Thursday, August 4, 2016

BAB 13 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






 C
IK Irish... big boss panggil semua staf berkumpul sekarang”

Insyirah muncul di bilik Irish awal pagi Isnin itu. Terhenti gerak tingkahnya yang sedang mengemas meja. “Ada apa ya, In?”

“Tak tahulah, Cik Irish. Mungkin ada hal penting nak diumum. Tak pun... gosip panas! Hahahaa!” Sempat Insyirah bergurau, buat Irish tergelak sama.

“Okey. Sekejap lagi saya keluar.”

“Okey, Cik Irish. Jumpa kat luar!”

Saat tiba di ruang tengah pejabat, semua pekerja tingkat itu sudah berkumpul. Langkah Irish terus menghala menyertai Insyirah, Kak Maisarah, Farisya, dan Elaine di suatu sudut.

Lima minit...

Pintu bilik Tengku Hafiy terkuak. Kelibat Tengku Haiyan berjalan keluar diikuti Tengku Hafiy. Sesaat, figura berketinggian 1.84 meter segak berpakaian sut pejabat rona hitam mengekori di belakang. Semua yang ada berbisik satu sama lain, bagai berbicara tentang lelaki yang kini berdiri di sebelah Tengku Hafiy.

“Assalamualaikum dan selamat pagi. Tentu semua tertanya-tanya kenapa saya panggil berkumpul pagi ini? Baiklah... saya ingin memperkenalkan anak lelaki saya, iaitu adik kepada Tengku Hafiy yang baru saja pulang dari luar negara.

Sebelum ni beliau menetap di UK, belajar dan bekerja di sana. Dan, hari ini... beliau telah kembali untuk memberikan khidmatnya sekali gus membantu kita membangun serta memajukan lagi syarikat,” jelas Tengku Haiyan.

So ladies and gentlemans... I introduce to you our new Chief Financial Officer, Tengku Harrys Damien. Saya harap anda semua akan membantu dan berikan kerjasama pada beliau sebagai orang baru di sini.”

Tepukan bergema di ruangan tersebut. Menyambut baik kata-kata Tengku Haiyan.

“Harrys...”

Lelaki itu mempersila anaknya memberi sepatah dua kata kemudian.

“Assalamualaikum. Selamat pagi. Seperti yang diberitahu sebentar tadi, walaupun dah bertahun saya bekerja dan tinggal di tempat orang, tapi saya tetap orang baru di sini. Banyak benda yang saya perlu belajar tentang syarikat ini. Harap semua dapat membantu dan kita akan bekerjasama dengan baik. Terima kasih.”

Sekali lagi tepukan mengisi suasana.

“Baiklah... semua boleh bersurai dan sambung kerja. Sebentar lagi Tengku Hafiy akan bawa Tengku Harrys untuk pusing satu syarikat dan berkenalan dengan anda semua.” Tengku Haiyan mengakhiri perjumpaan pagi itu.

Masing-masing bersurai. Irish menyambung semula kerja mengemas yang tergendala. Rak fail di sudut kiri bilik dirapikan kedudukannya.

“Assalamualaikum, Irish...”

Gadis itu berpaling ke muka pintu

Sorry, ganggu sekejap. Ni... abang nak perkenalkan Harrys.” Tengku Hafiy menepuk-nepuk bahu adiknya di sebelah. Adakala dia tersasul membahasakan dirinya sebagai ‘abang’ pada Irish di pejabat. “Dah jumpa kat rumah hari tu, kan?”

Irish mengangguk. “Ya.”

“Ha, Rys! Ini Irish Qiara Izzuddin. She is our Financial Executive.”

Irish ukirkan senyuman buat Tengku Harrys, tanda salam perkenalan. Namun lelaki itu hanya memandang wajahnya tanpa sebarang.

“Lepas ni kau orang berdua akan banyak bekerjasama untuk uruskan hal kewangan syarikat ni,” jelas Tengku Hafiy lagi.

Masih tiada reaksi dari Tengku Harrys.

“Wei, Rys!” Bahu adiknya ditepuk. Kuat. “Kau dengar tak?!”

“Hmm? Ha... dengar, dengar.”

“Kau kenapa?”

“Tak ada apa.” 

“Dah, jom! Abang kenalkan kau pada staf yang lain. Okey, Irish... abang keluar dulu. Continue your work!”

Lelaki itu terus menarik bahu adiknya keluar dari bilik tersebut.


 **********


TENGKU Harrys dibawa mengelilingi seluruh bangunan. Hampir dua jam masa diambil untuk membawa lelaki itu melawat semua jabatan bertemu warga syarikat.

            Hingga ke destinasi terakhir...

            “Alright, bro. This is your room.”

Tengku Hafiy membawa masuk ke dalam bilik pejabatnya selaku CFO Haiyan.

Meliar mata Tengku Harrys memandang sekeliling bilik. Setiap sudut menjadi perhatian. Agak luas. Lebih luas daripada bilik yang pernah dihuni sewaktu bekerja dengan warga ‘orang putih’ di UK. Hiasan dalaman serta susun atur barang juga menepati cita rasanya.

            “Macam mana? Kalau tak suka idea abang ni, boleh request kat papa untuk tukar.”

            “No. Everything’s fine to me. Pandai juga abang deko ikut cita rasa Harrys.”

            “Abang kenal kau dari kecik. Mestilah tahu. Cuma satu benda aje yang abang tak tahu fasal kau dari dulu.”

            Tengku Harrys melirik abangnya. “What?”

            “Fasal perempuan. Okeylah... abang keluar dulu. Kalau ada apa-apa, secretary kau ada kat luar. Have a nice first day!” Lelaki itu terus beredar meninggalkan adiknya terpinga-pinga.

Hilang kelibat abangnya, Tengku Harrys melabuh duduk di kerusinya. Tubuh bersandar tenang merenung jauh ke siling atas.

            ‘Irish.’

Nama itu masih terngiang di telinga. Sejak pertama kali mendengarnya di majlis malam Sabtu lalu. Kali kedua sewaktu diperkenalkan Tengku Hafiy pagi tadi.

Serasa nama itu semakin melekat di jiwa.

“Irish Qiara...”

Dan, ia meniti di bibir merahnya buat kesekian kali.

 

 **********


“HARI ni aku dapat rasakan jantung aku berdegup tak henti-henti!” Lemah gemalai suara Zaryn memecah kesunyian mereka yang sedang asyik menikmati ayam goreng depan mata. Tengah hari ini mereka mengubah selera lantaran sebuah restoran KFC menjadi pilihan.

“Kau dah kenapa, Ryn? Kena sampuk ke apa?” tegur Insyirah yang berada di tengah-tengah antara Zaryn dan Irish.

            “Agaknya kut! Sampukan dari ‘Prince Charming’.

“Siapa? Tengku Harrys?”

“Well... siapa lagi, In? Hurmm... bersemangat pula rasanya nak pergi kerja hari-hari macam ni. Pagi tadi masa Tengku Hafiy perkenalkan adik dia kat aku, rasa macam nak pengsan aje time tu. Ya ALLAH... kacaknya diaaa!” bicara Zaryn sepenuh hati.

            “Yalah, Zaryn! I pun rasa macam tu, maa. He’s so handsome!

“Hei, amoi! Kau pun sama juga? Tak padan dengan pelat dia. Ada hati!” Serentak Farisya memukul lembut lengan gadis Cina di sebelahnya.

            “Kau orang berdua ni tak habis-habis nak berangan, kan? Entah-entah Tengku Harrys tu dah ada pilihan hati. Manalah tahu!” duga Kak Maisarah.

“Eh! Bukan Kak Mai cakap Tengku Harrys tu susah nak dekat dengan perempuan ke?”

“Akak cuma cakap apa yang akak dengar aje, Ryn. Itu pun dari Tengku Hafiy. Tak tahulah kalau sekarang ni dia dah berubah hati. Ataupun... dah terpaut dengan salah seorang staf perempuan masa sesi perkenalan pagi tadi.”

“Oh! Tak apa, tak apa! Kita tunggu dan lihat nanti. Yang penting... Tengku Harrys telah berjaya mencuri hatiku!” seloroh Zaryn separa kuat tanpa pedulikan keadaan sekeliling.

            “Ha, iya! We’ll wait and see. Siapa yang Tengku Harrys dah terpikat, siapa yang dok melopong nanti! Betul tak, Cik Irish?” tutur Insyirah menoleh pada Irish di sisinya. Ketuanya itu sekadar membalas dengan senyuman.

            “Tengok! Kalau aku jadi Tengku Harrys, dah sah-sah aku pilih perempuan macam Cik Irish yang tak banyak cakap ni. Daripada kau yang bercakap tak reti nak berhenti, boleh pecah gegendang telinga lama-lama!” tingkah Farisya selamba.

Ketawa yang lain berderai tak semena-mena.

            “Amboi! Sedapnya kau orang kutuk aku. Tahulah aku tak cantik macam Cik Irish!”

            “Eh, tak adalah. Dia orang bergurau ajelah, Zaryn. Awak cantik. Siapa cakap tak cantik? Kalau tak, takkan awak duduk bahagian paling hadapan kat Haiyan tu.”

“Tengok! Cik Irish juga yang baik pujuk aku. Kau orang tak baik tau!”

            Sepanjang menghabiskan waktu rehat, hanya topik berkenaan Tengku Harrys sahaja menjadi perbualan.

Bukan cuma mereka, bahkan satu bangunan Haiyan sibuk memperkatakan tentang kehadiran jejaka itu. Terutama dalam kalangan pekerja-pekerja wanita.

Sekelip mata... nama Tengku Harrys menjadi sebutan dan viral merata-rata.

 

 

No comments: