Wednesday, August 17, 2016

BAB 19 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






L

EBIH seminggu berada di negeri yang berjiran dengan Kota Singa itu, hampir kesemua masalah dapat diselesaikan. Hari ini, pegawai-pegawai dari jabatan pembinaan akan pulang lantaran kerja telah selesai. Yang selebihnya masih perlu tinggal demi tugas yang berbaki.

“Dah siap berkemas semua?” Tengku Harrys memulakan perbualan tatkala sedang menikmati makan tengah hari di kafe hotel.

Awal-awal lagi dia sudah pesan ingin makan bersama sebelum stafnya bertolak pulang. Tujuh hari bersama buatkan hubungan mereka menjadi agak rapat.

“Sudah, Tengku.” Encik Saiful, Encik Hazman dan Henry menjawab serentak.

Tengku Harrys ketap rahang. Kurang senang apabila dipanggil ‘Tengku’ sejak pulang ke Malaysia. Seperti ada jurang pemisahan.

“Tengku dan yang lain lama lagi ke kat sini?”

            “Tak pasti lagi, Saiful. Tengok keadaan macam mana. Dah selesai semuanya, keadaan dah betul-betul okey untuk saya tinggalkan... baru saya bawa Kak Faridah dan Irish balik.”

            “Bunyi macam tak nak bagi kita orang lepas aje ni, Tengku!” sampuk Kak Faridah.

            “Eh, mestilah! Kalau tak, siapa yang nak tolong Tengku kira balik kos projek ni, maa? Dengan report lagi. Ingat senang ke you all!”

             “Eh, apek! Akak cakap ajelah. Tahulah dah nak balik!”

“Ala... Kak Faridah. I pun cakap saja, maa. Janganlah marah!”

“Tak marah. Geram aje!”

Ggrrr...

Getaran telefon bimbit bersulam nada dering buat perbualan terhenti.

“Siapa punya?” Henry bersuara di antara mereka.

“Akak punya!”

Lebar senyuman Kak Faridah melihat nama yang keluar di skrin. Lantas dia meminta diri menjawab panggilan. Lima minit, wanita itu datang kembali... dengan wajah mendung.

“Kak... kenapa?” soal Irish perlahan, namun cukup untuk didengar oleh yang lain. Segenap pasang mata tertumpu pada mereka.

Are you okay, Kak Faridah?” Tengku Harrys bertanya pula bila soalan Irish tak berjawab.

“Err... suami akak call. Di... dia beritahu anak akak yang bongsu tu demam panas. Tengah hari tadi bawa per.. pergi hospital terus kena tahan wad.”  Suara Kak Faridah tersekat-sekat digenangi sebak.

“Tak apalah. Akak naik bilik kemas barang-barang. Ikut mereka balik.”

“Be... betul ke ni, Tengku?!”

Tengku Harrys mengangguk perlahan.

“Tapi... Irish macam mana?”

“Macam mana apalagi, kak? Nampak gayanya terpaksalah Irish stay kat sini. Kalau tak, siapa yang nak tolong Tengku.” Encik Hazman lebih dahulu menjawab. Jawapan yang buat pandangan Tengku Harrys terhala gerangan yang disebutkan.

“Tak apa ke, Irish?”

“Tak apa, kak. Anak akak lagi perlukan akak kat sana,” balasnya. Namun kata-kata yang dizahirkan langsung tidak sama dengan apa yang tersirat di hatinya.

“Kalau macam tu akak naik bilik kemas dulu, ya!”

“Kak... Irish tolong,” pinta gadis itu. Tak betah untuk dia seorang saja perempuan terus duduk di situ. Langkah Kak Faridah pantas dituruti naik ke bilik, meninggalkan susuk empat lelaki yang masih setia di meja makan.

 

“BOLEH kita gerak sekarang, Kak Faridah?” tanya Encik Hazman sambil berjalan ke arah keretanya bersama yang lain.

            “Ya, boleh. Irish... akak balik dulu. Jaga diri baik-baik, ya.”

            “Insya-ALLAH. Apa-apa nanti akak beritahulah.”

            Kak Faridah menarik Irish ke dalam pelukan. Berat rasa hati ingin meninggalkan gadis ini berseorangan.           

“Akak balik dulu, Tengku. Terima kasih benarkan akak balik.”

            Tengku Harrys membalas dengan senyuman. “Take a good care of your son.”

            Kereta Honda CRV milik Encik Hazman beransur-ansur meninggalkan pekarangan hotel penginapan. Sehinggalah bayang kereta Encik Hazman tak kelihatan...

            “Saya rasa awak patut pindah bilik.” 

            “Hmm?” Deras Irish menoleh.

            “Bilik awak jauh dari bilik saya. Jadi ada baiknya awak pindah blok yang sama dengan blok bilik saya. In case jadi apa-apa, senang nanti.”

            Tiada sebarang reaksi dari Irish. Kepalanya tertunduk memikir sesuatu.

“Ke... nak saya pindah bilik awak? Twin rooms, kan? So lagi senang saya tinggal masuk bilik yang satu lagi tu.”

            Sekali lagi Irish menoleh pada Tengku Harrys yang masih pegun melihat jalan raya di hadapan. Cukup selamba lelaki itu menuturkan kata-katanya.

Tiga puluh saat... lelaki itu berpaling dan mula menyusun langkah.

            “Go up and pack your things. Saya akan uruskan bilik untuk awak pindah.”

Figura tersebut terus berlalu bersama senyuman yang disembunyikan semenjak tadi.   

 

“DAH siap?”

Pap!

Terlepas jua smart key di tangan. Saat berpaling ke belakang... susuk tinggi itu sudah elok bersandar di dinding belakang.

“Sudah.”

Tengku Harrys langsung mencapai bagasi serta beg kepunyaan Irish. Dibawa terus kedua-duanya menuju ke blok bangunan seberang tanpa menghiraukan tuannya di belakang.

Cepat-cepat Irish kutip kad kunci di lantai. Langkah Tengku Harrys diekori sehingga lelaki itu berhenti di hadapan pintu sebuah bilik. Beg-beg Irish diletakkan di situ. Tangan mengeluarkan sesuatu dari poket kemejanya.

            “Ini kunci bilik. Dah duduk satu blok ni senang sikit nak panggil kalau ada apa-apa. Walaupun taklah dekat sangat bilik kita. Masuklah... berehat.”

            Lelaki itu berlalu. Cuma beberapa tapak, dia berhenti di hadapan pintu bilik sebelah. Kening Irish berkerut.

            “Err... bilik Tengku kat mana?”

            Tengku Harrys yang sedang menyeluk saku seluarnya, memandang Irish sekilas. Bibirnya menyenget. Sekeping kad dalam pegangan lantas dimasukkan ke pintu. “Sebelah aje.”

Lolos terus kelibat itu ke dalam bilik.

            “Sebelah?” bicara Irish termangu.

            “One more thing... malam ni keluar makan pukul 8.00. Saya tunggu kat lobi bawah. Jangan lupa!”

Sekali lagi susuk menghilang ke dalam tanpa menunggu sebarang jawapan.

            Kali ini Irish benar-benar hilang kata. Lama dia terkaku di tempatnya. Pandangan kekal melekat ke pintu bilik Tengku Harrys yang sudah tertutup rapat.

‘Belum sampai setengah hari ada sama dah jadi macam ni. Esok, lusa, dan berapa hari lagi agaknya kena menghadap dia, tak tahulah macam mana parahnya nanti...’

            “Ya ALLAH, Ya Tuhanku!”

Irish meraup wajah berkali-kali. Tak sanggup membayangkan bagaimana mahu menempuh saat-saat bersama selepas ini.

Segera ditarik bagasi dan begnya masuk ke dalam bilik. Moga dapat mereda jiwa yang sudah berkecamuk dek kerana lelaki nan seorang itu!

                       

TEPAT jam 8.00 malam, gadis itu ke lobi hotel. Dari jauh sudah terlihat susuk yang dicari duduk membelakanginya di sofa, leka menatap skrin Iphone di tangan.

Jam tangan dikerling. ‘Rasanya jam ni dah betul pukul 8.00. Dia kut yang turun awal!’

“Assalamualaikum.”

Tengku Harrys berpaling. “Waalaikumussalam. Dah lama turun?” 

“Baru aje.”

Lelaki itu bangkit mendekati Irish. “Shall we?”

            Irish sekadar membalas dengan anggukkan. Malah sepanjang perjalanan, suasana sepi cuma yang meneman. Seorang leka memandu, seorang asyik melihat ke jendela luar. Hanya alunan muzik di radio berkumandang melatari keadaan.

            “Teringin nak makan kat mana-mana?”

            Irish menoleh sekilas lelaki di sebelah. “Tak ada.”

            “So, kita nak pergi makan kat mana ni?”

            “Tak kisah. Saya ikut aje.” Irish kembali memandang luar. Perkataan ‘kita’ yang disebutkan sebentar tadi buat hatinya tak semena dipagut resah.

Pemanduan Tengku Harrys diteruskan. Beberapa minit menderu atas jalanan, BMW 6 Coupe miliknya berhenti di hadapan bangunan Danga Bay International Restaurant. Terasa dia  ingin makan di restoran eksklusif itu. Melihat panorama malamnya seakan mengasyikkan.

Dengan reka bentuk bangunan menyerupai sebuah kapal, dihiasi lampu-lampu neon yang indah, dibina pula di atas air di tebing Teluk Danga... sememangnya amat mengujakan pengunjung-pengunjung untuk datang. Termasuk dirinya.

Sebaik memasuki ruang restoran, Tengku Harrys memilih tempat di bahagian tepi yang menghadap perairan Teluk Danga. Malam ini dirasakan tak seperti malam-malam sebelumnya. Pasti riuh dengan suara dan gelak tawa Encik Saiful, Encik Hazman, Henry serta Kak Faridah.

Kini cuma tinggal dirinya berdua bersama Irish. Tiada komunikasi. Masing-masing menyepi. Hanya sesekali bening redupnya menatap wajah mulus di depan kala mendapat peluang berbuat demikian.

Melangkah keluar dari restoran usai makan malam, Irish mendahului Tengku Harrys menuju ke kereta lelaki itu. Dia ingin segera pulang. Tidak betah berlama-lama berdua begini.

“Boleh kita jalan-jalan dulu?”

Gerak Irish terpasung. Lambat-lambat tubuhnya berpaling. “Hmm?”

“Temankan saya ambil angin malam sekejap.”

            Kornea Irish memanah tepat bening redup di depan. Tenang saja kelihatan. Namun, kata-katanya bagaikan satu arahan yang tidak boleh untuk dia berkata ‘tidak’.

            “Boleh?” Sekali lagi Tengku Harrys bertanya.

Tanpa ada pilihan, permintaan tersebut nampaknya harus Irish turuti. Kalau ditolak mahu dia akan ditinggalkan di sini. Macam mana nak balik ke hotel nanti?

“Boleh.”

Dalam berat hati, kaki diayun mengekori Tengku Harrys menuju ke tebing laut yang berpagar itu. Memandang air laut yang gelap disaluti kepekatan malam. 

“Tengok apa?”

            “Hmm?” Irish tersentak. Sedikit kalut.

Dan, reaksi itu mengundang senyuman Tengku Harrys. Satu tindakan refleks dari Irish bila disapa secara tiba-tiba. Sesuatu yang dia sedari tentang gadis itu.

            “Ada apa-apa yang menarik kat laut tu?”

            “Tak ada apa-apa.”

Dia sendiri tidak tahu apa yang dipandang. Sudahlah gelap, satu apa pun tak nampak. Yang dia tahu, dia hanya mengikut kelakuan Tengku Harrys semenjak tadi. Merenung laut.

“Daripada tenung laut tu, lebih baik tengok saya.”

            Sekali lagi Irish menoleh. Kali ini dia dapat melihat jelas senyuman di wajah lelaki di sebelah. ‘Okey ke tak dia ni? Lain macam aje malam ni.’

“Selalu outstation ke sini?”

Site lain kerap juga. Tapi, sini... pertama kali.”

“Saya tanya something boleh?”

“Tanya apa?”

            “Awak takut dengan saya ke?” 

            Gulp!

Irish telan liur. Menderau seluruh darah. Kaki terasa tak menjejak tanah. Nafas dah tak menentu arah. Berdebar jangan cakaplah.

“Irish?”

“Hmm?”

“Awak okey?”

Dalam samar, Tengku Harrys dapat melihat riak Irish yang sudah pucat berubah.

It’s okay. Just forget it. Jom... balik.

Seiring Tengku Harrys mula melangkah.

            “Saya minta maaf.”

            Tengku Harrys pula kali ini terhenti langkah. Perlahan-lahan tubuhnya berpaling semula. “Pardon?”

            “Saya minta maaf...” ulang Irish.

            “Untuk apa?”

            “Fasal insiden langgar tu.”

            Tengku Harrys ketap rahang. Raut di depan terus dikunci dalam renungan.

“Saya tahu saya bersalah. Saya langgar Tengku tiga kali. Tiga kali minta maaf, tiap kali tu saya langsung tak pandang muka Tengku. Saya betul-betul nak kejar masa waktu tu. Dan... saya tak sangka Tengku orang yang saya langgar tiga-tiga kali tu. Sampailah Tengku berterus-terang tempoh hari. Saya memang betul-betul tak sengaja!”

            Irish terus tertunduk, menantikan reaksi Tengku Harrys. Namun, tiada sebarang respons yang diterima. Lantas dia angkat wajah. Renungan tajam lelaki itu tepat memanah wajahnya.

            “Sebab tu ke awak takut dengan saya?”

Irish membisu. Soalan Tengku Harrys dibiar pergi bersama angin lalu.

Tengku Harrys kembali menghampiri susuk lampai di depan. “Cakaplah. Kenapa diam?”

Irish tunduk semula. Emosinya kian tak keruan.

            “Irish...”

            “Okey. Saya tahu saya salah. Saya minta maaf. Benda tu dah berlaku dan saya tak boleh nak betulkan. Kalau Tengku tak nak maafkan, masih marah, nak terus berdendam... tak apalah. Kalau Tengku nak hukum saya sekalipun... hukumlah. Saya terima!” Irish pejamkan mata. Menahan air jernih yang bakal gugur bila-bila masa.

            “Kalau saya berniat nak balas dendam, dah lama saya buat. Tapi... saya tak seteruk tu.”

Zap!

            Kelopak mata Irish deras terbuka. Jawapan Tengku Harrys benar-benar di luar duga. Kepalanya didongak semula, mencari anak mata lelaki itu.

            “Saya maafkan awak. Tapi kalau berlaku sekali lagi, saya tak jamin saya akan duduk diam.” Bicara lelaki itu bak memberi amaran. “So... boleh kita balik sekarang? Dah malam.”

            Ya! Memang itu yang dimahukan. Ingin segera pulang. Segera diatur kaki menuju ke tempat letak kereta.

“Tapi... saya nak ucap terima kasih juga sebab dah langgar saya.” Tengku Harrys sambung bicara tiba-tiba

Terhenti langkah Irish buat kesekian kali. Sementara lelaki itu terus mara berjalan dengan senyuman yang tak lekang di bibir. 

           

‘MANA pula kunci bilik ni? Masa ni jugalah dia nak menyorok.’

Teraba-raba tangan gadis itu mencari kunci bilik di dalam beg sepanjang menyusuri koridor hotel. Tengku Harrys di belakang sudah langsung tak diambil pusing.

“Hmm... jumpa pun!”

Terus kad dimasukkan ke ruang pengunci. Serasa tak sabar ingin melenyapkan diri ke dalam bilik.

            “Tak apa ke tinggal sorang-sorang malam ni?”

            “Tak apa. Dah biasa,” jawab Irish tanpa menoleh.

Tak sanggup lagi memandang lelaki itu. Betapa malunya dia saat ini, ALLAH saja yang tahu. Kalaupun esok mereka harus berhadapan lagi... itu cerita esok. Tapi untuk malam ini, dia sudah tidak mampu lagi.

Tengku Harrys turut berlalu ke biliknya. Sebelum masuk ke dalam, sempat dia menjengah Irish.

“Kalau takut tinggal sendiri, ketuk aje bilik ni. Saya tak kisah kalau nak temankan,” sakat lelaki itu lagi bersama kenyitan mata sebelum menghilang ke dalam bilik.

Terbuntang mata Irish kali ini.

“Ya Rabbi... dah kenapa dengan dia malam ni?!”

Tak pernah-pernah ketuanya itu berperangai begini. Selalu bukan main serius. Jangankan ketawa... bayang senyum pun macam menunggu bulan nak jatuh dari langit.  

“Takkan kena angin Danga Bay terus jadi macam tu kut!”

Tengku Harrys menghempas badannya ke atas katil. Sisa tawa terus terzahir dari celahan bibir.

Pasti gadis itu hairan dengan tingkahnya malam ini. Dia sendiri tak tahu kenapa dia begitu berani mengusik sampai begitu sekali. Melihat telatah Irish yang kalut bila diusik, hatinya bagai terhibur dan terjentik.

“Irish Qiara....”

Nama itu diseru lagi. Bersama renungan tajam menembus ke dasar siling bilik. Hingga akhirnya sebuah keluhan dilepaskan. 

“Bayanganmu umpama satu gurauan...” bisiknya perlahan.


 


No comments: