalut Irish bangkit dari kerusi. “Ma... maaf. Saya tak perasan Tengku yang masuk!”

Tengku Harrys ketap rahang. Menahan sedaya upaya gelaknya dari berderai.


                                       


“Tak apa. Sibuk ke?”

“Tak.”

“Saya mengganggu?”

“Tak.

“Ada yang boleh saya tolong?”

“Tak... tak ada.”

‘Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab.’ Hati lelaki itu berdesis.

“Laporan kewangan syarikat, yang terkini dan tahun sebelumnya... ada awak simpan?”

“Ada. Sebentar.”

Irish menapak ke rak di belakang. Fail-fail yang diminta, diambil. Diserah kesemuanya tanpa memandang lelaki itu.

“Awak memang tak suka pandang orang, ya?”

Irish tersentak. “Huh?”

“Tak ada apa-apa. Thanks!”

Lelaki itu terus berlalu keluar, membiar Irish termangu dengan kata-katanya.


 **********

 

DILANDAIKAN tubuh atas kerusi rehat di tepi kolam renang. Kepala mendongak merenung bintang di langit malam. Usai makan bersama keluarga tadi, dia terus bawa haluan ke sini.

Bersantai, menenang fikiran, merehat diri.


                                         


Gitar akustik Taylor 714ce-N seiringan dipetik. Memain lagu-lagu kegemarannya. Inilah peneman setia yang sering menghibur sepanjang menetap di tempat orang. Bukan seperti sesetengah rakan-rakan yang gemar mencari hiburan di luar atau di kelab-kelab malam.

Itu bukan jiwanya.

‘Indah bintang di langit sana. Tak terjangkau dek tangan untuk mencapai. Sama seperti apa yang aku rasakan saat ini.’ Sanubarinya berbingkis. Melayani perasaan sendiri.

“Hoi! Termenung apa?”

Satu suara menyergah dari belakang.

“Abang ni... bagilah salam ke apa.”

Tengku Hafiy hanya tergelak. Duduk dipanggung pada kerusi rehat bersebelahan. “Alah... kalau abang bagi salam pun belum tentu kau dengar! Kalau dah termenung macam tu. Kau okey tak?”

“Okey.

“Iya ke? Macam tak aje abang tengok.”

“Betullah. I’m okay.”

“Kerja kat ofis macam mana? Ada apa-apa masalah?”

“Alhamdulillah, semua baik. Abang janganlah risau. Kalau ada apa-apa, abang orang pertama yang Harrys cari.”

Tengku Hafiy mengangguk puas hati. Tubuhnya ikut berbaring di atas kerusi. Merenung sama ke langit malam sambil halwa dihiburkan dengan petikan melodi yang mengasyikkan.

Masih tidak berenggang lelaki di sebelah dengan gitarnya. Sejak dari bangku sekolah. Tak seperti kebanyakan anak-anak muda kalangan mereka yang gemarkan aktiviti-aktiviti lebih formal. Adiknya lebih selesa dengan minatnya bermain instrumen muzik. Lagi-lagi gitar.

Semuanya pengaruh dari Fezrul, satu-satunya rakan baik Tengku Harrys. Merangkap sifu yang mengajar adiknya tentang dunia muzik. Sampaikan dirinya pun terjebak sama. Tapi dia sikit-sikit sajalah. Tak sehandal insan di sisi yang pandai bermain segala jenis instrumen.

“Abang bila nak kahwin?”

Deras Tengku Hafiy menoleh. “Kenapa tiba-tiba tanya?”

“Saja. Abang cakap nak tunggu Harrys balik. Ni... Harrys dah ada kat sini. Lagipun, dah lama abang bertunang dengan Kak El. Kasihan dia tunggu lama.”

“Insya-ALLAH... dalam perancangan. Mungkin tahun ni. Doakanlah. Kau... bila lagi?”

Seperti lazim, soalan itu hanya dibiar Tengku Harrys sepi tanpa jawapan. Sedari dulu bila soalan sebegitu diajukan, dia tiada hati untuk menjawab.

Tengku Hafiy mengeluh perlahan. “Hai! Sampai bilalah agaknya hati kau tu nak terbuka untuk perempuan, Rys...” Pandangan kembali terhala ke cakerawala di atas.

“Irish memang macam tu ke, bang?”

Terpacul lagi soalan tak terduga dari Tengku Harrys. Jemari terus kekal memetik gitar.

“Macam mana apa?”

“Pendiam. Tak banyak cakap.”

Well.. that’s her. Memang susah nak buka mulut dengan orang yang dia tak biasa. Lagi-lagi yang baru kenal.”

So, dengan abang dia dah biasalah?”

“Bolehlah. Sekarang ni dah okey sikit. Kalau dulu, memang payah! Kena pandai tackle hati dialah. Layan baik-baik. Rajin ajak berbual. Tapi tengok orang juga. Dengan abang pun mungkin sebab abang ni kawan Izzul kut. Itu pun lepas Izzul selalu bawa dia datang ke sini.”

Petikan gitar terhenti. Pandangan Tengku Harrys berkalih ke sisi. “Selalu datang sini?”

“Ha, iyalah. Dulu pun Izzul kerap datang sini, kan? Mama tu yang selalu suruh Izzul datang bawa family dengan adik dia. Mama kan rapat dengan anak-anak Izzul. Dah macam cucu dia sendiri. Dengan Izzul memang dari dululah. Tapi dengan si Irish ni... lain macam berkenan aje abang tengok mama tu. Sejak pertama kali Irish datang sini.”

“Berkenan?”

“Yup!”

“Berkenan kenapa?”

“Berkenan nak buat menantu! Eh, abang masuk dululah. Dah malam ni. Kau pun jangan tidur lewat sangat. Sini Malaysia, bukan UK!” Tengku Hafiy menepuk bahu adiknya sebelum berlalu masuk ke dalam vila.

“Menantu? Untuk siapa?” bicara Tengku Harrys penasaran.

Dan persoalan itu hanya berlalu bersama hembusan bayu malam.

 

 




No comments: