K
|
“Masuklah,”
lembut sahaja pertuturannya membenarkan empunya gerangan yang mengetuk pintu
masuk ke dalam bilik.
“Harrys.”
Pantas
Tengku Harrys menoleh ke arah suara itu. “Mama.”
“Kenapa
tak turun makan malam tadi?” soalan pertama dari Tengku Dafina sebaik
melabuhkan duduk di atas katil anak bujangnya itu, diikuti Tengku Harrys.
“Kenyang
lagilah, ma. Tadi petang baru makan dengan kawan.”
“Kawan?
Kawan lelaki ke kawan perempuan?” spontan pertanyaan itu terpancul.
Mendengarkan perkataan ‘kawan’ itu membuatkan Tengku Dafina begitu teringin
untuk tahu. Tengku Harrys pula hanya tersenyum menggeleng-gelengkan kepala
melihat tingkah mamanya.
“Of courselah lelaki, ma. Dengan Fezrul.
Takkan mama lupa best friend Harrys
tu.”
Jawapan itu meniti di bibir Tengku
Harrys yang masih tersenyum. Memang itulah satu-satunya kawan baik dia di sini
semenjak sekolah dahulu. Dengan perwatakannya yang sebegini, tidak ramai yang
berani untuk mendekatinya. Cuma Fezrul seorang itu sahajalah. Lantaran dia
terus berhijrah ke luar negara selepas tamat SPM, maka dia tidak berkesempatan
untuk mencari teman-teman lain di sini. Dari rakannya itu juga dia mendapat
tahu bahawa semua orang takut untuk menjadi temannya, lebih-lebih lagi pelajar
perempuan. Mungkin kerana sifatnya yang kurang mesra dengan orang barangkali.
Namun dia tidak kisah dengan semua itu. Biarlah orang yang benar-benar
mengenalinya sahaja yang tahu dirinya bagaimana. Termasuk Fezrul.
Satu
keluhan lega kedengaran dari mulut Tengku Dafina. Dan perbuatannya itu
mematikan lamunan Tengku Harrys serta-merta. “Why?”
“Tak
ada apa-apalah.”
“Ma,
how long I know you?”
“Hmm.
kalau kawan Harrys tu perempuan, mama suka. Tapi kalau kawan Harrys tu lelaki,
lagi mama suka!”
“What?” Berkerut dahi Tengku Harrys
mendengarkan jawapan tersebut. Direnung wajah mamanya yang kelihatan selamba
sahaja. “Mama sihat ke tak ni?”
“Eh!
Apa kamu tanya macam tu? Dah tentulah sihat!”
“Habis,
yang mama cakap macam tu kenapa?”
“Cakap
apa? Tak betul ke apa mama cakap tadi?”
“Ma.
Mama ingat anak mama ni lelaki tak normal ke?”
“Hishh!
Ada ke situ pulak fikir dia ni!”
Spontan tangan wanita itu memukul bahu
Tengku Harrys. Tidak menyangka anak bujangnya akan berfikiran sejauh itu.
Matanya kemudian meliar melihat sekeliling, takut-takut ada yang mendengar hal
yang tidak terjangkau dek akal fikiran itu. Tengku Harrys yang melihat hanya tergelak kecil dengan tingkah mamanya
yang sedikit mencuit hati.
“Mama datang bilik Harrys ni nak cakap
apa sebenarnya. Hmm?” soal Tengku Harrys, seakan dapat mengagak tujuan wanita
itu datang ke biliknya. Lansung dia bangkit dari katil. Songkok serta sejadah
di tangan diletakkan kembali ke tempat asal. Kemudian dia menuju ke meja kerja
untuk menyiapkan sedikit tugasan pejabat.
“Harrys
dah ada teman ke sekarang?”
Tengku
Harrys memandang semula mamanya. “Teman?”
“Yelah.
Teman.”
“Maksud
mama?”
“Teman
wanitalah, Rys. Takkan teman lelaki!”
Satu
keluhan dilepaskan Tengku Harrys. Soalan yang tidak begitu digemarinya. Soalan
yang sering ditanyakan oleh keluarga, saudara-mara dan rakan-rakannya. Setiap kali ditebak dengan soalan
begitu, setiap kali itulah seboleh-bolehnya dia cuba untuk mengelak.
“Harrys.
Dengar tak apa mama cakap ni?”
“Mama
dah tahu jawapan Harrys.”
“Sampai
bila, Rys?”
“Sampai
Harrys jumpa tulang rusuk kiri Harrys balik.”
“Budak
ni, kan. Orang serius, dia main-main pulak!” hampir sahaja Tengku Dafina
menjerit melihatkan sikap acuh-tak acuh anaknya itu.
