Friday, October 21, 2016

BAB 33 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







K
  UNTUMAN senyum di bibir mengiringi langkahan ke pejabat. Semua pekerja yang berselisih dihadiahkan senyuman ‘mahal’nya. Pasti masing-masing hairan melihat tingkah ‘luar biasa’ dia pagi ini.

Tak kisahlah. Hatinya benar-benar diulit bahagia. Satu perasaan yang tak pernah dirasakan dalam hidupnya.

“Hai, Tasya. Morning.”

            “Morning, Tengku!”

            “Any document I need to sign?”

            “Ada. Semuanya saya dah letakkan atas meja Tengku.”

            “Alright. Thanks!” ucap lelaki itu bersama ukiran senyum.

Natasya pandang ketuanya tak berkedip. “Ai! Lain macam aje bos hari ni? Siap tersenyum manis lagi. Selalunya muncul dengan muka serius dia aje. Okey ke tak tu?”

Pintu bilik terus direnung biarpun kelibat lelaki itu telah masuk.

            “Nasib kaulah Tasya dapat bos unpredictable macam tu!”

Beg diletak ke meja. Kaki diatur merapati jendela. Tirai ditarik separa terbuka... melempar pandangan pada panorama pagi kota. Seketika berdiri, bibir memotret senyum lagi.

Berita yang baru diterima semalam benar-benar buat dia tak tentu hala. Minda asyik memikir gadis itu... gadis yang sejak dulu bergurau dengan bayangannya.

Malah, hingga kini sentiasa hadir menerpa segenap ruang hidupnya.

“Irish...”

Sungguh, gadis itu benar-benar memberi tamparan pada dia yang selama ini buta hati terhadap cinta.

“Hmmh... it’s time to work, Harrys!”  

Langkah kembali ke meja. Fail-fail diletakkan Natasya disemak dan ditandatangan. Selesai, tumpuan beralih pada kerja di komputer. Beberapa aksara ditaip...

“Arghh... satu benda pun tak boleh nak fikir ni!”

Kepala ditekup dengan tangan, mengerah otaknya berjalan. Seminit... dia tersandar resah. Kalau terus begini, mahu semua kerja tergendala.

Mata dipejamkan. Lewat detik tercari-cari... punat interkom ditekan.

“Tasya.”

“Ya, Tengku.”

“Panggil Cik Irish masuk ke bilik saya. Sekarang.” 

“Baik, Tengku.”

Mungkin itu saja cara mendapatkan semangatnya. Dia cuma ingin menatap wajah itu buat seketika. Terasa rindu menampar jiwa.

‘Rindu? Macam ni ke rasanya rindu?’

 

“TENGKU panggil saya?”


Sepotong ayat dari mulut kecil berkenaan. Hanya sepotong ayat... tapi mampu merubah palpitasinya jadi tak keruan.

“Ada yang boleh saya bantu?”

Tengku Harrys terus kelu lidah. Sebelum ini mereka berdepan sebagai majikan dan pekerja. Tetapi sekarang gadis di depan adalah calon bakal isterinya. Sesuatu yang tak terjangkau di benak, walau itu yang diimpikan sejak bertemu dek insiden silam.

“Tengku? Tengku okey?”

No.”

“Ada masalah?”

Yes.”

“Berkenaan apa?”

I don’t even know.

Irish kerut dahi. “Err... ada apa-apa yang Tengku perlukan?”

Nothing.

Gadis itu tarik nafas. Tak mengerti dengan tingkah lelaki di depan. “Kalau macam tu saya minta diri dulu.”

“Ada saya suruh awak keluar? Did I?

Langkah Irish terhenti. Matanya terpejam. Bibir diketap. Perlahan-lahan dia berpaling semula. “Tak ada.”

So... why don’t you just stand up there and keep quiet?”

Bibir gadis itu makin erat berketap. Jemari digenggam kejap. Pandangan dilarikan ke lantai bawah... cuba menahan gelodak yang  tiba-tiba bersemarak.

“Kenapa terima lamaran tu?”

Menderau darah Irish. Tepat seperti dijangka. Kedatangannya dipanggil ke bilik ini pasti berkisarkan hal keputusan semalam.

Dia jua tak mengerti mengapa kata putus itu yang diputuskan. Yang pasti sewaktu ayahnya meminta jawapan, mulut ringan saja menyebut ‘ya’ tanpa berfikir panjang.

Mungkinkah itu petunjuk diberikan ALLAH atas istikharahnya?

            “Irish.”

Raut mulus itu mendongak. Figura yang tadi duduk di kerusi kini sudah bersandar di birai meja, berpeluk tubuh menghadapnya.

            “I’m still waiting your words. Atau nak saya datang dekat? Baru awak buka mulut?”

“Err, tak...”

Percuma. Susuk lelaki tersebut sudah bangkit dan mara melangkah... semakin hampir... hingga jarak mereka hanya beberapa jengkal tersisa.

“Cakaplah. Saya dah dekat sekarang. Kenapa terima lamaran tu?”

“Err...”

“Sebab keluarga awak?”

“Tak.”

“Sebab keluarga saya?

“Bukan.”

“Atau... sebab awak dah jatuh cinta dengan saya?”

Tepat mata Irish terpasak pada wajah berkenaan.

“Kenapa pandang saya macam tu? Is it true?”

Kornea Irish terus-terusan memasung bening redup di depan.

Is it true, Irish?”

Kaki Tengku Harrys kembali menapak, memaksa Irish turut berundur ke belakang. Kian lama, kian mendekat.

Hingga tubuh gadis itu sudah hampir ke dinding... cepat-cepat dia loloskan diri.

Tapi... cepat-cepat juga dipintas Tengku Harrys.

Mati terus pergerakan Irish terkunci!

Where do you thing you are going? Awak masih belum jawab soalan saya. Dan, saya masih belum dapat jawapan untuk soalan saya.”

“Perlu ke saya jawab?”

“Dah tentu.”

 Irish telan liur. Ligat benak memikir jawapan untuk ditutur.

“Irish...,”

“Saya cuma tak nak buat keputusan yang akan bagi kesan buruk pada keluarga Tengku kalau tolak lamaran tu. Itu yang Tengku cakap pada saya tempoh hari. Dan... saya pun kena jaga maruah keluarga saya.”

“Walau hati sendiri terluka?”

“Kalau itu yang boleh bahagiakan semua orang.”

“Macam mana pula dengan hati saya?”

“Kenapa dengan hati Tengku?”

Tengku Harrys tenung anak mata gadis itu dalam-dalam. “Nothing. You may leave.”

Susuk tinggi itu kembali ke mejanya. Irish turut ayun kaki mahu beredar segera.

Thanks. Have a nice dream.” 

Langkah termati lagi. Gadis itu berpaling kembali.

Please save your future husband’s number starting from now.”

Seantero oksigen ditarik paru-paru Irish. Terjawablah kini siapa pengirim misteri yang menghantar mesej padanya lewat malam tadi.

‘Sabar, Irish. Hari ini hari dia...’

Deras dia berjalan keluar dari bilik. 

“Ini hari, hari dialah. Esok lusa jangan sampai hari pun tak kenal. Mana dia dapat nombor aku? Abang Hafiy? Natasya? Insyirah?”

Otak terus bergolak memikir segala kemungkinan tersebut.

 

JARI membelek-belek gelas di tangan. Seiring pandangan tak lekang dari makanan di hadapan. Langsung tak berusik. Hanya direnung bersama senyuman terhias di hujung bibir.

            “Hoi!”

Satu sudu kecil berdenting jatuh depan mata. Lelaki itu angkat muka.

“Kau dah kenapa dari tadi senyum sorang-sorang?” soal Fezrul hairan.

Malam ini dia dan Tengku Harrys keluar makan bersama, setelah kemunculan tiba-tiba rakannya itu di kondo mereka. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, dia pun apalagi.

            “Tak ada apa.”

            “Tak ada apa konon! Dari masa muncul tadi happy semacam. Dah tu senyum sorang-sorang... tak ada apa-apa? Hei, ini Fezrullah! Sekilas ikan di air, tahulah mana jantan betina!”

Tengku Harrys melakar lagi senyum. Sungguhlah bagai dikata... hanya melalui air mukanya, figura di depan sudah dapat menghidu.

            “What’s up, bro? Last jumpa aku hari tu dengan muka sikit punya serabut. Sekarang, macam dah tak cukup mulut nak tersenyum pula aku tengok! Any good news?”

            “Tak adalah good news sangat.

            “Tapi muka kau beritahu yang sebaliknya.”

Tengku Harrys hela nafas. Tak dapat disembunyikan lagi rasa yang sedang bergelodak. Lagi-lagi lelaki dengan di depan.

            “Rys...,”

            “Dia terima lamaran tu.”

Terhenti tangan Fezrul dari menyuap makanan. Wajah rakannya ditenung tanpa kerdipan. “Kau betul ke ni, Rys? Aku tak salah dengar?”

            “Kau dengan aku bukan jauh mana pun.”

            “Bila dia beritahu?”

            “Semalam.”    

            “Pada kau?”

            “Abang dia call abang aku dan sampaikan berita tu.”

 “Reaksi keluarga kau macam mana?”

            “Ini hajat keluarga aku, Rul. Dah tentu dia orang gembira.”

“Kau?”

            “Kenapa dengan aku?”

            “Kau pasti ke dengan pilihan keluarga kau?”

            “Aku dah cerita semuanya kat kau, kan?”

            “Aku tahu. Tapi kau dah bersedia ke? Kau masih belum kenal hati budi dia. Bercinta... lagilah. Kau dah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku nanti? Hati kau pada dia, macam mana? Dah cukup kuat? Setakat suka aje tak cukup untuk bina masjid, Rys.”   “Aku tak pernah minta semua ni berlaku, Rul. Dan... aku tak pernah minta ALLAH hadirkan perasaan ni dalam hati aku. Untuk seorang perempuan yang aku tak kenal pula. Semua tu berlaku atas kehendak dan kuasa-NYA.

Kau sendiri tahu, seumur hidup tak pernah aku buka hati untuk mana-mana perempuan. Sebab aku tak percaya lelaki perlukan mereka untuk bahagia dan berjaya. Tapi kemunculan dia buat prinsip aku tergugat. Dan, semuanya bermula just because of that incident.

Tiga kali aku berlanggar dengan dia, tiga kali tu juga aku tak berkesempatan nak kenali dia. Yang ada cuma bayang-bayangnya yang selalu datang bergurau dengan hari-hari aku. Siang malam aku berdoa, moga dipertemukan dengannya satu saat nanti.

Aku ingat doa aku cuma tinggal harapan. Tapi tak sangka... keluarga aku dah kenal dia lebih dulu. Aturan ALLAH memang indah, Rul. Tak siapa tahu. Aku tak tahu... kau tak tahu... orang lain pun takkan tahu.”

 Bicara Tengku Harrys ditelusi sedalamnya oleh Fezrul. Wajah serius. Dahi berkerut. Senyum terputus.

Tengku Harrys kian bingung. Tak senangkah rakannya mendengar perkhabaran ini? Sangkanya Fezrul akan gembira. Namun, kebisuan lelaki itu meranapkan tenangnya.

“Rul...,”

            “Congracts, bro! Akhirnyaaa...”

Raut Fezrul berubah sekelip mata. Tangan Tengku Harrys dijabat gembira.

“Aku saja acting sikit. Nak tengok reaksi kau. Dulu cakap apa... tak mainlah jiwang-jiwang. Takkan pernah ada cinta dan perempuan dalam kamus hidup kau. But now... you see? Tak fasal-fasal malam ni aku dapat korek rahsia hati seorang lelaki yang terpaling alergi perempuan selama 29 tahun bernafas kat muka bumi. Amacam? Hebat tak penangan cinta?”

            “Macamlah kau dah bercinta sangat.”

            “Eh, aku lain! Sekurang-kurangnya aku berkawan dengan perempuan. Ramai perempuan yang aku kenal. Sambil menyelam, sambil minumlah!”

            “Dah jumpa?”

            “Dalam pemerhatian. Nak cari calon isteri bukan senang, Rys. Lainlah kau... keluarga carikan. Dapat pula gadis yang kau idamkan. Tak payah nak fikir-fikir!”

            “Baru merisik, Rul. Belum apa-apa lagi.”

            “Dah hantar tanda, kan?  Dah separuh terikatlah tu. Anyways... siapa nama dia? Dari hari tu asyik sebut-sebut fasal dia, tapi nama dia pun kau tak beritahu.”

            “Irish. Irish Qiara.”


            “Wow... cantik! Mesti secantik orangnya! Kalau tak, takkan mister alergi perempuan ni boleh tangkap cintan. Kan?”

            Tengku Harrys hanya tersenyum dalam menggeleng.

            “Hermm... yalah tu, Rys. Sejak dulu perempuan yang beratur nakkan kau semuanya cantik, hot, meletup. Tapi bulat-bulat kau reject! Dengan si Irish ni tak tahulah apa yang buat kau sangkut. Bila kau nak kenalkan dia kat aku? Nak sangat aku jumpa gadis yang dah buat kawan aku jadi sasau teruk sampai macam ni!”

            “Teruk?”

            “Dah macam gila bayang aku tengok. Termenung, mengelamun, senyum sorang-sorang. Teruklah tu!”

Tengku Harrys ketawa besar. Ketawa yang hanya terlahir dalam jiwa.

‘Dah lama aku gila bayang, Rul. Bayang dia yang buat aku jadi gila!’



No comments: