Friday, September 2, 2016

BAB 22 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






“L
               

EPAS ni kau ada ke mana-mana, Zul?”

Seiring, langkahan dua figura menuju ke tempat letak kereta. Petang Sabtu itu ajakan rakan-rakan bermain futsal dipenuhi. Kalau di universiti dulu keduanya aktif bermain bola sepak mewakili universiti, kini hanya di padang futsal tempat mempamer aksi sesekali.

            “Tak ada kut. Ingat nak terus balik. Kenapa?” 

            “Jom! Singgah vila. Mama aku asyik tanya aje bila kau nak datang jenguk dia. Ini pun dia tahu aku keluar dengan kau... siap-siap dah pesan suruh singgah.”

Izzul tergelak. Barang-barang di tangan sudah berpindah ke dalam bonet keretanya. “Iya ke? Takkan rindu kut? Anak bujang dia kan ada dua orang.”

“Kita orang, lain. Kau tu, lain. Mama aku ni kalau dah sayang orang, kau faham ajelah.”

“Iyalah... aku singgah vila lepas ni. Jumpa mama ‘kita’. Okey?”

Setengah jam perjalanan, kenderaan pacuan masing-masing tiba di perkarangan Vila Haiyan. Kelibat dua figura di taman mini menyambut kehadiran mereka dalam senyuman. Duduk bersantai minum petang sambil berbual.

“Pak Engku, Mak Engku.”

“Lama dah Izzul tak datang. Rindu Mak Engku dengan anak-anak kamu.”

“Maaflah, Mak Engku. Sibuk dengan kerja. Niat nak datang memang ada, cuma masa tu yang tak berapa nak ada.”

            “Biasalah, Fina. Orang muda masa inilah nak kerja keras kumpul duit untuk anak isteri. Dah tua-tua esok tak larat dah. Macam abang sekarang.”

            “Iyalah, bang. Tapi sekurang-kurangnya si Izzul ni dah berkahwin, berkeluarga. Anak-anak abang tu? Hai... naik risau saya dibuatnya. Lagi-lagi anak bujang yang seorang tu!”

            “Eh, anak abang seorang ke? Anak awak juga, kan?”

“Yalah, anak saya juga. Tapi perangai dia orang tu sebijik ikut macam abang!”

            “Like dad, like son... orang putih cakap!” gelak Tengku Haiyan berderai sakan.

           Perbualan empat insan itu terus rancak mengisi suasana petang. Dari berborak kosong, perbualan menjurus ke topik yang di luar jangkauan.

“Zul. Mak Engku nak tanya, boleh?”

 “Apa yang tak bolehnya, Mak Engku. Nak tanya apa tu?”

“Err... Mak Engku... Mak Engku...”

“Hah... dah kenapa pula tergagap tiba-tiba ni?”

            “Isk, abang ni! Janganlah sergah saya macam tu kalau iya pun.”

            “Dah tadi bukan main beria minta izin nak tanya. Sekarang, tak tercakap pula?”

“Iya, saya nak cakaplah ni. Err... Mak Engku nak tanya Izzul sikit.”

“Tanya apa, Mak Engku?”

“Tentang Irish.”

Tepat kornea Izzul memasung raut berkenaan. “Kenapa dengan adik saya, Mak Engku? Dia ada buat salah ke?”

            “Eh, tak! Dia tak buat salah pun. Cuma Mak Engku nak bertanyakan tentang dia.”

“Maksud Mak Engku?”

            “Mukadimah tu tak payahlah panjang sangat, mama. Strait to the point aje kan senang!” Tengku Hafiy mencelah. Pecah gelaknya bila jelingan maut wanita itu memanah wajah.

            “Err... macam ni, Zul. Mak Engku nak tanya. Adik kamu Irish tu dah berpunya ke?”

