“ S
|
EMUA dah tidur ke,
Ina?” Encik Izzuddin bertanya pada isterinya yang baru muncul dari arah dapur
bersama Iman yang menatang dulang berisi minuman panas. Jam sudah menunjuk ke
angka 12.30 tengah malam. Namun dia masih lagi menonton televisyen. Malam-malam
minggu begini memang matanya jarang untuk lelap awal. Maklumlah, esok hari
minggu. Jadi waktu-waktu beginilah dia bersantai di hadapan kaca TV.
“Sudah
kut, bang. Senyap dah semuanya.” Puan Qarina menjawab sambil menghulurkan
secawan kopi panas kepada suaminya.
“Cepat
anak cucu awak tidur malam ni? Selalunya pukul 1.00 segar lagi masing-masing.”
“Penatlah
tu agaknya. Anak-anak kau dah tidur, angah?”
“Dah,
umi. Dah tidur dengan Rafie kat bilik tu.”
Setelah
menuangkan air untuk kedua orang tuanya, Iman turut menyertai mereka menonton
televisyen. Kebetulan matanya juga masih belum mengantuk.
“Laaa...
ingat along sorang je belum tidur. Rupanya ada jugak belum tidur lagi!”
“Tak tidur lagi kau, long? Umi ingat dah tidur.”
“Belum, umi. Tak nak lelap pulak mata ni. Tu yang ke
depan ni nak tengok TV. Tak sangka pulak ayah, umi dengan angah pun belum tidur
lagi,” balas Izzul seraya mengambil tempat di sebelah Iman. Huluran minuman
panas dari adiknya disambut.
Begitu khusyuk mereka menonton rancangan ‘Bujang Lapok’
yang sedang ke udara di kaca TV. Sudah faham benar yang Encik Izzuddin memang
merupakan peminat tegar fiem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Jadi
tidak hairanlah jika mata lelaki itu masih segar walaupun sudah awal pagi. Cuma
Izzul seorang yang tidak memberikan sepenuh tumpuan pada rancangan itu.
Fikirannya sedang melayang mengingati sesuatu.
“Along...,” panggilan Puan Qarina mengejutkan Izzul dari
lamunannya. “Along okay ke? Termenung
je umi tengok dari tadi.”
“Eh, tak adalah. Mana ada along termenung, umi.”
“Kalau ada benda nak cakap, cakap jelah.” Soal Puan
Qarina seakan mengerti. Agak lama juga anak sulungnya itu terdiam sebelum mahu
membuka mulut.
“Irish
ada bagitahu apa-apa kat umi?”
“Bagitahu?
Maksud along? Umi tak faham.”
“Maksud
along ada ke Irish bagitahu apa-apa dengan umi pasal diri dia, dengan siapa dia
berkawan sekarang,
serius atau tidak. Lebih kurang macam tulah.”
“Tak ada
pulak. Along bukan tak kenal Irish tu macam mana. Manalah dia nak cerita kat
orang lain. Tapi tak tahulah kalau dengan angah dia ada bercerita.”
“Tak ada
pun, umi. Yelah. Angah pun jarang balik, kan. Tak selalu jumpa. Biasanya dengan
alanglah dia selalu share everything.
Kenapa tiba-tiba along tanya pasal Irish ni?”
“Tak ada
apa. Saja ambil berat pada adik-adik along.”
“Yelah.
Tapi kenapa tiba-tiba pulak ni? Along jangan buat kitorang risaulah!”
Tersenyum
Izzul mendengar kata-kata Iman itu. Lantas bahu adiknya dipeluk. “Tak ada
apalah, angah.”
“Dengan
along tak ada dia cerita ke? Kan dia manja dengan kamu.” Encik Izzuddin yang
sedari tadi hanya mendiamkan diri, bersuara tiba-tiba. Namun matanya masih lagi
tidak berkalih dari televisyen di hadapan.
“Tak
ada. Cuma pernahlah dia bagitahu hati dia belum terbuka lagi untuk sesiapa.”
Perlahan
sahaja Izzul menuturkan kata-kata itu. Entah kenapa rasa sebaknya mula
bertandang. Dan perasaan yang sama juga turut dikongsikan oleh yang lain,
lebih-lebih lagi Puan Qarina. Suasana menjadi hening seketika. Hanya suara dari
kaca TV saja yang kedengaran memenuhi segenap ruang tamu kala itu.
“Umi, ayah. Ni along cuma nak tanya je.
Kalaulah ada orang datang masuk meminang Irish tiba-tiba satu hari nanti, umi
dengan ayah terima?” Izzul memberanikan diri bertanya tentang perkara itu,
walaupun dia tidak berterus terang akan hal yang sebenar. Mungkin dengan cara
ini dapat meringankan sedikit beban yang terpikul di bahunya.
“Bukan kami yang kena buat keputusan tu, long. Tu....
adik kamu tu yang patut ditanya. Ini soal masa depan dia. Kalau dia tak nak,
takkan kita nak paksa.”
Encik Izzuddin menjawab pertanyaan itu dengan nada
sedikit tegas. Memang sejak dulu dia tidak pernah masuk campur dalam urusan memilih
pasangan hidup anak-anaknya. Baginya mereka sudah cukup besar dan dewasa. Jadi
tiada masalah untuk memikirkan mana yang lebih baik untuk menjamin masa depan
mereka nanti.
“Biarlah dia tentukan sendiri, along, angah. Jangan kita
tambah lagi perit hidup dia,” kali ini Puan Qarina pula berbicara.
“Doa
jelah yang terbaik untuk adik kamu tu. Kalau pun tak ada orang masuk meminang
dia, tak apa. Dia masih ada mak bapak lagi yang boleh jaga dia. Kalau esok lusa
ayah dengan umi dah tak ada, kamu berdua yang tua ni yang kena tengok-tengokkan
dia.”
Sebaik
Encik Izzuddin menghabiskan kata-katanya, suasana di ruang tamu itu kembali
hening. Tiada lagi
yang berani bersuara, lebih-lebih lagi Izzul. Melihatkan reaksi dari ayahnya,
hati lelaki itu serta-merta dipagut rasa bersalah.
‘Ya
Allah. Mampukah aku tunaikan hajat itu?’
PENUH berhati-hati tangan wanita itu membancuh minuman panas
di dalam cawan. Niat ingin melelapkan mata tadi terbatal apabila si suami
memintanya menyediakan secawan kopi panas di tengah malam begini.
“Mama!
Tak tidur lagi ke?”
Bagai
hendak terkeluar jantung Tengku Dafina dikejutkan sebegitu rupa. Mengucap
panjang dia sambil mengusap-usap dada sebelum berpaling ke belakang.
“Kamu
ni, Hafiy! Kalau ya pun bagilah salam dulu. Terkejut mama dibuatnyalah!”
Tengku
Hafiy sudah mengekek ketawa melihatkan riak terkejut mamanya. “Okay, maam! Sorry, sorry!”
“Suka!
Nasib baik mama tak simbah kamu dengan air panas ni tadi!” tingkah wanita itu
sambil memukul lembut bahu anaknya yang masih lagi ketawa sebelum menyambung
semula kerjanya. “Ha! Yang kamu ni tak tidur lagi kenapa?”
“Hafiy
tengah siapkan kerja sikit kat bilik. Rasa haus pulak. Tu yang turun ni nak
minum. Tengok-tengok mama ada kat sini. Saja jelah nak usik-usik manja.”
“Usik-usik
manja, ya? Kalau mama kena heart attack
tadi macam mana? Bermalam kat hospitallah jawabnya!”
“Ishh!
Apa merepek mama ni! Yang mama pun tak tidur lagi kenapa? Haus jugak ke buat
air ni?”
“Bukan
mama yang haus. Papa kamu tu.”
“Eh!
Papa pun belum tidur lagi?”
“Belum.
Ada kat dalam bilik bacaan tu. Adalah tu kerja yang dibuatnya. Korang anak
beranak ni sama je. Cuti-cuti macam ni pun sibuk dengan kerja.”
“Biasalah, ma. Kalau tak, tak adalah syarikat papa tu
jadi macam sekarang. Lebih sikit usahanya, lebihlah sikit rezeki yang Allah
bagi. Tak gitu?”
“Hmm,
betullah tu. Ha! Kamu nak minum apa ni? Bolehlah mama buatkan sekali,” tanya
Tengku Dafina yang sudah selesai membancuh minuman untuk suaminya.
“Sure ke ni, ma?”
“Yelah.
Dah cepat, nak minum apa ni?” soal wanita itu sekali lagi sambil tangannnya mencapai sebiji mug yang lain di dalam kabinet dapur.
“Neslo
panas. Boleh?”
“Boleh.
Tunggu sekejap mama buatkan.”
Tengku
Hafiy berlalu ke mini bar yang terdapat di ruangan dapur. Sambil menunggu
mamanya menyiapkan minuman, terdetik di hati ingin bertanyakan satu perkara
yang tiba-tiba terlintas di benaknya ketika ini. “Ermm... Hafiy nak tanya mama
sikit boleh?”
“Tanya apa?”
“Mama
serius ke dengan hajat mama tu?”
“Hajat
apa?”
“Nak
pinang adik Izzul.”
Barulah
kali ini tangan wanita itu terhenti. Dia kemudian berpaling memandang Tengku
Hafiy. “Kenapa kamu tanya macam tu?
Nampak ke yang mama ni tak sungguh-sungguh dengan hajat mama?”
“Bukan
macam tu. Mama sendiri tahu Harrys tu macam mana, kan. Dan kita pun tak tahu
penerimaan Irish nanti macam mana. Setuju ke tidak. Itu satu hal. Keluarga
Izzul lagi. Lagipun diorang tak pernah bercinta. So, it’s quite complicated. Mama dah ready ke?”
“Maksud kamu?”
“Yelah. Mama dah ready
dengan apa je keputusan diorang? Walaupun mama yang akan kecewa nanti bila
hajat mama tu tak kesampaian.”
Sebaik
Tengku Hafiy menghabiskan kata-katanya, Tengku Dafina kembali memusingkan badan
sebelum menyambung kerja. “At least we
try, Hafiy. Sama ada mereka terima atau tak, itu belakang cerita. Yang
penting mama akan cuba sedaya upaya mama untuk penuhi hajat tu. Walaupun
keputusan mereka nanti sebaliknya, mama redha kalau Irish bukan jodoh Harrys.”
Tengku
Hafiy terdiam mendengar bicara wanita itu. Dalam hati dia turut mengiakan. Dia
tahu mamanya bukan seorang yang cepat mengalah sebelum mencuba sesuatu perkara.
“Mama dengan papa kamu dulu pun tak bercinta, Fiy. Kenal
pun tidak. Tahu-tahu jodoh dah dicarikan dengan atuk dan nenek kamu. Tapi
Alhamdulillah, bahagia sampai sekarang.” Tengku Dafina menambah bicaranya lagi.
“Itu dulu, ma. Orang muda zaman dulu dengan sekarang dah
tak sama. Masing-masing kalau boleh nak cari pasangan sendiri. Baru serasi
katanya.”
“Itu cakap orang yang tak nak mencuba. Kahwin dengan
pilihan sendiri pun ramai jugak yang bercerai-berai, kan? Kalau dah ditakdirkan
itu memang jodoh kita, pilihan orang tua pun kalau dapat restu
kedua-dua belah keluarga Insyaallah akan kekal bahagia sampai akhir hayat.
Memanglah tak salah nak cari pilihan sendiri. Tapi kalau dah perangai macam
adik kamu tu, cuba bagitahu mama sampai bila kita nak tunggu dia dapat calon?
Hmm?” bidas Tengku Dafina yang ketika itu sudah selesai dengan kerjanya.
Kemudian dia datang menghampiri Tengku Hafiy sambil memegang dua biji cawan di
tangan.
“Betul jugak
cakap mama tu. Alamat berjanggutlah jawabnya nak tunggu. Entah-entah dalam
kepala dia sekarang pun belum tentu terlintas nak cari sorang perempuan buat
isteri.”
“Kan?
Betul tak? Kamu pun tahu adik kamu tu macam mana. Hai! Manalah mama tak risau,
Hafiy. Ingat dah balik ke sini berubahlah jugak. Hmm.... sama!”
Tengku Hafiy kembali tertawa. Memang begitulah selalunya
apabila cerita berkenaan Tengku Harrys sudah dibangkitkan. Dan pada dialah
tempat mamanya itu selalu meluahkan kerisauannya. Hendak atau tidak,
terpaksalah dia menadah telinga mendengar bebelan wanita itu. Namun dia tahu,
mamanya itu cuma ingin melihat anak-anaknya hidup bahagia sebelum dia menutup
mata dengan tenang.
“Dah.
Pergi naik atas siapkan kerja kamu cepat. Nanti lewat pulak. Ni air kamu mama
dah siapkan. Mama pun nak hantar air papa ni kat bilik bacaan. Tertunggu-tunggu
pulak papa kamu tu nanti,” arah Tengku Dafina sambil menyerahkan sebiji cawan
berisi neslo panas pada anak bujangnya itu.
“Baiklah,
maam!” Tengku Hafiy menyambut huluran
itu lalu bangun dari kerusi yang diletakkan di mini bar tersebut. “Anyway, thanks ma buatkan air untuk Hafiy,” ucapnya. Sempat lagi dia
mengusik mamanya dengan menghadiahkan satu ciuman di pipi wanita itu sebelum
berlalu pergi, membuatkan Tengku Dafina terjerit kecil.
“Ishh!
Dari kecik tak berubah-ubah! Esok dah kahwin tak tahulah macam mana!”
“Dah
kahwin nanti Hafiy cium pulak pipi wife
Hafiy!” balas lelaki itu selamba bersama tawanya yang kedengaran sekali lagi
dari balik dinding dapur.
Tengku Dafina
hanya mampu menggeleng kepala melihat kerenah anaknya yang satu itu. Dari kecil
hinggalah sekarang sikap cerianya sentiasa hadir dalam diri. Berbeza dengan
anak lelakinya yang seorang lagi. Pendiam dan lebih suka memendam perasaan. Dua
karakter yang amat berbeza, namun sering bersependapat dalam semua hal. Kecuali
berkenaan perempuan.
‘Ya
Allah Ya Tuhanku, Kau bukakanlah pintu hati anakku itu. Dan ku mohon agar Kau
permudahkan segala urusan untuk melunaskan hajatku nanti!’ Doa wanita itu di
dalam hati sebelum dia turut sama meninggalkan ruangan dapur untuk ke bilik
bacaan.
No comments:
Post a Comment