H
|
“Dah, long.
Insya-ALLAH.”
Izzul mengerling adiknya
yang tegak bersandar. Mata setia merenung ke luar tingkap. Jemari kiri dan
kanan bertaut kejap. Dia pasti kalau disentuh, dinginnya tentu-tentu bak air batu
Kutub Selatan.
“Rilekslah, Rish. Tak
payah fikir sangat. Cuma temuduga aje pun. Masuk bilik, duduk, then
jawab apa yang dia orang tanya. Dah selesai, keluar. Ada rezeki... adalah.
Kalau kawan along tu yang jadi interviewer, memang alhamdulillah
jawabnya!”
Deras Irish menoleh.
“Kenapa?”
“Sebab dia memang sporting
and simple. Dari masa belajar dulu. Tak ada nak buli-buli ke apa, walaupun
selalu jadi leader. Kalau dia rasa orang tu okey dan layak, dia
takkan cakap banyak. Sebab tu semua orang suka cara dia. Cuma, satu yang dia
pantang.”
“Apa dia?”
“Dia tak suka orang
yang berlagak dan cakap besar. Itu paling pantang! Bukan setakat dia aje, semua
keluarga dia macam tu. Walaupun keturunan dia orang bukan calang-calang.”
“Along memang rapat
dengan dia ke? Maksud Irish kawan along tu. Siapa namanya?”
“Tengku Hafiy Daiem.
Tapi kawan-kawan biasa panggil Hafiy aje. Dia tak suka sangat orang panggil dengan
gelaran tu. Sebab tu along boleh ngam dengan dia sampai sekarang. Perangai pun
lebih kurang. Dengan keluarga dia pun along dah kenal. Selalu juga lepak dan
bermalam kat rumah dia. Tapi masa belajar dulu-dululah.”
“Tapi kenapa dia
belajar kat UPM, ya? Sedangkan kawan along tu boleh pilih tempat yang lebih
setaraf dengan kedudukan dia?”
“That’s a good
question. Bukan Irish aje, ramai yang tanya soalan tu. Jawapan Hafiy
senang.... dia nak merasa life macam orang biasa. Belajar kat IPTA, bergaul
tanpa mengira kawan. Tapi bila sambung Master terpaksalah ikut kata
orang tua sambung kat luar negara.”
Tekun Irish mendengar
Izzul bercerita tentang rakan baiknya, juga merupakan anak kepada pemilik
syarikat yang akan dia hadiri temuduga pagi ini.
“Along rasa sempat ke
kita sampai sebelum pukul 9.00? Dengan jammed macam ni.”
“Sempat-sempat.
Jangan risaulah. Irish duduk aje diam-diam kat sebelah.”
Tumpuan Izzul kembali
ke pemanduan. Dia sudah biasa dengan keadaan sesak begini. Dulu sebelum
berkahwin dengan Safiya, lebuh raya ini yang selalu dia guna untuk
berulang-alik dari rumah ke tempat kerja di Petaling Jaya.
“Al right. We are here!”
Tepat jam 8.40 pagi,
kereta Izzul akhirnya tiba di hadapan sebuah bangunan.
“Good luck!
Dah selesai nanti call along.”
“Baik, long.”
Huluran salam Irish
disambut. Kepala adiknya disentuh lalu dikucup seperti selalu.
“Jangan lupa pesan
umi. Selawat banyak-banyak!”
“Yes, sir!”
Langkah langsung diayun
gadis itu menuju ke arah bangunan di depan. Kepala tunduk memerhati tiap
gerakan kaki yang menapak.
“Aduh!”
Irish terjerit kecil.
Fail di tangan terlepas jatuh ke bawah. Bahu yang terasa sengal dipegang
seketika.
‘Asal nak cepat, masa
inilah nak berlanggar dengan orang, kan!’
Failnya yang terjatuh
diambil semula. Tubuh dipaling menghadap orang yang dilanggarnya.
“Maaf!”
Tertunduk tubuh
lampai itu seiring kata maaf yang diucap. Tanpa memandang wajah yang dilanggar,
ayunan langkah segera disambung semula. Dirinya benar-benar hendak cepat.
Dan... bening redup
itu hanya merenung Irish terus berlalu tanpa melihat padanya.
‘Tak cukup handsome
agaknya aku sampai dia tak nak pandang!’
Susuk tinggi itu
berpaling seraya mengatur langkah kembali. Kaca mata ‘Ray Ban’ hitam
dikenakan semula bersama kuntuman senyum yang memekar di bibir.
Terpampang sebaris nama
yang cukup gah sebaik melangkah
ke lobi. Se‘gah’ bangunan tujuh belas tingkat tempat dia berpijak sekarang ini.
Kemodenan dan kecantikannya membuat setiap mata pasti terpegun menikmati.
“Assalamualaikum,
cik. Boleh saya bantu?”
Irish terkaku. Pandangan
tak lepas dari wajah di kaunter penyambut tetamu.
“Boleh saya bantu
cik?” soal gadis itu lagi dalam ramah tersenyum.
“Err... ya, ya. Saya
datang untuk temuduga hari ini.”
“Cik ada bawa surat?”
“Oh, ada. Ini...”
Surat bertukar
tangan. Selesai membaca, surat kembali diserahkan.
“Sila ikut saya,
cik.”
Irish menuruti
langkah gadis genit di depan. Masuk ke dalam lif, punat ditekan... langsung ia
terus bergerak mendaki bangunan. Tiba di tingkat tujuh, pintu lif kembali
terbuka.
Dari jauh jelas
tulisan ‘Human Resource Department’ menandakan tingkat tersebut adalah Jabatan
Sumber Manusia. Di sini mungkin dia akan ditemuduga.
“Cik boleh duduk di
sini dulu, ya. Kejap lagi ada staf akan datang uruskan temuduga cik dengan
calon-calon lain di sini.”
Irish melabuhkan
duduk. Nafas ditarik dalam-dalam. Mata turut dipejamkan.
Teringat malam tadi
saat dia mengkaji profil syarikat ini. Apa yang diketahui, Syarikat Haiyan
Holdings merupakan milik bumiputera sepenuhnya. Diasaskan oleh pemilik syarikat
ini sendiri, iaitu Tuan Haji Tengku Haiyan. Sebuah syarikat pembinaan kelas A,
menerima projek membina bangunan tinggi dan projek yang bernilai lebih RM10
juta.
Selain itu, Haiyan juga
punyai beberapa anak syarikat di bawah selianya yang mengurus projek berkelas
sederhana dengan nilai tidak mencecah hingga puluhan juta ringgit.
Irish mengeluh.
Serasa tidak layak untuk dia berkhidmat di syarikat besar seperti ini. ‘Betul ke apa yang kau buat ni, Irish?’
“Assalamualaikum dan
selamat pagi semua.”
Pelupuk bening gadis
itu terbuka semula.
“Selamat datang ke
Haiyan Holdings. Terima kasih telah hadirkan diri untuk temuduga hari ini. Sebentar
lagi anda akan dipanggil mengikut giliran. Harap semuanya bersedia. So... wish you all the best of luck!
Kita jumpa di dalam nanti.”
Lelaki itu mengakhiri
kata-kata dengan senyuman manis. Lembut dan tenang saja bicaranya. Sut hitam
tersarung di tubuh menambahkan lagi karismanya sebagai salah seorang pegawai di
sini, mungkin.
Sesi temuduga bermula tepat pukul 9.15 pagi. Seorang demi
seorang calon dipanggil masuk ke dalam bilik. Irish semakin gelisah.
“Allahumma salli ‘ala
saiyyidina Muhammadin, wa ‘ala aali saiyyidina Muhammad.”
Berulang-kali selawat membasahi bibir. Pesanan umi yang dititipkan
alongnya. Moga bisa mereda amukan di dada yang semakin meresah dan menggila.
“Cik Irish Qiara.
Silakan masuk.”
Dengan lafaz
bismillah... figura lampai itu berjalan memasuki bilik temuduga.
“Assalamualaikum.”
Tiga pasang mata
serentak mendongak memandangnya.
Usai diberi arahan,
Irish berlabuh duduk berhadapan mereka. Dua lelaki, seorang wanita. Dan, salah
seorangnya adalah lelaki yang berucap di luar tadi.
TENGKU HAFIY
DAIEM TENGKU HAIYAN
Gulp!
Irish telan liur. ‘Ini
ke Hafiy kawan along tu?’
“Cik Irish Qiara
binti Izzudin?”
Lelaki bernama Tengku
Hafiy itu merasmi suasana.
“Iya, saya.”
“Awak lulusan Ijazah
Sarjana Muda Kepujian Kewangan dari UiTM Shah Alam?”
“Ya, betul.”
“Fresh graduated?”
wanita ber‘tag’kan nama Puan Zarina Azman mencelah serius.
“Err... ya. Baru saja
graduated Disember tahun lepas. Baru ingin mencari pengalaman jika
diberi peluang.”
“Awak takut ke, Cik
Irish?”
“Hmm?”
Senyuman Puan Zarina perlahan
memekar di wajah. “Jangan takut. Tenang aje. Saya tak makan orang. Muka saya
memang macam ni. Nampak garang, tapi dalam hati... ada baik!”
“Puan Zarina ni saja
nak gertak awak, Cik Irish. Gertak manja-manja!” pegawai lelaki bernama Mikhail
Firdaus mencelah, buat seisi bilik itu tertawa.
“Oh. Tak... tak apa.”
Irish melepas lega.
Sedikit keyakinan mula bertamu dalam dirinya.
“Okey. Tengok awak
pun dah tenang sikit, bolehlah kita mulakan sekarang. Baik, Cik Irish. First
of all... please introduce yourself to us.” Tengku Hafiy memula sesi temuduga.
Baru beberapa minit
bersemuka dengan gadis di depannya, hati Tengku Hafiy mula tertarik dengan
personaliti serta perwatakan Irish. Sikapnya yang merendah diri, lembut bicara,
tingkah penuh sopan membuat dia rasa selesa dan senang.
Satu lagi...
Semacam ada tarikan
pada gadis itu yang mengingatkan dia pada seseorang.
Memasang harapan agar
pertemuan ini bukan yang terakhir, Tengku Hafiy seakan sudah temukan calon yang
tepat untuk temuduga yang belum pun lagi tamat. Namun, dia sedar... keputusan
bukan terletak di tangannya seorang

No comments:
Post a Comment