M
|
“Hafiy!”
Satu suara memanggil dari
taman mini. Melambai-lambai figura itu ke arahnya.
“Mari duduk minum
dulu. Teman papa dengan mama ni.”
Lantas kaki diayun.
Sudah menjadi kebiasaan papanya mengambil angin luar waktu petang begini sambil
minum petang ditemani mamanya.
“Adik belum balik
lagi, ma?” soal Tengku Hafiy tentang adik bongsunya, Tengku Hazreen Damya
sebaik melabuh duduk. Briefcase dan blazernya diletakkan di
kerusi sebelah.
“Belum lagi. Biasalah
nak exam sibuklah dengan study group dia tu. Lewat kamu balik
hari ni?”
“Sibuk sikit, ma.
Pagi tadi ada mesyuarat untuk finalised calon-calon temuduga tempoh
hari. Petang lepas solat Jumaat, ada mesyuarat dengan klien dari Sarawak.”
“Macam
mana dengan temuduga hari tu, Fiy? Tak sempat papa nak turun menjenguk.”
Tengku
Haiyan yang sedari tadi menghadap bacaannya, bersuara mencelah. Buku di tangan ditutup.
Teh panasnya dihirup.
“Alhamdulillah,
semuanya berjalan lancar. Adalah dua tiga orang calon yang Hafiy rasa layak
untuk isi jawatan-jawatan tu. Papa tak payahlah risau. Uncle Mikhail dengan
Aunty Zarina ada. Hafiy rasa calon-calon yang kami pilih adalah yang
terbaik dan memang layak.”
“Papa tak risau, Fiy.
Papa yakin dengan kamu dan semua staf papa.”
Tidak dinafikan,
kejayaan Haiyan Holdings selama ini adalah hasil usaha seluruh pekerjanya yang
dedikasi, jujur serta ikhlas dalam mencurahkan bakti demi kemajuan Haiyan.
Sepanjang dia
mengendalikan syarikat, belum pernah lagi berlaku kejadian buruk yang
membabitkan pekerja-pekerjanya. Jadi, tiada sebab untuk dia mencurigai sesiapa.
“Hmm... dah
alang-alang kat sini ni, mama nak tanyalah. Kamu bila nak langsung? Dah dekat
dua tahun kamu bertunang dengan Helena tu. Bukan apa... tak elok tunang
lama-lama ni. Takut nanti orang tua Helena tu bising pula. Lagi-lagi anak
mereka tu perempuan. Kamu pun bukannya muda lagi. Tahun ni dah nak masuk tiga
puluh dua. Dah patut ada anak pun!”
Tengku Hafiy tersentak.
Menungan pada ikan-ikan di kolam turut teranjak. Ditenung mamanya seketika
sebelum menggaru-garu kepalanya.
“Err... nantilah,
mama. Hafiy nak fokus pada syarikat tu dulu. Bila semuanya dah okey dan stabil
nanti, bolehlah Hafiy fikirkan hal tu. Hafiy dah bincang dengan Helena dan
orang tuanya. Mereka tak kisah. Lagipun Hafiy tunggu adik Hafiy yang seorang tu
balik. Tak bestlah kalau Hafiy kahwin, dia tak ada. Kan, pa?”
Tengku Haiyan sekadar
mengangguk dalam senyuman.
“Nak tunggu budak
bertuah tu balik? Hermm... berjanggutlah kamu jawabnya, Fiy! Entah sampai bilalah
nak kerja kat negara orang putih tu agaknya. Macam papanya sendiri tak ada
syarikat nak diuruskan kat sini.
Itu belum lagi mama
sebut fasal kahwin. Kalau dah bertahun-tahun nak tunggu dia balik, alamat
bertahun-tahun jugalah nak tunggu hal kahwin keluar dari mulut dia. Bukan kamu
tak kenal adik kamu tu. Nasib baiklah Kak Leen tu dah kahwin. Kalau tak,
kempunanlah mama ni nak timang cucu!”
Ah, sudah!
Tengku Hafiy tarik
nafas semahunya. Tengku Dafina sudah mula bersenandung tentang adik lelakinya. Habislah...
Bukan dia tidak
biasa, malah telinga sudah lali. Dia sendiri hairan melihat adiknya yang lebih
suka mencari rezeki di negara orang semenjak tamat ijazah pertamanya di
Universiti Cambridge, United Kingdom. Katanya ingin cari pengalaman dulu
sebelum berkhidmat di syarikat mereka.
Itu berkenaan kerjaya,
belum disentuh hal peribadi. Sejak dulu lagi lelaki itu memang susah kalau
bercakap hal perempuan dengannya. Tak tahu apa sebab musabab. Sedangkan ramai
gadis yang tergila-gilakan adiknya yang seorang itu.
“Ada adik kamu tu beritahu
bila dia nak balik terus ke sini?”
“Ada juga dia beritahu
masa balik sini hari tu. Mungkin lepas dia habiskan Master.”
“Dahlah tu, Fina. Tak
payahlah awak risau. Dah bosan duduk kat sana nanti, baliklah budak tu. Lagipun
bukannya dia bekerja semata-mata. Sambil belajar juga, kan? Manalah tahu
pengalaman yang dia dapat kat tempat orang nanti boleh bantu majukan lagi
syarikat kita bila balik ke mari.” Tengku Haiyan menenangkan isterinya.
“Hmm... itulah
abang. Suka sangat manjakan anak.”
“Hai, anak awak juga,
kan? Saya bukan manjakan, cuma memahami mereka. Budak-budak sekarang bukan
macam zaman kita dulu-dulu. Zaman dah moden, pemikiran pun modenlah. Saya tak
kisah berapa lama budak tu nak bertapa kat negara orang tu. Asal jangan lupa
asal-usul sebagai orang Islam dan Melayu, sudahlah.”
Tengku Dafina
terdiam. Dalam hati turut mengiakan. Dia bukan apa, cuma kalau boleh mahu
anak-anak sentiasa berada dekat dengannya. Meskipun telah berkahwin dan tinggal
berasingan. Hati ibu mana yang tidak risau bila anak-anak jauh dari mata.
“Okeylah ma, pa.
Hafiy naik dulu. Badan pun dah melekit ni. Anyway, ma... betul kata papa
tu. Mama janganlah risau sangat. Tak adanya adik Hafiy tu nak duduk lama-lama
kat sana. Hafiy pun dah pesan kat dia. Daripada bekerja dengan orang, lebih
baik berkhidmat untuk keluarga sendiri. Penat dah papa bina syarikat tu untuk
anak cucu dia.”
Tengku Hafiy kenyitkan
mata pada papanya. Segera briefcase dan blazer dicapai dan
bangkit berlalu. Angkat kaki dulu sebelum leteran mamanya bersambung.
Bukan tak suka. Ada baiknya
kata-kata itu diucapkan sendiri pada empunya badan. Banyak mana pun wanita itu
berleter padanya, keadaan tetap sama selagi anak bujangnya yang seorang itu
masih tetap dengan pendirian serupa.
Buk!
Tengku Hafiy
terlanggar sesuatu. Tubuhnya jatuh terduduk. Bahunya terasa sengal. Belum
hilang sakit di bahu, satu suara yang lain turut menyeringai kesakitan.
“Aduhhh!”
“Eh, Dewi! Tak
apa-apa ke?”
“Enggak apa-apa, mas.
Cuma lagi pusing!” balas pembantu Indonesia itu memegang kepalanya yang
berpinar. “Mas apaan sih? Sampai saya yang segede ini ditabrakin! Apa dikejar
sama hantu?”
Berdekah Tengku Hafiy
tertawa. Geli hati dengan telatah gadis muda berbadan gempal dari Medan itu.
Sakit-sakit begini pun masih ada hati nak berjenaka.
“Tak adalah hantu.
Tapi lagi cantik dari tu.”
“Loh? Siapa?”
“Ssyyy!” Tengku Hafiy
meletak telunjuknya di mulut. “Perlahan sikit! Dengar Ibu Tengku nanti!”
“Ya. Iya! Iya! Dewi perlahan dikit ni. Mas
lari dari siapa?”
“Ibu Tengkulah. Siapa
lagi? Sebabkan adik abang tu, ni... telinga ni asyik kena tadah aje dengar bebelan
dia. Sebelum kena lagi teruk, baik cabut dulu!”
“Oooo...” Dewi terangguk-angguk
faham. “
“Eh, dahlah... abang
nak naik dulu. Belum solat Asar lagi.” briefcase dan blazer yang
terlepas dari tangan kembali diambil. “Betul Dewi tak apa-apa ni?”
“Iya! Benar! Enggak
apa-apa sih, mas. Swear!”
“Good! Tapi
kalau ada apa-apa beritahu abang, okey?”
“Iya, mas!”
Melebar senyum Dewi
menghantar susuk Tengku Hafiy mendaki tangga di sayap kanan vila. Sebaik
kelibat lelaki itu lenyap, senyuman mati serta-merta. Kepalanya dipegang
semula.
“Masih sakit
dibilangin enggak sakit. Ya... tanggung sendiri kamu, Dewi!” ngomel gadis itu turut
bangun melangkah ke ruang dapur basah vila.
“Kau dah kenapa
membebel sorang-sorang ni, Dewi?” sapa Mak Ros, seorang lagi pembantu rumah
Tengku Haiyan berusia lingkungan 60-an yang sedang minum petang bersama suaminya,
Pak Man, pemandu kepada Tengku Haiyan.
Berbanding Dewi yang
baru setahun bekerja, Mak Ros dan Pak Man telah berkhidmat lebih dari 30 tahun
di vila tersebut. Di sinilah tempat mereka menumpang teduh. Dengan anak-anak
majikan tempat mereka mencurahkan kasih sayang. Malah, Dewi juga sudah dianggap
seperti anak sendiri lantaran tidak dikurnia cahaya mata sejak berkahwin.
“Haah, Dewi. Kenapa
kau ni bercakap sorang-sorang?” tegur Pak Man sama.
“Enggak apa-apa, sih.
Cuman ditabrakin sama hantu!”
“Hantu??!” Serentak
suami isteri tua membalas. Habis tersembur kopi yang baru dihirup Pak Man.
“Eh bukan, bukan!
Bukan hantu! Waduh... itu! Dewi lagi ditabrakin samanya Mas Hafiy. Aduhhh!” sekali
lagi Dewi pegang kepalanya yang terasa berdenyut. Serasa lepas berlanggar tadi
kepalanya juga sudah tidak boleh berfungsi dengan betul.
“Hisy, kau ni! Buat
orang terkejutlah. Dah tu, okey tak ni? Kenapa dengan kepala tu?”
“Dewi baik-baik aja,
mak. Cuman kepala lagi pusing!”
“Hmm... Dewi, Dewi.
Macam-macamlah kau ni! Dah, mari duduk minum. Sejuk air ni nanti.” Mak Ros
menuang minuman untuk Dewi.
Biarpun mulut tak
henti bercakap setiap masa, namun itulah kelebihan Dewi yang buatkan
hari-harinya di dapur sentiasa riuh dan ceria dengan jenaka gadis seberang tersebut.
“Tak tahulah. Lepas
makan malam tadi terus hilang budak berdua tu. Ada dalam bilik Irish agaknya.”
Sepuluh minit...
Terpacul wajah Irish
dan Irma di ruang tamu bersama gelak tawa mereka.
“Happy
nampak!” Spontan Irhan menyapa.
“Iya ke, Han? Biasa
aje. Tapi kalau semua orang tahu pun mesti happy juga!”
“Apa dia? Irfan nak
dapat anak buah baru ke, kak lang?” duga pemuda itu teruja. Kebetulan dia balik
cuti hujung minggu, dapatlah berkumpul sama.
“Hisy,
Irfan ni! Ke situ pula dia!”
“Habis dah tengok kak
lang happy semacam! Kalau bukan tu, apa lagi?” Irfan menggosok-gosok
lengannya yang perih dek tamparan Irma.
“Ada
orang tu dah dapat kerja. Lepas ni bolehlah dia belanja kita semua!”
Semua mata terpasak pada Irma,
sebelum beralih ke wajah Irish di sebelah. Pandangan mengganti mulut sebagai isyarat menyoal gadis
itu.
Sedetik, Irish
menggangguk tanda mengiakan berita tersebut.
“Alhamdulillah!
Tahniah!”
Kedengaran
suara-suara gembira keluar dari mulut seisi keluarga Encik Izzuddin.
“Dapat offer
dari syarikat mana, Rish?” Tiba-tiba Izzul bertanya.
“Haiyan
Holdings, long.”
Tepat bening Izzul memanah
raut adiknya. “Serius?! Syarikat kawan along tu?”
“Iyalah,
long. Kenapa?”
“Tak... along
ingatkan tak dapat. Dah lama juga baru dapat jawapan sejak along hantar temuduga
hari tu.”
“Itulah. Irish pun
ingat macam tu. Lebih tiga minggu dah. Tapi petang dapat call dari dia
orang,” jelas Irish.
“So, bila kena
lapor diri?” celah Iman.
“Isnin depan.”
“Stay
sana? Ke berulang-alik?”
“Ya kut,
kak ngah. Ada juga dia orang beritahu syarikat ada sediakan apartmen untuk
pekerja. Tapi Irish rasa baik berulang ajelah. Lebih selesa tinggal kat rumah
sendiri. Lagipun tak bolehlah nak berjauh dengan ayah, umi dan adik-adik kita.
Rindu nanti!”
“Tahu tak apa!” Irfan
membalas kembali gurauan kakaknya. Kali ini dia lebih dulu menjauh diri,
sebelum lengannya menjadi sasaran sekali lagi.
Figura
lampai itu merebah badannya di atas katil. Mata merenung kipas yang sedang
berputar di siling. Seperti mana kipas itu berputar, begitu jugalah dirasakan
putaran hidupnya selama dua puluh empat tahun bernafas di muka bumi ini.
Sejenak, minda Irish
mula berlegar mengingati sorotan kisah hidupnya. Dari kecil hingga menginjak ke
alam remaja. Bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Lalu melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Kini bakal memasuki alam pekerjaan.
Begitu pantas masa
berlalu. Serasa baru semalam dia belajar mengeja di sekolah tadika. Tetapi hari
ini, dirinya sudah menamatkan pengajian di menara gading dengan segulung
ijazah. Dan, lusa... dia akan memulakan khidmatnya di salah sebuah syarikat
yang boleh dikatakan cukup gah di Malaysia.
‘Dah ready ke
kau nak kerja ni, Irish? Isk!’
Wajahnya diraup keras,
cuba mengusir segala aura negatif jauh dari hati. Cuba dikumpul kekuatan untuk
menghadapi hari-hari mendatang.
“Boleh! Kau boleh,
Irish. Insya-ALLAH pasti boleh. Semangat!”
Sedikit keyakinan
mula datang bertamu dalam diri. Mulut kecil itu tersenyum nipis.
Benak gadis itu kembali
berputar. Segala peristiwa yang berlaku kali ini hadir menyapa. Dari yang
menggembirakan, hinggalah ke cerita yang menyedihkan. Andai dirinya tidak kuat,
mungkin dia tidak akan berada hingga ke tahap sekarang.
Melukakan hati banyak
pihak. Lebih teruk, menghancurkan masa depannya sendiri!
Syukur alhamdulillah...
ALLAH masih bersamanya. Dan, akan tetap terus bersamanya selagi dia tidak
pernah lupa dan leka kepada Penciptanya itu.
Irish melepaskan
keluhan. Diraup sekali lagi wajahnya.
“Isk! Kenapa tak nak
pejam-pejam mata ni?”
Digosok-gosok mata
yang sudah pedih. Posisi beralih-alih. Muka ditutup bantal serapat mungkin. Namun...
percuma. Matanya masih tetap segar.
“Tak
boleh jadi ni. Dari tadi guling tapi tak mahu pejam, baiknya ambil wuduk.
Sembahyang sunat, mengaji. Lagi bagus.”
Susuk itu turun dari
katil. Langkah menghala ke bilik air.
“Mata ni pun... bila
suruh pejam, tak nak pejam. Bila time nak buat kerja, masa itulah nak
tertutup, kan?”

No comments:
Post a Comment