J
|
AM melewati angka
11.00 pagi sewaktu Irish tiba di halaman rumah Athirah. Suasana di rumah itu
kelihatan agak sibuk hari ini. Dengan langkah yang perlahan Irish masuk ke
dalam sebelum mencari kelibat seseorang yang dikenalinya.
“Assalamualaikum, makcik.”
“Waalaikumussalam. Eh, Irish! Laaa... tak perasan makcik.
Bila sampai?” soal Puan Nafhah, ibu kepada Athirah.
“Baru je tadi.”
“Oh, ya ke? Maaflah, Rish. Makcik sibuk sangat sampai tak
perasan Irish datang.”
“Tak apa, makcik. Irish faham. Ira dalam bilik ke?”
“Ha’ah, ada dalam bilik tu. Tengah bersiap. Pergilah
masuk jumpa dia, ya. Nanti dah siap semua boleh kita makan sama-sama.”
“Iyalah, makcik. Saya jumpa Ira dulu,” pamit Irish seraya
menuju ke kamar rakannya. Beberapa kali juga Athirah pernah membawanya ke sini.
Jadi tidaklah dia berasa kekok dengan keluarga serta persekitaran rumah ini.
Melangkah masuk ke bilik Athirah, dia melihat gadis itu sedang sibuk didandan
oleh seorang jurumekap wanita. Irish membiarkan Athirah untuk bersiap terlebih
dahulu sementara dia duduk bersimpuh di satu sudut bilik tersebut sambil
melihat hantaran-hantaran yang sudah siap elok terletak di atas dulang.
Hampir satu jam, akhirnya Athirah telah sempurna dirias.
Gadis itu membelek-belek dirinya di hadapan cermin tanpa menyedari Irish di
belakang sedang memerhatikannya. Hinggalah dia ternampak bayangan Irish di
dalam cermin. Serentak itu dia berpaling.
“Irish!” sedikit menjerit gadis itu sebaik terpandangkan
Irish yang tersenyum padanya. Pantas dia mendapatkan rakannya itu lalu dipeluk
erat. “Hey! Sejak bila kau duduk kat sini, hah? Aku tak nampak pun kau masuk!”
“Adalah dalam satu jam.”
“Hah! Satu jam? Kau biar betul? Kenapa tak cakap dengan
aku?!”
“Sshhh! Perlahanlah sikit suara kau tu. Satu rumah dengar
nanti. Saja. Tak nak kacau kau tengah bersiap. It’s okaylah. Seronok tengok kau kena touch up tadi,” balas Irish sambil melihat Athirah dari atas ke
bawah. Ternyata penampilan gadis itu sedikit berlainan dari yang biasa dia
lihat. Keayuannya jelas terserlah dengan busana pertunangan berwarna merah
jambu serta solekan yang menaikkan lagi seri wajahnya.
“Yang kau tengok aku atas bawah ni kenapa?”
“Cantik sangat kau hari ni!”
“Ya ke?”
“Iya. Sungguh!”
“Nak bodeklah tu!” balas Athirah. Namum dia tahu pujian
dari rakannya itu memang benar-benar ikhlas. “Tapi kan, kalau kau yang
bertunang hari ni mesti lagi cantik!”
“Hmm. Dah mulalah tu!”
“Apa? Aku cuma cakap jelah!” Athirah kemudian menarik
tangan Irish untuk duduk di katil bersamanya. “Pukul berapa kau bertolak ke
sini tadi?”
“Pukul 9.00 tadi aku dah gerak dari rumah.”
“Drive sorang?”
“Yelah. Kau ingat aku bawa siapa?”
“Kenapa tak ajak family
kau datang sekali? Kan aku dah pesan hari tu.”
“Ada kenduri kahwin saudara aku kat sana. So, diorang tak dapat nak ikut. Cuma
sampaikan salam pada kau dan ucap tahniah.”
Athirah menjawab kiriman salam tersebut. “Tulah kau!”
tiba-tiba saja dia memukul bahu Irish, membuatkan rakannya itu menggosok-gosok
bahunya yang terasa sedikit perit. “Aduh! Kau ni kenapa, Ira?”
“Kaulah! Kan ke dari dulu aku dah suruh cari boyfriend. Ha, tak adalah kau pergi
mana-mana sorang macam ni!”
Irish merenung Athirah. Tajam renungannya hinggakan
Athirah sedikit cuak.
“Eh, Irish! Kau okay
ke tak ni? Asal tenung aku macam tu? Aku salah cakap ke?”
Serta-merta Irish mengalihkan pandangannya. Satu keluhan
berat dilepaskan. Kemelut yang sedang dihadapi tika ini kembali menerjah.
‘Perlu ke aku beritahu Athirah?’ detik hatinya.
“Uiittt! Dah termenung pulak dia. Kau ni kenapa, Rish?”
tegur Athirah lagi melihatkan Irish hanya berdiam diri tanpa jawapan. Hatinya
mula risau. “Irish. Cakaplah...,”
“Ada orang masuk meminang aku.”
“Hah??!”
“Ishh, kau ni. Slowlah
sikit!” Irish memarahi Athirah sambil menekup mulut gadis itu. Mujur tiada
sesiapa di dalam bilik ini. Jurumekap tadi juga sudah lama beredar keluar.
“Siapa yang masuk meminang kau? Bila? So, macam mana? Kau terima tak?”
“Banyak betul soalan kau. Mana satu aku nak jawab?”
“Opss, sorry!“
Athirah tersengih sambil menampar-nampar bibirnya. “Okay, bagitahu aku. Siapa yang pinang
kau ni? Tak ada boyfriend, tak ada scandal. Tiba-tiba je. Apa cerita?!”
“Bukan pilihan aku.”
“Irish! Kau biar betul?!”
“Kan? Betullah tu.”
“Kalau bukan pilihan kau, pilihan siapa? Takkan parents kau?”
“Aku dengan family aku
tak tahu-menahu lansung. Keluarga pihak lelaki yang tiba-tiba hantar rombongan
tu,” jelas Irish, menjadikan Athirah semakin hairan.
“Siapa lelaki tu?”
Irish tidak terus menjawab. Dia memandang sekilas
rakannya dan kemudian tertunduk. Berat dirasakan mulutnya untuk menyebut nama
itu.
“Irish! Siapa?” Athirah menunjal bahu Irish dengan jari
telujuknya.
“Tengku Harrys.”
“What??!”
sekali lagi Athirah menjerit. Namun kali ini Irish hanya membiarkannya. Malas
dia mahu menghalang lagi.
“Tak payahlah nak terkejut sangat, Ira.”
“Gila aku tak terkejut! Kau main-main je kan, Rish?”
“Muka aku ada nampak main-main ke?”
Menyedari wajah rakannya tiada riak bergurau, Athirah
terkedu. “Bila?”
“Last weekend.”
“Kau tak pernah cakap pun kau bercinta dengan dia?”
“Aku tak pernah bercinta dengan dia punlah!”
“Habis tu, takkan tiba-tiba je dia datang meminang kau?
Mustahillah!”
“Bukan dia yang hantarlah. Kan aku dah cakap tadi. Family dia yang hantar.”
“Maknanya, dia pun tak tahu yang family dia datang meminang kau?”
Irish menjungkitkan bahunya. “Entah. Aku pun tak tahu.”
“Ishh, ada main tak tahu pulak korang ni!” Athirah
termangu. Tidak menyangka dengan berita yang dibawa Irish ini. “So, macam mana? Keluarga kau terima
tak?”
“Ayah aku minta tempoh seminggu untuk bincang.”
“Maknanya sampai esoklah?”
Irish mengangguk lemah.
“Hmm... baguslah tu. Kau dengan boss kau pun tak pernah bercinta. Mestilah ayah kau tak terus setuju. So, apa keputusan kau?”
“Aku belum decide
apa-apa lagi. Entahlah. Aku tak boleh nak fikir.”
Seketika suasana menjadi sepi. Irish melayani perasaannya
sendiri. Begitu juga dengan Athirah yang nyata masih terkejut dengan berita
tersebut.
“Kalau kau jadi aku, kau terima tak?” tiba-tiba sahaja
soalan itu terlontar dari mulut Irish.
“Aku? Of courselah
terima! Siapa yang tak nak lelaki handsome,
tinggi, kaya macam tu. Tapi kan...,” kata-kata Athirah terhenti. Keningnya
berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu. “... kalau ada semua tu pun tak
boleh jugak kalau tak kenal Tengku Harrys tu macam mana. Buatnya ramai
perempuan keliling pinggang dia, naya jugak tu! Lagi-lagi dia dah duduk kat
tempat orang putih tu bertahun-tahun!”
Irish terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan Tengku Melissa.
Terbayang-bayang diingatannya bagaimana perlakuan manja gadis itu terhadap
Tengku Harrys. Itu di depan matanya. Di belakang? Hatinya Irish semakin
berbelah bahagi untuk membuat keputusan. Esok pagi pasti ayahnya akan meminta
jawapan untuk diberikan pada keluarga lelaki itu.
“Irish...,” Athirah menyentuh lembut bahu gadis itu.
“Sabarlah. Aku tahu cakap guna mulut takkan sama dengan bahu yang memikul. Apa
yang aku boleh cakap sekarang, kau fikirlah baik-baik dan berdoa agar diberi
petunjukNya. Ini tentang masa depan kau. Apa saja keputusan yang kau buat, aku
akan sokong sepenuhnya. Sebagai kawan baik, aku gembira sangat dengar berita
yang kau dah dipinang orang. Tapi dalam masa yang sama aku tak nak kau
dikecewakan dengan lelaki yang kau sendiri tak pernah cinta. Kalau betul ini
memang jodoh kau, Insyaallah, semuanya akan berjalan lancar. Buat keputusan
ikut kata hati kau. No need to worry,
okay?”
Irish tersenyum mendengar bait-bait bicara Athirah.
Tangan gadis itu diambil lalu digenggamnya erat. “Thanks, Ira. Thanks sebab kau sentiasa ada waktu aku perlukan.
Insyaallah, aku akan fikir baik-baik nasihat kau. Sayang jugak kau kat aku,
ya?”
“Mahunya tak! Kau ingat aku boleh duduk diam jelah kalau
sesuatu tak baik jadi kat kau? Selama ni kau tak tertarik lansung pun dengan
mana-mana lelaki. Tub-tub, orang datang meminang kau. Orang yang kau tak pernah
bercinta pulak tu. Tak sangka betul!”
‘Bukan kau je yang tak sangka, Ira. Aku seribu kali tak
sangka lelaki yang selama ni aku nak elak, makin hampir pulak dengan aku.
Hmmhh!’
“Eh, dahlah! Tak payah pening-pening kepala sangat fikir
benda tu. Ikut je apa kata hati kau. Tak nak muram-muram macam ni. Hari ni
majlis aku tau. Happy sikit!” seloroh
Athirah seraya memegang bibir Irish agar gadis itu mempamerkan senyum di
wajahnya. Dan serentak
ketawa mereka
berderai di dalam kamar yang sudah terhias indah dan rapi itu.
LANGIT malam ini kelihatan kelam
sahaja di matanya. Tidak tahu ke mana perginya bintang-bintang yang selalu
bercahaya menyinari. Menyorokkah kalian? Yang kelihatan hanyalah sinaran bulan
yang setia memancarkan dirinya di dalam kegelapan malam.
‘Kalaulah aku pun boleh menyorok macam bintang-bintang
tu, dah tentu-tentu aku akan buat sekarang. Tak payah lagi aku nak menghadap
semua orang untuk bagitahu keputusan tu.’
Irish melepas keluhan. Sudah agak lama dia duduk di atas
buaian di halaman rumahnya ini. Sengaja dia mengambil angin malam di sini untuk
menenangkan fikiran yang sedikit serabut. Ahli keluarganya yang lain mungkin
sedang beristirehat di dalam setelah menikmati makan malam usai solat Isyak
tadi. Jam di telefon bimbitnya dikerling. Hampir ke pukul 11.00 malam. Matanya
sudah sedikit memberat. Badannya juga agak keletihan sesudah seharian memandu
ke Melaka dan berpatah balik semula ke sini siang tadi bagi menghadiri majlis
pertunangan Athirah. Dan sekarang adalah waktu untuk dia berehat dari segala
aktiviti. Termasuk memikirkan hal yang satu itu. Baru sahaja dia ingin bangun,
satu suara tiba-tiba menyapanya dari belakang.
“Irish. Kat sini rupanya dia.”
“Umi.”
Kelihatan Puan
Qarina sedang berjalan ke arahnya, diikuti Encik Izzuddin di belakang. Kedua
orang tuanya itu kemudian sama-sama melabuhkan duduk mereka di buaian tersebut.
“Termenung jauh nampak. Fikir apa?”
“Tak ada apalah, umi. Saja ambil angin kat luar ni.”
“Ambil angin ke atau fikirkan sesuatu?” duga Puan Qarina.
Irish terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus
diberikan. Serentak itu dadanya berdebar-debar. Seakan dapat mengagak tujuan
orang tuanya mencari dia di sini.
“Irish dah habis fikir?” kali ini Encik Izzuddin pula
bersuara.
Irish membisu lagi. Hatinya bagai dipalu dengan
pertanyaan itu. Niat untuk merehatkan diri dari terus memikirkan hal itu juga
serta-merta mati. Kepalanya ditundukkan sambil melihat jari-jemari bermain di
atas skrin telefon.
“Irish tahu kan esok kita kena bagi jawapan pada keluarga
Tengku?” Encik Izzuddin sekali lagi
bertanya. Kali ini nadanya sedikit tegas.
“Tahu, ayah.”
“Jadi, apa keputusan Irish?”
“Irish tak tahu.”
Kedengaran suara Irish sudah tersekat-sekat. Dadanya
dirasakan berat. Sungguh, dia tidak tahu apa keputusan yang harus dipilih.
Dirinya benar-benar tersepit di antara kisah semalam dan juga masa depannya.
Sesaat, terlihat titisan-titisan air jernih mula turun di pipi gadis itu. Dan
keadaan itu membuatkan Puan Qarina mendapatkan anaknya. Tubuh itu didakap erat.
Dia mengerti apa yang sedang dirasai oleh Irish. Bahkan, perkara itulah yang
amat dirisaukannya selama ini.
“Irish jangan menangis, sayang. Kalau Irish tak nak
terima, cakap je. Kami semua tak paksa. Pandailah kami bagitahu Tengku
sekeluarga nanti.” Puan Qarina cuba memujuk Irish. Namun tangisan gadis itu
tidak juga reda. Dia memandang suaminya yang sedang memerhati dengan harapan
agar lelaki itu berkata sesuatu.
“Betul cakap umi tu. Kalau Irish berat nak terima
pinangan tu, berterus-terang jelah. Tak payah nak jaga hati orang lain
sedangkan hati Irish sendiri terseksa. Lagipun, kita tak berjanji apa-apa
dengan mereka,” kali ini suara Encik Izzuddin sudah kedengaran lembut.
“Ha, dengar tu. Tak ada sesiapa yang paksa Irish. Jadi
tak payah takut nak beritahu, ya.”
Mendengarkan kata-kata kedua orang tuanya, barulah kali
ini Irish mengangkat muka dari dada Puan Qarina. Airmatanya dikesat perlahan.
Kemudia dia memandang wajah ayah serta uminya satu persatu. “Maafkan Irish,
ayah, umi. Irish belum buat keputusan lagi. Irish tak boleh nak fikir dengan
baik tentang ni. Irish tahu Irish dah banyak susahkan ayah, umi dan semua orang
selama ni. Tapi Irish buntu. Dan dalam masa yang sama Irish takut nak fikirkan...,”
bicara Irish terhenti di situ dek sebak yang bertamu semula.
“Dahlah tu. Jangan menangis lagi,” pinta Puan Qarina
sambil mengusap bahu gadis itu.
“Lepas ni sebelum
tidur, Irish buat solat Istikharah. Mohon pada Dia. Mudah-mudahan esok pagi
bila bangun tidur, Irish dapat petunjuk dari-Nya. Dah, jangan menangis lagi.
Cukuplah air mata yang Irish dah bazirkan dulu. Sekarang bukan masanya untuk
semua tu lagi. Fikir masa depan Irish baik-baik. Pahit mana sekalipun, semuanya
kena ditelan. Irish pun manusia biasa. Berhak untuk hidup bahagia. Jangan
kerana hal lalu, Irish nak menghukum diri sendiri. Ingat, Allah swt sentiasa
ada bersama kita. Dan Irish juga kena ingat. Irish masih ada ayah, umi dan
keluarga yang masih sayangkan Irish. Apa yang akan jadi pada Irish sekalipun,
kami masih ada lagi untuk jaga Irish sampai bila-bila.”
Entah mengapa Irish merasakan sedikit kekuatan sebaik
mendengar bait-bait ayat dari mulut
ayahnya. Dia patut bersyukur kerana masih punya keluarga yang begitu memahami
di saat dia rapuh ketika ini. Malah semenjak dari dulu lagi mereka tidak pernah
pergi walau sedetik pun dari sisinya.
Mengenangkan itu, airmatanya jatuh lagi.
“Dah... tak payah menangis lagi. Nak menangis buat apa?
Macam nak kena paksa kahwin pulak budak ni!” seloroh Encik Izzudddin cuba
menceriakan sedikit suasana. Dan usahanya berhasil apabila terlihat tawa kecil
terbit dari bibir anak isterinya. Cukuplah walau sekadar dapat menutupi sedikit
kepedihan yang ditanggung.
“Malam dah ni. Jom, masuk. Esok pagi bagitahu ayah apa
keputusan Irish,” pesan Encik Izzuddin sebelum mereka tiga beranak berjalan
masuk meninggalkan halaman rumah.
SIRAMAN
air wudhu’ diangkat
sebaik-baiknya. Selesai itu, dia mengenakan telekung lalu dihamparkan helaian
sejadah di atas permaidani. Lantas diri diabdikan pada yang Maha Esa memohon
agar diberikan sesuatu petunjuk yang baik untuk dilema yang sedang dihadapinya
ketika ini. Selesai menunaikan solat Istikharah, gadis itu berwirid dan
berzikir seketika di atas tikar sembahyang sebelum menadah tangan memohon doa.
“Ya Allah ya Tuhanku. Sesungguhnya hamba-Mu yang hina ini
memohon petunjuk dari-Mu. Daku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang
baik menurut Pengetahuan-Mu, aku memohon kepastian dengan Kudrat-Mu dan aku
memohon dengan Kurniaan-Mu yang amat banyak kerana sesungguhnya Dikau Maha
Berkuasa sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkaulah jua yang maha mengetahui
segala sesuatu yang tersembunyi. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa ini
adalah jodoh yang baik bagiku, agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku,
buat masa kini dan masa akan datang, maka takdirkanlah ia kepadaku,
permudahkannya untukku dan berkatkan aku padanya. Namun jika dalam
Pengetahuan-Mu jodoh ini bukan yang baik untukku, buat masa kini dan masa akan
datang, maka hindarkanlah ia daripadaku, elakkanlah aku daripadanya,
tentukanlah kebaikan untukku di mana saja aku berada dan redhakanlah aku
dengannya. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu. Amin Ya Rabbal
Alamin.”
Irish
mengaminkan doanya. Terasa sedikit tenang jiwanya kala ini. Sudah itu dia
termenung seketika. Menghayati ketenangan yang begitu mendamaikan perasaan.
Kemudian gadis itu menoleh ke sisi katil. Memandang ke arah Kitab Suci Al-Quran
yang terletak di atas meja di situ. Irish bangun mengambil naskhah tersebut dan
duduk semula di atas sejadah. Diselak helaian yang ditandanya sebelum suaranya
mula mengalunkan ayat-ayat suci itu .
Usai
mengaji, Irish merebahkan dirinya di atas tikar sejadah. Niatnya ingin
melelapkan mata seketika di atas hamparan itu. Sehingga lama-kelamaan, dia
terus terlena bersama telekung
yang masih
tersarung di tubuh.
No comments:
Post a Comment