L
|
Tuk! Tuk! Tuk!
Irish sedikit kaget mendengar ketukan di muka pintu lewat
malam begini. Seingatnya dia tidak ada menghubungi pekerja hotel untuk memesan
apa-apa. Serta-merta dirinya diselubungi kerisauan. Niat hati ingin membiarkan
sahaja. Namun ketukan itu tetap berterusan untuk beberapa ketika. Perlahan
Irish menghampiri pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Sebaik
terpandangkan wajah itu, pantas dia berlari ke bilik dan mencapai sehelai
tudung yang terletak di birai katil sebelum disarungkan ke kepalanya. Irish
menghampiri pintu semula. Sebaik membukanya kelihatan Tengku Harrys sudah
bersandar sambil berpeluk tubuh di dinding luar.
“Is everything okay?”
soalan pertama yang keluar dari mulut lelaki itu.
“Ya.”
“Kenapa lambat buka pintu?”
“Err... Saya ingatkan siapa tadi. Jadi saya biarkan.”
“Biarkan?” Tengku Harrys mengulangi ayat itu dengan
kening yang sedikit terangkat. Seketika dia merenung Irish dengan satu
pandangan. “Dah nak tidur ke?”
“Hmm.”
“Betul ni berani tidur sorang-sorang?”
“Kalau tak berani pun tak ada siapa yang boleh teman,”
balas Irish sambil tertunduk.
“Ada.”
Spontan Irish mendongak. “Siapa?”
“Siapa yang paling dekatlah.”
Irish terus-terusan memandang Tengku Harrys. Mencari
makna di sebalik kata-kata lelaki itu. Lama dia berfikir hinggalah dia terlihat
senyuman di hujung bibir Tengku Harrys.
‘Dia ni ada lagi ke yang tak puas hati dengan aku? Tadi
cakap dah maafkan aku semua. Hmmh!’ gumam gadis itu dalam hati.
“Saya cuma nak bagitahu esok pagi turun ke cafe bawah pukul 8.30. Kita breakfast dulu sebelum pergi office.”
Irish membalasnya dengan sebuah anggukkan. ‘Datang ke
bilik semata-mata nak cakap tu je ke? Mesej pun boleh kut.’
“Lepas ni jangan biarkan saya ketuk pintu lama-lama. I’ll come here anytime to inform you
everything since I don’t have your phone number,” ujar lelaki itu sambil
menunjukkan telefonnya di hadapan Irish dan kemudian terus berlalu ke bilik
sebelah.
Irish terkedu. Membulat matanya dengan kata-kata Tengku
Harrys. Seolah-olah lelaki itu dapat mendengar apa yang dibicarakannya di dalam
hati.
‘Betul jugak. Macam mana nak mesej kalau nombor telefon
aku pun dia tak ada. Kan dah kena kau, Irish!’
“Nak berdiri je ke kat sini?”
“Hmm?”
Irish sedikit kalut dengan teguran itu. Seraya dia
berpaling. Entah bila Tengku Harrys sudah berdiri terpacak di belakangnya.
Seingat dia tadi lelaki ini berada di mejanya sedang minum. Bagaimana pula dia
boleh berada di sini? Irish tidak berpuas hati. Ditoleh kembali meja yang
didukuki Tengku Harrys. Ternyata tempat itu memang sudah kosong!
“Tengok apa?”
Irish memandang lelaki itu kembali. “Err... tak ada
apa-apa.”
“Pelik tiba-tiba saya ada kat sini?” Tengku Harrys
tergelak kecil. Sejak Irish melangkah masuk ke sini tadi dia sudah perasan.
Namun bila melihat gadis ini hanya berdiri tercegat memandangnya, membuatkan
dia menapak ke sini. Apa yang dimenungkan pun dia tidak tahu hingga
kehadirannya di sini tidak disedari.
“Jangan banyak mengelamun. Nanti tak ada orang pinang.
Jom!” bisik Tengku Harrys dan terus berjalan meninggalkan Irish untuk kembali
ke meja yang didudukinya tadi.
Irish mengerut dahi. ‘Ada ke pepatah cakap macam tu?
Kalau duduk kat depan pintu tu, yelah.’ Irish menyoal sendiri dalam hati. Namun
persoalan itu hanya dibiarkan bermain di fikiran. Dia menuruti langkah Tengku
Harrys di depan. Kelihatan sudah tersedia beberapa juadah sarapan di atas meja.
Irish mengambil tempat berhadapan lelaki itu.
“Saya dah ambilkan untuk awak,” ujar Tengku Harrys sambil
menyuakan sepinggan mee goreng pada Irish
bersama secawan teh ‘o’ panas.
“Terima kasih,” ucapnya. Melihatkan makanan di pinggan
lelaki itu masih belum terusik, Irish memberanikan diri bertanya. “Tengku belum
makan lagi?”
“Belum. Tunggu awak,” balas lelaki itu bersahaja lantas
menadah tangannya mengimamkan doa makan bersama Irish.
Irish memerhati tingkah lelaki di hadapannya. Dia sendiri
tidak faham dengan kelakuan Tengku Harrys sejak semalam. Sangat berbeza dari
apa yang dia bayangkan sebelum berangkat ke sini tempoh hari. Hanya disebabkan
mereka berdua di sinikah? Atau sikap lelaki ini yang sememangnya begini tanpa
pengetahuannya?
“Lepas ni kita turun site sekejap before heading to office. Are you okay with that?”
Irish sekadar mengangguk. Mereka berdua mula menjamu
sarapan pagi lantaran banyak tugas yang sedang menanti dan perlu diselesaikan
dengan kadar yang segera.
KERETA
yang dipandu Tengku Harrys membelok masuk ke tapak projek. Sesudah meletakkan
kereta, mereka berdua bergerak memasuki kawasan binaan bangunan fasa ketiga itu
dan menemui arkitek serta jurutera yang terlibat mengedalikan projek tersebut.
“How
the progress here?”
“Everything’s
okay. Alhamdulillah, Tengku. Semuanya berjalan mengikut seperti apa yang
dirancangkan,” terang Encik Shamrin selaku arkitek projek.
“Dah pastikan semua materials yang dihantar betul-betul ikut
standard asal?” tanya Tengku Harrys
lagi.
“Sudah, Tengku. Kami dah check dengan pembekal setiap kali
diorang hantar barang ke sini. Setakat ni tak ada apa-apa masalah,” kali ini
Encik Yusry, jurutera di situ pula bersuara.
Tengku Harrys
mengangguk-anggukkan kepalanya, seakan berpuas hati dengan penjelasan dari
mereka. “Good. Saya harap tak ada
masalah yang akan timbul lagi lepas ni. And
you all please make sure semuanya berjalan lancar mengikut jadual sehingga
projek ni selesai. Time is running out.”
“Baik, Tengku!”
jawab kedua-duanya serentak.
Irish yang berada
di belakang Tengku Harrys hanya memasang telinga mendengar perbualan
ketiga-ketiga mereka. Hampir dua puluh minit berlalu, barulah perbincangan
tersebut selesai. Tengku Harrys kemudian meminta untuk meninjau sebentar
kawasan binaan tersebut. Mereka yang lain hanya menuruti tanpa sebarang
bantahan. Sebelum bergerak, Encik Shamrin sempat memberikan topi keselematan
pada Tengku Harrys dan Irish.
Setiap sudut binaan
fasa ketiga itu dilawati oleh mereka sambil diberi penerangan oleh Encik
Shamrin dan Encik Yusry. Tengku Harrys hanya mendengar dan sesekali dia
mencelah jika ada sesuatu perkara yang tidak memuaskan hati. Irish mula terasa
sedikit bosan. Hendak masuk campur pun itu bukan dalam bidang tugasnya.
Sudahnya dia beredar dari situ dan melihat-lihat sekitar kawasan tersebut,
memerhati para pekerja melakukan kerja-kerja pembinaan yang entah berapa meter
tingginya itu. Seketika matanya leka memandang kren yang sedang mengangkat
batu-bata untuk diserahkan pada pekerja-pekerja yang sedang membina dinding
bangunan di bahagian paling atas. Sedang dia asyik memerhati, seseorang
berteriak dari atas.
“Boss! Ke tepi, boss. Ke tepi!!”
Semua yang berada
di situ panik. Tidak tahu arahan itu diberikan pada siapa. Namun keadaan sudah
terlambat apabila batu-bata tersebut lebih dahulu jatuh ke bawah berhampiran
tempat Tengku Harrys, Encik Shamrin dan Encik Yusry berbincang. Lebih malang
lagi apabila beberapa ketul batu-bata itu mengenai tubuh Tengku Harrys tanpa
sempat lelaki itu mengelak. Irish tergamam. Semua yang berada di situ juga
turut terkedu.
“Tengku!!!” jerit
Encik Shamrin. Dia dan Encik Yusry pantas mendapatkan Tengku Harrys yang sudah
rebah di atas tanah. Tangan kirinya memegang lengan kanan yang terkena rempuhan
batu tadi. Dahinya berkerut. Wajahnya juga sudah berubah. Jelas dia sedang
menahan kesakitan. Suasana tegang seketika. Hanya beberapa minit, kawasan itu
sudah dikerumuni dengan sebahagian pekerja di situ.
Encik Shamrin
menyinsing lengan kemeja Tengku Harrys yang sudah koyak di beberapa bahagian.
Darah sudah mengalir keluar dari luka-luka di tangannya. “Teruk ni, Tengku.
Saya hantar pergi hospital!” ujar Encik Shamrin yang sudah ingin bangun.
“No! Tak apa.”
“Eh, mana boleh
Tengku! Kena pergi check ni. Takut
patah ke apa!” Encik Yusry pula mencelah.
“Tak apa. I think luka je.”
Tengku Harrys cuba
untuk bangun sambil dibantu oleh Encik Shamrin dan seorang pekerja lain yang
berada di situ sebelum mereka memapahnya masuk ke dalam mini pejabat yang
disediakan di tapak projek tersebut. Sedikit berdengkut kakinya berjalan.
Mungkin terseliuh semasa dia terjatuh tadi. Sebaik masuk ke dalam pejabat,
mereka meletakkan Tengku Harrys di atas sebuah sofa.
“Betul Tengku tak nak pergi hospital
ni?” sekali lagi Encik Shamrin bertanya setelah
pekerja yang seorang tadi beredar.
Tengku Harrys mengangguk. “It’s okay. Sikit je.”
“Okay. Tapi kalau Tengku rasa makin
teruk, please inform me!” ujar Encik
Shamrin sedikit cemas. Risau melihat keadaan bossnya yang cedera. Sudahlah ini kali pertama Tengku Harrys turun
ke tapak projek ini. “Nanti saya panggilkan my
asisstant untuk cuci luka Tengku.”
“Tak apa. Tolong
panggilkan Cik Irish ke sini. She will do
it,” pinta Tengku Harrys. Kepalanya sudah disandarkan pada belakang sofa.
“Baiklah, Tengku.”
Encik Shamrin
segera beredar keluar dari pejabat dan mencari pembantunya sambil berkata
sesuatu. Kelihatan pembantunya itu terangguk-angguk. Suasana di luar masih
sedikit tegang. Masing-masing masih sibuk membicarakan mengenai insiden yang
berlaku sebentar tadi. Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu, Encik Shamrin
tercari-cari kelibat Irish. Dilihatnya gadis itu sedang duduk termenung di
suatu sudut.
“Cik Irish.”
Pantas Irish
mendongak. “Ya?”
“Tengku panggil
masuk.”
“Saya?”
“Yes!”
“Kenapa, Encik
Sham?” soal Irish yang sudah terbiasa memanggil lelaki tersebut dengan
panggilan itu. Sememangnya Encik Shamrin cukup dikenali dengan nama itu oleh
semua pekerja di sini.
Encik Shamrin
tersenyum dengan pertanyaan itu. “Tengku nak awak tolong bersihkan luka dia.”
“Hmm? Saya mana reti, Encik Sham!” tingkah Irish
yang jelas terkejut dengan permintaan itu.
Mana mungkin dia melakukannya. Dia bukanlah seorang jururawat, apatah lagi
doktor.
“Alaa.... awak buat
je macam awak tahu. Bersihkan darah tu, bubuh ubat then balut. Siap dah.”
“Ishh! Kalau salah
macam mana? Kenapa tak hantar hospital je?”
“Tengku tak nak.
Dia cakap sikit je.”
“Pulak? Kalau macam
tu, Encik Sham mintalah siapa-siapa yang tahu buat.”
“Sudah. Tapi Tengku
nak awak yang buat,” terang Encik Shamrin bersama senyuman di bibir. Senyuman
yang mengandungi sedikit usikan. Walaupun ini kali pertama dia berjumpa dengan
Irish, namun tempoh selama seminggu bekerja bersama di sini membuatkan dia
selesa dengan gadis ini. Tambahan dengan sikap Irish yang pendiam membuatkan
dia gemar untuk mengusiknya. “Pergilah. Tengku dah tunggu tu.”
Irish hanya
mengangguk. Kakinya melangkah longlai menuju ke ruang pejabat.
“Cik Irish,
sekejap!” laung Encik Shamrin sambil berlari-lari anak mendapatkan Irish. “Ini first aid kit. Semuanya ada dalam ni.
Gunalah mana yang patut. Good Luck!”
Irish hanya
tersenyum kelat dengan kata-kata lelaki itu. Jelas hatinya berdebar-debar untuk
berhadapan dengan Tengku Harrys. Seperti dia pula yang menyebabkan lelaki itu
ditimpa kemalangan tadi. “Tapi bukan salah aku. Aku tak tahu pun batu tu nak
hempap dia. Tahu-tahu abang tu jerit, batu tu dah jatuh. Kan?” ngomel Irish
sendiri sepanjang dia menuju ke pejabat.
Melangkah sahaja ke dalam mini pejabat itu,
Irish melihat sekujur tubuh sedang duduk bersandar di sofa dengan mata
terpejam. ‘Tidur ke dia?’ Perlahan Irish menghampiri Tengku Harrys sebelum
melabuhkan duduknya di sisi lelaki itu. Kit pertolongan cemas di tangannya
diletakkan di atas meja di hadapan.
Irish merenung
wajah Tengku Harrys. Terdengar helaan nafasnya yang halus. Mungkin lelaki ini
menahan sakit hingga tertidur. Matanya kemudian beralih pada lengan Tengku
Harrys yang sudah sedikit membengkak. Agak banyak calar-balar. Juga terdapat
beberapa luka akibat hempakan batu tadi. Darah masih mengalir melalui luka-luka
tersebut. Terbit rasa kasihan pada lelaki di hadapannya ini tiba-tiba. Irish
memandang semula wajah Tengku Harrys. Berkira-kira sama ada ingin
mengejutkannya ataupun tidak.
‘Tapi kalau tak
kejutkan, macam mana aku nak bersihkan luka-luka dia ni?’ hatinya berbicara
sendiri. Hendak atau tidak, dia tidak punya pilihan.
“Tengku.”
Irish memanggil
nama lelaki itu. Sesaat, Tengku Harrys membuka matanya perlahan-lahan.
“Hmm.”
“Saya nak bersihkan
luka Tengku ni,” ujar Irish sambil matanya diajukkan pada lengan lelaki
tersebut.
Mendengarkan itu,
Tengku Harrys cuba membetulkan duduknya kepada posisi yang lebih selesa.
Kemudian dia menghulurkan lengannya pada Irish. Telan air liur Irish seketika.
Ini kali pertama dia berhadapan dengan situasi begini. Nafas ditarik
dalam-dalam. Dengan lafaz Bismillah, dia memulakan kerjanya dengan
berhati-hati. Lengan baju Tengku Harrys disinsing lagi sehingga ke paras atas.
Seperti jangkaannya, bahagian atas lengan lelaki itu juga turut calar-balar dan
luka. Kit pertolongan cemas di atas meja dicapai. Sebaik membukanya, mata Irish
menjadi rambang bila melihat pelbagai jenis ubat-ubatan di dalam kotak
tersebut.
‘Mana satu, ya?’
desis hatinya. Satu persatu ubat diperhati. Tidak pasti mana satu yang perlu
digunakan. Dulu semasa di bangku sekolah adalah juga dia belajar cara-cara
untuk membersihkan luka. Tetapi dia tidak begitu mengingatinya. ‘Hmm. Belasah
jelah!’
Sarung tangan getah
di dalam kotak itu dicapai lalu disarungkan di kedua-dua belah tangannya.
Kemudian dia mengambil tisu. Dengan perlahan dia menyentuh tangan Tengku Harrys
dan mula mengelap darah yang mengalir. Habis yang itu, dia mengambil tisu yang
lain pula dan kali ini dia membasahkan tisu tersebut dengan air untuk
membersihkan saki baki darah serta kotoran yang masih ada. Setelah itu Irish
mencapai kapas serta botol yang tertulis perkataan ‘antiseptik’ pada label di
luar. Terdengar suara lelaki itu mengaduh saat kapas yang dibubuh cecair
antiseptik itu menyentuh lukanya.
“Tahan, ya. Pedih
sikit,” beritahu Irish sambil mengerling sekilas pada lelaki itu. Kemudian dia
menyambung semula tugasnya membersihkan seluruh luka di lengan Tengku Harrys
sebelum menyapunya dengan sejenis krim antibiotik. Penuh lembut dan teliti dia
melakukan kerja hingga tidak menyedari setiap tingkah lakunya itu tiada satu pun
terlepas dari pandangan lelaki tersebut.
“Dah biasa ke buat
ni?” tiba-tiba soalan itu terpancul dari mulut Tengku Harrys, membuatkan Irish
mengerling lelaki itu sekali lagi.
“Tak. Saya redah
je.”
Jawapan itu
mengundang senyum di hujung bibir Tengku Harrys. Betul atau tidak jawapan itu,
dia tidak pasti. Apa yang pasti, dia dapat merasakan kelembutan sentuhan Irish
sepanjang gadis ini membersihkan luka-lukanya.
“Awak kat mana
tadi?” Tengku Harrys bertanya lagi.
“Masa bila?”
“Masa batu tu
hempap saya.”
Irish terkedu.
Tidak menyangka soalan itu akan keluar juga dari mulut lelaki ini. Dengan
lambat dia menjawab. “Saya jalan-jalan tengok site sekejap. ”
“Without my permission?”
Tangan Irish
terhenti. Terasa jantungnya berdegup laju. Pasti lelaki ini marah padanya.
“Saya minta maaf,” ucap Irish seraya melarikan wajahnya dari Tengku Harrys.
Krim antibiotik tadi diletakkan semula ke tempat asal. Tinggal lagi dia hanya
perlu membalut lengan Tengku Harrys dan selepas itu dia ingin cepat-cepat
beredar dari sini. Lantas Irish mengambil kapas dan meletakkannya di setiap
luka yang ada di lengan Tengku Harrys sebelum membalut lengan lelaki itu dengan
kain pembalut lalu dipinkannya dengan kemas. Sesudah itu dia bangun dan
mengemas kembali semua barang-barang yang telah digunakannya.
“Tengku baringlah.
Rehat dulu,” ujar Irish sambil tangannya masih lagi mengemas kit pertolongan
cemas tersebut.
Tengku Harrys akur
dengan kata-kata itu. Sememangnya dia sendiri masih terasa lemah untuk
bergerak. Direbahkan badannya di atas sofa itu untuk merehatkan diri sebelum
mereka bergerak ke pejabat Haiyan Corporation yang terletak kira-kira dua
kilometer dari tapak projek ini.
Irish memandang
Tengku Harrys. Mata lelaki itu sudah terkatup rapat. First aid kit di atas meja dicapai lalu dia mula bergerak keluar
dari pejabat tersebut.
“Nak ke mana?”
Teguran itu
mematikan langkah Irish serta-merta. Tubuhnya dipusingkan kembali menghadap
Tengku Harrys. Dilihatnya mata lelaki itu masih lagi terpejam. “Keluar.”
“Don’t go anywhere.”
“Err....,” Irish
cuba bersuara.
“Just stay here.”
“Tapi....,”
“Please. Just stay here with me,” pinta Tengku Harrys lagi. Lemah kedengaran
suaranya.
Mendengarkan itu,
Irish jadi tidak sampai hati. Dia berpatah semula dan melabuhkan duduk di sofa
berdekatan Tengku Harrys. Lelaki itu terus dengan lenanya. Mungkin dengan cara
ini sahaja dapat melupakan sekejap kesakitan yang sedang ditanggung.
’Beria-ia suruh aku
tunggu. Dah kenapa? Tapi sekarang dia yang tidur.’
Irish melepaskan
keluhan. Kepalanya ditongkat dengan tangan sambil memandang Tengku Harrys.
Tidak dinafikan lelaki itu memang mempunyai seraut wajah yang kacak. Dengan
kulit yang cerah serta ketinggian yang ada padanya sudah mampu mencairkan hati
mana-mana gadis. Walaupun dalam keadaan tidur begini, lelaki itu masih mampu
menarik minat sesiapa sahaja untuk memandangnya. Cuma satu yang dia hairan.
Mengapa sekacak-kacak begini tidak ada satu pun gadis yang mendampinginya?
Adakah benar seperti apa yang diperkatakan bahawa jejaka ini memang tidak
pernah membenarkan hatinya dimiliki dan didekati perempuan? Agak sukar untuk
dia percaya. Namun jika ia benar, mungkin Tengku Harrys mempunyai alasan
tersendiri.
Irish terus
membiarkan matanya merenung lelaki tersebut. Kesempatan ini sahaja yang dia ada
untuk berbuat demikian. Kalau lelaki itu sudah sedar, jangan haraplah dia dapat
buat begini. Memang dia tidak akan menang kala mata lelaki itu sudah melekat di
wajahnya. Kadangkala dia bingung dengan sikap Tengku Harrys. Kalau sudah serius
jangankan ketawa, bayang senyum pun belum tentu boleh nampak. Tetapi bila
sikapnya sudah berputar tiga ratus enam puluh darjah, memang takkan senang hati
dibuatnya. Seperti yang berlaku sekarang ini. Sangat berbeza dari Tengku Harrys
yang dia kenal sepanjang bekerja di Haiyan Holdings. Namun dia tidak pasti
memang begitukah sikap lelaki ini terhadap semua orang, atau dengan dirinya
sahaja demi untuk membalas kembali insiden perlanggaran yang berlaku antara
mereka dulu.
‘Hmm.... nasib
kaulah, Irish. Nak tak nak, terima jelah.’ Bisik hati kecilnya.
No comments:
Post a Comment