“Harrys
seriuslah ni, ma.”
“Serius
apanya? Mama sibuk bercakap kat sini, kamu pulak sibuk buat kerja kamu tu.”
“Harrys dengar ni, ma.”
“Ada
je jawapannya, kan. Kamu tu bukan muda lagi, Harrys. Umur dah dua puluh
sembilan tahun. Patutnya dah ada anak, tahu tak?” Tengku Dafina sudah mula
bersyarah.
“Abang
lagi tua, mama.”
“Hah,
tu lagi satu! Tapi sekurang-kurangnya abang kamu tu dah bertunang. Insyaallah
dah nak kahwin. Kamu tu, bayang calon pun belum tentu nampak lagi. Dia ingat
boleh tunggu orang datang sini masuk meminang dia
agaknya!”
Leteran
Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Harrys terhambur tiba-tiba. Entah
mengapa ada sedikit kelucuan pada ayat
terakhir mamanya. Dia tahu wanita itu memang kuat mengomel. Tapi adakala
omelannya itu terselit perkara yang di luar jangkaan.
“Dah
ketawa pulak dia! Kamu ni, kan. Baik dengan papa, dengan abang kamu tu sama
jelah. Orang tengah serius, boleh pulak
ketawa. Apa entah yang lucu sangat agaknya!”
Melihat
mamanya sudah menarik muka masam, Tengku Harrys cuba memperlahankan tawanya.
Setelah reda, dia kembali bersuara. “Nantilah, ma. Ada jodoh nanti, Insyaallah
adalah. Cuma Dia bagi lambat sikit je.”
“Memanglah.
Tapi mama tengok kamu tak pernah cuba berusaha untuk cari jodoh tu. Takkan nak
tunggu sampai bulan jatuh ke riba kut. Sekurang-kurangnya usahalah cari.”
Seperti
biasa, Tengku Harrys hanya berdiam diri mendengar kata-kata nasihat sebegitu.
Dia sudah lali dengan semuanya. Hendak tak hendak, terpaksalah dia telan
satu-persatu segala kata-kata itu.
“Kalau
dah susah sangat, biar mama je yang carikan.”
Spontan
tangan Tengku Harrys yang sedang asyik menulis, terhenti. Lantas dia mendongak
mencari wajah Tengku Dafina.
“Kalau
mama yang carikan, tak payah dah membazir masa lama-lama nak cari. Dah ada dah
pun calonnya.”
Semakin
tajam renungan Tengku Harrys pada wanita di hadapannya itu. Tidak menyangka
yang mamanya betul-betul serius kali ini.
“Siapa?”
“Nanti
Harrys akan tahu sendiri. Harrys tak kisah kan siapa pun pilihan mama?”
Tiada
sebarang jawapan dari mulut lelaki itu. Hanya tangannya sahaja kembali menulis
sesuatu di atas kertas kerjanya.
“Harrys?”
“Ikut
mamalah. Tapi kalau Harrys tak berkenan, jangan salahkan Harrys bila Harrys
tolak pilihan mama tu,” acuh tak acuh sahaja Tengku Harrys menjawab.
“Yelah.
Kita tengok nanti sama ada Harrys sanggup tolak pilihan mama tu atau tidak.”
Sebaik menghabiskan kata-katanya, Tengku Dafina bangun dari katil untuk beredar
dari bilik itu. “Mama keluar dulu. Kalau rasa lapar nanti turun makan. Bagitahu
je Mak Ros. Nanti dia boleh panaskan lauk-lauk tu, ya.”
Tengku Harrys menghantar mamanya keluar
dengan satu renungan. Apabila daun pintu bilik ditutup, satu lagi keluhan
dilepaskan olehnya. Pen di tangan diletakkan di atas meja. Tersandar dia seketika mengenangkan setiap
butir bicara mamanya sebentar tadi.
Dan akhirnya lelaki itu bangkit dari
kerusi lalu menuju ke ruangan balkoni bilik. Membiarkan diri menikmati panorama
indah di waktu malam sambil melayani perasaan yang dia sendiri tidak tahu
bagaimana untuk diungkapkan. Sesungguhnya dia pasrah pada ketentuan Ilahi
seandainya ini adalah pengakhiran pada bayangannya selama ini.
“DARI mana awak, Fina?” Tengku Haiyan yang ketika itu sedang
khusyuk membaca buku di atas katil, dikejutkan dengan kehadiran isterinya di
dalam bilik itu.
“Pergi
jenguk Harrys sekejap kat bilik dia. Risau saya dia tak turun makan tadi.”
Berpuas
hati dengan jawapan itu, Tengku Haiyan kembali menatap bukunya.
“Abang...,”
Tengku Dafina memanggil lembut suaminya setelah dia merebahkan diri di atas
katil bersebelahan Tengku Haiyan.
“Hmm.”
“Saya
ada bercakap dengan Harrys tadi.”
“Cakap
apa?”
“Tentang
hajat saya tulah.”
“Pinang
Irish untuk Harrys?” soal Tengku Haiyan inginkan kepastian. Namun matanya masih
lagi setia menatap buku di hadapannya.
“Iya.
Saya berkenan sangat dengan Irish tu, bang. Sejak kali pertama jumpa dia.”
“Kenapa
pulak macam tu?”
“Entahlah.
Saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila tengok muka dia je buat saya rasa sayang
sangat pada dia,” luah Tengku Dafina.
“So, apa kata Harrys?”
“Nampak
gaya dia macam setuju kali ni.”
Mendengarkan
jawapan itu, terus sahaja tumpuan Tengku Haiyan berkalih pada isterinya di
sebelah. Buku di tangannya sudah pun ditutup. “Biar
betul awak ni?”
“Betullah.
Dia cakap terpulang pada saya kalau saya nak carikan calon untuknya.”
“Harrys
cakap macam tu? Macam pelik je.”
“Tak
ada yang peliknya, bang. Manusia bila-bila masa boleh berubah. Samalah dengan
anak kita tu. Cuma Harrys ada cakaplah jugak. Kalau dia tak berkenan, jangan
salahkan dia kalau dia tolak pilihan Fina tu nanti.”
“Hmm... adalah tapinya, ya.” Tengku
Haiyan terdiam sejenak memikirkan sesuatu. “Ada
awak bagitahu Harrys siapa calon yang awak
pilih tu?”
“Tak.
Saya tak bagitahu lagi. Memang saya tak nak dia tahu dulu. Niat saya biar dia
tahu sendiri lepas kita datang merisik Irish nanti.”
Tengku
Haiyan terdiam lagi. Kemudian dia membuka semula buku di tangan. “Hai, awak ni.
Semuanya ikut rancangan awak sendiri. Kesian budak Harrys tu. Tak tahu menahu
siapa calon bakal isterinya. Memanglah budak tu tak terus setuju.”
“Kenapa?
Abang rasa kalau Fina terus-terang cakap Irish tu pilihan Fina, Harrys terus
setuju ke, bang?” bersinar-sinar wajah Tengku Dafina sebaik mendengar kata-kata
suaminya itu. Dari berbaring, sekarang dia sudah duduk menghadap Tengku Haiyan.
“Mungkin.”
“Abang
cakaplah betul-betul. Fina serius ni!”
“Abang
pun seriuslah ni. Kalau Harrys tahu calon yang awak nak pinangkan tu ialah
Irish, abang rasa dia tak fikir dua tiga kali dah. Siapa yang tak nak calon
isteri macam tu. Lemah-lembut, sopan santun, tak banyak cakap. Kalau abang pun,
abang terus setuju!”
“Apa
bang? Terus setuju? Ada hati jugak, ya?” suara Tengku Dafina berubah nada.
“Dah
awak tanya, abang tolong jawablah. Hai... kalau abang nak cari lain, dah lama
abang buat, Fina. Tapi mana nak sama dengan sayang abang sorang ni.”
Tengku
Dafina sudah tersipu-sipu apabila diusik sebegitu. Namun dia tahu suaminya itu
hanya berniat untuk bergurau sahaja. Begitu juga dirinya. “Blushing
ya isteri abang ni!” semakin galak Tengku Haiyan menyakat isterinya bila
melihat pipi wanita itu sudah bertukar kemerahan.
“Ishh, abang ni! Dahlah, saya nak tidur.
Kalau dilayan makin menjadi-jadi nanti!” Tengku Dafina merebahkan kembali
badannya di atas tilam, tidak mahu melayani perangai menyakat suaminya itu.
Kalau terus dilayan, sudahnya dia saja yang akan terkena.
“Eh,
nak tidur dah? Bukan kita belum habis bincang lagi ke pasal Harrys dengan
Irish?”
“Hmm,
esok-esoklah sambung. Abang bukannya serius pun nak bincang. Nak menyakat saya
lagi adalah!” balas wanita itu dengan mata yang sudah terpejam.
“Isteri
abang ni dah merajuk, ya? Habislah abang macam ni nak kena pujuk.”
Tengku
Dafina yang ketika itu memalingkan mukanya dari pandangan Tengku Haiyan, hanya
tersenyum kecil. Rajuk dia bukan panjang mana. Esok pagi eloklah dirinya.
“Selamat malam,” ucap Tengku Dafina
sebelum melayani lenanya.
“Selamat
malam, sayang.”
No comments:
Post a Comment