Saturday, June 13, 2020

CHAPTER 8 : SEJIWA (Sekuel Bayangan Gurauan)






DINGIN angin menelusuri malam kian membeku. Bersama butiran halus salji yang masih berguguran jatuh. Dengan keadaan sejuk begini, dah tentu paras suhu berada di takuk negatif.

Irish berpeluk tubuh. Sesekali tapak tangannya menggosok kedua lengan. Singkir rasa sejuk yang makin menggigit kulit.

Mujur ada fire pit di depan. Dibina khas di tengah-tengah ruang balkoni. Ditambah deretan sofa di keliling. Dapatlah hangatkan sikit badannya.

Sudah satu jam dia duduk di sini. Menikmati panorama indah kediaman Tengku Yasmin yang terletak di Winnington Road, London N2.

 Siapa sangka. Dalam kelompok rumah elit di kawasan ini, terselit juga sebuah milik warga Malaysia. Dan dia bertuah dapat jejakkan kaki ke mahligai Tengku Yasmin. Penuh ciri-ciri Inggeris klasik dari segi reka bentuknya.

“Menung apa?”

Tegur satu suara tiba-tiba. Betul-betul di belakang. Spontan Irish pegang dada. Tubuh dipaling 90 darjah melihat susuk yang menegurnya.

“Harrys!”

“Ya.”

“Suka terkejutkan macam ni.”

“Dah awak pun suka duduk bergelap macam ni. Dari kat Jeju hari tu sampailah ke sini.”

Irish pandang Tengku Harrys. Memang dia tak mampu sangkal kebenaran kata-kata lelaki yang sedang menongkat lengan pada sofa di belakangnya. Sesaat, dia kembali pada posisi asal. Menghadap unggun api yang hangat.

“Fikir apa?”

“Tak ada apa.”

“Dah tu, suka termenung sorang-sorang macam ni. Lupa awak tengah selsema? Then, duduk kat luar sejuk-sejuk ni. Jatuh sakit nanti macam mana?”

Bibir Irish tersungging. “Saja duduk sini. Ambil angin. Lagipun ada unggun api ni. Taklah sejuk sangat. Semua dah masuk tidur?”

“Belum. Ada kat bawah tengok TV.”

“Kenapa tak join?”

“Sebab separuh hati saya ada kat sini.” Penuh selamba Tengku Harrys membalas. Duduknya terus dilabuh ke sofa depan Irish. Bersama sebuah gitar akustik di tangan.

“Mana dapat gitar?” tanya Irish.

“Syaffi.”

“Syaffi pun pandai main?”

“Tengok dengan siapa dia belajar.”

Sekali lagi lelaki itu menjawab selamba. Gitar di ribaan mula dipetik. Alunan melodi perlahan-lahan berkumandang di ruang balkoni. 

“Tak tahu pula selama ni awak minat main gitar.”

“Mula-mula saja cuba. Lama-lama terus suka.”

“Belajar dari siapa?”

“Fezrul.”

“Sejak bila?”

“Sejak kenal dia kat international school dulu. Dari situ dia ajar sikit-sikit.”

Irish terdiam.

“Kenapa? Tak percaya?” soal Tengku Harrys balik.

“Bukan tak percaya. Tak sangka. Orang high standard macam awak boleh minat dengan benda-benda macam ni.”

Why not?”

“Biasa golongan kerabat ni lebih suka aktiviti yang up to their standard.”

“Tak semestinya. Ikut passion masing-masing. Ramai aje orang macam saya kat dunia ni suka main alat muzik. Cuma dia orang tak tunjuk. Dan kita pun tak tahu.” 

Irish kembali membisu. Pandangan terus terpaku pada jari-jari Tengku Harrys yang licah memetik tali gitar mainkan lagu.

“Pernah dengar saya main?”

“Hmm.”

“Bila?”

“Kat vila. Lepas majlis resepsi.”

So, I guess... you still remember this song.”

Kening Irish berkerut. Cuba tangkap alunan lagu sedang dimainkan. Tapi dia tak begitu pasti. Hinggalah bibir Tengku Harrys mula mengungkapkan bait-bait liriknya.

 

Tak pernah ku alami tak mungkin ku hindari

Di himpit perasaan bayangan gurauan

 

Di dalam jaga ku tercari-cari di dalam tidur termimpi-mimpi

Siapakah gadis misteri melambai dan terus menyepi

Jangan biarkan ku ternanti-nanti usah benarkan masa berlalu pergi

Cintamu oh gadis misteri adakah kekal dan abadi

 

Andai diberikan emas permata ku pilih senyumanmu

Andai ku punyai mahligai indah ku hadiahkan untukmu

Dalam berjuta bintang berkerlipan kau bagaikan kejora

Antara ribuan mata menikam takkan ku biarkan kau tenggelam

 

Di dalam jaga ku tercari-cari di dalam tidur termimpi-mimpi

Siapakah gadis misteri adakah dapat ku kenali... 

 

I dedicated this song for my someone,” bicara Tengku Harrys perlahan. Sambil terus memainkan gitar.

“Gadis misteri tu?”

Tengku Harrys mengangguk. Sejenak, dia merenung Irish. Seakan ingin sampaikan sesuatu. Malah sepanjang bibirnya mengalunkan lagu tadi, matanya acapkali menatap wajah mulus itu. Menghantar isi hati tersirat yang dipendam sejak dulu.

“Saya tak pernah jatuh cinta. Apalagi tertarik dengan perempuan. Tapi kehadiran dia merubah segalanya. Wajah dia menganggu tidur dan jaga saya. Bayangan dia selalu bergurau dengan hidup saya.”

Irish menunduk. Entah kenapa debaran itu kembali hadir menyapa ruang hatinya. 

“Saya nak kenal dia. Tapi tak tahu nak cari kat mana. Lantaran saya masih tinggal kat sini waktu tu. Siang malam saya berdoa. Moga ALLAH temukan saya dengan gadis tu. Gadis misteri yang dah berjaya buat hidup saya berubah laku.”

Irish kian tak menentu. Dentak jantungnya sudah berubah semakin laju.

“Setiap kali saya rindu gadis misteri tu, saya mainkan lagu ni. Dengan harapan dia akan menjelma dalam hidup saya suatu saat nanti. Jadi milik saya. Cinta sejati saya. Teman sejiwa saya. Tanpa ada bayangan lagi.”

Irish tarik nafas dalam-dalam. Dadanya kian sesak. Matanya mula ditakungi air hangat.

“Jadi sekarang, dapat teka siapa someone saya tu?”

“Siapa?”

Lambat-lambat Tengku Harrys membalas. “It’s you.”

Serentak petikan gitar terhenti. Lelaki itu bingkas bangun. Kaki segera diatur beredar dari balkoni.

Tinggal Irish terduduk kaku. Melepas ketenangan yang baru diragut. Sebak, sayu, terkejut, takut. Pengakuan yang dizahirkan Tengku Harrys sebentar tadi benar-benar buat seluruh perasaannya berkecamuk. 

Dalam tubuh separuh menggigil, Irish berpaling ke belakang. Mencari Tengku Harrys. Ingin saja dia jerit memanggil lelaki itu. Namun kelibatnya sudah menghilang di balik pintu.



No comments: