Friday, September 2, 2016

BAB 25 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







S
EAWAL jam 10.00 pagi Irish memandu ke Empire Shopping Gallery di Subang Jaya. Tak tahu kenapa Athirah beria-ia ingin jumpa. Ada khabar gembira mahu disampaikan katanya.

Restoran Vivo menjadi medan pilihan pertemuan. Irish mencari tempat agak tersorok. Bukan tak tahu Athirah bila bercerita... tak sah kalau orang sekeliling tak dengar sama.

Tawa kecil gadis itu terzahir tak semena.  “Ira, Ira. Lawak betul kau ni...”

“Hah! Apa yang lawak tu?!”

“Kau ni, Ira... tak sudah-sudah dari dulu. Suka terkejutkan aku.”

Athirah mengekek ketawa. Kerusi depan Irish didudukkan. “Sorrylah. Dah lama aku tak menyakat kau macam ni. Seronok pula!”

“Awal kau sampai hari ni? Azam baru ke?”

“Perli akulah tu!

 Tahulah selalu aku lambat. Tapi tu dulu, ya. Sekarang... no more!”

“Itu aku tanya. Azam baru ke? Ke sebab lain? First time ni kau sampai on time.”  

“Sebab itulah aku ajak jumpa ni. Fasal berita gembira yang aku nak beritahu tu!”

“Apa dia? Cakaplah.”

“Irish, sebenarnya kan aku... aku... err...”

“Cakap ajelah!”

“Sebenarnya aku nak bertunang, Irish!”

“Huh?” riak Irish ketara terkejut.

Selama ini tak pernah pun Athirah serius berkawan, walau rakannya memang berkawan dengan ramai lelaki. Fikirnya sekadar suka-suka.

“Kau tak payahlah nak terkejut sangat.”

“Mahu tak terkejut? Tiba-tiba aje. Langsung tak beritahu.”

Sorry sebab aku tak pernah cerita kat kau. Bukan tak nak cerita, tapi kau tu yang sibuk sangat. Aku tak naklah kacau. Ini yang aku nak jumpa. Boleh cerita panjang.”

“Ceritalah... aku nak dengar. Siapa lelaki yang bertuah tu?”

“Sebenarnya dia klien aku. Mula-mula klien. Bila dah selalu jumpa, cinta pun mula berputik... klien bertukar jadi boyfriend! Lapan bulan berkawan, terus dia lamar aku.”

“Bila majlis nak langsung?”

“Bulan depan. Kau kena datang tau. Wajib!”

“Insya-ALLAH. Siapa nama dia?”

“Zamir. Dia tua dua tahun dari kita. Ada masa nanti aku kenalkan kau dengan dia.”

Irish menyimpul senyum. Jelas Athirah begitu gembira menanti hari pertunangannya. Dan, dia senang melihat kegembiraan insan di depannya.

“Kau bila, Irish?”

Terhenti sedutan minuman gadis itu. “Apa yang bila?”

“Yalah... kau bila lagi? Dah jumpa?”

“Belum. Nantilah.”

“Itu aje jawapan kau, kan? Sama dari dulu. Sampai bila, Rish?”

“Sampai jumpa pemilik tulang rusuk kiri nilah.”

Pap! Lengan Irish dipukul Athirah. “Kau ni, kan! Aku serius, main-main pula!”

“Main-main apa? Betullah, kan?”

“Iyalah, Rish. Nanti dah tua tak laku, baru tahu!” sepotong piza atas meja dijamah Athirah. “Tapi kan, kalau kau nak cari calon... aku ada. Kau nak?”

Irish juih bibir. Laju kepala menggeleng. “Tak nak.”

“Isk... kau ni, susah betullah! Bukan tak ada yang nak. Ramai! Tapi kau yang jual mahal sangat! Ke...,” Athirah merapat. “... kau dah sangkut dengan bos kau tu?”

“Siapa?”



“Alah, bos kau tulah. Siapa nama dia? Tengku... Tengku Harrys? Ha, yes! Mamat yang kau langgar sampai tiga kali tu!”

“Tak ada maknanya, Ira. Minta dijauhkan.”

“Kenapa? Apa salahnya kalau kau sangkut dengan dia pun? Aku rasa kau ada jodoh dengan dialah, Rish. Tiga kali berlanggar, lepas tu kerja bawah satu bumbung, satu department pula tu. Hermm... aku rasa kalau hari ni kau terjumpa atau terlanggar dia kat sini, memang confirm dia jadi laki kau!”

“Eh, kau makan! Baik kau makan! Sebelum aku sumbat kau dengan piza aku pula!” ugut Irish bila figura di depan tak henti-henti mengusiknya. Namun, ironinya... hati sedikit gelisah kala nama itu disebut-sebut semula.

“Uitt! Garangnya kau hari ni, Rish! First time ni aku tengok kau macam ni!”

“Entah. Tiba-tiba hari ni aku jadi garang. Sebab kau tak habis-habis usik aku, kan? Dah... cepat habiskan makan. Lepas ni temankan aku cari barang.”

Athirah habiskan makanannya dengan sisa-sisa tawa. Dia tahu gadis di depan bukan seorang yang pemarah. Tapi andai ada yang menggores perasaan dan kesabaran dicabar, jangan terkejut bila perwatakannya sekelip mata berubah.

Bak kata orang... yang nampak lembut bila sekali marah dia sudah menjengah, dunia pun boleh bergegar!

 

“KAU nak cari buku apa, Rish?” pertanyaan Athirah seiring langkahan mereka memasuki sebuah kedai buku.

“Buku finance.”

“Hai... ingatkan dah kerja tak payah nak beli buku-buku finance ni. Sama juga?”

“Nama pun kerja bahagian finance. Nak berpisah macam mana? Dah, kau pergilah cari buku kau. Tak payah nak gelak lagi kat sini.”

“Yalah, Cik Irish sayang!”

Satu demi satu deretan buku atas rak dibelek Irish, mencari apa yang diperlukan. Habis di rak itu, dia bergerak ke rak lain pula.

“Arhhh!”

Jerit kecil terlontar tanpa sengaja. Bahu kanannya disentuh. Perih! Buku-buku dalam pegangan habis terjatuh. Mata-mata sekeliling ikut tergamam.

Cepat-cepat gadis itu melutut. Buku-buku yang berterabur dikutip. Cuma sedetik, gerak lakunya termati. Imbasan memori seraya menangkap insiden ‘tragik’.

‘Dia lagi ke? Ya ALLAH... janganlah!’

Namun, harapan tak memihak kenyataan. Saat kepala didongakkan...



Zap!

Wajah menghantui itu sekali lagi muncul di depan. Terpempan.  

“Irish... ya ALLAH! Kenapa ni?!” terkocoh-kocoh Athirah meluru. Muka pucat lesi itu disentuh. “Kau okey tak ni?!”

Gadis itu masih tak merespons. Hanya mata tepat menghala ke depan. Sesusuk figura tinggi tegak berdiri merenung sama raut rakannya. Tajam... dalam.

Perlahan-lahan, Tengku Harrys tunduk mengambil buku-buku di lantai. Bening redupnya kekal tak beranjak dari wajah pucat berkenaan. Mungkin masih terkejut. Walhal dia sendiri tak sangka bakal dikejutkan dengan kejadian begini... untuk sekali lagi.   

“Siapa, Rish?” Athirah menyenggol bahu teman di sisi.

“Harrys... dah dapat buku yang you cari?” kelibat Tengku Melissa muncul entah dari mana, datang menerpa. Dengan berbaju sleeveless, berskirt mini separas paha... lengan sepupunya dipaut mesra.

“Hei, sayang! Kenapa ni?”



Tengku Harrys hanya berdiam. Renungan setia terpasung pada raut mulus di depan.

Cepat-cepat Irish bangkit. Buku di tangan Tengku Harrys laju diambil. “Terima kasih.”

Tangan Athirah terus ditarik. Terpinga-pinga gadis itu tak mengerti. Lagi hairan... kehadiran lelaki serta gadis tadi punca Irish kelam-kabut membawanya pergi.

 

SO... itulah Tengku Harrys? Bos kau? Yang kau cakap tu?”

             “Iya.”

            “Serius?”

            “Ya, Ira.” Lemau saja Irish menjawab.

            “Wow... boleh tahan! Handsome, tinggi, putih. Kalau aku jadi kau, tak lepas dah!”

            Langkah Irish terhenti. “Apa yang tak lepas?”

            “Tak lepaskan dia kat orang lainlah! Bertuah kalau kau dapat dia, Irish!”

            Cerlungan tajam Irish memanah wajah itu. Tak menduga rakannya berfikir sampai ke situ. Setengah minit... kakinya diayun semula.

“Jangan nak beranganlah, Ira. Fikir sikit dia tu siapa, keturunan apa, status dia? Tu tadi... tak nampak? Perempuan kat sebelah dia?”

            “Ha! Lupa nak tanya. Siapa perempuan tu? Bukan main manja lagi dengan bos kau. Daring betul! Dengan baju tak cukup kain tu. Menyampah pula aku tengok! Siapa tu, Irish?”

“Sepupu dia. Baru balik dari US.”

            “Hermm... sepupu aje. Bukan girlfriend pun!”

            Sekali lagi gerak Irish terhenti. “Kenapa kalau bukan girlfriend dia? Kau nak try?”

            “Eh! Apa pula aku? Kaulah! Tak salah kalau kau cuba, kan? Aku tengok tadi bukan main lagi Tengku tenung kau. Tak toleh kiri kanan pun. Aku rasakan, dia syok kat kaulah!”

Zap!

        Irish angkat tangan kanan. “Kau sebut lagi fasal tu, kau balik sendiri!” Irish percepatkan langkah menuju ke kereta tersisa beberapa meter saja.

            Athirah makin tercengang. “Yang dia nak sentap sangat ni, kenapa? Aku main-main aje. Tapi kalau betul pun... apa salahnya?” mulut gadis itu mengomel terusan. Tanpa sedar Irish sudah jauh berjalan meninggalkannya di belakang.


            “Eh, Rish... tunggulah! Okey, okey... aku tak sebut lagi dah!”



No comments: