“DEL… kamu udah
kasitahu sama Indra kita udah selesai?”
“Oh! Belum, ma.”
“Kok belum?”
“Del udah nelefon
tadi waktu di dalem. Tapi handphonenya mas Indra lagi enganged!”
“Ayuh, dicoba lagi
dong. Kalau masih nggak dapat, telefon sama Aryan atau baba.”
“Iya, iya. Del
nyobain lagi, ya.”
Della
capai telefon dalam beg. Nombor suaminya didail. Tetap sama. Engaged.
Memang suaminya tak
ikut sama masuk tadi. Termasuk kakek, baba serta Aryan. Malas katanya. Tahu
sajalah lelaki. Bab-bab shopping
bukan hal kegemaran. Jadi mereka bawa haluan ke kafe berdekatan.
Masalahnya
sekarang, tak tahu kafe mana jadi singgahan. Kalau tahu, bolehlah dia terus
redah.
Berapa kali cuba tak dapat, talian dimatikan. Nombor
Aryan kini jadi sasaran.
“Helo.”
“Helo, Aryan! Aduh…
kalian lagi di mana, sih? Ini Kak Del sama yang lain udah sele…,”
Zap!
Bicara Della tersekat. Mulutnya ternganga. Telefon
terlepas jatuh. Kepalanya blank
sekejap. Terpempan saat beg tangan disambar sepantas kilat.
“Hei! Pencopet! Balikin tas tanganku!”
Bergema suara Della di perkarangan pusat beli-belah Jetty
Point itu.
“Heh! Lo jangan kabur! Balikin tas tangan itu!!”
Della terus berteriak. Dicapai high heelnya belah
kanan lalu dibaling ke depan. Harap-harap melantun kena kepala peragut lelaki
berkenaan. Nak lari, memang dia tak larat. Jadi itu saja pilihan yang tepat.
Tapi… balingannya tak kena.
“Heh! Awas lo, ya! Kalau aku dapat, siap lo aku kerjain!”
Della makin geram. Dicapai pula high heel belah kiri. Moga-moga tepat kali ini. Dihayun balingan
sekuat hati. Namun mulutnya ternganga sekali lagi kala sosok Sefhia deras
berlari melewati dan terus meluru ke arah peragut tadi.
“Arghhh!!!”
Sekelip mata lelaki itu tersungkur. Rebah mencium bumi
saat tendangan Sefhia melekat ke belakang tubuh.
“Hei! Apa masalah kau, hah?!” jerkah peragut itu. Geram plannya
diganggu.
Sefhia tak endah. Ditarik baju peragut tersebut agar
bangkit. Tapi tangannya laju ditepis. Lelaki di depan cuba bangun untuk lawan
balik.
“Kau nak cari pasal dengan aku ya, perempuan! Tak apa.
Kau tunggu. Siap kau aku kerjakan!”
Depan khalayak ramai, lelaki peragut itu serang balas
Sefhia. Tumbuk, tendang, terajang, semuanya keluar. Namun tak satu pun yang
tepat. Balik-balik dia yang terkena.
“Arghhh!!” dengusnya geram. “Kau nak main-mainkan aku,
ya!”
Keduanya kembali berlawan. Bertubi-tubi Sefhia diserang.
Arah kiri, kanan, dari depan, belakang. Tiap sudut peragut itu kaw-kaw bagi
penangan. Namun satu-satu dapat Sefhia patahkan.
Dah serupa tengok pertarungan dalam gelanggang, orang
ramai makin berkerumun menyaksi pertelingkahan di tengah-tengah jalan. Kagum
dengan kelincahan Sefhia yang bertudung. Atau sakit hati dengan lagak peragut
yang menjengkelkan. Yang pasti, masing-masing nak tunggu macam mana ia
berkesudahan.
Dalam keadaan agak cemas, di celah-celah orang ramai
kerumunan, Aryan berlari menuju ke arah keluarganya. Pak Aryawan, Pak Aditya
dan Indra turut kelihatan sama.
“Kak Del! Ngapain? Apa yang terjadi?!” tanya Aryan dalam
mengah.
Punyalah kelam kabut dia bila dengar Della terjerit-jerit
dalam talian. Dan-dan itu dia berlari keluar tinggalkan kafe tak fikir panjang.
Sampai lupa baba, kakek, abang iparnya ada kat belakang. Mahu putus nafas
mereka kejar dek langkah derasnya di depan.
“Kak! Aryan nanya ini? Kalian nggak apa-apa, sih? Hah,
ma, nenek?”
Aryan menyoal lagi. Sambil periksa keadaan kakak, mama,
nenek serta anak-anak
buahnya yang tegar
diam tak berkutik.
“Aduhhh… kalian ngapain, sih?! Ditanya kok lagi diam!”
Della telan liur. Bibir rasa kebas nak balas soalan Aryan
yang bertalu-talu. Kata-katanya dah hilang dek terperanjat dengan apa yang
sedang berlaku. Sudahnya, tangan yang masih pegang high heel diangkat. Menunjuk ke arah ‘drama’ yang tengah berlansung
hangat.
Aryan toleh. Ikut arah telunjuk Della. Pucat terus
wajahnya sebaik lihat sosok Sefhia sedang bergelut separuh nyawa.
“Sefhia...,”
Sefhia terus balas tiap pukulan di depan. Sesekali
rautnya berkerut bila buku lima peragut itu mengena wajah dan badan.
‘Pertempuran’ yang disangka sekejap nampaknya dah didrag jadi panjang.
Liat betul nak menyerah!
Sefhia jadi geram. Dah tak ada pilihan. Harap
‘senjata’nya akan bagi kesan.
Dengan pantas tubuhnya diputar. Kaki kanan sekaligus
diangkat, dilayang, lalu ditendang deras. Tepat ke ulu hati dan rusuk peragut
di depan.
Serentak, lelaki itu terbatuk-batuk. Dadanya disentuh.
Sakit, perit, bisa. Terasa segala organ dalamannya macam meletup-letup dek
tendangan ‘maut’ tersebut.
Lihat keadaan itu, Sefhia dah tak lengah. Leher peragut
cepat-cepat dilocked dengan tangan. Lengan kiri dipulas terus ke
belakang. Dan serta-merta peragut itu mati pergerakan.
“Lepaslah!”
“Bagi beg.”
“Aku tak cari pasal dengan kau punlah!”
“Bagi balik beg tu.”
“Jangan harap!”
Sefhia naik berang. Cengkaman pada leher makin
dikejapkan.
“Argghhh!!!”
“Bagi balik. Atau leher kau patah.”
Tangan kanan Sefhia dan-dan beralih ke rahang. Tunggu
masa saja tulang leher itu bakal dipusingkan.
“Okey, okey! Aku bagi. Aku bagi!” jerit peragut itu
menyerah.
Kali ini dia benar-benar kalah. Kalau perempuan di
belakang tak acah-acah, sekali rentap saja dia pasti akan rebah. Terkulai nyawa
melayang dengan mudah.
Beg tangan di lengan lansung diserah. Sebaik Sefhia lepas
pautan, peragut itu terus pasang langkah seribu tak tentu arah.
Sefhia lepas nafas. Habis itu tubuhnya dipalingkan. Dari
jauh dia nampak keluarga Aryan. Dah baru kini juga dia sedar kawasan tersebut
dah dikerumun ramai orang.
Endah tak endah, gadis itu atur langkah. Berpatah kembali
pada Aryan sekeluarga yang menanti resah. Walau sedar tiap manusia di situ tak
henti pandang dan berbisik tentangnya, namun dia hanya berjalan tenang sambil
kesat peluh di dahi yang kian membasah.
No comments:
Post a Comment