Friday, October 7, 2016

BAB 29 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







 S
   UASANA dicengkam sepi. Hanya bunyi putaran kipas di siling mengisi sunyi. Mulut masing-masing bagai terkunci. Menunggu figura di depan memula perbincangan keluarga malam ini.

“Irish nampak semalam siapa yang datang, kan?”

            Pertanyaan Encik Izzuddin dibalas sebuah anggukkan.

            “Tahu. Kenapa mereka datang ke sini?”

            “Tak, ayah.”

“Sebelum tu ayah nak tanya. Irish ada berkawan dengan sesiapa ke sekarang ni?”

            Gadis itu mendongak. Dahinya berkerut. “Maksud ayah?”

            “Ada berkawan rapat dengan mana-mana lelaki?”

             “Tak ada.”

Encik Izzuddin hela nafas. Wajah dipaling pada susuk di sebelah. “Ina ceritalah.”

Puan Qarina bangkit dari sofa. Duduknya berpindah ke sisi Irish. Tangan anak gadisnya dicapai, menyerahkan sesuatu dari genggaman.

“Apa ni, umi?” Irish kaget. Kotak baldu kecil berwarna merah sudah berpindah tangan. Kotak yang serupa diberi Tengku Dafina semalam. Degup jantung semerta bergetar kencang.

“Irish. Tengku Haiyan sekeluarga datang semalam sebenarnya bawa hajat.”

            “Hajat? Apa maksud umi?”

            “Mereka berhajat untuk melamar Irish.”

            Dum!

Bagai halilintar membelah alam Irish rasakan. Kotak baldu yang dipegang terlepas jatuh dari pegangan. “Lamar Irish? Buat apa?”

“Kalau dah namanya melamar... untuk dibuat calon isterilah, dik oi! Boleh tanya buat apa pula?” Iman langsung mencelah.

“Tapi untuk siapa?”

Senyap. Seisi yang ada saling berpandangan.

“Kenapa semua diam? Ke... lamaran ni tak bertuan?”

            “Lamaran tu untuk adik Hafiy, Rish.”

Tepat pandangan Irish terpasak ke raut Izzul. “T... Te... Tengku Harrys?”

Izzul mengangguk perlahan.

            “Along jangan berguraulah!”

         “Tak ada siapa berani bergurau dalam keadaan sekarang ni, Irish. Lagi-lagi benda serius macam ni.” Bicara Rafie pula, buat adik iparnya terus terdiam kata.

“Irish... apa yang along beritahu tu, betul. Memang keluarga Tengku Haiyan datang ke sini untuk merisik dan melamar Irish buat Tengku Harrys. Tapi, Irish dengar sendiri kan yang kami belum beri apa-apa kata putus lagi. Ini berkaitan hidup Irish, masa depan Irish. Jadi umi dengan ayah nak Irish tentukan sendiri. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan.”

Irish tertunduk kaku. Tubir matanya berkaca seribu. ‘Kenapa tiba-tiba ni, Ya ALLAH?’

“Ayah bagi tempoh seminggu untuk Irish fikir dan buat keputusan. Terima atau tak... itu hak Irish. Tapi, ingat... jangan sampai bergaduh disebabkan hal ini. Irish cari rezeki dengan mereka. Dan, ayah tak nak Irish terima kerana termakan budi atau status yang mereka pegang.”

Encik Izzuddin bangkit berlalu meninggalkan ahli keluarga yang lain. Emosinya agak terganggu semenjak kepulangan keluarga Tengku Haiyan semalam. Pulang dengan meninggalkan sesuatu yang sukar untuk diterima.

Kalau dia punya kuasa untuk menolak, sudah ditolak hajat tersebut waktu itu juga. Tetapi demi menjaga air muka tetamu serta maruah keluarga, ditahan saja segalanya. Lagipun, keputusan di tangan Irish. Biarlah anak itu tentukan sendiri masa depannya.

Ruang tamu kembali hening. Sekelumit suara pun tidak berbunyi. Mengerti benar dengan kata-kata ‘amaran’ diucapkan ketua keluarga mereka sebentar tadi.    

 

VROOMMM!

Deruman enjin Ducati 1098S merah menggegar halwa segenap penghuni vila saat jam menjangkau ke 11.00 malam. Seketika, sesusuk kelibat muncul di balik pintu utama. Riak mukanya tetap sama saat dia meninggalkan vila seawal pagi semalam.

            “Harrys pergi mana?” sapa Tengku Dafina kala anak bujangnya hanya berlalu melewati mereka yang sedang menonton televisyen.

“Harrys?”

Langkah Tengku Harrys terkaku di anak tangga pertama sayap kanan vila. “Keluar ambil angin.”

“Sampai tak balik semalaman?”

Lelaki itu kembali membisu.

            “Harrys dah makan belum? Kalau belum, mama minta Mak Ros ke Dewi sediakan.”

            “Tak apa. Harrys dah makan.  Harrys naik dulu.”

            Figura tinggi itu terus mendaki tangga menuju ke tingkat atas.

“Nak ke mana, Fina?”

            “Nak naik atas jenguk Harrys, bang.”

“Tak usahlah. Budak tu baru aje balik. Biarlah dia berehat dulu.”

            “Tak adalah, bang. Saya ni bukan apa. Risau tengok si Harrys tu.”

            “Ma...” Tengku Hafiy bangun. Bahu mamanya diraih agar wanita itu kembali duduk. “Tak apa, mama duduk aje sini. Biar Hafiy yang pergi tengok Harrys.”

            “Tapi...”

            “Listen to me, mama. He’s not in a good mood right now. So, let me see him. Hafiy tahulah nak handle adik Hafiy tu macam mana. Mama duduk aje sambung tengok TV.”

            “Hmm... yalah, yalah!”

Tengku Hafiy tergelak melihat mamanya sudah tarik muka. Terbit rasa kasihan. Tapi dia tak mahu ada pertengkaran akan terjadi. Emosi adiknya tidak stabil. Jiwa dan fikiran lelaki itu sedang kacau, kusut, berserabut.

           Dia tahu... ada sebab Tengku Harrys berkelakuan begini. Walhal lelaki itu susah untuk marah. Dan sebagai anak lelaki sulung, tanggungjawabnya perbetulkan segala salah faham yang berlaku.

Tuk tuk tuk!

Tiada sebarang respons. Perlahan daun pintu ditolak. Dalam samar cahaya, korneanya menangkap sekujur tubuh melunjur di atas sofa.

Mata terpejam. Tangan kanan berlabuh di dahi.

Tak pasti sama ada sudah terlena, atau sekadar berbaring rehatkan diri.

            “Harrys. Tidur ke?”

Tengku Harrys tersentak. “Bila abang masuk?”



“Abang ketuk pintu, senyap. Redah ajelah. What’s up bro? Kau okey ke?”

Tengku Harrys bangkit dari baring, bersandar duduk menghadap abangnya di sofa bertentangan. “Okey.”

“Tak payah nak berlakonlah, Rys. Dari semalam kau keluar dengan muka macam tu, balik pun dengan rupa yang sama, okey kau cakap?” hujung bibir Tengku Hafiy menyungging sinis. “Lari ke mana sampai tak balik? Hmm? Tahu kan keluarga pergi merisik untuk kau?”

“Tahu.”

“Habis tu, mana menghilang? Patut orang tua pergi merisik... happy, excited! Ini tak... muka masam mencuka macam ayam berak kapur aje abang tengok!”

Sebiji bantal kecil melayang tepat ke lelaki itu. Zap! Tangannya lebih pantas menangkap.

Tengku Harrys mendengus geram. Balingannya tak mengena sasaran. Bertambah geram mendengar tawa abangnya makin sakan. Malas mahu melayan, dia bingkas berlalu ke almari. Jaket kulit tersarung di badan, ditanggalkan.

Seharian dia menunggang motosikal semalam tanpa arah tuju. Ingin lari dari masalah membelenggu. Puas melayan jiwa kacau, haluan dihala pulang ke kondo miliknya dan Fezrul.

Menghabiskan masa bersama rakan baiknya, dapat sikit ringankan beban yang menjerut. Namun untuk bercerita lanjut, belum sampai waktu.

“Kau tak nak tahu ke apa jadi dengan majlis merisik semalam, Rys?”

Lamunan Tengku Harrys terhenti. Renungan tajam dilemparkan pada abangnya. Sepuluh saat... dia berpaling semula menghadap almari.

Dia tak tahu apa yang telah berlaku semalam, dan apa yang terjadi dengan risikan itu. Sememangnya... dia tak ingin tahu. Jiwa pasrah andai ini takdir suratan yang tertulis Ilahi.

Sejak mendapat tahu perkara tersebut dari mamanya tempoh hari pun, dia hanya berdiam diri. Langsung tak bertanya siapa calon pilihan mamanya, walau dapat mengagak siapa orangnya.

Malah semenjak itu... hatinya jadi tak tenteram. Emosi sering terganggu. Amarah sering bertandang. Hingga dilepaskan geramnya pada orang tanpa dia perasan.

Dan, yang menjadi mangsa selalunya... Irish. 

“Eh, budak ni. Senyap pula dia! Rys... dengar tak apa abang tanya ni?” 

“Dengar.”

“Dengar tapi buat tak tahu aje?”

“Perlu ke?”

“Hai, of courselah! Takkanlah kau tak nak tahu siapa calon bakal isteri kau tu? Dan, apa jawapan yang kita orang bawa balik hasil perbincangan semalam?”

Masih lagi senyap. Tiada tanda-tanda Tengku Harrys akan membalas pertanyaan.

“Harrys!”

Pap!!!

Pintu almari dihempas kuat. Deras langkah Tengku Harrys meluru ke arah abangnya. Kolar baju lelaki itu direntap. Ditarik tubuh tersebut bangun menentang matanya.

“Nak ambil tahu fasal apa lagi?! Who will be my future wife? Tengku Melissa is the answer, right? And of course, keluarga pak ngah dah terima risikan tu! Now... I have a question for you. What is the date of our engagement? Next month? Next year? Or perhaps next week, my darling brother? Huh??!” bentak Tengku Harrys geram.

Matanya menyala bak saga. Muka merah padam bertukar rupa.

Namun... marahnya percuma. Tawa sekali lagi memenuhi segenap ruang biliknya.

“Wei, Rys... kau dah kenapa? Astaghfirullahalazim. Cuba bawa mengucap!” Tengku Hafiy melepaskan renggutan dari kolar bajunya. “Itulah! Lain kali orang offer nak beritahu, jangan jual mahal sangat! Kan dah jadi macam ni!”

Sungguh! Seumur hidup, inilah pertama kali adiknya berkelakuan ‘kasar’ begini.

What? Salah ke apa yang Rys cakap?”

“Memang salah pun! Kau ingat mama nak ke buat perempuan macam Lissa tu jadi menantu dia? Mati hidup balik pun mama takkan buatlah!”

“Bukan Lissa? Habis... siapa?” 

“Macam nilah, Rys. We all balik semalam dengan tangan kosong sebab keluarga pihak perempuan belum beri keputusan lagi. Mereka minta tempoh untuk berbincang dan beri kata putus yang abang sendiri pun tak tahu sampai bila. So...” Tengku Hafiy merapati adiknya. Bahu tegap itu dipaut utuh. “...kau bincanglah dengan Irish baik-baik fasal ni. Mana tahu dapat lembutkan hati dia untuk terima kau!”

Bahu Tengku Harrys ditepuk Tengku Hafiy seiring langkahnya beredar.

“Abang, tunggu!” Tengku Harrys tarik bahu lelaki itu. “Apa maksud abang bincang dengan Irish?”

“Sebab calon pilihan mama yang selalu disebut-sebut tu... is Irish.”

W... wh... what?”

Yes. Sebab tu abang suruh kau bincang elok-elok dengan dia. Berdoalah banyak-banyak moga keluarganya akan beri jawapan yang menggembirakan. Nampak mama memang betul-betul berhajat nak bermenantukan Irish untuk kau.”

Tengku Hafiy terus berpaling menyambung langkah. Sebelum pintu dirapatkan...

“Bincang dengan Irish baik-baik. Ingat pesan abang ni. Good night!”

Bening Tengku Harrys kejung terpaku merenung daun pintu yang sudah tertutup.

“Irish?” ucapnya tak percaya.

 

No comments: