K
|
EDIAMAN Encik Izzuddin sudah
dipenuhi dengan sanak-saudara dan kenalan mereka yang kelihatan sedang sibuk
bergotong-royong bagi mempersiapkan majlis pertunangan yang akan berlansung
pada sebelah petang. Encik Izzuddin serta Puan Qarinalah adalah antara yang
paling sibuk untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Mujur anak-anak
mereka turut membantu. Tidaklah hanya mereka berdua terkejar-kejar. Terlihat juga
deretan tiga buah khemah yang sudah tersedia di halaman. Sementara di dalam
rumah, Irish sedang sibuk disolek oleh jurumekap wanita yang ditempah dari
Butik Pengantin D’Sara, butik milik rakan Tengku Dafina yang dikunjungi mereka
tempoh hari.
“Pukul berapa rombongan sampai?” soal jurumekap tersebut
yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Zira. Begitu teliti wanita itu
melakukan tugas demi memberikan hasil yang terbaik. Lebih-lebih lagi majlis ini
adalah majlis kawan baik kepada majikannya.
“Lepas Zohor, Kak Zira.”
“Sempatlah nak siap. Sekarang baru pukul 12.30. Ada lebih
kurang satu jam lebih lagi.”
Dalam masa hampir dua jam, Irish selesai didandan
sepenuhnya. Kak Zira meneliti Irish dari atas hingga ke bawah. Setiap sudut
pada tubuh gadis tinggi lampai itu diperhati. Seakan berpuas hati dengan hasil
kerjanya, barulah dia ‘melepaskan’ Irish.
“Okay, done!
Irish bolehlah tengok cermin sana. Kalau ada yang tak okay bagitahu akak,” arah Kak Zira lansung mengemas kembali alat-alat
soleknya yang telah digunakan.
Irish melangkah mendekati cermin panjang yang terletak di
sudut bilik. Sebaik berdiri di hadapan cermin itu, dia melihat bayang susuk
tubuhnya. Dalam busana pertunangan berwarna hijau lumut serta solekan yang
dikenakan pada wajah, ternyata dia kelihatan amat berlainan sekali. Seperti
bukan melihat diri-sendiri. Pertama kali dalam hidup, dia melihat dirinya dari
sisi yang berbeza. Irish terkaku untuk seketika.
“Irish? Okay
ke?” Kak Zira menyentuh lembut kedua bahu Irish yang seakan tidak berganjak
dari memandang ke arah cermin. Dia kemudian turut sama melihat bayangan gadis
itu pada cermin di hadapan.
“Hmm?”
“Kenapa? Ada yang tak okay
ke? Dok tenung cermin tu sampai tak berkelip mata!”
“Eh, okay! Okay sangat, Kak Zira. Cuma terkejut
sekejap. Macam bukan tengok diri-sendiri.”
“Orang kalau tak pernah make-up, macam nilah. Lagipun Irish memang dah cantik. Pakai apapun, mestilah
lagi nampak cantik. Kan?” ujar Kak Zira sambil mendekatkan pipinya dengan pipi
kanan Irish, cuba menenangkan gadis itu.
“Terima kasih, kak.”
“Sama-sama. Akak nak kena gerak ni. Ada event lain.” Kak Zira lantas mengambil
beg serta peti alat soleknya di atas katil dan kembali semula pada Irish untuk bersalaman.
“Akak tak makan dulu ke?”
“Tak apa. Tu pun tadi mak Irish dah sediakan kuih dengan
air untuk akak. Akak balik dulu, ya. Apa-apa call je. Dan tahniah, for
your engagement!”
Sesudah itu Kak Zira melangkah keluar, meninggalkan Irish
seorang diri di bilik kini. Gadis itu melabuhkan duduknya di hujung katil,
merenung barang-barang hantaran yang tersusun kemas di atas lantai. Seperti
tidak percaya apa yang berlaku pada dirinya hari ini. Lansung tidak terjangkau
di akal.
‘Betul ke apa yang aku buat ni? Kenapa hati aku rasa tak
sedap semacam?’ Irish berbicara sendiri. Sedaya upaya dia mengusir perasaan itu
dari terus menghantui dirinya.
‘Ini keputusan yang kau ambil, Irish. Tak mungkin kau
dapat patah balik. Teruskanlah. Demi untuk orang-orang yang kau sayang.’ Irish
cuba memujuk hatinya. Terasa ada air hangat yang bertakung di hujung mata.
Segera dia menyeka, tidak mahu solekannya rosak gara-gara terlebih emosi.
“Hey, girl!!”
Teguran itu membuatkan Irish berpaling ke belakang.
“Ira!”
“Aaaaaa!!!” jerit Athirah sebaik terpandangkan rakan
baiknya itu. Terus sahaja dia menerpa ke arah Irish dan memeluk gadis itu
erat-erat. “Rindunya aku kat kau, Irish!”
Lama mereka berdakapan untuk melepaskan rindu setelah
hampir beberapa bulan tidak bersua muka. Setelah puas, barulah pelukan
direnggangkan.
“Betul ke ni kau, Irish?”
“Betullah aku. Asal kau tanya macam tu?”
“Serius. Kau nampak lain gila!”
“Kan? Aku sendiri tengok pun rasa tak percaya.”
“Yelah. Kau mana pernah make-up macam ni bagai. Of
courselah bila dah kena sekali terus naik seri tu! Anyway... kau nampak cantik sangat-sangat hari ni. Dengan baju ni. Marvellous! Kalau aku jadi lelaki pun
boleh cair tengok!” puji Athirah pada rakannya itu.
“Ada-ada jelah kau ni. Kau bila sampai?”
“Baru je. Eh, Sini!” lantas Athirah menarik tangan Irish
untuk duduk di birai katil. Tangan gadis itu digenggamnya. “Kau tak cakap
awal-awal dengan aku pun kau nak bertunang, kan? Dahlah baru bagitahu. Call pulak tu! Hishh! Memang tak patut
betullah kau, Irish!”
Irish memandang
Athirah dengan seribu satu perasaan. Dia tahu rakannya itu masih terkejut
dengan berita pertunangan ini. Dari reaksi Athirah sewaktu dia menelefon
beberapa hari lalu, dia sudah dapat mengagak rakannya itu pasti bebar-benar
terkejut. “Sorrylah, Ira. Aku tak ada
niat pun nak sorokkan hal ni. Aku tahu kau mesti terkejut.”
“Mahunya tak terkejut! Hari tu kau cakap keluarga Tengku
tu masuk meminang. Then kau minta
tempoh untuk bagi jawapan. Lepas tu kau lansung tak update apa-apa dengan aku pun, kan! Tub-tub nak bertunang dah. Apa
kes?”
“Sorrylah,
Ira.”
“Sorry, sorry!”
Irish menyentuh lembut wajah Athirah dengan kedua
tangannya. “Ira... aku bukan tak nak bagitahu kau. Tapi kau pun tahu kan
keadaan aku macam mana. Semua yang berlaku ni bukan atas kehendak aku,” terang
Irish dengan suara yang sudah mula bergetar.
“Hey, aku main-main jelah! Tak payahlah emosi sangat!”
Spontan terdengar gelak tawa Athirah memenuhi segenap
ruang bilik. Mujur pintu bilik tertutup ketika itu. Pantas Irish mengambil
sebiji bantal lalu memukul tubuh gadis itu.
“Kau kan!”
“Aku apa? Ha, tulah! Buat aku macam tu lagi. Ada ubi
adalah batas!”
“Kan? Suka kenakan aku?”
“Sukalah! Bukan senang nak dapat prank kau macam ni. Kat majlis tunang kau pulak tu! So jaga-jagalah time kau kahwin nanti.”
“Tak ada maknanya.”
“Tak ada maknanya konon! Kita tengoklah nanti!” tingkah
Athirah lagi seraya melagakan
bahunya dengan
bahu Irish di sebelah. Serta-merta ketawa mereka berderai.
“Kak Irish.”
Panggilan itu membuatkan kedua-duanya menoleh.
“Ya, Irfan. Kenapa?”
“Kawan-kawan akak sampai.”
“Kawan?”
Adik bongsunya itu mengangguk. Sebaik Irfan berkalih
tempat, seorang gadis melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.
“Hai, Cik Irish!”
“Insyirah!”
Seraya itu Natasya menyusul dari belakang diikuti Zaryn,
Farisya, Elaine dan akhir sekali Kak Maisarah yang mendukung seorang anak
kecil. Seketika suasana di dalam bilik itu agak riuh dengan suara-suara mereka.
Masing-masing memuji penampilan Irish yang ternyata berlainan dari hari-hari
biasa yang mereka nampak. Di kesempatan itu juga buat pertama kalinya Irish
memperkenalkan teman-teman sepejabatnya kepada Athirah. Hanya beberapa minit
bertemu, tidak sangka semuanya dapat menyesuaikan diri, menjadikan satu ikatan
persahabatan yang baru terjalin di antara mereka.
**********
KETIBAAN
rombongan keluarga Tengku Haiyan
disambut mesra oleh wakil tuan rumah yang telah diamanahkan untuk mengendali
majlis pada petang itu. Kelihatan ceria sahaja mereka pabila bergaya sedondon
dengan pakaian berwarna coklat emas yang menjadi tema pilihan. Sementara
menanti majlis dimulakan, para tetamu dilihat berbual-bual sesama mereka di
ruang hadapan kediaman Encik Izzuddin. Dulang hantaran dari kedua-dua belah
pihak juga sudah tersusun cantik di satu sudut berhadapan pelamin kecil yang
menempatkan Irish di situ.
Bacaan doa membuka tirai majlis pada petang itu diikuti
dengan sesi perbincangan antara kedua-dua belah pihak yang mana keluarga Irish
diwakili oleh abang kepada Encik Izzuddin sementara keluarga Tengku Harrys pula
diwakili oleh Tengku Arham. Suasana nyata begitu tenang dan lancar sepanjang
perbincangan berlansung. Masing-masing tidak banyak bantahan baik dari pihak
lelaki mahupun pihak perempuan. Berlainan pula dengan Irish yang duduk di atas
pelamin kecil yang direka khas untuk majlis tersebut. Sejak dari awal majlis
itu berlansung, hatinya sentiasa dibaluti resah. Entah apa yang dirisaukannya
dia sendiri tidak pasti. Mujurlah rakan-rakannya ada untuk menemaninya di atas
pelamin ini. Walaupun ia masih belum mampu mengusir rasa gundah di hatinya.
“Pssttt! Kau okay
ke?” bisik Athirah perlahan. Irish di sebelah pantas menoleh.
“Kenapa kau tanya macam tu?”
“Sebab aku tengok muka kau semacam je. Asal?”
Irish terdiam sejenak. Berkira-kira untuk memberi alasan.
“Nervous kut.”
“Kalau ya pun nervous
janganlah tunjuk sangat muka tu!”
“Nampak sangat ke?”
“Kalau tak nampak, tak adalah aku cakap. Ishh, budak ni!”
balas Athirah sedikit geram walaupun masih dalam nada berbisik. “Cuba senyum
sikit. Kesian abang cameraman tu
tangkap gambar dari tadi. Tak pasal-pasal esok keluar paper dengan tajuk utama seorang gadis dipaksa bertunang. Kau nak?”
Kata-kata Athirah itu membuatkan ketawa Irish hampir
terburai. Nasib baik dia dapat mengawalnya. “Kau jangan buat lawak kat sini
boleh tak, Ira? Nanti aku dah ketawa, kau jugak yang susah kang.”
“Okay, aku
diam! Fokus, okay. Fokus!”
Hampir satu jam berlalu, perbincangan di antara kedua-dua
pihak tiba ke penghujungnya. Kata sepakat sudah dicapai, janji juga sudah
termetrai. Kini tiba upacara menyarung cincin pertunangan dari wakil pihak
lelaki. Kelihatan Tengku Dafina bangun dari duduknya dan bergerak menuju ke
pelamin diiringi oleh kedua anak perempuannya bersama dulang hantaran yang
mengandungi sebentuk cincin. Sebaik menghampiri Irish di atas pelamin, Tengku
Dafina memberikan salam terlebih dahulu sebelum mengambil cincin yang berada
dipegangan Tengku Hazleen. Perlahan dia menyarungkan sebentuk cincin emas putih
yang bertakhtakan batu permata biru ke jari manis kanan Irish.
Dengan tersarungnya cincin itu, maka dengan rasminya Irish
kini selamat menjadi tunangan kepada Tengku Harrys. Irish kemudian meraih
tangan Tengku Dafina lalu dikucupnya sebelum wanita itu turut membalas dengan
satu ciuman di dahi. Agak lama bibir Tengku Dafina singgah di dahi gadis
tersebut. Tidak tahu mengapa dadanya terasa sebak tiba-tiba. Wajah Irish kemudian
diamati untuk kesekian kali sebelum bibirnya singgah pula dikedua-dua pipi
gadis itu.
Irish pula sekadar membiarkan segala perlakuan Tengku
Dafina, walaupun dirinya sedikit terpana. Habis itu giliran Tengku Hazleen,
Tengku Hazreen dan yang lain-lain pula bersalaman dengannya sebelum majlis
diambil alih oleh jurukamera yang bertugas untuk sesi fotografi.
**********
MAJLIS pertunangan Tengku Harrys dan Irish telah selamat
dilansungkan sedari awal sehingga ke penghujungnya. Semua tetamu yang hadir telah pulang apabila petang merangkak ke
senja. Namun seisi keluarga itu masih kelihatan sibuk memandangkan mereka akan
menerima kedatangan keluarga Tengku Haiyan sekali lagi malam nanti. Bak kata
orang, sebagai meraikan ikatan pertunangan Tengku Harrys dan Irish yang telah
selamat dimetrai di samping mengeratkan lagi hubungan keluarga yang mula
terjalin antara kedua-duanya.
Jam
menunjukkan angka 9.15 malam sewaktu kunjungan Tengku Haiyan tiba. Seluruh ahli
keluarganya turut serta termasuklah Tengku Harrys yang baru berkesempatan
menjejakkan kaki ke kediaman itu sejak berlansungnya majlis siang tadi. Adat
budaya orang Melayu. Bila mana sesebuah pertunangan diadakan, si lelaki tidak
dibenarkan untuk hadir sepanjang majlis tersebut dijalankan. Dan dia sebagai
orang muda hanya menurut sahaja kata orang tua tanpa sebarang bantahan.
“Alhamdulillah.
Semuanya dah selamat, Izzuddin. Majlis pun berjalan lancar,” ucap Tengku Haiyan
memulakan bicara. Kelihatan semuanya duduk berkumpul di ruang tamu kecuali anak
menantu perempuan Encik Izzuddin yang masih melakukan kerja di dapur.
“Nampak
gayanya macam tulah, Tengku. Saya minta maaflah kalau ada yang terkurang dengan
majlis tadi, ya. Itu je yang mampu saya sekeluarga sediakan.”
“Eh! Tak
adalah, Encik Izzuddin. Tak ada apa yang kurang. Bagi kami semuanya cukup. Saya
nak ucap terima kasih pada Encik Izzuddin dan Kak Ina sekeluarga sebab dah
bersusah-payah untuk majlis siang tadi.”
“Tak ada apa nak diterima kasih, Fina.
Semuanya dah jadi tangunggungjawab kami. Lagipun banyak jugak yang Fina
sekeluarga sediakan. Jadi tak adalah banyak mana kami perlu buat. Yang penting
semuanya dah selamat,” balas Puan Qarina.
“Ya, dah selamat. Tinggal majlis besarnya saja!” Tengku
Dafina menambah lagi.
Encik Izzuddin hanya mempelawa Tengku Haiyan sekeluarga
menikmati makan malam setelah semuanya siap terhidang. Sambil menjamu makanan,
perbualan mereka masih tetap diteruskan. Di suatu sudut, Irish turut asyik
bersembang bersama kakak-kakak dan iparnya sambil ditemani Tengku Hazleen,
Tengku Hazreen serta Helena. Apa yang dibualkan pun tidak tahu hingga gelak
ketawa sentiasa mengiringi setiap minit perbualan mereka. Dalam leka
bersembang, kepala Irish teringatkan
Tengku Harrys tiba-tiba. Dia tidak pasti dengan kehadiran lelaki itu
memandangkan dirinya sibuk di dapur sejak kedatangan keluarga Tengku Haiyan
tadi. Sehinggalah pandangannya terhenti pada sesusuk tubuh yang duduk di sofa
sedang bersembang bersama Tengku Hafiy, Izzul, adik-adiknya serta kedua abang
iparnya.
‘Hmm.
Datang rupanya dia!’ detik hati Irish.
Seakan
sedar dirinya sedang diperhatikan, Tengku Harrys turut menoleh. Renungan gadis
nun di hadapan sana dibalasnya. Hinggalah akhirnya gadis itu yang tertunduk
mengalah. Spontan senyuman kecil terpamer di hujung bibir lelaki itu sebelum
renungannya beralih ke lantai.
Hari-hari semalam dia memandang Irish dengan pandangan
yang sangat jauh. Seperti tidak dapat
digapai bintang yang beribu-ribu batu jauhnya di langit. Namun malam ini,
pandangan itu terasa begitu dekat dengannya. Pandangan terhadap seorang gadis
yang kini sudah bergelar tunangnya. Seperti satu mimpi.
‘Adakah
aku bermimpi? Hati yang selama ini aku bina tembok untuk menghalang cinta dan
perempuan dari memasukinya sudah semakin roboh dari hari ke hari. Apakah makna
untuk semua ini?’ soal Tengku Harrys di dalam hati.
“Itu
maknanya hati kau sudah kalah, Harrys! Mengaku saja yang kau sudah jatuh cinta
dengan dia!” terdengar suara-suara halus di dalam hatinya menjerit memberi
jawapan.
Tengku Harrys sedikit tersentak. Matanya kembali berkalih
pada Irish. Gadis itu masih setia di tempatnya. Betulkah aku sudah jatuh cinta
dengannya? Jadi benarlah perasaan yang aku rasakan selama ni adalah cinta?
Perasaan yang mampu hadir hanya bersama Irish. Itukah dia? Namun segala
persoalan itu mati di dalam kepalanya tatkala telinga menangkap satu suara yang
datang arah dari luar. Begitu juga perbualan yang lain.
Sesaat dua, muncul kelibat seseorang di balik muka pintu
bersama sebuah senyuman sebagai menyapa kesemua yang berada di ruang tamu rumah
Encik Izzuddin. Suasana hening seketika. Rata-rata mereka agak terkejut dengan
kehadiran yang tidak di duga sama sekali. Tidak kurang juga yang tertanya-tanya
siapakah gerangan lelaki yang tiba-tiba muncul ini.
“Hye everyone!”
tegur lelaki itu dengan selamba lalu melangkah masuk ke dalam rumah. “Nampaknya
I dah menganggu majlis you all semua. Sorry for that. It’s not on my
purpose!”
********** TO BE CONTINUE IN OTHER VERSION **********
** ASSALAMUALAIKUM.....
Selamat petang & Salam Jumaat buat semua pembaca yang dikasihi...
Syukur Alhamdulillah.. It’s been confirmed Bayangan Gurauan akan terbit
pada Januari 2017 by Alaf 21 / Karangkraf.. Jadi kiranya ini adalah Teaser
terakhir (BAB 39 ~ BAB 42) untuk updated version BG di blog ini.. One thing saya nak maklumkan, versi updated
yang telah diupload dari awal hingga ke hari ini mungkin akan sedikit berlainan dengan
versi cetak yang keluar nanti selepas proses edit terakhir pihak Editor..
Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama 3
tahun ini.. Bermula awal tahun 2014 ia bertemu pembaca di sini.. Dan sebagai menghargai
kesabaran anda, akan saya berikan beberapa ‘Teaser Istimewa’ BG di blog ini, di Facebook, di Ilham Karangkraf, and few more social networks bermula minggu
hadapan sehingga ia terbit nanti.. So, NANTIKAN.....
#terimakasihdarilubukhati #sayasayangpembacasemua
No comments:
Post a Comment