Friday, September 2, 2016

BAB 24 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






                
T

ENANG pemanduan Izzul menyusuri jalan raya malam ini. Meskipun sudah lewat sampai ke destinasi. Irish di sisi dikerling. Gadis itu hanya mengunci mulut sejak mereka bertolak tadi.

Sekejap pandang depan. Sekejap tunduk memain jemari. Bila sudah bosan, pandangan dilontar ke luar. Adakala sukar mentafsir apa yang bermain di fikiran gadis berkenaan.

Ggrrr...

Lamunan terhenti. Getaran bersulam nada dering telefonnya berbunyi. Nombor si pemanggil jelas tertera di skrin. Punat handsfree ditekan.

Seminit...

“Hafiy call. Tanya kenapa kita tak sampai lagi. Pukul berapa majlis mula?” 

“Pukul 9.00.”

“Sekarang dah 9.15. Mungkin dalam 9.30 baru sampai sana. Memang lambatlah kita sampai ni, Rish. Maaflah... along tak sangka pula nak jadi macam ni.”

“Tak apalah, long. Janji kita sampai sana, cukuplah.”

Seulas senyuman manis dihadiahkan Irish. Laju tangan Izzul mengusap kepala gadis itu. Sudah jarang dapat melihat senyuman begitu. Sejak lebih dua tahun lalu. Ianya bagaikan telah mati. Mati bersama kisah duka yang dilalui.

Hyundai Sonata putih milik Izzul membelok ke pekarangan Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur tepat 9.40 malam. Irish diturunkan di pintu lobi hotel sementara dia memarkir kereta.

“Irish!”

“Abang Fiy.”

“Baru sampai ke?”

“Ya. Maaf abang, terlambat.”

“Tak apa... janji sampai. Izzul mana? Irish datang dengan dia, kan?”

“Along pergi parking kereta. Abang Fiy dari mana?”

“Oh! Abang pergi ambil barang tertinggal kat kereta tadi. Kebetulan nampak Irish. Ni nak masuk dalam dewan terus ke macam mana?”

“Along suruh tunggu sekejap. Masuk sekali dengan dia.”

“Fiy...”

“Zul! Hah, sampai pun kau!”

Sorry, bro! Aku terlewat sikit. Bukan sikit... banyak aku rasa!”

“Ah, tak ada hallah! Awal-awal pun bukan ada apa. Jomlah masuk. Mari, Irish!”

Sebuah meja tak jauh dari pentas utama menjadi singgahsana mereka malam ini. Irish ambil tempat di sisi alongnya yang sudah duduk sebelah Tengku Hafiy. Nasib baik Insyirah, Natasya dan Kak Maisarah ada sama. Bertemanlah juga.

Majlis makan malam berlangsung dalam suasana tenang. Sambil menjamu selera, tetamu dihiburkan dengan persembahan artis jemputan serta warga Haiyan. Celoteh dan jenaka pasangan pengacara buat hadirin sikit pun tak merasa bosan.

Dalam samar lampu, bening Irish dilarikan memerhati seisi dewan. Tengku Haiyan dan isteriTengku Dafina duduk di meja paling depan bersama tetamu VIP dan VVIP. Meja berhampiran dipenuhi ahli keluarga dan klien-klien syarikat.

Kornea Irish terhenti pada susuk segak dalam persalinan tuxedo hitam. Leka menyaksi persembahan di atas pentas. Di sisi kiri, setia seorang gadis bersandar mesra pada bahunya. Gadis yang bertamu ke Haiyan minggu lalu.

Zap!

Sepasang mata lelaki itu menoleh tanpa diduga. Tepat ke arahnya. Pandangan mereka bersatu dalam terpaku. Sehinggalah Irish kalihkan wajah...

‘Ya ALLAH... kenapa ni?’

Dalam palpitasi tak menentu, hadir menyelinap satu perasaan halus.

“Irish.”

Bahu gadis itu disentuh. “Huh?”

“Okey ke?”

“O... okey. Kenapa?”

“Along panggil selamba aje?”

