Friday, September 23, 2016

BAB 28 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






  
“P
UKUL berapa awak cakap dengan Izzul nak datang ke rumah orang tuanya nanti?”


           “Saya beritahu Izzul petang. Lepas solat zuhur kita geraklah, bang.”

Tengku Dafina hulur minuman panas pada suaminya. Hanya mereka berdua dan Helena di meja makan menikmati sarapan ketika ini. Yang lain masih belum turun.

            “Dah beritahu anak-anak semua?”

            “Sudah, bang. Leen sekeluarga aje tak ada. Ikut suaminya balik kampung.”

            “Harrys?”

            “Dah. Awal-awal saya dah beritahu dia.”

            “Okey ke budak tu? Apa katanya?”

          “Nak kata setuju, tak. Nak kata membantah pun, tak. Insya-ALLAH... dia okeylah tu.”

Terbit keluhan Tengku Haiyan, memikir penerimaan Tengku Harrys tentang hasrat mereka. Sebolehnya dia tak mahu memaksa anak-anak dalam memilih teman hidup. Biarlah tuan badan sendiri tentukan.

Zaman sekarang bukan macam dulu. Calon pasangan boleh ditentukan orang tua.

            “Morning... mama, papa!”

           “Hermm... turun dah? Mari sarapan. Sejuk nanti tak sedap. Abang kamu mana, Reen?”

            “Abang? Ini kan abang kat belakang Reen. Mama tak nampak?” Tengku Hazreen melayangkan tangan depan mamanya.

            “Isk, dia ni! Maksud mama... Abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun sekali ke?”

            “Ooo... Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap aje.”

            “Fina... pergilah naik jenguk Harrys,” pinta Tengku Haiyan.

I’m here.”

Semua di meja makan menoleh. Entah bila lelaki itu turun. Yang pasti, bukan untuk bersarapan. Dengan jeans dan jaket kulit yang tersarung di badan, topi keledar serta gloves dalam pegangan... mana lagi?

“Nak ke mana, Harrys?” soal Tengku Haiyan saat anaknya menyalam seorang demi seorang ahli keluarga.

“Keluar.”

“Keluar? Pukul berapa pula nak balik? Harrys tak ingat hari ni kita nak pergi mana?” bertubi-tubi pertanyaan Tengku Dafina pula.

“Papa dengan mama buatlah apa yang baik. Harrys terima saja. Assalamualaikum.”

Susuk itu terus berlalu meninggalkan keluarganya termangu.



            “Apa yang tak kena dengan anak bujang awak tu, Fina?”

            “Entahlah, bang. Saya pun tengah fikir juga ni apa yang tak kena.”

            “Abang Rys kalau dah bawa superbike dia, jiwa kacaulah tu!” tebak Tengku Hazreen.

            “Jiwa kacau? Kenapa pula?”

            “Adalah yang dia marahkan tu, ma.”

“Iyalah... marah kenapa? Kalau tak cakap, mana nak tahu apa yang dia marahkan tu?”

Tawa Tengku Hafiy memecah suasana tak semena.

            “Dah... yang kamu ni tiba-tiba ketawa kenapa, Hafiy? Orang tengah susah hati fikir fasal Harrys, dia boleh senang hati ketawa pula!”

            “Ma... Harrys tu jiwa kacau fasal mama carikan calon isteri untuk dialah tu. Macamlah mama tak tahu anak bujang mama tu kan allergic perempuan!” 

            “Tapi mama bukannya carikan calon yang bukan-bukan untuk dia pun.”

            “Ha! Yang itu satu lagi... awak dah beritahu Harrys ke belum?”

“Beritahu apa, bang?”

“Siapa calon pilihan awak tu. Harrys dah tahu ke belum siapa kita nak pergi pinang ni?”

Terdiam Tengku Dafina semerta. Lambat-lambat dia jawab. “Belum. Saya ingat nak beritahu nanti-nantilah.”

Sekali lagi ketawa Tengku Hafiy meledak. Kali ini lebih galak. Hingga Helena menepuk lengannya.

“Patutlah pun dia marah sangat. Mama tak beritahu lagi rupanya siapa calon menantu pilihan mama tu! Hai.... Harrys, Harrys!” Tengku Hafiy sambung ketawa. Dia yakin kalau mamanya berterus terang, keadaan mungkin akan jadi sebaliknya.

‘Kau ingat abang tak tahu apa yang ada dalam hati kau, Rys? Ini abanglah!’

 

KEDATANGAN Tengku Haiyan dan keluarga mesra disambut. Seawal kehadiran, hingga ke meja hidangan, kini kembali duduk di ruang tamu... layanan diterima dari Encik Izzuddin sekeluarga penuh ramah dan santun.  

Bagai sudah lama kenal, waima ini pertemuan kedua selepas majlis perkahwinan Tengku Hafiy kira-kira sebulan yang lalu.

“Dah lama bersembang baru perasan. Tengku tak usahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Izzuddin aje.”

 “Yalah, Izzuddin. Tujuan kami ke sini pun untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga kita. Izzul tu dah macam anak kami sendiri. Tapi, saya dengan isteri ni tak pernah lagi bersua dengan orang tuanya.

Alhamdulillah... orang kata rezeki kitalah hari ni dapat kenal dengan lebih rapat begini. Terima kasih sebab Izzuddin dan keluarga sudi terima kedatangan kami.”

“Tak ada apalah, Tengku. Sepatutnya kami yang ucap terima kasih sebab Tengku sekeluarga sudi datang ke teratak buruk kami ni. Sudi terima layanan kami sekeluarga. Kalau ada yang terkurang... maaflah ya, Tengku. Maaf juga pada yang lain-lain.”

            “Tak ada apa yang kurang pun, Izzuddin. Semuanya cukup.”

            Encik Izzuddin tarik nafas lega. Bimbang andai layanan diberi tidak memuaskan hati tetamu yang bukan sebarangan pula.

        “Err, Izzuddin... memang tujuan kami datang hari ini untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan keluarga kita. Tapi, ada hajat lain yang kami bawa sama untuk dibincangkan sebenarnya.”

            “Hajat apa tu, Tengku?”

            “Begini, Izzuddin. Saya dan pihak keluarga berhajat untuk merisik dan menyunting bunga yang sedang mekar dalam rumah Izzuddin ni.”

            Berderau darah Encik Izzuddin seluruh badan. “Betul ke apa Tengku cakapkan ni? Atau mungkin... saya yang salah dengar.”

            “Tak, Izzuddin. Apa yang saya cakap tadi memang benar.”

            “Tengku... bunga yang ada dalam rumah saya ni cuma tinggal sekuntum saja yang belum berpunya. Dan, bunga itu ialah... Irish.”

            “Iya. Memang Irishlah bunga yang kami maksudkan, Encik Izzuddin.” Laju mulut Tengku Dafina mengiakan

            “Kalau tak keberatan, boleh saya tahu? Untuk siapa risikan ini, Tengku?”

            “Untuk anak lelaki kami... Tengku Harrys.”

            Sekali lagi darah Encik Izzuddin menderau. Kelu terkaku lidah dari sebarang pengucapan. Ingatan terus melayang pada anak gadisnya yang entah di mana tika ini.

Suasana di ruang tamu berubah hening. Baik keluarga Tengku Haiyan, apatah lagi keluarga Encik Izzuddin... Masing-masing mengambil sikap berdiam diri.

“Macam mana, Izzuddin? Dapat terima hajat kami?” Tengku Haiyan bersuara kembali.

“Irish tahu ke tentang hal ni?”

            “Tak, Encik Izzuddin. Irish tak tahu. Yang tahu cuma Izzul seorang saja. Tapi jangan salahkan dia. Saya yang minta Izzul rahsiakan perkara ini dulu,” jelas Tengku Dafina.

Encik Izzuddin menghembus nafas berat. Entah jawapan apa harus dibalaskan. Nak diikutkan, tak layak pun sebenarnya untuk dia bergaul dengan keluarga berdarah kerabat dan berstatus tinggi seperti Tengku Haiyan. Inikan pula berbesan.

Tapi, sekarang... insan-insan ini yang bersungguh mengharapkan hajat mereka dapat diteruskan. Dalam keadaan begini, dia hanya teringatkan nasib Irish.

            “Macam inilah, Tengku. Saya pun tak berani beri apa-apa keputusan. Saya mohon budi bicara Tengku sekeluarga untuk beri kami sedikit masa berbincang dan buat keputusan. Paling penting, tuan empunya badan sendiri yang kami perlu tanyakan.”

Tengku Haiyan menyimpul senyuman, mengerti maksud kata-kata berkenaan. Pandangan berkalih seketika ke sebelah. Dia tahu isterinya sedikit kecewa. Jemari wanita itu seraya digenggam, memujuk.

“Berbalik pada perbincangan tadi... kalau Izzuddin sekeluarga perlukan masa untuk berbincang, baiklah. Ambillah selama mana masa yang diperlukan. Kami akan menanti dengan sabar. Iyalah, nak mendirikan masjid ni bukan satu perkara yang mudah. Tambah-tambah pula bukan pilihan sendiri.” Tengku Haiyan menyambung bicara penuh tenang.

“Kak Ina...” Tengku Dafina mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. “...ini sebagai tanda hajat kami. Tak kisahlah berapa lama masa yang Kak Ina dan keluarga perlukan untuk berbincang dan buat keputusan.

Tapi saya harap Kak Ina terima dan simpan cincin ni dulu. Bila dah ada keputusannya, beritahulah. Kalau hajat kami diterima... alhamdulillah. Tapi kalau nanti jadi sebaliknya, saya minta Kak Ina simpanlah terus cincin ni sebagai hadiah dan tanda kenangan.”

Puan Qarina mengambil kotak baldu kecil merah di atas meja. Sebentuk cincin belah rotan terletak rapi di dalamnya. Sedetik, kotak itu ditutup dan disua semula.

“Terima kasih, Tengku. Tapi akak rasa belum masanya untuk kami terima cincin ini. Lebih-lebih lagi, kami belum beri apa-apa kata putus. Macam yang suami akak beritahu... kami kena tanya pada tuan punya badan dulu.”

“Tak apa, Kak Ina. Saya memang nak akak simpan cincin ni. Bila dah ada kata putus dari Irish nanti akak beritahulah kami, ya.”          

“Kata putus dari Irish? Kata putus apa?”

Seisi penghuni ruang tamu serentak berkalih pandang ke muka pintu. Raut mulus yang baru pulang itu nyata terpinga dengan apa yang sedang berlaku.

 



No comments: