T
|
Sesekali Izzul menjeling Irish di sisi.
Adiknya itu hanya mengunci mulut sejak mereka bertolak dari rumah tadi. Sekejap
gadis itu memandang hadapan. Sekejap lagi tertunduk bermain dengan
jari-jemarinya. Bila sudah bosan, dia membuang pandang semula ke luar tingkap.
Adakalanya sukar untuk mentafsirkan apa yang bermain di fikiran Irish. Adiknya
itu lebih suka memendam sendiri.
Lamunan Izzul terhenti apabila
dikejutkan dengan nada dering dari telefon bimbitnya. Nombor si pemanggil jelas
tertera di skrin. Pantas dia menjawab panggilan tersebut melalui handsfreenya. Irish di sebelah hanya
mendengar sahaja perbualan itu.
“Hafiy call. Tanya kenapa kita tak sampai-sampai lagi,” jelas Izzul pada
Irish. Sejurus itu dia melihat jam di tangan. “Pukul berapa majlis tu
mula?”
“Pukul 9.00 malam.”
“Hmm… sekarang dah 9.15. Mungkin dalam
9.30 baru kita sampai sana. Memang lambatlah kita sampai ni, Rish. Sorrylah. Along tak expect pulak nak jadi macam ni.”
“Tak apalah, long. Izmie tak sihat.
Janji boleh sampai sana, cukuplah.”
Izzul mengerling Irish. Sebuah senyuman
manis dihadiahkan oleh adiknya. Laju sahaja tangannya mengusap kepala gadis
itu. Sudah agak jarang dia dapat melihat senyuman itu. Sejak lebih dua tahun
yang lalu. Senyuman itu bagaikan telah mati. Mati bersama kisah duka yang
dilalui oleh gadis tersebut. Beberapa minit berselang, kereta Hyundai Sonata
putih itu memasuki perkarangan Hotel Grand Hyatt. Izzul meminta Irish turun
dahulu dan menunggunya di lobi hotel sementara dia meletakkan kereta. Irish
hanya menurut dan terus melangkah ke pintu masuk. Sampai sahaja di ruang lobi,
dia melabuhkan duduknya sebentar di sofa yang tersedia di situ.
“Irish!”
Pantas Irish menoleh ke belakang. Berdiri
semula dia sebaik terpandangkan lelaki itu.
“Abang Hafiy. Maaf, Irish terlambat.”
“Tak apa, Irish. Asalkan sampai. Izzul
mana? Irish datang dengan dia, kan?”
“Ada. Along pergi parking kereta sekejap.”
Lelaki itu tengangguk-angguk lalu
melihat jam di tangan. Sebentar kemudian barulah wajah Izzul terpancul di ruang
lobi hotel itu.
“Fiy.”
“Hah, Zul. Sampai pun kau!” balas Tengku
Hafiy lantas bersalaman dan berpelukan dengan rakannya itu.
“Sorry,
bro! Aku terlewat sikit. Bukan sikit. Banyak aku rasa!”
“Ah, tak ada hallah! Awal-awal pun bukan
ada apa. How’s your son?”
“Doktor cakap Izmie okay. Cuma demam tinggi sikit. Esok kena pergi klinik lagi.”
“Tak apa. Insyaallah nanti baiklah tu.
Biasalah budak baru nak membesar,” pujuk Tengku Hafiy sambil menepuk-nepuk bahu
Izzul. “Dah, jomlah masuk! Mari, Irish!”
Mereka bertiga menapak ke dalam dewan di
mana berlansungnya majlis makan malam tersebut. Melangkah masuk sahaja sudah
terasa bahang kemeriahan acara gilang-gemilang itu. Tengku Hafiy lantas membawa
kedua beradik itu duduk di sebuah meja yang tidak jauh dari kedudukan pentas.
Irish mengambil tempat di sisi Izzul, manakala Izzul duduk bersebelahan Tengku
Hafiy. Mujurlah Insyirah, Natasya serta Kak Maisarah turut berada di meja yang
sama. Tidaklah dia merasa bosan sepanjang majlis itu berlansung.
“Kenapa lambat, Cik Irish?” Insyirah
berbisik pada Irish yang baru melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Ada hal sikit. Anak abang sakit. So, hantar dia pergi klinik dulu.”
“Oh, patutlah.”
“Yang lagi bertiga tu mana?” Irish
bertanyakan tentang keberadaan Zaryn, Farisya dan Elaine. Serentak itu Insyirah
menunjuk arah ke meja yang terletak selang dua meja dari tempat mereka duduk.
Laju sahaja tangan ketiga-tiga gadis itu melambai-lambai ke arahnya. Irish
turut membalas lambaian tersebut bersama satu senyuman.
Dalam kesamaran cahaya dewan itu, sempat
mata Irish melihat ribuan tetamu yang hadir. Dapat dilihat Tengku Haiyan dan
isterinya duduk di meja paling hadapan bersama beberapa tetamu VIP dan VVIP.
Bersebelahan meja itu pula dipenuhi oleh kesemua adik beradik Tengku Hafiy
serta beberapa tetamu yang tidak dikenali. Dan kini matanya terhenti pada lelaki
yang segak memakai tuxedo hitam. Agak
khusyuk lelaki itu menyaksikan persembahan di atas pentas. Di sebelahnya pula
kelihatan seorang gadis yang berpakaian agak seksi sedang bersandar mesra pada
bahunya. Irish mengamati wajah gadis itu. Seakan dia pernah melihat sebelum
ini.
Dalam Irish cuba mengingati, tanpa
diduga lelaki tadi menoleh ke arahnya. Mata mereka bertemu, membuatkan
kedua-duanya seakan terpaku. Lama mereka berkeadaan begitu sehinggalah Irish
melarikan pandangannya ke tempat lain. Entah mengapa dia merasakan ada sedikit
debaran di dada. Dan tiba-tiba satu perasaan halus seakan hadir menyelinap
masuk ke dalam ruang hatinya saat ini. ‘Ya Allah. Kenapa dengan aku ni?’
“Irish.”
Terasa bahunya disentuh. Irish menoleh.
“Hmm?”
“Irish okay ke ni?” tanya Izzul.
“Eh, okay! Irish okay je,”
ujarnya cuba berlagak selamba sambil mempamerkan senyuman bagi menutup
kegelisahannya.
“Kalau okay kenapa along panggil selamba je?”
“Hmm? Ya ke? Muzik kuat sangat kut.
Irish tak dengar.”
“Hmm... dah makan ni.” Izzul menyendukkan
sedikit nasi beriani untuk Irish, walaupun jawapan gadis tidak meyakinkannya.
Ingin bertanya lebih, mereka kini berada di tempat orang ramai. Sudahnya,
dipendamkan sahaja keinginan itu.
Makan malam itu berlansung dengan
suasana yang agak tenang. Sambil menikmati hidangan, para tetamu dihiburkan
dengan persembahan dari artis-artis jemputan serta para pekerja Haiyan Holdings
sendiri. Celoteh dan jenaka dari pengacara majlis juga membuatkan
hadirin-hadirin semua tak kering gusi. Nyata masing-masing kelihatan gembira
dan teruja.
“Along. Irish nak pergi toilet sekejap.”
“Okay.
Baik-baik.”
Irish melangkah keluar dari dewan itu lantas
mencari tandas yang berhampiran. Niat hati ingin membasahkan sedikit muka agar
hilang rasa mengantuknya sejak di dalam dewan tadi. Maklumlah, perut sudah
penuh terisi. Mata pun semakin layu. Ditambah dengan keadaan dingin di dalam
dewan tersebut. Beberapa minit mencari, akhirnya dia terjumpa satu signboard yang memaparkan gambar lelaki
serta wanita. Terus sahaja kakinya mengatur langkah ke tempat itu.
“Lambat sampai?”
Serta-merta langkah Irish terhenti.
Bagai ingin luruh jantungnya mendengarkan suara itu. Perlahan dia berpaling.
Dilihatnya Tengku Harrys sedang elok bersandar di suatu sudut sambil berpeluk
tubuh.
‘Bila masa pulak dia bersandar kat situ?
Bukan tadi dia kat dalam ke?’
Melihat Irish hanya berdiri kaku di
tempatnya, Tengku Harrys melangkah mendekati gadis itu. Matanya juga tidak
lepas dari memandang seraut wajah mulus di hadapan yang kelihatan agak berbeza
malam ini.
“Kenapa lambat?”
“Hmm? Err... A... ada hal sikit tadi.”
Irish tertunduk. Tidak berani menentang
mata lelaki itu. Teringat renungannya sewaktu dia mula-mula sampai tadi. Bukan
dia tidak biasa ditenung sebegitu. Tetapi malam ini dirasakan pandangan Tengku
Harrys amat berlainan sekali.
“Kenapa tak bagitahu saya?”
Berkerut dahi Irish. Lantas dia memandang
semulaTengku Harrys. “Perlu ke?”
“Of
course. Awak bekerja bawah saya. Dan event
ni ada kena mengena dengan syarikat. Jadi apa-apa berkaitan dengan awak, saya
perlu ambil tahu. In case something
hapenned to you, it would be my responsibility.” Tengku Harrys mengetap
gigi. Sama ada betul atau tidak jawapan yang diberikan pada Irish sebentar
tadi, dia tidak pasti. Dan dia sendiri tidak tahu apa kena dengan dirinya malam
ini.
“Tapi, saya datang dengan abang saya.”
“At
least, let me know.”
“Err... saya tak ada nombor Tengku.
Sebab tu saya tak boleh nak bagitahu,” betah Irish lagi. Sekurang-kurangya dia
punya alasan agar tidak terus dipersalahkan. Dan seperti jangkaannya, mata
lelaki itu semakin tajam merenung padanya.
“I
can’t accept that reason. Sa...,”
“Harrys!”
Panggilan itu sekaligus mematikan
kata-kata Tengku Harrys, membuatkan kedua-duanya menoleh. Tengku Melissa
kelihatan sudah tercegat berdiri sambil memandang ke arah mereka. Dan
kesempatan itu tidak dilepaskan oleh Irish untuk menjauhkan dirinya dari Tengku
Harrys.
“Harrys... where are you going? Puas I
cari you. Kat sini you rupanya!” Tengku Melissa bergerak
menghampiri sepupunya sebelum lengan lelaki itu dipaut mesra. Namun sesaat,
Tengku Harrys menarik lengannya kembali. Rimas dengan perlakuan tersebut.
“What?!”
bentaknya geram. Berang dia lantaran perbualan bersama Irish sebentar tadi
diganggu oleh gadis itu.
“I
tanya you pergi mana? Kenapa tinggalkan
I sorang-sorang kat dalam?”
“Tinggalkan you sorang-sorang kat dalam? You
tak nampak ke berapa ramai orang kat dalam tu?!”
“Harrys, you ni kenapa? Tiba-tiba nak marah. Boleh tak jangan layan I macam ni!” rengek Tengku Melissa
seperti anak kecil.
“Whatever!”
Wajah Tengku Harrys sudah bertukar
kemerahan. Rasa marahnya yang tersimpan sejak tadi lansung dilepaskan pada
Tengku Melissa yang seakan mencabar kesabarannya pula. Irish yang melihat,
sudah tidak senang untuk berada di situ. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk,
lebih baik dia beredar. Terus sahaja langkahnya diatur untuk masuk ke dewan
semula. Niatnya untuk ke tandas pada mulanya tadi juga terpaksa dilupakan.
Hilang sudah rasa mengantuknya dek kejutan yang diberikan oleh kedua manusia
itu.
“LAMANYA pergi?” Izzul bertanya sejurus Irish kembali ke tempat
duduknya.
“Pusing-pusing cari toilet tadi tak jumpa. Tanya orang baru jumpa.” Irish cuba
berselindung, tidak mahu alongnya tahu apa yang telah berlaku. Berpuas hati
dengan jawapan Irish, Izzul kembali berbual dengan Tengku Hafiy serta beberapa
rakan mereka yang lain.
Irish menarik nafas lega. Tidak perlu
dia bersoal jawab panjang dengan alongnya. Namun jantungnya masih berdegup
laju. Insiden sebentar tadi masih terbayang-bayang di benaknya. Ini kali kedua
dia melihat Tengku Harrys dalam keadaan marah seperti itu. Tetapi marah lelaki
itu kali ini adalah disebabkan olehnya. Dan yang lebih menghairankan lagi,
lelaki itu begitu marah apabila dia tidak memaklumkan tentang kelewatannya
hadir ke majlis ini. Bukankah lelaki itu sudah sedia maklum yang dia datang ke
sini bersama Izzul? Jadi mengapa perlu risau? Tidak habis marah lelaki itu
dilepaskan padanya, dilempiaskan pula selebihnya pada Tengku Melissa yang
tiba-tiba muncul di situ. Dan dia tidak tahu apa yang terjadi selepas dia
mengangkat kaki meninggalkan kedua-dua mereka di luar.
Irish tergerak hati untuk melihat ke
arah meja yang diduduki Tengku Harrys. Sekali lagi darahnya berderau apabila
lelaki itu sudah berada di tempatnya. Mataya masih tetap seperti tadi, merenung
ke arahnya. Malah dirasakan renungan lelaki itu semakin tajam hingga dia tidak
berani untuk menentang lagi. Sungguh, dia benar-benar tidak faham dengan sikap
lelaki itu malam ini.
‘Kenapa dengan dia ni? Marah betul
nampaknya. Apa salah aku dah buat?’ Irish menyoal dirinya, cuba mencari
jawapan. ‘Takkan pasal kes langgar dulu tu lagi? Isshh! Takkanlah!’
“Okay,
para hadirin sekalian. Macam mana dengan hidangan malam ini? Menyelerakan?”
suara pengacara majlis wanita bergema di dalam
dewan tersebut. Semua tetamu bersorak mengiyakan.
“Kalau berselera, habiskan semua. Jangan
risau, makanan tu semua memang khas untuk anda malam ni. Baiklah. Sebagai
penutup persembahan majlis pada malam ini, kita akan dihiburkan dengan satu
lagi persembahan dari artis jemputan. Bukan seorang tapi bersama bandnya yang akan mengiringi persembahan
beliau pada malam ini,” ucap pengacara majlis yang seorang lagi.
“Siapa artis jemputan kita tu, Haikal?”
“Agak-agak siapa, Hanis?”
“Well...
they’re one of our legend group artist!”
“Exactly!
Rasanya semua orang cukup kenal dengan kumpulan ni. Jadi tanpa membuang masa
lagi kita persilakan ke pentas artis terakhir pada malam ini. Terimalah...
Kumpulan Mega!”
Serentak itu, sebuah lagu berkumandang
mengiringi kemunculan penyanyi tersebut dari belakang pentas. Sebaik melihat
kehadirannya, semua hadirin bersorak dan bertepuk tangan.
“Assalamualaikum dan selamat malam
semua. Saya tahu anda semua familiar
dengan lagu ni. So, saya nak anda
menyanyi bersama-sama dengan saya. Okay!”
ujar penyanyi itu dan permintaannya dibalas dengan sorakan yang lebih kuat dari
para hadirin.
Tak pernah ku alami
Tak mungkin ku hindari
Di himpit perasaan bayangan gurauan
Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri
Melambai dan terus menyepi
Jangan biarkan ku ternanti-nanti
Usah benarkan masa berlalu pergi
Cintamu oh gadis misteri
Adakah kekal dan abadi
Andai diberikan emas permata
Ku pilih senyumanmu
Andai ku punyai mahligai indah
Ku hadiahkan untukmu
Dalam berjuta bintang berkerlipan
Kau bagaikan kejora
Antara ribuan mata menikam
Takkan ku biarkan kau tenggelam
Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri
Adakah dapat ku kenali
Andai diberikan emas permata
Ku pilih senyumanmu
Andai ku punyai mahligai indah
Ku hadiahkan untukmu
Dalam berjuta bintang berkelipan
Kau bagaikan kejora
Antara ribuan mata menikam
Takkan ku biarkan kau tenggelam
Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri
Belum puas ku temui.....
Selesai mendendangkan lagu tersebut,
semua hadirin berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada persembahan
penyanyi itu. Untuk beberapa ketika, dewan itu sedikit hingar dengan sorakan
mereka. Hanya selepas beberapa minit barulah keadaan kembali reda dan penyanyi
tersebut meneruskan persembahan dengan beberapa buah lagu hitsnya yang lain.
Hanya Tengku Harrys seorang sahaja yang
tidak berganjak dari kerusinya ketika yang lain bangun berdiri sebentar tadi.
Jasadnya di situ, tetapi fikirannya melayang entah ke mana. Lagu dendangan
penyanyi tadi benar-benar mengusik jiwanya. Lagu yang selalu meniti di
bibirnya, yang sering memenuhi halwa telinganya, dan sentiasa menemani
hari-harinya semenjak insiden pelanggarannya dengan Irish dulu. Pantas Tengku
Harrys menoleh. Gadis itu masih setia di situ, leka menyaksikan persembahan di
atas pentas.
‘Bayangmu umpama satu gurauan, Irish.
Dan aku tak pasti ia akan menjadi satu kenyataan, atau akan terus menjadi
gurauanmu!’ bisik hati kecilnya.
MAJLIS makan
malam tahunan Haiyan Holdings selesai berlansung tepat jam 12.00 tengah malam.
Semua tetamu beransur pulang dengan senyuman puas kelihatan di wajah
masing-masing. Melihat dewan itu semakin lengang, Izzul dan Irish turut meminta
diri untuk pulang memandangkan malam sudah semakin lewat.
“Aku
minta diri dululah, Fiy.”
“Alright! Tapi, jom jumpa parents aku dulu. Diorang dah pesan
jangan bagi kau balik sebelum jumpa.”
Izzul
tertawa kecil. Tanpa banyak soal dia mengikuti sahaja langkah Tengku Hafiy
bersama Irish.
“Papa,
mama. Ni Izzul dengan Irish nak balik dah.”
“Eh! Nak balik dah ke, Zul?” Tengku
Haiyan bangun lalu bersalaman dengan Izzul dan Irish, disusuli oleh isterinya.
“Kamu berdua je dengan Irish, Zul? Anak
isteri kamu mana?”
“Kat rumah, Mak Engku. Izmie tak sihat.
Tu yang lambat tadi. Hantar dia pergi klinik dulu. Tapi dah inform kat Hafiy awal-awal.”
Jawapan Izzul itu sekaligus membuatkan jantung Tengku
Harrys tersentap. Serta-merta matanya laju mencari wajah Irish. Namun gadis itu
lansung tidak memandangnya. Dia pasti
Irish berkecil hati.
“Tak apalah, Zul. Kesihatan anak tu lagi penting.
Bila-bila masa je nanti boleh bawa cucu-cucu Pak Engku tu datang ke rumah.
Ni... Pak Engku nak kenalkan sekejap dengan abang Pak Engku, Tengku Arham. Yang
sebelah ni isterinya, Tengku Kamelia. Selama jadi anak angkat kami belum pernah
kamu berdua jumpa mereka, kan. Jadi alang-alang dah ada malam ni, Pak Engku
kenalkanlah. Maklumlah, abang Pak Engku ni selalu sibuk ke oversea. Jadi nak ada kat sini selalu tu
memang payah. Raya pun belum tentu ada!” seloroh Tengku Haiyan disambut dengan
ketawa yang lain. Kedua-dua beradik itu menyambut baik salam perkenalan
tersebut lalu bersalaman dengan pasangan suami isteri yang dimaksudkan oleh
Tengku Haiyan itu.
“Panggil Pak Ngah dengan Mak Ngah je cukup. Kalau dah
kamu berdua anak angkat Haiyan, maknanya anak kita jugaklah kan, Lia?” sapa
Tengku Arham dengan ramah sambil dibalas anggukkan oleh isterinya di sebelah.
“Nasib baiklah Mak Engku ni anak tunggal. Kalau tak, lagi
ramailah ibu bapa tambahan kamu berdua. Ya tak?” Kata-kata Tengku Dafina itu
membuatkan ketawa mereka di situ berderaian lagi.
“Ha, yang berdua ni anak mereka. Sebelah Mak Ngah tu yang
sulung, Tengku Amni Zafran. Dan yang perempuan tu adiknya, Tengku Auni Melissa.
Diorang berdua ni baru balik dari US.
Baru habis study,” terang
Tengku Haiyan lagi sambil menunjuk pada dua beradik itu. “Sorang lagi anak
Pak Ngah, Tengku Amni Zafrie ada di Ireland sekarang. Tengah study medic kat sana. Kak
Long Pak Engku pulak tinggal di London satu keluarga. Insyaallah ada rezeki
lain masa dapatlah jumpa.”
Izzul bersalaman dengan Tengku Zafran yang ketika itu
duduk bersebelahan Tengku Kamelia dan juga Tengku Melissa yang masih setia di
sisi Tengku Harrys sambil memeluk erat lengan lelaki itu. Cuma Irish sahaja
yang bersalaman dengan Tengku Melissa, walaupun gadis itu separuh hati
menyambut huluran salamnya. Dengan Tengku Zafran, dia sekadar menundukkan
wajah. Sama ada betul atau matanya yang salah pandang, dia perasan sepasang
mata lelaki itu sedari tadi asyik merenung tajam padanya. Barangkali lelaki itu
marah atau terasa dengan sikapnya. Atau mungkin lelaki itu tidak suka
dengannya.
‘Ah, biarkanlah!’ getus hati Irish. Sudah malas mahu
memikirkan semua itu. Hal yang berlaku tadi sudah cukup memeningkan kepalanya.
Ditambah pula dengan yang ini. Cukuplah. Malam ini otaknya sudah penat untuk
berfikir. Yang terlintas di kepalanya saat ini hanyalah mahu segera pulang dan
merehatkan dirinya yang sudah cukup letih.
“Along, boleh kita balik sekarang?” bisik Irish perlahan.
Izzul menoleh ke sebelah. Jelas Irish sudah keletihan.
Lantas dia meminta diri untuk pulang memandangkan malam juga sudah merangkak ke
pagi.
“Irish okay ke ni?” Izzul memaut bahu adiknya yang
tampak sudah layu sewaktu mereka melangkah pergi. Hanya sebuah anggukkan
dibalas gadis itu sebagai jawapan. Lantas kaki terus diatur keluar meninggalkan
dewan tanpa menoleh ke belakang lagi.
No comments:
Post a Comment