“Hmm? Iya ke? Muzik kuat sangat kut. Irish tak dengar.”

Sure?”

Laju Irish mengangguk. “Err... long. Irish nak pergi ladies sekejap.”

“Baik-baik.”

Keluar dari dewan, pandangan menangkap signboard ikon lelaki juga wanita. Kaki segera dihala ke sana. Moga dapat mereda gundah gulana yang menerpa.

“Lambat sampai?”

Terpasung gerak gadis itu. Menderau darah satu badan. Saat berpaling, susuk tinggi dalam tuxedo hitam elok bersandar di suatu sudut berpeluk tubuh memandangnya.

Bila masa lelaki itu di situ? Tadi ada di dalam, kan? Ke ikutnya keluar tanpa dia sedar?

Tengku Harrys datang menghampiri. Bening redupnya tak lepas dari raut wajah di depan yang ketara berbeza penampilan malam ini.

“Kenapa lambat?”

“Err... A... ada hal sikit tadi.”

“Kenapa tak beritahu saya?”

Berkerut dahi Irish. “Perlu ke?”

“Dah tentu. Awak bekerja bawah saya. Dan, majlis ni ada kena-mengena dengan syarikat. Jadi... apa saja berkaitan dengan awak, saya perlu ambil tahu. If something happens to you, it is my responsibility.


“Tapi saya datang dengan abang saya.”

At least, let me know.”

“Saya tak ada nombor Tengku. Ma... macam mana nak beritahu?”

I can’t accept that reason. Sa...,”

“Harrys!”

Entah dari mana Tengku Melissa muncul. Cepat-cepat Irish menjauh dari Tengku Harrys.

“Harrys... where are you going? Puas I cari you. Kat sini you rupanya!” lengan lelaki itu dipaut mesra.  Kasar ia ditarik kembali. 

What?!” 

“I tanya... you pergi mana? Kenapa tinggalkan I sorang-sorang kat dalam?”

“Tinggalkan you sorang-sorang? Tak nampak ke berapa ramai orang kat dalam tu?!”

“Harrys! Kenapa you ni?! Tiba-tiba nak marah. Boleh tak jangan layan I macam ni!”


Whatever!”

Wajah Tengku Harrys merah padam. Berang perbualannya bersama Irish diganggu.

Irish dah tak betah. Sebelum jadi lebih teruk, baik dia beredar. Langkah dibawa melepasi dua insan berkenaan. Niat untuk ke tandas terpaksa dilupakan. Hilang gundahnya dek kejutan drama yang di luar jangkauan.

 

“PARA hadirin sekalian, macam mana dengan hidangan malam ini? Menyelerakan?” Suara pengacara wanita bergema dalam dewan. Para tetamu bersorak mengiakan.

“Kalau berselera, habiskan semua! Tanda terima kasih Haiyan atas kehadiran anda. Baiklah... sebagai penutup persembahan majlis malam ini, kita akan dihiburkan dengan sebuah lagi persembahan dari artis jemputan.”

“Siapa artis jemputan kita tu, Haikal?”

“Agak-agak siapa, Hanis?”

“Saya cuba teka. He’s one of our rock legend artists?”

“Ya, Haikal! Rasanya semua cukup kenal dengan beliau. Tanpa membuang masa lagi dipersilakan ke pentas artis terakhir kita pada malam ini... Rahmat Mega!”

Intro sebuah lagu berkumandang mengiringi kemunculan penyanyi tersebut dari belakang pentas. Semua hadirin bersorak dan bertepuk tangan.

“Assalamualaikum dan selamat malam semua. Saya tahu anda familiar dengan lagu ni. Kita menyanyi sama-sama, boleh?”

Sorakan lebih kuat menggegar seisi dewan.

 

Tak pernah ku alami tak mungkin ku hindari

Di himpit perasaan bayangan gurauan...

 

Di dalam jaga ku tercari-cari di dalam tidur termimpi-mimpi

Siapakah gadis misteri melambai dan terus menyepi

Jangan biarkan ku ternanti-nanti usah benarkan masa berlalu pergi

Cintamu oh gadis misteri adakah kekal dan abadi....

 

Segenap dewan bergema dengan suara nyanyian. Lagu malar segar yang begitu mengusik kenangan.

Hanya Tengku Harrys seorang tidak bersatu dalam suasana. Jasadnya ada. Fikirannya... melayang dan menjauh entah ke mana.

Lagu yang sedang bergema saat ini benar-benar mengusik emosinya. Lagu yang sentiasa meniti di bibir, sering memenuhi halwa, selalu meneman hari-harinya.

Sejak insiden pelanggaran dulu.

Pandangan lelaki itu kembali bertapak pada raut mulus nun di sana. Gadis itu masih setia di situ, asyik menonton persembahan di pentas. 

‘Bayangmu umpama satu gurauan, Irish. Dan aku tak pasti ia akan menjadi satu kenyataan, atau akan terus menjadi gurauanmu...’. 


           


“AKU minta diri dulu, Fiy. Dah lewat dah.”

            “Alright. Jumpa orang tua aku dulu, jom. Dia orang nak jumpa kau sebelum balik.” Izzul digamit ke meja VIP. “Papa, mama... Izzul dengan Irish nak balik dah.”

“Eh! Nak balik dah ke, Zul?” Tengku Haiyan bangun disusuli isterinya.

“Kamu berdua aje dengan Irish, Zul? Anak isteri kamu mana?”

“Kat rumah, Mak Engku. Izmie tak sihat. Itu yang lambat datang tadi, hantar dia pergi klinik dulu. Tapi dah beritahu Hafiy awal-awal.”

Dum!

Jantung Tengku Harrys bak dipanah halilintar. Laju beningnya mencari Irish. Sikit pun  gadis itu tak pandang.

“Tak apalah, Zul. Kesihatan anak lebih penting. Bila-bila masa nanti bawalah cucu-cucu Pak Engku tu datang ke rumah. Ni... Pak Engku nak kenalkan sekejap dengan abang Pak Engku, Tengku Arham. Yang sebelah ni isterinya, Tengku Kamelia.

Selama jadi anak angkat kami belum sempat Pak Engku nak temukan kalian. Alang-alang dah ada malam ni, Pak Engku kenalkanlah. Maklumlah... abang Pak Engku ni selalu ke oversea. Jadi nak ada kat sini selalu tu memang payah. Raya pun belum tentu ada.”

“Panggil kami pak ngah dengan mak ngah aje. Kalau dah kamu berdua anak angkat Haiyan, maknanya anak buah kita jugalah. Kan, Lia?” sapa Tengku Arham ramah, dibalas anggukkan isterinya di sebelah.

“Nasib baiklah Mak Engku ni anak tunggal. Kalau tak, lagi ramailah keluarga ‘tambahan’ kamu berdua!”

“Ha... yang berdua ni anak mereka. Sebelah mak ngah tu yang sulung, Tengku Amni Zafran. Yang perempuan tu adiknya, Tengku Auni Melissa. Mereka berdua baru balik dari US. Baru habis belajar.

Seorang lagi anak pak ngah, Tengku Amni Zafrie ada di Ireland sekarang. Sambung belajar medic kat sana. Kak long Pak Engku pula tinggal di London satu keluarga. Insya-ALLAH, ada rezeki satu hari nanti dapatlah jumpa.” 

Izzul menyambut baik salam perkenalan Tengku Arham sekeluarga. Sebaliknya Irish yang rasa tak selesa. Sama ada betul atau mata yang salah pandang, dia perasan sepasang kornea Tengku Zafran sedari tadi tajam merenungnya.



Dia ada buat salahkah? Tengku Melissa ada mengadu apa-apa?

Ah, biarkanlah! Sudah malas mahu fikir segala benda. Hal tadi pun sudah cukup memeningkan kepala.

Cukuplah...

Malam ini otaknya sudah penat untuk ‘berdrama’. Yang dia mahu sekarang hanyalah segera keluar dari dewan dan cepat-cepat pulang.  

 



No comments: