HARI pertama
melangkah ke Armaya International, perasaan sukar digambarkan. Gembira, teruja,
takut, gementar. Segalanya bercampur-baur. Meskipun dah biasa di tempat orang,
dah biasa dengan suasana asing, tapi kali ini berbeza keadaan.
Kaki terus menurut langkah sosok di
depan. Dari pintu masuk utama hingga naik lif ke tingkat sepuluh, semua orang
tunduk hormat pada babanya. Tapi dengan dia, pandangan hairan saja diterima.
“Assalamualaikum dan selamat pagi
semua. Bisa mohon perhatiannya sebentar.”
Suara Pak Aryawan berkumandang di
ruang tengah pejabat. Kurang dari seminit, ia sudah
dipenuhi para pekerja tingkat tersebut.
“Saya kira ini hari, hari bertuah buat kita. Kerna Armaya International Malaysia
menerima kedatangan CEO barunya. Perkenalkan semuanya... Aryan Alfiansyah
Wong.”
Serentak itu tepukan bergema.
“Saya
kira kalian pasti udah kenal sama anak lelaki saya ini.”
“Apa tak kenal, Pak Aryawan. Dah
viral kut anak Pak Aryawan ni. Sana sini keluar berita tentang Tuan Aryan pasal
kes culik tu!” ujar salah seorang pekerja.
“Betul! Memang famous dah Tuan Aryan ni, Pak Aryawan. Satu dunia kenal. Lagi-lagi
yang perempuan!” sampuk seorang yang lain.
“Alamatnya
lepas ni ramailah anak dara yang beratur nak isi borang jadi menantu Pak
Aryawan. Termasuk kat Armaya ni!” tambah yang seorang lagi.
Spontan ruang tersebut jadi hingar.
Seisi pejabat bergelak sakan. Termasuk Pak Aryawan. Aryan sekadar tertunduk
dengan senyuman.
“Kalian nggak habis bercanda, ya.
Apa sekalipun saya bersyukur banget kerna anak saya udah selamat dari kejadian
tempoh hari. Makanya, dia ada di sini dengan kita ini hari untuk sama-sama
mengusahakan Armaya Group ini.”
“So, maknanya lepas ni Pak Aryawan dah
tak ada kat sinilah?”
“Nggak juga. Saya masih tetap di
sini. Cumanya, ya sebagai penasihat doang. Setelah ini saya akan sering ke luar
negara untuk melihat cabang-cabang Armaya lain di sana. Justeru itu, saya
melantik Aryan mengambil posisi saya di sini untuk urusin Armaya Malaysia.”
Semuanya terangguk-angguk dengar
penjelasan majikan mereka.
“Gimana? Kalian punya masalah sama
hal ini?”
“Tak, Pak Aryawan!” sahut semuanya
serentak.
“Terus
punya soalan yang lain?”
“Tak ada, pak!”
“Bagus. Jadi saya kira kalian udah
ngerti dengan jelas kedudukan halnya saat ini. Kalau nggak punya soalan lagi,
kita bisa stop di sini. Saya mohon juga semuanya bisa kasi kerjasama
yang baik sekali buat Aryan, ya. Kalian harus saling kompak, agar Armaya akan
lebih maju terus ke depan. Insya-ALLAH.”
“Baik, Pak Aryawan!”
“Terima kasih. Bisa nyambung kembali
kerjanya semua, ya. Enjoy your work!”
Semua yang ada kembali bersurai.
Ruang pejabat jadi lengang semula.
“Mari Aryan. Baba tunjukin kamar
pejabatnya.”
**********
BACAAN pada fail di
meja terhenti. Kepalanya disandar ke belakang. Rehatkan otak sekejap dari
dokumen-dokumen di depan.
Sejak pagi tadi, hanya itu yang ditelaahnya.
Study segala maklumat berkenaan syarikat. Isi pengetahuan lebih dulu
sebelum memula tugas.
Armaya International. Anak syarikat
di bawah Armaya Group. Legasi turun-temurun dari datuk moyang sebelah babanya.
Berpangkalan
di Jakarta, Indonesia, syarikat ini bergiat aktif
dalam berbagai-bagai aktiviti perniagaan. Hartanah, perbankan, pendidikan,
perubatan, perhotelan, pelancongan, pelaburan global.
Hampir 50 tahun Armaya Group
beroperasi. Bermula dari perniagaan kecil-kecilan, kini empayarnya bertebaran
luas serata dunia. Mencapai kejayaan berlipat kali ganda. Meraih anugerah dalam
dan luar negara. Seiring dengan kecemerlangan yang dipamerkan.
Asalnya, corak pengurusan Armaya lebih ke arah
konvensional. Memandangkan keturunan asal keluarga mereka adalah Cina-Belanda.
Namun setelah datuknya memeluk Islam, ia perlahan-lahan diubah berlandaskan
syariah.
Aryan lepas keluhan. Rasa takut mengusai dirinya sekarang. Semakin banyak dia tahu tentang syarikat, semakin gerun dan gementar perasaan itu dirasakan.
Aryan lepas keluhan. Rasa takut mengusai dirinya sekarang. Semakin banyak dia tahu tentang syarikat, semakin gerun dan gementar perasaan itu dirasakan.
‘Bisakah
aku menyambung legasi ini? Terus bikinnya lebih baik?’
“Ya
ALLAH…”
Lelaki itu raup wajah. Lansung itu
dia tekup muka ke meja.
Bagaimana
hari-hari yang mendatang seterusnya? Bergelumang dengan kerja-kerja. Perah otak
cari idea. Baru sehari ada di pejabat, rasa macam dah setahun dia duduk di
kerusi CEO ini lagaknya.
“Tuan Aryan.”
Aryan tersentak. Cepat-cepat dia
mendongak.
“Are
you okay?”
Wajah
Intan, setiausahanya terpancul tiba-tiba di muka pintu. Cepat-cepat dia
tegakkan badan. “Iya.”
“Tapi muka tuan nampak pucat. Tuan
tak sihat?”
“Nggak, kok. Saya baik-baik aja.
Cuma capek dikit. Lagi membaca dari pagi,” ujar Aryan memuncung ke arah fail-fail yang bertimbun atas meja.
Intan tersenyum. Langkah diatur ke
meja majikannya. “Sebab tulah saya buatkan kopi ni untuk tuan. Bagi segar sikit
badan. Biar fresh balik otak tu.”
Secawan kopi panas lantas disuakan
depan Aryan.
“Oh! Makasih, Intan. Repotin kamu aja.”
“Eh, tak adalah. Ini memang dah
termasuk dalam skop kerja saya, Tuan Aryan. Sebelum ni pun hari-hari saya
buatkan kopi untuk Pak Aryawan. Pak Aryawan memang suka minum kopi yang saya
buat ni!”
“Oh,
ya?”
“Ya! Memandangkan jawatan CEO dah
turun pada Tuan Aryan sekarang, jadi tuanlah yang akan telan kopi saya tu
hari-hari. Tuan cubalah. Harap-harap tuan pun akan suka.”
Giliran
Aryan tersenyum. Kopi dari air tangan Intan dihirup perlahan-lahan.
“Amacam, tuan? Sedap tak?”
Aryan angkat kening. “Not bad! Enak banget!”
“Serius, tuan?”
“Muka
saya nggak kelihatan bercanda, kan?”
“Alhamdulillah.
Syukur! Lega saya!” Intan tadah tangan sebelum diaminkan. “Tuan jangan risau.
Macam mana saya bagi khidmat yang terbaik untuk Pak Aryawan, macam tu juga saya
akan berkhidmat yang terbaik untuk tuan. Trust
me!”
“Makasih, Intan. Saya ini masih
baruan di sini. Justeru itu saya mengharapkan kamu nggak akan pernah bosan
untuk mengajar dan melayani kerenah saya.”
“Eh, taklah. Nak bosan kenapa pulak?
Adatlah tu orang baru. Banyak benda kena belajar. Insya-ALLAH saya tak akan
pernah bosan dan sedia membantu tuan sedaya yang saya mampu. Saya swear!” ujar Intan lagi dengan senyum
kian lebar. Tangan kanannya turut diangkat sebagai tanda berikrar.
Kali ini Aryan tergelak. Tercuit dengan
gelagat setiausahanya yang ceria dan ramah.
“Ha!
Kan handsome tuan ketawa macam tu.
Padanlah tuan viral satu dunia sekarang!”
“Ah.
Nggaklah.”
“Benaran?”
“Ya
benarlah! Masing-masing teruja tau bila bercakap pasal tuan. Siap ada berhajat
nak jumpa tuan depan-depan. Sebab dia orang tak sangka selama ni rupa-rupanya
Pak Aryawan ada seorang anak teruna yang kacak. Pandai Pak Aryawan sorokkan
tuan, kan!”
“Saya
ini biasa-biasa aja, Intan.”
“Ya
ke biasa-biasa? Tengok tadi semua staf perempuan pandang tuan tak kelip mata.”
“Termasuk
kamu?”
Intan
tersengih. “Ada sikitlah. First time jumpa
bos handsome dan famous macam ni, kan. Siapa tak excited?
Hari ni aje satu Armaya ni sibuk bercakap pasal tuan. Kalah selebriti!”
Aryan
geleng kepala. Dahinya turut digosok-gosok menahan malu.
“Alah!
Tuan Aryan tak payah risaulah! Lama-lama nanti senyaplah dia orang tu.”
“Ya…
harapnya begitulah.”
“Erm…
tuan ada nak apa-apa lagi ke? Sebelum saya keluar.”
“No.
Rasanya nggak setakat ini.”
“Kalau macam tu saya minta diri
dulu, ya. Kalau tuan perlukan apa-apa, panggil aje saya guna interkom tu.”
“Iya. Makasih sekali lagi, Intan.”
“Sama-sama.
Saya keluar dulu,” pamit gadis itu berjalan ke pintu. “Enjoy your coffee. Agak-agak kepala tuan dah serabut hadap
fail-fail tu, telan aje kopi saya tu. Gerenti kepala tuan okey balik!”
Tawa Aryan spontan berderai. Hilang
sikit rasa gemuruh dek telatah lucu Intan.
Benarlah kata baba. Intan antara setiausaha
terbaik yang syarikat miliki. Kehadirannya akan bawa satu aura positif pada
sesiapa saja yang didekati.
Dan kini dia dapat rasa semacam satu semangat menjalar
dalam diri. Semangat untuk lalui hari-hari di sini. Memang tak sia-sialah
pengorbanan baba berikan setiausaha kesayangannya itu padanya.
Namun bila ingat hal dirinya tengah jadi bualan hangat
syarikat ketika ini, lelaki itu mengeluh sendiri. Satu perkara yang tak begitu
digemari. Jadi perhatian. Raih publisiti. Sampai bila hal itu akan berlarutan,
dia sendiri tak pasti.
Gggrrr.
Lamunan Aryan terhenti. Getaran bersulam deringan atas
meja gamit perhatian. Pantas telefonnya dicapai. Nama pemanggil yang terpapar
di skrin menggerakkan jarinya terus menyentuh punat hijau.
“Assalamualaikum, mama.”
**********
KAKI dihayun kemas masuk ke pintu utama pasaraya. Pulang
dari pejabat tadi, dia minta Pak Majid hantarnya singgah ke sini. Untuk penuhi
pesanan mamanya beli sedikit keperluan dapur yang dah habis di rumah.
“Mama,
mama. Untung aja aku udah biasa shopping
di supermarket begini. Kalau nggak,
bisa pingsan aku di sini!” gumam Aryan sendiri.
Lelaki
itu mula berlegar-legar tolak troli. Dapatkan barang yang disenarai Ibu Dian
melalui telefon tadi. Sekejap trolinya dihurung ke sana. Sekejap kemudian
ditarik ke mari. Mati kutu juga dia mencari dalam pasaraya yang baru kali
pertama dijejaki.
Dalam
sibuk mata melilau pada deretan barang atas rak, pandangan Aryan terpaku
sejenak pada satu sosok sedang membelek sesuatu di sudut paling hujung. Seakan-akan
dia biasa lihat jaket kulit hitam yang tersarung pada empunya tubuh.
Aryan
perhati figura berkenaan. Namun wajahnya yang terlindung di balik hood jaket menghalang sedikit pandangan.
Lelaki itu tak puas hati. Perlahan-lahan sosok tersebut
mula dirapati. Setapak demi setapak wajahnya terus diamati.
Tinggal beberapa meter jarak antara mereka, kelibat itu
dilihat beredar dari tempatnya. Macam tahu-tahu diri sedang diperhati oleh dia.
Aryan
cuba ekori. Entah kenapa hatinya berkobar-kobar nak lihat wajah itu. Namun
makin dia cuba kejar, makin deras langkah sosok tersebut tinggalkannya. Dan
saat itu, satu pasaraya bergema dengan bunyi alarm dari alat penggera.
“Eh!
Encik, encik. Encik nak ke mana?”
Suara
seorang pengawal tahan langkah Aryan serta-merta.
“Saya
mau keluar, pak.”
“Nak
keluar? Eh, boleh. Tapi sebelum keluar, kenalah bayar dulu barang-barang dalam
troli ni. Takkan nak keluar terus aje.”
Serentak,
Aryan pejam mata. Baru perasan dia dah melepasi pintu keluar pasaraya.
Gara-gara nak kejar kelibat tadi, lansung tak sedar
tangan dok usung troli dalam berlari sampai terkeluar ke sini.
“Aduh!
Maaf! Saya benar-benar nggak perasan. Gara-gara mau lari ngejarin teman lama
tadi.”
“Eh, tak
apa. Dah biasa dah kes berlari-lari dalam pasaraya ni.”
“Saya
pergi bayarin dulu barang-barangnya, ya.”
“Ya, ya.
Silakan bayar ya, encik. Jangan sambung lari pulak, sudahlah ya!” balas
pengawal muda berbadan gempal itu dalam senyum penuh makna.
** Continuing after I've been recovered... Not fully recovered but, alhamdulillah... Miss you all, guys... Happy reading... ^^
No comments:
Post a Comment