            “Setahu saya, Irish tak ada berkawan dengan sesiapa buat masa ni. Itu yang dia cerita pada sayalah. Selebihnya... wallahu a’lam. Kenapa Mak Engku tiba-tiba tanya?”

“Macam ni, Izzul. Mak Engku ada hajat sebenarnya.”

Dum!

Bagai dapat menangkap... jantung Izzul bak disambar kilat. “Hajat?”

“Ya... hajat. Hajat untuk menyunting Irish, Zul.”

            Kali ini jantung lelaki itu terasa meletup berkecai.

            “Wh... what?! Sunting Irish? Untuk siapa, ma?”

“Untuk adik kamu.”

“Harrys?”

“Iyalah. Siapa lagi? Takkanlah untuk kamu!”

Tengku Hafiy pandang papanya. Lelaki itu menjongket bahu. Izzul di sebelah juga terus tertunduk membisu. Sudah pasti terkejut. Sedangkan jantungnya pun rasa macam nak tercabut!

“Harrys dah tahu ke fasal ni, Fina?”

            “Belum lagi, bang. Saya ingat nak risik-risiklah pada si Izzul ni dulu. Kalau betul Irish masih belum berpunya, senanglah sikit saya nak buka cerita pada dia nanti.”

            “Boleh tahan juga mama ni, kan? Senyap-senyap jadi tukang cari jodoh!”

            “Hermm... kalau mama tak buat macam ni alamat adik kamu tu membujang sampai ke tualah jawabnya, Fiy. Susah betul bila cakap hal perempuan dengan dialah!”

            “Apa-apa pun, mama kena tanya tuan punya badan sendiri. Tak naklah nanti jadi paksaan pada dia orang pula, ma.”

            “Sebab itulah mama tanya dulu. Apa pendapat kamu, Zul?”

Izzul mendongak semula. “Saya tak boleh buat keputusan, Mak Engku. Macam Hafiy cakap, kena tanya tuan empunya badan. Dan, rasanya... lebih elok kalau Mak Engku dan Pak Engku datang ke rumah jumpa keluarga saya untuk sampaikan hajat ni.”

            “Macam inilah. Biar kami sekeluarga bincang dulu, Zul. Hal kahwin ni bukan perkara main-main. Nak-nak pula bukan pilihan sendiri. Mak Engku kamu ni pun... pandai betul simpan plan dia. Terkejut Pak Engku dibuatnya!”

            “Baik, Pak Engku. Kalau macam tu saya minta diri dulu. Dah lewat petang.”

Izzul bangkit beredar meninggalkan vila mewah berkenaan bersama hati yang sarat dengan seribu semacam perasaan.

‘Ya ALLAH... mampukah aku tunaikan hajat itu?’ hati kecilnya berbisik bimbang.


 

KETUKAN di muka pintu buat Tengku Harrys bangkit dari hamparan sejadah. Naskah al-Quran yang baru selesai dibaca, diletakkan semula ke tempatnya.

            “Masuklah,” tuturnya lembut.

            “Harrys.”

            Wajah itu menoleh.

            “Kenapa tak turun makan malam tadi?” soalan pertama Tengku Dafina sebaik mendarat duduk atas katil bersama anak bujangnya.

            “Kenyang lagilah, ma. Tadi petang baru makan dengan kawan.”

            “Kawan? Kawan lelaki ke kawan perempuan?”

“Dengan Fezrul, ma. Takkan mama lupa bestfriend Harrys yang seorang saja tu.”

Memang itulah satu-satunya kawan baik dia semenjak sekolah. Dengan perwatakannya yang begini, tak ramai yang berani mendekati. Pelajar perempuan lebih-lebih lagi.

Tapi dia tak kisah. Biarlah orang yang benar-benar mengenalinya saja yang tahu dirinya bagaimana, termasuk Fezrul.

“Huh...” keluhan lega terbit dari mulut Tengku Dafina

“Kenapa, mama?”

            “Tak ada apa-apalah.”

            “Ma... how long have I known you?”

            “Kalau kawan Harrys tu perempuan, mama suka. Tapi kalau lelaki, lagi mama suka!”

            “Mama ni sihat ke?”  

            “Eh! Kenapa kamu tanya macam tu? Dah tentulah sihat!”

            “Habis, cakap macam tu kenapa?”

            “Cakap apa? Tak betul ke apa mama cakap tadi?”

            “Mama ingat anak mama ni lelaki tak normal ke?” 

            “Isk... apa kamu ni! Sampai ke situ pula difikirnya!” laju tangan Tengku Dafina memukul bahu anaknya. Bergema tawa lelaki itu memecah semesta.

“Mama datang bilik Harrys ni nak cakap apa sebenarnya. Hmm?” Tengku Harrys bingkas dari katil menuju ke meja kerjanya. Ada tugasan pejabat perlu disiapkan.

            “Ermm... Harrys dah ada teman ke sekarang?”

            “Teman yang macam mana?”

            “Teman wanitalah, Rys. Takkan teman lelaki pula!”

            Jeda.

Soalan yang tak begitu digemari, dibangkitkan semula. Soalan yang sering diaju keluarga, saudara-mara, rakan-rakannya. Setiap kali ditebak sebolehnya dia cuba mengelak.

            “Harrys dengar tak apa mama cakap ni?”

            “Mama dah tahu jawapan Harrys.”

            “Sampai bila, Rys?”

            “Sampai Harrys jumpa tulang rusuk kiri Harrys balik.”

            “Budak ni, kan! Orang serius, dia main-main pula!”

            “Harrys seriuslah ni.”

            “Serius apanya? Mama sibuk bercakap kat sini, kamu sibuk buat kerja kat situ!”

“Harrys dengar ni, ma.”

            “Ada aje jawapan kamu, kan? Kamu tu bukan muda lagi, Harrys. Umur dah 29 tahun. Patutnya dah ada anak, tahu tak?”

            “Abang lebih tua, mama. Giliran dia dulu.”

           “Tapi sekurang-kurangnya abang kamu tu dah bertunang. Insya-ALLAH, dah nak kahwin. Kamu tu... bayang calon pun belum nampak lagi. Dia ingat boleh tunggu orang datang masuk meminang dia agaknya!”

            Sekali lagi tawa Tengku Harrys pecah. 

            “Hah... ketawa, ketawa! Kamu ni, kan... baik dengan papa, dengan abang kamu tu sama aje. Orang tengah serius, boleh pula gelak ketawa. Entah apa yang lucu sangat agaknya!”

“Nantilah, ma. Ada jodoh, insya-ALLAH adalah. Cuma Dia bagi lambat sikit.”

            “Memanglah. Tapi mama tengok kamu tak pernah cuba nak usaha cari jodoh tu. Takkan nak tunggu sampai bulan jatuh ke riba kut! Sekurang-kurangnya usahalah cari.”

Seperti biasa, Tengku Harrys hanya berdiam diri.

            “Kalau dah susah sangat, biar mama aje yang carikan.”

            Tangan Tengku Harrys yang sedang menulis, terhenti. Kepala didongak mencari wajah yang masih berpanggung duduk di birai katil.

“Kalau mama carikan, tak payah dah bazir masa lama-lama. Dah ada pun calonnya.”

            Semakin tajam renungan lelaki itu menikam raut di depan. Tak menyangka mamanya betul-betul serius kali ini. “Siapa?”

“Nanti Harrys akan tahu juga. Harrys tak kisah kan siapa pun pilihan mama?”

            Tiada respons. Hanya tangan kembali sambung menulis pada kertas dokumen.

            “Harrys?”

            “Ikut mamalah. Tapi kalau Harrys tak berkenan, jangan salahkan Harrys kalau Harrys tolak pilihan tu.” Acuh tak acuh lelaki itu menjawab.

            “Baik! Kita tengok nanti sama ada Harrys sanggup tolak pilihan mama tu ataupun tak.” Tengku Dafina bangun dari katil. “Mama keluar dulu. Kalau rasa lapar nanti, turun makan. Mak Ros boleh panaskan lauk-lauk tu.”

Tengku Harrys hantar langkah figura itu dengan renungan. Tertutup daun pintu, satu keluhan dilepaskan. Tersandar dirinya mengenang setiap butir perbualan.

Lima minit...

Susuk tinggi itu bangkit dari kerusi, berjalan keluar ke balkoni bilik, menikmati panorama malam, melayan perasaan yang entah bagaimana harus diungkapkan.

Sesungguhnya dia pasrah pada ketentuan suratan seandainya ini pengakhiran pada bayangan yang didambakan.

 

“DARI mana?”

            “Pergi jenguk Harrys sekejap kat bilik dia, bang. Risau saya dia tak turun makan.”

            Berpuas hati dengan jawapan itu, Tengku Haiyan kembali menatap buku.

            “Abang...” Tengku Dafina memanggil lembut setelah merebah diri di katil bersebelahan suaminya. “Saya ada bercakap dengan Harrys tadi.”

            “Cakap apa?”

            “Tentang hajat saya tu.”

            “Pinang Irish untuk Harrys?”

            “Iya. Saya berkenan sangat dengan Irish tu, bang. Sejak pertama kali jumpa dia.”

“Harrys kata apa?”

            “Nampak gaya dia macam setuju.”

            Tumpuan Tengku Haiyan terkalih pada isterinya. “Biar betul?”

            “Betullah. Dia cakap terpulang pada saya kalau nak carikan calon untuknya.” 

            “Harrys cakap macam tu? Macam pelik aje.”

            “Tak ada yang peliknya, bang. Hati manusia boleh berubah bila-bila masa. Tapi, Harrys cakap... kalau tak berkenan, jangan salahkan dia kalau dia tolak pilihan Fina tu nanti.”

“Hermm... adalah tapinya. Ada beritahu Harrys ke siapa calon pilihan awak tu?”

            “Tak. Saya tak beritahu lagi. Memang saya tak nak dia tahu dulu. Niat saya biar dia tahu sendiri lepas kita datang merisik Irish nanti.”

Tengku Haiyan tatap semula buku di tangan. “Hai... awak ni. Semuanya nak ikut rancangan sendiri, kan? Kasihan budak tu. Tak tahu-menahu siapa calon bakal isterinya. Memanglah dia tak terus setuju.”

            “Kenapa? Abang rasa kalau Fina terus-terang... Harrys terus setuju ke, bang?”       “Mungkin.”

            “Abang cakaplah betul-betul. Fina serius ni!”

“Abang pun seriuslah ni. Kalau Harrys tahu calon yang awak nak pinangkan tu ialah Irish, abang rasa dia tak fikir dah dua tiga kali. Kalau abang pun, abang terus setuju!”

            “Apa, bang? Terus setuju? Ada hati juga, ya?”

            “Dah awak tanya, abang tolong jawabkanlah. Hai... kalau abang nak cari lain dah lama abang buat, Fina. Tapi mana nak sama dengan sayang abang seorang ni.”

            “Isk, abang ni! Merepek aje dah malam-malam buta macam ni. Dahlah, saya nak tidur. Kalau dilayan, makin menjadi-jadi nanti!”

            “Eh, nak tidur dah? Bukan kita belum habis bincang lagi ke fasal Harrys dengan Irish?”

            “Hermm... esok-esoklah sambung. Abang bukannya serius pun nak bincang. Nak menyakat saya lagi adalah!”

            “Isteri abang ni dah merajuk, ya? Habislah macam ni nak kena pujuk.”

“Selamat malam.” Tengku Dafina mula melayani lenanya. 

            “Selamat malam, sayang.”



No comments: