P
|
ERKARANGAN Villa Haiyan sudah dipenuhi dengan para tetamu sewaktu mereka tiba di kediaman milik
Tengku Haiyan itu. Izzul yang sedang mendukung anak perempuannya, Qisrina masuk
mendahului Safiya yang juga sedang menggendong anak kecilnya, Alief Qhuarizmie
yang berusia sepuluh bulan itu. Irish pula mengekori di belakang sambil
memimpin tangan Qusyairi manakala sebelah lagi tangannya membawa sebuah beg kertas
berisi dua buah hadiah. Satu daripadanya dan satu lagi daripada Izzul untuk
diberikan kepada anak Tengku Hazleen yang turut menyambut hari ulangtahun
kelahirannya di majlis malam ini.
“MANA adik kau, Fiy?” Izzul bertanya pada rakannya. Sudah lama
dia berada di sini namun batang hidung orang yang diraikan masih belum
kelihatan.
Dari
kejauhan sudah terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang berbual mesra dengan
seorang gadis. Lansung dia tidak menyedari kehadiran Izzul sekeluarga serta
Irish kerana berdiri membelakangi mereka. Sebaik Izzul datang menghampiri,
ditepuk bahu rakannya itu. Tengku Hafiy pantas menoleh.
“Hey,
Zul! Bila kau sampai? Tak perasan pun aku!”
“Mana
nak perasan. Dok sibuk bersembang dengan tunang dia sampai aku datang pun tak
sedar!” Izzul menumbuk lembut dada Tengku Hafiy, menyebabkan lelaki itu
tergelak besar.
“Sorry, sorry! Betul aku tak perasan. Dah
lama sampai ke?” soal Tengku Hafiy lalu berjabat tangan dengan Izzul.
“Taklah.
Baru je.”
Izzul
mengangkat tangannya pada Helena yang setia di sisi Tengku Hafiy. Gadis itu
tersenyum sebelum dia bergerak menghampiri Safiya untuk bersalaman.
“Hai,
Fiya. Sihat?”
“Sihat
El, Alhamdulillah.”
Dan
kemudian pandangan Helena tertumpu pada gadis di sebelah Safiya. Rasanya dia
tidak pernah bertemu dengan gadis itu. Lantas dia menoleh pada Tengku Hafiy.
“Oh,
lupa! Kenalkan ini Irish, adik Izzul. Irish, ni tunang Abang Fiy, Helena.”
“Hai,
Irish. Helena.”
Helena
meperkenalkan dirinya pada Irish. Tangannya disuakan untuk bersalaman dengan
gadis manis di hadapannya itu. Senyuman yang mekar di bibir Irish membuatkan
Helena berasa selesa walaupun ini baru kali pertama mereka bertemu. Tengku
Hafiy kemudiannya mengajak mereka mengambil tempat duduk di salah satu meja
yang terletak di bahagian tepi, tetapi di barisan hadapan sekali berhampiran
dengan pentas kecil yang disediakan khas untuk majlis malam ini. Hadirin yang
lain juga sudah mula duduk di meja masing-masing memandangkan majlis akan
bermula sebentar lagi. Kelihatan Tengku Haiyan dan isterinya serta ahli
keluarga yang lain turut mengambil tempat di meja utama betul-betul menghadap
pentas, juga berhampiran dengan meja yang diduduki oleh mereka.
Majlis pada malam itu diacarakan oleh
seorang pemuda yang segak berbaju batik. Mungkin kenalan keluarga Tengku Haiyan
barangkali, atau mungkin juga dari kalangan saudara mereka. Tirai majlis dibuka
dengan bacaan doa oleh seorang ustaz. Sesudah itu, pengacara majlis menjemput
Tengku Haiyan untuk naik ke atas pentas memberikan sedikit ucapan. Seluruh
tetamu kelihatan begitu khusyuk mendengar ucapan beliau, termasuk Irish. Gadis
itu memberikan sepenuh tumpuannya pada pentas di hadapan hingga tanpa disedari
ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya dari meja lain.
Bagaikan
menyedari dirinya sedang diperhatikan, perlahan Irish menoleh. Berderau
darahnya apabila sepasang mata sedang merenung tajam ke arahnya. ‘Siapa dia ni?
Rasanya tak pernah nampak sebelum ni. Tapi kenapa pandang aku sampai macam tu
sekali?’ bisik Irish. Puas dia memikirkan siapakah gerangan lelaki tersebut.
Manalah tahu mungkin dia pernah mengenalinya. Namun mindanya tidak berjaya
untuk mengingati.
‘Hmm, biarlah.’ Akhirnya gadis itu hanya membiarkan
sahaja.
Selesai
Tengku Haiyan berucap, semua hadirin bangun dan memberikan tepukan padanya.
Majlis kemudian dilanjuti dengan acara memotong kek sempena ulangtahun
kelahiran cucu bongsu Tengku Haiyan yang berusia dua tahun. Walaupun majlis
disambut dalam keadaan yang sederhana, namun kemeriahannya tetap terasa.
Sementelah
di dapur, kedua-dua pembantu rumah Tengku Haiyan juga tidak menang tangan untuk
menyediakan segala keperluan bagi membolehkan majlis tuan rumah berjalan
lancar. Walaupun hidangan pada malam ini kebanyakannya disediakan oleh pihak
katering, namun ada juga hidangan yang dimasak oleh mereka atas permintaan
Tengku Dafina sendiri memandangkan tidak semua hidangan katering itu memenuhi
selera orang ramai.
“Dewi,
tolong mak ambilkan pinggan besar kat almari sebelah meja makan tengah tu,”
pinta Mak Ros pada Dewi. Sesaat dua, tiada sebarang reaksi. Mak Ros berpaling
ke belakang. Namun tiada sesiapa di situ. “Ai! Hilang dah? Mana pergi budak
bertuah ni? Bukan tadi dia duduk kat sini buat kerja ke?”
Mak Ros
melangkah keluar dari dapur untuk mencari Dewi. Sangkanya mungkin gadis itu
pergi ke tandas sebentar. Lantas dia melangkah ke arah tandas di bahagian
dapur. Namun apabila dia sampai, pintu kelihatan terbuka menandakan tiada
sesiapa di dalamnya.
“Mana
pulak budak ni? Takkan tidur kat bilik kut? Sakit kepala?” duga Mak Ros.
Walaupun mindanya tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan namun kakinya tetap
juga dihayun ke bilik gadis itu. Keluar sahaja dari ruangan dapur, langkah Mak
Ros tiba-tiba terhenti. Bibirnya diketap. Dengan perlahan dia melangkah
menghampiri pintu di ruangan tengah villa.
“Oi,
Dewi!”
Sergahan
Mak Ros secara mengejut itu membuatkan Dewi benar-benar terkejut. Habis periuk
dan sudip di tangan tercampak. Berdentang-dentung bunyinya sebaik ia jatuh ke
lantai.
“Mak!
Ngapain shockkan Dewi sampai begini
sekali? Aduh, lemah dong jantung Dewi! Bisa kena heart attack Dewi kaya gini!” tingkah gadis itu. Dadanya
diusap-usap kerana masih terkejut dek sergahan Mak Ros sebentar tadi.
“Heart attack, ya? Yang kau dok
terintai-intai kat sini tu kenapa? Penat mak terpanggil-panggil kau kat dapur
dari tadi. Rupanya kau dah kat sini, kan!”
“Sshhh!”
Dewi meletakkan jari telunjuknya di bibir.
“Apa
sshhh, sshhh?”
“Aduh, mak! Perlahan dikit suaranya. Nanti didengarin
sama semua orang.”
“Tau pun
kau takut, kan? Kerja bukan main melambak kat dapur, kau pulak dok
terintai-intai kat sini. Dah kenapa? Curi tulang, ya?”
“Enggaklah,
mak. Masakan Dewi dibilangin begitu. Ini... Dewi cuma suka lihat semua orang di
luar itu. Cantik-cantik, ya. Cowoknya juga ganteng-ganteng. Aduh! Suka banget
Dewi lihat sama mereka!”
“Amboi!
Seronoknya dia cuci mata, kan. Suka?”
“Iya
sukalah, mak! Kan bagus kalau Dewi juga bisa pakai begitu. Pasti lagi grand, kan!” ujar Dewi begitu teruja.
Tersenyum-senyum dia melayani angan-angan sendiri.
“Dah,
jangan nak berangan!” serentak itu Mak Ros mencubit pipi gebu Dewi, membuatkan
gadis itu mengaduh kesakitan. “Kau kalau dah berangan sampai esok pun tak ada
sudahnya. Dah, jom masuk dapur! Kerja kau dah memanggil-manggil tu!”
Pantas
Mak Ros menarik tangan Dewi untuk ke dapur. Namun langkahnya sekali lagi
terhenti apabila ditahan oleh Dewi.
“Bentar,
mak. Sebentar!”
“Laaa...
apa lagi? Kang tak siap kerja tu, bising pulak Tengku nanti. Isshh! Cari pasal
betullah budak bertuah ni! Hah, kenapa pulak kali ni?”
“Sabar,
mak. Jangan marah-marah dong!” Dewi cuba menenangkan Mak Ros yang sudah
mula panas.
Kemudian dia menjengah semula ke luar villa sambil memerhatikan sesuatu.
“Tu...,”
“Apa
dia?” Mak Ros turut menyoroti arah yang ditunjukkan oleh Dewi. “Tak nampak
apa-apa pun!”
“Ishh!
Mak ini! Manusia yang segede-gede itu pun enggak bisa dilihatin. Tu... itu....”
“Mana?!”
“Laaa...
ya itulah! Anaknya Ibu Tengku yang baru pulang dari oversea itu!” ujar Dewi sambil jari telunjuknya diarahkan pada
seorang lelaki yang sedang berbual bersama tetamu-tetamu di luar. Ditarik
sedikit badan Mak Ros merapatinya agar dapat melihat gerangan yang dimaksudkan.
“Yelah, yelah! Mak nampak ni. Ha,
kenapa pulak dengan anak Tengku tu?” tanya Mak Ros. Dia tahu semenjak Dewi
bekerja sebagai pembantu di villa ini, baru pertama kali gadis ini berjumpa
dengan anak lelaki bongsu majikannya lantaran gadis itu bekerja di sini belum
sampai setahun. Sedangkan lelaki itu sudah setahun tidak pernah pulang ke Malaysia.
“Anak Ibu Tengku itu ganteng banget ya, mak! Handsome! Grand! Man...,”
“Oi! Tak
habis-habis lagi? Dah, kau pergi buat kerja sekarang! Sebelum mak report kat Tengku baik kau pergi buat
kerja sekarang!” Mak Ros sudah kembali membebel.
“Ya,
iya! Dewi pergi sekarang. Baru bilang sedikit udah mau marah.”
Dengan
muka yang sedikit mendung, Dewi kembali ke dapur untuk meyambung kerja-kerjanya
semula. Namun rajuknya bukanlah seteruk mana. Hanya merajuk seorang anak pada
ibunya sahaja. Sebentar lagi baiklah dia. Dia tahu walaupun Mak Ros kuat
berleter, namun hati wanita itu sangat baik. Masakan tidak. Sepanjang dia
bekerja di sini orang tua itulah tempat dia bermanja dan menumpang kasih
sebagai ganti tempat ibunya yang berada jauh di seberang laut sana.
“Dah,
siapkan kerja cepat. Lepas tu kita boleh makan. Dah lapar, kan?” tanya Mak Ros
setelah kedua mereka sudah kembali ke dapur.
“Iya, Pmak. Dewi siapin sekarang!”
Spontan
Tengku Hafiy menoleh ke arah meja utama yang berselang satu meja dari tempat
mereka duduk. “Tadi ada dia duduk kat situ dengan family aku. Mana entah hilang.”
“Adalah
tu dia jumpa sesiapa kut,” duga Izzul.
“Acik
Irish... jom kita pergi tengok ikan kat kolam sana tu nak?” tiba-tiba Qusyairi
bersuara mengajak Irish sambil jarinya ditunding ke arah kolam ikan yang
terletak di taman mini. Memang itulah ‘destinasi’ wajib yang akan dia lawati
setiap kali bertandang ke sini.
“Boleh.
Tapi kena tanya papa dulu.”
“Boleh
tak papa?” pinta Qusyairi pada Izzul. Serentak semua mata tertumpu padanya.
“Hmm.
Tapi hati-hati. Jangan terjun dalam kolam tu pulak, ya!”
“Yes, sir!” jerit Qusyairi sambil
mengangkat tangannya. Sepantas kilat dia turun dari kerusi lalu menarik tangan
Irish untuk turut bangun.
“Acik
Iyish... Qis nak ikut jugak!”
Qisrina
yang masih pelat sebutannya itu sudah mendepakan tangan minta dibawa bersama.
Dalam tersenyum, Irish menuruti saja kemahuan si cilik itu. Didukungnya Qisrina
manakala tangan kanannya memimpin Qusyairi lalu dibawanya menuju ke kolam ikan
yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari tempat duduk mereka.
“Hai!
Nasib baik yang sorang ni kecik lagi. Kalau tak, dengan dia-dia sekali Irish
kena angkut!” ngomel Izzul. Kepala anaknya yang tidur dipangkuan Safiya
diusapinya.
“Itu
baru kau, Zul. Esok-esok kalau aku dah ada anak, tak tahulah macam mana
gayanya!”
“Ikut
perangai kaulah! Nak ikut siapa lagi. Betul tak, El? Ceh! Dah terfikir pasal
anak nampak!” Izzul mengusik rakannya itu hingga menyebabkan wajah Helena
merona merah. Tersipu malu gadis itu dibuatnya.
Perbualan
mereka semakin rancak. Apa yang berlaku di sekeliling juga tidak begitu diambil
pusing. Dalam pada mereka berborak-borak, tiba-tiba muncul Tengku Dafina
bersama anak-anaknya yang lain. Kesempatan ini diambil oleh mereka untuk
bersalaman sambil bertanya khabar masing-masing.
“Mama.”
Baru
sahaja Tengku Dafina ingin melabuhkan duduk di kerusi, kedengaran satu suara
memanggilnya. Segera wanita itu berpaling.
“Mama
panggil Harrys?”
“Ha,
Harrys. Mari! Jumpa dengan anak angkat mama, Izzul. Ingat lagi tak kawan abang
kamu yang selalu datang sini dulu?” soal Tengku Dafina pada anak lelakinya,
Tengku Harrys yang baru kembali itu.
“Of course. The only one his best friend.” Tengku Harrys terus mengatur langkah
menghampiri Izzul. Dijabat tangan rakan abangnya itu sebelum mereka berpelukan
setelah lama tidak bertemu.
“Ingat
lagi kau, ya?” Tengku Hafiy turut bangun seraya menumbuk lembut dada Tengku
Harrys, membuatkan lelaki itu tersenyum kecil.
“Sihat, bro?” Tengku Harrys bertanya khabar pada
Izzul. Dia masih ingat lagi dulu sewaktu abangnya masih menuntut di UPM, Izzul
inilah yang selalu dibawanya ke villa. Dan adakalanya bermalam di sini.
Hinggalah Tengku Hafiy melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak lama
selepas itu dia pula turut sama menyertai jejak langkah abangnya. Sejak itu,
mereka tidak pernah bertemu lagi.
“Sihat,
Alhamdulillah. How about you?” soal
Izzul kembali. Sedikit janggal dia untuk berbual dengan Tengku Harrys. Dilihat
adik rakannya itu masih seperti dahulu. Cuma penampilannya sahaja agak berbeza.
Lebih kacak dan segak walaupun hanya dengan berseluar slack serta kemeja hitam yang dilipat lengannya hingga ke paras
siku.
“Macam
nilah. Sama macam dulu.”
Tengku Dafina hanya tersenyum melihat
gelagat anak-anak muda itu. Namun dalam sibuk dia memerhatikan mereka, baru dia
merasakan ada satu kekurangan yang tidak disedarinya semenjak tadi.
“Err...
mana anak kamu yang berdua tu, Izzul? Tak nampak dari tadi. Irish pun Mak Engku
tak nampak. Mana dia? Tak datang ke?” Tengku Dafina bertanyakan pada Izzul, dan
dalam masa yang sama turut menyedarkan yang lain. Belum pun sempat Izzul ingin
membuka mulut, terdengar suara kanak-kanak memanggil Tengku Dafina dari
kejauhan.
“Nek
Engku!!!”
Kelihatan
Qusyairi sudah berlari-lari dari arah kolam meluru untuk mendapatkan Tengku
Dafina sebelum memeluk wanita itu. Kelakuan yang sama turut diulang oleh
Qisrina, membuatkan kedua kanak-kanak itu berada dalam pelukan Tengku Dafina
serentak.
“Cucu
Nek Engku berdua ni ke mana je?”
“Pergi
tengok ikan kat kolam tu dengan Acik Irish.” Qusyairi menjawab pertanyaan itu
sambil muncungnya disuakan ke arah Irish di belakang. Irish yang masih lagi
tercegat di tempatnya sekadar menguntum senyuman. Dapat dirasakan seluruh mata
tertumpu padanya kini. Dengan perlahan, kakinya diatur mendapatkan Tengku
Dafina.
“Mak
Engku.”
Irish
menyalami tangan wanita itu lalu dikucupnya lembut. Dan serentak itu Tengku
Dafina meraih tubuhnya ke dalam pelukan sebelum dahinya dicium wanita itu
seperti selalu.
“Mak Engku ingat Irish tak datang tadi.”
“Ada.
Irish ada.”
“Hmm...
mama ni risau benar Kak Irish tak datang, kan!” Tengku Hazreen yang muncul dari
belakang turut menyalami Irish bersama-sama kakaknya, Tengku Hazleen.
“Ha!
Irish belum pernah jumpa dengan Harrys lagi, kan? Tu... kenalkan adik akak yang
baru balik tu. Tengku Harrys.”
Tengku Hazleen mengarahkan telunjuknya ke arah lelaki
yang dimaksudkan. Irish menoleh. Seketika, dua pasang mata mereka bertemu.
Berderau sekali lagi darah Irish tatkala anak mata lelaki itu merenung tepat ke
arahnya. ‘Bukan lelaki ni ke yang tenung aku tadi?’ desisnya. Dan sekarang ini
pun lelaki itu masih tetap merenungnya tanpa berkalih walau seinci. Tidak tahan
dengan panahan mata itu, Irish hanya menghadiahkan senyuman sekilas sebelum
dialihkan pandangannya ke tempat lain.
“Eh, jomlah duduk! Boleh borak-borak panjang. Dah lama
tak berkumpul ramai-ramai macam ni!” Tengku Dafina bersuara memecah kesunyian.
Lalu semua mereka yang berada di situ duduk mengelilingi meja berkenaan,
kecuali Tengku Haiyan yang sibuk melayan tetamu yang kebanyakannya terdiri
daripada kenalannya. Bermacam-macam cerita yang mereka bual dan kongsikan.
Sesekali gelak tawa mengiringi perbualan, membuatkan suasana semakin riuh.
Hanya Tengku Harrys yang lansung tidak terusik dengan apa
yang disembangkan di dalam kelompok itu. Matanya asyik memerhatikan Irish yang
sedang memangku seorang anak perempuan kecil dalam lingkungan usia empat tahun
yang sudah terlena dalam pegangan. Menurut mamanya tadi, itu adalah anak Izzul.
Sesekali kelihatan gadis itu menepuk lembut kanak-kanak tersebut apabila
lenanya terganggu.
“Hoi! Kau okay
tak?” tegur Tengku Hafiy dengan perlahan seraya menyiku adiknya yang berada di
sebelah. Bukan dia tidak perasan. Sedari tadi dilihat mata Tengku Harrys tidak
lepas-lepas dari memandang Irish.
Sedikit tersentak dengan sergahan itu, cepat-cepat Tengku
Harrys melarikan pandangannya dari terus menatap gadis yang duduk tidak jauh di
hadapan.
“Okay.”
Selamba sahaja suara lelaki itu menjawab, meninggalkan
satu rasa yang sudah lama terbuku di hati.
6 comments:
Adkah itu heronya? Hehe...plot smakin mnarik..good! Keep up!
Thank u.. enjoy ur reading! :)
best!! nak lg ^_^
Thanks all readers! InsyaAllah will be continue.. Nantikan ya... ^_^
tak nak sambung lagi ker... tak sabar tunggu sambunganya,,,
Rozita kadiman : InsyaAllah.. saya akan masukkan n3 baru dlm beberapa hari lagi.. nantikan ya.. maaf lama menunggu.. anyway, thanks to all followers yg sabar menanti.. really appreciated that! *^▁^*
Post a Comment